Pekerja-pekerja pelabuhan yang bermogok berarak di Genoa, Itali. (foto: Isaac Moss)

Pada 30 Oktober 2026, pekerja-pekerja pelabuhan di 113 buah pelabuhan di 22 buah negara telah mengadakan satu aksi mogok yang bersejarah untuk menentang mesin peperangan imperialis. Pekerja-pekerja dari Gioia Tauro (yang terletak di bahagian selatan Itali) ke Genoa (yang terletak di bahagian utara Itali), dari Oakland (yang terletak di negeri California di Pantai Barat Amerika Syarikat) ke Hamburg (yang terletak di bahagian utara Jerman) dan Veracruz (yang terletak di pantai timur bahagian tengah Mexico), dari Tangier Med (yang terletak di pesisiran Mediterranean barat laut Maghribi) ke Pelabuhan Nhava Sheva (yang terletak di bahagian barat India), telah mengambil bahagian dalam aksi mogok yang bersejarah ini.

Mobilisasi untuk aksi mogok ini bermula daripada Deklarasi Istanbul yang dipersetujui oleh kesatuan-kesatuan pekerja pelabuhan di rantau Mediterranean pada bulan Mei 2026. Deklarasi ini dibuat dalam Persidangan Kesatuan-kesatuan Pekerja Pelabuhan Antarabangsa ke-3 yang disertai oleh wakil-wakil kesatuan pekerja pelabuhan daripada lebih 35 buah pelabuhan di Eropah dan rantau Mediterranean. Ia merupakan susulan daripada aksi mogok serentak yang diadakan pada 7 Februari 2026 di 7 buah negara dan melibatkan 20 buah pelabuhan.

“Kerajaan-kerajaan, Amerika Syarikat (AS), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Kesatuan Eropah (EU) dan syarikat-syarikat monopoli mahu menjadikan pekerja-pekerja bersubahat dalam pengangkutan senjata dan kelengkapan ketenteraan yang bertujuan untuk membunuh rakyat,” begitu katanya Deklarasi Istanbul. “Kita tidak akan memenuhi kehendak mereka!”

Tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam Deklarasi Istanbul termasuklah: menghentikan serta-merta genosid terhadap rakyat Palestin; membuka koridor selamat untuk bantuan kemanusiaan; penamatan penjajahan, pendudukan dan apartheid yang dikenakan ke atas rakyat Palestin; mengiktiraf negara Palestin yang merdeka; menamatkan perang di rantau Timur Tengah; melarang pelabuhan daripada digunakan untuk pengangkutan senjata, amunisi, kelengkapan ketenteraan dan pasukan tentera; menolak ekonomi perang; melaksanakan langkah-langkah untuk melindungi kesihatan dan keselamatan pekerja di tempat kerja; pewujudan perjanjian bersama yang menjamin kenaikan gaji, pekerjaan yang stabil berserta hak, pencen yang lebih baik dan pengurangan jam kerja.

Walaupun seruan untuk aksi mogok menentang perang ini dibawa oleh kesatuan-kesatuan sekerja di rantau Mediterranean, ia telah menjadi satu mobilisasi global. Di Itali, pekerja-pekerja di 9 buah pelabuhan bermogok pada 30 Oktober 2026. Unione Sindacale di Base (USB), sebuah kesatuan pekerja yang radikal di Itali, menyeru untuk melakukan mogok umum dalam setiap sektor. Kira-kira 40,000 orang berhimpun di Piazza De Ferrari, yang terletak di pusat bandar Genoa, sementara pekerja-pekerja pelabuhan yang militan melakukan aksi sekatan di salah sebuah pintu masuk ke pelabuhan di situ.

Pekerja-pekerja pelabuhan yang bermogok di Le Havre, Perancis. (foto: European Dockworkers Council)

Di Perancis, kira-kira 14,000 orang pekerja pelabuhan menyertai aksi mogok. Kesatuan pekerja pelabuhan yang terbesar di negara Perancis mengatakan bahawa hampir semua kemudahan perkapalan maritim di negara itu terjejas kerana aksi mogok pekerja pelabuhan. Di Bordeaux, yang terletak di bahagian barat daya Perancis, pekerja-pekerja yang bermogok di situ meletupkan sebuah patung yang menyerupai Emmanuel Macron, Presiden Perancis. Sudah pasti, aksi mogok pekerja pelabuhan di Perancis membakarkan lagi semangat kebangkitan rakyat Perancis yang sedang membara kini. Di Le Havre, yang terletak di bahagian utara Perancis, pekerja-pekerja pelabuhan di situ telah bermobilisasi beberapa minggu yang lalu untuk menyokong aksi protes pelajar, dan sekarang ini pelajar-pelajar di situ pula menyokong aksi mogok pekerja yang menentang mesin perang imperialis.

Aksi mogok pekerja pelabuhan telah menjejaskan kira-kira 40% daripada trafik pengangkutan kargo di Laut Mediterranean.

Aksi mogok pada 30 Oktober 2026 boleh dikatakan sebagai salah satu mogok pekerja anti-perang yang terbesar dalam sejarah pasca Perang Dunia II. Ia begitu penting bukan sahaja dari segi skalanya, tetapi juga dari segi strateginya yang baharu. Mobilisasi tindakan perusahaan ini menyatukan pekerja-pekerja di Utara Global dan Selatan Global. Rangkaian logistik antarabangsa yang dipergunakan oleh kuasa imperialis untuk melancarkan peperangan itu tidak dapat diputuskan dengan tindakan mogok di sesebuah pelabuhan atau sesebuah negara secara berasingan. Ia memerlukan kerjasama dan penyelarasan yang berkesan dalam tindakan mogok merentasi sempadan di merata tempat. Dengan skala mobilisasi pekerja setanding dengan skala jentera logistik kuasa imperialis, aksi mogok pekerja pelabuhan menunjukkan bahawa kita boleh mencabar perang imperialis dengan tindakan perjuangan yang konkrit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *