Apa itu Kapitalisme?
- Kapitalisme ialah sistem sosio-ekonomi yang disusun berkisar pada keuntungan golongan kapitalis.
- Kelas kapitalis atau korporat memiliki hampir semua benda, dan mengupah pekerja untuk menghasilkan barangan yang bertujuan untuk dijual supaya menjana keuntungan yang mengkayakan segolongan kecil kapitalis.
- Sistem ekonomi kapitalis adalah berasaskan pemilikan persendirian (private ownership) oleh golongan kapitalis terhadap sumber-sumber pengeluaran.
Sumber-sumber pengeluaran dalam ekonomi adalah termasuk modal, tanah, bahan mentah, kilang, mesin, peralatan untuk pengeluaran barangan, tenaga buruh dan sebagainya.
Modal ialah wang yang dilaburkan untuk mendapatkan lebih banyak wang.
- Ekonomi kapitalis melibatkan pengeluaran komoditi secara besar-besaran dan berleluasa.
Komoditi ialah barangan atau perkhidmatan yang dihasilkan untuk tujuan jual beli.
- Logik asas yang menggerakkan sistem ekonomi kapitalisme ialah pengumpulan modal yang berterusan.
Pengumpulan modal dilakukan melalui proses menukarkan keuntungan kepada modal yang dilaburkan dalam pengeluaran yang bermotifkan keuntungan dan pengeluaran semula hubungan pengeluaran kapitalis.
- Untuk memastikan modal dapat dikumpulkan secara berterusan, golongan kapitalis atau syarikat korporat yang melaburkan modal perlu memaksimumkan keuntungan.
- Semua aspek dalam kehidupan manusia ditukar menjadi komoditi yang boleh dijual beli. Fenomena ini dikenali sebagai komodifikasi.
- Tenaga buruh juga dijadikan komoditi yang boleh dijual beli dalam ekonomi kapitalis dan wujudnya pasaran untuk tenaga buruh.
- Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh persaingan. Tanpa persaingan, tiadanya masyarakat kapitalis. Persaingan dalam masyarakat kapitalis merupakan persaigan antara golongan kapitalis untuk mengumpul modal sebanyak mungkin dengan memaksimumkan keuntungan. Golongan kapitalis sanggup melakukan apa-apa sahaja demi mengaut keuntungan terbanyak yang terus mengekalkan kedudukannya dalam susunan ekonomi kapitalis dan menumpaskan pesaingnya. Persaingan antara kapitalis dalam pasaran bebas akhirnya akan menyebabkan modal semakin tertumpu dalam tangan segelintir kapitalis yang mempunyai “daya saing” yang lebih hebat. Daya saing di sini bermakna kemampuan seseorang kapitalis itu memaksimumkan keuntungannya dengan menjual barangannya dengan harga lebih murah. Kapitalis hanya boleh berbuat demikian dengan meningkatkan tahap eksploitasinya terhadap pekerja. Penumpuan dan pemusatan modal mewujudkan monopoli.
- Dalam sistem ekonomi kapitalis, golongan kapitalis yang menguasai modal membuat keputusan ekonomi (seperti barangan apa yang patut dihasilkan, bagaimana barangan dihasilkan, berapa banyak barangan yang dihasilkan, dan sebagainya) tanpa perlu bertanggungjawab kepada masyarakat umum, sebaliknya hanya berasaskan pertimbangan untuk memaksimumkan keuntungan.
- Negara kapitalis berfungsi untuk memperkukuhkan dan melindungi kepentingan golongan kapitalis dan elit kelas pemerintah.
- Sistem pendidikan, media arus perdana dan pengiklankan telah mempengaruhi minda masyarakat untuk membentuk ideologi yang bersesuaian dengan kepentingan golongan pemerintah dalam sistem kapitalis, seperti budaya konsumeris dan berpandangan tiada alternatif kepada sistem kapitalis. Ideologi yang menguasai minda rakyat memastikan sistem ekonomi kapitalis terus berfungsi dan menggalakkan mod penggunaan yang terus membeli komoditi dalam pasaran.
Masyarakat kapitalis merupakan masyarakat kelas
- Kelas ialah kumpulan masyarakat yang dibezakan mengikut kedudukan mereka dalam hubungan pengeluaran-pengagihan kekayaan sesuatu masyarakat.
- Kelas ialah sejenis hubungan masyarakat yang berdasarkan eksploitasi atau pemerasan. Apabila sekumpulan orang menguasai buruh sekumpulan orang yang lain (dan mengekstrak buruh secara paksaan) untuk menjana kekayaan diri mereka, maka berlakunya eksploitasi.
- Semua masyarakat kelas mempunyai kelas yang memerintah dan kelas yang diperintah.
- Kelas yang memerintah dalam masyarakat kapitalis ialah kelas kapitalis. Kelas kapitalis ialah golongan masyarakat yang menguasai sumber-sumber pengeluaran dan berupaya membeli tenaga kerja daripada orang lain.
- Kelas yang diperintah dalam masyarakat kapitalis ialah kelas pekerja. Kelas pekerja ialah golongan masyarakat yang tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran. Mereka terpaksa menjual tenaga kerja mereka sendiri kepada kelas kapitalis.
- Kelas menengah ialah golongan masyarakat yang menduduki satu kedudukan yang bercanggahan dalam masyarakat kelas. Kelas menengah mempunyai sifat kedua-dua kelas kapitalis dan kelas pekerja.
– Pekedai atau peniaga kecil mempunyai sesetengah sifat yang sama dengan kapitalis, kerana mereka memiliki sumber pengeluaran; tetapi mereka juga mempunyai sesetengah sifat yang sama dengan pekerja, kerana mereka juga perlu terlibat secara aktif dalam kerja-kerja yang memerlukan tenaga manusia di kedai.
– Penyelia atau pengurus yang berpangkat sederhana mempunyai sesetengah kuasa yang dimiliki kapitalis, kerana mereka boleh memberi arahan kepada pekerja; tetapi mereka juga sama dengan pekerja, tidak mempunyai kuasa kawalan yang sebenar ke atas keputusan pelaburan syarikat.
- Oleh sebab masyarakat kapitalis ialah sejenis masyarakat kelas, maka percanggahan dan pertentangan kelas sentiasa wujud.
Apa masalah dengan kapitalisme ini?
- Walaupun sistem ekonomi kapitalis menjana kekayaan masyarakat yang hebat berbanding dengan sistem ekonomi sebelumnya, tetapi pemusatan kekayaan dalam tangan segelintir kecil kelas kapitalis dan eksploitasi yang berterusan ke atas sumber bumi, mendatangkan kesan-kesan buruk yang memudaratkan masyarakat manusia.
- Kapitalisme mengutamakan pengeluaran nilai komoditi untuk tujuan pengumpulan modal, bukannya keperluan manusia.
- Kapitalisme membiak kemiskinan, ketidakadilan sosial, peperangan, politik perkauman, pengasingan masyarakat, kehancuran alam sekitar dan banyak lagi krisis masyarakat yang memangsakan rakyat bawahan.
- Oleh sebab mod pengeluaran kapitalis digerakkan oleh motif pengumpulan modal yang berterusan, kapitalis perindustrian perlu sentiasa melaburkan semula keuntungannya dalam pengeluaran komoditi. Proses sebegini akan menyebabkan eksploitasi yang berterusan terhadap tenaga kerja dan sumber alam semulajadi.
- Eksploitasi terhadap tenaga kerja ialah pengambilan hasil buruh surplus yang dikeluarkan oleh golongan pekerja tanpa dibayar pampasan yang sepatutnya.
- Eksploitasi terhadap sumber alam semulajadi menjejaskan keseimbangan ekologi bumi, menghauskan sumber semulajadi dan membawa pencemaran kepada alam sekitar.
- Sistem pengeluaran ekonomi kapitalis mewujudkan alienasi (pengasingan) terhadap tenaga buruh. Dalam proses pengeluaran barangan dalam masyarakat, golongan pekerja mencipta dan menghasilkan kekayaan, tetapi kekayaan yang dicipta oleh pekerja itu telah diambil dan dimiliki oleh golongan kapitalis. Kelas pekerja dikuasai oleh kelas kapitalis. Oleh yang demikian, barangan yang dicipta oleh manusia, tenaga buruh yang ditaburkan pekerja dan kegiatan perburuhan menjadi kuasa asing yang bertentangan dengan pekerja, memisahkan dirinya daripada sifat kemanusiaannya, dan menyebabkan pekerja itu menjadi hanya salah satu bahagian mekanikal dalam masyarakat kelas. Alienasi menyebabkan pekerja itu bukannya lagi seorang manusia yang bebas, malah hanya wujud mengikut bentuk yang diingini oleh sistem kapitalis dan kelas kapitalis yang mendominasi masyarakat kapitalis.
- Penumpuan dan pemusatan kekayaan masyarakat dalam tangan kelas kapitalis, menyebabkan jurang kekayaan semakin melebar antara kelas yang memerintah (mengeksploitasi) dengan kelas yang diperintah (dieksploitasi).
- Pengeluaran barangan yang berlebihan untuk tujuan memaksimumkan keuntungan membawa kepada pembaziran sumber-sumber bumi.
- Persaingan kelas kapitalis untuk menguasai sumber pengeluaran, tenaga buruh dan pasaran, mengakibatkan ancaman peperangan atau konflik keganasan kepada masyarakat sedunia.
- Dengan pasaran kapitalis mempengaruhi semakin banyak bidang aktiviti manusia dan aspek kehidupan masyarakat (yang mendatangkan komodifikasi terhadap kesihatan, pendidikan, penjagaan kanak-kanak, penjagaan warga tua dan sebagainya), perlindungan hak asasi rakyat untuk hidup sejahtera turut dihakis.
- Kelas pemerintah dalam masyarakat kapitalis sentiasa cuba mematahkan sebarang alternatif yang mencabar kekuasaan kapitalis dengan cara yang anti-demokratik dan ganas.
Krisis ekonomi kapitalis
- Aktiviti ekonomi kapitalis untuk memaksimumkan keuntungan mewujudkan kecenderungan berikut:
- Pengeluaran berlebihan (kerana golongan pemodal berlumba-lumba untuk mengeluarkan sebanyak mungkin barangan untuk menewaskan pesaing mereka dan memaksimumkan keuntungan)
- Permintaan yang tidak cukup (kerana gaji pekerja yang juga merupakan sebahagian besar pengguna dalam masyarakat ditekankan pada kadar yang rendah untuk membolehkan golongan kapitalis meningkatkan keuntungan)
- Pengumpulan modal yang berlebihan
Kecenderungan ini menimbulkan krisis ekonomi.
- Krisis ekonomi kapitalis bukan disebabkan oleh kekurangan, tetapi berlebihan.
- Krisis kapitalis sentiasa berlaku dan berulang-ulang dalam kitaran ekonomi. Setiap kali krisis berlaku akan menjadi lebih serius berbanding sebelumnya, dan kelas pekerja yang selalunya dimangsakan untuk menyelamatkan sistem kapitalis apabila terjadi krisis ekonomi.
Imperialisme dan kolonialisme
- Kapitalisme merupakan sistem ekonomi yang mempunyai sifat perluasan paling hebat dalam sejarah, kerana ia sentiasa perlu mencari sumber pengeluaran baru yang dapat dieksploitasi dengan kos yang paling rendah dan pasaran baru yang dapat menjual barangan keluarannya.
- Perluasan ekonomi kapitalis berkaitan rapat dengan fenomena yang dikenali sebagai imperialisme.
- Imperialisme merupakan peringkat sejarah kapitalisme yang wujud kerana keperluan ekonomi kapitalis untuk memperluaskan pelaburan, perolehan bahan mentah dan tenaga manusia dengan apa jua cara pun, termasuklah melalui cara paksaan yang ganas.
- Imperialisme ialah kapitalisme pada peringkat monopoli dan bersifat parasitik.
- Pengeksportan modal dari negara-negara kapitalis yang maju yang dilaburkan di negara-negara atau wilayah-wilayah yang belum wujudnya kapitalisme monopoli, memerlukan penguasaan sepenuhnya kuasa-kuasa besar ke atas negara-negara atau wilayah-wilayah tersebut untuk memastikan keuntungan pelaburan itu dapat terjamin. Oleh itu, wujudnya penjajahan.
- Penjajahan atau kolonialisme ialah amalan penguasaan oleh negara-negara kapitalis maju atau negara-negara imperialis ke atas negara-negara atau wilayah-wilayah yang kurang membangun dari segi ekonomi kapitalis.
- Penjajahan pada peringkat awal perkembangan sistem kapitalis global melibatkan penaklukan secara ketenteraan, pendudukan secara paksa ke atas tanah jajahan, perhambaan atau perburuhan secara paksa, pelaksanaan sistem politik yang menjamin kekuasaan golongan penjajah dan pembentukan sistem sosio-ekonomi yang memastikan kepentingan kapitalis monopoli dijamin. Tanah jajahan dibahagikan sesama diri antara kuasa-kuasa imperialis.
- Imperialisme melakukan pembahagian kerja di peringkat global, untuk memastikan negara-negara kurang membangun terus menjadi sumber kepada bahan mentah dan tenaga kerja yang murah serta dapat terus diperah surplus ekonomi untuk golongan kapitalis di negara-negara kapitalis yang maju.
- Persaingan antara kuasa imperialis boleh membawa kepada ancaman peperangan yang berterusan.
- Walaupun penjajahan secara langsung oleh kuasa besar ke atas negara kurang membangun telah berkurangan berikutan gelombang gerakan pembebasan nasional pasca Perang Dunia II, namun imperialisme mengambil bentuk baru. Kuasa-kuasa besar imperialis masih terus mendominasi dan menekan negara-negara kurang maju dengan sistem perdagangan dunia yang tidak adil. Negara-negara kurang membangun dipaksa untuk menandatangani pelbagai perjanjian perdagangan bebas untuk “membuka pintu” kepada syarikat gergasi transnasional yang bersifat eksploitatif.
- Imperialisme dan kolonialisme baru diteruskan dalam cara pembahagian kerja di bawah sistem ekonomi global, yang menyebabkan negara-negara yang kurang membangun terus bergantung pada negara-negara maju melalui peraturan-peraturan dan sistem perdagangan yang ditetapkan untuk menjamin kepentingan pemodal-pemodal besar di peringkat antarabangsa.
Apakah alternatif kepada kapitalisme?
- Kita perlukan alternatif yang mampu mengatasi kapitalisme, supaya
– Mengagihkan semula kekayaan masyarakat untuk membolehkan semua anggota masyarakat menikmati hasil usaha bersama seluruh manusia dan tiada lagi sekumpulan kecil orang yang menguasai sebahagian besar kekayaan;
– Mengembalikan fungsi asal ekonomi, iaitu ekonomi berfungsi untuk memenuhi keperluan manusia dan memastikan kesejahteraan hidup masyarakat, bukannya keuntungan korporat;
– Menghentikan eksploitasi terhadap tenaga buruh dan alam sekitar;
– Membolehkan semua orang dan bumi kita bebas daripada alienasi;
– Mewujudkan keadilan sosial yang merentasi batasan kaum, agama, budaya, gender, orientasi seksual, umur, keupayaan dan sebagainya;
– Membina sebuah masyarakat tanpa kelas, iaitu sebuah masyarakat yang bebas daripada sebarang bentuk eksploitasi dan penindasan.
- Sosialisme merupakan alternatif kepada kapitalisme.
- Sosialisme adalah pemikiran tentang penyusunan masyarakat yang berasaskan kerjasama secara bebas sesama manusia dan pengagihan kekayaan masyarakat secara samarata.
Ciri-ciri asas masyarakat sosialisme:
i. Sumber pengeluaran masyarakat dan hasil pengeluaran masyarakat dimiliki secara bersama dan dikongsi oleh semua anggota masyarakat. (Pemilikan awam atau pemilikan kolektif ke atas kekayaan masyarakat).
ii. Ekonomi masyarakat (iaitu pengeluaran dan pengagihan barangan) dirancang dan diurus secara demokratik, iaitu melibatkan penyertaan seluruh anggota masyarakat (termasuk pekerja yang merupakan pengeluar dan pengguna) dalam membuat keputusan tentang bagaimana mengagihkan kekayaan masyarakat.
iii. Pengagihan (semula) kekayaan bertujuan untuk memenuhi keperluan semua rakyat dalam masyarakat, bukannya untuk keuntungan korporat.
iv. Setiap orang manusia adalah benar-benar bebas, iaitu bebas daripada sebarang bentuk pemerasan, penindasan dan pemaksaan.
v. Keharmonian antara masyarakat manusia dan alam sekitar dicapai. Tiada lagi pembaziran sumber alam.
vi. Semua manusia adalah samarata dari segi status ekonomi dalam masyarakat. Tidak wujud lagi kelas sosial yang membeza-bezakan manusia berdasarkan kekayaan yang dimilikinya.
vii. Setiap manusia dapat menyertai sepenuhnya dalam proses membuat keputusan tentang bagaimana menguruskan masyarakat kita secara bersama dengan anggota masyarakat yang lain.
- Masyarakat Sosialisme boleh diungkapkan dengan ringkasnya sebagai “daripada sesiapa mengikut keupayaannya, kepada sesiapa mengikut keperluannya”.
- Sistem ekonomi sosialisme akan menjurus kepada penghapusan “buruh upah”. Sistem kapitalisme didirikan atas dasar pekerja yang dibayar upah oleh majikan. Upah atau gaji yang diterima oleh seseorang pekerja, boleh dibahagikan kepada dua bahagian: satu ialah gaji yang dibayar dalam bentuk matawang secara terus oleh majikan sebagai “ganjaran” untuk sumbangan tenaga daripada pekerja; sementara satu bahagian lagi dikenali sebagai “upah sosial”, iaitu upah yang tidak dibayar secara terus kepada pekerja tetapi diberikan dalam bentuk perkhidmatan sosial atau kebajikan sosial (seperti kesihatan, pendidikan, perumahan awam, pengangkutan awam, pencen warga emas, bantuan pengangguran dan sebagainya). Upah sosial dibayar oleh majikan secara tidak langsung kepada masyarakat umum melalui sistem percukaian progresif. Percukaian progresif memastikan sebahagian keuntungan yang diperoleh daripada golongan majikan hasil daripada sumbangan tenaga pekerja dapat disalurkan semula kepada masyarakat, supaya kekayaan masyarakat dapat diagihkan dengan lebih adil dan tidak mewujudkan jurang pendapatan yang semakin melebar. Dalam sebuah masyarakat yang bersifat sosialis, bahagian upah sosial akan semakin besar berbanding upah yang diterima secara langsung. Apabila setiap orang dapat menikmati kesihatan percuma, pendidikan percuma, pengangkutan awam percuma, perumahan awam yang selesa tanpa menanggung beban kewangan dan perkhidmatan sosial lain yang percuma atau tidak memerlukan bayaran yang banyak, maka semakin tidak perlu untuk seseorang pekerja itu dibayar upah secara langsung.
- Dalam masyarakat sosialis, kerja itu bukan lagi untuk seseorang itu mencari pendapatan untuk menampung kehidupannya, tetapi kerja dilakukan atas keperluan untuk memperbaiki kehidupan masyarakat secara bersama. Seseorang pekerja tidak perlu lagi bekerja dengan masa kerja yang panjang, malah mempunyai lebih banyak masa untuk melakukan perkara kegemarannya dan memperkembangkan potensinya yang berkepelbagaian. Potensi setiap manusia akan dapat dibebaskan dan diperkembangkan dalam sebuah masyarakat yang tidak memaksa rakyatnya bekerja untuk menampung kehidupan.
- Sosialisme adalah berasaskan prinsip persaudaraan dan permuafakatan antara manusia, semangat kekitaan, serta keadilan sejagat.
- Sosialisme melibatkan pemberdayaan sosial, iaitu proses penglibatan masyarakat umum secara aktif dalam menentukan pengagihan kekayaan dan bagaimana masyarakat kita patut diuruskan.
- Sosialisme menentang kapitalisme, bukan disebabkan kebencian terhadap seseorang kapitalis, tetapi oleh kerana analisis terhadap sistem kapitalis yang mendapati kepincangannya yang amat serius dan tiada cara lain selain mewujudkan alternatif baru yang bersifat pembebasan.
- Perjuangan sosialis adalah perjuangan untuk pembebasan diri kelas pekerja dan rakyat marhaen. Matlamat perjuangan sosialis adalah pembebasan masyarakat dan kesamarataan sejagat.
Bagaimana kita dapat mengatasi kapitalisme?
“Ahli falsafah hanya mentafsirkan dunia dengan pelbagai cara, apa yang perlu adalah mengubahnya.” – Karl Marx, 1845, Theses On Feuerbach
- Sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme, hanya dapat diwujudkan melalui perjuangan rakyat berterusan yang membawa perubahan secara total kepada masyarakat. Dalam erti kata lain, Sosialisme dibina melalui REVOLUSI.
- Revolusi Sosialis itu satu proses.
– Proses rakyat tertindas membebaskan diri daripada belenggu pemerasan dan rantai penindasan melalui perjuangan.
– Proses mewujudkan kesedaran tentang punca permasalahan masyarakat, sifat sistem masyarakat dan kebolehan rakyat untuk mengubah nasib sendiri melalui organisasi dari bawah.
– Proses membina sebuah masyarakat baru yang menegakkan nilai-nilai kebebasan, demokrasi, kesamarataan, keadilan, kemanusiaan, keamanan, keharmonian dengan alam sekitar, solidariti dan persaudaraan sesama manusia.
- Selain faktor objektif yang dapat mencetuskan kebangkitan massa untuk melawan ketidakadilan sosial (misalnya krisis ekonomi, krisis politik dan sebagainya), untuk melakukan perubahan yang bermakna kepada masyarakat yang mampu mengatasi kapitalisme, kita perlu memiliki syarat-syarat berikut:
- Kesedaran kelas yang tinggi dalam kalangan rakyat
- Gerakan massa
- Organisasi massa
- Organisasi politik yang progresif
- Program politik yang progresif
- Kesedaran rakyat atau kesedaran kelas hanya dapat diwujudkan melalui:
– Pendidikan politik yang berterusan.
– Pendedahan kepada analisis kelas tentang masyarakat dan idea-idea yang baru.
– Pengalaman melibatkan diri dalam perjuangan.
– Penglibatan dalam perbincangan dan proses membuat keputusan secara demokratik untuk membawa perjuangan ke depan.
- Gerakan massa rakyat adalah penting dalam membawa perubahan masyarakat. Hanya gerakan massa yang disertai oleh sektor-sektor masyarakat dan kelas tertindas secara meluas dapat membentuk kekuatan yang mencukupi untuk membawa perubahan.
- Organisasi massa yang dibentuk secara demokratik amat penting untuk membawa gerakan massa. Organisasi massa yang demokratik membolehkan penglibatan rakyat biasa dalam proses mengorganisasi, berbincang secara bersama, membuat keputusan secara kolektif dan menggerakkan perjuangan.
Kesatuan sekerja merupakan organisasi massa pekerja yang berfungsi untuk memperjuangkan hak dan kepentingan pekerja, melalui tindakan kolektif seperti mogok kerja dan juga sebagai wakil pihak pekerja dalam perundingan kolektif dengan majikan. Kesatuan sekerja berperanan untuk memperjuangkan tuntutan pekerja seperti kenaikan gaji, pengurangan masa kerja, penambahbaikan keadaan bekerja dan hak-hak pekerja. Namun, kesatuan sekerja menghadapi ancaman untuk berkecenderungan menjadi sebahagian daripada jentera sistem kapitalis untuk meneutralkan perjuangan pekerja, khususnya apabila operasinya menjadi semakin birokratik. Kekuatan sesebuah kesatuan sekerja terletak pada penyertaan pekerja secara demokratik dalam organisasinya.
Gerakan kesatuan sekerja menghadapi cabaran yang hebat sekarang ini dengan perubahan struktur pekerjaan di banyak tempat, seperti semakin ramai orang menjadi pekerja tidak formal atau bekerja dalam sektor ekonomi gig. Walau bagaimanapun, organisasi massa yang disertai pekerja untuk memperjuangkan kepentingan pekerja masih merupakan sesuatu yang mustahak dalam perjuangan kelas pekerja.
- Organisasi politik yang progresif adalah penting untuk membawa analisis yang radikal tentang punca permasalahan masyarakat dan melakar halatuju yang jelas untuk perjuangan.
Parti pekerja atau parti sosialis, merupakan organisasi politik yang bertujuan untuk mengatur perjuangan pekerja secara politik. Parti politik pekerja sepatutnya mempunyai program politik kelas yang jelas dan berperanan untuk membangunkan kesedaran kelas dalam kalangan pekerja serta mengorganisasi pekerja dari bawah. Parti pekerja adalah penting untuk membawa perjuangan ekonomi pekerja ke peringkat perjuangan politik yang bertahap lebih tinggi, iaitu kelas pekerja mengambilalih kuasa pemerintahan daripada kelas kapitalis.
Golongan sosialis mengambilalih kuasa politik bukannya untuk dirinya (atau partinya) jadi kelas pemerintah, tetapi menggunakan segala kuasa yang diperoleh untuk memperkasakan lagi rakyat marhaen supaya rakyat marhaen sendiri yang akan menguasai masyarakat untuk kepentingan bersama rakyat.
- Tugas-tugas parti sosialis:
– Melatih/membina aktivis yang boleh membawa idea-idea politik kiri kepada masyarakat, melakukan kerja-kerja politik (organisasi masyarakat, propaganda politik, penyebaran idea-idea, perjuangan rakyat).
– Sebagai “alat memori” untuk menyimpan dan menyebarkan pengalaman perjuangan massa, pada masa yang sama juga belajar daripada massa.
– Merangka program politik dan visi politik untuk perubahan. Menyampaikan visi dan program politik kepada rakyat umum.
– Menggerakkan perjuangan rakyat.
- Program politik yang progresif boleh menjadi titik pertemuan untuk golongan revolusioner dan panduan untuk halatuju perjuangan rakyat.
- Namun, idea-idea yang dibawa oleh organisasi politik yang progresif TIDAK BOLEH wujudnya secara dogmatik. Idea-idea yang benar-benar radikal atau revolusioner terbentuk melalui:
– Pemahaman tentang teori-teori perjuangan dan analisis masyarakat yang menyeluruh.
– Pengalaman perjuangan yang nyata.
– Perbincangan secara demokratik dan berterusan dalam organisasi/gerakan rakyat (berasaskan teori dan pengalaman perjuangan yang ada).
- Organisasi politik yang revolusioner TIDAK memimpin gerakan perjuangan rakyat secara dari atas (seolah-olah organisasi revolusioner itu memiliki idea yang paling benar dan formula yang paling tepat sehingga semua orang kena ikut secara bulat-bulat), tetapi menjadi pemangkin dan memimpin secara bersama dalam gerakan perjuangan – berbincang, bergerak dan berjuang secara bersama.
- Organisasi politik yang revolusioner TIDAK boleh memaksa orang lain dalam gerakan untuk menerima teori atau program politiknya sebagai sesuatu yang benar dan mutlak, TETAPI hanya boleh menjadi pemudahcara dalam perjuangan, dan mempengaruhi pemahaman gerakan massa tentang bagaimana membawa perjuangan ke depan melalui proses pemujukan, perbincangan dan berganding bahu dalam perjuangan.
- Tiadanya satu model atau formula perjuangan yang dapat diaplikasikan dalam semua keadaan pada setiap masa. Sama ada sesuatu cara perjuangan itu (taktik atau strategi) adalah betul atau tidak, boleh digunapakai atau tidak, berkesan atau tidak, hanya dapat ditentukan melalui praktik cara perjuangan itu dan hasil daripada perjuangan yang berterusan.
- Sosialisme tidak akan jatuh langit secara sendiri, tetapi hanya dapat wujud melalui perjuangan massa rakyat dari bawah untuk pembebasan diri dan keadilan sejagat.
- Dasar yang boleh diambil untuk menangani krisis ekonomi kapitalis masa kini dan mengatasi kapitalisme, termasuk:
– Memilikawamkan segala perkhidmatan awam dan meletakkannya di bawah kawalan demokratik rakyat.
– Memperkukuhkan perlindungan sosial kepada semua.
– Perumahan sosial yang selesa untuk semua.
– Mengenakan kawalan modal, menyekat pengelakan cukai, memperkenalkan cukai kekayaan dan memperkukuhkan percukaian progresif.
– Kerajaan wujudkan pekerjaan melalui pelaburan dalam projek pembangunan infrastruktur awam dan sektor ekonomi penting sementara memastikan alam sekitar dipelihara dengan baik.
– Menyokong usaha pembentukan koperasi pekerja dan menggalakkan pengurusan kendiri pekerja dalam ekonomi.
– Membatalkan hutang yang dipaksakan ke atas negara yang kurang membangun.
– Melaksanakan skim pendapatan asas untuk semua.
– Menghentikan perluasan bidang ketenteraan dan mewujudkan keamanan dunia yang berkekalan.
– Menggalakkan perdagangan berasaskan solidariti.
- Sosialisme hanya dapat diwujudkan melalui proses perjuangan masyarakat kelas pekerja dan rakyat marhaen terbanyak yang berterusan, berpandukan prinsip-prinsip perjuangan yang menegakkan demokrasi, kesamarataan pengagihan kekayaan masyarakat, keadilan sosial, kemanusiaan sejagat dan pembebasan sebenar.
Trimakasih buat yang tulis ini