oleh Nik Aziz Afiq

Akhirnya, setelah berlalu beberapa hari, barulah anak pokok muda, kecil dan lemah itu dapat tegak kembali. Sakit dipukul ribut masih terasa dalam segenap sendi. Serik dan tak mahu ulang lagi.

Alangkah terkejutnya anak pokok kecil ini melihat pokok tua yang sudahpun menjadi tunggul hanya tersenyum melihat ke arahnya, mukanya tenang seperti biasa seakan tak terkesan sama sekali dari ribut yang menggila.

Anak pokok menjadi geram, lalu berlakulah perbualan yang menjadi pelajaran terbaik yang pernah dia perolehi.

AP (Anak Pokok) : “Alangkah kejamnya aturan dunia, sekali datang ribut menggila maka anak pokok seperti aku yang menjadi mangsa, bukankah tunggul tua sepertimu yang patut tamat riwayatnya? Kenapa aku yang perlu rasakan kesakitan ini sedang kau yang patut musnah dibawa angin?”

TT (Tunggul Tua) : Hmmmm (sambil tersenyum)

AP : (Semakin berang), dunia ini tidak adil, patut berilah peluang pada anak pokok seperti aku, bukankah jika aku mendapat sokongan mereka maka nanti mereka juga yang akan rasakan nikmatnya buahku, amannya teduhan bayangku dan indahnya hutan ini bila pokok-pokok baru menggantikan pokok-pokok lama? Apa mereka tidak serik lagi membela pokok lama yang sudah tidak berbuah, daun keringnya sepah merata, dahannya rapuh tak dapat berpaut, batangnya reput menanti tumbang, nanti tumbang siapa yang kena? Kan isi alam ini juga? Kenapa ribut memilih menggoncangkan aku? Kenapa aku!!”

TT : Hmmmmm (selamba dan tak kisah)

AP : “Lihat dirimu hei tunggul tua, sudahlah tumbang, tinggal tunggul sahaja tapi masih dibela oleh sang ribut. Bila dilontar soalan tak berani mahu berhujah mahu berdepan, hanya tahu senyum dan diam sahaja! Ribut patut mengasihani aku, aku yang mampu bersuara membela alam ini, bukan kau yang sekadar mahu hmm hmmm hmmm sahaja. Dunia ini tidak adil, apa guna aku terus menjadi pokok, baik aku mereput menjadi tanah sahaja. Tanah tak perlu bergaduh dengan yang lain, ia terus menerus boleh berbuat kebaikan tanpa perlu persaingan mendapatkan matahari”

Kesal dengan keluhannya yang tidak diendah, anak pokok ini memejam mata, memaling muka, mahu berehat dari melihat dunia. Dia lelah dan rasa tidak berdaya menghadapi kekejaman dunia lagi.

TT : “Anakku, maafkanlah kebisuan seorang tua sepertiku, bukan aku tidak peduli apa yang kau katakan, aku tersenyum kerana aku melihat diriku yang muda dalam dirimu”

“Anakku, tiada siapa pernah mengatakan dunia ini adil dan tidak kejam. Dunia sebuah lapangan ujian, selagi mana kita disini, kita akan diuji. Ketidakadilan dan kekejamanlah yang membuatkan kita para pokok mencambahkan diri dengan penuh kesakitan dan berusaha tegak ke mentari keadilan demi memayungi masyarakat yang diancam penindasan.

Kenapa salahkan ribut? Itu tugasnya, tanpa ribut maka kita tidak akan mensyukuri nikmat waktu tenteram. Aku juga dipukul ribut sepertimu, bahkan aku lebih banyak kali dihentam amukan ribut itu. Aku kukuh bukan kerana ribut itu kasihan padaku, tetapi kerana akarku yang menjunam jauh ke dalam tanah masih kuat memaut diri.

Anakku, kau harus tahu, perubahan tidak pernah dilakukan dengan mudah. Ada derita dan ranjau yang menghambat dalam jalan perjuangan untuk perubahan. Kesakitan itu jika kau tukarkan menjadi guru, maka kau akan seribu kali lebih kuat dari sebelum ribut menimpamu. Namun jika kesakitan itu kau lihat sebagai musuh yang melemahkan, maka kau akan berputus asa lalu meninggalkan masyarakat yang dahaga ini.

Mereka bukan tidak perlukanmu, tetapi mereka belum begitu percaya denganmu. Berbanding dengan aku, walaupun kini aku hanya tunggul tua yang dipijak orang tetapi suatu masa dulu aku pernah meneduhkan umat dengan dahan-dahan besar, ribuan dedaunan menyamankan mereka, jutaan buah-buahku pernah mereka rasakan. Nostalgia kebaikan yang lalu lebih kuat dari laungan cita-citamu yang belum terbukti.

Anakku, akan sampai masa aku pergi juga, tiada yang kekal selain Dia, setiap kita ada masanya yang tersendiri. Jika kau terus membesarkan akar menembusi segenap lapisan tanah dan tempat, terus berusaha mendapatkan sebanyak mungkin sinaran mentari, terus membesar dan meneduhkan umat, masamu akan sampai juga. Perubahan tetap akan berlaku, cita-citamu akan digapai dan ribut tidak akan dapat menggoncangmu lagi.

Boleh berehat melepaskan lelah, tetapi jangan berhenti percaya masyarakat ini boleh berubah.

Usaha dan masa. Kau akan tersenyum suatu hari nanti mengenang perbualan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *