Apabila pengeluaran komoditi (iaitu barangan dihasilkan untuk dijual bagi mendapatkan nilai tukarnya) menjadi sesuatu perkara yang rutin dan biasa dalam masyarakat kapitalis, maka wujudnya satu fenomena yang dipangggil pengasingan atau alienasi (alienation).

Pengasingan merupakan satu konsep penting yang digunakan oleh Karl Marx untuk menerangkan buruh upah (wage labour) dalam sistem kapitalis.

Pengasingan membawa maksud benda yang dicipta oleh manusia (sebagai subjek) telah terpisah daripada pencipta (manusia) itu sendiri, bukan lagi tidak dikawal oleh manusia, tetapi bertukar menjadi kuasa asing yang bertentangan dengan manusia, menguasai dan menghambakan manusia.

Pengasingan terjadi kerana wujudnya masyarakat yang dipisahkan mengikut strata kelas sosial. Pengasingan seseorang itu daripada dirinya menyebabkannya dipisahkan daripada sifat kemanusiaannya, dan menjadi hanya salah satu bahagian mekanikal dalam masyarakat kelas.

Dalam masyarakat kapitalis, pekerja mencipta/menghasilkan kekayaan, tetapi kekayaan yang dicipta oleh pekerja itu telah diambil dan dimiliki oleh kapitalis. Pekerja dikuasai oleh kapitalis. Oleh yang demikian, buruh pekerja dan kekayaan yang diciptanya telah menjadi kuasa asing yang bertentangan dengan pekerja dan memerintah pekerja itu. Inilah yang dimaksudkan oleh Marx sebagai “pengasingan buruh”.

Dalam proses pengeluaran industri di bawah sistem kapitalis, pekerja telah hilang kawalannya ke atas kerjanya sendiri, maka hilang kawalannya ke atas kehidupan dan dirinya sendiri. Pekerja itu bukannya lagi seorang manusia yang bebas dan wujud secara sendiri, malah dia hanya wujud mengikut bentuk yang dikehendaki oleh sistem kapitalis dan kelas kapitalis yang mendominasi masyarakat kapitalis.

Pengasingan buruh di bawah sistem kapitalis boleh dibahagikan kepada 4 kategori:

  1. Pengasingan antara pekerja dengan produk buruhnya.
  2. Pengasingan antara pekerja dengan kegiatan buruh itu sendiri.
  3. Pengasingan antara pekerja dengan identitinya sebagai seorang pengeluar (intipati-spesis).
  4. Pengasingan antara pekerja dengan pekerja yang lain.

Pengasingan antara pekerja dengan produk buruhnya: Hasil barangan yang dikeluarkan oleh pekerja itu dipisahkan daripada pengawalan pekerja itu sendiri, dan menjadi “musuh” kepada pekerja.

  • Rekaan produk dan bagaimana produk itu dihasilkan tidak ditentukan oleh pengeluar sebenar (pekerja) ataupun oleh pengguna produk tersebut, tetapi oleh kelas kapitalis. Kelas kapitalis bukan sahaja menguasai buruh manual pekerja (membeli tenaga kerja melalui upah), tetapi juga menguasai jurutera dan pereka industri yang mencipta produk itu, supaya dapat membentuk citarasa pengguna untuk membeli barangan dan perkhidmatan itu dengan niat memaksimumkan keuntungan.
  • Barangan dihasilkan untuk keuntungan kapitalis, bukannya untuk penggunaan pekerja itu sendiri.
  • Barangan yang dihasilkan oleh pekerja itu dimiliki sepenuhnya oleh kapitalis, bukannya pekerja.
  • Segala keuntungan yang dijana oleh produk hasilan pekerja itu dinikmati sepenuhnya oleh kapitalis, bukannya pekerja.
  • Malah, lebih teruk lagi, pekerja boleh disabit kesalahan mencuri jika membawa produk yang dihasilkannya pulang ke rumah dari kilang tanpa kebenaran tuan punya kilang.

Pengasingan antara pekerja dengan kegiatan buruh itu sendiri: Aktiviti buruh atau kerja menjadi sesuatu yang tidak bermakna untuk pekerja, tidak membawa apa-apa kepuasan kepada pekerja.

  • Dalam Mod Pengeluaran Kapitalis, penghasilan produk itu dicapai melalui proses dengan urutan yang berasingan, berulang-ulang, dan tiada kesudahannya. Pekerja tidak akan merasai apa-apa makna dalam kerjanya.
  • Tenaga buruh hanya merupakan komoditi yang dijualbeli dan dibayar dengan upah (nilai tukar).
  • Pembahagian buruh dalam mod pengeluaran kapitalis, menyekat sifat manusia seseorang pekerja itu, iaitu kebolehan manusia untuk menentukan tujuan produk yang dihasilkan.
  • Sifat manusia dalam pekerja itu hanya dipenuhi apabila dia mengawal “subjek buruh” (iaitu dirinya sendiri). Sistem kapitalis menafikan hak pekerja itu untuk menguasai nilai dan hasil buruhnya, maka merompak kebolehan pekerja untuk membeli (menggunakan) barangan dihasilnya atau menerima nilai penuh daripada penjualan produk.
  • Pengasingan pekerja daripada kegiatan pengeluaran menyebabkan pekerja kehilangan kepakarannya dalam sesuatu jenis buruh produktif.
  • Di bawah sistem pengeluaran industri moden, hubungan sosial sistem kapitalis menuruntarafkan peranan pekerja kepada hanya sebagai suatu alatan atau objek, maka tidak dapat mengaplikasi setiap aspek sifat manusianya secara produktif.

Pengasingan antara pekerja dengan idenditinya sebagai seorang pengeluar: Sifat manusia pekerja diputarbelitkan menjadi hanya bahagian mekanikal dalam sistem pengeluaran industri.

  • “Intipati-spesis” (Gattungswesen dalam Bahasa Jerman) merupakan sifat manusia yang sebati dengan aktiviti hidupnya sebagai seorang pekerja, maka intipati-spesis juga mengandungi segala potensi seseorang itu sebagai manusia. Setiap manusia mempunyai keinginan dan kecenderungan untuk melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan yang mendorong survival manusia secara bersama dan juga mewujudkan kesejahteraan kerohanian. Seseorang insan itu mempunyai nilai psikik yang membolehkannya untuk memahami matlamat tindakannya sebagai idea-idea yang berguna/berhalatuju, bukannya pelaksanaan sesuatu idea atau arahan yang diberikan secara paksaan (sama ada secara sedar atau tidak sedar).
  • Dalam masyarakat kelas seperti kapitalisme, kelas pemerintah memiliki dan mengawal cara-cara pengeluaran, manakala kelas yang diperintah diperah tenaga kerjanya untuk menghasilkan keuntungan ekonomi sebanyak mungkin bagi kelas pemerintah.
  • Sifat kemanusiaan pekerja disekat dalam pembahagian kerja di bawah sistem kapitalis, menjadikan pekerja itu hanya salah satu bahagian mekanikal yang hilang kebolehannya untuk menentukan nilai dirinya melalui kegiatan yang bermakna.
  • Lebih-lebih lagi, penggunaan jentera secara menyeluruh dan automasi sistem pengeluaran industri membolehkan kelas kapitalis yang berkuasa itu memeras kelas pekerja dengan lebih hebat lagi, sehingga pekerja langsung tidak dapat lagi mengerti makna kewujudannya.
  • Pekerja bekerja hanya untuk dapatkan gaji yang sekadar mencukupi untuk menyara hidupnya, dan tidak lagi ada apa-apa semangat dan imaginasinya sebagai seorang pengeluar.

Pengasingan antara pekerja dengan pekerja yang lain: Kapitalisme menjadikan buruh itu komoditi yang boleh dijual dengan sesuatu harga tertentu di pasaran, bukannya lagi hubungan sosial sesama manusia (kegiatan sosio-ekonomi yang membina yang menjadi sebahagian daripada usaha bersama secara kolektif antara manusia untuk memastikan survival setiap orang dan kebaikan masyarakat).

  • Dalam ekonomi kapitalis, golongan kapitalis yang memiliki cara-cara pengeluaran mewujudkan pasaran buruh untuk memerah buruh (nilai) sebanyak mungkin daripada pekerja.
  • Penyusunan ekonomi kapitalis terhadap hubungan pengeluaran menimbulkan konflik sesama pekerja. Pekerja-pekerja dilagakan sesama sendiri dalam persaingan untuk dapatkan kerja, “gaji yang lebih tinggi” dan “naik pangkat”, sehingga mengasingkan diri mereka daripada kepentingan ekonomi bersama antara pekerja-pekerja.
  • Pekerja bermusuhan sesama sendiri.
  • Ini mengakibatkan kesan wujudnya kesedaran palsu di kalangan pekerja, iaitu satu bentuk kawalan ideologi yang dikenakan oleh kelas pemerintah (kapitalis) ke atas kelas yang diperintah (pekerja).

Dalam masyarakat tanpa kelas yang wujud sebelum ini, iaitu pada zaman primitif, kebanyakan aktiviti kreativiti seperti kesenian, muzik, lukisan, ukiran dan tarian, adalah berkaitan rapat dengan kegiatan buruh dan pengeluaran. Manusia sebagai pengeluar ingin menjadikan barangan hasilannya kelihatan lebih menarik bagi dirinya, keluarganya, saudara-maranya dan rakan-rakannya. Daya kreativiti adalah sebati secara organik dalam proses pengeluaran. Namun, Pembahagian kerja yang menghasilkan perbezaan kelas sosial, menyebabkan kreativiti, aktiviti estetik dan ilham seni tidak lagi dijumpai dalam perbuatan pengeluaran (seperti yang kita jumpai dalam masyarakat primitif, melalui penemuan artifak arkeologi yang menggambarkan kegiatan buruh/pengeluaran dalam bentuk lukisan/kesenian), malah menjadi hakmilik eksklusif kelas pemerintah (atau artis yang bergantungan pada kelas pemerintah). Ini khususnya dalam masyarakat kapitalis, daya penciptaan/kreativiti pekerja (sebagai seorang manusia) dalam perbuatan pengeluaran sosial telah digantikan dengan kerja-kerja mekanikal yang berulang-ulang tanpa makna sebenar untuk pekerja.

Dalam keadaan masyarakat tanpa kelas, manusia tidak mengganggap buruh itu sesuatu kewajipan yang dipaksa dari luar, kerana kegiatan buruh dalam keadaan sebegitu adalah amat berbeza dengan buruh di bawah sistem kapitalis hari ini (di mana kegiatan buruh itu adalah begitu intensif sehingga meletihkan pekerja). Buruh dalam masyarakat tanpa kelas (seperti pada zaman primitif atau masyarakat orang asal di banyak tempat), adalah lebih harmoni dengan fisiologi manusia dan adunan irama alam semulajadi. Pengeluar, barangan dan penggunaan barangan yang dihasilkan itu adalah sebati, kerana pengeluar menghasilkan barangan untuk kegunaan dirinya sendiri ataupun saudara-maranya, maka dia dapat melihat kesan langsung kerjanya.

Pengasingan buruh yang wujud pada zaman moden, terjadi kerana adanya satu jurang antara pengeluar dengan barangan hasilannya. Jurang ini disebabkan dua faktor: i. pembahagian kerja; ii. pengeluaran komoditi. Dalam erti kata lain, pengasingan, adalah kesan yang timbul akibat daripada kerja itu dilakukan untuk pasaran dan pengguna yang tidak dikenali, bukannya untuk penggunaan terus oleh pengeluar itu sendiri.

Walau bagaimanapun, jika sesuatu masyarakat hanya menghasilkan nilai guna sahaja (seperti dalam masyarakat primitif), iaitu hanya mengeluarkan barangan yang digunakan secara terus oleh pengeluar itu, masyarakat sebegini selalunya merupakan satu masyarakat yang serba kekurangan dari segi kebendaan. Masyarakat sebegitu bukan sahaja lemah dan rapuh apabila menghadapi ancaman alam sekitar, malah perlu menghadkan keinginan manusia dalam satu lingkungan yang sempit, kerana keinginan dan kehendak manusia itu perlu bersesuaian dengan tahap pengeluaran barangannya yang serba kekurangan dan terhad. Keinginan manusia bukan semuanya semula jadi. Antara keinginan dan pengeluaran, antara perkembangan daya pengeluaran dan kemunculan keinginan yang baru, wujudnya saling tindakbalas atau interaksi dialektik yang berterusan. Perkembangan keinginan manusia yang berterusan, kemajuan dan penonjolan potensi yang tiada batas, sehinggalah penyempurnaan sifat manusia itu secara harmoni dan lengkap, hanya boleh tercapai apabila masyarakat berada pada tahap di mana perkembangan daya pengeluaran buruh itu sampai ke kemuncak dan mempunyai kepelbagaian barangan yang tiada had untuk kehidupan manusia.

Oleh yang demikian, masyarakat tanpa kelas yang diperjuangkan oleh golongan sosialis, bukannya kembali kepada masyarakat primitif, tetapi masyarakat dengan pengagihan kekayaan secara samarata yang didirikan atas asas daya pengeluaran buruh yang telah berkembang pesat dalam masyarakat kapitalis (tetapi pekerja disekat kemanusiaan dan potensi untuk terus berkembang).

Dalam konsep Marxis, perjuangan kelas yang menukar sistem kapitalis kepada sosialis itu merupakan satu proses revolusi yang mengubah hubungan pekerja dengan sumber-sumber pengeluaran secara fundamental, menjadikan hubungan sosial ini sesuatu yang samarata dan tidak lagi berkonflik, kerana tiada lagi perbezaan secara buatan manusia dalam nilai buruh seseorang pekerja. Di bawah sebuah masyarakat tanpa kelas, kemanusiaan pekerja itu akan dipulihkan dan dihormati, dan setiap insan tidak lagi diasingkan.

Pengagihan hasil buruh (kekayaan masyarakat) secara langsung dan adil untuk setiap orang pekerja, yang memanfaatkan kepentingan setiap anggota masyarakat, akan mewujudkan keadaan di mana tiada lagi pengasingan ke atas buruh masyarakat. Pemulihan sifat kemanusiaan pekerja dalam keadaan sebegini akan membolehkan setiap manusia dapat mengembangkan potensi kemanusiaannya secara bebas dan menentukan nasib sendiri (secara kolektif) tanpa sebarang pemaksaan.

3 thoughts on “Pengasingan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *