20190603 - cleanerP8020711.JPGoleh Sivaranjini Manickam

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menerima panggilan berturut-turut dalam 3 hari yang lepas ini daripada pekerja pembersihan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia yang mengadu bahawa mereka diberhentikan kerja secara tiba-tiba. Kontraktor baru mengambilalih pada 1 Jun 2019 dan pekerja hanya dimaklumkan sehari sebelumnya, iaitu pada 31 Mei 2019, bahawa mereka diberhentikan kerja! Ada antara pekerja pembersihan yang telah berkhidmat selama lebih 20 tahun, tetapi diberhentikan tanpa notis dan apajua pembayaran faedah pemberhentian kerja sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta Kerja 1955.

PSM kesal bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia melakukan tindakan drastik ini tanpa mempertimbangkan impaknya kepada warga pekerja. Setiap sekolah yang sebelum ini dibersihkan oleh 10 hingga 15 orang pekerja, kini dikurangkan kepada 4 atau 5 pekerja sahaja. Ini meningkatkan beban pekerja dalah membersihkan tandas, bilik darjah dan sebagainya.

Arahan Kementerian tersebut dibongkarkan oleh Setiausaha Persatuan Kontraktor-kontraktor Bumiputera Sisa Pepejal Dan Pembersihan (KOSPPEM) di mana dianggarkan hampir 45,000 orang pekerja di seluruh negara akan diberhentikan kerja!

Ini adalah pekerja-pekerja yang terdiri daripada golongan B20 yang hanya menerima pendapatan dalam lingkungan gaji minimum RM1,100 setiap bulan dan ada yang masih menerima gaji RM900 dan RM1,000 sahaja. KOSPPEM memberitahu bahawa Kementerian Pendidikan telah menukar sistem penetapan pekerja di sekolah dengan matlamat untuk mengurangkan perbelanjaan. Maka, mereka tidak dapat mengekalkan pekerja.  Pada masa dahulu, jumlah pekerja ditentukan berdasarkan jumlah pelajar di sebuah sekolah, tetapi kini ia ditentukan oleh jumlah ekar dan jumlah tandas sekolah. Namum begitu, logik kerajaan untuk menetapkan hanya 4 orang pekerja pembersihan untuk keluasan sekolah 7 ekar dengan 38 tandas memang tidak masuk akal sama sekali!

Hasrat Kementerian Pendidikan di bawah Kerajaan Pakatan Harapan untuk mengurangkan perbelanjaan telah memangsakan pekerja miskin B40. Sejumlah besar pekerja telah hilang punca rezeki mereka. Adakah ini hadiah besar Kerajaan Pakatan Harapan kepada rakyatnya menjelang Hari Raya ini?

Isu asasnya ialah sistem kontrak!

Kehilangan kerja oleh pekerja pembersihan secara besar-besaran ini adalah akibat sistem kontrak yang diamalkan di sektor kerajaan. Setiap tiga tahun sekali, kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), menawarkan kontrak baru untuk kerja-kerja seperti pembersihan dan pengawal keselamatan di sekolah-sekolah. Kerja-kerja ini walaupun sifatnya kerja tetap di mana kerja ini wujud selagi sekolah tersebut wujud, tetapi telah dijadikan kerja kontrak. Mengapa kerja-kerja ini disumberkan luar kepada pihak ketiga bagi tempoh yang singkat? Sistem ini menguntungkan siapa? Kerajaan yang mahu menjaga kroninya akan mendapat manfaat daripada sistem ini, tetapi yang merugikan adalah pekerja-pekerja miskin. Sistem kontrak ini menindas pekerja secara maksimum – pekerja tiada jaminan kerja, pekerja hilang faedah asas seperti kenaikan gaji, tempoh perkhidmatan, cuti dan lain-lain lagi. Kita dapat lihat akibat sistem kontrak ini sekarang apabila ia menyebabkan beribu-ribu pekerja hilang kerja. Penggunaan sistem kontrak bagi kerja-kerja tetap ini adalah satu pencabulan hak kerja dan hak kehidupan manusia.

Justeru, PSM mendesak Kementerian Pendidikan supaya menghentikan perlaksanaan sistem format baru kontrak dengan segera dan mengembalikan bilangan pekerja di setiap sekolah seperti asal. Pihak Kementerian Pendidikan haruslah mengadakan rundingan dulu dengan pihak kesatuan sekerja seperti MTUC dan juga pihak kontraktor sebelum memperkenalkan sistem-sistem seperti ini, di samping mengkaji secara mendalam dan memahami implikasinya kepada pekerja.

==========

Sivaranjini Manickam ialah Penyelaras Biro Pekerja Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *