201900605 - raya.jpgSALAM IDULFITRI DARI PARTI SOSIALIS MALAYSIA NEGERI PAHANG, TERENGGANU DAN KELANTAN

oleh Wan Zamzahidi bin Wan Zahid dan Khairul Nizam bin Abdul Ghani

Hanya beberapa jam saja lagi, umat Islam akan selesai menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan untuk tahun ini, dan insyaAllah, Hari Raya Idul Fitri akan disambut sebagai kemenangan setelah sebulan berlapar dan dahaga di waktu siang demi memenuhi tuntutan rukun Islam yang ketiga.

Secara tradisi, Hari Raya Idul Fitri disambut dengan meriah setiap tahun dengan hidangan-hidangan istimewa, pakaian baru serta adat ziarah-menziarahi sesama sanak saudara. Ramai dari mereka yang merantau untuk mencari rezeki di tempat yang jauh dari kampung asal mereka, akan pulang untuk meraikannya bersama keluarga. Diharapkan, semuanya dapat menyambut Hari Raya Idul Fitri dengan sihat dan juga selamat.

Dalam tempoh setahun, banyak khabar gembira yang telah tercatat. Dalam perjuangan rakyat melawan penindasan, banyak titik noktah tercapai yang memberikan kelegaan kepada ramai orang. Ada perubahan sistem yang berjaya dicapai, walaupun sedikit demi sedikit, mampu membawa garis senyuman kepada lebih ramai orang. Segalanya ada untuk kita raikan sebagai sebahagian dari warna-warna perjuangan yang panjang ini.

Namun begitu, bukan hanya khabar gembira yang tiba. Ada juga khabar-khabar duka yang menyesakkan fikiran yang tidak dapat tidak, kita terpaksa hadapi. Khabar tentang pengurangan peruntukan untuk kerja pembersihan sekolah adalah khabar duka yang terbaru yang kita terima dua tiga hari lepas, kurang seminggu dari tarikh kita akan menyambut hari lebaran ini. Pekerja-pekerja kontrak kebersihan sekolah, yang terdiri dari golongan B40, telah ditamatkan perkhidmatan mereka ekoran dari pengurangan peruntukan ini. Dijangkakan sekitar 50% dari pekerja yang keseluruhannya menjangkau 90 ribu orang ini telah kehilangan punca pendapatan bermula 1 Jun yang lalu. Dengan pendapatan yang ada selama ini pun, mereka terpaksa mencatu di sini-sana bagi memastikan kelangsungan hidup, bagaimana pula nasib mereka bila hilang pekerjaan seperti ini.

Dalam meraikan kehadiran 1 Syawal ini, marilah kita turut sama melihat di sekeliling kita, jangan pula sewaktu kita bergembira dan bermewah dengan berbagai juadah yang menyelerakan, ada di kalangan saudara-mara kita, atau sahabat taulan kita, atau jiran di sekeliling kita terpaksa mengasingkan diri dalam kesempitan akibat dari keadaan hidup yang tidak dipinta seperti ini.

Parti Sosialis Malaysia, menerusi Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang kami seliakan bagi pihak pekerja-pekerja kontrak perkhidmatan kebersihan, perkebunan dan kawalan keselamatan di premis-premia kerajaan, akan terus komited untuk memperjuangkan nasib pekerja-pekerja kontrak ini demi memastikan mereka mendapat perhatian yang sewajarnya. Sokongan rakyat juga diperlukan untuk kami terus mampu untuk bangun membela nasib pekerja-pekerja ini dan juga golongan tertindas yang lain.

Kami, sekali lagi ingin mengucapkan Salam Hari Raya Idul Fitri, Maaf Dzahir dan Batin. Semoga kehadiran 1 Syawal ini akan membawa rahmat dan berkat untuk kita semua.

Pekerja diperjuang agar berdaya

Isu perumahan masalah bersama

PSM ucapkan Selamat Hari Raya

Moga kegembiraan untuk semua

20190604 - aidilfitri

=========

Wan Zamzahidi bin Wan Zahid ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ahli Perhubungan Negeri Pahang dan Terengganu untuk PSM. 

Khairul Nizam bin Abdul Ghani ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengerusi Unit PSM Kelantan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *