oleh Shazni Bhai
Setelah kejatuhan Paris Commune, dia bersembunyi dari penguasa dan menghadapi ancaman bunuh. Eugene Pottier, seorang pekerja pengangkutan telah menulis puisi yang panjangnya 6 stanza ketika melarikan diri ke London pada Jun 1871. Puisi itu berjudul L’internationale. Pottier telah memuatkan puisi ini ke dalam koleksi karyanya “Chants Revolutionaires”. 17 tahun kemudiannya, Pierre Degeyter telah memadankan puisi ini dengan muzik supaya boleh dinyanyikan. Tetapi ketika itu lagu yang ditulis Degeyter di bilik bawah tanahnya masih belum menjadi nyanyian kaum pekerja antarabangsa dengan serta-merta. Melainkan ia dapat dimuatkan ke dalam youtube atau Soundcloud. Malahan di Kongres Pekerja Sedunia di Zurich pada 1893 telah mempendengarkan nyanyian lagu ‘La Marseillaise’, iaitu lagu perjuangan yang popular sebelum Internasionale. Menurut Michel Winock, seorang sejarawan Perancis, kalangan ahli-ahli Parti Sosialis Perancis yang mula mengambil lagu ini sebagai nyanyian mereka. Dan ketika itu sedang berlaku skandal politik Dreyfus Affair. Mereka telah mempersembahkannya di kongres antarabangsa di Paris. Hanya selepas itu lagu ini mula menjelajah ke serata pelusuk dunia.
Demi menjaga punca rezeki Pierre De Geyter sebagai seorang pengukir kayu, sebanyak 6000 keping risalah lirik lagu Internasionale ini yang dicetak hanya menyebut nama keluarga Pierre sahaja dalam versi Perancis iaitu Degeyter. Pada tahun 1904, adik kepada Pierre, Adolphe telah didorong oleh Datuk Bandar Lille, Gustave Delory untuk menuntut hakcipta, supaya pendapatan daripada lagu akan terus pergi ke Parti Sosialis Perancis. Pierre kalah dalam kes hakcipta pertama dalam tahun 1914. Tetapi setelah adiknya membunuh diri dan meninggalkan satu nota menerangkan penipuan itu, Pierre telah diisytiharkan pemilik hakcipta oleh mahkamah rayuan pada 1922.
Puisi panjang yang asalnya terselit seruan kepada kaum buruh untuk bangkit melawan tuan-tuan mereka ini telah merebak ke seluruh Perancis, benua Eropah, hingga ke Rusia. Sudah tentu dari bahasa Perancis ia telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa lain. Ia bukan sahaja dinyanyikan ketika aksi atau Hari Pekerja, malahan sebagai pembuka dan penutup untuk acara mesyuarat pekerja. Ada yang pernah ditangkap dan dibunuh hanya kerana lagu ini. Kaum tani menjadikannya sebagai pemangkin semangat di kala membanting tulang di ladang. Ada juga aktivis kiri yang memenuhi masa ketika pemenjaraan dengan mengajarkan lagu ini kepada banduan yang lain. Bukan sahaja sebagai salah satu alat komunikasi, malahan suatu identiti yang merentasi sempadan bahasa, menyatukan kaum buruh sedunia. Perang menentang fasis yang melanda di Sepanyol telah menyaksikan ramai buruh telah mengangkat senjata mempertaruhkan nyawa bersama-sama komrad lain dari luar Sepanyol. Ramai yang menerima rawatan di hospital akibat tercedera dalam pertempuran itu telah menikmati lagu ini dalam bahasa Jepun, Hindi, Sepanyol dan pelbagai bahasa dendangan sesama mereka.
Pada tahun 1917, ia telah dijadikan sebagai lagu rasmi negara Kesatuan Soviet Russia. Perarakan tentera merah telah menjadi objek visual yang dikumandangkan bersama lagu ini di siaran televisyen. Hal ini telah menyebabkan sesetengah orang berpendapat lagu ini telah pudar semangat radikal penyatuan kaum pekerja. Satu permasalahan menjadikan sesuatu karya itu rasmi ialah ia lebih teruk daripada mengharamkannya. Struktur lagu telah digubah menepati ciri sang pemerintah. Melodi yang laju nyanyiannya telah diperlahankan menjadi ala lagu kebangsaan sedangkan lagu ini asalnya untuk menyatukan kaum tertindas tanpa mengira negara. Kebangkitan Tianamen Square juga menyaksikan lagu ini digemakan oleh mahasiswa menandakan lagu ini bukanlah milik mutlak ‘Kerajaan’ Komunis atau Sosialis.
Ada bahagian asal yang ditulis oleh Pottier telah mengundang persoalan di mana ia menyatakan agar kaum pekerja untuk menghapuskan segala tradisi yang mengikat termasuklah institusi raja, agama, adat dan kepercayaan. Bahagian korus ada menekankan bahawa perjuangan ini ialah yang terakhir. Pasti ramai kaum tertindas mengharapkan sedemikian akan tetapi keadaan pula sebaliknya. Mungkin bagi segelintir generasi kini, lagu ini ialah lagu rasmi parti politik yang dinyanyikan untuk menaikkan semangat. Tetapi bagi yang pernah menempuh perang menentang imperialisma dan fasis, ia menyimpan kenangan tragis menyaksikan komrad-komrad terkorban contohnya dari Briged Antarabangsa di Sepanyol. Sekaligus ia menyimpan harapan bahawa walau bagaimana payah sekali pun situasinya kini, kaum tertindas seluruh dunia generasi kini dapat menghayati bahawa kita semua boleh mengubah dunia ini menjadi lebih baik bersama. Biar suara kaum tertindas sedunia terus bergema melalui lagu ini.
4 thoughts on “Internasionale – lagu pekerja sedunia: Dahulunya lagu haram, selamanya nyanyian perjuangan”