(foto: FreCha / Wikipedia)

Perancis dilanda gelombang protes baharu sejak 18 September 2026 dengan golongan anak muda berdemonstrasi untuk menyelamatkan sistem pendidikan di negara itu daripada ancaman dasar neoliberal. Aksi protes yang bermula di kawasan pinggir bandar Paris ini merebak dengan cepatnya ke seluruh negara Perancis dalam tempoh tiga minggu.

Anak-anak muda Gen Z yang berprotes ini menyuarakan ketidakpuasan hati mereka terhadap keadaan sistem pendidikan yang berada dalam keadaan tenat dan dasar kerajaan di bawah pimpinan Presiden Emmanuel Macron serta Perdana Menteri Sébastien Lecornu yang mengurangkan belanjawan pendidikan selanjutnya. Oleh sebab kekangan dalam belanjawan pendidikan, sekolah-sekolah di Perancis mengalami masalah seperti kekurangan guru dan kakitangan yang berterusan, bangunan sekolah yang usang, bilik darjah yang terlalu sesak, jadual waktu yang terlalu padat, dan sebagainya. Pelajar-pelajar juga tidak berpuas hati dengan sistem kemasukan universiti dalam talian Parcoursup yang mewujudkan pelbagai tekanan terhadap mereka.

Gelombang protes terbaru ini bermula dengan aksi mogok guru di Créteil, sebuah kawasan pinggir bandar yang terletak di bahagian tenggara Paris. Pelajar-pelajar di situ bersolidariti dengan guru-guru yang bermogok dan melakukan sekatan masuk ke sekolah mereka. Aksi protes yang bermula di Créteil merebak dengan cepat ke tempat lain di seluruh Perancis.

Pada 29 September 2026, pekerja-pekerja sektor awam Perancis mengadakan aksi mogok untuk membantah rancangan kerajaan untuk mengurangkan lagi perbelanjaan awam dalam belanjawan. Pelajar-pelajar sekolah menengah juga mengadakan aksi protes. Kementerian Pendidikan melaporkan bahawa kira-kira 400 daripada 3,700 buah lycée (sekolah menengah atas) di Perancis ditutup kerana pelajar-pelajar menyekat akses ke sekolah-sekolah itu. Pihak berkuasa Perancis menggunakan kekerasan untuk menyuraikan pelajar-pelajar yang berprotes. Di Saint-Denis, sebuah kawasan di bahagian utara Paris, Bally Bagayoko, datuk bandar Saint-Denis daripada parti berhaluan kiri La France Insoumise (LFI), berdiri bersama pelajar-pelajar yang berprotes di sebuah sekolah menengah di situ. Video tentang Bally Bagayoko mempertahankan pelajar-pelajar daripada serangan ganas daripada pihak polis telah menjadi viral di media sosial.

Menjelang 30 September 2026, berlakunya pertembungan ganas antara pihak berkuasa dan golongan demonstran di beberapa buah bandar. Seramai 625 orang ditahan pada hari itu. Di bandar Tours, seorang anak muda dimasukkan ke hospital kerana mengalami kecederaan bahagian kepala akibat keganasan pihak berkuasa.

(foto: Patxi Beltzaitz / Berria)

Pada 1 Oktober 2026, pelajar-pelajar universiti juga mengadakan aksi sekatan masuk di kira-kira 30 buah kampus universiti, termasuk di Sorbonne Université, Université Paris Cité, Sciences Po Rennes, Université de Bretagne-Occidentale dan sebagainya. 1,207 buah lycées telah disekat atau diganggu oleh aksi protes. Pada 5 Oktober 2026, kira-kira 400 hingga 500 buah sekolah di seluruh Perancis ditutup sebahagian atau sepenuhnya oleh kerana protes pelajar.

Pada 6 Oktober 2026, sebanyak 1,800 buah ditutup kerana aksi protes pelajar. Lebih 450,000 orang berprotes di jalanan di bandar-bandar di seluruh Perancis, termasuk Paris, Bayonne, Belfort, Lyon, Marseille, Nantes, Perpignan dan banyak lagi. Pekerja-pekerja daripada sektor pendidikan dan kesatuan-kesatuan buruh, termasuk Konfederasi Umum Buruh (CGT), turut menyertai aksi protes ini. Para demonstran menyanyikan La Marseillaise, lagu kebangsaan Perancis yang mengingatkan orang ramai tentang sejarah revolusi yang radikal di negara itu.

Aksi protes pelajar Perancis ini juga merebak ke negara jiran Perancis, Belgium, dengan pelajar-pelajar sekolah menengah di bandar-bandar seperti Brussel, Charleroi, Liège dan Mons, turut berprotes.

Gelombang protes Gen Z yang terbaru di Perancis merupakan manifestasi ketidakpuasan hati terhadap dasar neoliberal yang dibawa oleh kerajaan pimpinan Presiden Macron. Ia juga menawarkan nafas baharu untuk menangkis ancaman kemaraan kuasa politik pelampau kanan di negara itu yang diterajui oleh Rassemblement National (RN). Bakal calon pelampau kanan untuk Pilihan Raya Presiden Perancis yang akan diadakan pada tahun 2027, Marine Le Pen daripada RN, sedang mendahului bakal calon lain dalam tinjauan pendapat dengan sokongan sekitar 33% pada ketika ini. Walau bagaimanapun, bakal calon berhaluan kiri, Jean-Luc Mélenchon daripada LFI, dengan kadar sokongan sekitar 17% dalam tinjauan pendapat semasa, sedang memberikan cabaran hebat kepada golongan neoliberal yang berkuasa dan golongan pelampau kanan yang semakin berpengaruh. Gerakan protes Gen Z yang jelas menjurus ke arah haluan kiri ini boleh menjadi penggerak kepada usaha menewaskan kemaraan pelampau kanan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *