Berikut ialah memorandum yang diserahkan oleh Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan kepada Ahli-ahli Parlimen pada 20 Oktober 2026.

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam menyeru semua Ahli Parlimen Malaysia supaya memperjuangkan sistem kesihatan awam yang mencukupi, saksama dan boleh diakses oleh semua rakyat tanpa mengira kemampuan kewangan.

Memorandum ini menggesa Ahli-ahli Parlimen untuk membangkitkan kekurangan peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), menuntut ketelusan dalam perbelanjaan perkongsian awam-swasta serta mendesak kerajaan supaya menyediakan pembiayaan tambahan apabila keperluan sebenar perkhidmatan tidak dapat dipenuhi.

Kami memahami bahawa Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perkara 67 Perlembagaan Persekutuan mengehadkan keupayaan Ahli Parlimen bukan menteri untuk mengusulkan penambahan perbelanjaan kerajaan. Oleh itu, tuntutan kami adalah supaya Ahli Parlimen harus menggunakan perbahasan, pertanyaan Parlimen dan penelitian belanjawan untuk mendesak tindakan daripada kerajaan serta Kementerian Kewangan.

Jika kekurangan pembiayaan yang mendesak dikenal pasti sepanjang tahun 2027, kerajaan perlu mempertimbangkan pembentangan anggaran perbelanjaan tambahan. Bagi Belanjawan 2028, kerajaan pula mesti membentangkan pelan pembiayaan kesihatan yang lebih menyeluruh.

Penyusutan kuasa beli

Peruntukan KKM meningkat daripada RM46.52 bilion pada tahun 2026 kepada RM47.704 bilion pada tahun 2027, iaitu pertambahan kira-kira RM1.18 bilion atau 2.55%.

Namun, dengan andaian inflasi perubatan sebanyak 6%[1] untuk perbelanjaan perubatan, peruntukan tahun 2027 sepatutnya mencapai kira-kira RM49.31 bilion sekadar untuk mengekalkan kuasa beli tahun 2026. Ini bermakna terdapat kekurangan sekitar RM1.61 bilion. Selepas pelarasan inflasi, nilai peruntukan tahun 2027 bersamaan kira-kira RM45.00 bilion pada harga 2026, iaitu penurunan kuasa beli sekitar 3.26%.

Peruntukan pembangunan juga membimbangkan. Ia hanya meningkat daripada kira-kira RM6.745 bilion pada tahun 2026 kepada RM6.750 bilion pada tahun 2027. Pertambahan yang hampir mendatar ini menimbulkan persoalan tentang kemampuan kerajaan membaik pulih hospital, menaik taraf klinik, menggantikan peralatan usang dan menambah kapasiti rawatan.

Dalam keadaan petugas kesihatan menghadapi beban kerja tinggi dan rakyat berdepan dengan peningkatan kos rawatan, kenaikan nominal semata-mata tidak membuktikan bahawa keperluan sistem kesihatan telah dipenuhi.

UkuranJumlah
Peruntukan KKM 2026RM46.520 bilion
Peruntukan KKM 2027RM47.704 bilion
Peruntukan 2027 yang diperlukan untuk mengekalkan kuasa beli 2026RM49.311 bilion
Kekurangan berbanding keperluan tersebutRM1.607 bilion
Nilai sebenar peruntukan 2027 pada harga 2026RM45.004 bilion
Perubahan kuasa beli berbanding 2026−3.26%

Bukti tentang keperluan kesihatan yang paling mendesak

Jawatankuasa menggesa Ahli Parlimen supaya tidak membataskan perbahasan kepada jumlah peruntukan keseluruhan. Mereka harus meminta KKM untuk mendedahkan di mana kekurangan kapasiti paling serius berlaku dan berapa banyak pembiayaan diperlukan untuk menyelesaikannya.

Antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah senarai menunggu bagi pembedahan dan rawatan pakar, tempoh menunggu untuk imbasan CT dan MRI, kekosongan jawatan serta kekurangan pakar, penggunaan dewan bedah, ketersediaan ubat-ubatan dan peralatan, serta keadaan fasiliti kesihatan yang memerlukan pembaikan segera.

Data ini amat penting ketika kerajaan memperkenalkan dasar seperti Rakan KKM.

Rakan KKM menawarkan pilihan perkhidmatan “ekonomi premium” di hospital awam, termasuk peluang memilih pakar serta mendapatkan privasi dan keselesaan tambahan dengan bayaran tertentu. Kerajaan menyatakan bahawa hasil program akan dilaburkan semula dalam perkhidmatan awam dan kapasiti tambahan tidak akan menjejaskan pesakit biasa. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa membantah pendekatan ini kerana ia berisiko mewujudkan dua peringkat akses dalam kemudahan awam, berdasarkan kemampuan seseorang untuk membayar.

Ahli Parlimen harus meminta kerajaan membuktikan bahawa Rakan KKM benar-benar menambah kapasiti keseluruhan, bukannya mengalihkan kakitangan, masa pakar atau slot rawatan daripada pesakit awam biasa. Mereka juga perlu menuntut perbandingan antara kos melaksanakan Rakan KKM dengan kos meningkatkan gaji, pengambilan kakitangan, waktu operasi dan kapasiti rawatan di bawah sistem awam sedia ada.

Keputusan dasar kesihatan harus berdasarkan keperluan rakyat, bukannya andaian bahawa pesakit perlu membayar lebih untuk memperoleh akses yang lebih baik.

RM2.635 bilion bagi PPP/PFI

Jawatankuasa turut membangkitkan persoalan mengenai peruntukan pembangunan KKM bagi projek Perkongsian Awam-Swasta dan Inisiatif Pembiayaan Swasta (PPP/PFI).

Menurut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2027, sebanyak RM2.635 bilion diperuntukkan di bawah perkara pembangunan PPP/PFI KKM bagi tahun 2027. Anggaran pindaan bagi tahun 2026 ialah RM2.583 bilion, sementara jumlah anggaran harga projek yang disenaraikan bagi kategori ini ialah RM16.938 bilion.

Ini merupakan jumlah yang besar. Namun, pecahan projek dan butiran kontrak tidak dapat dikenal pasti daripada baris peruntukan agregat tersebut sahaja.

Jawatankuasa mendesak Ahli Parlimen supaya meminta KKM dan Kementerian Kewangan untuk mendedahkan senarai lengkap projek dalam kategori ini, nilai setiap kontrak, pihak konsesi atau penyedia perkhidmatan, tempoh kontrak, jadual pembayaran, obligasi jangka panjang kerajaan, petunjuk prestasi, serta hasil audit dan penilaian kos-manfaat.

Kerajaan perlu membuktikan bahawa setiap komitmen PPP/PFI memberikan nilai terbaik kepada rakyat. Parlimen juga perlu membandingkan kos kontrak swasta dengan kos menyediakan perkhidmatan yang sama secara langsung oleh kerajaan apabila tempoh masa 10 tahun atau 20 tahun diambil kira.

Ketelusan bermaksud memastikan bahawa penggunaan wang awam benar-benar meningkatkan akses, kualiti dan kapasiti kesihatan, bukannya mengikat kerajaan kepada pembayaran jangka panjang tanpa manfaat yang setimpal.

Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP)

Peruntukan Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) meningkat daripada RM144 juta kepada RM200 juta pada 2027. Program ini membolehkan pesakit tertentu dirujuk daripada hospital kerajaan ke fasiliti swasta bagi mendapatkan rawatan dengan lebih cepat.

Jawatankuasa mengakui bahawa penyumberluaran boleh membantu sesetengah pesakit yang menghadapi tempoh menunggu panjang, terutamanya bagi prosedur khusus dan rawatan diagnostik. Namun, ia tetap merupakan penggunaan dana awam untuk membeli perkhidmatan daripada sektor swasta dan tidak boleh menggantikan pelaburan langsung dalam kapasiti kerajaan.

Dalam ulasannya mengenai penswastaan penjagaan kesihatan, Geoffrey Williams merujuk kepada laporan terdahulu yang menyatakan bahawa RM66.5 juta telah dibelanjakan untuk sekitar 24,000 orang pesakit melalui penyumberluaran. Berdasarkan kadar perbelanjaan purata tersebut, beliau menganggarkan bahawa peruntukan RM200 juta secara teori boleh menampung lebih 70,000 pesakit jika kadar kos kekal serupa.

Walaupun ini boleh membantu dalam mengurangkan tempoh menunggu bagi rawatan tertentu, Williams membandingkannya dengan kira-kira 19 juta lawatan pesakit luar pada tahun 2024. Perbandingan ini tidak setara sepenuhnya kerana pesakit yang dirujuk melalui HSOP tidak sama dengan semua lawatan pesakit luar. Namun, ia menunjukkan bahawa penyumberluaran bersasar tidak mungkin menjadi penyelesaian menyeluruh kepada permintaan sistem kesihatan awam.

Hujah Jawatankuasa adalah jelas: HSOP mungkin membantu dalam menangani tunggakan tertentu dalam jangka pendek, tetapi kerajaan mesti menangani kekurangan kapasiti awam yang menyebabkan masalah tersebut.

Penyumberluaran tidak seharusnya menjadi pengganti kekal kepada pelaburan bagi menambah kakitangan, peralatan, dewan bedah dan kemudahan diagnostik di hospital kerajaan. Kerajaan juga mesti mendedahkan bilangan pesakit yang dirujuk, kos bagi setiap prosedur, hasil rawatan dan kesan sebenar terhadap senarai menunggu.

MediAsas

Kerajaan turut memperkenalkan MediAsas dan langkah mempertingkat ketelusan harga rawatan swasta. Langkah seperti pendedahan harga yang lebih jelas dan kawalan kos boleh membantu pengguna membuat keputusan serta memperbaiki amalan dalam sektor swasta.

Namun, ketelusan harga dan peluasan perlindungan insurans tidak dengan sendirinya menyelesaikan masalah kekurangan kakitangan, kapasiti rawatan atau fasiliti dalam sistem awam. MediAsas juga memperluas laluan pembiayaan melalui insurans swasta, yang perlu dinilai secara kritikal agar tidak mengalihkan perhatian daripada tanggungjawab kerajaan membiayai perkhidmatan awam sejagat.

Jawatankuasa percaya bahawa kebergantungan yang semakin meningkat terhadap penyumberluaran dan pembiayaan swasta bukan sesuatu yang tidak boleh diubah.

Dengan peruntukan yang mencukupi, pengurusan yang cekap, perancangan tenaga kerja yang baik, penyelenggaraan berterusan dan perolehan yang telus, kerajaan boleh membina semula kapasiti awam, mengurangkan tunggakan dan mengurangkan keperluan membeli perkhidmatan daripada pihak swasta.

Matlamat kita ialah mengembalikan perkhidmatan kesihatan penting kepada sistem awam yang kukuh, bukannya menjadikan kemampuan membayar sebagai jalan utama untuk mendapatkan rawatan lebih cepat. Penswastaan fungsi tertentu boleh dikurangkan secara berperingkat apabila kerajaan membuktikan bahawa sistem awam mempunyai kakitangan, peralatan, pembiayaan dan pengurusan yang diperlukan.

Pembiayaan

Jawatankuasa menggesa kerajaan supaya tidak mengehadkan pembiayaan tambahan kesihatan kepada penjimatan daripada pemotongan perbelanjaan lain atau kutipan hasil baharu sahaja.

Kerajaan patut mempertimbangkan beberapa pendekatan yang saling melengkapi: menggunakan defisit fiskal secara terancang untuk memenuhi keperluan sosial yang kritikal; memperkukuhkan percukaian progresif; menilai semula pelepasan cukai dan perbelanjaan yang memberikan pulangan sosial rendah; mengurangkan ketirisan wang kerajaan serta meneliti pilihan pembiayaan awam yang sah dan mampan.

Pendekatan Teori Monetari Moden (MMT)[2] menekankan bahawa kemampuan kerajaan membiayai perkhidmatan awam tidak boleh dinilai hanya melalui hasil cukai. Had sebenar termasuk ketersediaan tenaga kerja dan bekalan, inflasi, pergantungan kepada import serta tekanan terhadap kadar pertukaran ringgit.

Oleh itu, Jawatankuasa menggesa Kementerian Kewangan dan Bank Negara Malaysia supaya memberikan penjelasan terbuka tentang ruang fiskal serta pilihan pembiayaan, termasuk kemungkinan penggunaan instrumen monetari yang dibenarkan undang-undang. Pelonggaran kuantitatif bukan wang percuma dan tidak boleh dianggap penyelesaian automatik, tetapi pilihan dasar tidak seharusnya ditolak tanpa penilaian yang berasaskan bukti.

Bagi tahun 2027, jika data menunjukkan bahawa peruntukan sedia ada tidak mampu memenuhi keperluan mendesak, Jawatankuasa menyeru kerajaan untuk mempertimbangkan anggaran perbelanjaan tambahan mengikut proses perlembagaan.

Bagi Belanjawan 2028 pula, Jawatankuasa menggesa kerajaan menetapkan sasaran peruntukan kesihatan awam sebanyak 2.75% daripada KDNK sebagai langkah ke arah sasaran jangka sederhana sebanyak 5% dalam tempoh lima tahun. Nilai ringgit bagi sasaran tersebut hendaklah dikira berdasarkan unjuran KDNK rasmi yang konsisten.

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam menggesa semua Ahli Parlimen Malaysia supaya:

  1. Membahaskan jurang antara peruntukan nominal dan keperluan sebenar kesihatan, serta meminta KKM untuk membentangkan data kekurangan kapasiti, senarai menunggu dan keperluan pembiayaan mengikut perkhidmatan.
  2. Menuntut pecahan lengkap projek PPP/PFI KKM bernilai RM2.635 bilion pada tahun 2027, termasuk kontrak, pembayaran, prestasi dan hasil audit.
  3. Meminta kerajaan untuk membentangkan bukti bahawa Rakan KKM tidak menjejaskan akses pesakit awam biasa, serta menilai sama ada pelaburan langsung dalam kapasiti awam akan memberikan hasil yang lebih baik.
  4. Mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan peruntukan tambahan sekiranya keperluan mendesak yang tidak dapat ditampung dikenal pasti sepanjang tahun 2027, serta memasukkan sasaran pembiayaan kesihatan yang lebih tinggi dalam Belanjawan 2028.
  5. Menyokong penelitian terbuka terhadap sumber pembiayaan, termasuk defisit fiskal yang dirancang, percukaian progresif, pilihan pembiayaan awam yang sah dan kaedah Pendekatan Teori Monetari Moden.

Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Kesihatan Awam mengajak semua Ahli Parlimen untuk meletakkan hak rakyat mendapatkan rawatan sebagai tanggungjawab bersama. Perbahasan ini tidak seharusnya dibatasi oleh perbezaan parti atau andaian bahawa disiplin fiskal hanya bermakna mengurangkan defisit setiap tahun.

Kita boleh mengurangkan kebergantungan kepada penswastaan dengan membina semula kapasiti kesihatan awam melalui pembiayaan yang mencukupi, pengurusan yang cekap dan akauntabiliti yang teguh. Kesihatan rakyat mesti menjadi tanggungjawab bersama negara, bukan beban yang dipindahkan kepada individu.

==========

Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam ialah sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM). Tandatangani petisyen dalam talian untuk kempen “Selamatkan Sistem Kesihatan Awam” di sini.

==========

Nota:

  1. Andaian ini berasaskan anggaran oleh BIMB Securities bahawa kos rawatan di sektor swasta di Malaysia akan berkembang sebanyak 16% pada tahun 2026. Sumber: The Edge 13/5/2026. Kami menggunakan angka 6% sebagai andaian konservatif untuk peningkatan kos bagi sektor awam.
  2. Pendekatan Teori Monetari Moden – adalah pendekatan di mana bon kerajaan dijual kepada Bank Negara Malaysia dengan bayaran faedah pada kadar yang sangat rendah. Ia meningkatkan dana kerajaan tanpa meningkatkan beban “debt servicing”. Pendekatan ini harus digunakan hanya untuk perbelanjaan yang memperkukuhkan jaringan perlindungan sosial, dan pada takat yang bermakna – (a) meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan dan (b) skim pencen warga emas.   

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *