Pembangunan sistem sosioekonomi pada zaman moden yang dikenali sebagai kapitalisme itu bukannya sesuatu yang berlaku secara semula jadi, aman, licin dan lancar. Ia melibatkan pertembungan hebat antara kelas-kelas sosial yang berbeza kepentingan dan proses peralihan masyarakat yang penuh dengan gelora.

Karl Marx pernah menulis dalam Das Kapital Jilid I (1867), “Keganasan ialah bidan bagi setiap masyarakat lama yang mengandung dengan sesuatu yang baharu.” Kapitalisme dibangunkan, dikembangkan dan disebarkan melalui proses pengumpulan primitif yang penuh dengan keganasan serta pergolakan masyarakat yang hebat. Peralihan kekuasaan ekonomi-politik dalam masyarakat daripada kelas pemerintah feudal kepada kelas kapitalis moden melibatkan proses yang penuh keganasan dan pertarungan hidup mati.

Di negara-negara Eropah yang paling awal munculnya kapitalisme, proses peralihannya dari segi asas ekonomi melibatkan perampasan, pemaksaan dan penindasan yang zalim terhadap golongan rakyat bawahan yang menjadi tenaga buruh; sementara dari segi superstruktur (khususnya kuasa politik) pula, biasanya memerlukan revolusi borjuis. Revolusi borjuis sering berlaku dalam bentuk peperangan besar untuk membolehkan kelas borjuis mengambil alih kuasa pemerintahan daripada kelas tuan tanah feudal yang menghalang pembangunan hubungan pengeluaran kapitalis yang baharu.

Firenze pada abad ke-15. (sumber gambar: Nuremberg Chronicle oleh Hartmann Schedel, 1493)

Prototaip kapitalisme

Kapitalisme ialah sistem sosioekonomi yang disusun berdasarkan logik pengumpulan modal. Modal, atau “kapital” (kata akar untuk “kapitalisme”), ialah kekayaan dan sumber pengeluaran dalam bentuk mata wang atau aset lain yang boleh dilaburkan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi untuk mendapatkan surplus atau keuntungan. Keuntungan yang dijana daripada pelaburan modal akan dikumpulkan oleh pemilik modal supaya lebih banyak modal dapat dilaburkan untuk menjana lebih banyak keuntungan yang akan dijadikan sebagai modal yang lebih banyak lagi. Inilah logik pengumpulan modal yang menggerakkan ekonomi kapitalis pada zaman moden. Pasaran bebas, pemilikan swasta ke atas sumber-sumber pengeluaran, pemaksimuman keuntungan, pengeluaran barangan untuk dijual secara besar-besaran, persaingan, dan eksploitasi terhadap tenaga buruh yang diupah, merupakan ciri-ciri asas kapitalisme.

Lukisan minyak “Sindiket Persatuan Pedagang Kain” oleh Rembrandt van Rijn (1662)

Modal atau kapital itu sudah wujud sebelum munculnya kapitalisme. Dalam masyarakat pra-kapitalis, modal biasanya dipegang oleh golongan saudagar atau pedagang. Seorang pedagang pada zaman pra-kapitalis sering menjelajah dari satu tempat ke tempat lain, membeli barangan di satu tempat dan menjualkannya di tempat lain. Dia membeli sesuatu barangan di sesuatu tempat dengan sesuatu harga; dan jika dia menjual barangan itu di tempat yang lain dengan harga yang sama dengan harga pembelian yang asal, bermakna dia tidak mendapat apa-apa keuntungan. Perkara sebegini jarang atau tidak mungkin berlaku sama sekali pada seorang pedagang yang hendak mencari nafkah melalui aktiviti perdagangan. Jadi, seseorang pedagang itu sudah pasti akan menjual barangan yang dibelinya itu di tempat lain dengan harga yang lebih tinggi. Perbezaan antara harga jualan dan harga belian itu ialah keuntungan bagi pedagang. Selain dapat digunakan untuk memenuhi keperluan diri sendiri, seseorang pedagang boleh menggunakan surplus atau keuntungan yang diperolehinya daripada aktiviti perdagangan barangan itu untuk membeli lebih banyak barangan lagi supaya dia dapat menjana lebih keuntungan. Ini boleh dikatakan prototaip kepada kapitalis perdagangan moden.

Perdagangan sudah berlaku dalam masyarakat untuk selama beribu-ribu tahun sebelum munculnya kapitalisme. Sudah wujudnya rangkaian pedagang-pedagang yang menjelajah jauh untuk mencari keuntungan daripada proses pertukaran barangan sejak zaman tamadun awal, sama ada di Mesopotamia, Greece purba, Rom purba, India purba, China purba atau dunia Islam. Adanya pedagang yang menjelajah dengan menggunakan cara pelayaran kapal; adanya juga pedagang yang mengembara melalui rangkaian laluan darat seperti Jalan Sutera. Oleh sebab mod pengeluaran ekonomi pada zaman pra-kapitalis itu bukannya didominasi oleh logik pengumpulan modal, maka golongan pedagang belum lagi membentuk sebuah kelas sosial yang berpengaruh dan berkuasa sehingga boleh menjadi kelas pemerintah. Mungkin adanya golongan pedagang yang rapat dengan golongan pemerintah, di mana hubungan rapat itu dapat membantu dalam urusan perdagangan, tetapi mereka masih tidak mempunyai pengaruh yang ketara terhadap urusan sosioekonomi dan politik yang penting dalam masyarakat.

Kapitalisme hanya mula terbentuk di Eropah pada penghujung Zaman Pertengahan dan ketika Zaman Renaissance, iaitu sekitar kurun ke-14 dan kurun ke-15, terutamanya di bandar-bandar perdagangan penting. Sebelum itu, sudah wujudnya rangkaian kerjasama bandar-bandar perdagangan di Eropah seperti Liga Hansa (yang wujud di Eropah Timur dan Eropah Utara dari kurun ke-13 hingga kurun ke-17) untuk menggalakkan perdagangan dan melindungi kepentingan golongan pedagang yang rapat dengan golongan pemerintah feudal.

Venezia pada abad ke-15

Negara-negara kota di Semenanjung Itali yang berkembang menjadi pusat perdagangan penting pada penghujung Zaman Pertengahan, seperti Firenze, Genova dan Venezia, telah mempelopori usaha yang membangunkan instrumen kewangan, seperti kiriman wang dan amalan perbankan, untuk memudahkan perdagangan jarak jauh. Persaingan antara negara-negara kota Itali yang mendorong semangat inovasi dan pengambilan risiko dalam kalangan golongan pedagang di situ telah mendirikan asas kepada prinsip-prinsip teras kapitalisme seperti pemilikan swasta, persaingan pasaran dan tingkah laku bermotifkan keuntungan. Perkembangan aktiviti perdagangan yang semakin pesat juga memusatkan kekayaan di bandar-bandar perdagangan ini.

Pemusatan kekayaan di bandar-bandar perdagangan seperti Firenze, Genova dan Venezia, mewujudkan lapisan masyarakat yang mengumpul kekayaan melalui aktiviti perniagaan atau komersial, yang menjadi asas kepada pembangunan kelas borjuis moden. Namun, pengambilalihan kuasa pemerintahan oleh kelas borjuis memerlukan perubahan kuasa politik yang dapat mengangkat mereka ke posisi yang mendominasi dalam hubungan pengeluaran ekonomi. Perubahan ini perlu melibatkan revolusi borjuis yang menghapuskan kuasa dan keistimewaan golongan bangsawan serta tuan tanah feudal.

Portugal dan Sepanyol: Empayar global di bawah pemerintahan feudal

Sehingga pertengahan kurun ke-15, perdagangan antara Eropah dan Asia (seperti Arab, Parsi, India dan China) dicapai melalui Jalan Sutera dan laluan rempah, dengan Empayar Rom Timur (atau juga dikenali sebagai Empayar Bizantium) dan negara-negara kota Itali (seperti Venezia dan Genova) bertindak sebagai orang tengah yang mengaut keuntungan lumayan daripadanya.

Jalan Sutera (garis merah) dan laluan perdagangan rempah (garis biru). (sumber peta: wikipedia)

Pembangunan ekonomi perdagangan yang didorong oleh kepentingan golongan pedagang untuk mengaut lebih banyak keuntungan telah menjadikan negara-negara kota di Semenanjung Itali, seperti Republik Venezia dan Republik Genova, sebagai pemain utama dalam perdagangan dengan rantau Asia seperti perdagangan rempah. Negara-negara kota Itali ini muncul sebagai kuasa maritim yang mempunyai rangkaian perdagangan yang meluas merentasi Laut Mediterranean. Golongan kelasi, ahli kartografi dan pembuat kapal dari Itali memainkan peranan penting dalam pembangunan usaha penjelajahan dan penerokaan melalui pelayaran, maka menyumbang kepada kebangkitan kuasa-kuasa imperialis maritim yang muncul tidak lama kemudian. Nama benua “Amerika” yang “ditemui” oleh penjelajah Eropah itu datang daripada Amerigo Vespucci, seorang penjelajah dan pelayar dari salah sebuah negara kota Itali yang utama pada masa itu, Republik Firenze.

Negara-negara lain di Eropah yang hendak memecahkan dominasi negara-negara kota Itali terhadap perdagangan rempah pada penghujung Zaman Pertengahan, cuba untuk membina keupayaan maritim mereka sendiri. Lebih-lebih lagi, negara-negara Eropah juga terdesak untuk mencari laluan alternatif kepada perdagangan dengan Asia selepas laluan perdagangan yang sedia wujud diganggu selepas penawanan Kustantiniyah atau Konstantinopel (iaitu Istanbul), ibu kota Empayar Rom Timur, oleh Empayar Uthmaniyah pada tahun 1453.

Salah sebuah negara yang paling awal berbuat demikian ialah Portugal, dengan menganjurkan pelayaran mengelilingi benua Afrika untuk sampai ke Asia dan memulakan penerokaan jajahan di Afrika Utara pada awal kurun ke-15 lagi. Penawanan kota Ceuta di Afrika Utara pada tahun 1415 melalui serangan ketenteraan, menandakan langkah pertama Portugal untuk memperluaskan kekuasaannya di luar benua Eropah. Hampir seratus tahun kemudian, cengkaman kekuasaan Empayar Portugis telah melangkaui benua Afrika dan sampai ke Asia, dengan menakluki Goa di pantai barat daya India daripada Kesultanan Bijapur pada tahun 1510, dan kemudiannya menawan kota Melaka daripada Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511. Melaka merupakan pusat perdagangan utama di Asia dan pasaran rempah terbesar di dunia semasa ia jatuh ke dalam tangan Empayar Portugis. Dengan perluasan tanah jajahan di seberang laut, Empayar Portugis menjadi kuasa kolonial Eropah yang pertama pada zaman moden.

Empayar Sepanyol (sumber peta: Wikipedia)

Di negara jiran Portugal di Semenanjung Iberia, kerajaan Sepanyol di bawah pemerintahan Mahkota Castilla pada masa itu juga hendak bersaing dengan Portugal untuk mencari laluan alternatif kepada perdagangan rempah dengan Asia. Jadi, kerajaan Sepanyol mendukung penjelajahan laut ke arah barat Lautan Atlantik yang belum lagi berjaya dilakukan oleh mana-mana kuasa maritim di Eropah pada masa itu. Kerajaan Sepanyol menaja Christopher Columbus, seorang penjelajah dan pelayar Itali dari Republik Genova, untuk melakukan pelayaran ke barat merentasi Lautan Atlantik dan sampai ke benua Amerika. Pendaratan ekspedisi Columbus di Kepulauan Caribbean dan Amerika Tengah pada tahun 1492, merupakan titik perubahan penting dalam sejarah yang menandakan permulaan penjajahan Eropah di Hemisfera Barat yang membawa wabak penyakit, penindasan, eksploitasi, peperangan dan genosid kepada masyarakat orang asal di benua Amerika. Penerokaan dan penjajahan oleh kuasa Eropah ke atas benua Amerika telah mengubah wajah dunia selepasnya.

Kedua-dua kuasa maritim baharu dari Eropah yang muncul pada penghujung abad ke-15, Sepanyol dan Portugal, menandatangani Perjanjian Tordesillas pada tahun 1494 untuk membahagikan wilayah-wilayah yang “baharu ditemui” di luar Eropah pada masa itu antara dua kuasa maritim itu. Kedua-dua kuasa besar dunia pada masa itu menggunakan satu garisan meridian di Lautan Atlantik yang dilukis di atas peta dunia mengikut kehendak mereka untuk menentukan bahawa bahagian barat garisan itu dikuasai sepenuhnya oleh Sepanyol sementara kawasan di bahagian timur garisan itu dimonopoli oleh Portugal. Namun, pertelingkahan timbul apabila Portugal dan Sepanyol berebut untuk menguasai Kepulauan Maluku yang kaya dengan sumber rempah pada awal abad ke-16. Portugal dan Sepanyol bersetuju untuk mewujudkan satu lagi garisan pemisah di rantau Asia Pasifik di atas peta dunia melalui Perjanjian Zaragoza pada tahun 1529, dengan kerajaan Sepanyol melepaskan tuntutannya ke atas Maluku apabila Portugal membayar 350,000 dukat emas kepada Sepanyol. “Urus niaga” antara dua kuasa besar itu menjadikan Kepulauan Maluku seolah-olah harta tanah yang tidak diduduki oleh mana-mana orang yang lain, dan boleh dijual beli antara dua kuasa asing yang datang dari jauh. Ini mencerminkan bagaimana kolonialisme berfungsi: mana-mana wilayah di atas permukaan bumi boleh dibahagikan antara kuasa-kuasa imperialis kolonial sesuka hati tanpa mempedulikan masyarakat yang sudah lama tinggal di situ.

Apabila Raja Sebastião dari Portugal mati atau hilang dalam pertempuran semasa tentera Portugis ditewaskan oleh Kesultanan Saadi di Alcácer Quibir, utara Maghribi, pada tahun 1578, Portugal mengalami krisis penggantian raja. Raja Felipe II dari Sepanyol menggunakan kesempatan itu untuk melancarkan pencerobohan tentera ke atas Portugal pada tahun 1580. Raja Felipe II dari Sepanyol dinobatkan sebagai Raja Portugal pada tahun 1581, dan kedua-dua negara itu diletakkan di bawah pemerintahan raja yang sama dengan pembentukan “Kesatuan Iberia” yang bertahan selama 60 tahun. Walaupun di bawah pemerintahan raja yang sama dari kerabat diraja Habsburg Sepanyol, pentadbiran negara Portugal dan tanah jajahannya masih dipegang oleh golongan elit Portugis, sementara Raja Sepanyol melantik seorang wizurai di Portugal sebagai wakil rasminya dengan kuasa sebenar yang terhad.

Kawasan yang diwarnakan ialah wilayah yang dikuasai oleh Empayar Sepanyol dan Empayar Portugis di bawah Kesatuan Iberia. (sumber peta: Wikipedia)

Kesatuan Iberia yang menggabungkan Empayar Sepanyol dan Empayar Portugis, menguasai wilayah-wilayar yang terletak di semua benua di Bumi kecuali Antartika, maka menjadikannya empayar yang paling meluas pada zaman moden awal. Ia boleh dikatakan empayar global yang pertama dalam sejarah masyarakat manusia. Namun, di bawah pemerintahan Dinasti Habsburg Sepanyol, struktur sosoekonomi dalam empayar ini masih bersifat feudal, dengan hubungan pengeluaran feudal masih mendominasi dan berleluasa di seluruh kawasan yang dikuasainya.

Di dalam kawasan yang dikuasainya di kerajaan Habsburg Sepanyol di Eropah, golongan bangsawan dan Gereja Katolik Rom masih memegang kebanyakan kuasa ekonomi-politik. Hubungan pengeluaran dalam ekonomi yang berasaskan pertanian itu masih berlandaskan struktur hierarki feudal yang mengikatkan golongan petani kepada tanah, di mana golongan bangsawan mengeksploitasi golongan petani dengan mengenakan cukai, sewa atau buruh paksaan. Wujudnya ketegangan antara usaha pemusatan kuasa politik dalam tangan raja selaku pemerintah tertinggi di dalam negara dengan golongan bangsawan di peringkat tempatan yang mempunyai autonomi politik. Namun, ini hanyalah perkara yang biasa wujud dalam kelas pemerintah feudal yang terdiri daripada lapisan-lapisan golongan bangsawan yang mempunyai kepentingan berbeza.

Di tanah jajahan di luar Eropah pula, khususnya di benua Amerika, golongan penjajah Sepanyol dan Portugis mengeksploitasi sumber alam di situ, seperti emas dan perak yang merupakan bahan mentah penting untuk pembuatan mata wang yang digunakan secara meluas dalam sebagai komoditi asas perdagangan, dengan membawa masuk tenaga buruh hamba abdi dari benua Afrika. Pemerdagangan hamba merentasi Lautan Atlantik merupakan satu perniagaan yang menguntungkan bagi golongan pedagang dan golongan kaya yang melaburkan modal dalam perusahaan ekonomi (seperti perlombongan dan perladangan) di benua Amerika. Ini mewujudkan asas kepada kontradiksi ekonomi yang ketara di dalam empayar maritim yang terbesar di dunia pada masa itu.

Dari segi perdagangan antarabangsa, Empayar Sepanyol mengamalkan dasar merkantilisme yang bertujuan untuk memaksimumkan eksport dari wilayah-wilayah yang dikuasainya dan mengurangkan import dari negara-negara lain, demi mengumpul kekayaan dalam bentuk mata wang sebanyak mungkin dan mengekalkan kedudukan dominasinya di peringkat dunia. Asas kepada merkantilisme ialah tanggapan bahawa kekayaan sesebuah negara adalah diukur dengan jumlah emas dan perak yang dipegang oleh negara itu. Kelas pemerintah Empayar Sepanyol menggunakan kekayaan emas yang dikumpulkan itu untuk membiayai tentera upahannya supaya terus berperang dengan negara-negara lain.

Peta yang menunjukkan kedudukan provinsi-provinsi dan bandar-bandar utama di dalam Negeri-negeri Pamah.

Negeri-negeri Pamah pada pertengahan abad ke-16

Pada abad ke-16, terdapat kira-kira 3 juta orang tinggal di kawasan tanah rendah pantai di Barat Laut Eropah yang dikenali sebagai Negeri-negeri Pamah (Nederlanden), iaitu di mana terletaknya negara Belanda dan Belgium hari ini. Negeri-negeri Pamah diperintah oleh kerajaan Dinasti Habsburg dari Sepanyol mulai tahun 1482, menjadikannya salah sebuah jajahan di bawah Empayar Sepanyol yang muncul sebagai kuasa maritim terbesar di dunia pada masa itu. Negeri-negeri Pamah di bawah pemerintahan Empayar Sepanyol pada masa itu dikenali sebagai “Belanda Habsburg”(1482-1797). Belanda Habsburg dibahagikan kepada 17 buah wilayah yang dikenali sebagai “Tujuh Belas Provinsi”. Tujuh Belas Provinsi itu ialah: Antwerp, Artois, Brabant, Flanders, Friesland, Gelderland, Groningen, Hainaut, Holland, Limburg, Luxembourg, Mechelen, Namur, Overijssel, Utrecht, Zeeland dan Zutphen. 

Peta Belanda Habsburg. (kartografi: Alexis-Marie Gochet, ~1878)

Jumlah penduduk di Negeri-negeri Pamah pada abad ke-16 hampir sama dengan jumlah penduduk yang menetap di seluruh England dan Wales dengan keluasan hampir 60 kali ganda berbandingnya pada masa yang sama. Daripada 3 juta orang penduduk di situ, separuhnya tinggal di kawasan bandar, menjadikan Negeri-negeri Pamah sebuah rantau yang paling urbanisasi di Eropah pada masa itu.

Bandar-bandar seperti Amsterdam, Antwerp, Bruges, Brussels, Gent, Haarlem, Leiden, Utrecht dan bandar-bandar lain dengan majoriti penduduk berbahasa Belanda di Negeri-negeri Pamah, merupakan pusat perdagangan yang terkenal sejak Zaman Renaissance di Eropah. Pemandangan di sekitar kawasan Negeri-negeri Pamah penuh dengan sungai dan terusan yang menjadi laluan air kepada penduduk-penduduk di sekitarnya, serta pelbagai struktur benteng yang mengawal banjir. Beberapa sistem sungai yang utama di Eropah, seperti Sungai Rhine, Sungai Maas dan Sungai Schelde, mengalir dari kawasan pedalaman benua Eropah ke Laut Utara di pinggiran Lautan Atlantik melalui Negeri-negeri Pamah yang penuh dengan muara sungai, benteng sungai, pulau kecil dan dataran lumpur.

Antwerp sekitar tahun 1540. (lukisan: artis tanpa nama)

Perkembangan pasaran perdagangan yang mendorong pengkomersialan di kawasan bandar, memainkan peranan penting dalam menghubungkan rangkaian pengeluaran ekonomi kapitalis yang mula muncul tetapi masih berskala kecil dalam lingkungan masyarakat feudal pada masa itu.

Keadaan geografi yang luar biasa di Negeri-negeri Pamah, terutamanya di wilayah-wilayah yang terletak di pinggiran laut, telah memaksa golongan petani di situ untuk menyesuaikan diri dengan lebih awal kepada pertanian yang berorientasikan pasaran. Ini menanam benih hubungan pengeluaran kapitalis dalam pertanian, khususnya dalam kalangan golongan petani yang bebas daripada ikatan feudal dan memiliki tanah yang cukup besar, seterusnya mendorong perkembangan pasaran komersial di situ. Perkembangan pesat aktiviti-aktiviti perdagangan dan komersial di Negeri-negeri Pamah dari abad ke-14 hingga abad ke-16, telah mengubah rantau ini kepada salah sebuah kawasan yang paling dinamik dari segi ekonomi dan menjadi pusat komersial utama di Eropah.

Desiderius Erasmus (1466-1536), ahli falsafah humanis dari Belanda yang terkenal pada Zaman Renaissance. (lukisan oleh Hans Holbien Muda)

Peralihan awal daripada bentuk pengeluaran ekonomi pertanian tradisional yang berasaskan rezeki sara diri kepada bentuk pengeluaran kapitalis yang bermotifkan keuntungan, hanya mungkin berlaku dengan kemunculan pusat-pusat pengeluaran ekonomi dan perdagangan yang besar di kawasan bandar. Di Negeri-negeri Pamah, ia didorong oleh pembangunan perusahaan tekstil di wilayah Flanders, yang menyediakan pasaran untuk barangan komersial dan kemungkinan untuk pengimportan bijirin sebagai makanan dalam kuantiti yang besar (untuk memenuhi keperluan pertumbuhan penduduk yang disebabkan oleh keperluan tenaga kerja yang lebih banyak dalam sektor perusahaan baharu di bandar).

Menjelang abad ke-16, masyarakat di kawasan bandar yang berbahasa Belanda di Negeri-negeri Pamah mula dipenuhi oleh golongan pedagang, tukang dan penduduk bandar yang bebas. Golongan-golongan masyarakat yang pesat membangun ini mempunyai tahap pendidikan, kebudayaan dan organisasi sivik yang agak tinggi. Persatuan pedagang dan perseikatan pertukangan mendominasi kehidupan bandar. Golongan pedagang dan golongan elit bandar ini ialah pelopor kepada kelas borjuis moden.

Lukisan dengan tajuk “Peribahasa Belanda”. (lukisan: Pieter Bruegel, 1559)

Perubahan imbangan kelas dalam masyarakat ini membawa cabaran baharu kepada susunan sosioekonomi feudal di bawah pemerintahan Dinasti Habsburg dari Sepanyol. Struktur masyarakat feudal yang berasaskan sistem pemilikan tanah yang berhierarki dan pemeliharaan kekuasaan golongan tuan tanah bangsawan, adalah tidak seiras dengan kuasa ekonomi baharu yang dibangunkan dalam aktiviti komersial yang semakin pesat dan didorong oleh logik pengumpulan modal.

Oleh itu, wujudnya ketegangan hubungan antara golongan pemerintah Dinasti Habsburg Sepanyol dan golongan elit komersial di Negeri-negeri Pamah. Golongan pemerintah Habsburg Sepanyol cuba menyesuaikan diri dengan keadaan baharu pada masa itu dengan membina sebuah empayar besar yang menggabungkan bandar-bandar perdagangan yang kaya dengan golongan tuan tanah feudal yang amat berkuasa di wilayah-wilayah utamanya. Untuk berbuat demikian, golongan pemerintah Habsburg Sepanyol perlu menutup semula keretakan yang terbuka dalam struktur feudal Eropah yang disebabkan oleh kebangkitan kuasa ekonomi dan politik yang bersaing dengannya. Oleh itu, kerajaan Habsburg Sepanyol mengamalkan dasar peperangan yang berterusan, dan dibiayai dengan peningkatan beban percukaian terhadap golongan penduduk bandar.

Satu lagi pendekatan yang digunakan oleh kerajaan Habsburg Sepanyol untuk memperkukuhkan empayarnya ialah menyokong institusi ideologi yang utama bagi feudalisme Eropah, iaitu Gereja Katolik Rom, untuk menentang kebangkitan fahaman Reformasi Protestan.

Lukisan dengan tajuk “Pejabat Pemungut Cukai”. (lukisan: Pieter Bruegel, ~1615)

Kerajaan Dinasti Habsburg dari Sepanyol, khususnya semasa pemerintahan Raja Felipe II, mengenakan cukai yang tinggi terhadap penduduk-penduduk di Negeri-negeri Pamah pada masa itu untuk membiayai tentera upahan yang digunakan untuk mempertahankan kekuasaan monarki Habsburg Sepanyol. Golongan pedagang tidak melihat bagaimana pendanaan kepada tentera Sepanyol melalui percukaian ke atas kekayaan yang dikumpulkan oleh mereka itu mempunyai apa-apa kebaikan untuk kepentingan komersial mereka.

Kadar cukai yang tinggi menjadi penghalang kepada perkembangan aktiviti komersial yang didominasi oleh golongan pedagang. Kadar cukai yang tinggi bermakna keuntungan yang diperolehi golongan pedagang berkurangan dan menghalang mereka daripada melabur lebih banyak modal dalam aktiviti komersial yang sedang pesat berkembang. Golongan yang memiliki modal itu perlukan lebih banyak keuntungan. Jika seseorang pemilik modal itu tidak tamakkan keuntungan pun, logik pengumpulan modal itu tidak membenarkan kadar cukai yang lebih tinggi. Inilah sebabnya kenapa adanya golongan borjuis benci kepada cukai yang dikenakan oleh kerajaan sehingga hari ini.

Golongan bangsawan tempatan Belanda yang moderat meminta pihak pemerintah Habsburg untuk mengurangkan penganiayaan terhadap golongan Protestan, tetapi menerima ejekan sebagai “pengemis”. (ilustrasi: artis tidak diketahui)

Pada masa yang sama, gerakan Reformasi Protestan yang melanda seluruh Eropah juga merebak dengan cepat di Negeri-negeri Pamah. Banyak warga bandar di Negeri-negeri Pamah menjadi penganut mazhab Kristian Protestan yang baharu, khususnya Calvinisme yang berasaskan sistem teologi yang dibangunkan oleh Jean Calvin dari Perancis. Golongan borjuis yang baharu lebih cenderung untuk memeluk fahaman agama Protestan kerana ia menawarkan alternatif baharu untuk mereka melepaskan diri daripada struktur politik keagamaan lama yang didominasi oleh golongan paderi daripada Gereja Katolik Rom. Fahaman Anabaptisme yang lebih radikal dalam kalangan aliran Reformasi Protestan dan dibangunkan selepas Perang Petani Jerman 1524-1525, lebih berpengaruh dalam kalangan golongan bawahan yang melakukan kerja buruh kasar.

Oleh kerana terasa diancam kekekuasaannya yang berasaskan struktur masyarakat feudal, golongan berkuasa dalam Gereja Katolik Rom pada masa itu menganggap fahaman agama Protestan itu sebagai ajaran sesat, dan menggunakan kekerasan untuk menindas golongan penganut mazhab-mazhab Protestan. Penindasan terhadap golongan Protestan itu sudah pasti mengundang penentangan daripada golongan Protestan.

Aksi pemusnahan ikon di gereja Katolik Rom yang melanda Negeri-negeri Pamah pada 1566. (lukisan: Dirck van Delen)

Beeldenstorm

Sepanjang separuh pertama abad ke-16, pertentangan kelas di Negeri-negeri Pamah telah mencetuskan peristiwa-peristiwa penentangan yang berasingan. Pada tahun 1534, golongan Anabaptis yang dipimpin oleh Jan Beukelsz, seorang tukang jahit dari Leiden (sebuah bandar yang terletak di bahagian barat Belanda), telah mengambil alih bandar Münster yang terletak di bahagian Barat Jerman, untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunal yang digelar “Jerusalem Baharu”, tetapi ditumpaskan oleh tentera yang disokong oleh Empayar Rom Suci. Selepas peristiwa itu, pada tahun 1535, sekumpulan Anabaptis di Belanda berlari telanjang di dalam bandar Amsterdam untuk menegaskan idea bahawa semua orang lelaki dan wanita adalah sama rata di mata Tuhan. Golongan Anabaptis kemudiannya cuba memberontak untuk menawan bandar Amsterdam dan Leiden pada bulan Mei 1535, tetapi dipatahkan oleh pihak berkuasa.

Pada tahun 1539-1540, penduduk-penduduk di Gent, sebuah bandar perusahaan tekstil yang penting di wilayah Flanders pada masa itu, memberontak untuk menentang pemerintahan Raja Charles V, Maharaja Rom Suci dan Raja Sepanyol, kerana kemarahan mereka terhadap cukai tinggi yang digunakan semata-mata untuk membiayai peperangan Habsburg Sepanyol dengan negara lain. Pada tahun 1550-an, krisis ekonomi mengundang gelombang pemberontakan warga bandar di Belanda.

Salah satu kaedah perjuangan yang digunakan oleh golongan Protestan untuk melawan penindasan daripada Gereja Katolik Rom pada abad ke-16 ialah “ikonoklasme”, iaitu tindakan memusnahkan patung berhala dan imej keagamaan. Pendekatan ini biasanya digunakan oleh golongan Protestan daripada mazhab Calvinisme. Jean Calvin, tokoh pembaharu Protestan dari Perancis yang mengasaskan mazhab Calvinisme, berpandangan bahawa kesenian agama Katolik Rom tidak memberi kebaikan kepada agama Kristian, malah mudah mengakibatkan fenomena penyembahan berhala. Oleh itu, Jean Calvin mengajukan idea bahawa semua hiasan patung dan lukisan di dalam gereja, kecuali salib, harus dimusnahkan. Ini telah mencetuskan gerakan ikonoklasme dalam kalangan penganut mazhab Calvinsime. Bermula di Perancis pada tahun 1560, tindakan ikonoklasme merebak ke banyak tempat di Eropah, termasuk Negeri-negeri Pamah.

Raja Felipe II dari Sepanyol, selaku pemerintah di Negeri-Negeri Pamah yang tegas menentang Reformasi Protestan, telah meningkatkan penganiayaan terhadap golongan Protestan di situ, di samping meneruskan dasar pemusatan kuasa dalam tangan kerabat diraja Habsburg. Ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan penduduk Negeri-negeri Pamah dan golongan bangsawan tempatan yang berpendirian moderat.

Golongan bangsawan tempatan cuba menggunakan cara yang lebih lembut dan aman untuk mengetengahkan ketidakpuasan hati mereka. 200 orang bangsawan tempatan Belanda berpakat untuk menyerahkan petisyen kepada Duchess Margaretha dari Parma selaku Gabenor Belanda Habsburg pada 5 April 1566, dengan tuntutan kepada pihak pemerintah Habsburg supaya mengurangkan penindasan terhadap golongan Protestan. Pada ketika itu, salah seorang penasihat kepada Margaretha menghina golongan bangsawan tempatan Belanda yang berpangkat lebih rendah itu sebagai “pengemis” (gueux), dan gelaran ini terus disandang oleh golongan revolusioner sepanjang Pemberontakan Belanda.

Margaretha yang tidak tahu bagaimana merespon kepada tuntutan golongan bangsawan tempatan Belanda pada masa itu, memutuskan untuk menggantungkan tindakan penganiayaan terhadap golongan Protestan buat sementara waktu. Ini terus membuka ruang baharu kepada kebangkitan kesedaran penentangan dalam kalangan massa rakyat. Sepanjang musim bunga dan musim panas pada tahun 1566, golongan Protestan mula mengadakan perjumpaan besar-besaran secara terbuka di seluruh Negeri-negeri Pamah. Kebanyakan khutbah yang disampaikan oleh paderi-paderi Protestan itu mengemukakan perspektif yang mencabar kepercayaan yang dipegang oleh orang ramai di situ selama berdekad-dekad ketika itu.

Pemusnahan gereja di bandar Antwerp. (ilustrasi: Frans Hogenberg)

Pada bulan Ogos-September 1566, bermula dari wilayah Flanders di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah, tercetusnya gelombang aksi pemusnahan patung yang diterajui oleh golongan Calvinis. Massa rakyat yang memberontak telah menggegarkan dan menterbalikkan susunan politik-sosial yang sedia ada dari satu bandar ke bandar lain. Bangunan gereja dan institusi Katolik Rom diserang. Gelombang aksi ikonoklasme yang dikenali sebagai “Beeldenstorm” (bermaksud serangan terhadap imej atau patung dalam Bahasa Belanda) ini merebak dengan cepatnya di bandar-bandar di seluruh Negeri-negeri Pamah, seperti Antwerp, Gent, Amsterdam, Maastricht dan banyak lagi. Golongan bangsawan terpaksa memberi kebebasan beribadat kepada golongan Protestan seperti Calvinis dan Lutheran. Golongan Anabaptis yang lebih radikal lagi pula mengamalkan kebebasan mereka untuk beribadat tanpa meminta kebenaran daripada mana-mana pihak berkuasa.

Gelombang Beeldenstorm yang melanda Negeri-negeri Pamah pada tahun 1566, membuka tirai kepada Pemberontakan Belanda. Pemberontakan massa secara spontan pada masa itu mengejutkan golongan berkuasa Habsburg Sepanyol. Namun, golongan bangsawan tempatan Belanda sendiri yang memainkan peranan utama dalam mematahkan gelombang pemberontakan pertama dalam bentuk Beeldenstorm ini.

Willem dari Orange

Berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang memberontak terhadap pihak berkuasa pemerintahan Habsburg Sepanyol dan Gereja Katolik Rom, hanya sebahagian daripada golongan bangsawan Belanda, dengan Willem dari Orange sebagai ketua mereka, mengambil posisi mereka untuk menerajui gerakan pemberontakan yang hebat itu. Sebahagian besar lagi golongan bangsawan tempatan di Negeri-negeri Pamah menarik diri daripada penentangan terhadap pemerintahan Habsburg Sepanyol, malah adanya sebahagian daripada mereka terus menyokong keganasan yang dilancarkan oleh Raja Sepanyol terhadap gelombang revolusioner yang sedang berkembang itu.

Willem dari Orange (1533-1584) (lukisan portret oleh Adriaen Thomasz Key)

Putera Willem dari Orange (“Orange” ini merujuk kepada Negeri Keputeraan Orange, sebuah negeri feudal yang terletak di wilayah Provence, Perancis), seorang bangsawan daripada kerabat diraja Nassau yang dilantik sebagai Stadhouder (jawatan yang setara yang gabenor) bagi Provinsi Holland, Zeeland dan Utrecht pada tahun 1559, pada awalnya tidak menentang pemerintahan Habsburg Sepanyol secara langsung kerana hendak menjaga jawatannya yang dilantik oleh Raja Sepanyol.

Namun, Willem dari Orange semakin tidak berpuas hati dengan pemerintahan Habsburg Sepanyol yang semakin memusatkan kuasa sehingga menghakis kekuasaan autonomi golongan bangsawan tempatan di wilayah-wilayah Belanda, pengenaan cukai yang berat oleh kerajaan Sepanyol terhadap penduduk-penduduk di Negeri-negeri Pamah dan penganiayaan keras oleh kerajaan Sepanyol terhadap golongan Protestan. Walaupun Willem dari Orange sendiri merupakan seorang Katolik pada masa itu, dia lebih percaya pada toleransi agama dan bersimpati dengan nasib golongan Protestan yang ditindas oleh pihak berkuasa feudal.

Bersama dengan golongan bangsawan tempatan Belanda yang lain, seperti Duke Horn Philip de Montmorency dan Count Egmont Lamoral, Willem dari Orange lantang bersuara dalam mengkritik kerajaan Habsburg Sepanyol, dengan hasrat mendapatkan lebih banyak kuasa politik bagi golongan bangsawan tempatan daripada kerajaan Habsburg Sepanyol dan menyingkirkan pengaruh elit Habsburg Sepanyol daripada urusan politik di wilayah-wilayah Belanda. Pemikirannya sebegini boleh dikatakan mempunyai ciri-ciri fahaman nasionalis, walaupun ideologi itu masih belum berkembang secara sistematik lagi pada masa itu.

Semasa tercetusnya Beeldenstorm, berhadapan dengan aksi massa secara spontan daripada golongan menengah dan bawahan yang miskin, sebahagian besar golongan bangsawan yang sebelum itu tidak berpuas hati dengan pemerintahan Habsburg Sepanyol menukar pendirian mereka dengan berpihak kepada kerajaan Habsburg Sepanyol dalam mematahkan Beeldenstorm. Misalnya, Count Egmont Lamoral, yang sebelum itu lantang mengkritik kerajaan Habsburg Sepanyol, memainkan peranan penting dalam mematahkan pemberontakan rakyat di bandar Valenciennes pada tahun 1567.

Willem dari Orange mengambil pendirian yang lebih berhati-hati semasa Beeldenstorm. Sebagai Stadhouder di Holland dan Zeeland, Willem dari Orange bertindak agak cepat untuk mematahkan aksi Beeldenstorm dan mengembalikan “ketenteraman” di situ supaya ia tidak merebak di kawasan pentadbirannya. Selain itu, dia pernah membantu sesetengah kerajaan bandar untuk memberikan hak yang terhad kepada sesetengah golongan Protestan, tetapi dia tidak pernah berbuat demikian kepada golongan Anabaptis yang lebih radikal.

Walau bagaimanapun, Willem dari Orange kemudiannya menjadi salah seorang pemimpin utama dalam penentangan bersenjata terhadap pemerintahan Habsburg Sepanyol.

Penindasan dan penentangan mencetuskan “Perang Lapan Puluh Tahun”

Selepas tercetusnya Beeldenstorm, Raja Felipe II dari Sepanyol menghantar Duke Alba Fernando Álvarez de Toledo, ke Belanda untuk memulihkan susunan masyarakat di situ. Oleh sebab campur tangan yang aktif daripada kebanyakan golongan bangsawan tempatan, gelombang pemberontakan yang pertama telah dipatahkan sebelum Duke Alba tiba di Negeri-negeri Pamah. Dengan Duke Alba mengambil alih kuasa pentadbiran di wilayah-wilayah Belanda, Willem dari Orange meninggalkan jawatannya di Belanda Habsburg dan melarikan diri balik ke kampung halamannya di wilayah Nassau yang terletak di bahagian barat Jerman pada bulan April 1567.

Selepas Duke Alba tiba di Belanda Habsburg pada bulan Ogos 1567, dia menubuhkan sebuah tribunal khas yang dipanggil “Majlis Rusuhan” (Raad van Beroerten) untuk mengadakan perbicaraan dan menghukum mereka yang terlibat dalam pemberontakan terhadap pemerintahan Habsburg Sepanyol. Sebanyak 10,000 orang dipanggil untuk hadir ke perbicaraan Majlis Rusuhan, termasuk Willem dari Orange. Willem yang sudah hidup dalam buangan pada masa itu tidak hadir ke perbicaraan tribunal. Oleh itu, dia diisytihar sebagai penjenayah dan hartanya dirampas. Majlis Rusuhan yang dipengerusikan oleh Duke Alba menjatuhkan hukuman mati secara pancung kepala ke atas banyak orang, maka ia lebih dikenali oleh orang ramai sebagai “Majlis Darah” (Bloedraad). Kira-kira 1,000 orang dibunuh, sementara 9,000 orang yang lain dibuang negeri dan dirampas harta mereka. Antara orang yang dihukum mati ialah Philip de Montmorency dan Lamoral, dua orang bangsawan Belanda yang begitu yakin bahawa peranan mereka dalam mematahkan pemberontakan itu boleh mengembalikan kepercayaan Raja Habsburg Sepanyol terhadap mereka, tetapi mereka masih ditangkap pada bulan September 1567 dan dijalankan hukuman mati pada bulan Jun 1568.

Duke Alba mempengerusikan perbicaraan “Majlis Rusuhan”. (ilustrasi: Simon Frisius, 1616)

Willem dari Orange dapat selamat daripada keganasan “Majlis Darah” kerana sempat meninggalkan Belanda. Semasa hidup dalam buangan, Willem dari Orange membiayai pembentukan tentera pemberontak untuk melawan pemerintahan Habsburg Sepanyol. Gabungan tentera pemberontak kenali sebagai “Pengemis” (Geuzen). Kumpulan lanun yang terdiri daripada pelarian Protestan membentuk “Pengemis Laut” (Watergeuzen) untuk melakukan serangan ke atas bandar-bandar di persisiran pantai Negeri-negeri Pamah. Willem dari Orange juga menubuhkan tentera pemberontak yang pada asalnya kebanyakan anggota terdiri daripada askar upahan dari Jerman, untuk melawan tentera Sepanyol di daratan.

Tentera pemberontak Belanda yang dipimpin oleh Louis dari Nassau, adik kepada Willem dari Orange, mencapai kemenangan yang pertama terhadap tentera Sepanyol dalam pertempuran di Heiligerlee, sebuah perkampungan di provinsi Groningen yang terletak di timur laut Belanda, pada 23 Mei 1568. Namun, tentera pemberontak tidak dapat menawan mana-mana bandar dan ditewaskan tidak lama kemudian dalam pertempuran di Jemgum yang terletak di Friesland Timur pada 21 Julai 1568. Dua pertempuran ini menandakan penghujung kepada fasa pertama Pemberontakan Belanda tetapi juga permulaan peperangan berpanjangan yang dikenali sebagai “Perang Lapan Puluh Tahun” (1568-1648).

Pertempuran Heiligerlee pada 23 Mei 1568. (lukisan: artis tidak diketahui)

Cubaan Willem dari Orange untuk menewaskan Duke Alba melalui serangan ketenteraan pada tahun 1568 akhirnya tidak berjaya. Tentera Pengemis yang melancarkan perang gerila di hutan dan laut juga tidak membuahkan hasil pada awalnya. Fasa pertama Pemberontakan Belanda yang tercetus daripada Beeldenstorm, menemui jalan buntu selepas tiada satu cubaan untuk membebaskan Negeri-negeri Pamah dari luar atau dari atas berjaya mengancam pemerintahan Habsburg secara berkesan.

Namun, penindasan dan penganiayaan yang semakin meningkat terhadap penduduk-penduduk di Negeri-negeri Pamah, tambahan pula dengan cubaan Duke Alba untuk mengenakan cukai 10% ke atas penjualan barangan pada tahun 1571, dan gangguan dalam ekonomi Belanda yang diakibatkan oleh faktor-faktor seperti aktiviti ketenteraan di pinggiran Negeri-negeri Pamah, mewujudkan syarat-syarat untuk pemberontakan yang baharu.

Gelombang pemberontakan kedua dan reaksi ganas Empayar Sepanyol

Fasa kedua Pemberontakan Belanda bermula dengan satu peristiwa yang tidak disengajakan.

Pada 1 April 1572, “Pengemis Laut” yang diusir keluar dari pangkalan mereka di England oleh kerajaan Ratu Elizabeth I, melakukan kejutan dengan menawan Brielle, sebuah pekan kecil di bahagian Barat Belanda. Kejayaan ini mencetuskan pemberontakan di pekan-pekan nelayan seperti Vlissingen di provinsi Zeeland dan Enkhuizen di bahagian barat provinsi Holland. Dalam tempoh 3 bulan selepas itu, hampir semua bandar utama di Holland dan Zeeland telah dilanda gelombang pemberontakan yang menggabungkan kebangkitan rakyat dari bawah, tekanan daripada tentera Pengemis dan anggota pembangkang dalam kalangan golongan elit bandar. Bandar-bandar yang memberontak di Holland telah menyeru untuk memulihkan jawatan Willem dari Orange sebagai Stadhouder di provinsi itu, dengan mengambil tanggungjawab untuk melindunginya daripada pemerintah kuku besi kuasa asing.

Penawanan Brielle oleh “Pengemis Laut”. (lukisan: Anthonie Waldorp, 1862)

Raja Felipe II dari Sepanyol yang hendak mengekalkan kekuasaan empayarnya yang digugat oleh kuasa-kuasa Reformasi Protestan dan golongan revolusioner Pemberontakan Belanda, telah menjadikan Negeri-negeri Pamah sebagai medan perang utama di Eropah dalam usahanya mematahkan gelombang revolusi yang hebat di situ. Puluhan ribu tentera Sepanyol dikerahkan dan sejumlah besar kekayaan empayar itu digunakan dalam cubaannya untuk menghancurkan gelombang pemberontakan di Belanda.

Tentera Sepanyol melakukan serangan ganas, pembunuhan beramai-ramai dan penjarahan terhadap bandar-bandar di Negeri-negeri Pamah pada tahun 1572-1579, dengan membunuh ramai orang. Dalam serangan ke atas bandar Antwerp pada bulan November 1576, 1,000 buah rumah dimusnahkan dan 8,000 orang dibunuh dengan kejam oleh tentera Sepanyol yang mengamuk. Keganasan tentera Sepanyol telah mematahkan gelombang pemberontakan di wilayah Flanders dan memulihkan pemerintahan Sepanyol di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah (iaitu kawasan yang dikenali sebagai Belgium hari ini) buat sementara waktu. Namun, semarak revolusi Belanda terbukti jauh lebih sukar dipadamkan, terutamanya di bahagian utara Negeri-negeri Pamah (iaitu kawasan yang dikenali sebagai Belanda hari ini).

Pembantaian Antwerp pada 4 November 1576. (sumber gambar: Encyclopædia Britannica)

Golongan pemberontak berjaya mendirikan tapak ketenteraan yang kukuh di bandar-bandar di Holland dan Zeeland. Bandar Haarlem di bahagian utara Holland dipertahankan oleh penduduk-penduduknya selama 8 bulan sebelum ditawan oleh tentera Sepanyol yang jauh lebih kuat. Bandar Alkmaar dan Leiden pula mampu bertahan daripada pengepungan tentera Sepanyol.

Dari “Perjanjian Damai Gent” ke gelombang pemberontakan baharu

Pengerahan tentera untuk peperangan di Holland dan Zeeland telah menghauskan sumber-sumber kewangan Sepanyol. Pada tahun 1576, askar-askar Sepanyol yang tidak dibayar upah melancarkan pemberontakan di bahagian selatan Belanda. Selepas tentera Sepanyol yang memberontak dan mengamuk melakukan pembunuhan beramai-ramai di Antwerp, provinsi-provinsi di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah yang masih di bawah penguasaan sepenuh Dinasti Habsburg Sepanyol bersetuju untuk berdamai dengan provinsi-provinsi yang memberontak di bahagian utara Negeri-negeri Pamah. Semua provinsi di dalam Belanda Habsburg, kecuali Luxembourg, membentuk sebuah perikatan yang dikenali sebagai “Perjanjian Damai Gent” (Pacificatie van Gent) pada 8 November 1576. Provinsi-provinsi Belanda yang bersatu semula itu mengemukakan tuntutan yang mendesak Raja Felipe II supaya mengundurkan semua tentera asing dari Belanda, menggantungkan penganiayaan terhadap golongan Protestan, dan mengadakan rundingan dengan Staten-Generaal (Majlis Perwakilan Wilayah-wilayah Belanda yang disertai oleh tiga golongan kelas: bangsawan, paderi dan warga kota) dalam hal tadbir urus tempatan dan bukannya memerintah melalui tindakan autokratik sepihak. “Perjanjian Damai Gent” menandakan permulaan fasa ketiga dalam Pemberontakan Belanda yang merupakan peringkat penentu yang penting.

Alegori yang menggambarkan Perjanjian Damai Gent. (ilustrasi: Adriaen van de Venne, 1626)

Perjanjian Damai Gent melibatkan kompromi yang kompleks, di mana provinsi-provinsi yang bergabung dalamnya masih menerima kekuasaan pemerintahan Habsburg secara rasmi, tetapi dalam praktiknya mengambil jalan menuju ke arah kemerdekaan. Kompromi yang dibuat oleh golongan elit yang berbeza pendirian di provinsi-provinsi Belanda dilambangkan dengan dasar perdamaian agama yang memberikan Gereja Katolik kedudukan yang istimewa di semua provinsi kecuali Holland dan Zeeland. Namun, kompromi ini dilemahkan oleh dua pihak yang bertentangan kepentingan dan matlamat. Di satu pihak, kebanyakan golongan bangsawan di bahagian selatan yang masih berpengaruh cuba berdamai dengan pihak berkuasa Habsburg. Di satu pihak lagi, wujudnya golongan militan yang kuat menentang pemerintahan Habsburg Sepanyol di dalam kebanyakan bandar-bandar di bahagian selatan dan timur, yang terdiri daripada golongan Calvinis, militia kota dan perseikatan-perseikatan pertukangan.

Apabila wakil baharu Raja Felipe II, Don Juan dari Austria, menawan bandar Namur dan cuba menakluki bandar Antwerp pada tahun 1577, tindakannya mencetuskan gelombang pemberontakan penduduk bandar yang baharu. Golongan pemberontak dalam kalangan massa rakyat mula mengambil kuasa di bandar-bandar di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah untuk menyingkir semua orang yang mengkhianati Pemberontakan Belanda. Di bandar Brussels, sebuah “Jawatankuasa 18-orang” dipilih dalam kalangan perseikatan-perseikatan pertukangan untuk mengawasi usaha pertahanan bandar itu. Jawatankuasa itu terus mengambil alih kuasa majlis perbandaran Brussels. Di bandar Antwerp, golongan pemberontak memusnahkan kubu kota di situ.

Di bandar Gent, satu lagi “Jawatankuasa 18-orang” yang diterajui oleh golongan Calvinis mengambil alih kuasa dan mewujudkan pemerintahan rakyat yang sebenar pada tahun 1577. Perhimpunan di jalanan membentuk teras kepada eksperimen demokratik yang radikal di bandar itu. Golongan bangsawan yang menentang pemberontakan telah ditahan. Kontinjen bersenjata untuk mempertahankan bandar itu dibentuk oleh golongan penduduk bandar yang miskin. Aksi ikonoklasme yang baharu tercetus di bandar itu, diikuti dengan larangan umum terhadap Gereja Katolik. Dengan itu, Gent menjadi pusat pemberontakan di provinsi Flanders. Kumpulan sukarelawan yang bersenjata dihantar dari bandar Gent untuk menyingkirkan semua pentadbiran lama di pekan-pekan dan perkampungan di sekelilingnya.

Alegori yang menggambarkan perobohan kubu kota oleh golongan pemberontak di Antwerp pada 23 Ogos 1577. (ilustrasi: Jacob de Gheyn I)

Pendirian berkompromi yang dipertahankan oleh Willem dari Orange akhirnya menemui kegagalan. Banyak dalam kalangan golongan bangsawan berpihak kepada Habsburg Sepanyol secara terbuka, dan peperangan dalam skala besar bersambung semula. Provinsi-provinsi di bahagian selatan menerima serangan yang paling teruk. Tidak seperti Holland dan Zeeland dalam tempoh sebelum itu, provinsi-provinsi di selatan tidak pernah berjaya mempamerkan pertahanan yang bersatu. Provinsi-provinsi di utara, terutamanya Holland dan Zeeland, dikuasai oleh golongan elit bandar, yang sering goyah tetapi boleh mengambil tindakan ketenteraan yang bersatu dan terselaras dalam keadaan kecemasan. Provinsi-provinsi di selatan masih merupakan medan pertempuran antara puak-puak yang bermusuhan, sementara jawatankuasa-jawatankuasa revolusioner yang militan di dalam bandar-bandar yang memberontak itu pun bersaing sesama sendiri untuk kepimpinan, walaupun menghadapi ancaman daripada tentera Sepanyol dan golongan bangsawan yang bersekutu dengan Habsburg Sepanyol. Oleh yang demikian, bandar-bandar yang majoriti Protestan di selatan ditawan satu demi satu oleh tentera Sepanyol dan sekutu bangsawan tempatannya. Gent yang dikuasai oleh golongan pemberontak yang radikal ditawan oleh tentera Sepanyol pada tahun 1584. Kejatuhan Antwerp dalam tangan kuasa reaksioner pada tahun 1585 menandakan kejayaan revolusi balas oleh golongan bangsawan di selatan Negeri-negeri Pamah.

Penumpasan gelombang revolusi di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah mendatangkan kesan-kesan yang mendalam kepada wilayah-wilayah di situ. Sebelum itu, provinsi-provinsi di selatan merupakan kawasan yang paling maju di Negeri-negeri Pamah dari segi perdagangan dan perusahaan. Selepas pemberontakan di situ dipatahkan oleh kuasa reaksioner, provinsi-provinsi di selatan mengalami kemerosotan ekonomi yang berpanjangan, malah jumlah penduduk berkurangan secara mendadak di sesetengah kawasan. Sementara itu, provinsi-provinsi di bahagian utara Negeri-negeri Pamah mendapat manfaat daripada kemasukan golongan pedagang dari selatan yang melarikan diri daripada penindasan dalam jumlah yang besar. Kejatuhan bandar Antwerp di selatan membawa kepada kebangkitan Amsterdam di utara. Sejak itu, bahagian utara Negeri-negeri Pamah muncul sebagai kawasan yang paling maju di Eropah untuk sekurang-kurangnya satu abad.

Kesatuan Utrecht dan Perisytiharan Kemerdekaan

Penubuhan Kesatuan Utrecht. (lukisan: J.H. Eichman & H. Altmann, 1856)

Semasa gelombang pemberontakan golongan Protestan yang hebat melanda bandar-bandar di Negeri-negeri Pamah, provinsi Artois, provinsi Hainaut dan bandar Douai di selatan membentuk Kesatuan Arras untuk mempertahankan kekuasaan Gereja Katolik di situ, di samping mengadakan rundingan perdamaian semula dengan kerajaan Habsburg Sepanyol. Ini menandakan keruntuhan barisan bersatu provinsi-provinsi Belanda yang dibentuk melalui Perjanjian Damai Gent.

Sebagai respon, Holland, Zeeland dan beberapa buah provinsi di utara mencapai persetujuan untuk menubuhkan Kesatuan Utrecht pada 23 Januari 1579. Kesatuan Utrecht menegaskan komitmen provinsi-provinsi Belanda untuk menentang kekuasaan pemerintahan Habsburg Sepanyol, di samping bersetuju untuk mengawal selia perkara-perkara seperti pertahanan, percukaian dan agama di provinsi-provinsi yang terlibat. Kesatuan Utrecht pada asalnya hanya bertujuan sebagai perikatan pertahanan bersama antara provinsi-provinsi di utara untuk menghadapi ancaman serangan daripada Empayar Sepanyol, tetapi ia menjadi asas kepada pembentukan sebuah negara baharu yang berdaulat tidak lama kemudian.

Pada 22 Julai 1581, Staten-Generaal (iaitu majlis perwakilan yang terdiri daripada wakil-wakil dari provinsi-provinsi Belanda) yang bersidang di Antwerp (yang masih dikuasai oleh golongan pemberontak pada masa itu) memutuskan bahawa mereka tidak lagi mengiktiraf Raja Felipe II dari Sepanyol sebagai pemerintah mereka. Keputusan ini disahkan pada 26 Julai 1581, dalam “Perisytiharan Penolakan” (Plakkaat van Verlatinghe) yang ditandatangani di bandar Den Haag, dengan 7 buah provinsi di utara Negeri-negeri Pamah menolak untuk taat setia pada Raja Felipe II dan mengisytihar kemerdekaan daripada pemerintahan Habsburg Sepanyol. “Perisytiharan Penolakan” boleh dikatakan perisytiharan kemerdekaan yang sebenar untuk golongan pemberontak di Belanda yang membawa kepada penubuhan “Republik Tujuh Wilayah Bersatu Belanda”, atau dikenali sebagai Republik Belanda. 7 buah wilayah yang bersekutu dalam negara konfederasi baharu ini ialah Holland, Zeeland, Utrecht, Gelderland, Overijssel, Friesland dan Groningen.

Muka surat pertama “Perisytiharan Penolakan” versi cetakan.

Pemerintahan Republik Belanda dijalankan oleh Staten-Generaal, sebuah badan perundangan yang terdiri daripada wakil-wakil dari provinsi-provinsi yang biasanya terdiri daripada golongan pedagang yang kaya. Selepas “Perisytiharan Penolakan” pada 1581, Staten-Generaal menggantikan raja sebagai pihak berkuasa tertinggi dan kerajaan pusat untuk provinsi-provinsi di bahagian utara Negeri-negeri Pamah. Pada asalnya, golongan elit pemerintah di provinsi-provinsi utara ini masih ingin mendapatkan seorang putera atau raja untuk menjadi ketua negara baharu ini, termasuk menjemput golongan kerabat diraja dari negara lain. Namun, tiadanya anggota kerabat diraja di Eropah pada masa itu bersedia untuk mencetuskan kemarahan Empayar Sepanyol dengan menerima pertabalan sebagai monarki yang memerintah provinsi-provinsi Belanda. Dengan masa berlalu dan keyakinan golongan elit pemerintah di Republik Belanda semakin bertambah, maka keinginan untuk diperintah oleh seorang monarki dari luar pun semakin kurang. Dengan ini, secara tidak sengaja, negara baharu yang ditubuhkan hasil daripada Pemberontakan Belanda mengambil bentuk “republik” yang sebenar, iaitu pemerintahan tanpa raja.

Peta yang menunjukkan 7 buah wilayah (provinsi) yang bersekutu dalam Republik Belanda. (kartografi: Robert Wilkinson, 1793)

Antara 7 buah wilayah yang bergabung dalam Republik Belanda, provinsi Holland merupakan provinsi yang paling kaya dan menyumbangkan lebih separuh daripada hasil kepada kerajaan pusat, maka menjadikannya kuasa politik yang paling utama di negara baharu itu, bersama-sama dengan kerabat Orange-Nassau yang sentiasa memegang jawatan Stadhouder (pegawai pentadbir yang tertinggi). Hubungan antara golongan elit pemerintah provinsi Holland dan Stadhouder yang berubah-ubah mengikut keadaan, membentuk dinamik imbangan kuasa politik di dalam Republik Belanda sepanjang dua abad kewujudannya. Kawalan politik terhadap Republik Belanda yang dinyahpusatkan beralih berulang kali antara provinsi Holland dan kerabat diraja Orange-Nassau yang mewakili tahap pemusatan yang lebih besar, tetapi tekanan politik dalaman ini tidak menghalang Republik Belanda untuk terus membangun kepada sebuah kuasa besar pada abad ke-17.

Republik Belanda yang ditubuhkan dalam pergolakan revolusi terus menghadapi ancaman serangan daripada kerajaan Habsburg Sepanyol yang tidak membenarkan sebuah republik baharu yang menggugat kekuasaannya. Willem dari Orange cuba meminta bantuan luar, seperti kerajaan Perancis dan kerajaan Inggeris. Duke François dari Anjou bersertuju untuk membantu tetapi dia hanya berniat untuk menguasai Belanda demi kepentingan sendiri, maka tidak memberikan bantuan sebenar yang berguna kepada usaha Republik Belanda mempertahankan kedaulatannya.

Apabila Belanda hampir ditewaskan oleh serangan balas daripada tentera Sepanyol, England mencampur tangan dengan melancarkan perang ke atas Sepanyol. Ratu Elizabeth I dari England menandatangani Perjanjian Nonsuch dengan golongan pemberontak Belanda pada tahun 1585 untuk menyokong Pemberontakan Belanda melalui bantuan kewangan dan ketenteraan. Tindakan kerajaan England memberi bantuan kepada Republik Belanda, merupakan sebahagian daripada strategi geopolitiknya untuk melemahkan kekuasaan Empayar Sepanyol, mempertahankan agama Kristian Protestan (agama rasmi kerajaan England mula bertukar daripada Katolik Rom kepada Anglikanisme, salah satu cabang utama Kristian Protestan, pada tahun 1534 semasa pemerintahan Raja Henry VIII, dibatalkan semasa pemerintahan Ratu Mary I, dan dipulihkan pada tahun 1558 oleh Ratu Elizabeth I), dan melindungi kepentingan ekonomi-politik negara England dalam persaingannya dengan kuasa-kuasa besar lain di Eropah.

Pembunuhan Willem dari Orange pada tahun 1584. (ilustrasi: Jan Luyken)

Perjanjian Damai Münster

Willem dari Orange dibunuh oleh seorang penyokong Raja Sepanyol dan anggota fanatik Katolik pada tahun 1584 di bandar Delft. Pemberontakan Belanda tidak berhenti selepas kematian Willem dari Orange, kerana sejak awal lagi perjuangan ini sentiasa digerakkan oleh kuasa massa yang lebih besar, bukannya kehendak seorang dua pemimpin politik. Maurits dari Nassau, anak kepada Willem dari Orange yang menggantikannya sebagai Stadhouder pada tahun 1585, mengambil alih kepimpinan politik dan meneruskan perjuangan menentang tentera Sepanyol.

Penaklukan semula wilayah-wilayah Belanda oleh tentera Sepanyol lebih kurang sudah tergendala selepas penawanan bandar Antwerp pada tahun 1585, dan akhirnya menemui kegagalan apabila Armada Sepanyol ditewaskan oleh tentera laut gabungan Inggeris-Belanda pada tahun 1588. Penumpasan Armada Sepanyol yang digelar “Armada yang Paling Hebat dan Bernasib Baik” pada tahun 1588 menandakan kedudukan Empayar Sepanyol sebagai kuasa imperialis maritim terbesar di dunia mula dipintas oleh negara England (kemudiannya Britain) yang muncul sebagai kuasa besar baharu. Tambahan pula dengan kerajaan Habsburg Sepanyol sibuk terlibat dalam peperangan lain, seperti campur tangan dalam Perang Agama Perancis dan peperangan dengan Empayar Uthmaniyah di Laut Mediterranean, maka revolusi di Belanda memasuki satu fasa baharu yang didominasi oleh usaha ketenteraan untuk mempertahankan hasil kejayaan pemberontakan.

Tentera gabungan Republik Belanda dan England menawan Groningen pada tahun 1594. (ilustrasi: Johannes Janssonius, 1663)

Dalam tempoh 10 tahun antara 1588 dan 1598, kerajaan baharu Belanda berjaya mengubah arus dalam peperangannya dengan Sepanyol, selepas mencapai banyak kemenangan terhadap tentera Sepanyol dan menawan banyak wilayah daripada kerajaan Habsburg Sepanyol. Peperangan antara Republik Belanda dan Sepanyol juga beralih secara beransur-ansur daripada pertempuran di daratan di wilayah-wilayah Belanda kepada pertempuran di laut dan tanah jajahan di luar benua Eropah, dengan tentera laut Belanda bersama dengan sekutunya England terbukti lebih unggul berbanding tentera laut Sepanyol.

Sejak penubuhannya, Republik Belanda, yang menghadapi ancaman serangan daripada Empayar Sepanyol, juga memulakan usaha perluasan kuasa melalui kolonialisme. Golongan pemerintah baharu di Belanda, yang bukan lagi kelas tuan tanah feudal tetapi kelas borjuis yang memuncul, menggunakan kekuatan ekonomi dan ketenteraan mereka untuk membina sebuah empayar kolonial baharu yang dapat bersaing secara langsung dengan Empayar Sepanyol dan akhirnya mengatasi Empayar Sepanyol.

Selepas tamatnya tempoh gencatan senjata selama 12 tahun antara tahun 1609-1621, kerajaan Belanda mengambil kesempatan penglibatan Sepanyol dalam Perang Tiga Puluh Tahun (1618-1648) untuk berperang semula dengan Sepanyol dan mencapai banyak kemenangan di medan perang.

Upacara angkat sumpah untuk mengesahkan Perjanjian Damai Münster 1648. (lukisan: Gerard ter Borch)

Empayar Sepanyol yang dilemahkan oleh pelbagai faktor terpaksa mengadakan rundingan damai dengan Republik Belanda mulai tahun 1646 dan akhirnya mencapai Perjanjian Damai Münster pada tahun 1648 yang dirunding serentak dengan Perdamaian Westfalen, di mana Sepanyol mengiktiraf kemerdekaan Republik Belanda, maka juga menamatkan Perang Lapan Puluh Tahun dan Perang Tiga Puluh Tahun. Perdamaian Westfalen meletakkan asas kepada konsep kedaulatan negara dan hubungan antarabangsa pada zaman moden, dengan prinsip-prinsip seperti setiap negara yang berdaulat mempunyai kuasa sepenuh untuk mengendalikan hal ehwal dalaman tanpa campur tangan mana-mana kuasa asing dan sempadan negara yang tidak boleh dicabuli demi keutuhan wilayah.

Secara rumusannya, Pemberontakan Belanda pada abad ke-16 merupakan satu proses perjuangan rakyat yang berpanjangan, kompleks dan penuh dengan peperangan. Pemberontakan Belanda sehingga pembentukan Republik Belanda terdiri daripada 3 fasa penentangan politik-ketenteraan terhadap pemerintahan Habsburg Sepanyol yang berbeza, iaitu pada tahun 1566-1572, 1572-1576 dan 1576-1581. Setiap kali rakyat Belanda memberontak, ia diikuti oleh serangan balas yang ganas daripada Empayar Sepanyol. Golongan pemberontak Belanda berjaya menewaskan serangan tentera Sepanyol dalam fasa ketiga kerana adanya sokongan ketenteraan daripada England. Tiga fasa yang pertama: dari Beeldenstorm pada tahun 1566, ke gelombang pemberontakan yang tercetus berikutan penawanan Brielle oleh “Pengemis Laut” pada tahun 1572, kemudiannya satu lagi gelombang pemberontakan pada tahun 1577, sehingga perisytiharan kemerdekaan pada tahun 1581, boleh dikatakan fasa-fasa yang “revolusioner”. Selepas itu, revolusi diteruskan dengan fasa-fasa yang melibatkan perjuangan ketenteraan yang konvensional dan pengukuhan kuasa golongan borjuis sebagai kelas pemerintah baharu.

Pengepungan Leiden oleh tentera Sepanyol ditamatkan dengan kemenangan pemberontak Belanda pada 3 Oktober 1574. (lukisan: Otto van Veen)

Kronologi ringkas fasa-fasa Pemberontakan Belanda:

TahunPeristiwa penting
1566-1572Beeldenstorm (Ogos-November 1566)
Pematahan Beeldenstorm oleh pihak berkuasa tempatan (Disember 1566 – Mac 1567)
Penubuhan “Majlis Rusuhan” (September 1567)
Pertempuran Heiligerlee (Mei 1568) – pemberontak Belanda menang
Pertempuran Jemmingen (Julai 1568) – pemberontak Belanda ditewaskan
1572-1576Penawanan Brielle oleh “Pengemis Laut” (April 1572) mencetuskan pemberontakan di Holland dan Zeeland (April-Julai 1572)
Pengepungan Haarlem (Disember 1572 – Julai 1573) dengan tentera Sepanyol menawan bandar itu
Pengepungan Alkmaar (Ogos-Oktober 1573) oleh tentera Sepanyol berakhir dengan kemenangan pemberontak Belanda
Pertempuran Zuiderzee (Oktober 1573) – “Pengemis Laut” menewaskan armada Sepanyol
Pengepungan Leiden (Oktober 1573 – Oktober 1574) oleh tentera Sepanyol berakhir dengan kemenangan pemberontak Belanda
Pembunuhan beramai-ramai di Antwerp (Oktober 1576) oleh tentera Sepanyol yang mengamuk
Perjanjian Damai Gent (November 1576)
1576-1581Pemberontakan di Gent (Oktober 1577) yang menubuhkan sebuah republik Calvinis (1577-1584)
Perampasan kuasa oleh golongan Protestan daripada golongan Katolik di Amsterdam (Mei 1578)
Kesatuan Arras (Januari 1579)
Kesatuan Utrecht (Januari 1579)
Perisytiharan Penolakan (Julai 1581)
1581-1588Duke Anjou dari Perancis cuba merampas kuasa di Antwerp tetapi ditewaskan oleh penduduk bandar (Mei 1583)
Pertempuran Steenbergen (Jun 1583) – tentera Sepanyol menewaskan tentera gabungan Perancis, Inggeris dan Belanda
Kejatuhan Antwerp dalam tangan tentera Sepanyol (Ogos 1585)
Tentera laut Inggeris dan Belanda menewaskan Armada Sepanyol (Ogos 1588)
1588-1609Pemberontak Belanda dengan bantuan tentera Inggeris mencapai banyak kemenangan terhadap tentera Sepanyol, dan berjaya menawan kawasan yang meluas di bahagian utara dan timur Belanda Habsburg, dalam tempoh 10 tahun (1588-1598)
Peperangan berada dalam keadaan buntu dari tahun 1599 hingga 1609
1609-1621Gencatan Senjata Dua Belas Tahun
1621-1648Tentera laut Belanda menewaskan dan menawan armada Sepanyol yang dipenuhi dengan perak dari tanah jajahan di Amerika di perairan Matanzas, Kuba (1628)
Republik Belanda menawan ‘s-Hertogenbosch (1629)
Republik Belanda menawan Maastricht (1632)
Republik Belanda merampas semula Breda (1637) yang ditawan oleh Sepanyol pada tahun 1625
Pertempuran The Downs (1639) – Tentera laut Belanda menewaskan armada Sepanyol di Selat Inggeris
Pertempuran San Salvador (1641) – Belanda cuba merampas tanah jajahan Sepanyol di Taiwan
Perjanjian Damai Münster (Januari 1648)

Kejayaan revolusi borjuis di Belanda pada abad ke-16, telah menyediakan asas kepada Republik Belanda yang lahir daripada proses revolusioner itu menjadi sebuah kuasa besar yang berpengaruh di dunia pada abad ke-17 dan ke-18.

Pertempuran Gibraltar pada tahun 1607 yang menyaksikan kemenangan Republik Belanda dan membawa kepada Gencatan Senjata Dua Belas Tahun. (lukisan: Cornelis van Wieringen, 1621)

Belanda muncul sebagai kuasa besar

Selepas kejatuhan bandar Antwerp dan bandar-bandar lain di selatan Negeri-negeri Pamah dalam tangan Habsburg Sepanyol pada tahun 1585, golongan pedagang di situ melarikan diri ke wilayah-wilayah Belanda di utara dengan membawa masuk lebih banyak lagi modal perdagangan. Amsterdam yang terletak di provinsi Holland menggantikan Antwerp sebagai pusat perdagangan seluruh Eropah, sementara Holland mengekalkan dan memperkukuhkan kedudukannya sebagai pusat tumpuan pelaburan modal. Institusi-institusi perbankan moden dibangunkan di Belanda untuk memenuhi keperluan perdagangan yang sedang berkembang pesat, dan menjadikan Republik Belanda tempat tumpuan pemusatan modal yang penting untuk pembangunan ekonomi kapitalis selanjutnya.

Dataran Dam di Amsterdam pada penghujung abad ke-17. (lukisan: Gerrit Adriaenszoon Berckheyde)

Pengumpulan modal perdagangan yang pesat membolehkan golongan pemerintah baharu di Belanda untuk melabur dalam perniagaan yang lebih berisiko tinggi tetapi membawa keuntungan lumayan, seperti merintis penjelajahan ke rantau Asia untuk menjalankan perdagangan rempah. Ini telah membawa kepada perkembangan kapitalisme pedagang yang disokong oleh dasar merkantilisme daripada negara borjuis baharu yang ditubuhkan.

Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC) yang ditubuhkan pada tahun 1602, merupakan salah sebuah syarikat paling awal di dunia yang menerbitkan saham untuk dijual beli dalam pasaran. Ia ditubuhkan hanya setahun lebih selepas penubuhan Syarikat Hindia Timur Inggeris yang hampir serupa. Syarikat Hindia Timur Belanda ditubuhkan oleh kelas pemerintah borjuis baharu di Belanda melalui Staten-Generaal (majlis perwakilan wilayah-wilayah yang juga merupakan kerajaan yang mentadbir Belanda) dengan menggabungkan beberapa buah syarikat yang sedia ada, dan memberikannya hak monopoli untuk menjalankan aktiviti perdagangan serta penjajahan di rantau Asia. Saham-saham Syarikat Hindia Timur Belanda boleh dibeli oleh mana-mana warganegara Republik Belanda dan kemudiannya boleh dijual beli dalam pasaran sekunder yang terbuka, di mana salah satunya menjadi Bursa Saham Amsterdam, pasaran sekuriti moden atau bursa saham yang tertua di dunia hari ini.

Perkarangan Bursa Saham Amsterdam sekitar tahun 1670. (lukisan: Job Adriaenszoon Berckheyde)

Sebuah lagi syarikat monopoli perdagangan, Syarikat Hindia Barat Belanda (WIC), ditubuhkan pada tahun 1621, dan diberikan kuasa monopoli oleh kerajaan Republik Belanda untuk menjalankan perdagangan hamba merenstasi Lautan Atlantik di samping menjajah wilayah-wilayah di benua Amerika.  

Dengan perlindungan daripada tentera laut Belanda yang kuat, golongan penjajah Belanda, yang kebanyakannya bergabung dengan Syarikat Hindia Timur dan Syarikart Hindia Barat, mendirikan tapak perdagangan dan tanah jajahan di Asia, Selatan Afrika dan benua Amerika. Belanda juga cuba merampas banyak tanah jajahan daripada Empayar Portugis, termasuk sebahagian tanah jajahan di Brazil. Perebutan tanah jajahan antara Republik Belanda dan Empayar Portugis mencetuskan Perang Belanda-Portugal (1598-1661) yang berakhir dengan Perjanjian Den Haag pada tahun 1661, di mana Belanda bersetuju untuk melepaskan tanah jajahannya di Brazil sebagai syarat pertukaran mendapatkan pampasan wang dan penguasaan terhadap Sri Lanka serta Kepulauan Maluku (satu lagi “urusan jual beli” antara kuasa-kuasa imperialis kolonial yang tidak mempedulikan penduduk-penduduk di tanah jajahan).

Bandar New York di Amerika Syarikat pada hari ini, terletak di atas tapak tanah jajahan Belanda yang dikenali sebagai Nieuw Amsterdam pada abad ke-17 sebelum ia dirampas oleh penjajah Inggeris.

Empayar kolonial Belanda. (sumber peta: Wikipedia)

Salah satu tanah jajahan utama kuasa imperialis Belanda ialah Hindia Timur Belanda yang terletak di Asia Tenggara, iaitu Kepulauan Nusantara yang terdiri daripada kebanyakan wilayah di Indonesia hari ini. Syarikat Hindia Timur Belanda juga merampas Melaka di Semenanjung Tanah Melayu daripada Empayar Portugis pada tahun 1641. Belanda menguasai Melaka selama 183 tahun, dan menyerahkannya kepada Britain dalam Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 sebagai syarat pertukaran untuk menguasai Bengkulu dan semua tanah jajahan British di Pulau Sumatera.

Seperti empayar kolonial Eropah yang lain, pembangunan ekonomi kapitalis yang pesat di Belanda pada abad ke-17 dan abad ke-18 juga digerakkan oleh eksploitasi yang hebat terhadap tenaga buruh, termasuk melalui cara perhambaan. Walaupun perhambaan diharamkan di negara Republik Belanda itu sendiri, ia diamalkan secara berleluasa di tanah jajahannya. Golongan penjajah Belanda menculik orang dewasa dan kanak-kanak dari merata tempat di Afrika, kemudian mengangkut mereka dalam keadaan yang paling mengerikan ke tanah jajahan Belanda di benua Amerika dan kepulauan Carribean (seperti Aruba, Bonaire, Curaçao, Saba, Sint Eustatius dan Sint Maarten), untuk dijadikan hamba yang bekerja di ladang-ladang yang mengeluarkan tebu, kopi, koko, kapas dan tanaman lain. Sebagai contoh, Suriname, yang terletak di rantau Guyana di Amerika Selatan, diasaskan pada tahun 1667 sebagai sebuah koloni perladangan yang bergantung sepenuhnya pada hamba-hamba yang dibawa masuk dari Afrika untuk tujuan mengeluarkan gula dan barangan eksotik lain yang dijual dalam pasaran global dan dieksport balik ke benua Eropah.

Masyarakat orang asal juga tidak dapat melepaskan diri daripada perhambaan oleh golongan penjajah. Di tanah jajahan di Asia, orang yang diperhambakan di sesebuah wilayah dijual dan dihantar ke wilayah lain yang ditadbir oleh Syarikat Hindia Timur Belanda untuk bekerja sebagai buruh paksaan. Kira-kira 1.7 juta orang diperhambakan oleh Belanda sepanjang abad ke-17 hingga abad ke-19. Selama bebeberapa generasi, orang yang dilahirkan dalam perhambaan dan dipaksa untuk bekerja di perladangan milik penjajah Belanda sepanjang hayat mereka.

Penjualan seorang hamba dan anaknya di Suriname”. (ilustrasi: Pierre Jacques Benoit, 1831)

Perhambaan dan penjarahan melalui penjajahan itu bukan satu-satu caranya Republik Belanda mengumpul kekayaan, tetapi sudah pasti ia merupakan faktor penyumbang penting kepada “kemajuan” negara itu yang tidak boleh dinafikan dan dilupakan. Perhambaan menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada sistem kapitalis yang dibangunkan melalui perluasan imperialis kolonial.

Dalam konteks kejayaan revolusi borjuis yang menumpaskan susunan masyarakat feudal lama dan pembangunan Republik Belanda menjadi sebuah kuasa besar melalui imperialisme kolonial yang membawa penderitaan berpanjangan kepada golongan hamba serta penduduk-penduduk tanah jajahan, negara Belanda yang baru lahir itu memasuki “Zaman Kegemilangan” dengan pencapaian yang menakjubkan dari segi kemakmuran ekonomi, inovasi sains, pembangunan kesenian dan sebagainya.

Apabila Perang Lapan Puluh Tahun ditamatkan secara rasminya pada tahun 1648, Belanda sudah menjelma ke dalam ekonomi kapitalis yang paling maju di dunia dengan pemusatan modal yang besar. Karl Marx menyifatkan Belanda sebagai “ketua negara kapitalis pada abad ke-17” dalam Das Kapital Jilid I (1867). “Holland, yang pertama sekali membangunkan sistem kolonial sepenuhnya, telah berada di puncak kejayaan komersialnya pada tahun 1648”, begitu tulisnya Marx. “Jumlah modal Republik (Belanda) mungkin lebih penting berbanding semua negara Eropah lain digabungkan.”

Dataran Dam di Amsterdam pada abad ke-17. (lukisan: Johannes Lingelbach, 1656)

Republik Belanda mula mengalami kemerosotan pada abad ke-18 apabila kekuasaannya dari segi ekonomi dan ketenteraan dilemahkan oleh England yang sudah muncul sebagai kuasa imperialis utama. Republik Belanda akhirnya runtuh pada tahun 1795 selepas satu revolusi demokratik yang dikenali sebagai “Revolusi Batavia” dan pencerobohan tentera Perancis. Pengganti kepada Republik Belanda, Republik Batavia (1795-1801) yang kemudian ditukar nama kepada Komanwel Batavia (1801-1806), yang wujud di bawah bayangan Perancis, tidak kekal lama. Ia digantikan oleh Maharaja Napoleon Bonarparte dari Perancis dengan melantik adiknya sebagai Raja Belanda pada tahun 1806, dan kemudian terus menggabungkannya ke dalam Empayar Perancis pada tahun 1810. Selepas kejatuhan Napoleon Bonarparte, Kerajaan Bersatu Belanda yang ditubuhkan pada tahun 1815 mengembalikan pemerintahan monarki di Belanda dengan kerabat diraja Orange-Nassau menguasai takhta Raja Belanda sehingga hari ini, tetapi sistem monarki feudal lama sudah pun tidak wujud lagi.

Dinamik kelas dalam Pemberontakan Belanda

Pemberontakan Belanda merupakan satu perjuangan kelas yang sengit dan melibatkan peperangan yang berpanjangan. Pertentangan kelas yang wujud di dalam Belanda Habsburg kerana kemunculan hubungan ekonomi kapitalis baharu yang bercanggah dengan struktur pemerintahan feudal lama, membawa kepada perjuangan kelas yang hebat.

Dalam konteks perjuangan kelas di Negeri-negeri Pamah di bawah pemerintahan Habsburg Sepanyol pada abad ke-16, kelas pemerintah diwakili oleh kerajaan Habsburg yang bersifat feudal. Golongan bangsawan tempatan di Negeri-negeri Pamah boleh dianggap sebagai sebahagian daripada kelas pemerintah, tetapi kekuasaan dan keistimewaan mereka sering dipinggirkan oleh golongan pemerintah dan wakil kekuasaan Habsburg yang datang dari luar wilayah-wilayah itu. Jadi, wujudnya keretakan dalam hubungan antara golongan bangsawan tempatan dan golongan pemerintah Habsburg. Kumpulan-kumpulan masyarakat yang lain boleh digolongkan sebagai kelas yang diperintah dengan lapisan-lapisan yang berbeza.

“Jamuan pengawal-pengawal sivik Amsterdam meraikan Perjanjian Damai Münster” yang dilukis oleh Bartholomeus van der Helst pada tahun 1648.

Golongan borjuis baharu yang terbentuk dalam kalangan golongan pedagang dan pengusaha perniagaan di kawasan bandar mahu membebaskan diri daripada kongkongan struktur sosioekonomi dan sistem politik feudal yang menyekat momentum perkembangan kapitalisme perdagangan yang menguntungkan mereka. Golongan borjuis ini bergabung dalam persatuan pedagang yang berpengaruh dan mempunyai perwakilan dalam majlis perwakilan Staten-Generaal di bawah pemerintahan Habsburg untuk menyuarakan pandangan mereka tetapi tidak berkuasa dalam mempengaruhi pentadbiran negara.

Golongan pengeluar kecil di kawasan bandar dan kawasan luar bandar, seperti tukang-tukang dan petani-petani kecil, membentuk tulang belakang kepada kelas sosial yang mengeluarkan kekayaan masyarakat. Kepentingan kelas ini biasanya dipertahankan dan diperjuangkan melalui perseikatan pertukangan (guild) yang dikuasai oleh lapisan atas kelas ini. Ramai orang yang merupakan buruh upahan, terikat secara sosial dengan pengeluar-pengeluar kecil ini oleh hubungan perseikatan pertukangan atau bentuk perkhidmatan terikat yang lain. Golongan yang termiskin dan berkedudukan paling rendah di kawasan bandar ialah golongan proletarian terpinggir (lumpenproletariat) yang sering terputus hubungan dengan ekonomi pengeluaran kekayaan masyarakat dan hampir tidak mungkin membangunkan kesedaran kelas dalam kalangan mereka. Golongan proletarian ataupun kelas pekerja moden masih belum lagi muncul pada masa itu kerana tiadanya lagi kilang besar yang mengupah pekerja dalam jumlah besar.

Kepincangan dalam pemerintahan feudal Habsburg Sepanyol yang menimbulkan kesusahan hidup dan ketidakpuasan hati rakyat secara umum boleh menyatukan kelas-kelas sosial yang diperintah ini dari semasa ke semasa, tetapi mereka tidak mempunyai matlamat perjuangan kelas yang sama. Pertikaian yang timbul daripada perbezaan kepentingan sektoral sering melagakan sesama sendiri kumpulan-kumpulan sosial yang berbeza dalam kalangan kelas-kelas yang diperintah ini. Namun, penyebaran fahaman Reformasi Protestan yang radikal telah memainkan peranan kritikal untuk menyatukan golongan-golongan kelas yang diperintah ini dalam usaha menentang penindasan oleh kelas pemerintah feudal Habsburg Sepanyol.

Pemberontakan Belanda tercetus daripada kebangkitan rakyat secara spontan dari bawah. Pada permulaannya, pemberontakan ini menyatukan rakyat daripada kelas-kelas sosial yang berbeza, termasuk golongan bangsawan tempatan yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Habsburg Sepanyol. Namun, penyatuan kelas ini tidak bertahan lama. Dengan pemberontakan ini berterusan dan reaksi ganas daripada kelas pemerintah lama, timbulnya pelbagai persoalan mengenai sifat penentangan dan hala tuju perjuangan, maka perbezaan dan percanggahan kepentingan kelas mula menonjol sehingga mewujudkan perpecahan. Ini sebenarnya sesuatu yang biasa berlaku dalam semua revolusi yang hebat.

Lukisan “Kompeni Militia Daerah XI di bawah Perintah Kapten Reynier Reael” oleh Frans Hals dan Pieter Codde (1637)

Krisis politik dalam kelas pemerintah, dengan golongan bangsawan tempatan cuba menyuarakan bantahan mereka kepada golongan berkuasa Habsburg Sepanyol, memang mewujudkan syarat kritikal untuk Pemberontakan Belanda. Namun, apabila tercetusnya pemberontakan rakyat dari bawah dan mengambil tindakan yang lebih radikal, majoriti dalam kalangan golongan bangsawan tempatan menunjukkan sifat reaksiner mereka yang sebenar. Kebanyakan golongan bangsawan bukan seperti Willem dari Orange atau pemimpin tentera “Pengemis”, sebaliknya ada banyak orang seperti Lamoral (yang mengkhianati pemberontakan tetapi akhirnya dibunuh oleh kerajaan Habsburg juga), Count Rennenberg George van Lalaing (yang mengetuai pembelotan provinsi Groningen di utara untuk menyertai pihak Habsburg Sepanyol pada tahun 1580) dan golongan bangsawan di bahagian selatan Negeri-negeri Pamah yang mematahkan gelombang pemberontakan di situ secara ganas.

Golongan bangsawan tempatan yang berpihak pada Pemberontakan Belanda kekal dalam kedudukan kepimpinan utama dalam tentera Belanda dan negara baharu yang ditubuhkan, tetapi mereka tidak dapat lagi memainkan peranan mendominasi seperti golongan bangsawan feudal lama. Willem dari Orange yang dianggap sebagai pemimpin utama pemberontakan, pada awalnya dia cuba memimpin satu pemberontakan bangsawan tradisional dengan menyerang Belanda Habsburg dari luar dan dari atas, tetapi menemui kegagalan. Apabila Willem dari Orange pulang ke Belanda dengan kemenangan pada tahun 1572 pada ketika fasa kedua pemberontakan berada di puncaknya, imbangan kuasa sosial pada masa itu sudah beralih secara ketara dengan berpihak pada golongan elit bandar. Setiap kali Willem dari Orange cuba berkompromi dengan golongan pemerintah asing berasaskan terma-terma feudal, dia menemui kegagalan kerana bantahan daripada golongan elit borjuis baharu.

Pengkhianatan yang ditunjukkan oleh sebahagian besar golongan bangsawan tempatan, yang pada awalnya masih sanggup menyuarakan bantahan secara aman dan lembut kepada perhatian golongan pemerintah Habsburg tetapi bertukar pendirian mereka semasa pemberontakan di luar kawalan mereka sehingga mereka terus berpihak pada golongan pemerintah Habsburg untuk mematahkan pemberontakan massa, telah mewujudkan ekspresi penentangan yang lebih sekular dan radikal. Dalam proses pemberontakan, rakyat mula menyedari bahawa kerajaan tidak semestinya milikan penuh dan berada dalam penguasaan oleh mereka yang berasal daripada kedudukan masyarakat yang lebih tinggi. Oleh itu, walaupun kesedaran kelas dalam kalangan golongan bawahan itu masih belum dibangunkan secara menyeluruh dan belum lagi munculnya pemahaman yang lebih mendalam tentang hierarki masyarakat semasa proses pemberontakan di Belanda, unsur-unsur realiti dalam hubungan kelas sekurang-kurangnya sudah meninggalkan kesan dalam minda mereka yang terlibat.

Penglibatan massa rakyat bawahan dalam jumlah yang besar (dan pengorbanan yang besar) memainkan peranan yang kritikal dalam membawa kepada kejayaan Pemberontakan Belanda, walaupun golongan pedagang kaya yang mendapat manfaat terbanyak daripada kejayaan itu dengan mengambil alih kedudukan kuasa sebagai kelas pemerintah baharu.

Bendera Staten-Generaal Republik Belanda yang digunakan dari tahun 1652 hingga 1795. Bendera ini menyerupai bendera kebangsaan Luxembourg moden.

Revolusi borjuis yang pertama di dunia

Kepimpinan golongan bangsawan daripada kerabat diraja Orange-Nassau yang semakin mendominasi dalam fasa-fasa akhir perjuangan revolusi pada abad ke-16, telah memutarbelitkan tetapi tidak mengubah sifat asas revolusioner Pemberontakan Belanda. Golongan borjuis merkantil muncul sebagai pemenang sebenar dan menjadi kelas pemerintah baharu berikutan revolusi yang hebat ini. Namun, revolusi borjuis ini tidak mungkin mencapai kejayaan tanpa penglibatan massa rakyat yang terdiri daripada golongan borjuis kecil, tukang-tukang dan golongan buruh kasar. Gerakan Reformasi Protestan seperti Calvinisme dan Anabaptisme pula membekalkan anggota militan revolusioner yang penting dalam memajukan perjuangan.

Berbeza dengan wilayah-wilayah di mana masih dikuasai oleh golongan yang anti-Reformasi, Republik Belanda memasuki “Zaman Kegemilangan” pada abad ke-17 kerana kejayaan revolusinya pada abad ke-16. Ekonomi perdagangan dan komersial Belanda berkembang pesat sehingga mempunyai pengaruh besar. Tentera laut dan empayarnya menjangkaui seluruh dunia. Bandar-bandar di Belanda dipenuhi dengan bangunan-bangunan besar dengan seni bina Baroque Belanda, sementara karya seni yang terbaik di Eropah pada masa itu boleh dijumpai di Belanda.

Pertumbuhan ekonomi yang pesat membawa kepada kewujudan sebuah masyarakat yang semakin kaya, sementara pembangunan ilmu yang berasaskan kemakmuran ekonomi itu melahirkan masyarakat dengan penduduk-penduduk yang semakin celik huruf, berpendidikan, berfikiran terbuka dan bertoleransi pada kepelbagaian. Ini membolehkan perkembangan pesat dalam sains, keusahawanan, kejuruteraan, falsafah, kesenian dan kebudayaan. Dalam bidang sains, adanya tokoh seperti: Christiaan Huygens (1629-1695), pakar matematik dan fizik yang menghujahkan bahawa cahaya terdiri daripada gelombang; Antonie van Leeuwenhoek (1632-1723) yang dikenali sebagai “Bapa Mikrobiologi”; Herman Boerhaave (1668-1738), seorang ahli kimia, ahli botani dan doktor yang dianggap sebagai pengasas pengajaran klinikal dan hospital akademik moden; dan ramai lagi. Dalam bidang falsafah, ada pula tokoh hebat seperti: Baruch Spinoza (1632-1677) yang merupakan pelopor pemikiran rasionalisme dan Zaman Pencerahan; John Locke, seorang lagi ahli falsafah Zaman Pencerahan dari England yang dianggap sebagai “Bapa Liberalisme”, pernah hidup dalam buangan dengan berselindung di Belanda pada tahun 1683-1689; René Descartes (1596-1650), seorang ahli falsafah dari Perancis yang terkenal dengan ungkapannya “Aku berfikir, maka aku wujud” (Cogito ergo sum), juga pernah tinggal di Republik Belanda dari tahun 1628 hingga 1649.

Pembangunan ekonomi komersial dan pemikiran bebas yang baharu juga mendorong kewujudan salah satu zaman yang paling hebat dalam sejarah kesenian, zaman yang adanya tokoh kesenian seperti Frans Hals (1582-1666), Willem Claesz. Heda (1594-1680), Pieter Claesz (1597-1660), Rembrandt van Rijn (1606-1669), Bartholomeus van der Helst (1613-1670), Abraham van Beijeren (1620-1690), Carel Fabritius (1622-1654), Jacob van Ruisdael (1629-1682), Pieter de Hooch (1629-1683) dan Johannes Vermeer (1632-1675). Karya seni dihasilkan secara besar-besaran dengan potret, lanskap dan lukisan benda alam dijual di pasar kepada orang ramai. Orang-orang kaya baharu daripada kelas borjuis dengan rumah mereka yang semakin besar dengan banyak dinding yang perlukan hiasan, pekedai-pekedai dan malah ada sesetengah golongan petani dengan pendapatan yang sederhana, menjadi peminat setia yang membeli karya-karya seni ini. Ini boleh dikatakan pengkomersialan seni mencecah kemuncaknya yang pertama dalam sejarah. Menurut buku “Enchanting the Eye: Dutch Paintings of the Golden Age” (2004) yang ditulis oleh Christopher Lloyd, seorang sejarawan seni di Britain, antara tahun 1580 dan 1800, kira-kira 5,000 orang artis di Belanda menghasilkan 9-10 juta keping lukisan, di mana hanya kurang daripada 1% masih kekal sampai hari ini.

“Ronda Malam” (De Nachtwacht), lukisan oleh Rembrandt van Rijn pada tahun 1642, merupakan salah satu lukisan pada “Zaman Kegemilangan Belanda” yang paling terkenal.

Pemberontakan Belanda ialah revolusi borjuis yang paling awal. Pemberontakan Belanda mendirikan republik borjuis yang pertama di dunia. Republik Belanda yang ditubuhkan hasil daripada proses revolusi yang hebat itu juga boleh dianggap sebagai sebuah negara bangsa moden yang terawal. Pemberontakan Belanda dan pembentukan Republik Belanda, merupakan detik sejarah penting yang menyaksikan kebangkitan kelas borjuis dan peralihan daripada feudalisme ke kapitalisme.

Menurut Karl Marx, Revolusi Perancis 1789 ialah “kemenangan abad ke-18 terhadap abad ke-17” dan Revolusi Inggeris 1648 ialah “kemenangan abad ke-17 terhadap abad ke-16”, maka revolusi di Belanda yang tercetus pada tahun 1566 sememangnya “kemenangan abad ke-16 terhadap abad ke-15”.

Pemberontakan Belanda mempunyai makna yang penting dalam pembentukan trajektori sejarah dunia pada zaman moden, dari mendorong perubahan ketara dalam sistem politik dan ekonomi di Eropah kepada mempengaruhi revolusi dan perluasan kapitalisme selepasnya. Kejayaan Pemberontakan Belanda membuka jalan kepada kebangkitan kapitalisme moden dan zaman baharu untuk perdagangan serta kewangan global yang mempengaruhi seluruh dunia selepasnya. Pemberontakan Belanda juga mendorong pembangunan serta penyebaran fahaman politik republikan dan nasionalis kepada generasi-generasi perjuangan pembebasan masyarakat selepasnya.

Pemberontakan Belanda boleh dianggap sebagai satu langkah penting dalam pembangunan bersejarah kapitalisme di Eropah. Ia juga meneroka jalan dan menunjukkan arah kepada revolusi borjuis selepasnya seperti Revolusi Inggeris, Revolusi Amerika dan Revolusi Perancis.

Setiap perjuangan revolusioner yang hebat mendapat inspirasi dan pengajaran daripada perjuangan revolusioner sebelumnya, dan sama ada berjaya atau tidak, ia juga boleh memberi inspirasi dan pengajaran kepada perjuangan revolusi selepasnya. Pergolakan masyarakat yang hebat di benua Eropah pada abad ke-16 dengan gerakan Reformasi Protestan yang merebak dengan cepat dan pencetusan pemberontakan petani di Jerman pada tahun 1524-1525, sudah pasti mempunyai pengaruh ke atas masyarakat di Negeri-negeri Pamah sehingga mencetuskan Pemberontakan Belanda pada separuh kedua abad ke-16. Sementara itu, Pemberontakan Belanda pula menawarkan inspirasi dan contoh kepada perjuangan revolusioner yang lebih hebat selepasnya.

“Model bagi revolusi 1789 (sekurang-kurangnya di Eropah) hanyalah revolusi 1648; manakala bagi revolusi 1648 hanyalah pemberontakan Belanda menentang Sepanyol. Kedua-dua revolusi itu adalah satu abad di hadapan model mereka, bukan sahaja dari segi masa tetapi juga kandungannya,” begitu tulisnya Karl Marx 280 tahun selepas pencetusan Pemberontakan Belanda dalam rencananya “The Bourgeoisie and the Counter-Revolution” (1848). Revolusi 1789 di sini merujuk pada Revolusi Perancis sementara Revolusi 1648 merujuk pada revolusi di England pada tahun 1640-an.

Kenyataan ini memang benar, kerana pada ketika Perjanjian Damai Münster ditangani dan Republik Belanda akhirnya diiktiraf kedaulatannya oleh musuh ketatnya, satu gelombang revolusi yang tidak kurang hebatnya sudah pun melanda seberang pantai yang merentasi Laut Utara tidak jauh dari Republik Belanda.

==========

Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia:

01 – Perjuangan kelas sebelum kapitalisme

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *