(foto: Reg Lancaster/Daily Express/Hulton Archive/Getty Images)

Negara atau daulah (state), ialah entiti politik yang berkuasa untuk mengenakan dan menguatkuasakan peraturan ke atas penduduk yang berada di dalam sesuatu wilayah.

Menurut Max Weber (1864-1920), seorang ahli sosiologi Jerman yang terkenal, negara ialah sebuah politi yang menguasai dan mengekalkan monopoli ke atas penggunaan keganasan secara sah. Dalam kata Weber sendiri, “negara ialah komuniti manusia yang (berjaya) mendapatkan monopoli ke atas penggunaan kuasa fizikal yang sah di dalam wilayah tertentu”. Konvensyen Montevideo yang ditandatangani pada tahun 1933 semasa Persidangan Antarabangsa Negara-negara Amerika yang ketujuh, mentakrifkan bahawa sebuah negara yang berdaulat harus memiliki ciri-ciri asas seperti penduduk yang tetap, wilayah dengan persempadanan yang jelas, kerajaan yang memerintah dan keupayaan untuk menjalin hubungan dengan negara-negara lain.

Sama ada pemikir Marxis atau bukan Marxis, kata kunci yang tidak dapat dipisahkan dengan negara itu biasanya termasuk “kuasa paksaan”, “kekerasan” dan “keganasan”.

Mengikut teori Marxis, negara muncul kerana wujudnya masyarakat kelas. Raison d’être atau sebab kewujudan negara adalah untuk mengekalkan “ketenteraman” atau “ketertiban” masyarakat kelas daripada “gangguan” akibat ketidaksamarataan, dendam, permusuhan, konfrontasi dan perlawanan antara kelas yang semakin meningkat dalam masyarakat kelas itu sendiri.

Negara bukannya sentiasa wujud, tetapi muncul pada peringkat sejarah yang tertentu dalam perkembangan masyarakat manusia. Negara hanya muncul pada waktu dan tempat di mana wujudnya percanggahan atau pertentangan antara kelas yang menindas dengan kelas yang ditindas.

Negara ialah alat pemerintahan kelas. Negara ialah jentera keganasan yang digunakan oleh satu kelas untuk menindas kelas yang lain. Jentera negara memastikan semua kelas yang diperintah itu dikawal sepenuhnya oleh kelas yang memerintah.

“Negara moden hanyalah sebuah jawatankuasa yang menguruskan hal ehwal bersama untuk seluruh kelas borjuasi.” – Karl Marx & Friedrich Engels, Manifesto Komunis (1848)

Pembangunan daya pengeluaran masyarakat yang berterusan dan semakin maju membolehkan kewujudan barangan lebihan (surplus) masyarakat. Ini turut membawa kepada pembahagian kerja dalam masyarakat kerana proses pengeluaran masyarakat yang semakin kompleks. Apabila perburuhan individu/keluarga (yang berasaskan sistem pemilikan persendirian) menggantikan perburuhan kolektif/bersama (yang wujud dalam komun masyarakat primitif), maka terbentuknya masyarakat kelas.

Kelas pemerintah (yang merupakan minoriti dalam masyarakat) perlu menggunakan sejenis institusi kekuasaan yang khas untuk memerintah, mengawal dan menindas kelas yang diperintah (yang merupakan majoriti dalam masyarakat). Kelas pemerintah menggunakan alat keganasan yang tersusun dan kuasa pemaksaan untuk mengekalkan kedudukannya. Alat keganasan dan kuasa pemaksaan ini ialah negara.

Negara dibentuk daripada satu set badan-badan khas yang menjalankan fungsi-fungsi khusus, termasuklah tentera, polis, mahkamah, penjara dan badan-badan pemerintahan yang lain.

“…dalam mana-mana negara yang berfungsi secara ‘normal’, walau apapun bentuknya, monopoli terhadap kekerasan dan penindasan adalah milik kuasa negara.” – Leon Trotsky, 1905 (1907)

Kelas sosial dan pembentukan negara

Dalam masyarakat primitif yang tidak wujudnya kelas sosial, kerja-kerja pengurusan masyarakat dilakukan secara bersama oleh semua anggota dalam sesebuah komuniti suku kaum. Semua orang bersenjata, semua orang menyertai mesyuarat dalam komuniti untuk membuat keputusan secara bersama tentang isu-isu berkaitan dengan kehidupan komuniti dan hubungan luar komuniti itu. Pertikaian dalaman komuniti diselesaikan secara bersama oleh anggota-anggota dalam komuniti itu dalam proses politik yang melibatkan seluruh anggota komuniti berkenaan. Sekurang-kurangnya puluhan ribu tahun, jika bukan ratusan ribu tahun, umat manusia hidup dalam masyarakat yang langsung tidak tahu apa itu negara.

“Kelahiran” negara adalah disebabkan oleh dua jenis perubahan:

  • Kemunculan barangan surplus masyarakat yang berkekalan. Ini membolehkan sebahagian orang dalam masyarakat tidak perlu bekerja untuk terus hidup, maka menyediakan syarat kebendaan kepada sebahagian orang untuk mengambil alih tugas-tugas khusus dalam mengumpul dan mengurus kekayaan masyarakat.
  • Berlakunya perubahan sosial dan politik, yang menyebabkan sebahagian besar orang lain dalam masyarakat kehilangan peluang untuk mengamalkan tanggungjawab politik dalam pengurusan masyarakat (yang sebelum itu melibatkan semua orang).

Apabila tugas-tugas yang dilakukan secara bersama oleh seluruh anggota masyarakat sebelum itu telah menjadi hak istimewa sekumpulan orang yang khas, maka lahirnya negara. Kumpulan orang yang khas ini termasuk:

  • Bala tentera yang berbeza daripada seluruh rakyat yang bersenjata;
  • Hakim yang mengambil alih tugas-tugas rakyat yang menjalankan perbicaraan kolektif sebelum itu;
  • Ketua suku kaum, raja dan golongan bangsawan yang diturunkan kuasa dari generasi ke generasi, menggantikan wakil atau pemimpin yang dipilih secara kolektif dan boleh dilucutkan tugasnya oleh komuniti;
  • Polis atau pasukan keselamatan yang ditugaskan untuk menjaga “ketenteraman awam”, menggantikan tanggungjawab bersama menjaga keselamatan sesama sendiri dalam komuniti;
  • “Pengeluar ideologi” yang terpisah daripada bahagian komuniti yang lain (seperti paderi, cendekiawan, ahli falsafah, guru, pakar undang-undang, birokrat dan sebagainya).

Dalam erti kata lain, negara muncul kerana wujudnya masyarakat kelas. Kelas ialah kedudukan seseorang anggota masyarakat dalam hubungan pengeluaran sosial yang merangkumi hubungan pemilikan harta. Vladimir Lenin (1870-1924), seorang tokoh revolusioner Marxis di Rusia yang terkenal, mentarifkan kelas sebagai “kumpulan besar orang yang berbeza antara satu sama lain dari segi tempat yang diduduki mereka dalam satu sistem pengeluaran masyarakat yang ditentukan sejarah, hubungan mereka dengan sumber pengeluaran (kebanyakannya ditetapkan dan ditulis dalam undang-undang), peranan mereka dalam pengorganisasian masyarakat, dan oleh yang demikian, dimensi perkongsian kekayaan masyarakat yang dikuasai mereka dan mod untuk mengambilnya”. Lenin juga menyatakan bahawa negara wujud kerana konflik kelas yang tidak dapat didamaikan.

“Kelas merupakan kumpulan orang yang boleh mengambil buruh satu kumpulan yang lain berdasarkan tempat berlainan yang diduduki oleh mereka dalam satu sistem ekonomi masyarakat yang tertentu.” – Vladimir Lenin, A Great Beginning: Heroism of the Workers in the Rear “Communist Subbotniks (1919)

Vladimir Lenin

“Negara bukanlah sejenis kuasa luar yang dikenakan ke atas masyarakat. Negara juga bukan seperti yang dinyatakan oleh Hegel sebagai ‘realiti untuk idea bermoral’, ‘imej dan realiti untuk penaakulan’. Sebaliknya, negara ialah produk masyarakat pada peringkat perkembangan yang tertentu. Negara ialah pengakuan bahawa masyarakat ini terjerumus dalam percanggahan diri yang tidak dapat diselesaikan, berpecah kepada pertentangan yang tidak dapat dihindarkan langsung. Namun, demi memastikan pertentangan sebegini, kelas-kelas yang bercanggah dalam kepentingan ekonomi ini, tidak menghancurkan diri mereka sendiri dan masyarakat dalam perlawanan yang tidak membuahkan hasil, maka perlunya sejenis kuasa yang nampaknya berdiri di atas masyarakat, untuk mengawal konflik, dan memastikan konflik dikekalkan dalam batasan ‘susunan teratur’. Kuasa yang timbul daripada masyarakat tetapi meletakkanya di atas masyarakat dan semakin mengasingkan diri daripada masyarakat ini, adalah negara.” – Friedrich Engels, Origins of the Family, Private Property, and the State (1884)

Friedrich Engels

Negara ialah produk dan manifestasi percanggahan kelas yang tidak mungkin diselesaikan. Di tempat, masa dan keadaan di mana percanggahan kelas tidak dapat didamaikan secara objektif, maka wujudnya negara. Dalam erti kata lain, kewujudan negara membuktikan bahawa percanggahan kelas tidak dapat didamaikan.” – V. I. Lenin, The State and Revolution (1917)

“Mengikut pandangan Marx, negara ialah organ pemerintahan kelas, ia ialah organ untuk satu kelas menindas kelas yang lain. Negara adalah mendirikan sejenis ‘susunan’ untuk mengawal konflik kelas, menjadikan penindasan ini dibenarkan di sisi undang-undang dan dikekalkan. Mengikut pandangan ahli politik borjuasi kecil pula, susunan adalah pendamaian kelas, dan bukannya penindasan satu kelas terhadap kelas yang lain; mengawal konflik adalah pendamaian, dan bukannya merampas cara perjuangan dan kaedah perjuangan tertentu yang digunakan oleh kelas yang ditindas untuk menggulingkan penindas.” – V.I. Lenin, The State and Revolution (1917)

Percanggahan sentiasa wujud antara kelas yang memerintah dan kelas yang diperintah dalam mana-mana masyarakat kelas. Percanggahan atau konflik kelas tidak akan hilang selagi masyarakat kelas itu masih wujud. Kelas yang memerintah dan sistem masyarakat kelas memerlukan jentera negara untuk memastikan percanggahan atau konflik antara kelas itu tidak merebak ke tahap yang mengancam “kestabilan” sistem sosio-ekonomi ekploitatif yang berasaskan kelas itu, sama ada menggunakan cara yang keras ataupun cara yang halus.

Negara sebagai alat pemerintahan kelas

Negara wujud dalam pelbagai bentuk untuk mengekalkan pemerintahan kelas yang menguasai ekonomi masyarakat. Misalnya, negara yang mengamalkan sistem pemerintahan monarki mutlak wujud untuk memastikan penguasaan golongan tuan tanah feudal dan bangsawan ke atas tanah pertanian dan kuasa pemerintahan dapat dikekalkan.

Oleh kerana sifat asas negara ialah alat untuk penindasan kelas, maka sama ada sesebuah negara itu mengamalkan corak pemerintahan kediktatoran autokratik atau demokrasi, negara itu masih merupakan alat untuk kelas pemerintah mengenakan kawalan sosial ke atas kelas yang diperintah. Walaupun di negara republik “demokratik” dalam masyarakat kapitalis yang kononnya menegakkan kebebasan sivil, di mana adanya pilihanraya yang bebas dan demokratik untuk memilih wakil-wakil rakyat dalam parlimen untuk menggubal undang-undang atau memilih ketua eksekutif untuk mentadbir negara, kelas pemerintah (iaitu kelas kapitalis) masih tidak akan melepaskan kuasa politik. Kelas kapitalis mengekalkan kekuasaan politik dan dominasi ke atas sosio-ekonomi melalui kawalan yang lebih halus terhadap jentera negera, mewujudkan ilusi dalam kalangan rakyat biasa tentang konsep “kebebasan dan demokrasi”.

“Mereka yang tertindas dibenarkan selang setiap beberapa tahun untuk menentukan sekali siapa wakil daripada kelas pemerintah itu akan terus mewakili dan menindas rakyat dalam parlimen! Inilah sifat sebenar sistem berparlimen kelas borjuasi, bukan sahaja begini dalam sistem berparlimen di negara raja berperlembagaan, tetapi juga begini dalam negara republik yang paling demokratik.” Lenin, The State and Revolution (1917)

Negara moden ialah alat pemerintahan untuk kelas kapitalis. Segala jentera negara kapitalis yang diwujudkan adalah untuk memastikan kelas pekerja tunduk kepada kekuasaan kelas kapitalis dan penentangan terhadap sistem kapitalis dilenyapkan seboleh mungkin.

(Grafik: Alan Hardman)

Jentera negara yang digunakan untuk menindas kelas yang diperintah dan mengekalkan pemerintahan kelas, termasuklah:

  • Badan-badan kerajaan (mengurus tadbir hal ehwal dalam negara kapitalis dan memastikan masyarakat kelas berfungsi secara “normal”);
  • Tentera (melindungi kelas pemerintah daripada pemberontakan kelas yang tertindas dengan cara keganasan, menangkis ancaman daripada negara kapitalis yang lain, dan juga melancarkan perang atau menceroboh negara lain untuk memperluaskan kekuasaan kelas kapitalis negara sendiri);
  • Polis (menjaga “ketenteraman” supaya harta golongan kapitalis terjamin dan segala penentangan daripada kelas yang diperintah dapat dibendung secara kekerasan);
  • Badan perisikan atau polis rahsia (memantau aktiviti masyarakat untuk memastikan konflik kelas adalah berada dalam keadaan “terkawal”);
  • Undang-undang (menggariskan segala peraturan bertulis dalam masyarakat kapitalis yang menjamin kepentingan kelas kapitalis dan memaksa seluruh anggota masyarakat untuk mematuhinya);
  • Sistem kehakiman (“menegakkan” undang-undang masyarakat kelas);
  • Penjara (mengurung sesiapa yang menentang sistem kapitalis dengan melanggar “undang-undang” yang sedia ada);
  • Media massa (menyebarkan ideologi kelas pemerintah);
  • Sistem pendidikan (menyemai pemikiran ideologi kelas dalam kalangan rakyat sejak kecil lagi dan membentuk ciri-ciri personaliti yang akur pada pemerintahan kelas).

Negara moden mengekalkan dan memperkukuhkan kekuasaan kelas kapitalis

Negara moden yang lahir daripada pembentukan masyarakat kapitalis, sama ada mengamalkan pemerintahan yang bersifat autoritarian ataupun menonjolkan dirinya sebagai sebuah negara yang demokratik, memainkan peranan utama dalam melindungi kepentingan kelas kapitalis yang merupakan kelas pemerintah. Peranan negara kapitalis moden ditentukan oleh fungsinya dalam susunan kapitalis global. Sama ada kerajaan dalam sesebuah negara kapitalis itu mengamalkan dasar ekonomi laissez-faire yang meminimumkan campurtangan kerajaan dalam pasaran bebas, ataupun mengamalkan dasar negara kebajikan yang melibatkan campurtangan kerajaan meluas dalam pengurusan makroekonomi, negara kapitalis itu tetap mengekalkan kedudukan kapitalis yang mendominasi.

Ralph Miliband (1924-1994), seorang tokoh akademik Marxis yang terkenal di Britain, pernah menghasilkan banyak tulisan penting yang menganalisis peranan negara moden dalam masyarakat kapitalis, termasuk The State in Capitalist Society (1969) dan Class Power And State Power (1983). Miliband berhujah bahawa kelas pemerintah menggunakan negara sebagai alat untuk menguasai masyarakat berdasarkan hubungan rapat antara pegawai kerajaan dan golongan elit ekonomi.

Ralph Miliband

Menurut Miliband, negara dikuasai oleh golongan elit yang datang daripada latar belakang kelas kapitalis yang sama. Oleh itu, pegawai-pegawai kerajaan berkongsi kepentingan yang sama seperti golongan pemilik modal (kapitalis), di samping berkait rapat dengan mereka melalui pelbagai hubungan sosial, ekonomi dan politik. Negara kapitalis berkhidmat untuk kepentingan kelas kapitalis. Golongan kapitalis memegang kuasa kepimpinan dalam pelbagai institusi negara. Penguasaan ke atas ekonomi dan sumber masyarakat, membolehkan kapitalis mempengaruhi penggubalan dasar negara. Ekonomi kapitalis itu sendiri mempunyai kuasa paksaan secara struktural dan mengawal tingkah laku kerajaan. Fungsi negara ditunjukkan dalam empat aspek utama, iaitu menindas kelas yang diperintah, memupuk budaya pemikiran yang bersesuaian dengan pemerintahan kapitalis, memastikan kelangsungan ekonomi kapitalis, dan mengekalkan hubungan antarabangsa yang menjamin kewujudan kapitalisme global.

“Campurtangan kerajaan dalam kehidupan ekonomi sebenarnya bermaksud campurtangan untuk tujuan membantu perusahaan kapitalis.” – Ralph Miliband, The State in Capitalist Society (1969)

“Negara komunis” itu tidak mungkin wujud

Mengikut konsepsi asas Marxis, tidak wujud lagi negara dalam masyarakat komunis.

Proses peralihan daripada sistem sosio-ekonomi kapitalis kepada masyarakat sosialis, melibatkan peringkat transisi pengambilalihan kuasa oleh kelas pekerja untuk mewujudkan pemerintahan proletar (dictatorship of the prolatariat) ataupun negara pekerja. Kelas proletar atau kelas pekerja masih memerlukan penguasaan ke atas jentera negara untuk menghancurkan segala ancaman dan serangan daripada kelas kapitalis yang masih wujud dalam peringkat transisi ini. Namun, negara pekerja bukanlah sesuatu yang kekal, tetapi hanya wujud sebagai satu keperluan dalam proses transisi menuju ke masyarakat tanpa kelas (ataupun juga dikenali sebagai “komunisme”). Negara sebegini akan “layu” (whitering away), selepas perbezaan kelas sosial dihapuskan, dan demokrasi perwakilan (representative democracy) digantikan dengan demokrasi langsung (direct democracy) yang melibatkan semua anggota masyarakat.

“Negara bukannya sentiasa wujud. Pernah wujudnya masyarakat yang tidak perlukan negara, langsung tidak tahu apa itu negara dan kuasa negara. Apabila perkembangan ekonomi sampai ke satu peringkat tertentu dan perpecahan masyarakat kepada kelas tidak dapat dielakkan, perpecahan sebegini menjadikan negara suatu keperluan. Sekarang ini kita sedang melangkah dengan cepat untuk mendekati peringkat perkembangan pengeluaran yang sebegini, iaitu pada peringkat ini, kewujudan kelas-kelas ini bukan sahaja tidak perlu, malah sudah menjadi penghalang terus kepada pengeluaran. Kelas sudah pasti akan hilang, sepertimana kemunculan mereka yang tidak dapat dielakkan dahulu. Dengan kehilangan kelas, negara juga pasti akan hilang. Masyarakat yang mengorganisasi pengeluaran mengikut kaedah baharu berasaskan penggabungan antara pengeluar yang bebas dan sama rata, akan meletakkan semua jentera negara di tempat yang sepatutnya, iaitu muzium yang menyimpan antik.” – Friedrich Engels, Origins of the Family, Private Property, and the State (1884)

Bagi Lenin dan golongan Marxis revolusioner yang lain, tugas penting untuk revolusi proletar dan negara pekerja yang wujud hasil daripada revolusi itu, adalah menghancurkan negara yang mengekalkan pemerintahan kelas. Cara untuk menyempurnakan tugas ini ialah melakukan perubahan radikal terhadap susunan sosio-ekonomi untuk mewujudkan syarat pembentukan sebuah masyarakat tanpa kelas, iaitu masyarakat di mana semua rakyat hidup dalam keadaan tanpa penindasan oleh satu kelas sosial terhadap kelas sosial yang lain.  Walau bagaimanapun, ini bukannya tugas yang mudah dan tidak mungkin akan tercapai dengan “sosialisme dalam sebuah negara”. Negara tidak akan wujud lagi, malah tidak diperlukan langsung, dalam masyarakat tanpa kelas ataupun apa yang dimaksudkan “komunisme”.

Oleh itu, gelaran “negara komunis” adalah sesuatu yang paradoks ataupun oksimoron, kerana negara tidak lagi wujud dalam masyarakat komunis, manakala masyarakat komunis tidak mungkin wujud selagi masih adanya negara sebagai alat pemerintahan kelas.

Namun, yang ironinya, di negara pekerja yang didirikan selepas Revolusi Oktober di Rusia pada tahun 1917, dan juga banyak negara yang pernah diperintah oleh parti komunis yang mengambilalih kuasa selepas pelbagai perjuangan revolusi yang hebat pada abad ke-20, apa yang kita boleh nampak adalah peningkatan dalam peranan dan fungsi jentera negara, bukan sahaja untuk menangkis serangan kapitalis dalam dan luar negara, tetapi juga untuk mengetatkan kawalan ke atas golongan pekerja. Walaupun keadaan ini timbul atas banyak faktor-faktor sejarah, namun secara prinsipnya ia adalah bercanggah dengan konsepsi asas Marxis. Ini menunjukkan bahawa negara tidak akan “layu” dan “hilang” secara automatik selepas kelas pekerja mengambil alih kuasa, tetapi memerlukan usaha yang berterusan untuk memperluaskan demokrasi di bawah pemerintahan pekerja, di samping membina asas sosio-ekonomi yang bersesuaian dengan transisi kepada sosialisme.

Sosialisme sememangnya tidak akan tercapai melalui sebuah negara yang menggunakan polis rahsia dan teknologi pengawasan yang canggih untuk memantau secara ketatnya segala aktiviti masyarakat.

Pemerintahan proletar

Berbeza dengan golongan anarkis yang berpendirian bahawa perubahan menuju ke arah masyarakat tanpa kelas boleh disempurnakan dengan cara yang tidak perlunya mengambil alih kuasa negara, golongan Marxis dan sosialis yang revolusioner amat menekankan kepentingan kelas pekerja mengambil alih kuasa negara. Kelas pekerja mengambil alih kuasa negara, bukannya menjadikan diri mereka seperti kelas kapitalis yang menguasai jentera negara sebelum itu, tetapi menggunakan jentera negara itu untuk mempertahankan revolusi daripada segala ancaman yang reaksioner, di samping mencipta keadaan yang sesuai untuk peralihan kepada sosialisme, maka akhirnya membawa kepada “kehancuran” negara yang merupakan alat penindasan itu.

Pemerintahan proletar atau pemerintahan kelas pekerja, masih merupakan sejenis pemerintahan kelas, maka negara masih wujud dalam peringkat pemerintahan proletar. Pemerintahan proletar bukannya matlamat akhir revolusi sosialis, tetapi hanyalah peringkat transisi yang penting dalam proses membina masyarakat tanpa kelas. Pemerintahan proletar harus mempunyai 3 sifat yang utama:

  • Ia merupakan pemerintahan oleh kelas pekerja, bukannya pemerintahan ke atas kelas pekerja;
  • Ia merupakan pemerintahan satu kelas (iaitu kelas pekerja), bukannya pemerintahan sebuah parti atau seorang pemimpin agung (walaupun atas nama “kelas pekerja”);
  • Ia merupakan pemerintahan yang revolusioner dan progresif, dengan matlamatnya adalah mencipta lebih banyak kebebasan untuk kelas pekerja dan rakyat terbanyak, bukannya menyekat dan merosakkan ruang demokratik rakyat.

Rosa Luxemburg (1871-1919), seorang tokoh revolusioner Marxis di Jerman, pernah menulis sebegini, “Lenin berkata, negara kelas borjuasi ialah alat untuk menindas kelas pekerja, negara sosialis ialah alat untuk menindas kelas borjuasi. Ia pada satu tahap boleh dikatakan sebagai sebuah negara borjuasi yang diterbalikkan. Kenyataan yang diringkaskan ini terlepas pandang satu perkara yang paling asas: pemerintahan kelas oleh kelas borjuasi tidak perlu menjalankan latihan pendidikan politik bagi seluruh massa rakyat, maka tidak akan melangkaui tahap yang terhad. Untuk pemerintahan kelas proletar, latihan dan pendidikan sebegini merupakan faktor penting kelangsungan hidup, merupakan udara yang pemerintahan proletar tidak dapat wujud tanpanya.”

Rosa Luxemburg

“Ini merupakan pemerintahan kelas, bukannya pemerintahan satu parti atau satu kumpulan kecil. Ini bermakna melaksanakan pemerintahan kelas yang demokratik yang tidak terhad yang terbuka pada tahap maksimum, dengan massa rakyat menyertainya secara paling aktif dan tidak tersekat,” tegas kata Rosa Luxemburg.

Komun Paris yang ditubuhkan pada tahun 1871 dan hanya bertahan selama 72 hari, merupakan bentuk pemerintahan proletar ataupun negara pekerja yang pertama dalam dunia. Komun Paris ialah hasil daripada revolusi warga Paris yang menentang kerajaan Perancis selepas tamatnya pengepungan bandar itu selama lebih 4 bulan oleh tentera Prusia pada tahun 1870-1871.

Antara program yang digariskan semasa pemerintahan Komun Paris yang singkat itu, termasuklah:

  • Pemisahan kuasa antara gereja dengan pentadbiran negara;
  • Penghapusan sewa yang dihutang oleh penduduk Paris semasa bandar itu dikepung oleh tentera Prussia;
  • Memansuhkan kerja syif malam di kedai roti;
  • Membayar pencen kepada teman belum nikah dan anak-anak kepada pengawal nasional yang terbunuh dalam peperangan;
  • Pemulangan percuma peralatan pekerja dan barangan isi rumah yang bernilai hingga 20 franc yang dipajakkan kepada kedai pajak gadai semasa pengepungan Paris;
  • Penangguhan pemulangan hutang komersial dan pemansuhan faedah hutang;
  • Pekerja mempunyai hak untuk mengambil alih dan menguruskan perusahaan yang ditinggalkan oleh pemilik yang melarikan diri, namun pihak Komun tetap mengiktiraf hak pampasan untuk pemilik sebelum itu;
  • Melarang majikan mengenakan denda ke atas pekerja;
  • Memansuhkan sistem gaji tinggi untuk pegawai kerajaan – gaji tertinggi untuk ahli jawatankuasa Komun tidak melebihi 6000 franc setahun (bersamaan dengan pendapatan median tahunan untuk pekerja di Paris pada masa itu);
  • Anggota Komun dipilih secara demokratik melalui pengundian dan boleh dilucutkan jawatan bila-bila masa dengan cara pengundian juga.

Komun Paris telah menjadi inspirasi kepada golongan revolusioner sosialis selepasnya untuk membina demokrasi sosialis melalui proses revolusi yang hebat, seperti Revolusi Rusia 1917, Revolusi Jerman 1918-19, Revolusi China, Revolusi Sepanyol 1936 dan sebagainya. Namun, usaha revolusi untuk sosialisme yang bersifat pembebasan memang bukannya satu tugasan yang mudah, malah menghadapi pelbagai ancaman, sama ada serangan hebat daripada kuasa imperialis kapitalis dari luar ataupun revolusi balas oleh golongan reaksioner dari dalam ataupun kemerosotan pada model sosialis itu sendiri kerana faktor-faktor seperti kemunculan kekuasaan birokratik yang mengatasi demokrasi sosialis.

Beberapa ciri asas yang penting yang harus ditunjukkan oleh sebuah pemerintahan proletar atau negara pekerja ialah:

  • Sejenis negara yang mula layu selepas dilahirkan;
  • Sebuah negara yang mampu membangunkan ekonomi di samping mengamalkan dasar pengagihan kekayaan yang sama rata untuk mewujudkan syarat-syarat bagi peralihan sosialis;
  • Rakyat mengawal dan mengurus secara langsung aktiviti masyarakat dalam pelbagai aspek (seperti telekomunikasi, kesihatan, pengangkutan awam, pendidikan, kebudayaan dan sebagainya);
  • Kuasa pemerintahan oleh massa kelas pekerja diamalkan secara langsung melalui majlis pekerja yang demokratik;
  • Memperluaskan sistem demokrasi langsung;
  • Mengehadkan pendapatan semua penjawat awam, pendapatan untuk pegawai tertinggi juga perlu dihadkan pada tahap yang sama dengan pekerja mahir, dengan bertujuannya untuk menghapuskan fahaman bahawa seseorang boleh menjadi kaya melalui sistem penjawat awam;
  • Rakyat berhak untuk menubuhkan pelbagai organisasi politik dan parti politik, termasuk organisasi pembangkang yang mengkritik kerajaan secara ikhlasnya;
  • Memansuhkan tentera dan badan-badan penindas; rakyat mempertahankan keselamatan masyarakat secara bersama;
  • Hakim dipilih secara pengundian oleh rakyat. Semua perbicaraan diadakan secara terbuka.

Teori Gramsci mengenai negara kapitalis

Antonio Gramsci (1891-1937), seorang tokoh revolusioner Marxis di Itali, telah mengembangkan teorinya yang tersendiri tentang negara. Gramsci tidak menganggap negara itu hanya sebagai kerajaan yang memerintah, tetapi lebih daripada itu. Gramsci juga mengaitkan teori hegemoni dengan konsep negara kapitalis yang dibangunkannya. 

Antonio Gramsci

Gramsci mendapati daripada pemerhatiannya bahawa negara kapitalis yang maju di Dunia Barat mempunyai masyarakat sivil yang agak stabil, dan masyarakat sivil inilah yang membentuk asas kukuh kepada negara kapitalis moden.

Dalam teori yang dibawa oleh Gramsci, negara boleh dibahagikan kepada dua komponen yang sering saling bertindih:

  • Masyarakat politik
  • Masyarakat sivil

Masyarakat politik terdiri daripada institusi-institusi awam, seperti polis, tentera, sistem kehakiman, jabatan kerajaan dan sebagainya. Semua instrumen ini berada dalam arena penguasaan melalui institusi politik dan undang-undang. Ini adalah sejajar dengan konsepsi asal Marxis tentang negara.

Masyarakat sivil terdiri daripada keluarga, sekolah, kesatuan sekerja, gereja, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya. Mengikut Gramsci (dalam penulisannya The Prison Notebooks, yang ditulis semasa beliau dipenjarakan), “masyarakat sivil juga ialah ‘negara’, malah bukan begitu sahaja, masyarakat sivil betul-betul membentuk negara.”

Dalam negara kaptalis, pemerintahan secara paksaan, perlukan masyarakat sivil yang bersetuju dengan pemerintahan sebegini, untuk melengkapkannya sebagai negara. Penggabungan masyarakat politik dengan masyarakat sivil, merupakan pencantuman paksaan dengan persetujuan. Masyarakat politik ialah aspek negara yang berasaskan paksaan, manakala masyarakat sivil ialah aspek negara yang berfungsi berasaskan persetujuan.

Aktiviti masyarakat sivil tiadanya “sekatan”, juga tiadanya “kewajipan” yang dipaksakan ke atas seseorang individu, tetapi menghasilkan pengaruh secara kolektif ke atas rakyat jelata dalam tabiat, cara pemikiran, tingkah laku, moral dan sebagainya. Masyarakat sivil membentuk ideologi, budaya pemikiran, tabiat moral yang diperlukan untuk pemerintahan, sehingga berguna untuk pemerintahan yang sedia ada, di samping mencapai kesan yang ingin dikecapi oleh jentera negara melalui paksaan.

Di bawah sistem kapitalis moden, kelas kapitalis dapat mengekalkan penguasaan ekonomi dengan membenarkan tuntutan tertentu daripada kesatuan sekerja dan parti politik massa dalam masyarakat sivil itu ditunaikan oleh kerajaan (masyarakat politik). Oleh itu, kelas kapitalis terlibat dalam “revolusi pasif” dengan melangkaui kepentingan ekonomi langsungnya (atau jangka masa pendek) dan membenarkan bentuk hegemoninya untuk berubah. Taktik-taktik untuk melakukan revolusi pasif adalah seiring untuk menukar masyarakat secara beransur-ansur dan secara organik supaya memenuhi kehendak kelas pemerintah. “Perubahan organik” ialah perubahan yang kelihatan seolah-olah bermula secara sendiri dan semulajadi dalam evolusi masyarakat. Gerakan seperti reformisme dan fasisme, begitu juga dengan “pengurusan saintifik” (yang diperkenalkan oleh Frederick Taylor dan Henry Ford), masing-masing merupakan revolusi pasif yang dimulakan oleh kelas borjuasi.

Mengikut Gramsci, pada peringkat awal perkembangan negara, masyarakat sivil masih belum terbentuk, kelas pemerintah mengekalkan pemerintahan melalui paksaan politik, maka hanya wujudnya masyarakat politik. Pada peringkat kedua dalam perkembangan negara, pelbagai organisasi masyarakat sivil muncul dan membangun menjadi struktur yang kompleks, menjadi sebahagian yang penting dalam negara moden. Pencantuman masyarakat politik dan masyarakat sivil membentuk “negara yang sempurna”. Pada peringkat terakhir perkembangan negara – negara menjadi layu: masyarakat politik hilang, masyarakat sivil yang serba lengkap akan menggantikannya.

Apabila sesebuah masyarakat didirikan sepenuhnya berasaskan persetujuan rakyat, tidak perlu lagi sebarang paksaan, maka juga tidak perlu lagi jentera politik. Tiadanya masyarakat politik, maka tiada lagi negara. Gramsci menganggap masyarakat sivil pada masa hadapan (apabila negara sudah hilang) sebagai masyarakat beretika yang berasaskan prinsip moral dan budaya bersama.

Ideologi dan hegemoni

“Idea-idea kelas pemerintah ialah idea-idea yang memerintah pada setiap zaman. Ini bermakna bahawa kelas yang merupakan kuasa kebendaan yang memerintah masyarakat, pada masa yang sama juga merupakan kuasa intelek yang memerintah. Kelas yang menguasai sumber-sumber pengeluaran kebendaan, pada masa yang sama juga menguasai sumber-sumber pengeluaran minda. Dengan itu, secara umumnya, idea-idea mereka yang tidak memiliki sumber-sumber pengeluaran minda adalah tertakluk di bawah idea-idea kelas pemerintah.” – Karl Marx, The German Ideology (1845)

Dalam teori Gramsci di mana negara ialah pencantuman antara masyarakat politik dengan masyarakat sivil, iaitu penggabungan paksaan dengan persetujuan, negara moden diperkukuhkan dengan berasaskan persetujuan rakyat. Namun, memandangkan negara itu ialah jentera pemerintahan dan penindasan kelas, bagaimana pula rakyat biasa boleh bersetuju dengan pemerintahan dan penindasan sebegini? Inilah persoalan pokok yang cuba dirungkai oleh Gramsci dalam teorinya mengenai hegemoni.

Dalam penulisan Gramsci, konsep “hegemoni” mempunyai dua makna:

  • Secara umumnya, hegemoni termasuk dominasi kekuasaan kelas pemerintah ke atas pemerintahan politik dan pengaruh ideologi;
  • Secara khususnya, hegemoni ialah dominasi oleh kelas pemerintah dalam ideologi (termasuk aspek-aspek budaya, moral, mental, intelek dan kerohanian) yang dikenakan ke atas kelas yang diperintah.

Gramsci lebih kerap menggunakan konsep takrifan khusus tentang hegemoni. Teori Gramsci menekankan bahawa jentera negara (masyarakat politik) hanyalah salah satu institusi dalam masyarakat yang membantu dalam mengekalkan hegemoni kelas pemerintah. Kekuasaan negara disokong oleh dominasi ideologi daripada masyarakat sivil.

Melalui organisasi-organisasi dalam masyarakat sivil seperti kesatuan sekerja, sekolah, gereja dan lain-lain lagi, dengan menggunakan budaya, agama, pendidikan dan lain-lain lagi sebagai medium, kelas pemerintah melakukan bimbingan dari segi intelek dan moral, sehingga kelas yang diperintah menerima pandangan dunia kelas pemerintah, dan bersetuju dengan konsep nilai atau ideologi kelas pemerintah. Dalam erti kata lain, hegemoni bermakna bahawa kelas pemerintah menguasai kelas yang diperintah dengan cara menguasai ideologi. Kelas pemerintah menguasai hegemoni ideologi dan budaya, maka menguasai masyarakat sivil.

Politik ialah hubungan antara orang yang memimpin dengan orang yang dipimpin. Kepimpinan negara (pemerintah) bukan sahaja bergantung pada kekerasan untuk memaksa golongan yang dipimpin (diperintah) supaya patuh pada pemerintahan, tetapi juga bergantung pada cara pendidikan, bimbingan dan suntikan pemikiran supaya golongan yang dipimpin bersetuju dengan kepimpinan mereka. Apabila sesuatu kelas pemerintah kehilangan hegemoni ideologi, negara akan berada dalam keadaan krisis yang serius.

Ideologi ialah sejenis realiti sejarah, dan merupakan bahagian organik dalam seluruh struktur masyarakat, bukannya konspirasi sebilangan kecil golongan pemerintah. Kelas borjuasi tidak memerintah dengan semata-mata menggunakan penipuan secara sengaja. Pada kebiasaannya, kelas borjuasi bergantung pada hegemoni ideologinya untuk mendapatkan persetujuan rakyat, supaya mengekalkan pemerintahannya. Ini sebenarnya mendedahkan secara mendalam lagi sifat penipuan dalam sistem pemerintahan kapitalis, yang menutupi sifat sebenar pemerintahan kelas borjuasi yang minoriti ke atas rakyat yang majoriti.

Ralph Miliband pula berpandangan bahawa hegemoni itu bukan sekadar ideologi, tetapi sejenis fenomena yang berasal daripada kelebihan kelas pemerintah dari aspek ekonomi dan sosial. Hegemoni direalisasikan secara bersama oleh negara dan rakyat. Proses negara menjadi sah adalah melalui pengaruh daripada parti politik, agama, nasionalisme, sektor perindustrian, media massa dan pendidikan.

Golongan intelek organik

Gramsci juga menumpukan perhatiannya kepada kedudukan dan peranan golongan intelek atau cendekiawan. Menurut Gramsci, golongan intelek tidak wujud sebagai satu kelas yang berasingan dan bebas. Setiap kelas sosial mempunyai lapisan golongan inteleknya sendiri.

Golongan intelek mempunyai fungsi secara khusus dalam membimbing, mendidik dan mengorganisasi masyarakat, maka golongan ini merupakan pengelola dan pembimbing untuk pemerintahan sesuatu kelas.

“Golongan Intelek juga ialah ‘aktivis’ superstruktur… Golongan intelek ialah ‘jurukemas’ untuk golongan pemerintah, mereka digunakan untuk mencapai fungsi supaya patuh kepada kepimpinan masyarakat dan tugasan pengurusan politik.” – Gramsci, The Prison Notebooks

Sebagai “jurukemas” atau “pengurus” untuk kelas pemerintah, golongan intelek mempunyai fungsi dalam dua aspek:

  • Melaksanakan hegemoni ideologi. Menggunakan pandangan dunia dan nilai hidup kelas pemerintah untuk “membimbing” rakyat, memastikan rakyat bersetuju dengan kedudukan dan kesahan kelas pemerintah, serta bersetuju dengan sistem masyarakat yang sedia ada.
  • Menjalankan fungsi pengurusan politik negara yang bersifat paksaan. Apabila hegemoni negara mengalami krisis, iaitu persetujuan rakyat terhadap pemerintah semakin bergoyang, maka perlu untuk memperketatkan pemerintahan secara langsung, dengan menggunakan jentera negara yang bersifat keganasan untuk menjalankan pengurusan politik.

Jika mana-mana kelas hendak mendapatkan kuasa pemerintahan negara dan mengekalkan kuasa pemerintahan negara, maka perlu mewujudkan golongan intelek kelas itu sendiri.

Semua kelas sosial yang terbentuk daripada asas ekonomi pengeluaran, pada masa yang sama juga mewujudkan secara organik satu atau beberapa lapisan golongan intelek. Lapisan sebegini membolehkan ilmu bukan sahaja memainkan peranan dalam ekonomi, tetapi juga mempunyai peranan yang serupa dan berkesedaran dalam bidang politik masyarakat.

Dalam proses setiap kelas mengambil alih kedudukan pemerintahan, perlunya mengasimilasikan dan menewaskan golongan intelek daripada kelas yang lama, membentuk golongan “intelek organik” yang tersendiri dan berkhidmat untuk kelas yang baharu itu.

Bagi Gramsci, revolusi bukan sahaja perlu merampas kuasa pemerintahan negara (iaitu menguasai masyarakat politik), malah perlu juga pada masa yang sama mendapatkan hegemoni secara ideologi untuk memimpin masyarakat sivil. Kelas yang revolusioner perlu menguasai hegemoni budaya sebelum dapat merampas kuasa pemerintahan negara. Proses menguasai hegemoni ideologikal merupakan revolusi ideologi, satu revolusi subjektif.

Menguasai hegemoni masyarakat sivil merupakan sejenis “perang kedudukan” (war of position) yang memakan masa yang panjang. Dalam “perang kedudukan”, gerakan revolusioner berusaha untuk meningkatkan sokongan rakyat biasa terhadap pandangan politik yang dibawanya melalui pemujukan, pendidikan politik atau propaganda. Dengan adanya sokongan yang mencukupi terhadap idea-idea revolusioner, barulah gerakan revolusioner mempunyai kekuatan yang mantap untuk menggantikan susunan masyarakat yang lama, sama ada secara kekerasan ataupun secara demokratik.

Idea Gramsci mengenai pemerintahan proletar

Kerangka idea Gramsci tentang negara pemerintahan proletar yang baharu adalah berasaskan model “Jawantankuasa Kilang”, satu bentuk organisasi pekerja yang wujud dalam kilang yang diambil alih oleh pekerja-pekerja yang bermogok di Milan dan Turin ketika kemuncak kebangkitan kelas pekerja Itali pada tahun 1919-1920 yang dikenali sebagai Biennio Rosso (Dua Tahun yang Merah).

Perhimpunan pekerja di kilang Fiat, Turin, Itali, pada tahun 1920.

Itali mengalami krisis ekonomi yang mendalam sejurus selepas tamatnya Perang Dunia I. Tambahan pula dengan pengaruh Revolusi Oktober di Rusia, tercetusnya gelombang mogok pekerja di Itali pada tahun 1919 dan 1920. Di Turin, Gramsci terlibat dalam gerakan pekerja bermogok yang mengambil alih kilang dan menubuhkan “Jawatankuasa Kilang”. Jawatankuasa Kilang dibentuk oleh ahli-ahli yang dipilih oleh setiap bahagian operasi dalam setiap kilang. Ahli jawatankuasa boleh ditukar bila-bila masa melalui pengundian. Peranan asal Jawatankuasa Kilang tersebut adalah mewujudkan pemantauan dan mekanisme membuat keputusan dalam kilang yang diambil alih oleh pekerja, kemudiannya bertukar menjadi badan yang memimpin pekerja dalam perjuangan menentang kelas kapitalis.

Gramsci menganggap Jawatankuasa Kilang sebagai prototaip negara baharu – negara pekerja. Jawatankuasa Kilang berperanan sebagai:

  • Badan kekuasaan kelas pekerja. Pekerja dapat mengawal dan menguruskan pengeluaran secara sendiri.
  • Demokrasi sejati untuk kelas pekerja. Melalui bentuk organisasi yang berasaskan wakil yang dipilih oleh setiap kilang, setiap kumpulan kecil dan setiap orang pekerja. Wakil yang dipilih boleh ditukar bila-bila masa melalui pengundian juga. Pengeluar (pekerja) dapat menguasai Jawatankuasa Kilang secara langsung.
  • Sekolah latihan untuk kelas pekerja. Pengeluar (pekerja) menjadi subjek proses pengeluaran, lantaran itu, menjadi subjek sejarah.

Jentera negara yang ideologikal

Louis Althusser (1918-1990), seorang ahli falsafah Marxis di Perancis yang merupakan tokoh terkenal dalam bidang falsafah Marxisme Struktural, telah membangunkan teori negara yang tersendiri, berasaskan teori-teori yang dibawa oleh Karl Marx, Friedrich Engels, Antonio Gramsci, Sigmund Freud dan Jacques Lacan. Freud dan Lacan merupakan tokoh dalam bidang psikoanalisis, manakala Marx, Engels dan Gramsci merupakan tokoh dalam bidang teori Marxis. Walaupun Althusser tidak membincangkan persoalan negara keseluruhan secara sistematik, namun beliau melontarkan teori “Jentera Negara yang Ideologikal” (Ideological State Apparatus, ISA) yang mempunyai pengaruh yang penting dalam teori Marxis mengenai negara. Seperti teori negara yang dibawa oleh golongan Marxis Barat yang lain, Althusser menekankan pada peranan yang dimainkan oleh faktor ideologi dalam negara.

Dalam masyarakat kapitalis, sejenis pembentukan masyarakat diperlukan untuk mewujudkan pengeluaran semula tenaga buruh, syarat-syarat pengeluaran dan hubungan pengeluaran yang berterusan. Pengwujudan hubungan pengeluaran kapitalis dipastikan dengan kewujudan sistem kerja upah yang membayar jumlah upah yang minimum kepada pekerja, supaya mereka datang bekerja setiap hari, dan dengan itu mengehadkan mobiliti mereka menaiki tangga kelas. Pengwujudan syarat-syarat pengeluaran dan hubungan pengeluaran berlaku melalui jentera negara, iaitu komplot yang tersembuyi dan berbahaya, yang dikawal oleh ideologi kelas kapitalis yang memerintah, dalam konteks pertentangan kelas, di mana jentera negara digunakan untuk mengekang, menindas, mengeksploitasi dan menundukkan kelas yang diperintah.

Dalam teori Marx, pembentukan masyarakat kelas itu terdiri daripada dua aspek: (i) infrastruktur yang asas, iaitu asas ekonomi; dan (ii) superstruktur yang berdiri di atas asas ekonomi itu. Superstruktur pula terdiri daripada dua tingkat, iaitu:

  • Undang-undang (negara)
  • Ideologi

Althusser melanjutkan paradigma topografi ini dengan menyatakan bahawa asas ekonomi yang bersifat infrastruktur itu adalah disokong oleh “indeks keberkesanan” yang membolehkannya untuk menentukan fungsi superstruktur.

Althusser telah meneliti metafora struktur ini dengan mengkaji superstruktur secara terperinci. Menurut Althusser, kajian terhadap superstruktur secara teliti diperlukan kerana autonominya yang relatif terhadap asas dan saling bertindak balas ke atas asas ekonomi.

Mengikut Althusser, negara ialah jentera yang bersifat menindas (represif), yang digunakan oleh kelas pemerintah sebagai alat untuk menindas dan menguasai kelas pekerja. Jentera Negara yang Represif (Repressive State Apparatus, RSA) terdiri daripada ketua negara, kerajaan pemerintah, polis, mahkamah, tentera dan sebagainya. Fungsi asas RSA adalah untuk mencampurtangan dan mengambil tindakan yang berpihak kepada kelas pemerintah, dengan menindas kelas yang diperintah secara keras dan paksaan. RSA dikuasai dan dikawal oleh kelas pemerintah. Althusser membawa teori Marxis mengenai negara lebih ke depan lagi dengan membezakan Jentera Negara yang Represif (RSA) dengan Jentera Negara yang Ideologikal (ISA).

Jentera Negara yang Ideologikal merupakan perkara yang lebih rumit berbanding RSA. Ia merupakan sesuatu yang wujud secara nyata seperti RSA, dan menjadi sebahagian yang penting dalam jentera negara.

“Dalam setiap masyarakat, walaupun bentuk luarannya yang kadang-kadang sangat berbeza, tetapi wujudnya sejenis aktiviti ekonomi sebagai asas, sejenis organisasi politik, dan bentuk-bentuk yang ‘ideologikal’ (agama, etika, falsafah dan sebagainya). Jadi, ideologi seolah-olah bahagian organik untuk setiap keseluruhan masyarakat. Ini seolah-olah masyarakat manusia tidak akan hidup tanpa pembentukan khusus ini, sistem perwakilan (pada pelbagai peringkat) ini, iaitu ideologi mereka.” Louis Althusser, Marxism and Humanism (1964)

Louis Althusser

Bagi Althusser, tanpa ideologi, masyarakat manusia tidak akan terus wujud.

“Ideologi pada dasarnya bukan sejenis bentuk kesedaran, tetapi adalah satu objek dalam ‘dunia’ manusia, merupakan dunia manusia itu sendiri.” – Louis Althusser, Marxism and Humanism (1964)

Jentera Negara yang Ideologikal terdiri daripada pelbagai institusi dan realiti masyarakat yang menyebarkan ideologi kelas pemerintah. Jenis-jenis Jentera Negara yang Ideologikal ini termasuklah:

  • Jentera Negara yang Ideologikal Agama (pelbagai sistem gereja / institusi keagamaan);
  • Jentera Negara yang Ideologikal Pendidikan (pelbagai sistem sekolah awam dan swasta);
  • Jentera Negara yang Ideologikal Keluarga;
  • Jentera Negara yang Ideologikal Undang-undang;
  • Jentera Negara yang Ideologikal Politik (sistem politik yang terdiri daripada parti-parti politik berlainan)
  • Jentera Negara yang Ideologikal Kesatuan Sekerja
  • Jentera Negara yang Ideologikal Maklumat (terdiri daripada penerbitan, stesen TV, radio, internet dan sebagainya)
  • Jentera Negara yang Ideologikal Budaya (kesusasteraan, seni, sukan dan sebagainya)

Jentera Negara yang Represif (RSA) berada dalam domain awam, manakala hampir semua Jentera Negara yang Ideologikal (ISA) berada dalam domain peribadi atau swasta. Selagi institusi swasta itu menjalankan fungsi negara, maka ia boleh dianggap sebagai jentera negara.

Perbezaan RSA dengan ISA adalah:

  • RSA berfungsi sebagai satu entiti yang bersatu (satu keseluruhan yang teratur), manakala ISA adalah pelbagai, berbeza dan “bebas secara relatif”. Walau bagaimanapun, apa yang menyatukan ISA-ISA yang berbeza ini adalah kesemuanya dikuasai oleh ideologi kelas pemerintah.
  • Sifat penyatuan RSA dijamin oleh organisasi yang memusatkan kuasa, manakala sifat penyatuan ISA dijamin oleh ideologi yang dominan.
  • RSA melaksanakan fungsinya dengan menggunakan cara-cara penindasan, kekerasan dan keganasan, manakala ISA menjalankan fungsinya secara ideologi. Fungsi ISA adalah tersembuyi dan secara simbolik.

Apabila terdapatnya individu-individu dan kumpulan masyarakat yang mengancam susunan masyarakat yang dominan, negara akan akan menggunakan RSA untuk melenyapkan ancaman tersebut. Langkah-langkah paling lembut yang diambil oleh RSA adalah melalui sistem undang-undang dan mahkamah, di mana bahasa yang dianggap sebagai autoriti awam digunakan untuk mengawal kelakuan perseorangan dan masyarakat. Sekiranya ancaman terhadap susunan masyarakat yang dominan itu semakin meningkat, negara akan semakin cenderung menggunakan langkah-langkah fizikal dan kekerasan sebagai respon, termasuklah pengerahan pasukan polis, pemenjaraan dan pada akhirnya campurtangan ketenteraan.

Berbeza dengan RSA, ISA tidak digunakan untuk melenyapkan penentangan terhadap sistem pemerintahan dan mengekalkan sususan masyarakat kelas melalui cara-cara penindasan yang keras, sebaliknya ISA mengukuhkan pemerintahan kelas yang dominan melalui ideologi. Dengan adanya ISA, rakyat bukannya takut pada pendakwaan dalam mahkamah atau keganasan, tetapi takut pada cemuhan atau ejekan masyarakat.

Althusser menegaskan bahawa sesuatu kelas tidak mungkin memegang pada kuasa negara sekiranya tidak menggunakan hegemoninya ke atas ISA. Peranan ISA dalam bentuk masyarakat yang berbeza adalah sama, iaitu melaksanakan fungsi negara secara ideologi, dan memastikan pengeluaran semula hubungan pengeluaran.

Setiap jenis ISA memastikan pengeluaran semula hubungan pengeluaran kapitalis dengan cara tersendiri. Misalnya:

  • ISA Politik memastikan setiap orang akur dan turut pada ideologi “demokrasi” melalui parlimen dan pilihanraya.
  • ISA Maklumat menyebarkan fahaman nasionalis, chauvinis, liberal, moral dan sebagainya melalui penerbitan bahan-bahan percetakan, siaran televisyen, internet dan sebagainya.

Dalam masyarakat kapitalis moden, sekolah (sebagai ISA Pendidikan) telah menggantikan gereja (ISA Agama) sebagai bentuk ISA yang paling penting dalam mengekalkan susunan masyarakat kapitalis. Dalam masyarakat kapitalis, peningkatan dalam pengeluaran semula hubungan pengeluaran (iaitu hubungan eksploitatif dalam sistem kapitalis) berlaku dengan melatih pelajar sebagai tenaga kerja yang produktif untuk bekerja di bawah ejen-ejen eksploitasi kapitalis. ISA Pendidikan yang memainkan peranan penting dalam ekonomi kapitalis, menyembunyi dan menopengi ideologi kelas pemerintah di sebalik kualiti yang kelihatan bersifat pembebasan, supaya agenda tersembunyinya tidak disedari.

Althusser memperkenalkan istilah “interpelasi” (interpellation) untuk menerangkan proses di mana ideologi membentuk seseorang individu itu sebagai subjek. Institusi sosial dan ideologikal yang utama (keluarga, institusi agama, sistem pendidikan, dan juga wacana yang disebarkan oleh institusi-institusi ini) “memuji” seseorang individu itu dalam interaksi sosial, memberikannya identitinya tersendiri, membentuk identiti subjek individu tersebut. Althusser membandingkan ideologi dengan polis menjerit “hei kau di sana!” terhadap seorang yang sedang berjalan melalui sisinya. Apabila terdengar jeritan itu, orang itu memusing kepalanya ke arah polis itu dan dengan dia berbuat demikian, orang itu menjadi satu subjek. Orang itu sedar bahawa dia ialah subjek yang dipanggil itu dan sedar tentang orang yang lain itu. Oleh itu, bagi Althusser, menyedari kehadiran orang lain yang berteriak padanya itu adalah satu bentuk ideologi. Daripada itu, Althusser menganggap subjektiviti itu ialah sejenis ideologi.

Kebebasan palsu dalam negara kapitalis

Herbert Marcuse (1898-1979), seorang ahli falsafah daripada aliran teori kritikal “Sekolah Frankfurt”, pernah mengajukan pandangan bahawa negara kapitalis moden juga merupakan sejenis negara totalitarian, di mana ia merupakan peringkat baharu pemusatan kuasa ekonomi dan kuasa politik.

Herbert Marcuse menyampaikan kuliah di Universiti Bebas Berlin (FU), Berlin Barat, pada tahun 1967 (foto: Jung/ullstein bild via Getty Images)

Menurut Marcuse, terdapat dua jenis manifestasi totalitarianisme, iaitu:

  • Fasisme: Bergantung pada keganasan, memerintah dan mengawal masyarakat secara ganas melalui politik kuku besi;
  • Totalitarianisme baharu: Tidak bergantung pada keganasan, sebaliknya mencapai pemerintahan totalitarian melalui budaya dan ideologi.

Negara kapitalis moden menggunakan bentuk kawalan psikologi yang lebih halus secara dalaman, untuk menggantikan pemerintahan keganasan yang bersifat menindas secara luaran. Ekonomi, teknologi, kebudayaan, pendidikan dan kehidupan, mempunyai fungsi menyebarkan ideologi kelas kapitalis, menjadikan ideologi sejenis kuasa politik yang kuat, memainkan peranan pemerintahan politik, “menghapuskan” pertentangan kelas, mengasimilasikan massa rakyat, serta menyebabkan massa rakyat menjadi “orang satu-dimensi” yang kehilangan sifat revolusioner, kritikan dan penafian, maka membentuk “masyarakat satu-dimensi”.

Kemajuan teknologi turut menjadi sejenis syarat untuk kelas pemerintah mengekalkan pemerintahannya. Teknologi itu sendiri juga menjadi sejenis pemerintahan yang berkesan.

Kelas pemerintah, melalui pelbagai jenis media penyebaran, menceroboh ke dalam setiap ruang masa lapang orang ramai, mengindoktrinasi orang ramai dengan pelbagai kesedaran palsu yang memuji dan mengekalkan sistem masyarakat sedia ada, menyebabkan orang ramai menerima sistem masyarakat sekarang ini secara tidak sedar. Ini merupakan cara negara kapitalis melakukan perhambaan secara menyeluruh terhadap manusia, berselindung di sebalik “kebebasan” dan “demokrasi”.

“Faktor penentu untuk tahap kebebasan manusia, bukannya lingkungan yang boleh dipilih oleh individu, tetapi adalah individu dapat memilih apa dan pilihan yang sebenar itu apa… Memilih tuan hamba secara bebas tidak menyebabkan tuan hamba dan hamba itu hilang.” – Herbert Marcuse, One-Dimensional Man (1964)

“Kestabilan” kapitalisme dikekalkan melalui keganasan dan ideologi

Friedrich Engels (1820-1895), seorang tokoh revolusioner sosialis dan pemikir Marxis yang terawal, pernah menyifatkan negara terdiri daripada sekumpulan orang bersenjata yang dilengkapkan dengan segala jenis institusi paksaan. Golongan Marxis selepasnya membangunkan analisis yang lebih terperinci dan mendalam lagi mengenai negara.

Berbeza dengan konsep negara yang dibawa oleh golongan intelek liberal yang menganggap bahawa negara ialah sejenis “kontrak” atau “konvensyen” yang kononnya dihasilkan daripada penglibatan seluruh anggota masyarakat, golongan Marxis telah mendedahkan sifat sebenar negara sebagai produk sekumpulan kecil orang melakukan paksaan dan keganasan terhadap orang lain. Negara ialah penjelmaan atau manifestasi pemerintahan masyarakat kelas yang penuh dengan pemaksaan, penindasan dan keganasan.

Negara kapitalis moden memainkan peranan untuk mengekalkan “kestabilan” masyarakat kelas yang membolehkan eksploitasi oleh kelas kapitalis terhadap kelas pekerja itu dapat diteruskan. Seperti bentuk negara sebelumnya, negara kapitalis moden tidak teragak-agak menggunakan segala jentera keganasannya untuk menindas sesiapa yang menggugat “kestabilan” masyarakat kapitalis, termasuk melakukan pengawasan yang ketat, pemukulan secara keras, penahanan sewenang-wenang, pendakwaan undang-undang, pemenjaraan, malah sanggup melancarkan perang apabila kapitalisme terjerumus dalam krisis yang mendalam.

Selain keganasan yang jelas dinampak, negara kapitalis moden pada kebanyakan masanya mengekalkan “kestabilan” dengan cara yang jauh lebih halus, iaitu melalui ideologi. Penguasaan terhadap ideologi oleh kelas kapitalis dan golongan intelek yang berkhidmat untuknya, telah menanam pelbagai kesedaran palsu yang menghalang kebangkitan kuasa kelas pekerja, seperti rasa “kesyukuran” terhadap golongan pemerintah, ilusi tentang mobiliti sosial, kesetiaan pada golongan berkuasa, semangat patriotik yang membuta tuli, “penerimaan” terhadap realiti dunia yang penuh ketidakadilan, perasaan tidak berdaya untuk mengubah realiti masyarakat, sentimen perkauman, xenofobia dan sebagainya. Kesedaran “palsu” ini boleh mengalihkan perhatian rakyat bawahan daripada masalah pokok yang sebenar dalam masyarakat, iaitu pertentangan kelas yang ketara, dan menyebabkan massa rakyat yang tertindas kehilangan semangat untuk berjuang demi mengubah sistem yang sedia ada.

(Tangkap layar filem The Matrix)

Pernahkah anda menonton filem “The Matrix”? Yanis Varoufakis, seorang ahli ekonomi Greece yang berhaluan kiri, pernah berkata, “Filem The Matrix, bukannya sebuah filem fiksyen sains yang futuristik, tetapi ia ialah dokumentari tentang dunia yang kita hidup dalamnya.” Dalam filem itu, Matrix itu boleh disamakan dengan penguasaan negara kapitalis ke atas ideologi yang mengekalkan kesedaran rakyat biasa pada tahap yang seolah-olah dia hidup bebas, tetapi sebenarnya hanya merupakan bateri yang membekalkan tenaga kepada sistem mesin itu berfungsi. Ini seolah-olah metafora kepada masyarakat kapitalis di mana pekerja dieksploitasi titisan peluhnya dan ditindas teruk, tetapi dijadikan lali oleh media massa dan juga segala ideologi kelas pemerintah yang wujud di sekelilingnya.

Negara, ideologi dan pembebasan masyarakat

“Hanya dalam masyarakat komunis, apabila penentangan daripada kelas kapitalis ditewaskan sepenuhnya, apabila kapitalis sudah hilang, apabila kelas tidak wujud lagi (iaitu tiada lagi perbezaan antara setiap anggota masyarakat dalam hubungan dengan sumber-sumber pengeluaran masyarakat), hanya pada masa sebegitu, ‘barulah negara akan hilang, dan barulah dapat bercakap tentang kebebasan’. Hanya pada masa itu, demokrasi yang benar-benar lengkap dan tiada apa-apa pengecualian akan berkemungkinan dan boleh direalisasikan. Hanya pada masa itu, demokrasi akan mula layu. Sebabnya mudah, iaitu dengan membebaskan diri daripada penghambaan kapitalis, daripada kengerian, kekejaman, kekarutan dan penghinaan akibat pemerasan kapitalis, rakyat akan beransur-ansur menjadi biasa dengan menghormati peraturan asas hubungan sosial yang diketahui untuk berzaman-zaman. Mereka akan menjadi biasa untuk menghormati semua ini tanpa kekerasan, tanpa paksaan, tanpa subordinasi, tanpa alat khas untuk paksaan yang dipanggil negara.” – Lenin, The State and Revolution (1917)

(foto: Asanka Brendon Ratnayake/Anadolu)

Bagi golongan sosialis yang bertekad untuk memperjuangkan pembebasan masyarakat, persoalan mengenai kuasa negara memang merupakan perkara penting yang tidak dapat dielakkan. Pengambilalihan kuasa negara oleh kelas pekerja, sama ada melalui perjuangan revolusioner yang hebat ataupun pilihanraya demokratik jika mungkin berlaku, merupakan sebahagian yang penting dalam seluruh proses pembentukan keadaan untuk peralihan ke arah masyarakat sosialis yang berlandasan prinsip kebebasan, kesamarataan, persaudaraan dan kesejahteraan bersama.

Namun, perjuangan untuk mengambilalih kuasa negara itu bukannya sekadar melalui mobilisasi massa (sama ada berprotes di jalanan atau penglibatan dalam pilihanraya), tetapi juga harus berusaha untuk membina kesedaran kelas dalam kalangan rakyat bawahan demi memenangi hegemoni ideologikal yang membolehkan perubahan yang diperjuangkan itu dapat bertahan dan berterusan. Tanpa kesedaran kelas dalam kalangan massa revolusioner yang mampu memecahkan dominasi ideologi kelas pemerintah lama, adalah sukar malah tidak mungkin untuk sebarang revolusi bertahan lama dan kekal pada landasan pembebasannya tidak kira betapa hebatnya revolusi itu.

Sekurang-kurang wujudnya 3 jenis arus pemikiran atau ideologi yang utama dalam setiap masyarakat kelas, iaitu:

  • Ideologi yang mencerminkan kepentingan kelas pemerintah pada zaman itu: Ideologi ini merupakan ideologi yang mendominasi dalam masyarakat semasa.
  • Ideologi kelas pemerintah lama: Walaupun kelas pemerintah lama sudah lama ditewaskan dan kehilangan kuasa pemerintahan, tetapi ia masih mempunyai pengaruh terhadap masyarakat. Keadaan ini wujud kerana kesinambungan dalam kesedaran masyarakat umum, di mana perubahan pada kesedaran belum lagi sempat mengejar pembangunan material yang sebenar dalam masyarakat.
  • Ideologi kelas revolusioner yang baharu: Kelas revolusioner ini sedang bangkit. Walaupun ia masih ditekan di bawah kekuasaan kelas pemerintah yang sedia ada, tetapi sudah memulakan perjuangan untuk pembebasannya dan perubahan masyarakat. Sebelum kelas revolusioner baharu ini dapat membebaskan diri daripada penindasan oleh kelas pemerintah, ia perlu membebaskan mindanya (atau sekurang-kurangnya sebahagian daripada mindanya) daripada dominasi ideologi kelas yang menindas.

Matlamat perjuangan golongan sosialis dalam masyarakat kapitalis ialah mencipta keadaan yang sesuai untuk pembebasan diri kelas pekerja. Ini melibatkan tugas-tugas politik penting seperti membina kekuatan organisasi kelas pekerja yang mampu menggerakkan perjuangan nyata, dan memupuk pembangunan kesedaran kelas dalam kalangan kelas pekerja untuk membebaskan minda masyarakat yang tertindas daripada dominasi ideologi kelas kapitalis. Pembangunan organisasi perjuangan dan kesedaran kelas memerlukan penglibatan massa rakyat secara langsung dalam perjuangan kelas, dari melawan ketidakadilan yang dihadapi dalam kehidupan harian dan menuntut pembaharuan untuk memperbaiki hidup sehinggalah usaha gigih untuk menentukan nasib sendiri melalui perubahan politik yang lebih besar.

2 thoughts on “Teori Marxis mengenai negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *