(foto: Mzn17 / Wikipedia)

Gelombang protes di negara Perancis memuncak pada 17 Oktober 2026 dengan menyaksikan demonstrasi besar-besaran untuk menentang kenaikan kos sara hidup dan tercetusnya pertembungan di jalanan yang bertukar menjadi rusuhan. Paris, ibu negara Perancis yang tidak asing lagi dengan aksi kebangkitan massa rakyat yang hebat seperti yang pernah berlaku pada tahun 1789, 1792, 1793, 1830, 1848, 1871 dan 1968, sekali lagi dilanda api pemberontakan rakyat yang mewarisi semangat perjuangan revolusioner terdahulu.

Terdapat dua gelombang protes tercetus di Perancis sejak bulan September 2026, iaitu protes anak muda untuk menyelamatkan sistem pendidikan di negara itu daripada ancaman dasar neoliberal yang bermula pada 18 September 2026, dan kebangkitan semula aksi protes gerakan “Jaket Kuning” (Mouvement des gilets jaunes) yang menentang kenaikan harga bahan api.

Pada 17 Oktober 2026, di bawah seruan daripada kesatuan-kesatuan pekerja dan gerakan Jaket Kuning, demonstrasi jalanan diadakan di seluruh negara Perancis. Organisasi-organisasi pelajar yang bermobilisasi sepanjang bulan yang lalu dalam protes menuntut hak pendidikan turut menyertai aksi protes yang menentang kenaikan kos sara hidup ini. Kira-kira 800,000 orang turun ke jalanan di seluruh negara Perancis, dengan kira-kira 110,000 orang berdemonstrasi di Paris, kira-kira 20,000 orang berarak di Lyon.

Pihak berkuasa mengerahkan pasukan polis dan gendarmerie (tentera yang diberi tugas-tugas polis bagi menjaga ketenteraman awam) untuk mematahkan demonstrasi jalanan di seluruh negara Perancis. Berlakunya pertembungan antara sesetengah demonstran dan pihak berkuasa, sehingga mencetuskan rusuhan. Banyak bangunan kerajaan terbakar, sementara ratusan kedai dimusnahkan dan dijarah. Sekurang-kurangnya 2,400 orang telah ditangkap oleh pihak berkuasa di seluruh negara Perancis.

Di Limoges, yang terletak di bahagian tengah barat Perancis, bangunan Hôtel de Ville (iaitu majlis perbandaran) di situ dimusnahkan sebahagian akibat kebakaran yang berlaku apabila sesetengah demonstran menyerbu bangunan itu dan menyerangnya dengan bom api. Di Marseille, yang terletak di bahagian selatan Perancis, golongan demonstran memasuki lobi bangunan majlis perbandaran untuk seketika, sementara sebuah balai polis dirosakkan.

Sesetengah demonstran mengibarkan bendera kebangsaan Perancis dan menyanyikan lagu kebangsaan Perancis “La Marseillaise”, yang boleh dijejaki asal usulnya kepada Revolusi Perancis pada penghujung abad ke-18. Ramai pula mengibarkan bendera Palestin, Kongo dan Algeria. Terdapat demonstran yang membawa plakad yang menyebut tentang pembunuhan beramai-ramai pada 17 Oktober 1961, iaitu peristiwa di mana pasukan polis Perancis membunuh warga Algeria yang berprotes di jalanan pada masa itu.

Gelombang protes yang melanda negara Perancis ini merupakan manifestasi kemarahan rakyat terhadap pemerintahan kerajaan di bawah kepimpinan Presiden Emmanuel Macron. Ia membongkarkan krisis mendalam yang sedang menghantui Eropah. Rakyat marah dengan dasar neoliberal yang menjejaskan kehidupan harian mereka. Rakyat marah kerana mereka dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi, kenaikan harga bahan api (akibat perang Amerika Syarikat terhadap Iran), kemerosotan perkhidmatan awam dan keadaan sekolah yang teruk. Sebahagian anak muda yang berprotes jalanan juga menolak kemaraan kuasa politik pelampau kanan yang semakin berpengaruh di Eropah.

Selain Perancis, protes menentang kenaikan kos sara hidup juga berlaku di negara-negara Eropah seperti Belgium, Itali, Portugal dan Sepanyol. Kira-kira 400,000 orang pelajar berprotes di Itali untuk membantah pemerintahan Perdana Menteri Giorgia Meloni daripada parti pelampau kanan. Pelajar-pelajar Itali menduduki sekolah mereka seperti yang dilakukan oleh pelajar-pelajar di Perancis. Pelajar-pelajar di Jerman juga mengadakan aksi sekatan di sekolah mereka untuk menuntut pendanaan kepada pendidikan dan membantah rancangan kerajaan untuk mengembalikan kerahan tenaga wajib ke dalam tentera.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *