Perancis ialah musuh ketat kepada England pada Zaman Pertengahan dan Britain pada zaman moden awal. “Perang Seratus Tahun” (1337-1453) antara Perancis dan England berakhir dengan Perancis berjaya menewaskan England, merampas hampir semua wilayah yang dikuasai oleh England di tanah besar Eropah, dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai kuasa besar di benua Eropah. Apabila melangkah masuk ke dalam zaman moden awal, Perancis masih bersaing hebat dengan Britain Raya dengan kedua-duanya berperang sebanyak 5 kali, yang berlangsung selama 42 tahun, dalam tempoh kurang daripada satu abad antara tahun 1688 dan 1783. Medan perang antara Perancis dan Britain bukan sahaja tertumpu di Eropah, malah menular ke Amerika Utara dan subbenua India. Oleh sebab ekonomi British bertumbuh lebih cepat dan pesat berbanding Perancis, di samping kelebihan ketenteraan British terhadap Perancis terutamanya di laut, Perancis telah kehilangan banyak wilayah yang dikuasainya, dan ekonomi negara Perancis juga terjejas.

Perancis di bawah pemerintahan Raja Louis XVI menyokong Revolusi Amerika dengan menyalurkan bantuan ketenteraan secara terbuka mulai tahun 1778. Motif di sebalik sokongan Perancis kepada Revolusi Amerika adalah jelas, iaitu bukannya untuk menyokong gerakan revolusi yang menubuhkan sebuah republik borjuis demokratik, tetapi hanya sekadar untuk melemahkan kekuasaan musuh ketatnya. Perang Revolusi Amerika (1775-1783) berakhir dengan kemenangan golongan Patriot Amerika dan sekutunya Perancis. Namun, kemenangan untuk Perancis dalam Perang Revolusi Amerika dicapai dengan kos kewangan yang tinggi. Kerajaan Perancis mengalami kebankrapan selepas kemenangannya dalam Perang Revolusi Amerika. Usaha pihak pemerintah monarki Perancis untuk menangani masalah kewangannya bakal mengundang kos politik yang lebih tinggi lagi…

Peta Eropah yang menunjukkan sempadan negara pada tahun 1748-1766. (sumber: wikipedia)

Ancien Régime

Pada ketika Perang Revolusi Amerika sedang berlaku di seberang Lautan Atlantik, kebanyakan orang di Eropah tidak pernah terfikir lagi tentang kemungkinan akan tercetusnya satu revolusi yang hebat di Perancis sehingga menggegarkan seluruh benua Eropah. Pada masa itu, sistem pemerintahan monarki sudah wujud lebih 1,000 tahun di negara Perancis, jika kita menganggap negara Perancis itu sudah dibentuk sejak “Kerajaan Frank” pada kurun ke-5 Masihi dan berterusan dengan “Negara Beraja Perancis” (Royaume de France) sejak tahun 987 di bawah pemerintahan tiga buah dinasti (Capet, Valois dan Bourbon). Pemerintahan monarki di Perancis pernah dianggap sebagai sesuatu yang begitu kukuh dan sukar diubah.

Kerabat diraja Bourbon, sebuah cabang daripada Dinasti Capet, mengambil alih kuasa pemerintahan negara Perancis pada tahun 1589 apabila Henri IV dinobatkan sebagai Raja Perancis. Raja Louis XIV daripada Dinasti Bourbon memerintah negara Perancis selama 72 tahun dan 110 hari, dari tahun 1643 hingga 1715, menjadikannya raja yang memerintah sebuah negara berdaulat untuk tempoh masa yang paling panjang dalam sejarah dunia.

Raja Louis XIV (1638-1715), raja yang memerintah sebuah negara berdaulat untuk tempoh masa yang paling panjang dalam sejarah dunia. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada masa yang sama dengan negara England mengalami gelora revolusi sehingga rajanya dipancung kepala, kuasa pemerintahan di negara Perancis telah dipusatkan secara ketaranya ke dalam tangan raja. Perkara ini berlaku semasa pemerintahan Raja Louis XIV yang juga digelar sebagai “Raja Matahari”. Terdapat sebuah cerita yang diragui kebenarannya mengatakan bahawa Raja Louis XIV pernah berkata pada tahun 1655, “Akulah negara!” (L’État, c’est moi!) Sama ada cerita ini benar atau tidak, ia tetap mencerminkan usaha kerabat diraja Bourbon untuk memperkukuhkan pemerintahan monarki berkuasa mutlak.

Istana agung Raja Perancis di Versailles, yang dibina semasa pemerintahan Raja Louis XIV, melambangkan kedudukan sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak yang begitu kukuh, bertahan lama dan sukar dicabar di Perancis. Negara Perancis di bawah pemerintahan pemusatan kuasa dalam tangan Raja Louis XIV itu menjadi kuasa terbesar di Eropah, dan kedudukan dominasi kuasa itu kemudiannya diwarisi oleh Raja Louis XV dan Raja Louis XVI. Pada zaman kemuncak pemerintahan raja berkuasa mutlak di Perancis, barang kali tiada orang dapat menjangkakan bahawa kekuasaan pemerintahan Raja Perancis yang nampaknya begitu kuat dan kukuh itu boleh hancur berkecai dalam tempoh 200 tahun selepas pengambilalihan kuasa pemerintahan oleh Dinasti Bourbon, menjelang musim bunga tahun 1789.

Istana Versailles pada sekitar tahun 1668. (ilustrasi: Pierre Patel)

Sistem politik dan sosioekonomi di Perancis sebelum tahun 1789, terutamanya semasa penghujung zaman Dinasti Valois dan seluruh zaman Dinasti Bourbon, dikenali sebagai Ancien Régime (“Rejim Lama”). Semasa zaman pemerintahan Ancien Régime, semua penduduk di Perancis ialah subjek yang tertakluk di bawah kekuasaan Raja Perancis dan merupakan anggota kepada sesebuah darjat serta sesebuah wilayah di dalam negara itu. Semua status dan hak yang dipegang oleh seseorang rakyat Perancis itu ditentukan oleh kedudukan masyarakatnya yang dibahagikan secara tegar kepada tiga buah darjat: golongan agamawan dalam Gereja Katolik Rom, golongan bangsawan feudal dan golongan rakyat biasa.  

Pada penghujung Zaman Pertengahan, walaupun wilayah-wilayah di dalam negara Perancis diperintah oleh seorang raja yang sama, masyarakat Perancis bukannya sebuah masyarakat yang bersatu sebagai sebuah “bangsa”, kerana tiadanya bahasa pengantara yang digunakan secara meluas oleh penduduk-penduduk dan tiadanya ekonomi pasaran yang menyatukan semua bahagian di negara itu ke dalam sebuah pasaran bersama yang tidak dapat dipisahkan sesama sendiri. Perbezaan bahasa dalam kalangan masyarakat Perancis adalah ketara: bukan sahaja sekadar perbezaan bahasa antara wilayah-wilayah, malah darjat-darjat masyarakat yang berbeza juga bertutur dalam bahasa yang berbeza. Bahasa yang digunakan di istana diraja berbeza dengan bahasa yang digunakan oleh rakyat bawahan di kawasan-kawasan bandar atau perkampungan masing-masing. Oleh itu, belum wujud lagi konsep “bangsa Perancis” dan “kewarganegaraan” pada zaman Ancien Régime.

Peta negara Perancis pada tahun 1477. (sumber: Wikipedia)

Ideologi hak ketuhanan yang menghubungkaitkan kuasa raja dengan Tuhan, digunakan oleh kelas pemerintah diraja Perancis untuk mengekalkan kekuasaan mereka, tetapi bukannya sesuatu yang tidak pernah dicabar. Golongan bangsawan dan tuan tanah feudal yang berkuasa di wilayah masing-masing sentiasa cuba memajukan kepentingan sendiri, maka berkonflik dengan kerabat diraja yang menguasai kerajaan di ibu negara. Oleh itu, salah satu ciri utama yang wujud dalam pemerintahan Ancien Régime ialah usaha untuk memusatkan kuasa dalam tangan istana diraja.

Cubaan pemerintahan Dinasti Valois untuk memusatkan kuasa dalam tangan istana diraja diganggu oleh Perang Agama Perancis yang berlarutan dari tahun 1562 hingga 1598. Perang Agama Perancis ialah siri konflik bersenjata yang berlaku kerana penyebaran fahaman Reformasi Protestan di negara Perancis. Golongan Protestan di Perancis, yang dikenali sebagai Huguenot, mendapat pengaruh daripada fahaman Calvinisme yang diasaskan oleh Jean Calvin (1509-1564), seorang tokoh pembaharu agama Kristian dari Perancis. Pertumbuhan bilangan golongan Huguenot pada tahun 1560-an menimbulkan kerisauan golongan pemerintah diraja Perancis yang merupakan penganut mazhab Katolik Rom, maka kerajaan Perancis menganiayai dan menindas golongan Huguenot secara besar-besaran sehingga mencetuskan Perang Agama Perancis yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 2 juta orang. Perang Agama Perancis ditamatkan dengan kompromi kerajaan Perancis yang membenarkan kebebasan agama bagi golongan Huguenot, melalui “Perintah Nantes” (édit de Nantes) yang dikeluarkan pada tahun 1598.

Raja Louis XVI (1754-1793) (ilustrasi: Antoine-François Callet, 1786)

Selepas Dinasti Bourbon mengambil alih kuasa pemerintahan, golongan pemerintah di istana diraja Perancis mempertingkatkan usaha mereka dalam pemusatan kuasa pentadbiran negara. Menjelang zaman pemerintahan Raja Louis XIV, banyak kuasa telah ditumpukan dan dipusatkan dalam tangan raja. Semasa pemerintahan Raja Louis XIV, angkatan tentera Perancis telah diperkasakan sehingga menjadi jentera perang yang digeruni di dunia, dan Perancis muncul sebagai sebuah ekonomi yang besar.

Walaupun terdapat usaha berterusan untuk memusatkan kuasa ke dalam tangan raja, golongan bangsawan di peringkat tempatan masih mempunyai kuasa keistimewaan yang besar, dan sering wujudnya pertindihan kuasa antara pemerintahan monarki, gereja dan bangsawan tempatan. Golongan bangsawan mempunyai tanah mereka sendiri, rangkaian hubungan kuasa di peringkat wilayah, dan malah angkatan tentera sendiri. Oleh itu, kelas pemerintah pada zaman Ancien Régime sering bercanggah, berpecah dan berkonflik sesama sendiri antara lapisan-lapisan berbeza (dari istana diraja hingga golongan bangsawan tempatan) dalam persoalan bagaimana menstruktur semula kedudukan dominasi mereka.

Wilayah-wilayah “parlement” di Perancis pada tahun 1789. (sumber: Wikipedia)

Kepentingan kuasa golongan bangsawan dilindungi melalui “parlement” di peringkat wilayah. “Parlement” di Perancis semasa zaman Ancien Régime ialah mahkamah rayuan peringkat wilayah (provinsi). Ia bukan badan perundangan seperti parlimen moden, tetapi badan kehakiman yang mempunyai kuasa pemerintahan yang agak besar di peringkat wilayah. Perintah yang dikeluarkan oleh raja hanya boleh berkuat kuasa di wilayah masing-masing selepas parlement wilayah berkenaan bersetuju untuk melaksanakannya. Parlement yang dikuasai oleh golongan bangsawan tempatan juga mempunyai kuasa dalam urusan percukaian. Anggota-anggota parlement yang digelar sebagai “bangsawan berjubah” itu memegang jawatan majistret dalam parlement melalui cara membeli atau mewarisinya, dan mereka boleh bertindak secara bebas daripada perintah raja. Oleh itu, sering wujudnya percanggahan kepentingan antara parlement yang dikuasai oleh golongan bangsawan tempatan dan istana diraja. Terdapat 13 buah parlement di Perancis menjelang tahun 1789. Parlement Paris yang ditubuhkan pada abad ke-13 merupakan parlement yang paling tua dan paling penting kerana kota Paris juga berfungsi sebagai ibu negara Perancis. René Nicolas Charles Augustin de Maupeou, Canselor Perancis yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kehakiman di bawah pemerintahan Raja Louis XV, pernah memansuhkan sistem parlement pada tahun 1770 untuk memperkukuhkan kuasa raja, tetapi kuasa parlement dipulihkan pada tahun 1774 selepas Raja Louis XV meninggal dunia dan Maupeou kehilangan kuasa.

Gereja Katolik juga mempunyai kuasa yang sangat besar semasa zaman Ancien Régime dengan menguasai kira-kira 40% kekayaan negara Perancis. Raja yang mencalonkan uskup-uskup di Perancis, bukannya Paus di Rom, tetapi perlu berunding dengan keluarga-keluarga bangsawan yang mempunyai hubungan rapat dengan biara-biara tempatan dan institusi gereja.

Dengan kemunculan mod pengeluaran ekonomi kapitalis, Perancis turut muncul sebagai kuasa imperialis kolonial mulai abad ke-16. Penjajahan Perancis di Amerika Utara bermula dengan pembentukan wilayah jajahan Nouvelle-France (Perancis Baharu) pada tahun 1534. Perancis juga mula menubuhkan jajahan di Asia dan Afrika sejak abad ke-17. Perancis merupakan negara pedagang hamba Trans-Atlantik yang ketiga besar, selepas Portugal dan Britain, dengan kebanyakan hamba diangkut ke Saint-Domingue (iaitu Haiti hari ini), tanah jajahan yang paling menguntungkan di Hemisfera Barat pada abad ke-18. Pembangunan ekonomi dan kemajuan masyarakat Perancis pada zaman moden awal berkait rapat dengan penjajahannya di seberang laut dan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik.

Monsieur Jourdain, seorang borjuis Perancis yang merupakan watak utama dalam drama muzikal yang ditulis oleh Molière, “Le Bourgeois gentilhomme” (1670). (ilustrasi: Edmond Geffroy)

Bourgeoisie

Istilah borjuis (bourgeois) atau borjuasi (bourgeoisie) digunakan pada hari ini untuk merujuk kepada kelas sosial yang terdiri daripada golongan pemilik modal, iaitu golongan kapitalis. Oleh itu, kelas borjuis atau borjuasi ialah sinonim untuk kelas kapitalis pada hari ini.

Istilah “bourgeois” dalam Bahasa Perancis Moden berasal daripada perkataan Bahasa Perancis Lama “borgeis” atau “borjois” yang bermaksud “penduduk pekan”, dengan “bourg” bermaksud “pekan pasar” pada Zaman Pertengahan. Pada penghujung Zaman Pertengahan, “bourgeois” pada asalnya merujuk kepada “kelas menengah” yang berada antara golongan petani dan golongan bangsawan. Namun, ia kemudiannya lebih kerap digunakan untuk merujuk kepada golongan pemilik perniagaan, pedagang dan orang kaya yang bukannya berasal daripada golongan bangsawan dan juga tiada kaitan dengan institusi Gereja Katolik.

Dengan kemunculan dan pembangunan ekonomi kapitalis, golongan borjuis yang memainkan peranan ketara dalam ekonomi yang pesat membangun itu juga semakin berpengaruh dalam masyarakat. Pembangunan golongan borjuis ke dalam sebuah kelas sosial yang berpengaruh menjadikannya sebuah kuasa ekonomi-politik yang mampu mencabar dominasi kelas tuan tanah feudal, malah mampu menggantikannya sebagai kelas pemerintah baharu dalam zaman kapitalisme.

Karikatur sebelum Revolusi Perancis 1789 yang menggambarkan Darjat Ketiga dipaksa untuk memikul beban Darjat Pertama (agamawan) dan Darjat Kedua (bangsawan). (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Semasa zaman Ancien Régime, kepentingan politik golongan borjuis diwakili dalam États Généraux (Perdarjatan Agung) sebagai “Darjat Ketiga”. États Généraux ialah sebuah perhimpunan besar yang berfungsi sebagai badan penasihat kepada urusan pentadbiran Raja Perancis. États Généraux dianggotai oleh perwakilan daripada tiga buah kelas sosial atau darjat (état):

  • Darjat Pertama: Golongan agamawan (seperti uskup dan paderi) dalam Gereja Katolik Rom;
  • Darjat Kedua: Golongan bangsawan yang juga merupakan tuan tanah feudal;
  • Darjat Ketiga: Golongan warga biasa (termasuk pedagang, peniaga, penduduk bandar, tukang, petani, pekerja dan sebagainya).

Walaupun “Darjat Ketiga” merangkumi semua rakyat selain golongan agamawan dan golongan bangsawan, perwakilan “Darjat Ketiga” dalam États généraux dikuasai oleh golongan borjuis yang merupakan orang kaya di kawasan bandar. Di bawah Ancien Régime, golongan borjuis yang semakin mendominasi dalam ekonomi mendapati bahawa susunan masyarakat lama yang bersifat feudal itu menyekat mereka daripada mengembangkan kepentingan dan kekuasaan mereka selanjutnya. Untuk membebaskan pembangunan ekonomi kapitalis daripada cengkaman kuasa pemerintah feudal lama, golongan borjuis lebih cenderung untuk mendukung idea kerajaan berperlembagaan yang melemahkan kuasa monarki, menolak hak ketuhanan raja dan mempertikaikan keistimewaan golongan bangsawan.

États Généraux tidak mempunyai kuasa politik yang sebenar. Raja Perancis tidak memerlukan persetujuan daripada États Généraux untuk memperkenalkan cukai atau menggubal undang-undang baharu. Ia hanya dipanggil untuk bersidang apabila Raja Perancis memerlukan nasihat atau sokongan daripada perhimpunan tiga darjat itu. Namun, ia merupakan saluran kepada darjat-darjat masyarakat yang berbeza untuk menyampaikan pandangan yang mewakili kepentingan kelas mereka.

États Généraux yang diadakan di Orléans pada tahun 1560. Golongan agamawan di kiri, golongan bangsawan di tengah, dan perwakilan Darjat Ketiga di kanan. (ilustrasi: Tortorel dan Perrissin)

États Généraux yang pertama dipanggil pada tahun 1302 semasa pemerintahan Raja Philippe IV daripada Dinasti Capet, untuk menangani konflik antara Raja Perancis dan Paus Bonifatius VIII pada masa itu. Dari tahun 1302 hingga 1614, États Généraux hanya bersidang sebanyak 33 kali. Dengan pemerintahan raja berkuasa mutlak semakin diperkukuhkan di bawah Dinasti Bourbon, raja-raja Perancis mengabaikan États généraux sepenuhnya, dengan persidangan États Généraux tidak dipanggil selama 175 tahun, dari tahun 1614 hingga 1789. Pemanggilan untuk persidangan États Généraux buat kali terakhirnya pada tahun 1789 hanya menandakan kuasa monarki yang dilemahkan dan menjadi pembuka tirai kepada perubahan hebat yang bakal berlaku.

Zaman Pencerahan di Perancis

Menjelang abad ke-18, rantau Eropah terbahagi kepada tiga bahagian geografi dengan corak susunan masyarakat yang agak berbeza:

  • Di sebahagian besar negara-negara di bahagian selatan dan timur Eropah, masyarakat masih dikuasai oleh sistem pemerintahan feudal dengan raja berkuasa mutlak yang hampir tidak berubah sejak Zaman Pertengahan;
  • Di bahagian barat laut Eropah, negara-negara seperti Britain dan Belanda berubah menjadi ekonomi kapitalis yang dinamik dan pesat bertumbuh, berasaskan pertanian komersial, perdagangan maritim, perindustrian baharu dan perbankan moden, di samping pertumbuhan bilangan penduduk yang pesat;
  • Bahagian yang lain di Eropah pula terdiri daripada negara-negara dengan bentuk susunan masyarakat yang terletak antara dua model di atas, di mana pemerintahan monarki feudal berkuasa mutlak terikat dengan pembangunan kapitalisme komersial yang pesat, dan contoh terbaik untuk negara-negara sebegini ialah Perancis.

Perancis sudah berkembang menjadi sebuah empayar kolonial yang menguasai wilayah-wilayah jajahan di India dan rantau Amerika, dengan pembangunan ekonomi komersial yang pesat. Di dalam negara Perancis sendiri, munculnya golongan borjuis di kawasan bandar yang semakin kaya dan semakin lantang menyuarakan pandangan berkaitan kepentingan mereka. Namun begitu, sistem pemerintahan di Perancis masih bersifat feudal secara dasarnya, dengan wujudnya kekuasaan raja yang autokratik, sebuah Gereja Katolik yang sangat berkuasa, golongan pembesar istana yang dibiayai oleh dana negara, kelas tuan tanah yang bersifat parasit dengan hak milik tanah mereka diwarisi daripada moyang bangsawan mereka dan golongan petani yang dibebankan dengan pelbagai percukaian feudal.

Pertumbuhan kapitalisme yang pesat di Perancis bermakna percanggahan yang wujud antara corak ekonomi baharu dan susunan politik lama semakin sukar dibendung. Tambahan pula, persaingan ketenteraan antara Perancis dan Britain untuk dominasi global turut mengundang krisis pemerintahan kepada Perancis. Tanah jajahan Perancis di India dan Amerika dirampas oleh Britain semasa Perang Tujuh Tahun (1756-1763), maka memberi pukulan hebat kepada kelas pemerintah monarki Perancis. Kekalahan tentera ialah ekspresi luaran untuk krisis yang semakin meningkat dalam masyarakat Perancis; revolusi dalam ideologi pula merupakan ekspresi dalamannya. Revolusi ideologi yang mencabar kekuasaan feudal berkuasa mutlak di bawah Ancien Régime itu dikenali sebagai “Zaman Pencerahan” (Enlightenment).

René Descartes (1596-1650), salah seorang tokoh penting dalam Revolusi Saintifik. (ilustrasi: Frans Hals)

Gerakan kebudayaan Renaissance dan Reformasi Protestan telah mendorong pembangunan pengetahuan serta idea-idea baharu di Eropah pada ketika ekonomi kapitalis sedang pesat membangun di rantau itu. Ini telah menyediakan tapak ideologi yang subur untuk “Revolusi Saintifik” pada abad ke-16 dan ke-17, yang menjadi pemangkin kepada pembentukan dan pembangunan idea-idea baharu untuk “Zaman Pencerahan”.

Empirisime (aliran falsafah yang percaya bahawa semua pengetahuan diperolehi melalui pengalaman deria) yang dibangunkan oleh Francis Bacon (1561-1626), seorang ahli falsafah dari England, dan rasionalisme (kaedah falsafah yang menganggap bahawa akal manusia adalah sumber utama pengetahuan) yang dibangunkan oleh René Descartes (1596-1650), seorang ahli falsafah yang berasal dari Perancis, membentuk asas kepada pemikiran Zaman Pencerahan. Pemikiran baharu ini tidak terhad kepada bidang sains dan falsafah sahaja, malah disebarkan ke dalam bidang-bidang ilme yang lebih meluas, termasuk ilmu politik.

Sesetengah pemerintah autokratik di Eropah pada masa itu turut menerima dengan ghairahnya fahaman “rasionalisme” dan “sains” sebagai pendekatan untuk menanggapi dunia. Mereka ini termasuklah Raja Friedrich II dari Prusia, Raja José I dari Portugal, Raja Carlos III dari Sepanyol, Maharani Yekaterina II dari Rusia dan Raja Gustav III dari Sweden. Kelas pemerintah monarki berkuku besi di Eropah yang memeluk pendekatan “rasionalisme” dan “sains” untuk melakukan pelbagai pembaharuan dari atas di negara masing-masing, bukannya hendak mengubah sistem pemerintahan monarki secara ketara, tetapi hanya bertujuan untuk memastikan pengukuhan kuasa pemerintahan mereka. Adanya pemerintah monarki yang sanggup melakukan pembaharuan untuk mempertingkatkan kebajikan rakyatnya tanpa membenarkan penyertaan politik rakyat. Ini dapat disimpulkan dalam pepatah yang digunakan oleh Maharaja Joseph II dari Empayar Rom Suci, “semua untuk rakyat, tiada apa-apa oleh rakyat”. Oleh itu, pembaharuan yang dibawa oleh golongan pemerintah monarki itu biasanya dibatasi oleh pertimbangan politik untuk mengekalkan status quo dan tidak membawa apa-apa perubahan ketara yang bermakna bagi rakyat jelata.

Pembacaan skrip drama “L’Orphelin de la Chine” (“Anak Yatim China” yang berasaskan opera “Anak Yatim Zhao” yang ditulis Ji Junxiang semasa Dinasti Yuan pada abad ke-13) oleh Voltaire, penulis itu sendiri, dalam perhimpunan salon yang dianjurkan oleh Marie Thérèse Rodet Geoffrin, pada tahun 1755. (ilustrasi: Anicet Charles Gabriel Lemonnier, ~1812)

Revolusi Belanda pada abad ke-16 dan Revolusi Inggeris pada abad ke-17 telah menolak “hak ketuhanan raja” untuk mendukung hak dan kuasa perwakilan golongan borjuis dalam proses politik. Republik borjuis berjaya ditubuhkan hasil daripada kedua-dua revolusi itu, walaupun hanya bertahan seketika di England. Di England dan kemudiannya Britain, sistem raja berperlembagaan menjadi model kepada pembaharuan politik untuk peralihan kuasa dan pengukuhan kuasa dalam tangan kelas borjuis. Perkembangan ini meletakkan asas kepada pembangunan fahaman politik demokrasi borjuis seterusnya.

Zaman Pencerahan yang diiringi dengan revolusi-revolusi di Belanda dan England melahirkan idea-idea baharu yang mendukung demokrasi liberal, seperti “kebebasan”, “undang-undang semula jadi”, “hak semula jadi”, “kerajaan berperlembagaan”, “toleransi”, “persaudaraan sesama manusia”, “persetujuan daripada golongan yang diperintah” dan “pengasingan kuasa antara gereja dan negara”. Idea-idea baharu ini juga menunjukkan jalan keluar daripada kepercayaan tahayul dan konflik agama yang tidak habis-habisan di Eropah pada masa itu. Idea-idea Zaman Pencerahan berkembang dengan pesat di negara Perancis pada abad ke-18.

Penerbitan “Encyclopédie” (1751-1772), sebuah ensiklopedia himpunan pengetahuan dan pemikiran dalam 35-jilid, yang disunting oleh Denis Diderot (1713-1784) dan Jean le Rond d’Alembert (1717-1783) dengan sumbangan daripada ratusan orang cendekiawan pada masa itu, merupakan satu usaha pendemokrasian pengetahuan dan pencapaian Zaman Pencerahan yang penting. Kira-kira 25,000 salinan Encyclopédie dijual pada masa itu, menunjukkan bahawa wujudnya banyak permintaan untuk pengetahuan dan idea-idea baharu pada ketika Zaman Pencerahan.  

Halaman tajuk buku “Encyclopédie”.

“Matlamat sebuah ensiklopedia adalah untuk mengumpulkan semua pengetahuan yang berselerak di atas permukaan bumi, untuk menunjukkan sistem umum kepada orang-orang yang kita tinggal bersama, dan untuk menyampaikannya kepada orang-orang yang akan datang selepas kita, supaya kerja-kerja yang dibuat berabad-abad yang lalu tidak sia-sia untuk abad-abad yang akan datang, agar anak cucu kita, dengan menjadi lebih berpengetahuan, boleh menjadi lebih berbudi dan lebih bahagia, dan agar kita tidak mati tanpa kelayakan menjadi sebahagian daripada umat manusia,” begitu tulisnya Denis Diderot.

Apa yang menjadikan Zaman Pencerahan itu subversif dan menggugat susunan politik yang sedia ada pada masa itu, tanpa mengambil kira niat yang agak konservatif dalam kalangan kebanyakan pelopornya, adalah kritikan yang dikemukakan oleh gerakan itu terhadap institusi-institusi negara dan amalan-amalan masyarakat yang dianggap “tidak rasional”. Idea-ideanya membentuk pemikiran borjuis yang moden. Perdagangan dan hubungan masyarakat yang berasaskan pasaran pada masa itu sedang meleraikan rangkaian politik naungan, hak istimewa bangsawan dan pengaruh feudal. Pertukaran barangan yang menggunakan wang telah menggantikan kelayakan yang berasaskan darjat dan harta pusaka yang diwarisi secara bergenerasi, sebagai cara untuk mengumpulkan kekayaan. Apa yang dianggap sebagai “tidak rasional” oleh golongan pemikir baharu pada Zaman Pencerahan, termasuklah Gereja dan teologinya, “hak ketuhanan” yang dituntut oleh raja-raja, dan ketuanan politik kelas bangsawan yang sedang merosot dari segi pengaruh ekonomi mereka. Zaman Pencerahan merupakan gerakan intelek pelbagai dimensi. Namun, intipatinya ialah kritikan yang radikal, di mana apa-apa perkara dalam masyarakat adalah terbuka untuk dicabar oleh hujah-hujah yang saintifik dan rasional.

Muka surat hadapan buku “Kontrak Sosial” (1762) yang ditulis oleh Jean-Jacques Rousseau.

Salah satu konsep penting yang dibangunkan semasa Zaman Pencerahan dan mempengaruhi fahaman di sebalik Revolusi Perancis ialah “kontrak sosial”. Pembentukan asas kontrak untuk hak-hak rakyat dalam masyarakat membawa kepada pengukuhan mekanisme pasaran kapitalis, toleransi agama dan penyusunan negara ke dalam republik yang memerintah sendiri melalui kaedah-kaedah demokratik.

Thomas Hobbes (1588-1679), seorang ahli falsafah Inggeris yang terkenal dengan bukunya “Leviathan” (1651) yang ditulis semasa Revolusi Inggeris, telah memulakan perbincangan tentang teori kontrak sosial, di samping membangunkan asas-asas idea liberal seperti hak individu, kesamarataan semua orang secara semula jadi, pandangan bahawa semua kuasa politik yang sah harus bersifat “perwakilan” serta berasaskan persetujuan rakyat, dan penafsiran undang-undang yang liberal dengan rakyat bebas melakukan apa-apa yang tidak dilarang secara jelas oleh undang-undang.

Idea-idea Hobbes telah dibangunkan lebih lanjut oleh John Locke (1632-1704), seorang lagi ahli falsafah Inggeris yang digelar sebagai “Bapa Liberalisme” dan merupakan salah seorang tokoh pemikir Zaman Pencerahan yang paling berpengaruh. Locke berhujah bahawa kuasa kerajaan datang daripada kontrak sosial yang berasaskan hak semula jadi. Menurut Locke, kuasa kerajaan harus dihadkan dan ia memerlukan persetujuan daripada golongan yang diperintah. Locke menakrif “keadaan semula jadi” sebagai keadaan di mana manusia adalah rasional dan mematuhi undang-undang semula jadi, di mana semua manusia dilahirkan secara sama rata di samping menikmati hak untuk hidup, kebebasan dan harta. Namun, apabila seorang warga masyarakat melanggar undang-undang semula jadi, kedua-dua pihak pelanggar dan mangsa akan memasuki keadaan perang, di mana hampir mustahil untuk mereka membebaskan diri. Oleh itu, Locke mengatakan bahawa individu-individu memasuki masyarakat sivil untuk melindungi hak semula jadi mereka melalui seorang “hakim yang tidak berat sebelah” atau pihak berkuasa bersama, seperti mahkamah.

Jean-Jacques Rousseau (1712-1778) (ilustrasi: Maurice Quentin de La Tour, 1753)

Jean-Jacques Rousseau (1712-1778), seorang ahli falsafah yang berasal dari Geneva dan berhijrah ke Perancis sejak usia mudanya, juga menyumbang kepada teori kontrak sosial dalam buku tulisannya “Kontrak Sosial” (1762), di mana dia membincangkan bagaimana membentuk kekuasaan yang sah dalam sebuah komuniti politik yang sepadan dengan kebebasan individu, demi menghadapi masalah-masalah yang wujud dalam masyarakat komersial. Teori kontrak sosial yang dikemukakan oleh Rousseau itu membantah idea bahawa raja-raja diberikan kuasa oleh Tuhan untuk menggubal undang-undang, sebaliknya ia menegaskan bahawa hanya “kehendak umum” (volonté générale) rakyat yang mempunyai hak untuk menggubal undang-undang, kerana hanya di bawah kehendak umum itu rakyat boleh dikatakan tertakluk pada diri mereka sendiri dan dengan itu adalah bebas.

Walaupun golongan borjuis menganggap harta milik persendirian itu sesuatu yang “rasional”, sesetengah pemikir Zaman Pencerahan, seperti Jean-Jacques Rousseau, tidak berpandangan begitu. Rousseau berhujah dalam “Wacana mengenai Asal Usul dan Asas Ketidaksamarataan dalam kalangan Manusia” (1755) bahawa harta milik persendirian ialah punca asas kepada ketidaksamarataan dalam masyarakat. Rousseau menulis, “Orang pertama, yang setelah memagarkan sebidang tanah, mengatakan ‘ini kepunyaan saya’, dan mendapati orang cukup mudah untuk mempercayainya, maka orang itu ialah pengasas sebenar masyarakat sivil. Berapa banyak jenayah, berapa banyak peperangan, berapa banyak pembunuhan, berapa banyak kecelakaan dan kengerian, akan orang itu menyelamatkan umat manusia daripadanya, dengan menarik keluar pancang, atau mengisi parit, dan berteriak pada rakan-rakannya: Jangan sekali-kali mendengar penipu ini; anda sesat jika anda terlupa bahawa hasil bumi ini dimiliki kita semua, dan bumi itu sendiri bukan milik sesiapa.”

Buku “Wacana mengenai Asal Usul dan Asas Ketidaksamarataan dalam kalangan Manusia” yang ditulis oleh Jean-Jacques Rousseau dan diterbitkan di Belanda pada tahun 1755.

Rousseau berpandangan bahawa “keadaan semula jadi” ialah keadaan primitif tanpa undang-undang atau kemoralan. Oleh sebab sering wujud situasi di mana individu tidak dapat menanganinya secara sendiri dalam keadaan semula jadi, maka manusia perlu bekerjasama dengan orang lain untuk terus hidup. Apabila manusia bergabung dalam sebuah kolektif, maka ia membentuk masyarakat. Namun, apabila masyarakat membangun, pembahagian kerja dan harta milik persendirian memerlukan umat manusia untuk menerima institusi undang-undang. Dalam fasa kemerosotan masyarakat, manusia cenderung untuk sering bersaing sesama manusia tetapi pada masa yang sama semakin saling bergantungan. Tekanan berganda ini mengancam kelangsungan hidup dan kebebasan manusia.

Rousseau mengemukakan idea bahawa perlu menggubal semula kontrak sosial untuk membina sebuah negara atau komuniti politik baharu yang rasional supaya merealisasikan keadilan dan kesamarataan masyarakat. Dalam negara baharu sebegini, semua orang dilahirkan sama rata, dengan orang miskin dan orang kaya tidak mempunyai perbezaan dari segi hak dan tanggungjawab.

“Kontrak sosial” juga berkaitan rapat dengan konsep “kedaulatan rakyat”. Prinsip utama kedaulatan rakyat menekankan bahawa keabsahan sesebuah kuasa kerajaan dan undang-undangnya adalah berdasarkan persetujuan daripada golongan yang diperintah. Ketiga-tiga orang Thomas Hobbes, John Locke dan Jean-Jacques Rousseau berpandangan bahawa apabila individu-individu bersetuju untuk mematuhi sesuatu kontrak sosial, bermakna mereka secara sukarelanya melepaskan sesetengah kebebasan semula jadi mereka sebagai pertukaran untuk mendapatkan perlindungan bagi hak-hak mereka yang masih ada atau mengekalkan susunan masyarakat yang menjamin hak-hak mereka. Susunan masyarakat yang sah hanya dapat didirikan apabila hak kebebasan dan kewajipan adalah sama rata dalam kalangan semua rakyat.

Pemikiran kedaulatan rakyat yang terkandung dalam penulisan tokoh-tokoh pemikir Zaman Pencerahan, telah menjadi batu asas kepada sistem demokrasi moden, di samping mendorong gerakan masyarakat di Eropah, seperti di Perancis, untuk memperjuangkan penghapusan kuasa mutlak monarki dan mendirikan sistem politik baharu yang bersesuaian dengan realiti masyarakat baharu.

Berkenaan dengan persoalan perhambaan, Rousseau menulis dalam “Kontrak Sosial”, “Dalam sudut apa pun kita menganggap soalan ini, hak untuk perhambaan adalah terbatal dan tidak sah, bukan hanya tidak sah, tetapi juga kerana ia adalah tidak masuk akal dan tidak bermakna. Perkataan hamba dan hak adalah bercanggah antara satu sama lain, dan adalah saling eksklusif.”

“Manusia dilahirkan bebas; tetapi dia dirantai di mana-mana sahaja,” begitu tulisnya Rousseau dalam “Kontrak Sosial”. “Seseorang itu menganggap dirinya sebagai tuan kepada orang lain, tetapi pada hakikatnya lebih mirip dengan hamba berbanding orang lain.”

Menurut pandangan Rousseau, terdapat tiga peringkat ketidaksamarataan dalam masyarakat manusia:

  • Apabila munculnya harta milik persendirian, maka wujudnya ketidaksamarataan antara orang kaya dan orang miskin;
  • Apabila institusi kekuasaan didirikan melalui kontrak sosial, maka ia mengiktiraf pemerintahan golongan berkuasa terhadap golongan yang lemah;
  • Apabila kuasa kerajaan menyeleweng dan menjadi pemerintahan autokratik, maka wujudnya ketidaksamarataan antara golongan tuan hamba dan golongan hamba.

Sistem pemerintahan autokratik merupakan tahap tertinggi ketidaksamarataan masyarakat, maka perlu menggulingkan kekuasaan autokratik itu untuk mewujudkan kontrak sosial yang baharu dan memulihkan kesamarataan. Pandangan sebegini telah mempengaruhi fahaman revolusioner golongan kiri radikal kemudiannya. Idea-idea radikal yang dibawa oleh Rousseau telah memberi inspirasi kepada golongan revolusioner Perancis dan diperjuangkan semasa Revolusi Perancis.

Montesquieu (1689-1755) (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Montesquieu (1689-1755), seorang ahli falsafah politik dari Perancis, telah memberi sumbangan teori yang penting dalam konsep “pengasingan kuasa” antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman. Konsep ini dibincangkan dalam buku tulisannya “Semangat Undang-undang” (1748), bertujuan untuk mewujudkan mekanisme semak-dan-imbang dalam sistem pemerintahan negara yang menjamin kebebasan politik.

Voltaire (1694-1778), seorang lagi ahli falsafah Perancis yang penting pada Zaman Pencerahan, telah menghasilkan banyak tulisan untuk mengkritik sistem monarki berkuasa mutlak, Gereja Katolik, perhambaan dan kepercayaan karut, di samping mendukung idea-idea pembaharuan seperti kebebasan bersuara, kebebasan agama dan pemisahan antara negara dengan gereja. “Manusia bebas pada ketika dia mahu,” begitu tulisnya Voltaire dalam sebuah skrip drama yang bertajuk “Brutus” (1730).

Voltaire menggunakan tulisannya mengenai “vampire” (puntianak) yang menghisap darah orang pada waktu malam dalam bukunya “Kamus Falsafah” (1764) untuk mengkritik fenomena masyarakat kapitalis yang sudah muncal pada masa itu, dengan menulis, “Kita tidak pernah dengar apa-apa tentang puntianak di London, mahupun di Paris. Saya mengaku bahawa kedua-dua bandar ini adanya pemegang saham, broker dan ahli perniagaan, yang menghisap darah orang pada waktu siang; tetapi mereka bukannya orang mati, walaupun sudah rosak. Penghisap darah ini tidak tinggal di tanah perkuburan, tetapi di dalam istana yang sangat mewah.” Kenyataan ini jelas menggambarkan bahawa sistem kapitalis sentiasa “menghisap darah” rakyat melalui eksploitasi tenaga buruh, dari dahulu sampai sekarang dan selama-lamanya selagi ia masih wujud. Mitos mengenai Drakula, seorang puntianak bangsawan penghisap darah yang tinggal bersendirian di istana kotanya dan hanya muncul pada waktu malam untuk menghisap darah gologan petani, telah menjadi simbol kepada Ancien Régime yang bersifat parasit.

Voltaire (1694-1778) (ilustrasi: Nicolas de Largillière)

Idea-idea baharu yang lahir semasa Zaman Pencerahan, termasuk banyak yang dibangunkan oleh tokoh-tokoh pemikir Perancis, telah mempengaruhi gerakan politik di banyak tempat, termasuk gerakan politik yang memainkan peranan penting dalam menjayakan Revolusi Amerika. Kerajaan Perancis menyokong Amerika Syarikat dalam perang kemerdekaannya bukan kerana menyokong idea-idea revolusioner tetapi sekadar untuk kepentingan geopolitiknya dalam persaingan dengan Britain. Namun begitu, askar-askar Perancis yang dikerahkan untuk berperang bagi pihak golongan Patriot Amerika telah pulang ke negara asal mereka dengan idea-idea Zaman Pencerahan yang baharu. Benjamin Franklin (1706-1790), salah seorang pemimpin Revolusi Amerika, juga memainkan peranan dalam penyebaran idea-idea Zaman Pencerahan semasa dia menjadi duta Amerika Syarikat ke Perancis dari tahun 1776 hingga 1785.  

Krisis pemerintahan monarki Perancis

Bilangan penduduk Perancis telah meningkat hampir 50% sepanjang abad ke-18, dari 19.7 juta orang pada tahun 1700, kepada 28 juta orang pada tahun 1789. Daripada jumlah itu, kira-kira 20% penduduk tinggal di kawasan bandar. Jumlah penduduk di bandar Paris meningkat daripada kira-kira 500,000 orang pada awal abad ke-18, kepada lebih 600,000 orang pada tahun 1789. Bilangan borjuis dalam kalangan penduduk Perancis meningkat kerana perkembangan ekonomi kapitalis, begitu juga dengan golongan buruh upahan yang tinggal di kawasan bandar.

Pemandangan bandar Paris di jambatan Pont Neuf. (ilustrasi: Nicolas-Jean-Baptiste Raguenet, 1763)

Walaupun ekonomi kapitalis terus membangun dengan pesat dan menghasilkan kekayaan yang banyak, ia hanya menguntungkan kelas kapitalis pedagang dan pemungut sewa, sementara golongan buruh upahan dan golongan petani yang menyewa tanah daripada kelas tuan tanah masih hidup dalam kemiskinan.

Pada bulan April-Mei 1775, iaitu baru setahun Raja Louis XVI mengambil alih takhta, tercetusnya gelombang rusuhan rakyat di bahagian utara, timur dan barat Perancis, yang dikenali sebagai “Perang Tepung” (Guerre des Farines). Punca rusuhan ini ialah kenaikan harga bijirin yang diikuti dengan kenaikan harga roti, iaitu bahan makanan utama penduduk-penduduk Perancis, akibat daripada keadaan cuaca buruk dan hasil tuaian yang berkurangan, di samping pihak berkuasa menyorok bekalan bijirin di dalam gudang diraja. Rusuhan besar-besaran hanya diredakan selepas kerajaan Perancis melaksanakan kawalan harga dan mengerahkan pasukan tentera untuk mematahkan pemberontakan rakyat. Gelombang rusuhan rakyat ini boleh dikatakan sebagai pendahuluan kepada Revolusi Perancis lebih sedekad kemudian.

“Perang Tepung” pada tahun 1775. (sumber: Leemage)

Kos sara hidup sebenar di Perancis sudah pun meningkat dalam tempoh empat dekad sehingga tahun 1780-an, dan golongan buruh bawahan yang paling terasa tekanan daripada kenaikan kos sara hidup kerana pendapatan mereka yang sedikit. Pada bulan April 1789, tercetusnya rusuhan pekerja kilang pembuat dinding kertas di daerah Faubourg Saint-Antoine, Paris, dengan 25 orang pekerja mati dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.

Golongan petani yang membentuk kira-kira 80% daripada seluruh penduduk Perancis, hanya memiliki 30% tanah. Ini mewujudkan masalah ketidaksamarataan yang ketara dalam pengagihan tanah. Petani-petani yang tidak memiliki tanah dipaksa untuk membayar sewa kepada tuan tanah yang merupakan bangsawan, dan dikenakan cukai yang membebankan. Walau bagaimanapun, golongan petani di kawasan luar bandar sekurang-kurangnya dapat menyara diri dengan kebun mereka pada ketika krisis. Hasil tuaian yang buruk mempunyai kesan yang lebih teruk terhadap penduduk-penduduk bawahan di bandar-bandar seperti Paris, kerana mereka perlu membeli makanan yang berharga lebih tinggi tetapi upah mereka kekal rendah dan mengalami kelaparan jika langsung tiada makanan.

Penglibatan Perancis dalam Perang Tujuh Tahun (1756-1763) dan Perang Revolusi Amerika (1775-1783) telah meningkatkan hutang negara Perancis secara ketara. Semasa Jacques Necker dilantik sebagai Menteri Kewangan Perancis pada tahun 1777-1781, dia menggunakan hubungannya dengan bank-bank di Eropah untuk mendapatkan pinjaman wang supaya membiayai usaha perang Perancis dan membayar hutang yang sudah terkumpul sebelum itu, tetapi pendekatan itu hanya meningkatkan lagi hutang negara dan memburukkan lagi masalah kewangan yang dihadapi kerajaan Perancis. Kerajaan Perancis pada awalnya mengharapkan sokongannya kepada golongan Patriot dalam Perang Revolusi Amerika dapat memperoleh hak perdagangan yang diberi keutamaan dengan Amerika Syarikat selepas kemenangan perang, tetapi harapan itu hancur apabila negara Amerika Syarikat yang baharu dibentuk itu memperbaharui hubungan perdagangannya dengan Britain.

Hôtel de Ville, dewan perbandaran Paris, pada pertengahan abad ke-18. (Nicolas-Jean-Baptiste Raguenet, 1753)

Perancis mula mengalami krisis ekonomi pada tahun 1785, tambahan pula dengan kemerosotan hasil tuaian yang teruk pada tahun 1787 dan 1788 kerana iklim buruk, rakyat Perancis mengalami masalah penurunan upah secara mendadak, pengangguran yang teruk dan kenaikan harga makanan yang membebankan. Kemarau yang melanda pada musim bunga 1788 dan menyebabkan penurunan hasil tuaian bijirin secara mendadak, telah mengakibatkan kebuluran di negara Perancis. Krisis ekonomi dan kesusahan hidup rakyat membawa kepada krisis politik dan krisis pemerintahan negara.

Pada tahun 1787, Charles Alexandre de Calonne, Menteri Kewangan pada masa itu, mengemukakan cadangan pembaharuan ekonomi (seperti mengurangkan perbelanjaan kerajaan, membenarkan penjualan harta Gereja, menukar kerja paksaan kepada cukai mata wang, memansuhkan tarif dalaman, dan memperkenalkan cukai nilai tanah sejagat) kepada Raja Louis XVI untuk menangani masalah kewangan yang serius pada masa itu. Calonne menyarankan pada Raja Louis XVI untuk memanggil satu persidangan “Perhimpunan Orang-orang Terkenal” yang terdiri daripada golongan bangsawan, golongan agamawan dan pegawai kerajaan berpangkat tinggi, untuk meluluskan pembaharuan ekonomi itu. Namun, golongan bangsawan enggan menyokong, kerana pembaharuan ekonomi itu menjejaskan kepentingan mereka. Oleh yang demikian, Raja Louis XVI terpaksa memanggil États Généraux yang tidak bersidang sejak tahun 1614.

Sidang pembukaan États Généraux pada 5 Mei 1789. (ilustrasi: Isidore-Stanislaus Helman, berdasarkan lakaran Charles Monnet)

États Généraux 1789

Raja Louis XVI mengeluarkan perintah pada 24 Januari 1789 untuk mengadakan persidangan États Généraux. États Généraux kali ini terdiri daripada 1,139 orang perwakilan, dengan 578 orang, iaitu lebih separuh, datang daripada Darjat Ketiga. Darjat Pertama (golongan agamawan) dan Darjat Kedua (golongan bangsawan) masing-masing mempunyai 291 dan 270 orang perwakilan.

Jumlah perwakilan daripada Darjat Ketiga dalam États Généraux dapat meningkat secara ketara sehingga melebihi separuh daripada jumlah perwakilan, merupakan hasil daripada kempen politik yang dilancarkan oleh “Persatuan Tiga Puluh” (Société des Trente). “Persatuan Tiga Puluh”, sebuah kumpulan politik yang dianggotai oleh golongan bangsawan yang berfahaman liberal dan aktivis-aktivis kelas menengah yang mendukung idea-idea Zaman Pencerahan, menuntut supaya menggandakan perwakilan Darjat Ketiga dan melaksanakan pengundian individu. Emmanuel Joseph Sieyès yang juga dikenali sebagai Abbé Sieyès (1748-1836), seorang paderi yang berfahaman liberal, menulis sebuah risalah yang bertajuk “Apakah itu Darjat Ketiga?” (Qu’est-ce que le Tiers-Etat?) yang diterbitkan pada bulan Januari 1789, untuk mengecam hak keistimewaan yang dinikmati oleh golongan agamawan dan golongan bangsawan, di samping berhujah bahawa Darjat Ketiga sebenarnya mewakili seluruh negara, maka ia patut bersidang secara berasingan sebagai “Perhimpunan Kebangsaan” dan kedua-dua darjat yang lain itu patut dimansuhkan. Aktivis-aktivis politik daripada Darjat Ketiga telah mengadakan pelbagai mesyuarat di peringkat wilayah, menghasilkan tulisan dan mengemukakan petisyen untuk menyokong tuntutan yang meningkatkan bilangan perwakilan Darjat Ketiga. Usaha ini akhirnya berjaya mendesak Raja Louis XVI bersetuju untuk menggandakan perwakilan Darjat Ketiga.

Muka surat pertama risalah “Apakah itu Darjat Ketiga?” (1789)

Selain itu, kempen pemilihan perwakilan daripada Darjat Ketiga telah diadakan di seluruh negara, dari bandar-bandar besar hingga pekan-pekan kecil dan kampung-kampung. Kelab-kelab politik ditubuhkan dan pelbagai pertemuan politik diadakan dengan penyertaan orang ramai yang memberangsangkan, untuk membincangkan masalah-masalah serta tuntutan-tuntutan rakyat. Suasana politik di negara Perancis menjadi semakin hangat menjelang persidangan États Généraux.

Darjat Pertama mewakili kira-kira 100,000 orang paderi Katolik. Gereja Katolik memiliki 10% tanah dan mengutip cukainya sendiri (cukai persepuluhan) daripada golongan petani yang bercucuk tanam di atas tanahnya. Darjat Kedua mewakili kira-kira 400,000 orang bangsawan yang memiliki kira-kira 25% tanah. Golongan bangsawan itu mengutip sewa dan cukai feudal daripada golongan petani yang menyewa tanah mereka.

Darjat Ketiga mewakili kira-kira 98% rakyat yang bukan daripada golongan bangsawan dan institusi gereja. Namun, perwakilan Darjat Ketiga dalam États Généraux didominasi oleh golongan elit kelas atasan dan kelas menengah. Separuh daripada wakil-wakil ini ialah peguam atau pegawai kerajaan yang berpendidikan tinggi, sementara yang lain kebanyakannya ialah pedagang, peniaga, jurubank dan pemilik tanah kelas menengah. Adanya juga orang yang merupakan bangsawan dipilih sebagai ahli perwakilan Darjat Ketiga, seperti Jean Joseph Mounier dan Comte de Mirabeau. Golongan elit kelas menengah ini boleh dipilih sebagai perwakilan Darjat Ketiga kerana mereka mempunyai kemahiran politik yang diperlukan dan diperolehi melalui latar belakang pendidikan mereka. Tiadanya wakil daripada kelas bawahan yang bekerja sebagai buruh upahan, tukang atau petani.

Honoré Gabriel Riqueti, Comte de Mirabeau (1749-1791), tokoh monarkis-perlembagaan yang konservatif dalam Revolusi Perancis. (ilustrasi: Joseph Boze, 1789)

Pada awalnya, hampir semua wakil daripada Darjat Ketiga dalam États Généraux berpandangan bahawa perlu mengekalkan sistem monarki, tetapi dalam bentuk “sistem raja berperlembagaan”, dan menetapkan syarat kelayakan mengundi yang ketat berasaskan pemilikan harta dalam mana-mana sistem pilihan raya.

Walau bagaimanapun, keluhan yang dibawa oleh orang ramai kepada perhatian perwakilan Darjat Ketiga banyak berkisar pada isu percukaian. Askar-aksar Perancis pernah dihantar merentasi Lautan Atlantik untuk bertempur bagi pihak Patriot Amerika yang memperjuangkan isu “tiada percukaian tanpa perwakilan”; tetapi di negara asal mereka sendiri pula, pihak pemerintah cuba mengenakan cukai yang membebankan rakyat. Oleh itu, dari awal lagi, wujudnya ketegangan antara rakyat Perancis dan pihak pemerintah monarki. Perwakilan Darjat Ketiga juga mempertikaikan hak keistimewaan golongan bangsawan, kerana golongan bangsawan boleh dikecualikan daripada kebanyakan percukaian sedangkan rakyat biasa perlu menanggung beban cukai yang melemaskan. Golongan borjuis yang berpengaruh dalam Darjat Ketiga juga hendak membatalkan segala cukai dalaman yang dikenakan oleh golongan bangsawan yang menyekat perdagangan dalam negara.

Sesi pembukaan États Généraux pada 5 Mei 1789. (ilustrasi: Auguste Couder, 1839)

États Généraux mula bersidang pada 5 Mei 1789 di Versailles, yang terletak kira-kira 18 km dari pusat bandar Paris. Seperti États Généraux sebelum itu, setiap Darjat bersidang secara berasingan, dan sebarang usul harus diluluskan oleh sekurang-kurangnya dua Darjat, maka Darjat Pertama dan Darjat Kedua boleh memveto usul Darjat Ketiga walaupun kedua-duanya hanya mewakili kira-kira 2% penduduk Perancis. États Généraux yang dipanggil pada masa itu sepatutnya membincangkan cadangan percukaian daripada Raja Louis XVI, tetapi ketiga-tiga Darjat mula membincangkan bagaimana mengesahkan perwakilan dan menyusun semula badan perundangan. Darjat Ketiga mengundi dalam persidangannya untuk menjemput perwakilan daripada Darjat lain untuk menyertai mereka dalam proses mengesahkan semua perwakilan États Généraux, dan bersetuju bahawa undian harus dikira mengikut kepala. Darjat Kedua mengundi untuk menegaskan pendirian bahawa setiap Darjat mengesahkan perwakilannya secara berasingan. Dengan rundingan antara perwakilan daripada tiga Darjat itu menemui jalan buntu, Darjat Ketiga mula mengesahkan ahli-ahli perwakilan mereka sendiri pada 12 Jun 1789.

Pada 17 Jun 1789, Darjat Ketiga yang bersidang pada masa itu mengisytihar dirinya sebagai “Perhimpunan Kebangsaan” (Assemblée Nationale) dan semua cukai yang sedia ada adalah haram. Mereka menjemput perwakilan daripada dua Darjat yang lain untuk menyertai Perhimpunan Kebangsaan, dan tetap akan menjalankan proses membuat keputusan mengenai urusan negara tanpa penyertaan dua Darjat yang lain itu. Dalam tempoh dua hari, lebih 100 orang perwakilan Darjat Pertama yang merupakan paderi berpangkat rendah menyertai mereka.

Aksi “Angkat Sumpah Gelanggang Tenis” pada 20 Jun 1789 oleh ahli-ahli perwakilan Darjat Ketiga yang menubuhkan Perhimpunan Kebangsaan. (ilustrasi: Jacques-Louis David, ~1791)

Untuk mengekalkan penguasaannya terhadap États Généraux dan menghalang persidangan Perhimpunan Kebangsaan, Raja Louis XVI mengarahkan penutupan tempat persidangan Darjat Ketiga. Pada 20 Jun 1789, apabila anggota-anggota Darjat Ketiga mendapati tempat persidangan mereka ditutup, atas cadangan Joseph-Ignace Guillotin (1738-1814), seorang doktor yang juga merupakan wakil Darjat Ketiga dari Paris, ahli-ahli perwakilan yang hadir di situ beralih ke sebuah gelanggang tenis yang berdekatan, dan mengemukakan “Sumpah Gelanggang Tenis” yang menyatakan bahawa Perhimpunan Kebangsaan tidak akan dibubarkan sehingga sebuah perlembagaan baharu dipersetujui. Siri peristiwa yang melibatkan pembentukan Perhimpunan Kebangsaan ini menandakan permulaan Revolusi Perancis.

Pada 23 Jun 1789, Raja Louis XVI menyampaikan titahnya dalam sidang États Généraux, di mana dia membatalkan keputusan Perhimpunan Kebangsaan dan mengarahkan ketiga-tiga Darjat untuk terus bersidang secara berasingan. Selepas Raja Louis XVI meninggalkan dewan persidangan, diikut dengan ahli-ahli perwakilan daripada Darjat Kedua dan kebanyakan ahli-ahli perwakilan daripada Darjat Pertama, ahli-ahli perwakilan Darjat Ketiga kekal berada di dalam dewan. Apabila ketua upacara diraja mengingatkan mereka bahawa Raja Louis XVI telah membatalkan keputusan Perhimpunan Kebangsaan, Honoré Mirabeau (1749-1791) yang juga dikenali sebagai Comte de Mirabeau, seorang bangsawan tetapi dipilih sebagai wakil Darjat Ketiga dari Aix-en-Provence, menjerit dengan suara yang lantang, “Kami berhimpun di sini atas kehendak rakyat!”, dan mengatakan bahawa mereka hanya akan meninggalkan dewan itu di bawah ancaman bayonet (pisau yang dipasang pada penghujung senapang). Dalam beberapa hari kemudiannya, lebih banyak lagi ahli perwakilan daripada Darjat Pertama dan Darjat Kedua menyertai Perhimpunan Kebangsaan.

Pada 25 Jun 1789, 12 orang wakil dari tiga buah bahagian yang berbeza di bandar Paris bersetuju untuk menubuhkan sebuah pentadbiran bandar Paris yang bersatu.

Berhadapan dengan demonstrasi rakyat dan ancaman pemberontakan dalam kalangan anggota Rejimen Pengawal Perancis yang sepatutnya melindungi raja, Raja Louis XVI berkompromi pada 27 Jun 1789 dengan mengarahkan Darjat Pertama dan Darjat Kedua untuk menyertai Darjat Ketiga dalam Perhimpunan Kebangsaan. Namun, pada masa yang sama, Raja Louis XVI mengerahkan unit tentera yang lebih dipercayainya, yang kebanyakannya terdiri daripada askar-askar upahan dari Switzerland dan Jerman, untuk datang ke bandar Paris.

Pada 30 Jun 1789, sekumpulan orang menyerbu penjara di Gereja Saint-Germain-des-Prés yang terletak di tebing selatan Sungai Seine yang mengalir melalui bandar Paris, dan membebaskan askar-askar yang dipenjarakan di situ kerana menghadiri pertemuan kelab politik.

Lambang Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan dengan slogan “Undang-undang dan Raja” menunjukkan hasrat ahli-ahli perwakilan dalam badan perundangan untuk mewujudkan sistem raja perlembagaan.

Pada 9 Julai 1789, Perhimpunan Kebangsaan menggelar dirinya sebagai “Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan” (Assemblée Nationale Constituante), dengan tujuan merangka sebuah perlembagaan bagi negara Perancis.

Pada 11 Julai 1789, Raja Louis XVI memecat Jacques Necker daripada jawatan Menteri Kewangan dan menyusun semula struktur kementerian kewangan. Tindakan itu mencetuskan aksi protes warga Paris. Banyak orang yang berdemonstrasi itu datang daripada lapisan masyarakat miskin di bandar Paris. Mereka bimbang bahawa Raja Louis XVI cuba merampas kuasa daripada Perhimpunan Kebangsaan yang baharu ditubuhkan itu. Pasukan Pengawal Diraja bertempur dengan massa rakyat yang marah di luar Istana Tuileries yang terletak di tebing utara Sungai Seine. Kebanyakan anggota Pengawal Perancis berpihak pada massa rakyat yang berprotes.

Pada 13 Julai 1789, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan mengisytihar bahawa ia berada dalam sidang tetap, apabila terdengar khabar angin bahawa Raja Louis XVI hendak membubarkannya dengan cara yang keras. Di Hôtel de Ville, iaitu Dewan Bandar Raya Paris, pemimpin-pemimpin penduduk bandar itu mula bersiap sedia untuk menubuhkan jawatankuasa pentadbiran bandar dan militia yang bersenjata.

Askar-askar Jerman yang melindungi Raja Perancis bertempur dengan pasukan Pengawal Perancis yang menyokong massa revolusioner di Paris pada 12 Julai 1789. (ilustrasi: Jean Duplessis-Bertaux / Jean-Louis Prieur)

Serbuan Bastille

Bastille ialah sebuah kubu dan penjara yang dibina pada sekitar tahun 1370-an semasa “Perang Seratus Tahun” (1337-1453) antara Perancis dan England. Ia terletak di bahagian timur kota Paris lama. Pada abad ke-17 dan ke-18, Bastille berfungsi sebagai penjara dan tempat tahanan untuk orang-orang penting yang didakwa dengan pelbagai pertuduhan. Bastille merupakan simbol pemerintahan raja berkuasa mutlak di Perancis. Ia berdiri megah dan membayangi jalan-jalan serta rumah-rumah yang dihuni oleh golongan rakyat biasa di bandar Paris, termasuk golongan tukang, golongan peniaga kecil dan pekerja-pekerja biasa. Sebelum tahun 1789, seperti Raja Perancis itu sendiri, ia kelihatan begitu kukuh, tidak dapat ditawan dan tidak boleh diruntuhkan.

Apabila khabar angin mengenai rampasan kuasa mula tersebar, massa rakyat di Paris mengambil tindakan revolusioner secara spontan untuk memajukan perjuangan. Pada 12 Julai 1789, golongan miskin di Paris mengadakan aksi protes dan merampas sebarang senjata yang dapat ditemui mereka. Dua hari kemudian, pada 14 Julai 1789, ratusan orang warga Paris berarak dan berhimpun di luar Bastille. Massa rakyat yang berhimpun itu memberontak dan menyerbu Bastille, kubu yang menjadi lambang pemerintahan monarki berkuasa mutlak itu. Askar-aksar yang menjaga Bastille itu melepaskan tembakan dengan meriam dan senapang. Selepas pertempuran lebih 3 jam, 98 orang pemberontak dibunuh. Namun, pintu Bastille akhirnya dibuka dan kubu yang melambangkan kekuasaan monarki itu jatuh dalam tangan golongan pemberontak.

Serbuan Bastille pada 14 Julai 1789. (ilustrasi: Jean-Pierre Houël)

Peristiwa Serbuan Bastille menunjukkan bahawa revolusi sudah bertapak di ibu negara Perancis, menjadikannya satu contoh yang bakal diikuti oleh bandar demi bandar di seluruh negara itu. Kejatuhan Bastille merupakan titik perubahan penting dalam Revolusi Perancis. Dunia sudah terbalik. Pemerintahan monarki berkuasa mutlak yang kelihatan begitu kukuh kekuasaannya ditumbangkan oleh pemberontakan warga bandar dalam tempoh tiga hari sahaja.  

Warga Paris menyerbu Bastille untuk menumpaskan cubaan rampasan kuasa tentera. Kejayaan pemberontakan bersenjata itu memberi pukulan hebat kepada sistem pemerintahan monarki berkuasa mutlak yang sudah dilemahkan oleh siri peristiwa sebelum itu. Berikutan peristiwa ini, Perhimpunan Perlembagaan Perancis ditransformasikan kepada sebuah kerajaan yang sebenar untuk memerintah negara Perancis.

Sejurus penawanan Bastille, sebuah badan pentadbiran bandar Paris ditubuhkan di Hôtel de Ville dan dikenali sebagai “Komun Paris”. Jean Sylvain Bailly (1736-1793), seorang ahli astronomi dan ahli matematik yang mempengerusikan sidang “Sumpah Gelanggang Tenis” sebelum itu, dinamakan sebagai Datuk Bandar Paris di bawah struktur pentadbiran komun yang baharu itu. Marquis de Lafayette (1757-1834), seorang bangsawan dan pegawai tentera yang pernah memimpin Angkatan Tentera Kontinental semasa Perang Revolusi Amerika, dipilih sebagai Ketua Komander “Pengawal Kebangsaan” (Garde Nationale) yang baharu ditubuhkan oleh Perhimpunan Kebangsaan untuk mempertahankan bandar Paris daripada ancaman rampasan kuasa. Pada 20 Julai 1789, 2 orang dipilih daripada setiap daerah di dalam bandar Paris untuk membentuk sebuah perhimpunan perbandaran yang terdiri daripada 120 orang perwakilan yang kebanyakannya berasal daripada Darjat Ketiga.

Gilbert du Motier, Marquis de Lafayette (1757-1834), tokoh monarkis-perlembagaan dalam Revolusi Perancis yang dipilih sebagai Ketua Komander Pengawal Perancis selepas Serbuan Bastille pada tahun 1789. (ilustrasi: Joseph-Désiré Court, 1834)

Pada 17 Julai 1789, Raja Louis XVI mengunjungi Paris dan disambut oleh Jean Sylvain Bailly dan Marquis de Lafayette di Hôtel de Ville. Raja Louis XVI menerima kokarde tiga warna (biru, putih dan putih), satu hiasan reben berbentuk bulat yang melambangkan Revolusi Perancis, dan memakainya di atas topinya dengan begitu tidak senang hati. Namun, adalah jelas pada masa itu, kuasa pemerintahan yang sebenar sudah beralih dari istana diraja di Versailles ke Hôtel de Ville di Paris.

Apabila berita revolusi di bandar Paris tersebar ke kawasan luar bandar, ia mendorong golongan petani untuk bangkit menentang golongan tuan tanah feudal. Ratusan ribu orang petani berarak ke tempat kediaman tuan tanah masing-masing dan membakar dokumen sewa tanah. Golongan miskin di pekan-pekan juga berprotes terhadap masalah kekurangan makanan, kenaikan harga dan pengangguran. Revolusi Perancis yang bermula dengan golongan borjuis menentang Ancien Régime, telah berubah menjadi pemberontakan massa rakyat yang menyeluruh.  

Sebuah lagi lukis mengenai peristiwa Serbuan Bastille. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Sesetengah golongan bangsawan yang tidak senang dengan perkembangan politik pada masa itu mula melarikan diri ke luar negara. Mereka dikenali sebagai émigré. Golongan bangsawan émigré yang kehilangan kekuasaan di Perancis itu membiayai kuasa-kuasa reaksioner di dalam Perancis dan menggesa raja-raja di negara-negara lain untuk menyokong usaha kontra-revolusi. Untuk 25 tahun selepas itu, kuasa-kuasa kontra-revolusi di dalam dan di luar negara Perancis melakukan pelbagai cubaan untuk menghancurkan pencapaian Revolusi 1789. Golongan revolusioner Perancis perlu berkali-kali memobilisasi perjuangan massa untuk mempertahankan Revolusi, dan prosesnya penuh dengan cabaran.

Penghapusan feudalisme

Tindakan revolusioner oleh penduduk-penduduk bandar Paris dan pemberontakan petani di merata tempat, mendorong Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan untuk mengeluarkan “Dekri-dekri Ogos” pada 4 Ogos 1789, yang mengisytiharkan penghapusan feudalisme.

Pada ketika itu, lebih 25% tanah yang diusahakan oleh golongan petani dikenakan pelbagai bayaran feudal yang menjadi sumber pendapatan utama kepada golongan bangsawan yang merupakan tuan tanah. “Dekri-dekri Ogos” membatalkan semua bayaran feudal dan cukai persepuluhan yang dibayar kepada Gereja Katolik. Walaupun petani-petani yang dibebaskan daripada hubungan feudal itu masih perlu membayar pampasan kepada tuan tanah, pengutipannya adalah amat mustahil dan kewajipan membayar pampasan kepada tuan tanah itu kemudiannya dibatalkan pada tahun 1793. Selain itu, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan juga mengeluarkan dekri-dekri yang mengisytiharkan kebebasan beragama, kebebasan bersuara, kesamarataan di sisi undang-undang dan sebagainya.

Sesi persidangan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan di Versailles yang diadakan pada 4 Ogos 1789. (ilustrasi: Charles Monnet, 1789)

Dengan penggantungan fungsi 13 buah parlement wilayah pada bulan November 1789, semua tonggak institusi Ancien Régime yang utama telah pun dimansuhkan dalam tempoh masa kurang daripada 4 bulan. Dari awal lagi, Revolusi Perancis menunjukkan sifat keradikalannya, bukan sekadar oleh kerana golongan elit yang menjadi perwakilan dalam Darjat Ketiga itu berani menentang raja, tetapi desakan hebat daripada massa rakyat bawahan.

Aksi perjuangan yang digerakkan oleh massa penduduk bandar Paris, yang terdiri daripada tukang-tukang muda, peniaga-peniaga kecil dan pekerja-pekerja am, memainkan peranan yang kritikal dalam menjatuhkan sistem monarki berkuasa mutlak. Massa rakyat yang revolusioner di Paris berjaya memperoleh sokongan daripada askar-askar, sehingga raja tidak berani untuk mengerahkan lebih banyak lagi askar ke dalam bandar Paris, maka membolehkan Bastille ditawan oleh massa revolusioner.

Penduduk-penduduk di bandar-bandar lain di seluruh Perancis juga mencontohi apa yang dilakukan di ibu negara untuk mewujudkan pihak berkuasa revolusioner yang baharu. Kebangkitan rakyat di bandar-bandar mendorong pemberontakan petani di kawasan luar bandar yang menjadi penentu kepada hala tuju revolusi. Perancis pada masa itu masih merupakan sebuah ekonomi pertanian. Kebanyakan askar datang daripada keluarga petani. Apabila penduduk-penduduk kampung menyerang tempat kediaman tuan tanah feudal, hampir mustahil untuk askar-askar daripada golongan petani itu mempertahankan golongan tuan tanah secara habis-habisan.

Perhimpunan Kebangsaan yang ditubuhkan oleh Darjat Ketiga yang turut disertai oleh golongan paderi berpangkat rendah daripada Darjat Pertama dan minoriti dalam golongan bangsawan yang membentuk Darjat Kedua, pada asalnya didominasi oleh majoriti perwakilan yang berfahaman konservatif. Majoriti yang berfahaman konservatif itu mendukung pembentukan sistem raja berperlembagaan yang dianggap akan menghentikan revolusi, di samping melindungi kepentingan dan harta milikan mereka. Golongan ini dipimpin oleh bangsawan seperti Marquis de Lafayette, yang juga merupakan pegawai tentera yang pernah berkhidmat dalam Perang Revolusi Amerika dan dilantik sebagai Ketua Komander Pengawal Kebangsaan di Paris.

Golongan revolusioner yang lebih radikal pada awalnya dipinggirkan oleh golongan majoriti yang mendominasi Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan. Namun, kekuatan golongan revolusioner radikal yang mendapat sokongan daripada kelas-kelas bawahan semakin meningkat dalam ruang politik yang terbuka berikutan pergolakan revolusi pada tahun 1789. Banyak kelab-kelab politik yang membawa idea-idea radikal telah ditubuhkan untuk membahaskan hala tuju Revolusi Perancis. Antara kumpulan yang paling terkenal ialah Kelab Jacobin yang diterajui oleh Maximilien Robespierre (1758-1794) dan Kelab Cordelier yang dipimpin oleh Georges Danton (1759-1794). Kedua-dua orang Robespierre dan Danton merupakan peguam.

Jean-Paul Marat (1743-1793), tokoh revolusioner radikal yang tegas membela nasib golongan sans-culotte. (ilustrasi: Joseph Boze, 1793)

Kira-kira 250 buah suratkhabar telah dilancarkan dalam tempoh 6 bulan separuh kedua tahun 1789 sahaja. Akhbar yang paling popular pada masa itu ialah “L’Ami du Peuple” (Rakan Rakyat) yang diasaskan pada bulan September 1789 oleh Jean-Paul Marat (1743-1793), seorang ahli sains dan bekas doktor yang aktif melibatkan diri dalam revolusi.

Jean-Paul Marat mengecam “Dekri-dekri Ogos” yang dikeluarkan oleh Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan itu kerana menganggap ia masih tidak mencukupi untuk membawa perubahan sebenar. Marat menuntut pembaharuan sosial yang lebih radikal, maka menjadikannya suara yang paling lantang dalam mewakili golongan sans-culotte dalam Revolusi Perancis.

Penampilan seorang sans-culotte yang tipikal. (ilustrasi: Louis-Léopold Boilly)

Sans-culotte

Sans-culotte bermaksud orang yang tidak pakai seluar kulot (culotte), sejenis seluar menunggang kuda yang sering dipakai oleh golongan bangsawan dan kelas borjuis pada masa itu. Sans-culotte merujuk kepada rakyat biasa daripada kelas bawahan semasa abad ke-18. Mereka hidup dalam kemiskinan dan kesusahan di bawah Ancien Régime, maka menjadikan mereka golongan yang paling radikal dan militan dalam aksi perjuangan semasa Revolusi Perancis.

Sans-culotte terdiri daripada kebanyakannya golongan kelas pekerja dan golongan miskin pada masa itu, seperti buruh kasar di bandar, tukang, pekedai kecil dan petani. Mereka menentang golongan bangsawan dan golongan elit borjuis yang menguasai kekayaan yang terlampau besar.

Oleh sebab sans-culotte merupakan antara golongan yang paling ditindas dalam Ancien Régime, mereka mendukung idea-idea politik yang lebih radikal untuk perubahan masyarakat yang lebih menyeluruh, seperti kesamarataan ekonomi, keadilan sosial dan demokrasi popular. Golongan sans-culotte menyokong pemansuhan semua kekuasaan dan keistimewaan yang dimiliki oleh raja, golongan bangsawan dan golongan agamawan Gereja Katolik Rom. Mereka menuntut upah buruh yang lebih baik dan pelaksanaan kawalan harga terhadap barangan keperluan asas seperti makanan. Tuntutan mereka untuk kesamarataan ekonomi bertentangan dengan kepentingan kelas borjuis yang kaya raya, tetapi golongan elit borjuis yang menerajui revolusi itu memerlukan sokongan sans-culotte untuk mempertahankan revolusi daripada diterbalikkan oleh golongan reaksioner.

San-cullotte (kiri) berbanding dengan orang yang memakai kulot (kanan). (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Sans-culotte juga merupakan golongan yang paling memusuhi kuasa-kuasa kontra-revolusi yang cuba menggagalkan Revolusi Perancis. Oleh itu, golongan sans-culotte membentuk asas sokongan utama kepada kumpulan politik yang radikal seperti Jacobin, Enragés dan Hébertistes. Golongan sans-culotte berorganisasi dalam 48 buah seksyen revolusioner di Paris. Seksyen-seksyen revolusioner ini merupakan perhimpunan setempat yang berfungsi sebagai kawasan mengundi untuk majlis perbandaran atau Komun. 48 buah seksyen diwujudkan oleh Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan pada tahun 1790 untuk menggantikan 60 buah daerah mengundi di dalam bandar Paris. Setiap seksyen mempunyai jawatankuasa sivil, jawatankuasa revolusioner dan militia tempatan. Seksyen-seksyen ini menjadi organ-organ demokrasi keterlibatan bagi golongan tukang, peniaga kecil dan pekerja am di bandar Paris, maka merupakan tempat lahirnya demokrasi radikal.

Sans-culotte merupakan golongan pendukung idea republikan yang tegar dan memainkan peranan kritikal dalam menjatuhkan sistem pemerintahan monarki di Perancis pada tahun 1792.

Sans-culotte yang bersenjata. (ilustrasi: Jean-Baptiste Lesueur / Pierre-Etienne Lesueur)

Golongan sans-culotte juga memainkan peranan utama dalam aksi massa dan mengambil alih kerja-kerja penyelenggaraan bandar semasa Revolusi Perancis. Mereka membentuk sebahagian besar Tentera Revolusioner Perancis pada peringkat awal Perang Revolusi Perancis (1792-1802). Revolusi Perancis tidak mungkin berjaya tanpa penyertaan aktif golongan sans-culotte, dan kegagalannya kemudian juga disebabkan oleh kemerosotan dalam penglibatan aktif golongan sans-culotte.

“Semua orang (lelaki?) dilahirkan bebas dan sama rata”

Pada 27 Ogos 1789, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan menerima “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” (Déclaration des droits de l’homme et du citoyen) sebagai dokumen kenyataan prinsip yang menggariskan nilai-nilai asas Revolusi Perancis dan hak-hak sivil yang patut dinikmati oleh rakyat Perancis.

Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1789. (ilustrasi: Jean-Jacques-François Le Barbier)

“Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” ditulis oleh jawatankuasa kecil dalam sebuah jawatankuasa yang ditugaskan oleh Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan untuk merangka perlembagaan dan kenyataan mengenai hak asasi rakyat. Draf awal “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” disediakan oleh Marquis de Lafayette dengan bantuan daripada Thomas Jefferson, kawan rapatnya yang merupakan salah seorang pemimpin Revolusi Amerika. Namun, Abbé Sieyès dan Comte de Mirabeau pula memainkan peranan utama dalam merangka draf muktamad.

Penulisan “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” dipengaruhi oleh konsep hak semula jadi dan idea-idea Zaman Pencerahan, di samping mendapat ilham daripada Perakuan Hak 1689 di England dan Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat 1776.

Dalam mukadimah “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara”, adalah dinyatakan dengan jelas bahawa hak asasi manusia harus memiliki ciri-ciri asas seperti “semula jadi, tidak boleh dicabut dan suci” dan berdasarkan “prinsip-prinsip yang mudah dan tidak boleh dipertikaikan”, untuk memastikan pemeliharaan perlembagaan dan kebahagiaan semua orang.

Cetakan yang menyenaraikan kesemua 17 perkara dalam Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1789. (sumber: Musée de la Révolution française)

Terdapat 17 perkara yang disenaraikan dalam “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara”, antaranya:

  • Semua orang dilahirkan dan kekal bebas dan sama rata. Perbezaan sosial hanya boleh wujud berdasarkan pertimbangan kebaikan bersama.” (Perkara 1)
  • Hak-hak manusia yang semula jadi dan tidak boleh diubah” ialah “kebebasan, hak harta, keselamatan dan penentangan terhadap penindasan”. (Perkara 2)
  • Kebebasan bermakna hak untuk melakukan apa sahaja yang tidak memudaratkan orang lain. “Pelaksanaan hak semula jadi setiap orang tiadanya batasan melainkan untuk memastikan anggota-anggota masyarakat yang lain dapat menikmati hak-hak yang sama. (Perkara 4)
  • Undang-undang ialah ekspresi kehendak umum.” (Perkara 6)
  • Tiada sesiapa boleh didakwa, ditangkap atau ditahan sewenang-wenangnya tanpa peruntukan undang-undang. (Perkara 7)
  • Setiap orang adalah dianggap tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah. (Perkara 9)
  • Semua warganegara berhak untuk bersuara, menulis dan menerbit secara bebas. (Perkara 11)
  • Percukaian awam harus ditanggung secara sama rata oleh semua warganegara mengikut kemampuan mereka untuk membayar. (Perkara 13)
  • Masyarakat mempunyai hak untuk meminta pegawai awam supaya melaporkan kerja-kerja pentadbirannya. (Perkara 15)
  • Masyarakat memerlukan perlembagaan untuk menjamin hak dan memastikan pengasingan kuasa. (Perkara 16)
  • Hak untuk harta adalah suci dan tidak boleh dicabul. (Perkara 17)

Prinsip-prinsip yang digariskan dalam “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” menjadi asas kepada pembangunan konsep kebebasan individu dan demokrasi liberal yang diterima secara meluas di seluruh dunia selepasnya. Namun begitu, penekanan perisytiharan ini dalam hak untuk harta persendirian, jelas menunjukkan sifat asasnya yang melindungi kepentingan kelas borjuis. Matlamat utama “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” adalah untuk menentang keistimewaan kelas bangsawan, bukannya untuk mewujudkan sebuah demokrasi sejati ataupun masyarakat yang sama rata.

Walaupun “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” (Déclaration des droits de l’homme et du citoyen) boleh dianggap sebagai sebuah dokumen penting yang membawa idea-idea progresif pada zamannya, ia masih mempunyai batasan yang ketara. “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” nampaknya hanya terpakai untuk “golongan lelaki yang mempunyai hak kewarganegaraan”. Homme dalam Bahasa Perancis bermaksud lelaki; sementara citoyen bermaksud warganegara lelaki. Memang dalam realitinya, golongan wanita dan hamba pada masa itu masih belum dianggap sebagai “manusia” yang mempunyai hak kewarganegaraan seperti golongan lelaki yang bebas.  

Olympe de Gouges (1748-1793), seorang penulis skrip drama dan aktivis politik yang memperjuangkan hak wanita dan menentang perhambaan. (ilustrasi: Alexander Kucharsky)

Oleh itu, Olympe de Gouges (1748-1793), seorang penulis drama yang memperjuangkan hak wanita dan antara orang yang terawal membantah perhambaan di Perancis, menulis “Perisytiharan Hak Wanita dan Warganegara Wanita” (Déclaration des droits de la femme et de la citoyenne) pada tahun 1791. “Ibu-ibu, anak-anak perempuan, adik-beradik perempuan dan perwakilan wanita dalam negara, menuntut supaya dimasukkan ke dalam Perhimpunan Kebangsaan,” begitu tulisnya Perisytiharan Hak Wanita yang juga menggariskan 17 perkara dengan menekankan penglibatan wanita. “Wanita dilahirkan bebas dan tetap sama rata dengan lelaki dalam hak.”

Revolusi ini hanya akan sempurna apabila semua wanita menyedari tentang nasib mereka yang malang dan hak-hak mereka yang hilang dalam masyarakat,” begitu tulisnya Olympe de Gouges yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Girondin yang berfahaman republikanisme moderat.

Muka surat pertama “Perisytiharan Hak Wanita dan Warganegara Wanita”.

Wanita berarak ke Versailles

Sememangnya pengabaian wanita dalam kenyataan prinsip revolusi pada abad ke-18, seperti “Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat” dan “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” di Perancis, jelas menunjukkan bahawa fahaman patriarki yang mendominasi masyarakat kelas masih bertapak kuat dalam minda golongan revolusioner lelaki pada masa itu. Namun begitu, ia tidak dapat menghalang golongan wanita daripada mengambil bahagian secara aktif dalam perjuangan revolusioner. Tanpa penglibatan aktif wanita, perjuangan revolusioner di Perancis yang mencabar susunan maysarakat sedia ada itu tidak akan menuju ke arah yang jauh lebih radikal berbanding Revolusi Inggeris dan Revolusi Amerika sebelumnya.

Selepas peristiwa pergolakan revolusioner pada bulan Julai 1789 yang menjadikan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan sebagai kuasa pemerintahan baharu dan melemahkan kuasa raja secara ketara, kerabat diraja dan golongan penyokong raja, termasuk golongan bangsawan émigré, sentiasa mencari jalan untuk mengembalikan kuasa mutlak raja. Mereka cuba menggagalkan proses merangka perlembagaan, malah merancang untuk merampas semula kuasa. Raja Louis XVI juga enggan menerima “Dekri-dekri Ogos” dan “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara”.

Golongan wanita yang revolusioner berarak ke Versailles pada 5 Oktober 1789. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pada 5 Oktober 1789, golongan wanita di pasar Paris yang tidak berpuas hati dengan masalah kenaikan harga barang dan kekurangan bekalan makanan yang berlarutan, berhimpun untuk menyuarakan kemarahan mereka. Perhimpunan itu kemudiannya bertukar kepada aksi protes untuk menuntut pembaharuan politik yang lebih radikal dan pembentukan sistem raja berperlembagaan yang menggantikan sistem monarki berkuasa mutlak. Golongan wanita yang berhimpun di pasar itu memanggil golongan lelaki sebagai “pengecut”, kerana mereka takut menyuarakan tuntutan pembaharuan politik yang radikal. Mereka mengisytihar, “Kami akan mengambil alih!”

Wanita-wanita yang bersemangat radikal itu menyerbu gedung senjata di bandar Paris dan merampas senjata di situ, termasuk beberapa buah meriam. Mereka mengambil masa kira-kira 6 jam untuk berarak ke Versailles yang terletak kira-kira 18 km dari pusat bandar Paris. Golongan lelaki juga mengikut di belakang golongan wanita yang militan itu.

Versailles ialah tempat terletaknya istana diraja dan juga tempat persidangan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan pada masa itu. Apabila tiba di Versailles, para demonstran yang kebanyakannya wanita itu menduduki dewan persidangan, mengepung istana diraja dan mengemukakan tuntutan pembaharuan politik mereka kepada Raja Louis XVI.

Pada hari keesokannya, iaitu 6 Oktober 1789, Raja Louis XVI, keluarga diraja dan ahli-ahli perwakilan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan yang berada di Versailles dipaksa untuk pulang ke bandar Paris, bersama-sama dengan lebih 60,000 orang demonstran. Raja Louis XVI ditempatkan di Istana Tuileries yang sudah dibiarkan kosong pada kebanyakan masanya sejak zaman Raja Louis XIV. Di bawah tekanan politik yang hebat, Raja Louis XVI mengumumkan bahawa dia menerima “Dekri-dekri Ogos” dan “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara”.

Golongan wanita yang berarak ke Versailles disambut meriah oleh orang ramai di tepi jalan. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Peristiwa Perarakan Wanita ke Versailles merupakan detik penentu untuk Revolusi Perancis. Sekali lagi, gerakan massa rakyat bawahan berjaya mematahkan cubaan rampasan kuasa oleh raja dan memajukan perjuangan revolusioner. Ia menunjukkan bahawa imbangan kuasa baharu sudah terbentuk. Kuasa mutlak raja dan kuasa istimewa yang dipegang oleh golongan bangsawan sebelum itu telah lenyap hampir sepenuhnya, sementara kuasa rakyat yang diterajui oleh golongan wanita menunjukkan kehebatannya. Ini menggalakkan gerakan massa selepasnya. Perarakan Wanita ke Versailles juga menandakan selesainya fasa pertama Revolusi Perancis, dengan pembentukan sistem raja berperlembagaan di Perancis.

Tidak lama selepas Perarakan Wanita ke Versailles, sebuah Petisyen Wanita kepada Perhimpunan Kebangsaan dikemukakan dengan cadangan supaya Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan mewujudkan kesamarataan untuk wanita, termasuk penghapusan keistimewaan lelaki di seluruh negara, pemilihan wanita ke dalam badan perundangan, perlantikan wanita sebagai hakim, menghentikan amalan menghina askar dengan menyuruh mereka memakai pakaian wanita dan sebagainya. Namun, petisyen ini tidak dibincangkan oleh ahli-ahli perwakilan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan yang terdiri daripada semuanya lelaki.

Selepas rundingan yang berpanjangan antara kumpulan-kumpulan yang berbeza pendirian politik dalam Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan, perlembagaan bertulis yang pertama untuk Perancis diluluskan dan berkuat kuasa pada bulan September 1791. Di bawah perlembagaan itu, corak pemerintahan negara Perancis yang baharu pada masa itu disahkan sebagai sistem raja berperlembagaan yang melindungi kebebasan dan kesamarataan hak rakyatnya.

Istana Tuileries pada tahun 1600-an. Ia merupakan istana diraja di dalam bandar Paris, tetapi dibiarkan kosong apabila Istana Versailles siap dibina sehingga Raja Louis XVI dipaksa pulang ke Paris selepas Perarakan Wanita ke Versailles. (ilustrasi: Stefano della Bella / Jean Marot / Israel Silvestre)

Perhimpunan Perundangan (Assemblée Législative) ditubuhkan pada 1 Oktober 1791 untuk menggantikan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan sebagai badan perundangan. Namun, wujudnya perbezaan pandangan yang ketara dalam kalangan ahli-ahli perwakilan yang bersidang dalam Perhimpunan Perundangan mengenai perkara berkaitan peranan raja, maka menjadikan badan perundangan itu tidak dapat memainkan peranan yang berkesan. Tambahan pula, cubaan Raja Louis XVI yang masih mempunyai kuasa veto itu untuk mencegah pengehadan kuasanya malah hendak menerbalikkan pembaharuan yang sudah dilaksanakan, memburukkan lagi perpecahan politik dalam Perhimpunan Perundangan.

Perang Revolusi Perancis

Pada bulan Jun 1791, Raja Louis XVI dan keluarganya cuba untuk melarikan diri keluar dari Perancis untuk menyertai tentera kontra-revolusi yang berkumpul di sempadan pada masa itu. Sebelum meninggalkan Istana Tuileries, Raja Louis XVI meninggalkan sebuah dokumen kenyataan di atas mejanya yang mengecam tindakan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan yang merampas kuasa daripada istana diraja, dan mengisytihar bahawa semua undang-undang yang diluluskannya selepas 23 Jun 1789 adalah tidak sah. Namun, cubaan Raja Louis XVI untuk melarikan diri itu menemui kegagalan. Dia ditangkap semasa dalam perjalanannya melarikan diri, dan dibawa pulang ke Paris. Peristiwa yang dramatik ini menjatuhkan lagi kewibawaan institusi monarki di mata rakyat jelata, dan lebih banyak lagi rakyat Perancis membenci sistem pemerintahan monarki.

Raja Louis XVI dan keluarganya yang cuba melarikan diri itu menyamar sebagai borjuis tetapi ditangkap di Varennes pada 21 Jun 1791. (ilustrasi: Thomas Falcon Marshall, 1854)

Sebulan kemudian, pada 17 Julai 1791, golongan Jacobin dan golongan Cordelier menganjurkan demonstrasi di Paris untuk mengetengahkan tuntutan menyingkirkan raja. Apabila warga Paris beratur untuk menandatangani petisyen yang menuntut pemansuhan monarki itu di Champ de Mars, sebuah ruang hijau terbuka di Paris, Pengawal Kebangsaan yang berada di bawah arahan Marquis de Lafayette melepaskan tembakan ke arah mereka dan membunuh kira-kira 50 orang. Yang ironinya, di tempat yang sama dengan penembakan mati warga Paris itu, pada setahun sebelum itu, iaitu pada 14 Julai 1790, warga Paris berhimpun dalam suasana berpesta untuk menyambut ulang tahun pertama peristiwa Serbuan Bastille. Pertumpahan darah warga Paris di atas tanah Champ de Mars bagaikan sempadan baharu dengan sungai berdarah yang memisahkan golongan penyokong raja berperlembagaan yang konservatif seperti Marquis de Lafayette dengan golongan republikan yang radikal seperti Jean-Paul Marat, Maximilien Robespierre dan Georges Danton. Oleh itu, Revolusi Perancis memasuki satu fasa baharu.

Sehari selepas peristiwa di Champ de Mars, Perhimpunan Perundangan melarang tindakan dan penerbitan yang menghasut rakyat untuk melanggar undang-undang, dengan larangan tersebut menyasarkan golongan Jacobin dan Cordelier. Marat bersembunyi dan Danton melarikan diri ke England.

Pembunuhan terhadap penyokong-penyokong republikan di Champ de Mars pada 17 Julai 1791. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Walaupun Revolusi Perancis 1789 pada awalnya didominasi oleh golongan penyokong raja berperlembagaan yang konservatif, pergolakan revolusioner di Perancis yang melemahkan kekuasaan monarki secara ketara itu amat tidak disenangi oleh kelas pemerintah di negara-negara jirannya yang masih mengamalkan sistem monarki berkuasa mutlak. Maharaja Leopold II dari Empayar Rom Suci (yang merupakan abang kepada Marie Antoinette, Ratu Perancis) dan Raja Frederick William II dari Prusia, dengan sokongan daripada golongan bangsawan émigré Perancis yang kontra-revolusi, mengeluarkan “Perisytiharan Pillnitz” pada 27 Ogos 1791, untuk menyeru pada kuasa-kuasa besar Eropah supaya mempertahankan Raja Louis XVI daripada ancaman revolusi, dan memberi amaran kepada golongan revolusioner Perancis supaya menyerahkan semula kuasa kepada Raja Louis XVI. Leopold II mengerahkan tentera Austria untuk ditempatkan di sempadan Perancis.

Berhadapan dengan ancaman ketenteraan daripada gabungan kuasa besar Eropah yang anti-Perancis, Perhimpunan Perundangan Perancis mengundi pada 20 April 1792 untuk mengisytihar perang ke atas Austria yang merupakan sebahagian daripada Empayar Rom Suci. Tentera Perancis melancarkan serangan ke atas Belanda Austria pada 28 April 1792, maka bermulanya Perang Revolusi Perancis (1792-1802). Perancis perlu bertempur dengan gabungan kuasa-kuasa besar Eropah yang kontra-revolusi. Apabila pendamaian akhirnya tercapai pada tahun 1815, Perancis telah berperang dengan hampir semua kuasa besar di Eropah, termasuk Empayar Rom Suci, Prusia, Portugal, Napoli, Britain, Belanda dan sebagainya.

Pertempuran Valmy pada 20 September 1792 menyaksikan kemenangan pertama bagi Tentera Revolusi Perancis. Penubuhan Republik Perancis diisytihar sehari selepas pertempuran ini. (ilustrasi: Horace Vernet, 1826)

Perang Revolusi Perancis boleh dibahagikan kepada dua fasa:

  • Perang Gabungan Pertama (1792-1797)
  • Perang Gabungan Kedua (1798-1802)

Perang Revolusi Perancis pada awalnya hanya berlaku di benua Eropah, dengan tentera Perancis cuba mempertahankan hasil Revolusi 1789 dan keutuhan wilayah Perancis, tetapi secara beransur-ansur ia menular ke tempat lain di seluruh dunia (seperti benua Afrika, rantau Caribbean, Timur Tengah, Lautan Hindia dan Lautan Atlantik). Perang ini boleh dikatakan “perang moden” yang pertama dalam sejarah. Selepas satu dekad peperangan, Perancis mencapai kemenangan besar dengan menawan wilayah-wilayah di Semenanjung Itali, Negeri-negeri Pamah dan Rhineland. Perancis juga memulakan sistem pengerahan orang awam secara besar-besaran ke dalam tentera. Perang Revolusi Perancis membangkitkan semangat nasionalis Perancis yang tidak pernah wujud sebelum itu dan menyebarkan lebih lanjut lagi prinsip-prinsip Revolusi Perancis ke seluruh Eropah. Peperangan diteruskan dengan Perang Napoleon (1803-1815) yang melibatkan lima buah lagi Gabungan Anti-Perancis.

Pengerahan rakyat secara besar-besaran untuk menyertai Tentera Revolusioner Perancis, telah menyemaikan semangat nasionalis dalam hati dan minda banyak rakyat Perancis. Semasa zaman Ancien Régime, rakyat biasa Perancis tidak merasakan diri mereka sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada tanah air Perancis, tetapi usaha mempertahankan revolusi daripada ancaman kuasa luar itu berjaya menyatukan rakyat Perancis daripada pelbagai latar belakang dan membolehkan mereka merasai diri mereka sebahagian daripada sebuah negara yang bersatu. Oleh itu, Revolusi Perancis dan perang yang mempertahankannya itu mewujudkan asas kepada kebangkitan fahaman nasionalisme Perancis.

Raja Louis XVI dihukum mati pada tahun 1793. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Pemberontakan Paris 10 Ogos 1792 dan kejatuhan monarki

Perang Revolusi Perancis yang bertujuan untuk mempertahankan revolusi daripada ancaman kontra-revolusi yang disokong oleh kuasa-kuasa asing bermula dengan situasi yang tidak berpihak kepada kerajaan revolusioner di Paris. Tentera Perancis mengalami kekalahan demi kekalahan selepas melancarkan serangan ke atas tentera Austria dan Prusia di sempadan pada bulan April 1792. Kerajaan revolusioner di Paris bertungkus lumus untuk mengumpulkan askar-askar baharu dan menyusun semula tentera supaya menghadapi ancaman serangan daripada tentera gabungan kuasa-kuasa besar Eropah yang kontra-revolusi.

Pada bulan Mei 1792, Joseph Servan, seorang anggota kumpulan Girondin yang baru dilantik sebagai Menteri Perang, mencadangkan untuk menjemput sukarelawan bersenjata dari wilayah-wilayah lain di negara Perancis supaya datang ke dalam Paris sebagai sokongan kepada Pengawal Kebangsaan, dan melatih mereka untuk mengambil posisi di barisan hadapan peperangan. Raja Louis XVI menggunakan kuasa veto yang diperuntukkan dalam Perlembagaan 1791 untuk menolak cadangan Servan itu, dan memecat menteri-menteri Girondin termasuk Servan. Walaupun tiadanya kelulusan daripada raja, masih adanya beribu-ribu orang sukarelawan dari wilayah-wilayah lain datang ke Paris dan disambut meriah oleh anggota-anggota Perhimpunan Perundangan, termasuk Maximilien Robespierre. Golongan sukarelawan bersenjata ini dikenali sebagai “fédérés”.

Warga Paris menyerbu masuk ke dalam Istana Tuileries pada 20 Jun 1792. (ilustrasi: Jan Bulthuis / Johannes Allart, ~1800)

Pada 20 Jun 1792, warga Paris mengadakan demonstrasi aman dengan tuntutan supaya Raja Louis XVI mengubah dasarnya. Para demonstran menggesa Raja Louis XVI untuk menguatkuasakan keputusan Perhimpunan Perundangan, mempertahankan Perancis daripada pencerobohan kuasa asing dan memelihara semangat Perlembagaan 1791 yang menegakkan sistem raja berperlembagaan. Para demonstran mengharapkan Raja Louis XVI menarik balik vetonya terhadap rang undang-undang yang diluluskan oleh Perhimpunan Perundangan dan memanggil semula menteri-menteri Girondin yang dipecatnya. Para demonstran menyerbu masuk ke dalam Istana Tuileries. Untuk menenangkan keadaan, Raja Louis XVI memakai sebuah topi merah yang diberikan kepadanya dan meminum segelas wain yang diserahkan kepadanya oleh seorang pekerja yang separuh mabuk, maka dianggap oleh para demonstran pada masa itu sebagai satu tanda merendahkan diri. Namun, Raja Louis XVI tidak menjanjikan apa-apa dan tidak menarik balik vetonya, malah lebih memusuhi rakyat kerana peristiwa itu. Warga Paris yang terasa diri mereka tertipu itu semakin marah lagi terhadap Raja Louis XVI dan institusi monarki.

Kemarahan rakyat terhadap Raja Louis XVI meningkat lagi apabila berita tentang “Manifesto Brunswick” sampai di Paris. Manifesto Brunwick ialah perisytiharan yang dikeluarkan pada 25 Julai 1792 oleh Charles William Ferdinand, Duke Brunswick, yang merupakan komander tentera gabungan Austria-Prusia. Manifesto itu ditullis oleh Louis Joseph de Bourbon, abang sepupu Raja Louis XVI yang merupakan pemimpin tentera émigré bangsawan Perancis yang kontra-revolusi. Manifesto itu menyatakan niat tentera gabungan kuasa besar Eropah untuk memulihkan kuasa mutlak raja Perancis, dan mengugut bahawa jika kerabat diraja Perancis dicederakan, maka rakyat Perancis akan menerima padahnya. Perisytiharan yang bertujuan untuk menakut-takutkan warga Paris itu sebaliknya menyemarakkan lagi api kemarahan rakyat Perancis terhadap pemerintahan monarki.

Raja Louis XVI menenangkan para demonstran yang menyerbu masuk ke dalam Istana Tuileries pada 20 Jun 1792 dengan memakai topi yang dihulurkan kepadanya dan meminum wain yang diberikan kepadanya. (sumber: Jacques-Antoine Dulaure, Esquisses historiques des principaux événemens de la révolution, v. 2,1823)

Pada 10 Ogos 1792, puluhan ribu orang sans-culotte bersama-sama dengan fédérés mengepung dan menyerang Istana Tuileries, tempat kediaman Raja Louis XVI di Paris. Pengawal Kebangsaan tidak mempertahankan raja pada masa itu, sebaliknya menyertai pemberontakan warga Paris. Istana Tuileries dipertahankan oleh golongan setia raja (Royalis) dan Pengawal Swiss yang merupakan tentera upahan dari negara asing. Selepas kira-kira 600 orang Royalis dan 370 orang revolusioner terbunuh dalam pertempuran yang sengit, Istana Tuileries akhirnya ditawan oleh golongan revolusioner dan Raja Louis XVI ditahan.

Golongan Cordelier, yang merupakan pendukung fahaman republikan radikal, memainkan peranan yang penting dalam merancang dan melakukan pemberontakan pada 10 Ogos 1792. Georges Danton, pemimpin Kelab Cordelier yang paling berpengaruh pada masa itu, boleh dikatakan penganjur dan ketua yang menerajui pemberontakan ini. Namun, Pemberontakan 10 Ogos 1792 tidak mungkin berjaya tanpa penglibatan aktif daripada massa rakyat bawahan.

Penawanan Istana Tuileries oleh golongan pemberontak republikan pada 10 Ogos 1792. (ilustrasi: Jean Duplessis-Bertaux, 1793)

Pada masa itu, penduduk-penduduk miskin yang tidak berharta di Paris semakin tidak berpuas hati dengan kewujudan raja berperlembagaan, yang cuba mengkhianati Revolusi Perancis tetapi masih disokong oleh pemimpin-pemimpin golongan borjuis dan bangsawan seperti Marquis de Lafayette. Akhirnya, pemberontakan rakyat bawahan berjaya menyingkirkan kuasa monarki daripada politik Perancis. Bukan sekadar begitu sahaja, penduduk-penduduk miskin di Paris juga mengambil alih pentadbiran bandar itu daripada golongan borjuis, dengan Komun Paris bebas daripada campur tangan pentadbiran kerajaan pusat yang juga terletak di bandar yang sama.

Pemberontakan warga bandar Paris pada tahun 1789 mewujudkan sistem raja perlembagaan di Perancis. Tiga tahun kemudian, satu lagi pemberontakan warga bandar Paris menjatuhkannya dan menggantikannya dengan sebuah republik. Pemberontakan 10 Ogos 1792 merupakan titik perubahan penting dan detik penentu dalam Revolusi Perancis, seperti Serbuan Bastille dan Perarakan Wanita ke Versailles pada tahun 1789.

Berikutan Pemberontakan 10 Ogos 1792, Perlembagaan 1791 yang mengenakan syarat kelayakan mengundi yang ketat mengikut status pemilikan harta itu dibatalkan. Perhimpunan Perundangan yang dipilih di bawah Perlembagaan 1791 juga dibubarkan, dan Konvensyen Kebangsaan (Convention Nationale) dipilih melalui sistem pengundian baharu di mana semua orang lelaki dewasa berhak untuk mengundi tanpa mengira status pemilikan harta. Perluasan hak mengundi kepada semua orang lelaki dewasa merupakan satu kompromi yang dibuat oleh golongan borjuis yang memiliki harta kepada rakyat bawahan yang tidak memiliki harta, hasil daripada kebangkitan rakyat bawahan itu sendiri.

Raja Louis XVI yang dilucutkan mahkotanya dibicarakan pada bulan Disember 1792 atas pertuduhan mengkhianati negara. (ilustrasi: Éléonore Sophie Rebel)

Konvensyen Kebangsaan mula bersidang pada 20 September 1792, dengan tentera Perancis memperolehi kemenangan pertama yang penting terhadap tentera gabungan kontra-revolusi dalam Pertempuran Valmy pada hari yang sama. Sehari kemudian, pada 21 September 1792, Konvensyen Kebangsaan yang didominasi oleh golongan republikan mengisytiharkan pemansuhan monarki di Perancis, maka membawa kepada pembentukan “Republik Pertama Perancis” (1792-1804). Kalender Republikan yang baharu diperkenalkan dengan tahun 1792 dikenali sebagai “Tahun I”.

Raja Louis XVI yang dilucutkan mahkotanya dihadap ke mahkamah atas pelbagai pertuduhan, termasuk mengkhianati negara dan sering kali mengancam keselamatan negara. Banyak bukti kukuh dikemukakan untuk menunjukkan bahawa Louis XVI bersubahat dengan penceroboh asing. 683 daripada 721 orang anggota Konvensyen Kebangsaan mengundi untuk menyokong sabitan kesalahan Louis XVI, dan tiada orang mengundi “tidak”. Dalam pengundian mengenai hukuman yang dikenakan ke atas Louis XVI, 387 orang menyokong hukuman mati ke atas Louis XVI, sementara 334 orang membantah. Dengan majoriti mudah, Louis XVI dijatuhkan hukuman mati.

Pada 21 Januari 1793, Louis XVI dipancung kepalanya dengan gilotin di hadapan orang ramai di Place de la Révolution (sekarang dikenali sebagai Place de la Concorde), sebuah dataran awam di pusat bandar Paris.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap Raja Louis XVI dengan gilotin pada 21 Januari 1793. (ilustrasi: Charles Monnet, 1794)

Sistem raja berperlembagaan di Perancis dihancurkan dalam tempoh tiga tahun selepas Revolusi 1789, kerana tiga kontradiksi yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu. Yang pertama, majoriti golongan bangsawan dan golongan agamawan Gereja Katolik masih sangat memusuhi Revolusi 1789, dan berniat untuk menerbalikkannya. Istana diraja menjadi pusat konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan revolusioner. Tentera émigré bangsawan ditubuhkan dan disokong oleh kuasa-kuasa besar Eropah yang lain. Ancaman kontra-revolusi adalah begitu nyata dan mendesak.

Yang kedua, harapan rakyat yang dibangkitkan oleh pergolakan revolusioner pada tahun 1789 telah menemui kekecewaan. Harapan untuk pemberdayaan politik dan pembaharuan sosial telah dimusnahkan oleh golongan monarkis-perlembagaan konservatif yang mendominasi Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan dan Perhimpunan Perundangan. Lebih-lebih lagi, masalah kekurangan makanan, kenaikan harga barangan dan pengangguran masih berlarutan. Oleh itu, sering tercetusnya rusuhan di Paris dan tempat-tempat lain untuk meluahkan ketidakpuasan hati rakyat biasa terhadap keadaan hidup yang susah.

Yang ketiga, terdapat cubaan terdesak daripada kerajaan revolusioner untuk menyelesaikan masalah perpecahan yang semakin meruncing dalam kalangan pendukung-pendukung rejim pemerintahan baharu itu, maka kuasa-kuasa politik pro-Revolusi yang berbeza pendirian akhirnya bersetuju untuk melancarkan Perang Revolusi Perancis demi menangkis ancaman musuh luar, di samping menyatukan semula kuasa-kuasa yang menyokong Revolusi Perancis.

Raja Louis XVI dipaksa untuk memakai topi kebebasan dan meminum wain yang dihulurkan oleh sans-culotte kepadanya selepas warga Paris menyerbu masuk ke dalam Istana Tuileries pada 20 Jun 1792. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Raja Louis XVI dan penyokong-penyokongnya mengharapkan kontra-revolusi akan berjaya dengan bantuan daripada kuasa-kuasa asing. Marquis de Lafayette dan golongan monarkis-perlembagaan mengharapkan Perang Revolusi Perancis akan menyatukan rakyat negara Perancis maka memperkukuhkan kedudukan dominasi mereka dalam rejim pemerintahan revolusioner. Golongan Girondin yang berfahaman republikan moderat pula mengharapkan gelombang kebangkitan semangat nasionalis dalam menghadapi ancaman luar itu dapat mengangkat mereka ke tampuk kekuasaan. Namun, percaturan daripada golongan elit itu semuanya tersalah langkah. Jeneral yang konservatif berpaling tadah kepada pihak musuh. Tentera Perancis mengalami kekalahan teruk pada peringkat awal peperangan. Ancaman Manifesto Brunswick pula mencetuskan kemarahan rakyat yang lebih hebat lagi terhadap institusi monarki. Keadaan yang penuh tegang inilah membawa kepada Pemberontakan 10 Ogos 1792 dan akhirnya terus memansuhkan sistem monarki.

Gelombang kebangkitan semangat perjuangan rakyat yang hebat mendorong ramai orang untuk menyertai tentera sukarelawan yang baharu dibentuk. “Keberanian, lebih keberanian, keberanian selama-lamanya dan Tanah Air akan dapat diselamatkan,” begitu katanya Georges Danton, pemimpin radikal daripada Kelab Cordelier, semasa berucap dalam Perhimpunan Perundangan pada 2 September 1792.

Tribunal Revolusioner ditubuhkan untuk membicarakan mereka yang dianggap sebagai musuh revolusi. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Revolusi memasuki fasa radikal

Seperti golongan monarkis-perlembagaan sebelum itu, golongan Girondin yang berkuasa dalam kerajaan baharu selepas penubuhan Republik Pertama Perancis juga terdesak untuk menghentikan proses revolusi. Ini kerana perubahan radikal yang dituntut oleh massa rakyat bawahan yang menggerakkan proses revolusi itu boleh mengancam kepentingan golongan elit borjuis. Mereka perlu mendirikan semula susunan masyarakat yang stabil untuk melindungi dan memajukan kepentingan kelas borjuis.

Oleh itu, percanggahan utama revolusi borjuis menonjol sekali lagi. Golongan republikan moderat yang diangkat ke tampuk kuasa oleh mobilisasi massa sekarang ini menumpu perhatian kepada usaha melindungi harta milik persendirian kelas borjuis daripada gerakan massa rakyat yang mendahagakan kesamarataan ekonomi.

Lambang Jawatankuasa Keselamatan Awam, yang ditubuhkan sebagai badan eksekutif pada ketika Perancis dalam keadaan darurat ancaman kontra-revolusi.

Namun, Republik Pertama Perancis masih menghadapi ancaman kontra-revolusi yang ketara daripada golongan pemerintah lama yang kehilangan kuasa. Menjelang musim bunga tahun 1793, Britain, musuh ketat Perancis sejak sebelum revolusi lagi, telah mengisytihar perang terhadap Perancis; golongan Royalis memberontak di wilayah Vendée yang terletak di bahagian barat Perancis; tentera asing yang kontra-revolusi sekali lagi mara menuju ke Paris dari timur laut; sementara itu, Charles François Dumouriez, seorang jeneral Girondin, berpaling tadah kepada musuh. Republik Pertama Perancis yang baharu ditubuhkan beberapa bulan itu seolah-olah berada di ambang kehancuran.

Untuk menghadapi krisis ancaman kontra-revolusi yang serius, Konvensyen Kebangsaan menubuhkan “Jawatankuasa Keselamatan Awam” (Comité de Salut Public) pada 6 April 1793 sebagai badan eksekutif yang utama bagi kerajaan Perancis. 6 daripada 9 orang anggota Jawatankuasa Keselamatan Awam yang pertama datang daripada kumpulan radikal dalam Konvensyen Kebangsaan yang dikenali sebagai “Montagne”, yang terdiri daripada golongan kiri dalam Jacobin dan golongan Cordelier.

Pada 26 Mei 1793, Maximilien Robespierre dan Jean-Paul Marat menyeru pada rakyat untuk memberontak sekali lagi untuk menentang Konvensyen Kebangsaan. Komun Paris yang didominasi oleh golongan radikal juga mula bersiap sedia untuk mengambil alih kuasa.

Pada 31 Mei 1793, demonstrasi besar-besaran yang disertai oleh kebanyakannya sans-culotte mengepung dan menyerbu dewan persidangan Konvensyen Kebangsaan. Golongan demonstran menuntut supaya Konvensyen Kebangsaan dibubarkan. Pada 2 Jun 1793, golongan demonstran sans-culotte dan Pengawal Kebangsaan yang dipimpin oleh François Hanriot menduduki dewan persidangan Konvensyen Kebangsaan, dan memaksanya untuk menahan 29 orang ahli perwakilan Girondin dan 2 orang menteri.

Golongan sans-culotte di Paris memberontak dari 31 Mei hingga 2 Jun 1793 untuk menjatuhkan kekuasaan Girondin. (ilustrasi: Jean-Joseph-François Tassaert, ~1800)

Pemberontakan 31 Mei – 2 Jun 1793 merupakan satu lagi titik perubahan penting dalam Revolusi Perancis. Dengan golongan Girondin kehilangan kuasa dalam Konvensyen Kebangsaan, golongan Jacobin yang berhaluan mendominasi. Jawatankuasa Keselamatan Awam yang terdiri daripada 9 orang dengan majoritinya golongan Montagne menjadi kerajaan Perancis yang sebenar. Jawatankuasa Keselamatan Awam melapor kepada Konvensyen Kebangsaan setiap minggu dan anggotanya dipilih semula setiap bulan. 3 orang pemimpin Jacobin yang utama – Maximilien Robespierre, Louis Antoine de Saint-Just dan Georges Couthon – menjadi pemandu utama kepada Jawatankuasa Keselamatan Awam.

Selepas kejatuhan Girondin, Konvensyen Kebangsaan melantik Louis Antoine de Saint-Just dan beberapa lagi orang perwakilan untuk membentuk sebuah jawatankuasa supaya merangka sebuah perlembagaan baharu. Perlembagaan baharu itu bertujuan untuk menggantikan Perlembagaan 1791 yang berasaskan prinsip-prinsip sistem raja berperlembagaan tetapi sudah lapuk selepas pemansuhan monarki pada tahun 1792. Konvensyen Kebangsaan menerima perlembagaan baharu itu pada 24 Jun 1793 dan mengadakan referendum untuk mendapatkan kelulusan. Dengan memberi hak mengundi sejagat kepada semua warga lelaki, perlembagaan baharu mendapat sokongan undian 99% daripada lebih 1.8 juta orang yang mengundi.

Perlembagaan 1793 menggariskan visi yang radikal untuk pendemokrasian dan pengagihan semula kekayaan, menandakan Revolusi Perancis memasuki fasa yang paling radikal. Selain daripada mengembangkan idea-idea dalam “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1789”, Perlembagaan 1793 menyatakan keunggulan “kedaulatan rakyat” berbanding kedaulatan negara, di samping menambahkan beberapa hak ekonomi dan sosial, seperti hak untuk berpersatuan, hak untuk bekerja, hak untuk mendapatkan bantuan kebajikan awam, hak untuk pendidikan awam, hak untuk memberontak dan tanggungjawab rakyat untuk memberontak apabila kerajaan melanggar hak-hak rakyat. Kenyataan mengenai hak-hak baharu itu termaktub dalam “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1793” yang merupakan sebahagian daripada perlembagaan yang radikal itu.

Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1793 tidak pernah dilaksanakan.

Terdapat 35 perkara disenaraikan dalam “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1793”, antaranya:

  • Matlamat masyarakat ialah kesejahteraan bersama. Kerajaan ditubuhkan untuk menjamin bahawa manusia menikmati hak-haknya yang semula jadi dan tidak boleh dirampas.
  • Hak-hak yang semula jadi itu ialah kesamarataan, kebebasan, keselamatan dan harta.
  • Semua orang adalah sama rata secara semula jadi dan di sisi undang-undang.
  • Undang-undang ialah ekspresi kehendak umum; ia adalah sama untuk semua orang, sama ada ia melindungi atau menghukum; ia hanya boleh memerintah apa yang adil dan berguna untuk masyarakat; ia hanya boleh melarang apa yang memudaratkan masyarakat.
  • Semua warganegara adalah layak secara sama rata untuk memegang jawatan awam.
  • Kebebasan ialah kuasa yang dimiliki oleh manusia untuk melakukan apa-apa yang tidak memudaratkan hak-hak orang lain. “Jangan melakukan perkara yang anda tidak mahu dilakukan terhadap anda itu ke atas orang lain.”
  • Hak untuk menyuarakan pemikiran dan pendapat melalui cara penerbitan akhbar atau apa-apa cara lain, hak untuk berhimpun secara aman, dan kebebasan untuk beragama, tidak boleh dilarang.
  • Keselamatan bermakna perlindungan yang diberikan oleh masyarakat kepada setiap orang anggotanya untuk memelihara dirinya, hak-haknya dan hartanya.
  • Undang-undang harus melindungi kebebasan orang ramai dan individu daripada penindasan oleh mereka yang memerintah.
  • Setiap orang dianggap tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah.
  • Setiap warganegara mempunyai hak untuk harta persendirian, di mana dia berhak untuk menikmati dan melupuskan barangan, pendapatan dan hasil perburuhannya sesuka hati.
  • Semua warganegara berhak untuk bekerja, bertani atau berdagang.
  • Setiap orang boleh menyumbangkan tenaga kerjanya melalui kontrak, tetapi tidak boleh menjualkan dirinya ataupun dia tidak boleh dijual: Diri seseorang bukannya harta yang boleh dipindah milik. Undang-undang tidak mengiktiraf perhambaan.
  • Bantuan kebajikan awam ialah sejenis hutang yang suci. Masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memberi rezeki kepada warganegara yang malang, sama ada memberikan kerja kepada mereka atau memberikan sumber-sumber kelangsungan hidup kepada mereka yang tidak dapat bekerja.
  • Pendidikan ialah keperluan untuk semua orang. Masyarakat harus dengan sedaya upaya memajukan akal umum dan memastikan setiap orang warganegara memperoleh pendidikan.
  • Kedaulatan negara terletak dalam tangan rakyat. Ia adalah satu, dan tidak boleh dibahagikan, tidak boleh dihadkan dan tidak boleh dipisahkan.
  • Rakyat sentiasa mempunyai hak untuk menyemak semula, memperbaharui dan mengubah perlembagaannya. Satu generasi tidak boleh memaksa generasi akan datang untuk mematuhi undang-undangnya.
  • Setiap warganegara mempunyai hak sama rata untuk dalam penggubalan undang-undang dan pemilihan wakilnya.
  • Rakyat berhak untuk menentang penindasan.
  • Apabila salah seorang anggota kumpulan masyarakat ditindas, maka wujudnya penindasan terhadap kumpulan masyarakat itu; apabila sesebuah kumpulan masyarakat itu ditindas, setiap anggotanya juga ditindas.
  • Apabila kerajaan melanggar hak-hak rakyat, pemberontakan ialah hak yang paling suci dan kewajipan yang paling penting untuk rakyat dan setiap bahagian rakyat.
Golongan Royalis yang kontra-revolusi memberontak di wilayah Vendée pada tahun 1793 tetapi akhirnya ditewaskan golongan republikan. (ilustrasi: Paul-Émile Boutigny, 1899)

Walaupun Perlembagaan 1793 yang dirangka oleh golongan Montagne (terdiri daripada Jacobin kiri dan Cordelier) ini mendapat sambutan baik dan sokongan besar terutamanya daripada rakyat bawahan (termasuk sans-culotte) kerana sifatnya yang radikal, Konvensyen Kebangsaan menggantungkan pelaksanaannya pada 10 Oktober 1793 dan mengisytihar pembentukan “Kerajaan Revolusioner” sehingga negara mencapai keamanan, kerana Perancis menghadapi ancaman dalaman dan luaran yang amat hebat pada masa itu. Oleh itu, Perlembagaan 1793 yang radikal itu hanya kekal sebagai sebuah dokumen yang menyatakan hasrat rakyat Perancis untuk sebuah masyarakat yang bebas, sama rata dan menjamin kesejahteraan bersama.

Penyingkiran keluar golongan Girondin daripada Konvensyen Kebangsaan mencetuskan siri pemberontakan di beberapa buah wilayah Perancis oleh golongan Fédéraliste. Golongan Fédéraliste terdiri daripada mereka yang menentang pemusatan kuasa dalam tangan rejim yang diterajui oleh golongan Montagne di Paris dan pendekatan radikal yang diamalkan oleh golongan Jacobin. Pemberontakan Fédéraliste mendapat sokongan daripada golongan Royalis. Revolusi Perancis yang berhadapan dengan ancaman serangan tentera kuasa besar dari luar dan pemberontakan kontra-revolusi di dalam negara itu, terdesak untuk mempertahankan hasil revolusi dengan pendekatan yang ekstrem.

Pelaksanaan hukuman mati dengan gilotin semasa pemerintahan Jacobin. (ilustrasi: Pierre-Antoine Demachy, ~1793)

“Pemerintahan Ganas”

Jawatankuasa Keselamatan Awam mewujudkan ekonomi perang total, dengan kaedah-kaedah seperti pengerahan rakyat secara besar-besaran ke dalam tentera, pemiliknegaraan perusahaan perang dan percukaian progresif. Pinjaman paksaan dikenakan ke atas golongan kaya untuk mendapatkan dana yang membiayai peperangan. Tanah milik golongan émigré dan Gereja dirampas, dipecahkan kepada plot-plot tanah yang kecil, dan dibahagikan kepada golongan petani. Kawalan harga dikenakan, dan spekulasi harga barangan dijadikan kesalahan jenayah berat.

Jean-Paul Marat, seorang pemimpin penting puak Montagne dalam Jacobin yang radikal dan mendukung penggunaan cara keganasan untuk mematahkan ancaman kontra-revolusi, dibunuh pada 13 Julai 1793 oleh Charlotte Corday, seorang penyokong Girondin, semasa dia mengambil mandi ubat yang merawat penyakit kulitnya. Charlotte Corday pula dihukum mati empat hari kemudian, pada 17 Julai 1793, kerana melakukan pembunuhan itu. Pembunuhan Marat meningkatkan lagi tahap paranoia golongan Jacobin-Montagne terhadap ancaman kontra-revolusi, maka memperkukuhkan lagi pandangan yang menggunakan keganasan melampau untuk mempertahankan revolusi.

Lukisan oleh “Kematian Marat” (1793) oleh Jacques-Louis David.

Jawatankuasa Keselamatan Awam memperkenalkan dasar “keganasan” untuk menangkis kontra-revolusi. Gilotin yang berada di pusat bandar Paris menjadi lambang kepada keadilan revolusioner. Gilotin (guillotine) ialah sejenis alat memancung kepala yang dicadangkan pada tahun 1789 oleh Joseph-Ignace Guillotin, dengan tujuan menjalankan hukuman mati dalam cara yang lebih berperikemanusiaan (iaitu kesakitan yang paling kurang). Gilotin digunakan pertama kali pada 15 April 1792 untuk menghukum mati seorang pencuri biasa, tetapi kemudiannya banyak orang kenamaan turut dipenggal kepala mereka dengan gilotin, daripada raja dan golongan kontra-revolusi sehinggalah tokoh-tokoh revolusi yang utama pun tidak dapat mengelakkan diri.

Dalam tempoh antara bulan September 1793 hingga Julai 1794, pihak berkuasa Jacobin di Paris dan bandar-bandar lain, menjalankan hukuman mati dengan gilotin terhadap ribuan orang yang dianggap sebagai ancaman kepada revolusi. Kira-kira 17,000 orang dihukum mati, sementara sebanyak lebih 10,000 orang dibunuh tanpa perbicaraan dan kira-kira 10,000 orang lagi mati di dalam penjara. Walaupun dasar keganasan Jacobin menyasarkan golongan yang dianggap kontra-revolusi, kebanyakan orang yang dihukum mati merupakan rakyat biasa. Hanya kurang daripada 10% orang yang dihukum mati dengan gilotin itu merupakan bangsawan. Oleh itu, tempoh singkat di mana golongan revolusioner Jacobin itu berkuasa juga dikenali ramai sebagai “Pemerintahan Ganas” (La Terreur).

Gilotin, penimbang tara untuk kontradiksi-kontradiksi revolusi? (sumber: Encyclopædia Britannica)

Keganasan revolusioner digunakan oleh golongan Jacobin itu merupakan produk yang dihasilkan daripada dua faktor. Yang pertama, ancaman daripada golongan kontra-revolusi memang amat ketara dan sangat membahayakan revolusi. Di bandar-bandar dan kampung-kampung yang ditawan oleh golongan kontra-revolusi, mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap golongan republikan. Golongan kontra-revolusi membunuh lebih banyak orang berbanding golongan Jacobin. Jika golongan kontra-revolusi kembali berkuasa di Paris, sudah pasti mereka akan melemaskan revolusi dalam lautan darah. Hukuman mati menjadi satu pendekatan yang dianggap perlu oleh golongan revolusioner untuk menghalang aktiviti kontra-revolusi dalam kalangan rakyat. Pemenjaraan dilihat kurang berkesan untuk mematahkan semangat golongan pembangkang politik yang menjangkakan mereka akan dibebaskan apabila pihak mereka menang dalam perlawanan yang penuh keganasan itu.

Faktor kedua pula berkaitan dengan ciri-ciri rejim Jacobin yang penuh dengan kontradiksi. Pemerintahan revolusioner Jacobin didirikan di atas sebuah asas sokongan masyarakat yang agak sempit dan tidak stabil. Golongan Jacobin merupakan revolusioner borjuis yang mempunyai visi radikal. Namun, dengan proses revolusi semakin menjurus ke arah yang lebih radikal, kebanyakan golongan borjuis – Royalis, monarkis-perlembagaan dan republikan yang moderat – telah berpaling tadah kepada pihak kontra-revolusi. Hanya minoriti dalam kelas borjuis yang paling radikal masih menyokong pemerintahan Jacobin. Kepimpinan Jacobin pada masa itu terdiri daripada golongan profesional kelas menengah yang sederhana. Asas sokongan mereka pada tahun 1793-1794 amat bergantung pada gerakan sans-culotte.

Pelaksanaan hukuman mati dengan gilotin terhadap golongan émigré yang kontra-revolusi pada bulan Oktober 1793. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Darurat revolusioner memerlukan langkah-langkah radikal yang paling ditakuti dan ditolak oleh golongan pemilik harta. Ini memperkuatkan lagi sentimen kontra-revolusi dalam kalangan kelas borjuis. Jawatankuasa Keselamatan Awam ialah badan yang dipilih oleh Konvensyen Kebangsaan yang didominasi oleh golongan elit borjuis, dan pemimpin-pemimpin Jacobin pula merupakan pembela harta milik persendirian yang teguh. Ini merenggangkan hubungan golongan Jacobin dengan gerakan rakyat bawahan.

Dalam keadaan darurat politik-ketenteraan yang melanda Republik Pertama Perancis pada tahun 1793-1794, dengan kelangsungan rejim revolusioner menjadi pertaruhan, gilotin menjadi penimbang tara kepada kontradiksi-kontradiksi ini.

Keganasan revolusioner yang dilaksanakan melalui gilotin itu, bukan sahaja menghapuskan golongan kontra-revolusi, ia juga memakan diri golongan revolusioner itu sendiri, apabila golongan revolusioner yang kritikal terhadap pemerintahan kediktatoran yang ganas itu turut menjadi mangsa gilotin. Pada bulan Mac 1794, golongan Hébertistes yang berhaluan kiri, termasuk pemimpin utamanya Jacques Hébert, dihukum mati atas pendirian politik mereka yang terlalu radikal di mata pemimpin Jacobin. Pada bulan seterusnya, golongan Indulgent yang berhaluan kanan moderat dihapuskan secara ganasnya, dengan pemimpin utamanya Georges Danton turut dibunuh dengan gilotin, kerana pendirian mereka yang hendak mengurangkan keganasan melampau. Dengan cara terus membunuh sesiapa yang dianggap sebagai ancaman, Jawatankuasa Keselamatan Awam yang berhaluan “tengah” cuba mengekalkan imbangan kuasa politik yang semakin tidak menentu.

Kesan daripada keganasan revolusioner yang melampau itu adalah ia melumpuhkan penentangan terhadap rejim selama beberapa bulan, tetapi ia juga mengecutkan lagi asas sokongan massa untuk rejim revolusioner. Janji-janji pembaharuan untuk kesamarataan ekonomi dan keadilan sosial tidak dapat ditunaikan dalam pemerintahan ganas, maka mengecewakan rakyat bawahan. Ini mengakibatkan gerakan rakyat yang membela revolusi itu mengalami kemerosotan. Louis Antoine de Saint-Just berkata selepas Jacques Hébert dihukum mati, “Revolusi telah dibekukan.”

Pelaksanaan hukuman mati dengan gilotin terhadap Georges Danton pada 5 April 1794. (ilustrasi: Charles Barbant)

Pemerintahan kediktatoran Jacobin melalui Jawatankuasa Keselamatan Awam mengambil langkah-langkah yang radikal dan drastik untuk memobilisasi massa dalam perjuangan menentang kontra-revolusi. Menjelang musim panas tahun 1794, ancaman kontra-revolusi telah dipatahkan. Pada masa yang sama, di barisan hadapan medan perang, Tentera Revolusioner Perancis yang disusun semula juga berjaya menewaskan tentera penceroboh, malah menduduki bandar Brussels yang berada di bawah penguasaan Belanda Austria sebelum itu. Ancaman mendesak di hadapan mata telah dileraikan. Keadaan darurat yang membolehkan kebangkitan Jacobin ke tampuk kekuasaan itu telah sampai ke penghujung.

Golongan borjuis yang diwakili dalam Konvensyen Kebangsaan telah dipujuk atau dipaksa untuk menyokong pemerintahan ganas Jawatankuasa Keselamatan Awam selagi keadaan darurat wujud. Pemerintahan radikal Jacobin yang menggunakan pendekatan ganas tetapi juga mempunyai hubungan rapat dengan gerakan rakyat bawahan itu dianggap sebagai sesuatu yang perlu dan tidak boleh dielakkan bagi golongan borjuis yang hendak mengekalkan keutuhan republik borjuis yang baharu itu.

Apabila keadaan darurat itu tiada wujud lagi, kepentingan kelas diberi perhatian semula oleh mereka yang berkuasa. Golongan elit borjuis yang menyokong pemerintahan Jacobin kerana keadaan terdesak sebelum itu mula menarik balik sokongan mereka. Golongan elit yang hendak merampas dan mengekalkan kekuasaan politik itu tidak pernah bersyukur pada golongan radikal dan massa rakyat yang memajukan perjuangan perubahan masyarakat. Konvensyen Kebangsaan yang dianggotai oleh kebanyakannya golongan elit borjuis mula menyasar untuk menjatuhkan golongan Jacobin-Montagne yang menguasai Jawatankuasa Keselamatan Awam. Revolusi Perancis berada dalam satu lagi titik perubahan ketara, tetapi kali ini dalam gear undur.

Hôtel de Ville di Paris diserang semasa Reaksi Thermidor pada 27 Julai 1794. (ilustrasi: Pierre Gabriel Berthault, 1804)

Reaksi Thermidor

Maximilien Robespierre dan golongan Jacobin mempunyai banyak musuh politik. Untuk mengekalkan imbangan kuasa antara golongan borjuis dan golongan sans-culotte, pemerintahan kediktatoran Jacobin telah memukul secara kerasnya mereka yang dianggap sebagai ancaman atau musuh politik daripada golongan berhaluan kanan dan golongan berhaluan kiri. Ini menyebabkan kuasa-kuasa yang pernah ditindas oleh golongan Jacobin sebelum itu bergabung untuk menjatuhkan rejim pemerintahan Jacobin.

Memandangkan kuasanya semakin dihakis dan diancam, Robespierre menyeru untuk melakukan satu lagi penangkapan besar-besaran dan penghukuman terhadap “pengkhianat”. Namun, pada 27 Julai 1794, musuh-musuh politik Robespierre dalam Konvensyen Kebangsaan menenggelamkan suaranya dan mengundi untuk menangkap Robespierre, adiknya Augustin Robespierre, Louis Antoine de Saint-Just, Georges Couthon dan Philippe-François-Joseph Le Bas.

Maximilien Robespierre ditumpaskan dalam Konvensyen Kebangsaan pada 27 Julai 1794. (ilustrasi: Max Adamo, 1870)

Golongan Jacobin berundur ke Hôtel de Ville, dan menyeru untuk melancarkan satu pemberontakan revolusioner. Namun, sokongan kepada golongan Jacobin pada masa itu sudah merosot dengan ketara, kerana mereka pernah menyerang penyokong-penyokong mereka sendiri semasa memegang kuasa, menghukum mati aktivis-aktivis berhaluan kiri, menarik balik larangan terhadap spekulasi makanan dan mengenakan pemotongan gaji. Hanya 16 daripada 48 seksyen di Paris menghantar militia ke Hôtel de Ville untuk mempertahankan golongan Jacobin, tetapi bersurai selepas berdiri di situ beberapa jam tanpa kepimpinan yang jelas.

Askar-askar yang setia pada Konvensyen Kebangsaan menawan Hôtel de Ville dengan mudahnya pada waktu awal pagi 28 Julai 1794. Robespierre dan pemimpin-pemimpin Jacobin ditangkap dan dibawa untuk menghadap Tribunal Revolusioner; tetapi tiada perbicaraan dijalankan terhadap mereka, dan mereka terus dihukum mati. 22 orang dihukum mati dengan gilotin pada hari yang sama, termasuk Robespierre, Saint-Just, Couthon, Le Bas dan François Hanriot. 71 orang lagi anggota Jacobin dihukum mati pada hari seterusnya.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap Maximilien Robespierre dengan gilotin pada 28 Julai 1794. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Peristiwa rampasan kuasa daripada Jawatankuasa Keselamatan Awam dan penumpasan rejim pemerintahan Jacobin ini dikenali sebagai “Reaksi Thermidor”. Thermidor, yang berasal daripada perkataan Bahasa Greece “thermos” yang bermaksud panas, ialah bulan kesebelas dalam Kalendar Republikan Perancis yang hanya mula digunakan pada tahun 1793. Bulan Thermidor jatuh antara 19 atau 20 Julai hingga 17 atau 18 Ogos. Oleh sebab peristiwa Reaksi Thermidor pada tahun 1794 itu, istilah “Thermidor” juga membawa maksud fasa reaksioner yang menyusuli fasa revolusioner, di mana ia menyaksikan pengunduran atau pembalikan daripada matlamat, dasar dan strategi yang lebih radikal dalam sesebuah revolusi. Konvensyen Kebangsaan selepas Reaksi Thermidor juga dikenali sebagai “Konvensyen Thermidor” (Convention Thermidorienne).

Sesetengah golongan berhaluan kiri melibatkan diri dalam rampasan kuasa Thermidor yang menjatuhkan pemerintahan Jacobin. Namun, ini satu kesilapan politik yang besar bagi mereka. Asas sokongan massa mereka runtuh kerana ini. Tidak lama kemudian, adalah jelas bahawa ia ialah satu kudeta yang bersifat reaksioner, di mana kuasa pemerintahan telah beralih kepada golongan berhaluan kanan.

Hôtel de Ville di Paris diserang semasa Reaksi Thermidor pada 27 Julai 1794. (ilustrasi: Jean Duplessis-Bertaux / Isidore Stanislas Helman, ~1799)

Selepas Reaksi Thermidor, kumpulan-kumpulan samseng yang terdiri daripada anak-anak muda kaya bermaharajalela di jalanan Paris. Mereka menyerang dan menutup Kelab Jacobin. Syarat pemilikan harta untuk pengundian diperkenalkan semula. Perancis dibayangi oleh “Keganasan Putih” (Terreur Blanche). Mangsa-mangsa Keganasan Putih itu termasuk anggota-anggota Kelab Jacobin tempatan dan penyokong-penyokong Jacobin.

Konvensyen Thermidor membatalkan dasar kawalan harga yang diperkenalkan semasa pemerintahan Jacobin, mengundang masalah ekonomi yang teruk, dengan harga barangan naik secara mendadak sementara nilai mata wang jatuh. Kemiskinan dan kelaparan akibat daripada dasar Konvensyen Thermidor mencetuskan pemberontakan sans-culotte di Paris pada 1 April 1795 (Pemberontakan 12 Germinal Tahun III). Germinal (berasal daripada perkataan Bahasa Latin “germen” yang bermaksud percambahan) ialah bulan ketujuh Kalendar Republikan Perancis yang jatuh antara 21 atau 22 Mac hingga 19 atau 20 April. Konvensyen Thermidor mematahkan pemberontakan sans-culotte dengan kekerasan, dan menahan pemimpin-pemimpin berhaluan kiri yang pernah menyokong Reaksi Thermidor pada awalnya.

Golongan sans-culotte di Paris cuba menghalang pengusiran pemimpin Jacobin pada 2 April 1795. (ilustrasi: Jean Duplessis-Bertaux, 1802)

Pada 20 Mei 1795, golongan Jacobin dan sans-culotte memberontak lagi (Pemberontakan 1 Prairial Tahun III) untuk menentang Konvensyen Thermidor. Prairial (berasal daripada perkataan Bahasa Perancis “prairie” yang bermaksud padang rumput) ialah bulan kesembilan Kalendar Republikan Perancis yang jatuh antara 20 atau 21 Mei hingga 18 atau 19 Jun. Golongan pemberontak menceroboh ke dalam dewan persidangan Konvensyen Thermidor tetapi disuraikan oleh tentera dengan cepat. Konvensyen Thermidor mengundi untuk menahan ahli-ahli perwakilan yang terlibat dalam pemberontakan. Satu lagi pemberontakan berlaku pada hari keesokannya, pada 21 Mei 1795, dengan golongan Jacobin dan sans-culotte menduduki Hôtel de Ville. Namun, pemberontakan itu dipatahkan juga dan Konvensyen Thermidor bertindak balas dengan penindasan yang lebih teruk terhadap golongan Jacobin. Kesan daripada penindasan yang berterusan, pengaruh politik golongan Montagne dan Jacobin yang radikal dipatahkan sepenuhnya. Gerakan massa sans-culotte juga menerima pukulan hebat dan tidak lagi memainkan peranan yang berkesan dalam politik Perancis sehingga gelombang revolusi baharu pada awal abad ke-19.

Pemberontakan 1 Prairial Tahun III dipatahkan, maka menandakan kekalahan golongan sans-culotte dalam menyelamatkan Revolusi Perancis. (ilustrasi: Isidore Stanislas Helman / Jean Duplessis-Bertaux, 1796)

Dari Direktorat ke “18 Brumaire”

Dengan penumpasan pemberontakan massa yang radikal, imbangan kuasa politik mencondong lebih lanjut lagi ke haluan kanan. Golongan Royalis yang bangkit semula daripada gelombang politik reaksioner itu cuba melakukan rampasan kuasa pada 5 Oktober 1795, tetapi dipatahkan oleh tentera yang dipimpin oleh Napoleon Bonaparte (1769-1821), seorang jeneral berusia muda yang rapat dengan pemimpin Jacobin sebelum itu. Cubaan rampasan kuasa golongan Royalis itu dikenali sebagai “13 Vendémiaire”, di mana Vendémiaire ialah bulan pertama Kalendar Republikan Perancis yang jatuh pada 22-24 September hingga 21-23 Oktober. Vendémiaire berasal daripada perkataan Bahasa Occitan “vendemiaire” yang bermaksud “penuai buah anggur”. Tentera yang dipimpin oleh Napoleon Bonaparte menembak meriam yang menggunakan amunisi yang dikenali sebagai “peluru anggur” dan membunuh kira-kira 300 orang pemberontak Royalis. Peristiwa 13 Vendémiaire menunjukkan bahawa pemerintahan Thermidor adalah langsung tidak stabil.

Reaksi Thermidor bukannya kontra-revolusi yang hendak memulihkan sistem pemerintahan lama. Ia merupakan reaksi kelas borjuis terhadap demokrasi radikal dalam Revolusi Perancis. Kelas borjuis bimbang bahawa pembaharuan masyarakat yang terlalu radikal boleh menjejaskan kepentingan, keuntungan dan kekayaan mereka, maka perlu menghentikan proses perubahan radikal dengan melumpuhkan kuasa rakyat yang bermobilisasi dari bawah. Namun, dengan melemahkan semangat dan menyahmobilisasi gerakan massa, kelas borjuis membuka semula ruang kepada kontra-revolusi oleh golongan Royalis.

Paul Barras (1755-1829), pemimpin utama dalam Reaksi Thermidor dan rejim pemerintahan Direktorat. (sumber: Napoléon & Empire)

Oleh itu, golongan Thermidor menggubal Perlembagaan 1795 (dikenali sebagai “Perlembagaan Tahun III”) yang lebih konservatif berbanding Perlembagaan 1793, dan menumpukan kuasa dalam tangan “Direktorat” (Directoire), sebuah jawatankuasa 5-orang yang ditubuhkan pada 26 Oktober 1795. Direktorat berfungsi sebagai badan eksekutif yang dapat menangani pemberontakan rakyat bawahan dan kontra-revolusi Royalis dengan lebih tegas. Namun, Direktorat yang dikuasai oleh golongan republikan moderat gagal mendapatkan mandat dalam pilihan raya pada tahun 1797, apabila golongan monarkis-perlembagaan yang konservatif memenangi banyak kerusi.

Pada 4 September 1797, Direktorat melancarkan rampasan kuasa yang dikenali sebagai “Kudeta 18 Fructidor” untuk mengubah dirinya kepada sebuah badan pemerintahan kediktatoran yang bergantung pada sokongan pihak tentera. Fructidor (berasal daripada perkataan Bahasa Latin “fructus” yang bermaksud buah-buahan) ialah bulan kedua belas Kalendar Republikan Perancis yang jatuh 18 atau 19 Ogos hingga 16 atau 17 September.

Pemerintahan golongan borjuis berfahaman republikan moderat di bawah Direktorat tidak bertahan lama. Napoleon Bonaparte, jeneral yang berjaya membawa banyak kemenangan kepada Perancis dalam Perang Revolusi Perancis, melancarkan “Kudeta 18 Brumaire” pada 9 November 1799 untuk menjatuhkan Direktorat dan menggantikannya dengan pemerintahan di bawah “Konsulat”. Brumaire (berasal daripada perkataan Bahasa Perancis “brume” yang bermaksud kabus) ialah bulan kedua Kalendar Republikan Perancis yang jatuh antara 22-24 Oktober hingga 20-22 November. Perlembagaan 1799 (yang dikenali sebagai “Perlembagaan Tahun VIII”) digubal untuk memberikan kuasa eksekutif kepada tiga orang Konsul, dengan semua kuasa ditumpukan dalam tangan Konsul Pertama yang dipegang oleh Napoleon Bonaparte sendiri. Lebih 4 tahun kemudian, pada 18 Mei 1804, Napoleon Bonaparte menobatkan dirinya sebagai “Maharaja”, maka menggantikan Republik Pertama Perancis dengan “Empayar Perancis Pertama” (1804-1815).

Cubaan rampasan kuasa 13 Vendémiaire oleh golongan Royalis pada 5 Oktober 1795 dipatahkan oleh Napoleon Bonaparte. (ilustrasi: Charles Monnet)

Revolusi boleh berjangkit

Kudeta 18 Brumaire oleh Napoleon Bonaparte pada tahun 1799 menamatkan Revolusi Perancis secara rasminya, tetapi ia tidak mengembalikan susunan sosioekonomi dan politik Ancien Régime yang dihancurkan dalam Revolusi Perancis selama 10 tahun itu. Sebaliknya, pemerintahan Maharaja Napoleon I, walaupun bukannya bersifat revolusioner, ia dapat memperkukuhkan lagi dan mempertahankan hasil penting daripada Revolusi Perancis. Napoleon Bonaparte, seperti Oliver Cromwell, ialah askar yang bertempur untuk revolusi, bukan musuhnya. Mungkin yang membezakan Napoleon dengan Cromwell adalah Napoleon tidak segan untuk menobatkan dirinya sebagai monarki baharu.

Revolusi Perancis yang penuh dengan gelora selama 10 tahun itu berakhir dengan pemerintahan kediktatoran kuku besi Napoleon Bonaparte, tetapi sistem feudal tidak lagi bertapak di Perancis. Golongan petani yang dibebaskan daripada ikatan feudal itu mengekalkan tanah mereka. Ekonomi Perancis kekal bebas daripada hubungan feudal. Sistem pentadbiran negara moden diwujudkan, dengan semua orang sama rata di sisi undang-undang. Gereja Katolik diasingkan sepenuhnya daripada pemerintahan negara. Malah, walaupun raja daripada Dinasti Bourbon dipulihkan kemudiannya di bawah muncung senapang tentera asing, Ancien Régime tidak dapat dikembalikan lagi.

Kudeta 18 Brumaire pada 9 November 1799 membolehkan Napoleon Bonaparte mencapai puncak kekuasaan, dengan dilantik sebagai Konsul Pertama, dan kemudiannya mengisytiha dirinya sebagai Maharaja pada tahun 1804. (ilustrasi: François Bouchot)

Lebih-lebih lagi, tentera Perancis di bawah arahan Direktorat, Konsulat dan kemudiannya Empayar Perancis Pertama, menyebarkan tradisi politik revolusioner Perancis ke luar negara, memansuhkan sistem perhambaan tani, memiliknegarakan tanah Gereja dan memansuhkan hubungan feudal di wilayah-wilayah yang didudukinya. Sebahagian daripada perubahan struktur masyarakat ini yang dikenakan ke atas sebahagian wilayah di Jerman, Austria, Itali dan lain-lain negara, terbukti tidak dapat dibalikkan walaupun tentera Perancis ditewaskan kemudian.

Bukan itu sahaja. Revolusi Perancis begitu hebat sehingga ia tidak terhad di dalam negara Perancis, tetapi merebak secara meluas di benua Eropah. Golongan intelek dan aktivis-aktivis politik di seluruh Eropah mendapat inspirasi daripada idea-idea dan kemenangan Revolusi Perancis. Sesetengah golongan mengalu-alukan kedatangan tentera pimpinan Napoleon, sementara adanya pula yang cuba meniru Perancis untuk melancarkan revolusi mereka sendiri.

Apabila Tentera Revolusi Perancis menceroboh Belanda pada bulan Januari 1795, golongan “Patriot” (Patriotten), yang menentang pemerintahan kerabat diraja Orange-Nassau di Republik Belanda dan bergerak secara bawah tanah pada masa itu, bangkit memberontak. Golongan revolusioner Belanda yang dipimpin oleh Cornelis Krayenhoff (1798-1840), seorang doktor dan ahli fizik yang terlibat dalam gerakan Patriot, menjatuhkan kerajaan di bandar Amsterdam pada 18 Januari 1795. William V, Stadhouder (jawatan yang serupa dengan gabenor) Republik Belanda, melarikan diri ke England. Golongan revolusioner Belanda mengisytihar penubuhan Republik Batavia pada 19 Januari 1795, dan tentera Perancis memasuki bandar Amsterdam pada hari yang sama. Golongan pemerintah baharu Republik Batavia (1795-1806), yang berada di bawah naungan Perancis, melaksanakan pelbagai pembaharuan politik, ekonomi dan sosial yang membawa kesan mendalam dan berkekalan kepada kemajuan negara Belanda. Perlembagaan Republik Batavia yang diterima pada tahun 1798, merupakan perlembagaan pertama di negara Belanda yang benar-benar mempunyai ciri-ciri demokrasi. Struktur konfederasi yang diamalkan oleh Republik Belanda yang lama digantikan dengan sistem negara unitari. Namun, percanggahan kepentingan antara golongan pemerintah Republik Batavia dan pemerintahan kediktatoran Napoleon menyebabkan kerajaan Perancis menyokong rampasan kuasa pada tahun 1801 untuk menubuhkan sebuah rejim pemerintahan autoritarian di Belanda.

Revolusi Batavia tercetus pada 19 Januari 1795 di Amsterdam. (ilustrasi: Reinier Vinkeles)

Di Ireland, Wolfe Tone (1763-1798), seorang peguam muda yang merupakan penganut agama Protestan, menubuhkan “Persatuan Orang Ireland Bersatu” (Society of United Irishmen) pada tahun 1791 untuk memperjuangkan kemerdekaan Ireland daripada pemerintahan British, berlandaskan idea-idea yang dibawa dalam Revolusi Perancis. Gerakan ini bermula dari Belfast dalam kalangan kelas menengah Protestan, kemudiannya tersebar dalam kalangan golongan petani beragama Katolik di seluruh Ireland. Society of United Irishmen yang mendapat sokongan daripada Perancis itu melancarkan pemberontakan pada tahun 1798, tetapi dipatahkan secara ganas oleh kerajaan British. Penumpasan pemberontakan warga Ireland disusuli dengan pembunuhan kira-kira 30,000 orang oleh oleh pihak berkuasa British, satu angka yang lebih besar berbanding mereka yang dihukum mati semasa “Pemerintahan Ganas” di Perancis pada tahun 1793-1794.

Di seberang Lautan Atlantik, Revolusi Perancis turut mencetuskan revolusi di tanah jajahannya di rantau Caribbean, dengan golongan hamba di Saint-Domingue (iaitu Haiti) memberontak untuk menggulingkan kekuasaan golongan pemilik ladang, kemudiannya menewaskan tentera British yang menceroboh, dan akhirnya menumpaskan tentera Perancis yang dihantar oleh Napoleon. Golongan hamba yang memberontak di tanah jajahan Perancis itu berjaya mendapat kebebasan dan mendirikan negara Haiti yang merdeka selepas peperangan lebih 12 tahun.

Pada 4 Februari 1794, Konvensyen Kebangsaan yang didominasi oleh golongan Jacobin pada masa itu meluluskan pemansuhan perhambaan di tanah jajahan Perancis. Namun, 7 tahun kemudian, pada tahun 1801, Napoleon menghantar tentera Perancis ke Haiti untuk cuba melaksanakan semula perhambaan di situ. Perubahan dasar ini mendedahkan kontradiksi yang ketara dalam revolusi borjuis: pemberdayaan massa diperlukan untuk memajukan revolusi, tetapi pada masa yang sama ia mengancam susunan masyarakat kelas yang berasaskan pemilikan harta persendirian. Kontraksi sebegini lebih menonjol lagi dalam Empayar Perancis Pertama di bawah pemerintahan Napoleon yang berasaskan pencapaian Revolusi Perancis, dan akhirnya menyebabkan kejatuhannya.

Napoleon Bonaparte (1769-1821), pemimpin tentera yang mempertahankan Revolusi Perancis tetapi juga menamatkan Revolusi Perancis dengan mengambil alih kuasa sebagai seorang pemerintah kediktatoran. (ilustrasi: Jacques-Louis David)

Kejatuhan Napoleon dan “Pemulihan Bourbon”

Revolusi Perancis mewujudkan sistem ketenteraan baharu yang berasaskan mobilisasi massa, semangat nasionalis yang ghairah dalam kalangan rakyat dan kenaikan pangkat dari akar umbi. Mobiliti, keagresifan dan massa digunakan untuk mengatasi tentera Eropah zaman Ancien Régime yang tidak begitu fleksibel. Dalam Pertempuran Austerlitz pada tahun 1805 semasa Perang Gabungan Ketiga (1805-1806), tentera Perancis berjaya menewaskan tentera gabungan Austria dan Rusia, menjadikan Napoleon tuan penguasa utama di Eropah Tengah.

Namun begitu, tentera Napoleon yang besar itu perlu memerah sumber-sumber di wilayah-wilayah yang ditawannya untuk membekalkan keperluan asas kepada jentera perang. Napoleon dan tenteranya cuba menampilkan diri mereka sebagai “pembebas”, tetapi pada hakikatnya mereka lebih mirip dengan penindas di kebanyakan tempat di luar Perancis yang ditawan oleh tentera Perancis.

Pertabalan Napoleon Bonaparte sebagai Mahajaraja Perancis pada 2 Disember 1804. (ilustrasi: Jacques-Louis David / Georges Rouget)

Dengan mengubah imbangan kuasa geopolitik secara ketara di Eropah, Napoleon dianggap sebagai musuh ketat kepada kelas pemerintah seluruh benua Eropah. Dengan mengenakan percukaian, pengerahan tenaga ke dalam tentera dan pengambilan sumber masyarakat untuk membiayai peperangan perluasan kuasanya, Napoleon juga menjadi musuh kepada rakyat biasa.

Pencerobohan ke atas Sepanyol pada tahun 1808, yang dikenali sebagai “Perang Semenanjung” (1808-1814), bertukar menjadi peperangan yang menyukarkan bagi Perancis untuk bertempur dengan tentera tetap British dan tentera gerila Sepanyol, di mana kekuatan ketenteraan Perancis dihakis secara berterusan untuk 6 tahun berikutnya. Pencerobohan terhadap Rusia pada tahun 1812 menjadi bencana kepada tentera Perancis apabila penawanan bandar Moscow oleh Napoleon gagal menamatkan perang dengan Rusia, malah dia terpaksa mengundurkan tentera dalam musim sejuk yang panjang di mana kebanyakan tenteranya terkorban.

Pencerobohan tentera Napoleon terhadap Rusia berakhir dengan pengorbanan tentera Perancis yang besar. (ilustrasi: Adolph Northen, 1851)

Semasa Perang Gabungan Keenam (1812-1814), Pertempuran Leipzig pada tahun 1813, yang melibatkan pertembungan dengan tentera gabungan Rusia, Austria dan Prusia, menghasilkan keputusan Pertempuran Austerlitz yang diterbalikkan. Perancis diceroboh pada tahun 1814 dan Napoleon dipaksa untuk turun dari takhtanya. Pemulihan kuasanya dalam “Seratus Hari” pada tahun 1815 berakhir dengan kekalahan dalam Pertempuran Waterloo, dan Napoleon yang dibuang negeri sekali lagi itu tidak dapat lagi kembali berkuasa.

Kekalahan tentera Napoleon di Waterloo membolehkan pemulihan kuasa monarki Dinasti Bourbon di Perancis. Revolusi Perancis yang menjatuhkan pemerintahan monarki Bourbon itu nampaknya sudah tewas, tetapi dunia pada tahun 1815 sudah tidak dapat kembali kepada dunia pra-Revolusi Perancis 1789. Rejim pemerintahan monarki yang dipulihkan itu amat reaksioner dan represif, tetapi masyarakat Perancis sudah berubah dengan ketaranya selepas mengalami revolusi 10 tahun yang penuh bergelora dan pemerintahan kediktatoran Napoleon Bonaparte yang mengekalkan hasil revolusi. Feudalisme langsung tidak dapat dikembalikan walaupun Dinasti Bourbon berkuasa semula. Revolusi Perancis telah membersihkan saki baki masyarakat lama. Adalah mustahil untuk kembali kepada keadaan asal sebelum Revolusi Perancis. Saki baki Ancien Régime yang memerintah dalam dinamik masyarakat baharu itu terbukti tidak akan bertahan lama dan akhirnya bakal dijatuhkan 15 tahun kemudian.

Pertempuran Waterloo pada 18 Jun 1815 menyaksikan kekalahan terakhir Napoleon Bonaparte dan menandakan penamatan Empayar Perancis Pertama dengan pemulihan Dinasti Bourbon. (ilustrasi: William Sadler)

Kronologi peristiwa-peristiwa penting Revolusi Perancis

TarikhPeristiwa
Fasa peralihan daripada Ancien Régime kepada sistem raja berperlembagaan
5 Mei 1789 États Généraux mula bersidang
17 Jun 1789Pembentukan Perhimpunan Kebangsaan
20 Jun 1789Angkat Sumpah Gelanggang Tenis
9 Julai 1789Pembentukan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan
14 Julai 1789Serbuan Bastille
4 Ogos 1789Dekri-dekri Ogos – Penghapusan feudalisme
26 Ogos 1789“Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara” diluluskan oleh Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan
4 Oktober 1789Perarakan Wanita ke Versailles
3 September 1791Perlembagaan Perancis 1791 diluluskan
Fasa peralihan kepada Republik Pertama Perancis
1 Oktober 1791Perhimpunan Perundangan ditubuhkan
20 April 1792Perhimpunan Perundangan mengisytihar perang ke atas Austria, maka memulakan Perang Revolusi Perancis
10 Ogos 1792Pemberontakan 10 Ogos 1792 – Serbuan Istana Tuileries yang menjatuhkan sistem monarki
20 September 1792Penubuhan Konvensyen Kebangsaan
21 September 1792Pemansuhan monarki dan penubuhan Republik Pertama Perancis
21 Januari 1793Pelaksanaan hukuman mati ke atas Raja Louis XVI
6 April 1793Penubuhan Jawatankuasa Keselamatan Awam
31 Mei – 2 Jun 1793Pemberontakan 31 Mei – 2 Jun 1793 yang menyingkirkan kekuasaan Girondin
24 Jun 1793Perlembagaan Perancis 1793 diluluskan
Mac 1794Golongan Hébertiste dihukum mati
April 1794Golongan Dantoniste dihukum mati
Fasa Reaksi Thermidor dan pemerintahan Direktorat
27 Julai 1794Reaksi Thermidor yang menjatuhkan Maximilien Robespierre dan pemerintahan Jacobin
1 April 1795Pemberontakan 12 Germinal Tahun III
20 Mei 1795Pemberontakan 1 Prairial Tahun III
22 Ogos 1793Perlembagaan Tahun III diluluskan
5 Oktober 1795Cubaan kudeta 13 Vendémiaire oleh golongan Royalis
26 Oktober 1795Penubuhan Direktorat
4 September 1797Kudeta 18 Fructidor
Fasa pemerintahan Konsulat, Empayar Perancis Pertama dan pemulihan Bourbon
9 November 1799Kudeta 18 Brumaire dan penubuhan pemerintahan Konsulat dengan Napoleon Bonaparte sebagai Konsul Pertama
24 Disember 1799Perlembagaan Tahun VIII digubal
4 Ogos 1802Perlembagaan Tahun X digubal
18 Mei 1804Napoleon Bonaparte dimahkotakan sebagai Maharaja Perancis
3 Mei 1814Pemulihan Bourbon Pertama
20 Mac – 8 Julai 1815Napoleon kembali berkuasa dalam “Seratus Hari”
8 Julai 1815Pemulihan Bourbon Kedua

Maximilien Robespierre, Georges Danton dan Jean-Paul Marat, tiga orang pemimpin penting dalam Revolusi Perancis, sedang membahaskan sesuatu. (ilustrasi: Alfred Loudet, 1882)

Organisasi-organisasi politik semasa Revolusi Perancis

Pergolakan revolusi yang hebat boleh membuka ruang besar kepada pembentukan dan pembangunan organisasi-organisasi politik dengan pelbagai spektrum pemikiran. Kepelbagaian organisasi politik dalam zaman revolusi menyumbang kepada proses perbahasan dan perjuangan politik untuk mencari jalan keluar daripada kemelut masyarakat serta menentukan hala tuju masyarakat. Adanya organisasi-organisasi politik reaksioner yang mewakili kepentingan kelas pemerintah lama untuk mempertahankan struktur masyarakat yang sedia ada; adanya organisasi-organisasi politik moderat yang cuba mengimbangkan aspirasi revolusioner dengan kepentingan golongan berkuasa yang lama dalam pergolakan revolusi; adanya juga organisasi-organisasi politik radikal yang memperjuangkan perubahan yang lebih menyeluruh untuk menjatuhkan sepenuhnya sistem pemerintahan lama dan mendirikan struktur masyarakat yang baharu. Pertembungan dan imbangan kuasa antara organisasi-organisasi politik yang pelbagai spektrum inilah yang menempa dan mencorak trajektori sesebuah revolusi.

Salah satu ciri yang penting dalam Revousi Perancis ialah kemunculan kelab-kelab politik apabila gerakan revolusioner tercetus pada tahun 1789. Sebelum tercetusnya Revolusi Perancis, sudah wujudnya pelbagai perhimpunan salon, lingkaran politik dan persatuan kesusasteraan pada tahun 1780-an, dengan orang-orang yang berpemikiran serupa berkumpul untuk membincangkan pelbagai perkara mengikut minat mereka. Dengan suasana politik semakin hangat kerana pencetusan revolusi pada tahun 1789, kelab politik dibentuk sebagai ruangan untuk orang-orang yang berpemikiran sehaluan itu berkumpul dan membincangkan isu-isu politik. Kelab-kelab politik yang dibentuk pada awalnya adalah bersifat tidak formal dan sekadar ruangan untuk bertukar pandangan serta membahaskan isu-isu semasa. Namun, apabila revolusi terus maju ke hadapan, kelab-kelab politik ini menjadi semakin tersusun dan berubah menjadi organisasi yang formal. Kebanyakan kelab politik membangunkan peraturan dalaman, prosedur membuat keputusan dan syarat-syarat keanggotaan sendiri. Kelab-kelab politik ini mempunyai tempat mesyuarat yang tetap dan ahli-ahli kelab menghadiri mesyuarat yang diadakan secara berkala, kadang-kadang setiap malam.

Sesetengah kelab politik berfungsi seperti parti politik. Anggota-anggota kelab politik ini membuat penilainan terhadap perkembangan politik setiap hari, membahaskan isu-isu berbangkit, menetapkan agenda, memutuskan dasar dan merangka strategi untuk gerak kerja masa hadapan. Banyak perwakilan dalam badan perundangan kebangsaan pada masa yang berbeza (seperti Perhimpunan Kebangsaan, Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan dan Konvensyen Kebangsaan) juga merupakan anggota kelab politik, maka tindakan mereka dalam badan perundangan dan kerajaan sering dipengaruhi oleh apa yang diputuskan oleh kelab-kelab politik ini.

Berikut ialah sebahagian daripada kumpulan-kumpulan politik yang aktif semasa Revolusi Perancis sepanjang tempoh dari tahun 1789 hingga 1799:

Club Breton

  • Club Breton ialah sekumpulan ahli perwakilan daripada masyarakat Breton yang menyertai persidangan États Généraux pada tahun 1789. Breton ialah kumpulan etnik yang berasal dari Bretagne, sebuah wilayah yang terletak di bahagian barat laut Perancis.
  • Ia bermula sebagai perhimpunan tidak formal antara 44 orang perwakilan Darjat Ketiga di sebuah kedai kopi (café) di Versailles, sebelum dan selepas sesi persidangan États Généraux.
  • Walaupun pada asalnya ahli-ahli perwakilan États Généraux yang menghadiri pertemuan di café itu membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan wilayah Bretagne, pada awal bulan Jun 1789, golongan Breton membuka mesyuarat mereka kepada ahli-ahli perwakilan Darjat Ketiga dari wilayah-wilayah lain dan juga beberapa orang bangsawan yang berfahaman liberal. Bilangan keanggotaannya mencecah hampir 200 orang pada 20 Jun 1789 (semasa peristiwa Angkat Sumpah Gelanggang Tenis).
  • Mesyuarat Club Breton pernah dihadiri oleh tokoh-tokoh politik yang berpengaruh seperti Comte de Mirabeau (1749-1791), Abbé Sieyès (1748-1836), Isaac René Guy le Chapelier (1754-1794), Antoine Barnave (1761-1793) dan Maximilien Robespierre (1758-1794).
  • Anggota-anggota Club Breton menyokong pembaharuan politik yang bersifat liberal, seperti pengundian mengikut kepala dalam États Généraux (bukan mengikut pembahagian tiga darjat), penggubalan perlembagaan dan pembentukan Perhimpunan Kebangsaan.
  • Selepas peristiwa “Perarakan ke Versailles” pada bulan Oktober 1789, Club Breton kembali menjadi kaukus wilayah Bretagne, tetapi ia sudah menjadi perintis kepada pembentukan kumpulan Jacobin tidak lama kemudian.

Jacobin

  • Jacobin ialah salah sebuah kelab politik yang paling terkenal dan paling penting semasa Revolusi Perancis, khususnya peranan ketara yang dimainkannya pada tahun 1792-1794.
  • Ia ditubuhkan pada bulan November 1789 oleh anggota-anggota Club Breton dengan nama asalnya “Persatuan Revolusi” (Société de la Révolution), dan ditukar nama kepada “Persatuan Sahabat Perlembagaan” (Société des amis de la Constitution) pada bulan Januari 1790. Ia bertukar nama lagi pada tahun 1792 kepada “Persatuan Jacobin, Sahabat Kebebasan dan Kesamarataan” (Société des Jacobins, amis de la liberté et de l’égalité) apabila ia menjelma ke dalam kuasa politik radikal yang berhaluan kiri.
  • Untuk menampung keanggotaan yang semakin bertambah, kelab politik ini menyewa sebuah biara kepunyaan kerahiban Dominikan di Jalan Saint-Honoré, Paris, yang bersebelahan dengan tempat persidangan Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan. Pihak lawan kepada kelab politik ini mula mencemuh anggota-anggotanya dengan gelaran “Jacobin” sejak itu, di mana Jacobin merupakan nama samaran yang diberikan kepada golongan rahib Dominikan di Perancis kerana rumah mereka yang pertama di Paris terletak di Jalan Saint-Jacques.
  • Pada awalnya, keanggotaan Jacobin terhad kepada ahli-ahli perwakilan dalam Perhimpunan Perlembagaan Kebangsaan. Menjelang musim bunga tahun 1790, individu-individu di luar badan perundangan juga dijemput untuk menyertainya, tetapi mereka perlu merupakan “warganegara aktif” dan membayar yuran tahunan yang agak tinggi, maka keanggotaannya terhad kepada golongan elit kelas menengah dan kelas atasan, maka pendirian politiknya pada masa itu lebih bersifat konservatif atau moderat. Pada bulan Oktober 1789, Jacobin membuka mesyuarat mereka kepada kehadiran orang awam yang dibenarkan untuk duduk mendengar ucapan dan perbahasan mereka. Menjelang bulan Mei 1790, keanggotaan Jacobin adalah kira-kira 1,500 orang. Keanggotaan Jacobin mencecah kira-kira 500,000 orang pada tahun 1793.
  • Golongan radikal kiri dalam Kelab Jacobin berpecah keluar daripadanya dan membentuk Kelab Cordelier pada bulan April 1790.
  • Sehingga awal tahun 1791, majoriti daripada golongan Jacobin masih berpegang pada fahaman monarki berperlembagaan, sementara terdapat minoriti dalam kalangan mereka mempunyai pandangan politik yang lebih radikal.  
  • Golongan yang berhaluan kanan dan konservatif berpecah keluar daripada Kelab Jacobin dan menubuhkan Kelab Feuillant pada bulan Julai 1791. Ini sedikit sebanyak menjadikan Kelab Jacobin lebih mencondong kepada politik radikal yang berhaluan kiri.
  • Matlamat politik Kelab Jacobin dari tahun 1789 hingga 1791 ialah: pemansuhan Ancien Régime, penubuhan Perhimpunan Kebangsaan (sebagai badan perundangan), penggubalan perlembagaan dan pengasingan kuasa.
  • Matlamat politik Kelab Jacobin dari tahun 1789 hingga 1795 ialah: Pembentukan sebuah republik, penggabungan kuasa pemerintahan ke dalam Konvensyen Kebangsaan, dan penubuhan sebuah pemerintahan revolusioner demokratik yang bersedia untuk mempertahankan revolusi dengan apa jua cara pun.
  • Golongan kiri dalam Kelab Jacobin, bersama-sama dengan golongan Cordelier, membentuk kumpulan Montagne dalam Konvensyen Kebangsaan. Golongan kanan dalam Kelab Jacobin pula membentuk kumpulan Girondin.
  • Kelab Jacobin yang didominasi oleh golongan radikal di bawah kepimpinan Maximilien Robespierre menjadi kuasa utama dalam Jawatankuasa Keselamatan Awam yang menjalankan “Pemerintahan Ganas” dari bulan Julai 1793 hingga Julai 1794.
  • Selepas kejatuhan Maximilien Robespierre dalam Reaksi Thermidor, Konvensyen Kebangsaan menutup Kelab Jacobin pada 12 November 1794.
  • Dalam fasa radikal kirinya, Kelab Jacobin mendukung idea kesamarataan masyarakat dan campur tangan kerajaan dalam ekonomi untuk memastikan kesejahteraan bersama.
  • Golongan Jacobin yang berhaluan kiri bersekutu rapat dengan golongan sans-culotte yang bertindak sebagai asas sokongan massa kekuasaannya.
  • Fahaman Jacobin yang radikal boleh digolongkan sebagai populisme kiri. Antara idea-idea politik yang dibawa oleh Jacobin termasuk demokrasi radikal, demokrasi langsung, republikanisme, egalitarianisme, kedaulatan rakyat, sekularisme (pengasingan kuasa antara gereja dan institusi negara), keganasan revolusioner dan penggunaan gerakan massa untuk memajukan perjuangan.
  • Fahaman dan pendekatan Jacobin untuk menggantikan sepenuhnya sistem pemerintahan lama dengan struktur yang radikal dan baharu, menjadikannya salah sebuah gerakan revolusioner yang paling radikal dan paling penting dalam sejarah moden.
  • Kelab Jacobin memberi inspirasi dan menjadi model kepada gerakan-gerakan politik kiri selepasnya, dengan fahaman politik Jacobin mempengaruhi asas pemikiran hampir semua aliran kiri pada zaman moden. Organisasi-organisasi berhaluan kiri daripada aliran yang berbeza mengambil unsur-unsur yang berbeza dalam asas fahaman Jacobin sebagai panduan perjuangan mereka.
  • Golongan Bolshevik yang menerajui Revolusi Rusia pada abad ke-20 juga sering menganggap diri mereka seperti Jacobin.  
  • Walaupun sebagai sebuah kuasa politik, Jacobin ditumpaskan oleh Reaksi Thermidor, pengaruhnya masih ketara dalam masyarakat Perancis, dan kebanyakan matlamat politik yang diperjuangkan oleh golongan Jacobin telah dicapai kemudian semasa zaman Republik Ketiga Perancis (1870-1940).   
  • Tokoh-tokoh utama Kelab Jacobin termasuk: Jean-Paul Marat (1743-1793), Abbé Sieyès (1748-1836), Comte de Mirabeau (1749-1791), Jean-Marie Collot d’Herbois (1749-1796), Isaac René Guy le Chapelier (1754-1794), Paul Barras (1755-1829), Jacques-Nicolas Billaud-Varenne (1756-1819), Maximilien Robespierre (1758-1794), Adrien Duport (1759-1798), Georges Danton (1759-1794), Camille Desmoulins (1760-1794), Antoine Barnave (1761-1793) dan Louis Antoine de Saint-Just (1767-1794).

 Kelab 1789

  • Kelab 1789, atau “Persatuan Patriotik 1789” (Société Patriotique de 1789), ditubuhkan pada bulan April 1790, oleh sekumpulan monarkis-perlembagaan yang pada asalnya menyertai Club Breton tetapi berasa kecewa dengan radikalisme yang semakin berkembang dalam golongan Jacobin.
  • Pada awalnya Kelab 1789 merupakan kumpulan pesaing utama kepada Kelab Jacobin tetapi sokongannya merosot dengan cepat dan dibubarkan pada tahun 1791. Sebahagian besar anggotanya terlibat dalam penubuhan Kelab Feuillant sebagai penyambung perjuangan golongan monarkis-perlembagaan.
  • Anggota Kelab 1789 terdiri daripada golongan elit bangsawan dan orang-orang kaya, maka mewakili kepentingan kelas sosial atasan yang berkuasa dan kaya raya.
  • Kelab 1789 mendukung sistem raja berperlembagaan dan membantah fahaman republikan; berpendirian politik moderat dan berpegang pada fahaman liberalisme klasik dan liberalisme konservatif.
  • Tokoh-tokoh utama Kelab 1789 termasuk: Jean Sylvain Bailly (1736-1793), Nicolas de Condorcet (1743-1794), François de La Rochefoucauld (1747-1827), Abbé Sieyès (1748-1836), Comte de Mirabeau (1749-1791), Isaac René Guy le Chapelier (1754-1794) dan Marquis de Lafayette (1757-1834).

Cordelier

  • Persatuan Sahabat Hak Manusia dan Warganegara” (Société des Amis des droits de l’homme et du citoyen) lebih dikenali sebagai “Kelab Cordelier” kerana markasnya yang terletak di dalam Biara Cordelier di Paris. Daerah Cordelier di Paris merupakan kawasan penumpuan kelas pekerja yang radikal dan disifatkan oleh Camille Desmoulins sebagai “satu-satunya tempat perlindungan di mana kebebasan tidak pernah dicabuli”.
  • Kelab Cordelier ditubuhkan pada 27 April 1790 oleh golongan kiri radikal, di bawah kepimpinan Georges Danton dan Camille Desmoulins, yang berpecah keluar daripada Kelab Jacobin.
  • Cordelier ialah kelab politik yang paling radikal pada tahun 1790-1791. Ia mengambil pendirian politik yang lebih populis berbanding Jacobin, dan tegas memperjuangkan sebuah republik.
  • Keanggotaan Cordelier terbuka kepada semua orang tanpa sebarang syarat sekatan dan yuran keahliannya adalah rendah, maka membolehkan lebih banyak golongan berpendapatan rendah dapat menyertainya. Namun begitu, majoriti anggota Cordelier ialah golongan borjuis dan sebahagian besar kepimpinannya terdiri daripada golongan kelas menengah yang berpendidikan.
  • Cordelier dan golongan kiri radikal dalam Jacobin membentuk kumpulan Montagne dalam Konvensyen Kebangsaan.
  • Motto Cordelier ialah “Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan” ( Liberté, égalité, fraternité), dengan fokus pada perlindungan hak dan kebebasan individu.
  • Lambang Cordelier ialah sebiji mata yang terbuka kerana matlamat Kelab Cordelier ialah sentiasa mengawasi kerajaan untuk memastikan golongan yang berkuasa itu tidak menyeleweng.
  • Kelab Cordelier memperjuangkan pengundian sejagat untuk semua golongan lelaki dan demokrasi langsung, termasuk membuat keputusan melalui referendum yang melibatkan semua warganegara.
  • Cordelier juga prihatin pada nasib golongan sans-culotte dan kelas pekerja.
  • Golongan Cordelier merupakan kumpulan yang memainkan peranan ketara dalam Pemberontakan 10 Ogos 1792 yang menjatuhkan sistem monarki.
  • Selepas kejatuhan sistem monarki pada bulan Ogos 1792, pendirian Georges Danton beralih kepada pendekatan yang lebih moderat dan kepimpinan Cordelier diambil alih oleh golongan yang lebih radikal seperti Jacques-René Hébert dan Antoine-François Momoro.
  • Kelas Cordelier berpecah kepada kumpulan Hébertiste yang lebih radikal di bawah kepimpinan Jacques Hébert dan kumpulan Dantoniste yang lebih moderat di bawah kepimpinan Georges Danton.
  • Apabila golongan Jacobin yang dipimpin oleh Robespierre mendominasi Jawatankuasa Keselamatan Awam pada tahun 1793, golongan Cordelier membantah pemusatan kuasa dalam tangan Jawatankuasa Keselamatan Awam.
  • Golongan Cordelier ditindas oleh Jawatankuasa Keselamatan Awam yang didominasi oleh Robespierre pada tahun 1794, dengan kepimpinan kedua-dua kumpulan berhaluan kiri dan kanan dalam Cordelier dihukum mati dengan gilotin pada bulan Mac-April 1794. Walaupun Kelab Cordelier sudah tidak lagi berpengaruh apabila kebanyakan pemimpin utamanya dibunuh pada musim bunga tahun 1794, ia hanya dibubarkan secara rasminya oleh pemerintahan Thermidor pada 20 Februari 1795.  
  • Tokoh-tokoh utama Kelab Cordelier termasuk: Jean-Paul Marat (1743-1793), Charles-Philippe Ronsin (1751-1794), Pierre Philippeaux (1754-1794), Jean-Baptiste Carrier (1756-1794), François Chabot (1756-1794), Antoine-François Momoro (1756-1794), Jacques René Hébert (1757-1794), Georges Danton (1759-1794), Camille Desmoulins (1760-1794) dan Stanislas-Marie Maillard (1763-1794).
Jacques Pierre Brissot (1754-1793), salah seorang pemimpin Girondin yang penting. (ilustrasi: François Bonneville)

Girondin

  • Kumpulan Girondin ialah golongan republikan liberal dan moderat yang aktif dalam Perhimpunan Perundangan dan kemudiannya Konvensyen Kebangsaan dari tahun 1791 hingga 1793. Ia merupakan sebuah kumpulan yang longgar dan bukannya sebuah parti politik yang teratur.
  • Nama panggilan Girondin datang daripada wilayah Gironde yang terletak di bahagian barat daya Perancis, di mana kebanyakan anggota terkenalnya datang dari situ. Kumpulan ini pada asalnya juga dikenali sebagai Brissontin sempena nama pemimpin utamanya Jacques Pierre Brissot.
  • Anggota-anggota kumpulan Girondin terdiri daripada golongan berhaluan kanan dalam Jacobin yang menjadi perwakilan dalam badan perundangan. Mereka mewakili kelas borjuis perindustrian-komersial dan golongan tuan tanah kecil.
  • Sokongan utama kepada Girondin datang terutamanya daripada golongan borjuis yang kaya dari bahagian selatan dan barat Perancis.
  • Golongan Girondin mempertahankan hak asasi manusia dan kedaulatan rakyat terhadap negara berpusatkan kuasa yang memerintah dari Paris. Mereka menyokong usaha menjatuhkan sistem monarki, tetapi menentang pendekatan revolusi yang lebih radikal.
  • Golongan Girondin menyokong pasaran bebas dan penghapusan perhambaan.
  • Golongan Girondin pernah mencadangkan rancangan yang bercita-cita tinggi untuk menyebarkan Revolusi ke negara-negara lain di Eropah melalui operasi ketenteraan, maka mereka mendukung kuat usaha Perang Revolusi Perancis yang tercetus pada tahun 1792.
  • Golongan Girondin merupakan perwakilan yang berhaluan kiri moderat yang mendominasi Konvensyen Kebangsaan sehingga mereka disingkirkan dalam Pemberontakan 31 Mei – 2 Jun 1793. 22 orang pemimpin Girondin yang ditahan semasa pemberontakan itu dihadap ke Tribunal Revolusioner dan dijatuhkan hukuman mati dengan gilotin.
  • Akhbar yang diterbitkan oleh golongan Girondin termasuk Patriote français, Le Courrier de Provence dan La chronique de Paris.
  • Tokoh-tokoh utama Girondin termasuk: Jean-Marie Roland (1734-1793), Étienne Clavière (1735-1793), Jean Baptiste Treilhard (1742-1810), Nicolas de Condorcet (1743-1794), Jacques Guillaume Thouret (1746-1794), Pierre Victurnien Vergniaud (1753-1793), Jacques Pierre Brissot (1754-1793), Madame Roland (1754-1793), Maximin Isnard (1755-1825).

Montagne

  • Kumpulan La Montagne merupakan golongan berhaluan kiri radikal dalam Konvensyen Kebangsaan dari tahun 1792 hingga 1795.
  • Nama Montagne, bermaksud gunung dalam Bahasa Perancis, berasal daripada kedudukan anggotanya di tempat duduk tertinggi di bahagian kiri dewan persidangan Konvensyen Kebangsaan.
  • Anggota-anggota Montagne terdiri daripada golongan Cordelier dan golongan berhaluan kiri dalam Jacobin.
  • Anggota-anggota Montagne kebanyakannya datang daripada kelas menengah dan mewakili penduduk-penduduk Paris. Golongan Montagne peka pada kehendak warga bandar Paris dan prihatin pada tuntutan-tuntutan sans-culotte.
  • Golongan Montagne berhasrat untuk menubuhkan sebuah republik demokratik-radikal yang memusatkan kuasa pemerintahan di Paris. Golongan Montagne percaya bahawa apa yang baik untuk Paris juga akan baik untuk seluruh negara Perancis.
  • Golongan Montagne yang lebih berhaluan kiri itu menentang golongan Girondin yang lebih berhaluan kanan dalam Konvensyen Kebangsaan.
  • Berbeza dengan golongan Girondin yang mempunyai niat ketenteraan yang agresif, golongan Montagne cenderung kepada dasar luar yang lebih bersifat aman dan memfokus pada usaha menyelesaikan isu-isu dalaman Republik Pertama Perancis yang baharu ditubuhkan pada masa itu.
  • Selepas kejatuhan golongan Girondin, kumpulan Montagne menjadi kuasa politik yang mendominasi Konvensyen Kebangsaan dari bulan Jun 1793 hingga Julai 1794, dalam fasa Revolusi Perancis yang paling radikal.  
  • Golongan Montagne yang menguasai Jawatankuasa Keselamatan Awam menjalankan apa yang dikenali sebagai “Pemerintahan Ganas”.
  • Golongan Montagne cuba melaksanakan reformasi tanah yang mengagihkan tanah kepada petani-petani miskin di kawasan luar bandar, tetapi usaha itu tidak sempat digubal menjadi undang-undang.
  • Golongan Montagne melaksanakan langkah-langkah kawalan harga untuk mengurangkan beban ekonomi warga miskin, menjadikan penyorokan bijirin sebagai jenayah yang boleh dihukum mati, dan mengenakan embargo ke atas eksport-import barangan demi melindungi pasaran Perancis daripada barangan buatan luar negara.
  • Aliran-aliran politik yang utama dalam Montagne ialah Robespierriste (Robespierre dan penyokong-penyokongnya), Hébertiste (Cordelier yang berhaluan kiri radikal) dan Dantoniste (Cordelier yang moderat dan lebih berhaluan kanan). Terdapat juga anggota-anggota yang tidak bersekutu dengan mana-mana aliran utama ini. Golongan Robespierriste dan anggota-anggota Montagne yang tidak bersekutu menghapuskan golongan Hébertiste pada bulan Mac 1794 dan kemudiannya Dantoniste pada bulan April 1794, dengan menghukum mati pemimpin-pemimpin daripada kedua-dua golongan ini.
  • Kumpulan Montagne yang didominasi oleh Robespierriste disingkir daripada kuasa pemerintahan dalam Reaksi Thermidor pada bulan Julai 1794, dengan banyak pemimpin Montagne dibunuh dengan gilotin.
  • Akhbar yang diterbitkan oleh golongan Montagne termasuk L’Ami du peuple, Le Vieux Cordelier dan Le Père Duchesne.
  • Tokoh-tokoh utama Montagne termasuk: Jean-Paul Marat (1743-1793), Edmond Louis Alexis Dubois-Crancé (1747-1814), Jean-Marie Collot d’Herbois (1749-1796), Jean-François Delacroix (1753-1794), Georges Couthon (1755-1794), Jacques-Nicolas Billaud-Varenne (1756-1819), Pierre-Joseph Cambon (1756-1820), Jacques René Hébert (1757-1794), Maximilien Robespierre (1758-1794), Georges Danton (1759-1794), Camille Desmoulins (1760-1794), Pierre Gaspard Chaumette (1763-1794) dan Louis Antoine de Saint-Just (1767-1794).

Plaine

  • Plaine bermaksud dataran dalam Bahasa Perancis. Kumpulan La Plaine merujuk pada sekumpulan besar perwakilan yang berada di tempat duduk rendah dalam Konvensyen Kebangsaan. Tempat duduk mereka terletak di antara Girondin di sebelah kanan mereka dan Montagne di sebelah kiri mereka.
  • Anggota-anggota Plaine tidak bersekutu secara rasmi dengan sama ada Girondin atau Montagne. Kebanyakan mereka berfahaman politik moderat. Ada ramai dalam kalangan mereka rapat dengan golongan Girondin, tetapi biasanya tidak berani bersuara untuk menentang Montagne.
  • Golongan Plaine ialah mereka yang berada di atas pagar, maka tiadanya pendirian politik yang tetap. Mereka pada awalnya menyokong Girondin, tetapi menyokong Montagne dalam persoalan menghukum mati Raja Louis XVI dan pemerintahan ganas Jacobin. Mereka kemudiannya terlibat dalam rampasan kuasa Reaksi Thermidor yang menjatuhkan pemerintahan golongan Montagne.
  • Tokoh-tokoh utama golongan Plaine termasuk: Pierre-Toussaint Durand de Maillane (1729-1814), Julien-François Palasne de Champeaux (1736-1795), Abbé Sieyès (1748-1836), Jean-Jacques-Régis de Cambacérès (1753-1824) dan François Antoine de Boissy d’Anglas (1756-1826).

Monarchien

  • Sahabat Perlembagaan Monarkis”, juga dikenali sebagai Kelab Monarkis atau Monarchien, ialah sebuah kelab politik monarkis revolusioner berhaluan kanan-tengah yang ditubuhkan oleh Jean Joseph Mounier pada 1 Disember 1789.
  • Golongan Monarchien menyokong penggubalan undang-undang yang berkesan, dan berhasrat untuk menggabungkan hak pihak berkuasa diraja dengan hak warga biasa. Mereka mendukung pembentukan sebuah kerajaan bebas tanpa menggantikan bentuk kekuasaan yang sedia ada dengan sesuatu yang baharu, tetapi hanya cuba menakrif semula kuasa-kuasa monarki yang sedia wujud.
  • Golongan Monarchien bergabung dalam Kelab Feuillant pada tahun 1791.
  • Tokoh-tokoh utama golongan Monarchien termasuk: Pierre-Victor Malouët (1740-1814) dan Jean Joseph Mounier (1758-1806).

Feuillant

  • Persatuan Sahabat Perlembagaan” (Société des Amis de la Constitution), lebih dikenali sebagai Kelab Feuillant, ditubuhkan pada 18 Julai 1791, oleh golongan monarkis-perlembagaan yang berhaluan kanan-tengah dan menguasai kerusi majoriti dalam Perhimpunan Perundangan dari bulan Oktober 1791 hingga September 1792. Ia merupakan gabungan antara anggota-anggota daripada Kelab 1789, golongan Monarchien dan golongan berhaluan kanan yang berpecah keluar daripada Kelab Jacobin.
  • Walaupun menentang Ancien Régime dan mendukung sistem raja berperlembagaan, golongan Feuillant menolak usaha revolusioner yang memajukan demokrasi. Mereka juga membantah penghapusan sistem perhambaan di tanah jajahan Perancis.
  • Golongan Feuillant hilang pengaruh selepas Pemberontakan 10 Ogos 1792 yang menjatuhkan sistem monarki.
  • Tokoh-tokoh utama golongan Feuillant termasuk: Adrien Duport (1759-1798), Alexandre de Lameth (1760-1929) dan Antoine Barnave (1761-1793).
Georges Danton (1759-1794) (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Dantoniste

  • Golongan Dantoniste, yang juga dikenali sebagai Indulgent (istilah menghina yang digunakan oleh Robespierre terhadap mereka), ialah puak politik yang dibentuk pada tahun 1793 di sekeliling George Danton, pemimpin golongan Cordelier yang juga merupakan sebahagian daripada golongan Montagne.
  • Golongan Dantoniste terdiri daripada mereka yang berpendirian lebih moderat dalam Cordelier. Mereka membantah keganasan melampau yang digunakan oleh Jawatankuasa Keselamatan Awam.
  • Golongan Dantoniste ditindas oleh pihak berkuasa Jacobin pada bulan April 1794, dengan pemimpin-pemimpin utama mereka dibunuh dengan gilotin.
  • Akhbar yang diterbitkan oleh golongan Dantoniste ialah Le Vieux Cordelier.
  • Tokoh-tokoh utama Dantoniste termasuk: Fabre d’Églantine (1750-1794), Pierre Philippeaux (1754-1794), Georges Danton (1759-1794) dan Camille Desmoulins (1760-1794).
Jacques René Hébert (1757-1794) (ilustrasi: Edme Bovinet, 1796)

Hébertiste

  • Golongan Hébertiste, yang juga dikenali sebagai Exagéré, ialah sebuah kumpulan politik yang terdiri daripada golongan berhaluan kiri radikal dalam Cordelier dengan Jacques Hébert, seorang wartawan populis yang berpegang pada fahaman republikan, ateis dan anti-Kristian, sebagai pemimpin utama mereka.
  • Golongan Hébertiste pernah berkuasa seketika semasa pemerintahan Jacobin sebelum disingkirkan secara ganas oleh Robespierre.
  • Golongan Hébertiste mendukung kuat usaha penyahkristianan Perancis dan langkah-langkah ganas untuk mempertahankan Revolusi Perancis. Mereka menyokong campur tangan kerajaan dalam urusan ekonomi untuk memastikan bekalan barangan keperluan yang mencukupi.
  • Golongan Hébertiste mencipta “Kultus Akal” (Culte de la Raison) sebagai pandangan dunia ateis dan rasional yang bertujuan untuk menggantikan agama Kristian Katolik Rom sebagai agama rasmi Perancis. “Kultus Akal” hanya bertahan setahun sebelum ia digantikan oleh “Kultus Maha Esa” (Culte de l’Être suprême) yang diwujudkan oleh Maximilien Robespierre pada tahun 1794.
  • Golongan Hébertiste disingkir daripada kekuasaan pada bulan Mac 1794 oleh golongan Jacobin yang dipimpin oleh Robespierre dan pemimpin-pemimpinnya dihukum mati dengan gilotin.
  • Akhbar yang diterbitkan oleh golongan Hébertiste ialah Le Père Duchesne. Akhbar ini menyampaikan pandangan jujur daripada Père Duchesne, satu watak rekaan yang merupakan tukang pembuat dapur api daripada kelas pekerja, dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan sans-culotte.
  • Tokoh-tokoh utama golongan Hébertiste termasuk: Jean Baptiste Noël Bouchotte (1754-1840), Anacharsis Cloots (1755-1794), Antoine-François Momoro (1756-1794), Jacques René Hébert (1757-1794), François Hanriot (1759-1794), Pierre Gaspard Chaumette (1763-1794) dan François-Nicolas Vincent (1766/1767-1794).

Thermidorien

  • Golongan Thermidorien ialah ahli-ahli perwakilan dalam Konvensyen Kebangsaan yang berkomplot untuk melancarkan kudeta “Reaksi Thermidor” yang menjatuhkan rejim pemerintahan radikal Robespierre pada bulan Julai 1794.
  • Golongan Thermidorien yang terlibat dalam rampasan kuasa pada bulan Julai 1794 terdiri daripada golongan Montagne yang menentang Robespierre dan golongan Plaine yang moderat.
  • Sebagai republikan yang moderat, golongan Thermidorien cuba mencairkan proses revolusi dan menenangkan pergolakan politik di Perancis. Mereka menutup kelab-kelab Jacobin di seluruh negara Perancis sejurus selepas mengambil alih kuasa dan membolehkan berlakunya “Keganasan Putih” yang menyasarkan golongan revolusioner radikal.
  • Golongan Thermidorien menguasai kerusi terbanyak dalam Majlis Lima Ratus (dewan rendah bagi badan perundangan di bawah Perlembagaan Tahun III) selepas pilihan raya parlimen pada tahun 1795.
  • Pemimpin-pemimpin Thermidorien mendominasi Direktorat yang merupakan badan eksekutif utama dari tahun 1795 sehingga Kudeta 18 Brumaire pada tahun 1799.
  • Golongan Thermidorien berpegang pada fahaman konservatisme sosial dan liberalisme ekonomi yang mengutamakan kepentingan kelas borjuis.
  • Tokoh-tokoh utama golongan Thermidorien termasuk: Paul Barras (1755-1829), Joseph Fouché (1759-1820) dan Jean-Lambert Tallien (1767-1820).

Clichyen

  • Kelab Clichy (Club de Clichy) ditubuhkan oleh golongan monarkis-perlembagaan pada bulan Julai 1794 selepas kejatuhan rejim Robespierre.
  • Golongan Clichyen menyambung warisan Feuillant dengan hasrat memulihkan sistem raja berperlembagaan.
  • Kelab Clichy dibubarkan pada bulan September 1797 berikutan “Kudeta 18 Fructidor” yang menjadikan Direktorat sebagai sebuah badan pemerintahan kediktatoran.
  • Tokoh-tokoh utama golongan Clichyen termasuk: François-Marie de Barthélemy (1747-1830), Guillaume-Mathieu Dumas (1753-1837), François Antoine de Boissy d’Anglas (1756-1826) dan Pierre Paul Royer-Collard (1763-1845).

Enragés

  • Golongan Enragés, yang juga dikenali sebagai “Ultra-Radikal” (Ultra-radicaux), ialah golongan berhaluan kiri radikal dalam Kelab Jacobin yang berjuang untuk mempertahankan kelas bawahan.
  • Golongan Enragés menyokong tuntutan-tuntutan radikal yang dibawa oleh golongan sans-culotte dan mendukung susunan masyarakat egalitarian yang berpandukan demokrasi langsung.
  • Golongan Enragés menggesa Konvensyen Kebangsaan supaya melaksanakan dasar pro-rakyat miskin.
  • Golongan Enragés memainkan peranan aktif dalam Pemberontakan 31 Mei – 2 Jun 1793 yang menyingkirkan golongan Girondin daripada Konvensyen Kebangsaan dan membolehkan golongan Montagne berkuasa.
  • Tokoh-tokoh utama golongan Enragés termasuk: Jacques Roux (1752-1794), Jean-François Varlet (1764-1837), Claire Lacombe (1765-1826), Pauline Léon (1768-1838) dan Jean Théophile Victor Leclerc (1771-1820).
(ilustrasi: Jean-Baptiste Lesueur)

Persatuan Wanita Revolusioner dan Republikan

  • Persatuan Wanita Revolusioner dan Republikan (Société des Citoyennes Républicaines Révolutionnaires, Société des républicaines révolutionnaires) ialah sebuah organisasi revolusioner pimpinan wanita yang ditubuhkan pada 10 Mei 1793, tetapi dibubarkan 4 bulan kemudian pada 16 September 1793.
  • Pengasas pertubuhan ini ialah Pauline Léon (1768-1838) dan Claire Lancombe (1765-1826, dengan kedua-duanya merupakan aktivis yang sehaluan dengan politik Enragés.
  • Persatuan Wanita Revolusioner dan Republikan memperjuangkan kesamarataan gender dalam politik revolusioner. Kumpulan ini juga menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat terhadap masalah kos sara hidup yang tinggi, kekurangan keperluan asas dan keadaan hidup yang teruk.

Persatuan Sahabat Warga Berkulit Hitam

  • Persatuan Sahabat Warga Berkulit Hitam (Société des amis des Noirs) ditubuhkan pada tahun 1788 oleh Jacques Pierre Brissot (1754-1793) dan Étienne Clavière (1735-1793), dua orang aktivis politik yang kemudiannya menjadi pemimpin golongan Girondin.
  • Penubuhan persatuan ini mendapat inspirasi daripada Society for Effecting the Abolition of the Slave Trade yang ditubuhkan di London pada tahun 1787.
  • Persatuan Sahabat Warga Berkulit Hitam mendukung usaha untuk memansuhkan sistem perhambaan di tanah jajahan seberang laut Perancis dan juga menghentikan penglibatan Perancis dalam perdagangan perhambaan Atlantik.
  • Persatuan ini hanya wujud sehingga tahun 1793, setahun sebelum perhambaan dimansuhkan oleh rejim pemerintahan yang dikuasai oleh golongan yang lebih radikal.

Égaux

  • Golongan Égaux ialah bekas anggota Kelab Jacobin yang berhasrat untuk menggulingkan pemerintahan Direktorat yang ditubuhkan selepas Reaksi Thermidor.
  • Golongan Égaux menentang golongan elit borjuis baharu yang kaya raya. Mereka memperjuangkan pembentukan sebuah republik yang egalitarian dan sosialis.
  • Golongan Égaux menubuhkan jawatankuasa pemberontakan dan merancang untuk merampas kuasa supaya mendirikan sebuah republik egalitarian, tetapi cubaan pemberontakan golongan Égaux digagalkan oleh pihak berkuasa Direktorat. Ramai anggota Égaux ditangkap, termasuk pemimpin Égaux, François-Noël Babeuf (1760-1797), yang juga dikenali sebagai Gracchus Babeuf. Babeuf dihukum mati pada bulan Mei 1797.

Robespierre 

Maximilien Robespierre ialah salah seorang tokoh politik yang paling berpengaruh dalam Revolusi Perancis. Robespierre yang berasal dari Arras, wilayah Artois yang terletak di bahagian utara Perancis, merupakan seorang peguam dan dipilih sebagai wakil Darjat Ketiga untuk wilayah Artois dalam États Généraux pada tahun 1789 yang kemudiannya menjadi Perhimpunan Kebangsaan.

Maximilien de Robespierre (1758-1794) (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Robespierre menjadi semakin popular kerana retoriknya yang menyerang institusi monarki dan mendukung pembaharuan demokratik. Dia dipilih sebagai Presiden Kelab Jacobin pada bulan April 1790 dan kemudian sekali lagi pada bulan Ogos 1793. Robespierre merupakan salah seorang pemimpin yang berpengaruh dalam kalangan golongan Jacobin dengan pandangan politik yang radikal. Robespierre memperjuangkan hak pengundian sejagat untuk semua orang lelaki dan pengambilan anggota Pengawal Kebangsaan tanpa sebarang sekatan. Dia juga mendukung hak untuk berpetisyen, hak untuk mempertahankan diri dengan senjata dan pemansuhan perdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik.

Robespierre membantah pandangan golongan Girondin yang hendak mengeksport Revolusi Perancis ke negara-negara lain di Eropah melalui pencerobohan tentera. Dia berpendapat bahawa rakyat di negara lain tidak akan menyambut baik penceroboh dari luar, sementara peperangan yang berterusan akan mengehadkan demokrasi liberal dan mudah membawa kepada pemerintahan kediktatoran tentera.

Selepas kejatuhan sistem monarki pada bulan Ogos 1792, Robespierre dipilih sebagai ahli perwakilan untuk Paris (dengan undian yang paling tinggi di situ) dalam Konvensyen Kebangsaan. Robespierre ialah salah seorang pemimpin golongan Montagne yang radikal dalam Konvensyen Kebangsaan. Selepas Raja Louis XVI dihukum mati, pertembungan antara golongan Jacobin-Montagne dan golongan Girondin semakin hebat. Robespierre menganjurkan pandangan untuk memobilisasi golongan sans-culotte demi menguatkuasakan undang-undang revolusioner dan menghapuskan sebarang ancaman kontra-revolusioner. Kekuasaan Girondin dijatuhkan oleh pemberontakan rakyat yang dimobilisasikan oleh golongan Jacobin-Montagne. Robespierre kemudiannya menjadi pemimpin yang mendominasi Jawatankuasa Keselamatan Awam semasa “Pemerintahan Ganas”

Keganasan melampau dengan menghukum mati sesiapa yang dianggap sebagai ancaman atau musuh kepada revolusi itu, mungkin sedikit sebanyak membantu dalam menangkis ancaman kontra-revolusi yang agak hebat pada masa itu, tetapi ia juga menyingkirkan tokoh-tokoh penting dalam revolusi yang sebenarnya mungkin hanya berbeza pandangan dengan mereka yang memegang kuasa itu. Adalah jelas bahawa dalam Revolusi Perancis, pemimpin-pemimpin revolusi yang menyokong penggunaan kaedah keganasan melampau itu, seperti Robespierre, sendiri menjadi mangsa kepada keganasan yang didukungnya itu apabila disingkirkan. (ilustrasi: Pierre-Antoine Demachy)

Namun, tindakan Robespierre dan penyokong-penyokong Jacobin di sekelilingnya dalam menggunakan keganasan melampau untuk menyingkirkan golongan yang dianggap sebagai ancaman kepada revolusi itu, telah mengasingkan dirinya daripada majoriti perwakilan dalam Konvensyen Kebangsaan. Robespierre dan sekutunya ditumpaskan dalam kudeta Reaksi Thermidor pada bulan Julai 1794. Robespierre dihukum mati tanpa perbicaraan.

Walaupun Robespierre sering diperingati sebagai salah seorang pemimpin Jacobin yang kontroversi kerana penglibatannya dalam “Pemerintahan Ganas”, dia sebenarnya juga terkenal dengan pandangannya yang progresif dan mendahului zamannya. Pandangan politik Robespierre mendapat inspirasi daripada falsafah Jean-Jacques Rousseau. Robespierre berpegang teguh pada kepercayaan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang. Dia bercita-cita untuk menghapuskan ketidaksamarataan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui pendidikan. Robespierre memperjuangkan nilai-nilai yang dikemukakan dalam Zaman Pencerahan.

Perayaan “Yang Agung” di Champ-de-Mars, Paris. (ilustrasi: Pierre-Antoine Demachy, ~1794)

Robespierre pernah mengemukakan sistem teologi rasionalistik yang dikenali sebagai “Kultus Yang Agung” (Culte de l’Être suprême) untuk menggantikan fahaman “Kultus Akal” yang dibawa oleh golongan Hébertiste dan kepercayaan Katolik Rom sebagai agama rasmi Perancis. Namun, sistem kepercayaan ini tidak mendapat sambutan lagi selepas Robespierre digulingkan dan ia diharamkan oleh pemerintahan Napoleon Bonaparte pada tahun 1802.

Robespierre bercita-cita untuk membina sebuah “Republik Akhlak” atau “Republik Kebaikan”, di mana masyarakat ditadbir oleh kemoralan sivik, patriotisme dan akhlak mulia, bukannya kepentingan diri. Robespierre berpandangan bahawa akhlak ialah asas kepada sebuah kerajaan rakyat, dan semasa revolusi, penggabungan akhlak dengan keganasan adalah diperlukan. “Jika sumber utama untuk kerajaan popular pada waktu aman ialah akhlak, di tengah-tengah revolusi ia adalah pada masa yang sama (kedua-dua) akhlak dan keganasan: akhlak, tanpa keganasan adalah membawa kemusnahan; keganasan, tanpa akhlak adalah tidak berdaya. Keganasan tidak lain hanyalah keadilan yang segera, keras dan tegas; maka ia adalah penampilan akhlak. Ia bukannya prinsip yang istimewa, tetapi akibat daripada prinsip umum demokrasi yang digunakan untuk keperluan negara kita yang paling mendesak,” begitu katanya Robespierre semasa berucap dalam Konvensyen Kebangsaan pada bulan Februari 1794.

Teks yang tertera pada plakad yang mengumumkan harta yang dirampas pada tahun 1793, “kebebasan, kesamarataan, persaudaraan atau kematian”.

Liberté, Égalité, Fraternité

Cogan kata rasmi negara Perancis “Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan” (Liberté, Égalité, Fraternité) yang berasal daripada Revolusi Perancis itu, mencerminkan nilai-nilai teras dan prinsip asas kemasyarakatan yang diperjuangkan dalam Revolusi Perancis. Ia merupakan salah satu daripada banyak slogan yang digunakan semasa Revolusi Perancis.

Slogan ini dikatakan paling awal digunakan pada tahun 1790 oleh Camille Desmoulins, seorang anggota Jacobin yang menyertai Kelab Cordelier dan kemudiannya menjadi Dantoniste dalam kalangan Montagne yang dihukum mati pada tahun 1794. Ia merupakan motto bagi Kelab Cordelier.

Maximilien Robespierre mempopularkan slogan ini dalam ucapannya “Mengenai Organisasi Pengawal Kebangsaan” pada bulan Disember 1790, yang menyatakan, “Mereka akan memakai kata-kata yang terukir pada pakaian seragam mereka: RAKYAT PERANCIS, dan di bawahnya: KEBEBASAN, KESAMARATAAN, PERSAUDARAAN. Kata-kata yang sama akan tertera di atas bendera yang membawa tiga warna kebangsaan.”

Walaupun tiga warna dalam bendera kebangsaan Perancis (biru, putih dan merah) pada asalnya mendapat ilham daripada warna tradisional Paris (merah berkaitan dengan Saint Denis, seorang martir yang menumpahkan darah pada kurun ke-3; biru berkaitan dengan Saint Martin, uskup di Tours pada kurun ke-4) dan warna putih yang melambangkan monarki, ia kemudian sering ditafsir sebagai perwakilan untuk “kebebasan” (biru), “kesamarataan” (putih) dan “persaudaraan” (merah).

Poster pada tahun 1793 dengan slogan “Parpaduan dan ketidakbolehpisahan Republik;
kebebasan, kesamarataan, persaudaraan atau kematian”.

Antoine-François Momoro, seorang pencetak dan penjual buku di Paris yang merupakan ahli politik dalam Kelab Cordelier daripada puak Hébertiste, mengubah suai slogan ini pada tahun 1793, pada ketika Republik Pertama Perancis menghadapi pencerobohan tentera asing dan pemberontakan Fédéraliste, menjadikannya sebagai “Perpaduan, Republik yang tidak boleh dibahagikan; kebebasan, kesamarataan, persaudaraan atau kematian” (Unité, Indivisibilité de la République; Liberté, Egalité, Fraternité ou la mort). Komun Paris, iaitu badan pentadbiran bandar Paris, mencadangkan pada 29 Jun 1793 bahawa slogan ini ditulis di dinding hadapan rumah warga Paris. Cadangan ini mendapat sambutan baik daripada penduduk-penduduk Paris yang mendukung Revolusi, dan ditiru oleh penduduk-penduduk di bandar-bandar lain.

Kebebasan yang dimaksudkan dalam slogan ini bermakna kebebasan seseorang itu untuk melakukan apa sahaja yang tidak memudaratkan orang lain, seperti yang termaktub dalam “Perisytiharan Hak Manusia Warganegara 1789”. Hak seseorang manusia untuk hidup secara bebas tanpa sebarang penindasan atau sekatan yang tidak wajar daripada pihak masyarakat, ialah nilai teras dalam sesebuah masyarakat yang demokratik. Sesebuah masyarakat itu bukannya demokrasi dan rakyat masih tidak bebas sepenuhnya selagi ada orang yang tidak bebas.

Namun, kebebasan boleh membawa maksud yang berbeza untuk golongan yang berbeza dalam sesebuah masyarakat kelas: Kelas borjuis menginginkan kebebasan untuk memiliki harta persendirian dan kebebasan untuk mengaut keuntungan (melalui aktiviti perdagangan dan perusahaan yang melibatkan eksploitasi terhadap tenaga buruh upahan); sementara kelas pekerja memperjuangkan kebebasan daripada eksploitasi oleh golongan pemilik modal yang mengupah mereka. Jadi, kebebasan untuk kelas borjuis dan kebebasan untuk kelas pekerja adalah saling bercanggah dalam masyarakat kapitalis. Lebih-lebih lagi, adalah hipokrit untuk golongan elit pemilik harta bersembang kencang tentang kebebasan, selagi masih wujudnya perhambaan, eksploitasi tenaga kerja yang dibayar upah rendah dan penafian hak wanita untuk mengamalkan kebebasan politik seperti lelaki. Kebebasan sebenar untuk semua orang dalam masyarakat hanya boleh dicapai apabila pembahagian kelas itu dihapuskan. Penghapusan pembahagian kelas pula hanya boleh dicapai melalui perjuangan kelas yang revolusioner untuk membina sebuah masyarakat yang egalitarian. Kebebasan adalah tidak sempurna malah tidak boleh wujud sebenarnya tanpa kesamarataan.

“Manusia adalah sama rata, bukannya kelahiran, akhlak sahaja yang mewujudkan perbezaan.” (sumber: Bibliothèque nationale de France)

Kesamarataan yang diperjuangkan oleh golongan revolusioner Perancis pada abad ke-18 termaktub dalam “Perisytiharan Hak Manusia Warganegara 1789” yang menyatakan bahawa “semua orang dilahirkan dan kekal bebas dan sama rata”. “(Undang-undang) harus sama untuk semua orang, sama ada ia melindung atau menghukum,” begitu tulisnya Perkara 6 Perisytiharan Hak Manusia Warganegara 1789. “Semua warganegara, yang sama rata di matanya, hendaklah secara sama rata layak untuk semua jawatan tinggi, jawatan awam dan pekerjaan, mengikut keupayaan mereka, dan tanpa perbezaan lain selain daripada akhlak dan bakat mereka.” “Perisytiharan Hak Manusia Warganegara 1793” juga menyatakan bahawa “semua orang adalah sama rata secara semula jadi dan di sisi undang-undang”.

Kesamarataan bermakna bahawa tidak wujud lagi hak keistimewaan bagi sekumpulan orang yang berkuasa dan berstatus lebih tinggi daripada orang lain. Dalam sebuah masyarakat yang sama rata, tiada seorang boleh memiliki hak yang lebih atau kurang berbanding orang lain. Begitu juga dengan tanggungjawab sosial, di mana ia harus dipikul secara sama rata oleh setiap orang mengikut kemampuan masing-masing.

Namun begitu, dalam realiti semasa Revolusi Perancis, “kesamarataan” hanya terpakai untuk golongan lelaki, apabila kaum wanita masih dinafikan hak untuk mengundi. Lebih-lebih lagi, hak pemilikan harta persendirian yang dipertahankan bermati-matian oleh golongan elit borjuis yang mewakili kepentingan kelas pemilik harta itu, mengekalkan ketidaksamarataan ekonomi yang wujud dalam masyarakat kelas. Peralihan penumpuan kekayaan masyarakat dalam tangan kelas bangsawan Ancien Régime kepada kelas borjuis baharu sudah tentu tidak mewujudkan kesamarataan. Golongan Jacobin yang radikal cuba memperjuangkan kesamarataan masyarakat semasa mereka berkuasa pada tahun 1793-1794, tetapi gagal kerana pelbagai faktor, termasuk kelas borjuis yang digugat kepentingan mereka bertindak balas dan berpakat untuk melancarkan Reaksi Thermidor.

Persaudaraan ialah hubungan bermoral sesama manusia yang berasaskan semangat kekitaan, kasih sayang, perpaduan, saling hormat-menghormati dan saling tolong-menolong. Mana-mana masyarakat tidak mungkin akan dapat terus maju dan makmur tanpa kerjasama sesama anggota masyarakat yang berlandaskan semangat persaudaraan.

Dalam draf “Perisytiharan Hak Manusia Warganegara 1793” yang dibentangkan oleh Maximilien Robespierre pada bulan April 1793, begini tulisnya, “Lelaki dari semua negara adalah saudara, dan rakyat yang berbeza ini harus membantu sesama sendiri, berdasarkan keupayaan mereka, sebagai warga negara yang sama. Orang yang menindas sebuah bangsa, maka mengisytihar dirinya sebagai musuh semua orang.” Namun, persaudaraan sebenar tidak harus terhad kepada golongan lelaki, sebaliknya melangkaui batasan gender seperti yang ditunjukkan dalam perjuangan massa yang menggerakkan Revolusi Perancis itu sendiri.

Semangat persaudaraan dalam kalangan massa rakyat memberi kekuatan yang hebat untuk menumpaskan susunan masyarakat lama dan memajukan perubahan sosial; sebaliknya, penghakisan semangat persaudaraan akibat daripada perpecahan dan perbalahan yang pedih, malah sehingga membunuh sesama sendiri dengan pertuduhan yang melulu, melemahkan usaha perjuangan yang radikal dan memberi laluan kepada perkembangan kuasa reaksioner.

Kelab politik yang disertai oleh golongan wanita. (ilustrasi: Bibliothèque nationale de France)

Dinamik kelas dan peranan massa kelas bawahan dalam Revolusi Perancis

Keadaan revolusi wujud apabila golongan pemerintah tidak lagi dapat memerintah seperti biasa, sementara golongan bawahan masyarakat juga tidak lagi ingin hidup seperti biasa. Keadaan ini wujud dengan ketaranya menjelang Revolusi Perancis.

Pada waktu tercetusnya Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18, ekonomi kapitalis komersial sedang pesat dibangunkan di negara Perancis, dengan pengeluaran besar-besaran barangan yang dijual dalam pasaran. Kemunculan dan perkembangan pesat susunan ekonomi kapitalis yang baharu itu mewujudkan imbangan kuasa baharu antara golongan pemerintah Ancien Régime dan golongan borjuis industri-komersial. Ancien Régime yang masih mengamalkan struktur politik feudal walaupun istana diraja di Versailles cuba memusatkan kuasa pemerintahannya, sementara golongan borjuis industri-komersial yang sudah mula mengumpul banyak kekayaan hendak memajukan lagi kepentingan tetapi disekat oleh struktur masyarakat lama. Ini mewujudkan pertentangan kelas yang hebat sehingga mencetuskan revolusi.

Namun, golongan borjuis industri-komersial yang hendak mengubah susunan masyarakat supaya lebih berpihak kepada kepentingan kelas dan usaha pengumpulan kekayaan mereka itu bukannya golongan revolusioner yang sebenar. Golongan borjuis industri-komersial pada asalnya tiada idea dan tidak berani untuk memperjuangkan perubahan masyarakat yang menyeluruh selagi harta milik mereka tidak diancam walaupun struktur lama telah mengehadkan ruang untuk mereka terus berkembang. Yang mendorong pertentangan kelas antara golongan pemerintah Ancien Régime dan golongan borjuis industri-komersial itu berubah menjadi perjuangan kelas yang hebat sehingga mencetuskan revolusi, ialah massa rakyat yang marah dengan keadaan hidup semasa itu bangkit melawan, dan aktivis-aktivis politik yang mempunyai idea-idea revolusioner menerajui perjuangan politik untuk perubahan.

Raja Louis XVI dan keluarganya dibawa balik ke bandar Paris selepas cubaan mereka untuk melarikan dari Perancis itu gagal pada bulan Jun 1792. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Golongan intelek Zaman Pencerahan yang membangunkan idea-idea revolusioner kebanyakannya bukan kapitalis, tetapi golongan elit yang berpendidikan dan memperolehi ruang untuk perkembangan intelek hasil daripada kemunculan hubungan pengeluaran ekonomi baharu. Aktivis-aktivis politik yang mendapat ilham daripada idea-idea revolusioner dan menggerakkan perjuangan revolusioner di Perancis itu, kebanyakannya datang daripada golongan kelas atasan dan kelas menengah yang berpendidikan. Ini kerana mereka mempunyai lebih banyak peluang dan ruang untuk mengakses ilmu yang dapat membantu dalam membentuk fahaman politik baharu. Jadi, adanya golongan bangsawan yang menerima fahaman liberal menentang sistem monarki berkuasa mutlak, dan adanya banyak ahli profesional, seperti doktor dan peguam, memperjuangkan susunan politik baharu yang sesuai untuk hubungan pengeluaran ekonomi kapitalis.

Oleh itu, kelab-kelab politik yang ditubuhkan semasa Revolusi Perancis dengan pelbagai aliran fahaman politik itu didominasi oleh golongan elit kelas atasan dan kelas menengah yang mempunyai idea-idea serta visi perubahan masyarakat masing-masing. Namun, aktivis-aktivis daripada golongan elit yang mempunyai hubungan dengan kelas bawahan biasanya membawa idea-idea dan tuntutan-tuntutan politik yang lebih radikal.

Sesi pertemuan Kelab Jacobin. (Ilustrasi: Artis yang tidak diketahui nama)

Pembangunan hubungan pengeluaran ekonomi kapitalis bukan sahaja mewujudkan kelas borjuis, tetapi pada masa yang sama melahirkan kelas proletar, iaitu golongan pekerja yang diupah oleh golongan borjuis yang memiliki modal untuk bekerja dalam perusahaan kapitalis yang pesat membangun itu. Kelas pekerja membentuk sebahagian daripada golongan sans-culotte, kelas bawahan yang miskin dan dalam jumlah yang besar menjelang Revolusi Perancis. Mereka ialah golongan yang dieksploitasi di bawah sistem ekonomi kapitalis dan pada masa yang sama ditindas oleh susunan politik Ancien Régime. Ini menjadikan golongan sans-culotte sebagai massa rakyat yang memainkan peranan penting dalam setiap titik perubahan ketara dalam Revolusi Perancis. Didorong oleh protes golongan elit politik yang mewakili kepentingan kelas borjuis dalam États Généraux pada tahun 1789, dan hasutan daripada aktivis-aktivis dalam kelab-kelab politik yang bertumbuh pesat kerana ruang yang terbuka hasil daripada perjuangan revolusioner, golongan rakyat bawahan juga memperjuangkan pembebasan diri mereka daripada eksploitasi dengan harapan memulakan kehidupan baharu yang bebas, sejahtera dan bahagia.

Oleh itu, sejak awal lagi, golongan rakyat bawahan miskin di Perancis, terutamanya di bandar Paris, telah bersekutu dengan golongan borjuis untuk menjayakan revolusi dan mempertahankan revolusi daripada pelbagai ancaman. Dalam perjuangan revolusioner yang hebat antara tahun 1789 dan 1793, dengan penglibatan golongan rakyat bawahan miskin yang ketara, golongan borjuis berjaya menggantikan Ancien Régime dengan sebuah republik baharu dan susunan masyarakat yang bersesuaian dengan mod pengeluaran kapitalis. Namun, tidak lama kemudian, golongan rakyat bawahan miskin mula berasa kecewa dan menyedari bahawa mereka hanya menggantikan seorang penindas dengan orang lain, kerana kuasa pemerintahan yang dipegang oleh raja dan golongan bangsawan sebelum itu hanya dipindahkan kepada kelas borjuis yang juga terus menindas rakyat bawahan, mungkin dengan pendekatan yang berbeza.

Massa rakyat menyerbu Konvensyen Kebangsaan dan menjatuhkan kekuasaan Girondin pada 6 Jun 1793. (ilustrasi: Charles Louis Lucien Muller / Alexandre Jacob)

Aspirasi dan hasrat rakyat bawahan untuk sebuah masyarakat yang lebih sama rata telah mendorong golongan Jacobin, yang mengambil alih kuasa selepas kejatuhan golongan Girondin dalam Pemberontakan 31 Mei – 2 Jun 1793, untuk melaksanakan dasar pembaharuan masyarakat yang lebih radikal. Golongan Jacobin yang radikal bukan sahaja berusaha untuk merealisasikan kesamarataan formal di sisi undang-undang, tetapi kesamarataan ekonomi yang sebenar buat seluruh rakyat Perancis. Visi mereka ialah mewujudkan sebuah republik yang benar-benar demokratik.

Namun, sebuah republik demokratik yang berasaskan kedaulatan rakyat tidak mungkin dapat bertahan jika rakyat yang sepatutnya mempunyai kedaulatan politik itu mendapati diri mereka masih terperangkap dalam sistem ekonomi yang didominasi oleh golongan pemilik harta yang kaya. “Beberapa orang penulis secara tersiratnya menyentuh tentang isu sosial yang sebenar, bahawa kesamarataan hak hanyalah ilusi kepada mereka yang kekurangan cara untuk menggunakannya,” begitu tulisnya Georges Lefebvre (1874-1859), seorang ahli sejarah Perancis yang berhaluan kiri dalam bukunya mengenai Revolusi Perancis, “La Révolution Française, Jilid I” (1951).

Kokarde Tiga Warna, hiasan kebangsaan Perancis yang digunakan sejak Revolusi Perancis 1789.

Walaupun golongan Jacobin yang radikal itu hendak memperjuangkan kesamarataan ekonomi dan keadilan sosial, mereka masih tegas menegakkan hak borjuis untuk pemilikan harta persendirian, seperti yang ditulis dalam “Perisytiharan Hak Manusia dan Warganegara 1793” bahawa “hak-hak ini ialah kesamarataan, kebebasan, keselamatan dan harta”. Oleh itu, golongan Jacobin yang radikal tetapi bukan sosialis itu, bukan sahaja tidak memperjuangkan penghapusan pemilikan swasta terhadap sumber-sumber pengeluaran, malah mempertahankannya secara habis-habisan. Mereka tidak memahami bahawa kesamarataan ekonomi yang sepenuh tidak mungkin tercapai selagi masih wujudnya pemilikan harta persendirian terutamanya berkaitan sumber-sumber pengeluaran ekonomi.

Jadi, golongan Jacobin yang radikal cuba menyelesaikan masalah ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial dengan mengagihkan tanah yang dirampas daripada golongan bangsawan dan Gereja kepada semua warganegara dalam bentuk harta milik persendirian. Malah, harta tanah yang sebelum itu wujud sebagai harta komunal pun diagihkan kepada individu untuk penggunaan persendirian. Dasar “pengagihan semula tanah” yang dibawa oleh golongan Jacobin yang radikal itu tidak dapat dilaksanakan kerana mereka dijatuhkan selepas pemerintahan setahun yang penuh dengan gelora keganasan politik. Jika penswastaan tanah dengan mengagihkan tanah kepada semua penduduk Perancis itu berjaya dilaksanakan pun, ia masih tidak akan mewujudkan kesamarataan ekonomi yang bertahan lama. Ini kerana persaingan dalam pasaran kapitalis akan membatalkannya. Persaingan bebas dalam pasaran kapitalis sentiasa membawa kepada monopoli ekonomi oleh kaum kapitalis besar yang mahakaya. Sistem pengeluaran kapitalis, yang berasaskan logik pengumpulan modal yang mengkehendakkan pemaksimuman keuntungan dan pengukuhkan harta milik swasta, akan memproletarkan pemegang harta kecil (iaitu mereka kehilangan harta akibat perampasan oleh golongan pemilik harta yang lebih kaya), seperti yang berlaku di banyak negara sepanjang zaman Revolusi Perindustrian. Oleh itu, walaupun golongan Jacobin yang radikal berhasrat untuk memperjuangkan kesamarataan ekonomi, ia tidak dapat direalisasikan kerana batasan-batasan keadaan masyarakat pada masa itu.

Golongan massa yang berjaya menyerbu Bastille pada 14 Julai 1789 tiba di hadapan Hôtel de Ville. (ilustrasi: Paul Delaroche, ~1835)

Golongan rakyat bawahan dan sans-culotte yang miskin di Paris pada masa itu juga belum membangunkan kesedaran tentang pemilikan bersama terhadap sumber pengeluaran, kerana idea-idea sosialis moden masih kurang dibangunkan walaupun sudah adanya naratif tentang masyarakat egalitarian yang radikal. Lebih-lebih lagi, tidak wujudnya organisasi kelas pekerja yang berlandaskan program perjuangan pembebasan pekerja. Keadaan masyarakat yang membolehkan pembangunan kuasa-kuasa pengeluaran untuk Revolusi Perindustrian yang membawa kepada pertumbuhan kelas pekerja lebih lanjut lagi, belum lagi wujud pada awal tahun 1790-an, dan keadaan kebendaan di Perancis pada masa itu juga belum cukup maju untuk mewujudkan sistem pengeluaran ekonomi sosialis yang berkesan.

Perjuangan untuk perubahan radikal tidak pernah lenyap

Kesamarataan ekonomi yang diinginkan oleh golongan revolusioner Perancis pada abad ke-18, hanyalah impian utopia bagi golongan idealis borjuis yang tidak mungkin akan dicapai dalam masyarakat kapitalis. Kesamarataan tidak pernah wujud di bawah kapitalisme, sama ada antara negara-negara, badan-badan korporat, ataupun antara majikan dan pekerja. Ketidaksamarataan ekonomi menjadi punca kepada semua permasalahan kapitalisme, dari tahun 1789 hingga hari ini. Malah, ketidaksamarataan merupakan ciri asas kapitalisme dan ramuan yang diperlukan oleh kapitalisme, kerana ia memaksa golongan pekerja untuk menjual tenaga buruh mereka untuk terus hidup, sementara mereka tidak dapat menentukan bagaimana tenaga buruh mereka patut digunakan di bawah dominasi kekuasaan kapitalis. Kapitalisme tidak boleh mewujudkan kesamarataan. Hanya melalui gerakan massa kelas pekerja dan rakyat bawahan yang berorganisasi dari bawah, barulah ideal borjuis yang abstrak untuk kesamarataan itu dapat dibentuk dengan konkrit untuk menjadi realiti yang diperlukan. Ketidaksamarataan ialah keperluan untuk kapitalisme, sementara kesamarataan ialah keperluan untuk sosialisme.

Gerakan massa yang benar-benar jelas memperjuangkan sosialisme masih belum muncul semasa Revolusi Perancis pada abad ke-18. Namun, pergolakan revolusioner yang hebat di Perancis, telah menaburkan dan menanam benih untuk perkembangan gerakan sosialis moden selepasnya.

Selepas kejatuhan pemerintahan Jacobin-Montagne pada tahun 1794 berikutan Reaksi Thermidor, walaupun menandakan berakhirnya fasa revolusi yang radikal dan momentum gerakan massa dipatahkan hampir sepenuhnya, golongan yang memperjuangkan idea-idea demokrasi radikal dan masyarakat egalitarian tetap bangkit melawan dari semasa ke semasa, kerana ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial adalah masalah yang berterusan dalam masyarakat kapitalis.

François-Noël Babeuf (1760-1797) (ilustrasi: François Bonneville)

Pada tahun 1796, golongan Égaux yang terdiri daripada bekas anggota Jacobin yang radikal berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan Direktorat pada masa itu untuk menubuhkan sebuah republik yang bersifat egalitarian dan sosialis. Namun, komplot rampasan kuasa oleh gologan kiri radikal ini digagalkan kerana golongan Égaux tidak mempunyai organisasi perjuangan yang teratur dan gerakan massa yang dalam bermobilisasi dalam jumlah yang besar.

François-Noël Babeuf, pemimpin utama dalam cubaan pemberontakan golongan Égaux, mendukung demokrasi radikal dan pemansuhan harta milik persendirian. Babeuf sedar bahawa kesamarataan ekonomi adalah tidak seiras dengan sistem pengeluaran kapitalis, tetapi penggulingan sistem kapitalis tidak boleh dilakukan hanya dengan komplot sekumpulan kecil aktivis politik yang radikal. Salah satu faktor penting yang menyebabkan tindakan Babeuf untuk memperjuangkan perubahan revolusioner itu tidak berjaya, adalah ia kekurangan sebuah gerakan kelas pekerja yang berorganisasi dari bawah dengan kesedaran politik tentang kuasa dan keupayaannya untuk membebaskan diri mereka secara bersama-sama daripada belenggu kapitalisme. Walau bagaimanapun, Babeuf boleh dikatakan perintis gerakan sosialis yang memberi inspirasi kepada generasi-generasi gerakan kiri radikal selepasnya.

Golongan kiri radikal dalam Revolusi Perancis mengilhamkan sebuah masyarakat yang sama rata, tetapi mereka masih kekurangan sumber idea, struktur organisasi, strategi politik dan pengalaman perjuangan untuk memajukan aspirasi mereka yang bersifat pembebasan dan egalitarian itu. Ini ialah batasan zaman dan keadaan yang dihadapi oleh golongan revolusioner yang radikal semasa Revolusi Perancis. Namun, hasrat dan usaha mereka telah memberi inspirasi kepada gerakan massa rakyat dan perjuangan revolusioner sosialis selepasnya.

Golongan Jacobin cuba menghasut askar-askar di Grenelle, yang terletak di bahagian barat daya Paris, supaya memberontak untuk melawan pemerintahan Direktorat pada 7 September 1796, tetapi menemui kegagalan dan diserang oleh pihak tentera. (ilustrasi: Pierre-Gabriel Berthault)

Perjuangan revolusioner untuk demokrasi politik yang sejati tidak boleh dipisahkan daripada usaha memperjuangkan demokrasi ekonomi, iaitu sosialisme. Demokrasi politik yang berasaskan demokrasi ekonomi hanya dapat dijayakan serta dikekalkan oleh gerakan kelas pekerja yang berorganisasi secara tersusun dan bermobilisasi dalam jumlah yang besar.

“Cogan kata ‘Kebebasan, Kesamarataan, Persaudaraan’ pada masa Revolusi Perancis yang hebat hanyalah slogan perarakan dalam mulut golongan borjuis, dan keluhan lemah dalam mulut rakyat – kata kunci ini pada hari ini kini menjadi laungan perang yang mengancam daripada sebuah angkatan pekerja yang berjuta-juta orang. Hari semakin hampir apabila ia akan mengambil bentuk dan menjadi realiti,” begitu tulisnya Rosa Luxemburg (1871-1919), seorang tokoh sosialis revolusioner Jerman, pada tahun 1893. “Pada tahun 1793, rakyat Paris berjaya dalam memegang kuasa di tangan mereka untuk tempoh yang singkat; tetapi mereka tidak mampu menggunakan kuasa ini untuk membebaskan diri mereka secara ekonomi. Pada zaman kita, golongan proletar di semua negara memimpin perjuangan politik dan ekonomi pada masa yang sama dengan penuh ketekadan dan tidak mengerti keletihan. Hari apabila golongan proletar akan memegang kuasa politik juga akan menjadi hari pembebasan ekonomi mereka.”

Satu lagi lukisan mengenai Serbuan Bastille pada 14 Julai 1789. (ilustrasi: artis yang tidak diketahui nama)

Impak Revolusi Perancis

Dalam manuskrip “Ideologi Jerman” (1846), yang ditulis oleh Karl Marx (1818-1883) dan Friedrich Engels (1820-1895), dua orang tokoh sosialis revolusioner yang terkenal pada abad ke-19, mereka menganggap bahawa Revolusi Perancis sebagai “revolusi paling hebat yang pernah diketahui dalam sejarah” pada masa itu.

Revolusi Perancis memang sebuah revolusi borjuis yang hebat. Revolusi Perancis merupakan sebuah revolusi yang dimenangi oleh kelas kapitalis dan bertujuan untuk kepentingan kelas kapitalis. Namun, idea-idea yang mencerahkan minda orang ramai telah memberi inspirasi kepada golongan pekerja dan petani yang miskin untuk berjuang bersama-sama golongan borjuis demi mewujudkan sebuah masyarakat demokratik yang baharu.  “Keganasan revolusioner” yang digunakan oleh kelas borjuis dan perwakilan politik mereka yang radikal terhadap golongan bangsawan bukannya untuk manfaat golongan rakyat bawahan tetapi semata-mata untuk kepentingan borjuis. Harta yang dirampas daripada golongan bangsawan dan Gereja oleh kerajaan revolusioner jatuh dalam tangan golongan borjuis atasan pada akhirnya.

Walau bagaimanapun, Revolusi Perancis telah meninggalkan warisan yang kaya dan memberangsangkan kepada bukan sekadar masyarakat Perancis tetapi masyarakat seluruh dunia.

Sambutan “Perayaan Persekutuan” pada 14 Julai 1790 yang menandakan ulang tahun pertama Serbuan Bastille. (ilustrasi: Isidore Stanislas Helman)

Revolusi Perancis telah membawa kepada penghapusan feudalisme sepenuhnya di negara itu, dan meratakan jalan untuk pembangunan kapitalisme di Eropah. Penghapusan feudalisme bermakna penghapusan segala hak istimewa golongan bangsawan yang diwarisi secara berketurunan. Oleh itu, Revolusi Perancis juga memperkukuhkan kekuasaan kelas borjuis dalam ekonomi pasaran. Walaupun golongan Royalis yang reaksioner kembali berkuasa dan memulihkan pemerintahan monarki Dinasti Bourbon pada tahun 1815, imbangan kuasa yang mencondong kepada dominasi kelas borjuis itu tidak dapat diterbalikkan lagi.

Penaklukan ketenteraan oleh Napoleon Bonaparte yang berkuasa dengan asas pencapaian Revolusi Perancis itu telah membantu dalam menyebarkan idea-idea revolusioner dan susunan masyarakat baharu di seluruh benua Eropah yang kemudiannya memberi impak mendalam kepada trajektori sejarah dunia moden.

Revolusi Perancis juga melemahkan kekuasaan Gereja dengan ketaranya dan mewujudkan pengasingan kuasa institusi agama daripada pemerintahan negara.

Republik Perancis yang moden, demokratik dan bersatu, yang lahir daripada proses revolusioner yang hebat, juga menjadi model kepada negara bangsa moden. Idea “bangsa” dan “republik” saling berkaitan rapat di Perancis. Menjadi bangsa Perancis bermakna menjadi republikan.

Revolusi Perancis mendorong perkembangan dan penyebaran lanjut ideologi politik moden seperti hak asasi manusia, demokrasi, liberalisme, radikalisme, nasionalisme dan sekularisme.

Serbuan Bastille pada tahun 1789. (ilustrasi: Jean-Baptiste Lallemand)

Revolusi Perancis yang menyaksikan kemenangan kelas borjuis terhadap Ancien Régime dan golongan bangsawan lama merupakan satu keperluan sejarah dalam proses pembangunan masyarakat manusia, tetapi ia tidak mungkin tercapai tanpa penglibatan dan pengorbanan besar daripada massa rakyat bawahan. Seperti revolusi-revolusi hebat yang lain, Revolusi Perancis menunjukkan bahawa kuasa rakyat yang bermobilisasi dari bawah boleh memberi impak besar kepada imbangan kuasa masyarakat dan menentukan hala tuju perubahan masyarakat. Kebangkitan massa rakyat bawahan yang mantap boleh membawa perjuangan ke arah perubahan yang lebih progresif untuk pembebasan masyarakat, sementara kemerosotannya boleh mewujudkan ruang untuk golongan reaksioner yang konservatif kembali berkuasa.

“Revolusi Perancis bukannya apa-apa kecuali pelopor kepada sebuah lagi revolusi lain, revolusi yang akan lebih besar, lebih serius, dan akan menjadi revolusi yang terakhir,” begitu tulisnya “Manifesto Kesamarataan” (1796) oleh Sylvain Maréchal, seorang sasterawan yang pernah terlibat dalam komplot pemberontakan bersama Babeuf. Revolusi Perancis turut memberi inspirasi kepada revolusi-revolusi selepasnya, sama ada di dalam negara Perancis itu sendiri, ataupun negara-negara lain di seluruh dunia. Tanah jajahan Perancis di seberang laut juga tidak dapat dikecualikan daripada pengaruh Revolusi Perancis, terutamanya tanah jajahan di rantau Caribbean, seperti Saint-Domingue yang juga dikenali sebagai Haiti…

==========

Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *