Sebelum tercetusnya Perang Saudara Inggeris lagi, golongan Puritan dari England sudah mula membina tanah jajahan Inggeris di Amerika Utara. Golongan Puritan ialah golongan Protestan di England yang menganggap Reformasi Protestan di England masih tidak cukup menyeluruh untuk berputus sepenuhnya daripada pengaruh Gereja Katolik Rom, maka mereka memperjuangkan pembaharuan agama Kristian yang lebih radikal untuk “membersihkan” atau “menyucikan” Gereja England.
Max Weber, seorang ahli sosiologi yang terkenal di Jerman yang dianggap sebagai salah seorang pengasas ilmu sosiologi Barat moden (bersama-sama dengan Auguste Comte, Karl Marx dan Emile Durkheim), berhujah dalam bukunya “The Protestant Ethic and the Spirit of Capitalism” (1904) bahawa idea-idea dan etika golongan Puritan telah mempengaruhi pembangunan kapitalisme. Konsep etika kerja Puritan atau etika Protestan yang dimaksudkan oleh Weber, percaya bahawa kerajinan kerja, disiplin dan jimat cermat ialah nilai-nilai moral yang boleh membawa kepada kekayaan dan kepuasan diri. Idea mengenai etika kerja sebegini disebarkan dalam golongan pengikut Calvinisme (kemudiannya golongan Puritan) semasa Reformasi Protestan yang percaya bahawa bekerja dengan penuh rajin dan menjalani hidup yang sederhana merupakan cara-cara untuk menunjukkan kepercayaan mereka kepada Tuhan. Lama-kelamaan, ia berkembang menjadi sebahagian daripada ideologi yang berkaitan rapat dengan pengukuhan hegemoni kapitalisme, dengan mencipta mitos bahawa golongan kapitalis berhak menikmati kekayaan yang banyak kerana kerajinan dan sikap jimat cermat mereka sementara golongan pekerja perlu bekerja lebih rajin lagi (maksud tersiratnya: dieksploitasi lebih hebat lagi) untuk mencapai kejayaan seperti golongan kapitalis.
Golongan Puritan yang boleh dijejaki pembentukannya seawal tahun 1560-an semasa pemerintahan Ratu Elizabeth I di England, mula berhijrah ke benua Amerika Utara pada tahun 1620-an dan menjadi sebahagian daripada proses penjajahan Inggeris (kemudiannya British) di situ. Petempatan-petempatan peneroka yang dibangunkan oleh golongan Puritan di Amerika Utara membentuk wilayah yang dikenali sebagai “New England” (terletak di bahagian timur laut Amerika Syarikat hari ini). Semasa Revolusi Inggeris dan Perang Saudara Inggeris pada tahun 1640-an, ramai golongan Puritan dari New England pulang ke negara asal mereka, England, untuk berjuang bersama golongan penyokong Parlimen dan melawan Raja England. Golongan Puritan di Amerika Utara tidak lagi dikenali sebagai Puritan pada abad ke-18 tetapi pengaruh idea politik dan keagamaan mereka masih berterusan dalam kalangan penduduk-penduduk di New England.
Penjajahan British dan kolonialisme peneroka di benua Amerika
Negara England mula mencuba untuk mewujudkan tanah jajahan yang kekal di Amerika Utara pada penghujung abad ke-16, apabila ia muncul sebagai kuasa besar baharu di Eropah pada masa itu berikutan kemunculan dan pembangunan sistem sosioekonomi kapitalis di negara itu.
Penjajahan Inggeris ke atas benua Amerika Utara dilakukan melalui syarikat-syarikat berpiagam yang direstui oleh kerajaan England. Syarikat berpiagam ialah syarikat bersaham yang diberikan “hak” monopoli oleh kerajaan England melalui “piagam diraja” untuk menjalankan aktiviti perdagangan, penjelajahan dan penjajahan terhadap “kawasan yang ditemui” di luar Eropah. Syarikat Hindia Timur Inggeris yang melakukan penjajahan di rantau Asia merupakan salah sebuah syarikat berpiagam yang terawal di dunia. Syarikat berpiagam boleh dikatakan sebagai pendahulu kepada syarikat korporat moden. Melalui syarikat berpiagam yang terlibat dalam penjajahan, modal mata wang dalam jumlah besar yang dihimpunkan daripada pemegang-pemegang saham syarikat, bukan sahaja mencukupi untuk membiayai penjelajahan merentasi lautan yang berkos tinggi, malah dapat dilaburkan dalam aktiviti ekonomi di tanah jajahan yang dikuasainya di seberang laut, dengan tujuan menjana lebih banyak keuntungan untuk membolehkan modal itu terus dikumpulkan.
Selepas beberapa cubaan awal yang menemui kegagalan pada penghujung abad ke-16, petempatan penjajahan kekal Inggeris yang pertama di Amerika Utara ditubuhkan pada tahun 1607 oleh Syarikat London di Jamestown (dikenali sebagai “James Fort” pada awalnya hingga tahun 1619), Virginia, yang terletak di Pantai Timur Amerika Utara. Syarikat London ialah salah sebuah syarikat bersaham yang diberikan piagam diraja oleh Raja James I dari England pada tahun 1606 untuk menjajah Pantai Timur Amerika Utara antara latitud 34°U dan 41°U. Sebuah lagi syarikat yang dikenali sebagai Syarikat Plymouth pula diberikan “hak” untuk menjajah Pantai Timur Amerika Utara antara latitud 38°U dan 45°U. Jamestown yang terletak di latitud 37°12′33″U, menjadikan ibu kota kepada “Jajahan Virginia” sebelum ia dipindahkan ke Williamsburg yang tidak jauh darinya pada tahun 1699. Jajahan Virginia ialah wilayah jajahan Inggeris yang pertama di Amerika Utara, dan merupakan salah satu daripada “Tiga Belas Jajahan” yang mengisytihar kemerdekaan daripada Britain dan membentuk Amerika Syarikat kemudiannya.
Scotland, yang berada di bawah “Penyatuan Mahkota” dengan England sejak tahun 1603, juga memulakan usaha penjajahan di benua Amerika, hanya kurang hebat berbanding apa yang dilakukan oleh golongan penjajah Inggeris. Tanah jajahan Scotland yang pertama di Amerika Utara ialah Nova Scotia (bermaksud “Scotland Baharu”, dan terletak di bahagian tenggara negara Kanada hari ini) pada tahun 1629.
Pendekatan yang digunakan oleh kuasa imperialis British untuk menjajah benua Amerika dikenali sebagai “kolonialisme peneroka” (settler colonialism). Kolonialisme peneroka ialah sejenis penjajahan di mana golongan peneroka asing datang ke sesebuah wilayah untuk mendirikan petempatan kekal yang diduduki oleh mereka supaya menguasai tanah dan sumber alam di situ. Apa yang sering berlaku dalam proses kolonialisme peneroka, adalah komuniti masyarakat orang asal di wilayah yang dijajah oleh golongan peneroka itu akan diancam, dieksploitasi, diusir keluar dari kampung halaman malah adanya yang dibunuh secara beramai-ramai atau mengalami genosid. Oleh itu, kolonialisme peneroka mengakibatkan sesebuah masyarakat orang asal di sesuatu tempat digantikan oleh masyarakat peneroka yang datang dari luar, dari segi demografik sehingga kebudayaan. Kolonialisme peneroka juga merupakan sebahagian daripada proses pengumpulan primitif untuk pembangunan kapitalisme moden.
Pada tahun 1620, sekumpulan peneroka, yang kebanyakannya daripada golongan Puritan yang dikenali sebagai Pilgrim, mendirikan jajahan kekal Inggeris yang ketiga di Amerika Utara (selepas Jamestown dan Newfoundland), di kawasan pantai Massachusetts. Golongan Pilgrim ialah sebahagian daripada golongan Puritan yang dipengaruhi oleh kepercayaan agama Calvinisme dan berpandangan bahawa jemaah mereka harus berpisah daripada Gereja England. Mereka mengalami penganiayaan dan penindasan oleh pihak berkuasa di England kerana fahaman keagamaan yang berbeza dengan Gereja England. Selepas hidup dalam buangan di Belanda selama beberapa tahun, golongan Pilgrim bertekad untuk mendirikan petempatan baharu mereka di benua Amerika dengan mendapat sokongan dana daripada pelabur-pelabur kaya di England yang hendak mengaut keuntungan melalui penerokaan tanah jajahan di situ. Boleh dikatakan bahawa tanah jajahan Inggeris yang awal di Amerika Utara didirikan oleh golongan pelarian agama yang hendak mengelakkan diri daripada penindasan oleh pihak berkuasa gereja negara di tempat asal mereka.
Petempatan peneroka yang didirikan oleh golongan Pilgrim dikenali sebagai “Jajahan Plymouth” (tiada kaitan langsung dengan Syarikat Plymouth yang juga cuba mewujudkan tanah jajahan Inggeris di Amerika Utara pada masa itu). Pada tahun 1628, Syarikat Teluk Massachusetts, sebuah syarikat bersaham yang diberikan piagam diraja oleh Raja Charles I (yang kemudiannya dipancung kepala semasa Revolusi Inggeris itu) mendirikan sebuah jajahan peneroka di Teluk Massachusetts, yang terletak di utara Jajahan Plymouth. Golongan peneroka yang berhijrah ke Jajahan Teluk Massachusetts kebanyakannya merupakan golongan Puritan, maka jajahan itu diurus tadbir oleh sekumpulan kecil pemimpin yang dipengaruhi oleh fahaman Puritan. Jajahan Teluk Massachusetts menjadi tanah jajahan pertama di wilayah New England yang membenarkan perhambaan. Hamba-hamba Afrika mula dibawa masuk ke Massachusetts pada tahun 1630-an, dengan penduduk-penduduk bebas di Massachusetts terlibat secara aktif dalam perdagangan hamba.
Kawasan tanah jajahan lain yang ditubuhkan oleh golongan peneroka Puritan di wilayah New England termasuk Jajahan Connecticut, Jajahan Saybrook (yang kemudiannya digabungkan ke dalam Jajahan Connecticut), Jajahan New Haven, Jajahan New Hampshire, dan “Jajahan Rhode Island dan Ladang Providence”. “Piagam kolonial” dikeluarkan oleh Raja England untuk memberikan kuasa eksklusif kepada golongan peneroka kolonial dalam tadbir urus jajahan-jajahan Inggeris di Amerika Utara.
Semasa berlakunya Perang Saudara Inggeris pada tahun 1640-an, jajahan-jajahan Inggeris di Amerika Utara yang dikuasai oleh golongan Puritan, terutamanya Jajahan Teluk Massachusetts, mendukung kuat Parlimen dalam perangnya terhadap Raja England dan menyokong kerajaan Komanwel England selepas kuasa monarki ditumpaskan pada tahun 1649. Namun, jajahan-jajahan yang dikuasai oleh Syarikat Virginia, seperti Jajahan Virginia, Jajahan Newfoundland, Provinsi Maryland, Antigua dan Barbados, masih menyokong Raja England dan mengiktiraf Raja Charles II selepas Raja Charles I dihukum mati pada tahun 1649. Golongan Puritan yang menyokong Komanwel England pernah bertempur dengan golongan Royalis di Annapolis, Maryland, pada tahun 1655. Selepas pemulihan monarki di England pada tahun 1660, Jajahan Teluk Massachusetts enggan mengiktiraf Raja Charles II sebagai pemerintah England yang sah selama lebih setahun.
Jajahan-jajahan di New England yang dikuasai oleh golongan Puritan pada asalnya mengamalkan ekonomi pertanian sara diri dan hanya berdagang untuk barangan yang tidak dapat dikeluarkan oleh mereka sendiri, maka berbeza dengan ekonomi perladangan berorientasikan tanaman komersial di wilayah Chesapeake di bawah Jajahan Virginia. New England kemudiannya berkembang menjadi pusat perdagangan dan pembinaan kapal yang penting, bersama-sama dengan pertanian, perikanan dan pembalakan, di samping berfungsi sebagai hab untuk perdagangan antara jajahan-jajahan Selatan (Maryland, Virginia, Carolina dan Georgia) dan Eropah. Oleh itu, New England boleh dikatakan wilayah di Amerika Utara yang paling awalnya membangunkan struktur ekonomi kapitalis yang matang.
Konflik antara peneroka kolonial dan masyarakat orang asal
Kehadiran golongan peneroka kolonial Inggeris dan pembinaan petempatan kolonial di bumi Amerika, sudah pasti mendatangkan gangguan dan ancaman kepada kehidupan masyarakat orang asal di situ.
Masyarakat orang asal di benua Amerika dipanggil sebagai “Indian” oleh golongan penjajah Eropah kerana pada asalnya golongan penjajah Eropah beranggapan bahawa mereka sudah sampai di India apabila ekspedisi pelayaran penjelajahan laut mereka mendarat di rantau Amerika pada penghujung abad ke-15. Terdapat lebih 600 buah suku kaum masyarakat orang asal di Amerika Utara semasa kuasa imperialis Eropah memulakan penjajahan di situ.
Walaupun golongan Puritan sering menghadapi penindasan oleh pihak berkuasa agama di England (kecuali semasa Revolusi Inggeris dan zaman Komanwel England) dan cuba memperjuangkan kebebasan agama di negara asal mereka, kepimpinan badan pentadbiran di kawasan jajahan yang dikuasai oleh golongan Puritan di New England sangat tidak bertoleransi terhadap mazhab-mazhab agama yang lain. Golongan Puritan memperjuangkan kebebasan, tetapi kepimpinan mereka tidak memahami idea toleransi. Mereka datang ke benua Amerika untuk mendapatkan kebebasan agama, tetapi hanya untuk diri mereka sendiri. Mereka juga tidak menghormati masyarakat orang asal di Amerika yang bukan beragama Kristian, dengan menganggap masyarakat orang asal sebagai “orang tidak beradab” atau “agen syaitan”. Pandangan chauvinis agama sebegini mendorong kezaliman golongan peneroka Inggeris terhadap masyarakat orang asal di Amerika.
Golongan peneroka kolonial Inggeris di jajahan-jajahan di wilayah New England bekerjasama dengan sesetengah suku kaum orang asal yang dianggap “mesra”, sanggup berdagang dengan mereka dan boleh membantu dalam melindungi kepentingan kolonial mereka di situ; tetapi pada masa yang sama mereka memusuhi malah bersedia untuk menghapuskan suku-suku kaum orang asal yang dianggap boleh mengancam kepentingan kolonial mereka.
Perluasan wilayah jajahan yang melibatkan pencerobohan golongan penjajah Inggeris ke dalam wilayah masyarakat orang asal sering menimbulkan ketegangan dan membawa kepada konflik berdarah. Gabungan jajahan-jajahan peneroka Puritan Inggeris di New England, yang terdiri daripada Teluk Massachusetts, Plymouth, Saybrook dan Connecticut, bersama-sama sekutu mereka daripada suku kaum Narragansett dan Mohegan, melancarkan perang terhadap suku kaum Pequot pada tahun 1636. Kumpulan militia yang ditubuhkan oleh golongan peneroka Jajahan Connecticut bersama dengan sekutu orang asal mereka melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap sebuah perkampungan berkubu Pequot berhampiran Sungai Mystic pada 26 Mei 1637. Golongan peneroka Inggeris membakar perkampungan itu dan melepaskan tembakan ke arah sesiapa yang cuba melarikan diri keluar dari situ. Perang terhadap suku kaum Pequot berakhir dengan “kepupusan” suku kaum Pequot, di mana ratusan tahanan daripada suku kaum Pequot dijual sebagai hamba kepada golongan penjajah di Bermuda dan Kepulauan Hindia Barat di Laut Caribbean, sementara tawanan perang lain diagihkan kepada suku-suku kaum yang bersekutu dengan golongan peneroka kolonial. Orang Pequot yang masih hidup di kawasan itu diserap ke dalam suku-suku kaum tempatan yang lain.
Pada tahun 1643, empat buah jajahan yang dikuasai oleh golongan Puritan (Teluk Massachusetts, Plymouth, Connecticut dan New Haven) menubuhkan “Jajahan Bersatu New England”, atau juga dikenali sebagai “Konfederasi New England”, sebuah perikatan konfederasi untuk melindungi kepentingan kolonial mereka daripada “ancaman” masyarakat orang asal dan jajahan Belanda yang dikenali sebagai Nieuw-Nederland (“Belanda Baharu”).
Pada tahun 1675-1676, Konfederasi New England bertempur dengan beberapa suku kaum masyarakat orang asal dalam konflik bersenjata yang dikenali sebagai “Perang Raja Philip” atau “Perang Metacomet”. Metacomet ialah ketua suku kaum Wampanoag, dan “Raja Philip” ialah nama yang diberikan oleh orang Inggeris kepadanya. Pada awalnya, Metacomet cuba hidup secara harmoni dengan golongan peneroka kolonial dan menjalin hubungan perdagangan dengan jajahan-jajahan Inggeris. Namun, dengan jajahan-jajahan Inggeris di New England semakin berkembang, wilayah suku kaum Wampanoag sering diceroboh dan kehidupan mereka terjejas. Malah, pada tahun 1671, kepimpinan kolonial di Jajahan Plymouth memaksa Metacomet untuk bersetuju menyerahkan kebanyakan senjata api daripada suku kaumnya, dan masyarakat suku kaumnya akan mematuhi undang-undang Inggeris. Akan tetapi, pencerobohan ke atas wilayah masyarakat orang asal oleh golongan peneroka kolonial berterusan sehingga Metacomet tidak dapat bertolak ansur lagi.
Metacomet menerajui perikatan suku kaum masyarakat orang asal untuk berusaha mengusir keluar golongan peneroka kolonial Inggeris dari New England. Selain suku kaum Wampanoag, banyak suku kaum lain di wilayah itu juga menghadapi konflik dengan golongan peneroka kolonial Eropah, terutamanya dalam persoalan penggunaan tanah. Suku kaum Narragansett yang pernah bersekutu dengan golongan peneroka kolonial Inggeris dalam peperangan terhadap Pequot, turut menyertai perikatan yang diterajui oleh Metacomet untuk melawan golongan peneroka kolonial. Konfederasi New England mengumpulkan militia dalam jumlah yang besar untuk menyerang masyarakat orang asal di situ. Perkampungan orang asal diserang dan dibakar oleh militia peneroka kolonial. Metacomet dibunuh pada 12 Ogos 1676 berdekatan Mount Hope di Rhode Island. Peperangan itu berterusan di bahagian utara New England sehingga bulan April 1678. Suku kaum Wampanoag dan Narragansett hampir dihapuskan dalam peperangan yang bersifat genosid itu.
Kezaliman dan keganasan golongan peneroka kolonial terhadap masyarakat orang asal tempatan di New England telah memberikan “kesedaran” tentang pembentukan identiti sendiri dan perpaduan dalam kalangan golongan peneroka kolonial itu, maka menanam benih untuk pembangunan fahaman kebangsaan Amerika kemudian. Menurut Jill Lepore, seorang ahli sejarah dalam bukunya “The Name of War: King Philip’s War and the Origins of American Identity” (1998), Perang Metacomet merupakan titik permulaan pembangunan identiti Amerika yang berasingan, kerana golongan peneroka kolonial di New England bertempur dengan musuh mereka tanpa sebarang bantuan daripada kerajaan Inggeris, maka menyumbang kepada pembentukan identiti mereka yang berasingan dan berbeza daripada negara England.
Penentangan terhadap “Dominion New England”
Kerajaan England di London mewujudkan “Dominion New England” pada tahun 1686 untuk menggabungkan seluruh wilayah New England dan Jajahan-jajahan Atlantik Tengah ke dalam satu pentadbiran kolonial yang berpusat. Namun, corak pentadbiran Dominion New England itu ditentang oleh kebanyakan golongan peneroka kolonial di situ kerana ia membatalkan “piagam kolonial” yang memberikan kuasa pentadbiran autonomi kepada jajahan dan jaminan hak peneroka kolonial sebagai rakyat Inggeris.
Apabila berita tentang “Revolusi Kegemilangan” yang menjatuhkan Raja James II dari England sampai di bandar Boston yang terletak di Jajahan Teluk Massachusetts, golongan Puritan di situ melancarkan pemberontakan pada 18 April 1689 untuk menentang Edmund Andros, Gabenor Dominion New England pada masa itu. Golongan pemberontak menahan Edmund Andors dan pegawai-pegawai pentadbiran kolonial di bawah arahannya. Boston, yang diasaskan oleh golongan Puritan pada tahun 1630, dan berkembang dengan cepat untuk menjadi pusat politik, perdagangan dan kewangan di New England, memang merupakan sebuah bandar yang mempunyai semangat pemberontakan yang kuat dan merupakan tapak percambahan benih Revolusi Amerika.
Di Provinsi New York, Jacob Leisler, seorang pedagang dan kapten militia peneroka yang berasal dari Jerman, memimpin pemberontakan yang menjatuhkan Francis Nicholson selaku Leftenan Gabenor Dominion New England. Selepas peristiwa-peristiwa pemberontakan ini, jajahan-jajahan yang digabungkan ke dalam Dominion New England itu dipulihkan bentuk pentadbiran masing-masing. Kerajaan baharu di England mengeluarkan piagam kolonial yang baharu kepada jajahan-jajahan di New England, dan pentadbiran sendiri oleh golongan peneroka dikembalikan. Walau bagaimanapun, Jacob Leisler yang memimpin pemberontakan di New York pada tahun 1689 dan melantik dirinya sebagai Leftenan Gabenor Provinsi New York, telah ditangkap apabila pegawai lantikan kerajaan Inggeris mengambil alih semula pentadbiran New York pada tahun 1691 dan dijatuhkan hukuman mati atas pertuduhan mengkhianati Raja England.
Persaingan geopolitik kuasa besar antara Britain dan Perancis
Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an dan “Revolusi Kegemilangan” yang akhirnya mewujudkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan di England, telah memainkan peranan ketara dalam transformasi negara England (dan Britain) ke arah sebuah ekonomi kapitalis baharu dengan jangkauan global yang tidak dapat dihalang dan sukar ditandingi.
Pada penghujung abad ke-17, kuasa terbesar di Eropah ialah Perancis. Jumlah penduduk Perancis adalah tiga kali ganda berbanding Britain, dan pengeluaran ekonomi Perancis juga lebih besar. Namun, oleh sebab dinamik ekonomi kapitalis di Britain yang dipacukan lagi oleh impak Revolusi Inggeris, pertumbuhan penduduk dan pengeluaran ekonominya lebih cepat berbanding Perancis dalam satu abad berikutnya. Lebih-lebih lagi, Perancis sebagai sebuah kuasa daratan benua besar, perlu mengekalkan tentera darat dalam jumlah yang besar untuk mempertahankan sempadan daratannya; sebaliknya, Britain merupakan sebuah kubu pulau dan kuasa maritim, maka dasar tradisional pemerintahnya adalah mengekalkan tentera darat dalam jumlah yang kecil tetapi pada masa yang sama membangunkan tentera laut yang kuat.
Negara British juga mempunyai asas kewangan yang kukuh untuk menyokong perkembangan ekonomi kapitalisnya. Walaupun golongan pedagang dan pemilik harta yang menguasai Parlimen itu lebih cenderung untuk mengurangkan kos pentadbiran kerajaan dan cuba mengelak daripada terlibat dalam peperangan di benua Eropah, ekonomi kapitalis Britain yang bertumbuh pesat itu menyediakan sumber-sumber yang cukup besar untuk menyokong usaha ketenteraan apabila kepentingan kapitalis itu diancam. Perdagangan yang bertumbuh pesat dan sistem perbankan moden memberikan kelebihan kepada Britain dalam persaingannya dengan kuasa-kuasa besar Eropah yang lain, terutamanya Perancis.
Sepanjang abad ke-18, kerajaan British sering membentuk perikatan geopolitik dengan negara-negara Eropah lain untuk mengekang kekuasaan Perancis di benua itu. Kerajaan British memberikan bantuan kewangan kepada golongan pemerintah di negara-negara kecil di Jerman untuk membayar tentera mereka, di samping kerap menghantar tenteranya dalam jumlah yang agak kecil untuk menyokong pertempuran antara sekutu-sekutunya dengan Perancis.
Persaingan imperialis antara Britain dan Perancis menimbulkan konflik global yang paling utama dalam tempoh lebih satu abad dari tahun 1688 hingga 1815, dengan kesannya membentuk trajektori sejarah moden di Eropah dan dunia yang dikuasai imperialisme kapitalis. Separuh daripada tempoh itu, negara Britain dan Perancis berperang secara rasminya, dengan berlakunya 6 peperangan besar yang melibatkan kedua-dua kuasa besar ini: “Perang Sembilan Tahun” (1688-1697), “Perang Warisan Takhta Sepanyol” (1701-1714), “Perang Warisan Takhta Austria” (1740-1748), “Perang Tujuh Tahun” (1756-1763), “Perang Revolusi Amerika” (dengan Perancis terlibat secara langsung dari tahun 1778 hingga 1783) dan Perang Revolusi Perancis (1792-1802) yang diikuti dengan Perang Napoleon (1803-1815).
“Perang Tujuh Tahun” (1756-1763) merupakan peperangan imperialis peringkat global yang melibatkan hampir semua kuasa besar Eropah, dengan Britain dan Perancis sebagai ketua untuk dua pihak yang saling berperang itu. Di satu pihak ialah Britain yang bersekutu dengan Prusia; sementara satu pihak lagi ialah perikatan yang diterajui Perancis dan Austria, dengan sokongan daripada Sepanyol, Sachsen, Sweden dan Rusia. Medan-medan perang tersebar di Eropah, Afrika Barat, India, Filipina dan Amerika. Oleh itu, Perang Tujuh Tahun boleh dianggap sebagai “perang dunia pertama” yang sebenar.
Perang Tujuh Tahun di Amerika Utara juga dikenali sebagai “Perang Perancis-Indian” (1754-1763) yang sebenarnya berlangsung selama 9 tahun. Di medan perang Amerika Utara itu, tentera British yang mendapat sokongan daripada militia sukarelawan peneroka kolonial dan suku-suku kaum masyarakat orang asal yang bersekutu dengan British untuk melindungi sempadan barat tanah jajahannya di Amerika Utara, bertempur dengan Perancis dan suku-suku kaum masyarakat orang asal lain. Jajahan-jajahan British di Amerika Utara juga menyumbangkan banyak dana kepada usaha perang British di situ.
Perang Tujuh Tahun menyaksikan kemenangan besar Britain dan sekutunya terhadap perikatan kuasa besar yang diterajui oleh Perancis. Hasil daripada peperangan itu adalah: Britain menguasai tanah jajahan di India yang dirampas daripada Perancis; sebahagian besar tanah jajahan Perancis di Amerika Utara yang dikenali sebagai “Nouvelle-France” (Perancis Baharu) diserahkan kepada Britain; Louisiana yang merupakan sebahagian daripada Nouvelle-France diserahkan kepada Sepanyol; Florida yang dikuasai oleh Sepanyol sebelum itu diserahkan kepada Britain; Britain “memulangkan” Kuba dan Filipina yang ditawannya semasa perang kepada Sepanyol.
Tiga Belas Jajahan
Tiga Belas Jajahan merujuk kepada jajahan-jajahan British di Amerika Utara sepanjang pantai Atlantik pada abad ke-17 dan ke-18. Jika disusun dalam urutan dari utara ke selatan, Tiga Belas Jajahan ini (dengan bentuk pemerintahan di situ pada tahun 1760-an dan ibu kota) ialah seperti berikut:
Jajahan-jajahan New England
- Provinsi New Hampshire (jajahan berkerajaan sendiri; ibu kotanya di Portsmouth)
- Provinsi Teluk Massachusetts (jajahan berkerajaan sendiri; ibu kotanya di Boston)
- Jajahan Rhode Island dan Ladang Providence (jajahan berkerajaan sendiri; ibu kotanya di Providence dan Newport)
- Jajahan Connecticut (jajahan berkerajaan sendiri; ibu kotanya di Hartford)
Jajahan-jajahan Tengah
- Provinsi New York (jajahan Mahkota; ibu kotanya di Bandar New York)
- Provinsi New Jersey (jajahan Mahkota; ibu kotanya di Perth Amboy dan Burlington)
- Provinsi Pennsylvania (jajahan berpemilikan; ibu kotanya di Philadelphia)
- Jajahan Delaware (jajahan berpemilikan separa autonomi; ibu kotanya di New Castle)
Jajahan-jajahan Selatan
- Provinsi Maryland (jajahan berpemilikan; ibu kotanya di Annapolis)
- Jajahan Virginia (jajahan Mahkota; ibu kotanya di Williamsburg)
- Provinsi Carolina Utara (jajahan Mahkota; ibu kotanya di Brunswick)
- Provinsi Carolina Selatan (jajahan Mahkota; ibu kotanya di Charleston)
- Provinsi Georgia (jajahan Mahkota; ibu kotanya di Savannah)
Jajahan berkerajaan sendiri (self-governing colony) ialah tanah jajahan British yang penduduk-penduduknya boleh mengundi kerajaan mereka sendiri untuk membuat keputusan tanpa merujuk pada pihak berkuasa British yang mempunyai kawalan secara nominal ke atas tanah jajahan berkenaan.
Jajahan Mahkota (Crown colony) ialah tanah jajahan yang diperintah secara langsung oleh kerajaan British melalui pelantikan seorang Gabenor oleh Raja Britain berdasarkan nasihat daripada kerajaan yang dibentuk oleh Parlimen Britain untuk mentadbir jajahan itu secara bersama atau tanpa sebuah majlis tempatan.
Jajahan berpemilikan (proprietary colony) ialah tanah jajahan British yang diberikan piagam oleh Raja Britain kepada seorang atau sekumpulan kecil orang pemilik persendirian yang mempunyai hak pentadbiran sepenuhnya terhadap tanah jajahan berkenaan.
Jajahan-jajahan yang dimulakan oleh golongan Puritan di New England sejak abad ke-17, mempunyai kuasa autonomi yang lebih besar kerana bentuk pemerintahannya yang mempunyai kerajaan sendiri yang dipilih oleh golongan peneroka kolonial di situ.
Menjelang tahun 1770-an, kira-kira 85% daripada golongan peneroka kolonial berkulit putih di Tiga Belas Jajahan berasal atau mempunyai nenek moyang yang datang dari Kepulauan British (England, Scotland, Wales dan orang Scotland yang tinggal di Ireland). Lebih 90% daripada golongan peneroka kolonial terlibat dalam aktiviti pertanian, dari pemilik ladang besar hingga petani kecil.
Pada asalnya, pertanian merupakan aktiviti ekonomi utama yang dilakukan oleh golongan peneroka kolonial di Tiga Belas Jajahan. Dengan ekonomi di Tiga Belas Jajahan semakin dibangunkan, lebih banyak lagi orang berhijrah dari Eropah ke situ, tambahan pula dengan pertumbuhan penduduk kolonial yang sedia ada, maka membangunkan lagi bandar-bandar kecil di Tiga Belas Jajahan yang juga merupakan pelabuhan yang menghubungkan ekonomi tanah jajahan di Amerika Utara dengan Empayar British yang merentasi Lautan Atlantik. Pembangunan perusahaan dan perdagangan di kawasan bandar juga membolehkan perkembangan ruang untuk pembangunan golongan intelek yang terdedah kepada idea-idea baharu dari Eropah, terutamanya pengaruh pemikiran baharu daripada Zaman Pencerahan.
Walaupun kuasa politik tertinggi di dalam setiap jajahan itu terletak pada gabenor yang dilantik oleh golongan pemerintah di London, kuasa politik yang sebenar dipegang oleh kumpulan-kumpulan yang berbeza di dalam setiap jajahan:
- Di New England, golongan peneroka kolonial yang menjadi petani bebas berkuasa di kawasan luar bandar, sementara golongan pedagang dan golongan tukang berkuasa di bandar-bandar pesisiran pantai;
- Di Provinsi New York, golongan tuan tanah besar yang berkuasa di kawasan luar bandar itu melayan penyewa-penyewa tanah mereka dengan cara yang hampir serupa dengan amalan feudal, sementara golongan pedagang yang terikat dengan perdagangan British merentasi Lautan Atlantik mempunyai pengaruh kuat di Bandar New York;
- Di Provinsi Pennsylvania, keluarga Penn yang menguasai jawatan gabenor dan beberapa buah keluarga kaya yang mempunyai latar belakang Quaker berkuasa di situ.
- Di Virginia, Carolina Utara dan Carolina Selatan, golongan pemilik ladang besar yang juga memiliki hamba berkuasa di situ, dengan golongan peneroka yang miskin langsung tiada hak bersuara.
Perhambaan adalah sah di sisi undang-undang dan diamalkan di seluruh Tiga Belas Jajahan sebelum kemerdekaan Amerika Syarikat. Di kebanyakan tempat, golongan hamba bekerja sebagai pembantu rumah atau buruh kasar di ladang. Tenaga kerja hamba digunakan secara besar-besaran di ladang-ladang tembakau di Virginia dan Maryland. Ladang-ladang padi dan nila di Carolina Selatan juga menggunakan banyak tenaga kerja hamba. Dalam tempoh 150 tahun dari tahun 1625 hingga 1775, dianggarkan kira-kira 126,000 hingga 288,000 orang hamba dari Afrika dibawa merentasi Lautan Atlantik untuk masuk ke Tiga Belas Jajahan. Menjelang tahun 1770-an, terdapat kira-kira 462,000 orang hamba di tanah jajahan British di Amerika Utara, bersamaan dengan hampir 20% daripada jumlah penduduk di situ.
Dalam kalangan penduduk-penduduk berkulit putih dari Eropah yang tinggal di jajahan-jajahan British di Amerika Utara, wujudnya juga perbezaan kelas yang ketara, maka juga timbulnya pertentangan antara kelas-kelas sosial ini. Pernah berlakunya siri pemberontakan oleh golongan penyewa tanah untuk menentang golongan tuan tanah yang mengeksploitasi mereka di Lembah Hudson, New York, sejak tahun 1750-an. Wujudnya konflik antara golongan elit bandar Philadelphia dan golongan peneroka kolonial di Pennsylvania. Golongan petani kecil di Carolina Utara dan Carolina Selatan juga sering berkonflik dengan pemilik ladang besar di situ. Selain itu, golongan pemilik ladang di Jajahan-jajahan Selatan juga sering takut pada pemberontakan hamba di situ seperti yang pernah berlaku di Carolina Selatan pada tahun 1739. Percanggahan kepentingan kelas-kelas sosial yang berbeza di tanah jajahan British di Amerika Utara telah menggagalkan usaha untuk mewujudkan perpaduan dalam kalangan penduduk-penduduk di jajahan-jajahan itu pada awal tahun 1750-an.
Sehingga tahun 1760-an, penduduk-penduduk berkulit putih di setiap jajahan British di Amerika Utara masih menganggap diri mereka sebagai “rakyat British” di bawah naungan Raja George III, dan bukannya “warga Amerika”. Lagipun, jajahan-jajahan British di Amerika Utara itu telah bertumbuh maju dan makmur dalam lingkungan ekonomi Atlantik yang didominasi oleh Britain. Jumlah penduduk di Tiga Belas Jajahan turut bertumbuh dari kira-kira 5,000 orang pada tahun 1630-an hingga kira-kira 2.5 juta orang menjelang tahun 1770-an, bersamaan satu pertiga daripada jumlah penduduk di Britain pada masa itu. Golongan pedagang dan tuan tanah menikmati kekayaan yang cukup besar, sementara golongan petani dan golongan tukang dapat merasakan bahawa kehidupan mereka lebih baik berbanding nenek moyang mereka yang tinggal di seberang Lautan Atlantik. Nampaknya tidak begitu banyak orang bebas mahu perubahan yang ketara di Tiga Belas Jajahan di bawah pemerintahan kolonial British pada masa itu.
Namun, pengembangan ekonomi kapitalis itu tidak pernah bermakna keamanan dan ketenangan yang berkekalan.Dengan pengembangan ekonomi yang pesat dalam Empayar British, golongan pedagang, golongan tuan tanah dan golongan pemilik perusahaan di kedua-dua belah Lautan Atlantik itu mula membangunkan set kepentingan yang berbeza, dan dengan itu juga sikap yang berbeza dalam melindungi kepentingan sendiri. Golongan pemerintah kapitalis di London bimbang bahawa jajahan-jajahan di seberang laut yang diberikan terlalu banyak kuasa autonomi itu mungkin mengamalkan dasar-dasar yang menjejaskan kepentingan komersial kelas kapitalis British di negara induk. Sementara itu, golongan kapitalis yang mula muncul di tanah jajahan pula semakin ragu-ragu tentang tindakan kerajaan British yang boleh menjejaskan kepentingan mereka. Menjelang tahun 1760-an, oleh sebab pelbagai tindakan perundangan oleh Parlimen British (yang tiadanya perwakilan dari tanah jajahan di Amerika Utara) yang cuba menyedut kekayaan di Tiga Belas Jajahan demi kepentingan kelas pemerintah British yang berpusat di London, pertembungan secara terbuka antara Tiga Belas Jajahan di Amerika Utara dan kuasa pemerintahan British sudah tidak dapat dielakkan.
Apabila percanggahan masyarakat semakin meruncing, golongan elit borjuis dan warga biasa di Tiga Belas Jajahan pada awalnya masih bukan hendak memperjuangkan kemerdekaan daripada pemerintahan British, tetapi sekadar menuntut hak untuk dilayan secara sama rata sebagai seorang warga British.
“Tiada percukaian tanpa perwakilan”
Raja George III mengambil alih takhta sebagai Raja Britain Raya dan Ireland pada tahun 1760. Kuasa pemerintahan negara Britain pada masa itu bukan lagi berada dalam tangan raja yang berkuasa mutlak, tetapi dalam tangan Parlimen di Westminster yang dikuasai oleh golongan kapitalis British yang sudah berkembang matang. Golongan bangsawan mewarisi kerusi dalam Dewan Pertuanan, sementara golongan pedagang dan golongan gentri menguasai Dewan Rakyat yang perwakilannya dipilih oleh rakyat British yang berharta tanah. Raja British memerintah negara Britain dan Empayar British melalui jemaah menteri yang ditentukan oleh sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat. Kerajaan British melantik gabenor untuk mengurus tadbir jajahan-jajahan di seberang laut. Golongan peneroka kolonial yang merupakan pemilik harta di tanah jajahan memilih perwakilan ke dalam perhimpunan kolonial yang mempunyai kuasa perundangan dan pengenaan cukai, tetapi kerajaan British mempunyai kuasa veto terhadap perundangan yang dibuat oleh perhimpunan kolonial.
Kerajaan imperialis British mengamalkan dasar merkantilisme untuk mengembangkan kekuasaan ekonomi-politik, bukannya melalui “pasaran bebas”. Di bawah dasar merkantilisme yang direka untuk melindungi kepentingan kelas kapitalis British yang sentiasa hendak mengaut keuntungan daripada pelaburan modal mereka, kewujudan jajahan-jajahan seberang laut seperti yang ada di Amerika Utara itu adalah semata-mata untuk kepentingan ekonomi negara induk, sementara keperluan ekonomi golongan peneroka kolonial tidak begitu diutamakan. Jajahan-jajahan British di Amerika Utara tidak mempunyai banyak perindustrian yang maju kecuali sektor pembinaan kapal. Jajahan-jajahan British di Amerika Utara mengeksport hasil pertanian ke Britain untuk bertukar dengan barangan pembuatan perindustrian dari Britain, di samping mengimport rum dan gula dari jajahan-jajahan Hindia Barat British di rantau Caribbean.
Pada tahun 1651, Parlimen England menggubal Akta Pelayaran yang pertama, di mana ia menyekat jajahan-jajahan Inggeris di seberang laut daripada berdagang dengan negara-negara asing. Jajahan-jajahan Inggeris di Amerika Utara boleh berdagang dengan tempat-tempat lain di dalam Empayar British tetapi hanya dengan komoditi yang tertentu. Sementara itu, sebarang import dari Eropah ke jajahan-jajahan Inggeris di Amerika Utara perlu melalui pelabuhan-pelabuhan di England terlebih dahulu dan membayar duti kastam kepada kerajaan England. Ini dikenali sebagai “sistem kabotaj”.
Parlimen England dan kemudiannya Parlimen Britain juga menggubal banyak undang-undang lain untuk mengawal selia perusahaan di jajahan-jajahannya, seperti Akta Wul 1699, Akta Topi 1732, Akta Besi 1750 dan sebagainya. Dasar merkantilisme yang menyekat pembangunan ekonomi kapitalis di jajahan-jajahan British di Amerika Utara ini mewujudkan percanggahan kepentingan yang ketara antara golongan peneroka kolonial di Amerika Utara dan golongan pemerintah British di London.
Selepas tamatnya Perang Tujuh Tahun pada tahun 1763, kerajaan British yang berpusat di London menghadapi masalah hutang besar yang terkumpul kerana peperangan, maka ia cuba melaksanakan beberapa langkah untuk meningkatkan hasil dari jajahan-jajahannya di Amerika Utara. Tindakan kerajaan British itu tidak mendapat sambutan dalam kalangan penduduk-penduduk di jajahan-jajahan British kerana golongan peneroka di tanah jajahan tidak mempunyai perwakilan di dalam Parlimen Britain. Selain itu, kerajaan British juga mula menempatkan 10,000 orang anggota tentera tetap di Amerika Utara pada tahun 1763 untuk meningkatkan pertahanan di tanah jajahan. Tentera British memainkan peranan untuk mencegah golongan peneroka kolonial daripada mencetuskan konflik dengan masyarakat orang asal Amerika dan membantu dalam mengutip duti kastam. Namun, penempatan tentera di tanah jajahan memakan kos yang tinggi, maka kerajaan British beranggapan bahawa penduduk-penduduk di tanah jajahan juga harus membayar kos itu.
Akta Gula dan Akta Mata Wang yang digubal oleh Parlimen British pada tahun 1764 telah menimbulkan masalah ekonomi kepada jajahan-jajahan British di Amerika Utara. Pada bulan Mac 1765, Parlimen British meluluskan Akta Setem, yang mengenakan cukai secara langsung ke atas penduduk-penduduk tanah jajahan buat kali pertama. Di bawah akta itu, semua dokumen rasmi, suratkhabar, almanak dan risalah perlu menggunakan kertas bersetem hasil dari London yang telah dibayar duti setem.
Akta Setem mencetuskan bantahan hebat daripada penduduk-penduduk di tanah jajahan. Mereka membantah pengenaan cukai itu kerana penggubalan undang-undang percukaian itu dilakukan oleh Parlimen yang terletak jauh di seberang Lautan Atlantik di mana mereka tiadanya perwakilan. Mereka berpandangan bahawa sebarang cukai yang dikenakan oleh Parlimen British ke atas mereka adalah bercanggah dengan perlembagaan tidak bertulis di Britain dan menafikan golongan peneroka kolonial di Amerika Utara itu hak mereka sebagai warga Inggeris.
“Percukaian tanpa perwakilan ialah kezaliman!” begitu katanya James Otis Jr., seorang peguam dan wakil dalam badan perundangan kolonial di Jajahan Teluk Massachusetts. Kenyataan ini kemudian menjadi slogan “tiada percukaian tanpa perwakilan” (no taxation without representation) yang digunakan oleh penduduk-penduduk tanah jajahan untuk membantah cukai yang dikenakan oleh pihak berkuasa British.
Berikutan penggubalan Akta Setem, “Kongres Akta Setem” yang disertai oleh perwakilan dari 9 buah jajahan (Connecticut, Delaware, Maryland, Massachusetts, New Jersey, New York, Pennsylvania, Rhode Island dan Carolina Selatan) diadakan pada bulan Oktober 1765 di Bandar New York, untuk membincangkan usaha dan strategi menyatukan tenaga dalam menentang Akta Setem. Kongres itu menyeru semua jajahan British di Amerika Utara untuk memprotes terhadap undang-undang itu dengan memboikot barangan import dari Britain.
Organisasi-organisasi politik yang dikenali sebagai “Sons of Liberty” (Anak-anak Kebebasan) ditubuhkan di beberapa buah jajahan untuk mengadakan aksi demonstrasi, boikot, sabotaj dan tindakan ganas (seperti membakar rumah pegawai tinggi British) dalam usaha menjadikan undang-undang percukaian British itu tidak boleh dikuatkuasakan. “Sons of Liberty” bukannya disertai oleh golongan pemilik ladang besar, golongan tuan tanah besar ataupun golongan pedagang yang kaya, sebaliknya dianggotai oleh kebanyakannya golongan menengah yang berada antara golongan elit atasan dan rakyat biasa, iaitu golongan intelek, golongan pedagang kecil yang berniaga di kawasan tanah jajahan sahaja dan golongan tukang. Terdapat organisasi “Sons of Liberty” di sekurang-kurangnya 15 buah bandar. “Sons of Liberty” menjadi perintis kepada gerakan massa di Tiga Belas Jajahan untuk menentang dasar pemerintahan British.
Mereka yang terlibat secara aktif dalam gerakan “Sons of Liberty” merupakan golongan Patriot yang paling awal. “Patriot” merujuk pada penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan yang menentang pemerintahan kerajaan British semasa zaman kolonial dan kemudiannya menyokong Revolusi Amerika yang membawa kemerdekaan kepada negara Amerika Syarikat.
Gerakan menentang cukai yang dikenakan oleh pihak British tanpa perwakilan dari tanah jajahan dalam Parlimen tidak mungkin akan berjaya tanpa penyertaan golongan peniaga kecil, golongan petani tempatan dan golongan tukang yang bermobilisasi dalam jumlah yang besar dengan tindakan yang militan. Mereka mengadakan mesyuarat, perarakan, aksi membakar patung pegawai tinggi British dan aksi mendirikan “tiang kebebasan”. “Tiang kebebasan” ialah tiang kayu yang dipacak di tanah dengan sebuah topi atau bendera bertulis slogan protes di atasnya untuk melambangkan pembebasan dan kemerdekaan. Orang ramai mencabar pegawai-pegawai kastam dan askar-askar British. Golongan yang bakal bekerjasama dengan pihak British turut diganggu oleh golongan Patriot. Kadang-kadang harta milik British dirosakkan.
Penduduk-penduduk Boston merobohkan sebuah bangunan yang dianggap sebagai pejabat untuk menjual setem dan menyerang rumah kediaman pengedar setem. Di Bandar New York, penduduk-penduduk yang membantah cukai British meroboh rumah mereka yang dianggap bersubahat dengan pihak British, dan bertempur dengan askar-askar British yang ditempatkan di situ. Kemarahan rakyat biasa terhadap kerajaan British itu juga bercampur dengan ketidakpuasan hati terhadap golongan elit tempatan yang suka mempamerkan kekayaan mereka pada ketika kebanyakan orang hidup dalam kesusahan. Adanya penduduk New York yang menyerang teater yang dikunjungi oleh golongan orang kaya tempatan. Sebuah akhbar yang dikenali sebagai “New York Journal”, selain mendramatisasikan isu percukaian British, ia juga menerbitkan rencana-rencana yang mengecam kejahatan sewa tinggi, kenaikan harga barangan dan pengangguran.
Hasil daripada tindakan boikot yang menjejaskan perdagangan British dengan tanah jajahannya di Amerika Utara, Parlimen British memansuhkan Akta Setem pada tahun 1766, tetapi meluluskan Akta Jajahan-jajahan Amerika untuk mengisytihar bahawa kuasa Parlimen adalah sama di Amerika seperti di Britain, di samping menegaskan kuasa Parlimen untuk meluluskan undang-undang yang mengikat jajahan-jajahan British di Amerika. Golongan pemerintah British terpaksa berkompromi dengan menarik balik undang-undang yang tidak popular kerana tekanan rakyat yang hebat, tetapi masih mahu menunjukkan kuasanya sebagai “tuan” dan menjaga air mukanya sebagai kuasa besar.
Seperti mana-mana gerakan protes, tindakan massa boleh mengubah pemikiran rakyat, dan perubahan dalam pemikiran rakyat boleh membawa kepada lebih banyak tindakan massa. Perkara ini memang benar di Boston dan Bandar New York pada tahun 1760-an. Di New York, orang ramai mendirikan “tiang kebebasan” untuk membantah tindakan pihak pemerintah British. Setiap kali askar British memusnahkan “tiang kebebasan” yang didirikan, tiang baharu akan didirikan semula. Cubaan kerajaan British di seberang Lautan Atlantik untuk memperkenalkan struktur pengutipan cukai yang baharu hanya memperkuatkan perasaan dan kesedaran penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan bahawa mereka dikenakan paksaan dan penindasan daripada kuasa luar.
Dari “Pembantaian Boston” ke “Jamuan Teh Boston”
Pada tahun 1767, Parlimen British meluluskan siri undang-undang yang dikenali sebagai “Akta-akta Townshend”. Siri undang-undang yang diperkenalkan oleh Charles Townshend, Canselor Perbendaharaan Britain pada masa itu, mengenakan duti ke atas beberapa barangan utama seperti kertas, kaca, cat, plumbum, minyak dan teh, di samping menubuhkan Lembaga Kastam di Boston untuk menguatkuasakan peraturan perdagangan dengan lebih ketat lagi. Tujuan pelaksanaan undang-undang itu adalah untuk menegaskan kekuasaan kerajaan British di London ke atas jajahan-jajahannya di seberang laut. Golongan pemerintah British pada awalnya menganggap bahawa penduduk-penduduk di Amerika Utara itu hanya membantah cukai dalaman dan bukannya cukai luaran seperti duti kastam. Namun, anggapan itu terbukti tidak benar.
Pada bulan Februari 1768, Perhimpunan Provinsi Teluk Massachusetts mengeluarkan surat pekeliling kepada jajahan-jajahan lain untuk menggesa supaya menyelaraskan usaha penentangan terhadap undang-undang duti kastam yang dikenakan oleh pihak British. Gabenor Provinsi Teluk Massachusetts membubarkan Perhimpunan itu apabila ia enggan menarik balik surat pekeliling tersebut. Boston, ibu kota Provinsi Teluk Massachusetts, telah menjadi pusat tumpuan perjuangan menentang pemerintahan British.
Pada bulan Jun 1768, tercetusnya rusuhan di Boston, apabila pegawai-pegawai kastam British merampas kapal milik John Hancock, seorang pedagang yang kemudiannya menjadi pemimpin utama Revolusi Amerika, atas pertuduhan melakukan penyeludupan. Pegawai-pegawai kastam terpaksa melarikan diri kerana massa rakyat yang marah itu terlalu ramai. Oleh itu, tentera British dikerahkan dan ditempatkan di Provinsi Teluk Massachusetts mulai tahun 1768 untuk melindungi pegawai-pegawai lantikan London yang bertugas di situ dan menguatkuasakan undang-undang Parlimen yang tidak popular.
Pada bulan Januari 1769, Parlimen British mengaktifkan semula Akta Pengkhianatan 1543 yang menetapkan bahawa rakyat British di luar negara harus menghadap perbicaraan di England atas pertuduhan pengkhianatan. Gabenor Massachusetts diarahkan untuk mengumpulkan bukti mengenai pengkhianatan. Ancaman daripada Parlimen British itu menyemarakkan lagi api kemarahan penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan.
Pada 5 Mac 1770, pertelingkahan antara anggota-anggota tentera British dengan penduduk-penduduk tempatan di Boston menimbulkan peristiwa penembakan mati 5 orang penduduk Boston oleh askar-askar British. 8 orang askar British didakwa di mahkamah dan mereka dibela oleh peguam John Adams, seorang Patriot yang akan menjadi Presiden Amerika Syarikat 27 tahun kemudian, atas alasan memastikan perbicaraan yang adil. 6 orang askar yang dituduh dibebaskan daripada pertuduhan dan 2 orang disabit kesalahan pembunuhan tidak sengaja tetapi diberikan hukuman yang diringankan.
Peristiwa pembunuhan di Boston ini diheboh-hebohkan oleh golongan Patriot yang menentang pemerintahan British sebagai “Pembantaian Boston” (Boston Massacre), dan berita mengenainya disebarkan ke seluruh Tiga Belas Jajahan sehingga mencetuskan perjuangan yang lebih hebat. Memang menembak orang sampai mati merupakan sesuatu tindakan yang zalim dan mengerikan, tetapi jika pembunuhan 5 orang warga Amerika oleh askar-askar British itu boleh dianggap “pembantaian” atau “pembunuhan beramai-ramai”, maka sudah pasti terlalu banyak kezaliman yang dilakukan kemudian oleh kuasa-kuasa imperialis, termasuk imperialis Amerika Syarikat, di merata tempat di seluruh dunia itu boleh diklasifikasi sebagai pembantaian yang tidak berperikemanusiaan.
Daripada 5 orang warga Amerika yang ditembak mati oleh askar-askar British dalam “Pembantaian Boston” itu, adanya seorang warga bukan berkulit putih yang bernama Crispus Attucks. Crispus Attucks ialah seorang berketurunan campuran darah Afrika dan orang asal Amerika suku kaum Wampanoag. Dia ialah seorang bekas hamba yang lahir di Framingham, Jajahan Teluk Massachusetts, dan pernah bekerja sebagai kelasi, pemburu ikan paus serta pekerja pelabuhan. Walaupun Christopher Seider, seorang budak berumur 11 tahun daripada keluarga imigran Jerman yang miskin, ditembak mati oleh pegawai kastam di Boston kira-kira dua minggu lebih awal daripada “Pembantaian Boston”, Crispus Attucks masih diingati ramai orang sebagai warga Amerika pertama yang terbunuh dalam Revolusi Amerika.
Pada bulan April 1770, Parlimen British membatalkan semua duti yang dikenakan oleh Akta-akta Townshend kecuali duti ke atas teh.
Pada 14 April 1772, di pekan Weare, New Hamsphire, sekumpulan pembalak menyerang dan memukul pegawai penguatkuasa British yang menangkap salah seorang pembalak sehari sebelum itu kerana melanggar undang-undang British yang melarang penebangan pokok berdiameter lebih daripada 12 inci di situ. Pada bulan Jun 1772, sekumpulan orang yang dipimpin oleh John Brown dan Abraham Whipple membakar sebuah kapal Tentera Laut Diraja British yang menguatkuasakan Akta Pelayaran di kawasan perairan sekitar Rhode Island.
Samuel Adams bersama rakan-rakannya menubuhkan “Jawatankuasa Surat-menyurat” di Boston, Massachusetts, pada tahun 1772 untuk menghubungkan golongan Patriot di seluruh Tiga Belas Jajahan dan membantu dalam menyelaraskan usaha menentang kerajaan British. Jawatankuasa Surat-menyurat turut ditubuhkan di jajahan-jajahan yang lain. Jawatankuasa Surat-menyurat di setiap jajahan ini memainkan peranan kepimpinan yang penting dalam penentangan terhadap kerajaan British di peringkat kawasan masing-masing.
Parlimen British meluluskan Akta Teh pada bulan Mei 1773 yang membolehkan Syarikat Hindia Timur British yang bergelut dengan masalah kewangan pada masa itu untuk menjual teh secara langsung kepada jajahan-jajahan British di Amerika Utara dengan harga yang lebih rendah daripada teh yang diseludup ke dalam jajahan-jajahan British di Amerika Utara tanpa membayar cukai. Selain membolehkan monopoli perdagangan teh oleh Syarikat Hindia Timur British, tindakan penggubalan Akta Teh juga berniat untuk memaksa golongan peniaga di tanah jajahan supaya membeli teh daripada Syarikat Hindia Timur British yang sudah dibayar duti Townshend, maka secara tersiratnya bersetuju dengan hak Parlimen British untuk mengutip cukai dari tanah jajahan. Pihak pemerintah British bukan sahaja memonopoli perdagangan teh di tanah jajahan, malah memaksa penduduk-penduduk di tanah jajahan untuk membayar cukai secara tidak langsung.
Akta Teh ditentang oleh mereka yang membantah cukai yang dikenakan oleh Parlimen British dan juga golongan pedagang yang menyeludup teh. Aksi-aksi protes massa tercetus lagi di Tiga Belas Jajahan, dengan para demonstran menggesa golongan pedagang supaya jangan membawa masuk teh yang sudah dibayar cukai kepada kerajaan British.
Pada 16 Disember 1773, kira-kira 100 orang golongan Patriot yang dipimpin oleh Samuel Adams dan menyamar sebagai orang asal, menaiki kapal-kapal milik Syarikat Hindia Timur British yang berlabuh di Pelabuhan Boston, dan membuang peti-peti yang diisi dengan teh ke dalam laut. Peristiwa ini dikenali sebagai “Jamuan Teh Boston”.
Sebagai reaksi kepada tindakan protes seperti “Jamuan Teh Boston”, kerajaan British memperkenalkan 4 buah undang-undang pada tahun 1774 yang dikenali sebagai “Akta-akta Paksaan”: “Akta Kerajaan Massachusetts” yang mengubah piagam diraja Massachusetts dan menyekat persidangan perbandaran; “Akta Pentadbiran Keadilan” yang mengarahkan semua askar British yang sepatutnya dibicarakan di tanah jajahan dihadap ke Britain; “Akta Pelabuhan Boston” yang menutup Pelabuhan Boston sehingga pihak British dibayar pampasan untuk semua kerugian dalam “Jamuan Teh Boston”; “Akta Penempatan Tentera” yang membenarkan gabenor lantikan Mahkota British untuk menempatkan tentera British di dalam rumah kediaman warga awam tanpa kebenaran daripada pemilik rumah.
Reaksi golongan Patriot di Massachusetts pada masa itu ialah mengemukakan “Resolusi Suffolk” dan menubuhkan sebuah kerajaan bayangan yang dikenali sebagai “Kongres Provinsi” untuk menggantikan kerajaan yang sedia ada. Golongan Patriot di Massachusetts juga memulakan latihan militia di luar kawasan bandar Boston yang diduduki oleh tentera British pada masa itu. “Kuasa tetapi bukannya keadilan, balas dendam tetapi bukannya kebijaksanaan Britain Raya, yang dahulunya pernah menganiayai, mendera dan membuang negeri ibu bapa kita yang diburunya itu dari pantai negara asal mereka, kini memburu kita, anak-anak mereka yang tidak bersalah, dengan keganasan yang tidak henti-henti,” begitu tulisnya Resolusi Suffolk yang menyeru perkara-perkara seperti: memboikot barangan import dari Britain; menolak “Akta Kerajaan Massachusetts” dan “Akta Pelabuhan Boston”; menuntut peletakan jawatan pegawai-pegawai yang dilantik melalui “Akta Kerajaan Massachusetts”; menolak untuk membayar cukai sehingga “Akta Kerajaan Massachusetts” dibatalkan; menyokong kerajaan kolonial yang bebas daripada kekuasaan Mahkota British sehingga “Akta-akta Paksaan” dimansuhkan; menyeru setiap jajahan untuk menubuhkan militia sendiri.
Pada bulan September 1774, persidangan Kongres Kontinental Pertama, atau Kongres Benua Pertama, mula diadakan di Philadelphia, ibu kota Provinsi Pennsylvania. Perwakilan dari Tiga Belas Jajahan kecuali Georgia hadir ke Kongres ini. Mereka yang hadir ke Kongres Kontinental Pertama itu, rata-rata merupakan golongan pemilik harta yang agak kaya. Mereka dapat mencapai status sosial itu dalam struktur ekonomi-politik Empayar British dan tidak mempunyai keinginan terdesak untuk menggulingkannya. Jika diberi pilihan, sudah pasti mereka lebih cenderung untuk berurusan seperti biasa. Namun, itu bukan lagi pilihan pada waktu Kongres Kontinental Pertama bersidang, sentimen ketidakpuasan hati masyarakat di Tiga Belas Jajahan terhadap pemerintahan British sudah sampai ke takat didih.
Kongres Kontinental Pertama memutuskan untuk melakukan tindakan boikot terhadap semua barangan buatan British, dan menguatkuasakan keputusan itu melalui jawatankuasa-jawatankuasa tempatan baharu yang diberi kuasa oleh Kongres ini. Golongan Patriot yang bersatu untuk menentang British juga mula menyelaraskan usaha perjuangan melalui kumpulan militia yang sudah wujud di setiap jajahan. Kumpulan-kumpulan militia ini kebanyakannya mempunyai pengalaman pertempuran semasa “Perang Perancis-Indian”. Ini merupakan kali pertama golongan Patriot di Tiga Belas Jajahan bersatu untuk menentang kerajaan British. Percanggahan antara kelas-kelas sosial yang berbeza dalam kalangan golongan Patriot diketepikan buat sementara waktu untuk menghadapi musuh yang lebih besar, iaitu pihak berkuasa British.
Kongres Kontinental dikuasai oleh golongan tuan tanah besar dan golongan pedagang kaya. Begitu juga kebanyakan jawatankuasa tempatan pada awalnya. Perjuangan revolusioner memerlukan tindakan massa yang mendukung tuntutan-tuntutan radikal. Golongan borjuis yang memiliki banyak harta mempunyai banyak ketakutan, kerana perjuangan yang terlalu radikal dan di luar kawalan mereka boleh menjejaskan kepentingan mereka. Walaupun tidak berpuas hati dengan pemerintahan British, banyak orang dalam kalangan golongan elit borjuis tanah jajahan masih terikat dengan sistem ekonomi yang sedia ada dan mengaut keuntungan daripadanya. Mereka juga takut bahawa rakyat biasa yang bangkit melawan kekuasaan politik itu mungkin akan terdorong untuk mengungkit persoalan mengenai susunan masyarakat secara keseluruhan. Namun, tanpa tindakan massa daripada golongan menengah dan golongan bawahan, revolusi tidak akan menuju ke mana-mana. Pergolakan revolusioner di Tiga Belas Jajahan yang pada asalnya “revolusi golongan elit” memberi laluan kepada “revolusi kelas menengah” tidak lama kemudian.
Golongan rakyat biasa, daripada kelas menengah dan bawahan, yang berorganisasi dalam jawatankuasa-jawatankuasa tempatan, bermobilisasi untuk pelbagai aksi bantahan dan kemudiannya menjadi anggota tentera revolusioner, merupakan kunci kepada kejayaan Revolusi Amerika.
Dengan tindakan massa dari bawah yang menggerakkan perjuangan menentang pemerintahan British ke arah revolusi, Kongres Kontinental perlu membenarkan pembentukan jentera negara baharu yang mampu mengambil alih kuasa. Setiap bandar dan pekan di Tiga Belas Jajahan kini perlu membuat pilihan, sama ada terus menyokong pihak berkuasa British atau jawatankuasa-jawatankuasa boikot tempatan yang diberi kuasa oleh Kongres Kontinental. Ini mewujudkan situasi “dwikuasa”, dengan dua pihak berkuasa bersaing untuk mendapatkan sokongan rakyat. Setiap orang perlu mengambil pendirian dalam memilih pihak berkuasa mana satu yang akan dipatuhinya.
Tembakan pertama dan perisytiharan kemerdekaan
Pada bulan Februari 1775, Raja George III mengisytihar Massachusetts berada dalam keadaan pemberontakan, dan mengarahkan tentera British yang ditempatkan di situ untuk merampas senjata golongan pemberontak serta menangkap pemimpin-pemimpin pemberontakan. Tindakan ini mencetuskan Pertempuran Lexington dan Concord di jajahan Massachusetts pada 19 April 1775 di mana tembakan pertama untuk Perang Revolusi Amerika dilepaskan.
Pada masa itu, askar-askar British membunuh 8 orang militia tempatan Massachusetts dan mencederakan 10 orang lagi ketika mereka dalam perjalanan untuk merampas senjata yang disimpan di pekan Concord. Apabila mereka sampai di Concord, senjata yang dicari oleh mereka telah dialihkan. Kumpulan militia Massachusetts melancarkan serangan terhadap tentera British dan berjaya memaksa mereka berundur balik ke bandar Boston.Golongan Patriot Massachusetts kemudiannya mengumpulkan militia seramai 15,000 orang untuk mengepung Boston yang diduduki oleh 6,500 orang askar British pada masa itu. Pertempuran Lexington dan Concord menandakan permulaan “Perang Revolusi Amerika” (1775-1783) yang juga dikenali sebagai “Perang Kemerdekaan Amerika”.
Pada 23 Mac 1775, semasa Konvensyen Virginia Kedua yang diadakan di Gereja St, John, Richmond, Virginia, demi menggesa perwakilan konvensyen supaya menyokong resolusi untuk mengerahkan militia Virginia dalam perjuangan menentang kerajaan British, Patrick Henry, seorang aktivis politik yang berasal dari Virginia, berkata dengan penuh semangat, “Berikan aku kebebasan, atau berikan aku kematian!” (Give me liberty, or give me death!)
Kongres Kontinental Kedua mula bersidang pada 10 Mei 1775 di Philadelphia. Kongres Kontinental Kedua yang dianggotai oleh perwakilan dari kesemua Tiga Belas Jajahan itu berfungsi secara de facto sebagai kerajaan persekutuan Tiga Belas Jajahan yang berperang dengan kerajaan British.
Pada 14 Jun 1775, Kongres Kontinental Kedua meluluskan resolusi untuk menubuhkan “Angkatan Tentera Kontinental”, dan melantik George Washington, seorang jeneral tentera yang berasal dari Jajahan Virginia dan pernah terlibat dalam Perang Perancis-Indian, sebagai Ketua Komander Angkatan Tentera Kontinental.
Kongres Kontinental Kedua juga meluluskan “Petisyen Dahan Zaitun” pada 5 Julai 1775 sebagai cubaan terakhir untuk mengelakkan peperangan menyeluruh antara Tiga Belas Jajahan dan Britain. Namun, Raja George III enggan menerima petisyen itu, malah mengeluarkan “Proklamasi Pemberontakan” pada 23 Ogos 1775 yang mengisytihar bahawa Tiga Belas Jajahan berada dalam keadaan “pemberontakan secara terbuka dan diakui”.
Berikutan Pertempuran Bukit Bunker pada 17 Jun 1775 apabila tentera British menawan semula Charlestown di Massachusetts tetapi dengan angka pengorbanan yang besar, golongan Patriot menguasai hampir semua kawasan di luar lingkungan bandar Boston. Sejak itu, golongan Patriot di setiap wilayah dalam Tiga Belas Jajahan menumbangkan kerajaan yang sedia ada, menutup mahkamah dan mengusir keluar pegawai-pegawai kolonial British. Mereka mengadakan konvensyen dan menubuhkan badan perundangan sendiri yang wujud di luar parameter undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan British. Perlembagaan baharu dirangka di setiap jajahan untuk menggantikan piagam diraja di situ, dengan mengisytihar bahawa wilayah itu ialah “negeri” (state) dan bukan lagi “jajahan”. Pada 5 Januari 1776, New Hamphire menjadi negeri pertama yang meratifikasikan perlembagaan negerinya.
Kekuasaan politik kelas pemerintahan lama tidak akan lenyap begitu sahaja. Kelas pemerintah lama sering bergantung pada tabiat mental rakyat biasa yang wujud bergenerasi lamanya untuk mengekalkan “kesetiaan” rakyat terhadap pemerintahannya. Pihak pemerintah British di Tiga Belas Jajahan juga dapat berkuasa dengan aturan sebegitu. Untuk memecahkan tabiat mental lama dan “kesetiaan” yang ditanam dalam minda rakyat itu, sesebuah perjuangan yang revolusioner memerlukan dua perkara penting: aksi massa dan propaganda massa. Aksi massa yang dilakukan semasa Revolusi Amerika melibatkan tindakan boikot, perarakan, tekanan terhadap mereka yang enggan memboikot British, pembakaran patung pegawai tinggi lantikan British, menyerbu bangunan kerajaan dan sebagainya. Propaganda massa pula melibatkan usaha mencabar dan mematahkan hujahan-hujahan yang menyokong cara pemikiran lama. Lebih 400 jenis risalah dikeluarkan oleh golongan Patriot pada tahun 1776 sahaja, di samping tulisan-tulisan dalam suratkhabar dan majalah. Namun, sebuah risalah yang mempunyai 47 muka surat dan ditulis oleh seorang imigran baharu dari England, memainkan peranan yang penentu dalam perjuangan revolusioner Patriot Amerika.
Thomas Paine, seorang ahli falsafah Zaman Pencerahan dari England yang hanya berpindah ke Tiga Belas Jajahan pada tahun 1774, menulis sebuah risalah yang bertajuk “Common Sense” dan diterbitkan pada bulan Januari 1776. “Masyarakat dihasilkan oleh kehendak kita, dan kerajaan dihasilkan oleh kejahatan kita; yang terdahulu itu mendorong kebahagiaan kita secara positif dengan menyatukan kasih sayang kita; yang kemudian itu mendorong kebahagiaan secara negatif dengan menyekat perbuatan jahat kita. Yang satunya menggalakkan interaksi, yang satu lagi mewujudkan perbezaan. Yang pertama itu ialah penaung, yang terakhir itu penghukum,” begitu tulisnya Thomas Paine. “Masyarakat dalam setiap keadaan adalah rahmat, tetapi kerajaan walaupun dalam keadaan terbaiknya hanyalah kejahatan yang perlu; dalam keadaan paling teruknya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima langsung.”
“Wahai kamu yang kasihi umat manusia! Kamu yang bukan sahaja berani menentang kezaliman, tetapi juga berani menentang Penzalim, bangkitlah!” Thomas Paine menyeru kepada warga Amerika di Tiga Belas Jajahan. “Setiap tempat di dunia lama penuh dengan penindasan. Kebebasan telah diburu di seluruh dunia. Asia dan Afrika telah lama mengusirnya. Eropah menganggapnya seperti orang asing, dan England telah memberikan amaran kepadanya untuk pergi dari situ. Oh! Terimalah pelarian, dan bersedia tepat pada masanya sebuah tempat perlindungan untuk umat manusia.”
“Common Sense” telah dicetak dalam puluhan ribu salinan dan dibaca secara meluas dalam kalangan golongan Patriot Amerika. Boleh dikatakan bahawa semua orang yang celik huruf di Tiga Belas Jajahan pada masa itu pernah membaca atau sekurang-kurangnya mengetahui tentang risalah “Common Sense”. Risalah ini menjadi pemangkin ideologi kepada seruan untuk kemerdekaan Tiga Belas Jajahan di Amerika Utara daripada Britain.
Pada bulan Mei 1776, pemimpin-pemimpin golongan Patriot di Virginia, seperti George Mason dan James Madison, merangka sebuah dokumen yang dikenali sebagai “Perisytiharan Hak Virginia” untuk mengisytiharkan bahawa “semua manusia adalah sama-sama bebas dan merdeka secara semula jadi” dan mempunyai hak asasi secara semula jadi, termasuk hak untuk memperbaharui, mengubah atau memansuhkan kerajaan yang didapati tidak sesuai lagi untuk mentadbir.
Pada bulan Jun 1776, Kongres Kontinental Kedua melantik sebuah Jawatankuasa 5-orang, yang terdiri daripada John Adams, Benjamin Franklin, Thomas Jefferson, Robert Livingston dan Roger Sherman, untuk merangka sebuah dokumen yang menerangkan tentang sebab-sebab Tiga Belas Jajahan hendak mencapai kemerdekaan daripada pemerintahan British.
Pada 2 Julai 1776, Kongres Kontinental Kedua meluluskan “Resolusi untuk Kemerdekaan” yang dibawa oleh Richard Henry Lee, seorang ahli politik yang berasal daripada keluarga Lee yang merupakan tuan tanah besar di Jajahan Virginia. Resolusi itu menyatakan bahawa Tiga Belas Jajahan, yang pada masa itu dinamakan sebagai “Jajahan-jajahan Bersatu”, ialah “Negeri-negeri yang bebas dan merdeka” serta berpisah daripada Empayar British.
Pada 4 Julai 1776, 56 orang perwakilan yang menyertai Kongres Kontinental Kedua secara sebulat suara meluluskan “Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat”. 56 orang perwakilan ini termasuk: John Adams, John Hancock dan Samuel Adams dari Massachusetts; Benjamin Franklin yang mewakili Pennsylvania; Thomas Jefferson dari Virginia; Stephen Hopkins dari Rhode Island; dan sebagainya.
Perisytiharan ini mengenal pasti penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan sebagai “satu bangsa” (one people), menyenaraikan sebanyak 27 rungutan daripada penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan mengenai kezaliman pemerintahan Raja Britain yang mencabuli hak serta kebebasan warga Amerika, dan menyatakan hasrat tiga belas buah Negeri Amerika untuk memutuskan hubungan politik mereka dengan Britain.
“Dalam proses pembangunan hal ehwal manusia, apabila ia perlu untuk sebuah bangsa membubarkan hubungan politik dengan sebuah bangsa lain, dan mengambil tempat dalam kalangan kuasa-kuasa dunia dengan kedudukan yang berasingan dan sama rata, seperti yang diberikan hak kepada mereka oleh Undang-undang Semula Jadi dan Tuhan Semula Jadi, penghormatan yang sewajar terhadap pendapat manusia mengkehendaki bahawa mereka harus mengisytihar sebab-sebab yang mendorong mereka untuk berpisah,” begitu tulisnya Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang menegaskan kebenaran bahawa “semua manusia dicipta sama rata” dan “mempunyai hak-hak yang semula jadi dan tidak boleh dipisahkan, termasuk hak untuk terus hidup, kebebasan, dan mencari kebahagiaan”.
“Untuk melindungi matlamat-matlamat ini, kerajaan ditubuhkan dalam kalangan manusia, memperoleh kuasa adil mereka daripada persetujuan oleh mereka yang diperintah; bahawa apabila mana-mana bentuk kerajaan akan merosakkan matlamat-matlamat ini, adalah hak rakyat untuk mengubah atau memansuhkannya, dan untuk menubuhkan kerajaan baharu,” tegas kata Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat. “Jajahan-jajahan bersatu ini kini dan sepatutnya menjadi Negeri-negeri yang Bebas dan Merdeka, dibebaskan daripada semua Kesetiaan terhadap Mahkota British, dan semua hubungan politik dengan Negara Britain Raya, adalah dan sepatutnya dibubarkan sepenuhnya.”
Dalam draf Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang ditulis oleh Thomas Jefferson pada bulan Jun 1776, dia menggunakan istilah “Negeri-negeri Bersatu Amerika” (United States of America) untuk mewakili Tiga Belas Jajahan yang sudah dipanggil sebagai “Jajahan-jajahan Bersatu” pada ketika itu, dan versi rasmi yang digunakan untuk memuktamadkan perisytiharan kemerdekaan dikenali sebagai “Perisytiharan sebulan suara tiga belas buah Negeri-negeri Amerika yang bersatu”. Pada 9 September 1776, Kongres Kontinental Kedua menerima pakai “Negeri-negeri Bersatu Amerika” (atau apa yang dikenali dalam Bahasa Melayu sebagai “Amerika Syarikat”) sebagai nama baharu untuk negara baharu yang sedang memperjuangkan kemerdekaan itu.
Perang Revolusi Amerika
Percanggahan antara golongan pemerintah negara imperialis yang hendak menguasai kepentingan ekonomi-politik di tanah jajahan dan golongan elit borjuis di tanah jajahan yang ingin memajukan kepentingan ekonomi-politik mereka dengan sokongan daripada massa kelas-kelas menengah serta bawahan yang memperjuangkan pembebasan diri daripada penindasan, menjadi batu api utama yang mencetuskan Revolusi Amerika dan berkembang menjadi perang berskala besar.
Golongan elit peneroka kolonial berusaha untuk menumbangkan pemerintahan British di Amerika Utara, bukannya semata-mata untuk merealisasikan aspirasi demokratik, keadilan, kesamarataan dan pembebasan sebenar, tetapi bertujuan utama untuk menebus kebebasan ekonomi dan kuasa politik daripada tangan golongan pemerintah yang duduk jauh di negara asal mereka merentasi Lautan Atlantik. Golongan kapitalis kolonial di Amerika Utara bangkit untuk menentang dasar-dasar merkantilisme British yang menyekat mereka daripada terus berkembang; sementara itu, kelas pemerintah British pula mahu terus memajukan kepentingan Empayar British dengan mengenakan cukai dan kawalan perdagangan terhadap tanah jajahan di Amerika Utara. Perang Revolusi Amerika berkisar pada konflik ekonomi-politik antara dua kumpulan elit berkuasa di dua tempat berlainan yang mempunyai hubungan kolonial yang tidak seimbang di dalam sebuah negara kapitalis yang imperialis. Namun begitu, golongan elit peneroka kolonial yang menerajui kerajaan baharu Amerika Syarikat tidak mungkin mencapai kejayaan muktamad dalam peperangan menentang British tanpa sokongan mantap dan pengorbanan besar daripada massa rakyat yang meluas.
Perang Revolusi Amerika bukannya sekadar perjuangan bersenjata oleh negeri-negeri yang bersekutu dalam Amerika Syarikat untuk melawan tentera British, tetapi juga perang saudara antara penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan yang dipecahkan kepada golongan Patriot dan golongan Loyalis. Golongan Patriot ialah mereka yang menyokong kemerdekaan Amerika Syarikat daripada pemerintahan British, sementara golongan Loyalis ialah mereka yang masih setia pada pemerintahan British di Tiga Belas Jajahan.
Oleh sebab kebanyakan golongan peneroka kolonial di Amerika Utara merupakan keturunan warga British yang berhijrah sejak abad ke-17, Perang Revolusi Amerika juga boleh dianggap sebagai lanjutan Perang Saudara Inggeris di benua Amerika lebih seabad kemudian. Golongan Patriot juga dikenali sebagai “Whig”, iaitu nama yang digunakan oleh Parti Whig di Britain yang berfahaman liberal dan berpendirian kritikal terhadap institusi monarki; sementara golongan Loyalis pula menggelar diri mereka sebagai “Tory” yang serupa dengan Parti Tory di Britain yang berfahaman konservatif dan setia raja.
Ringkasan perbandingan dua pihak utama yang berperang dalam Perang Revolusi Amerika:
Pihak yang berperang | “Jajahan Bersatu” / Amerika Syarikat | Britain Raya |
Golongan peneroka kolonial yang berperang | Patriot | Loyalis |
Nama samaran | “Whig” | “Tory” |
Pendirian politik | Tolak pemerintahan British | Setia pada Mahkota British |
Ideologi asas | Republikanisme | Monarkisme |
Komposisi penyokong mengikut wilayah | Kebanyakan golongan peneroka di Jajahan-jajahan New England, Virginia dan sebahagian besar Pennsylvania | Kebanyakan golongan peneroka di New York, Georgia, Carolina Utara dan Carolina Selatan |
Komposisi penyokong mengikut kelas sosial | Kebanyakan peneroka kolonial daripada kelas menengah dan kelas bawahan, tukang, petani, pedagang, pemilik tanah kecil, tetapi dipimpin oleh golongan pedagang dan golongan pemilik harta yang kaya | Tuan tanah yang lebih kaya, pegawai lantikan British, paderi Anglikan, imigran British yang baharu |
Angkatan tentera | Angkatan Tentera Kontinental, militia setiap negeri | Tentera Darat British, Tentera Laut Diraja British, militia Loyalis |
Sokongan sekutu luar | Perancis, Republik Belanda, Sepanyol | Tentera upahan dari Jerman |
Sekutu masyarakat orang asal | Sesetengah suku kaum yang berdagang dengan golongan peneroka kolonial (Oneida, Mohican, Tuscarora, Chickasaw…) | Kebanyakan suku kaum yang khuatir terhadap peneroka kolonial yang akan merampas tanah mereka (Onondaga, Cherokee, Odawa, Seneka…) |
Sekutu golongan hamba | Kurang, kecuali golongan Amerika Afrika yang mempunyai harapan bahawa akan mendapat lebih banyak kesamarataan hak sekiranya golongan Patriot menang | Banyak, kerana golongan Amerika Afrika yang dijanjikan kebebasan daripada perhambaan oleh golongan Loyalis |
Pemimpin utama | Benjamin Franklin (1706-1790),Samuel Adams (1722-1803), George Washington (1732-1799),Robert Morris (1734-1806),John Adams (1735-1826), John Hancock (1737-1793), Nathanael Greene (1742-1786),Thomas Jefferson (1743-1826),John Jay (1745-1829),James Madison (1752-1836),Alexander Hamilton (1757-1804) | George Germain (1716-1785),Thomas Cage (1718-1787),William Howe (1729-1814),Henry Clinton (1730-1795),William Franklin (1730-1813),Charles Cornwallis (1738-1805),John Johnson (1741-1830) |
Dari tahun 1775 hingga 1783, berlakunya lebih 230 pertempuran antara golongan Patriot bersama sekutu mereka dan tentera British yang disokong oleh golongan Loyalis. Terdapat 5 medan perang utama:
- Medan Perang Utara: Terdiri daripada 4 bahagian, iaitu Utara (utara Negeri New York), Timur (wilayah New England), Banjaran Hudson (kawasan Sungai Hudson di utara Bandar New York) dan Kanada.
- Medan Perang Tengah: Pennsylvania, Bandar New York, New Jersey, Delaware dan Maryland.
- Medan Perang Selatan: Virginia, Carolina Utara, Carolina Selatan dan Georgia.
- Medan Perang Barat: Wilayah di sebelah barat Banjaran Appalachia.
- Medan Perang Tentera Laut: Meliputi aktiviti tentera laut golongan Patriot dan tentera sekutu luar (Perancis, Sepanyol dan Belanda) di Lautan Atlantik.
Tentera British dan golongan Loyalis mencapai kemenangan dalam pertempuran penting seperti Pertempuran Long Island di New York (27 Ogos 1776), Pertempuran Brandywine di Pennsylvania (11 September 1777), Pertempuran Germantown (4 Oktober 1777), Pertempuran Savannah Kedua di Georgia (September-Oktober 1779), Pengepungan Charleston di Carolina Selatan (Mac-Mei 1780), Pertempuran Camden di Carolina Selatan (16 Ogos 1780), Pertempuran Bangunan Daerah Guilford di Carolina Utara (19 Mac 1781) dan sebagainya.
Sementara itu, pertempuran penting yang menyaksikan kemenangan pihak Patriot Amerika Syarikat termasuk Pengepungan Boston (April 1775 – Mac 1776), Pertempuran Trenton di New Jersey (26 Disember 1776), Pertempuran Princeton di New Jersey (3 Januari 1777), Pertempuran Saratoga di Utara Negeri New York (Jun-Oktober 1777), Pertempuran Gunung Kings di Carolina Selatan (7 Oktober 1780), Pertempuran Cowpens di Carolina Selatan (17 Januari 1781) dan Pertempuran Yorktown di Virginia (September-Oktober 1781).
Pertempuran Saratoga pada tahun 1777 merupakan titik perubahan penting dalam kempen peperangan golongan Patriot menentang tentera British dan meyakinkan kerajaan Perancis untuk menyokong golongan Patriot dengan menandatangani “Perjanjian Perikatan Perancis-Amerika” pada tahun 1778. Bantuan ketenteraan dan kewangan daripada kerajaan Perancis memainkan peranan penting dalam memberi kelebihan kepada golongan Patriot Amerika di medan perang. Sokongan Perancis kepada Amerika Syarikat sememangnya bukan kerana Raja Perancis menyokong idea-idea revolusioner yang dibawa oleh golongan Patriot, tetapi semata-mata untuk kepentingan geopolitiknya dalam melemahkan kekuasaan British yang pernah menewaskannya dalam Perang Tujuh Tahun kira-kira 15 tahun sebelum itu.
Peperangan boleh dikatakan sampai penghujungnya pada tahun 1781 apabila tentera British yang dipimpin oleh Jeneral Charles Cornwallis menyerah kalah kepada tentera Amerika Syarikat dan Perancis selepas dikepung selama 3 minggu di Yorktown, Virginia. Walaupun ditewaskan di Amerika Utara, Charles Cornwallis itu kemudiannya dilantik oleh kerajaan British sebagai Gabenor Ireland dan Gebenor-Jeneral Bengal yang termasuk Pulau Pinang pada masa itu, di mana Fort Cornwallis yang didirikan di situ dinamakan atas namanya.
Dianggarkan sebanyak 25,000 hingga 70,000 orang pejuang Patriot Amerika mati terkorban sepanjang Perang Revousi Amerika, sementara kira-kira 15,000 orang mati daripada pihak British.
Selepas tentera British ditewaskan di medan perang oleh golongan Patriot Amerika pada tahun 1781, ia mengambil masa dua tahun lagi untuk kerajaan British mengiktiraf kemerdekaan Amerika Syarikat melalui Perjanjian Paris yang ditandatangani pada 3 September 1783. Perjanjian Paris bukan sahaja mengiktiraf Amerika Syarikat sebagai sebuah negara yang bebas, berdaulat dan merdeka, malah juga melukis semula sempadan di Amerika Utara dengan Britain kehilangan banyak tanah jajahannya yang penting di benua itu. Perjanjian itu menetapkan sempadan antara Amerika Utara British dan Amerika Syarikat, dengan kerajaan British masih menguasai wilayah di sebelah utara Amerika Syarikat yang kemudiannya dikenali sebagai Kanada. Amerika Syarikat menguasai semua tanah di sebelah timur Sungai Mississippi, sebelah utara Florida yang dikuasai oleh Sepanyol dan sebelah selatan Kanada, dengan keluasan tanahnya adalah lebih dua kali ganda berbanding keluasan asal Tiga Belas Jajahan sebelum perang. Kemenangan ketenteraan dan politik bagi Amerika Syarikat ini juga membuka jalan kepada negara kapitalis baharu itu untuk memperluaskan wilayahnya ke arah barat Amerika Utara ke dalam wilayah orang asal yang masih belum diduduki oleh golongan peneroka kolonial.
Republik borjuis berperlembagaan
Semasa Perang Revolusi Amerika, Kongres Kontinental Kedua mewujudkan sebuah perjanjian antara 13 buah negeri yang bersekutu dalam Amerika Syarikat yang dikenali sebagai “Perkara-perkara Konfederasi dan Kesatuan Kekal” pada tahun 1777 dan mula berkuat kuasa pada tahun 1781 selepas kesemua 13 buah negeri meratifikasinya. Kongres Konfederasi yang baharu ditubuhkan pada tahun 1781 di bawah perjanjian ini untuk menggantikan Kongres Kontinental Kedua. Negara Amerika Syarikat yang baharu ditubuhkan pada masa itu mengamalkan sistem pemerintahan konfederasi dengan 13 buah negeri di Pantai Timur Amerika Utara yang berpisah daripada kerajaan British itu membentuk sebuah perikatan politik yang agak longgar dan kerajaan pusat yang agak lemah dari segi kekuasaannya.
Susunan politik di Amerika Syarikat dalam tempoh yang dikenali sebagai “Zaman Konfederasi” pada tahun 1780-an, bertujuan untuk melindungi golongan pemerintah borjuis baharu di negeri masing-masing yang mempunyai kepentingan yang berbeza, tetapi tidak memanfaatkan usaha membina sebuah pemerintahan bersepadu yang dapat menjamin kelangsungan negara baharu dalam melindungi kepentingan golongan borjuis Amerika Syarikat secara menyeluruh. Lebih-lebih lagi, kerajaan Amerika Syarikat perlu membayar hutang yang bertimbunan kerana perang, menghadapi ancaman peperangan baharu dan menangani konflik dalaman yang timbul daripada percanggahan antara kelas-kelas sosial yang berlainan.
Oleh itu, wujudnya aliran nasionalis dalam kalangan golongan Patriot yang mendukung pembentukan sebuah kerajaan nasional yang lebih kuat di bawah sistem persekutuan antara negeri-negeri yang bergabung dalam Amerika Syarikat untuk memperkukuhkan kuasa pemerintahan kelas borjuis baharu dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi kapitalis. Golongan yang dikenali sebagai “Federalis” ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin perjuangan kemerdekaan Amerika Syarikat seperti Alexander Hamilton dan James Madison. George Washington, jeneral tentera yang utama dalam Perang Revolusi Amerika, juga menyokong pandangan golongan Federalis untuk sebuah kerajaan nasional yang kuat.
Atas desakan daripada golongan Federalis untuk mewujudkan sebuah kerangka baharu untuk kerajaan Amerika Syarikat, Kongres Konfederasi menganjurkan Konvensyen Perlembagaan di Philadelphia pada tahun 1787. Perwakilan yang hadir ke Konvensyen Philadelphia dipilih oleh badan perundangan daripada negeri-negeri yang bergabung dalam Amerika Syarikat, kecuali Rhode Island yang enggan menghantar wakil kerana menolak idea untuk sebuah kerajaan pusat yang terlalu berkuasa. Konvensyen Philadelphia 1787 meluluskan “Perlembagaan Amerika Syarikat” untuk mewujudkan sebuah republik dengan sebuah kerajaan nasional yang lebih kuat di bawah kerangka persekutuan, yang merangkumi sebuah badan eksekutif dalam sistem semak-dan-imbang bersama badan perundangan dwidewan dan badan kehakiman.
Selepas perdebatan hebat di dalam negeri masing-masing antara golongan Federalis (yang menyokong kerajaan pusat yang lebih kuat) dan golongan anti-Federalis (yang membantah kerajaan persekutuan yang berkuasa lebih besar), Perlembagaan Amerika Syarikat diratifikasi pada tahun 1788 dan berkuat kuasa mulai tahun 1789. Rhode Island menjadi negeri terakhir daripada 13 buah negeri asal Amerika Syarikat yang meratifikasi Perlembagaan Amerika Syarikat pada tahun 1790.
Dengan Perlembagaan Amerika Syarikat disahkan, Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat yang pertama diadakan pada bulan Disember 1788 hingga Januari 1789, dengan George Washington dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama. Hanya 6 daripada 11 buah negeri yang layak untuk memilih Presiden pada masa itu mengadakan pemilihan wakil ke dalam badan pemilih dengan cara pengundian popular. Kurang daripada 1.8% penduduk bebas di Amerika Syarikat pada masa itu mengundi dalam Pilihan Raya Presiden yang pertama itu. Pada masa itu , terdapat kira-kira 3 juta orang penduduk di Amerika Syarikat, antaranya 2.4 juta orang penduduk bebas dan 600,000 orang hamba. Di negeri-negeri yang benar-benar mengadakan pilihan raya untuk memilih perwakilan ke dalam badan pemilih yang akan memilih Presiden pun, wujudnya banyak sekatan hak mengundi dengan hanya mereka yang memiliki harta boleh mengundi. Sistem pengundian dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat bukannya pemilihan langsung, tetapi pemilihan secara tidak langsung melalui “badan pemilih” (electoral college) atau “kumpulan pemilih”, sesuatu yang masih diamalkan sehingga hari ini. Golongan hamba dan golongan wanita tidak mempunyai hak mengundi pada masa itu. Perjuangan demi perjuangan untuk hak mengundi sejagat telah dilakukan di Amerika Syarikat dari abad ke-19 hingga abad ke-20.
Untuk menangani bantahan yang dibangkitkan oleh golongan Anti-Federalis semasa perbahasan sengit pada tahun 1787-1788 tentang pengesahan Perlembagaan Amerika Syarikat, James Madison, wakil dari Virginia dalam Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, menerajui usaha penggubalan undang-undang dalam Kongres Amerika Syarikat (iaitu badan perundangan persekutuan yang mempunyai dua dewan: Senat dan Dewan Perwakilan) yang mencadangkan pindaan kepada Perlembagaan Amerika Syarikat sebagai menambahkan jaminan kepada kebebasan dan hak individu serta batasan yang jelas terhadap kuasa kerajaan persekutuan. Sepuluh pindaan perlembagaan yang pertama diratifikasi pada tahun 1791 dan dikenali sebagai “Perakuan Hak Amerika Syarikat” (United States Bill of Rights).
Perlembagaan Amerika Syarikat yang mula berkuat kuasa pada tahun 1789 merupakan hasil kompromi antara kepentingan golongan tuan hamba di negeri-negeri Selatan dan kepentingan golongan borjuis komersial di negeri-negeri Utara. Dengan tujuan menyatukan 13 buah negeri ke dalam sebuah pasaran bebas yang besar untuk perdagangan kapitalis, perwakilan dari negeri-negeri Utara ingin mewujudkan undang-undang yang mengawal selia aktiviti perdagangan antara negeri-negeri, maka perlu mewujudkan kerangka perundangan supaya undang-undang boleh diluluskan hanya dengan sokongan majoriti dalam Kongres. Perwakilan dari negeri-negeri Selatan bersetuju untuk berkompromi dengan syarat perdagangan hamba masih dibenarkan di negara “demokratik” yang baharu itu untuk 20 tahun berikutnya sebelum ia diharamkan.
Teks Perlembagaan Amerika Syarikat bermula dengan “Kami, rakyat Amerika Syarikat…”, namun “rakyat” semasa Perlembagaan Amerika Syarikat itu dirangka, dibahaskan, diluluskan dan mula berkuat kuasa, amat jelasnya tidak termasuk orang asal Amerika, hamba berkulit hitam dan wanita yang langsung tiada hak mengundi pada masa itu. Hak semula jadi yang termasuk “hidup, kebebasan dan mencari kebahagiaan” yang disebut dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat 1776 tidak dimasukkan ke dalam Perlembagaan Amerika Syarikat. Hak individu yang dimasukkan ke dalam Pindaan Kelima Perlembagaan Amerika Syarikat yang diratifikasi pada tahun 1791 berkenaan hak perlembagaan berkaitan dengan prosedur jenayah, telah bertukar menjadi “hidup, kebebasan atau harta”. Ini jelas menunjukkan bahawa ia ialah dokumen undang-undang untuk melindungi golongan pemilik harta, dengan mereka yang memiliki lebih banyak harta akan dilindungi lebih banyak berbanding mereka yang memiliki sedikit atau langsung tiadanya harta.
Ideologi di sebalik Revolusi Amerika
Revolusi Amerika tercetus kerana ketidakpuasan hati dan kemarahan penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan terhadap pemerintahan British. Namun, sekadar perasaan marah tidak mencukupi untuk menggerakkan perjuangan yang lebih besar sehingga membawa perubahan yang ketara kepada masyarakat dan menjayakan proses revolusi. Setiap revolusi yang hebat, sudah tentu adanya idea-idea yang menjadi pemangkin dan pendorongnya.
Revolusi Amerika merupakan hasil pergolakan daripada percanggahan kelas, pertembungan kepentingan yang berbeza antara kelas-kelas sosial yang berlainan dan pembangunan ekonomi kapitalis di Tiga Belas Jajahan. Walaupun semuanya didirikan oleh golongan peneroka kolonial, oleh sebab setiap jajahan dalam Tiga Belas Jajahan itu mempunyai sejarah pembentukan dan perkembangan masyarakat setempat yang agak berbeza, maka wujudnya pandangan-pandangan politik yang berbeza dan berubah-ubah mengikut keadaan semasa.
Setiap revolusi yang berjaya memerlukan sokongan massa yang cukup besar. Kadang-kadang massa rakyat boleh bangkit secara spontan dan menggerakkan perjuangan ke hadapan. Namun, momentum gerakan massa tidak dapat dikekalkan tanpa sokongan ideologi yang mantap. Untuk menghasut dan memobilisasi massa supaya meneruskan perjuangan revolusioner, perlunya ideologi yang radikal dan dapat dikaitkan dengan sentimen rakyat yang mendahagakan perubahan. Dalam revolusi borjuis, ideologi yang radikal sering diterima dan digunakan oleh golongan elit yang menerajui revolusi itu untuk meraih sokongan rakyat yang lebih besar sambil memajukan kepentingan kelas borjuis yang sedang membangun itu.
Kebanyakan idea-idea radikal yang mempengaruhi golongan peneroka kolonial dan penduduk-penduduk di Tiga Belas Jajahan bukannya berasal dari benua Amerika Utara itu sendiri, tetapi dari rantau asal di mana datangnya golongan peneroka kolonial itu. Salah satu pengaruh yang ketara ialah perkembangan idea-idea baharu daripada gerakan intelek di Eropah yang dikenali sebagai “Zaman Pencerahan” (Age of Enlightenment) pada abad ke-17 dan ke-18.
Perkembangan idea-idea baharu “Zaman Pencerahan” pula berkaitan dengan pembangunan sosioekonomi yang semakin pesat di Eropah pada masa itu yang turut menyediakan asas kepada pembangunan pesat pengetahuan sains dan teknologi yang dikenali sebagai “Revolusi Saintifik”. Zaman Pencerahan telah menampilkan idea-idea yang berkisar pada nilai-nilai ilmu yang diperolehi melalui pendekatan rasionalisme (falsafah yang mengutamakan akal penaakulan sebagai sumber pengetahuan) dan empirisisme (falsafah yang menekankan bahawa semua pengetahuan diperolehi melalui pengalaman). Idea-idea politik seperti undang-undang semula jadi, hak semula jadi, kebebasan, toleransi, persaudaraan sesama manusia, kerajaan berperlembagaan, persetujuan daripada golongan yang diperintah, hak harta, sekularisme (pandangan bahawa kuasa negara dan agama harus dipisahkan), dan sebagainya, semakin disebarkan dalam kalangan golongan intelek yang mencari jalan untuk mengubah sistem yang lama, di samping mendapat sokongan daripada golongan borjuis baharu yang ingin melindungi kepentingan kelas mereka daripada terus diancam oleh susunan masyarakat lama yang masih bersifat feudal.
Konsep seperti hak semula jadi (natural rights), iaitu hak asasi manusia yang dinikmati semua orang sejak dilahirkan, sejagat dan tidak dapat dipisahkan serta tidak boleh dipengaruhi oleh undang-undang buatan manusia, sudah pun dapat ditemui dalam idea “hak lahir bebas” yang dikemukakan oleh John Lilburne (1614-1657) yang menerajui gerakan Leveller semasa Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an. John Locke (1632-1704), ahli falsafah dari England yang digelar sebagai “Bapa Liberalisme” mengemukakan dalam tulisannya “The Second Treatise of Government” (1689) bahawa kerajaan secara moralnya wajib melindungi hak semula jadi rakyat, iaitu kehidupan, kebebasan dan hak memiliki harta. John Lock berhujah bahawa hak asasi itu tidak boleh dilepaskan dalam kontrak sosial.
John Locke yang tidak pernah menjejak kakinya di bumi Amerika Utara, telah menjadi seorang pembekal senjata ideologi yang utama kepada Revolusi Amerika, kerana tulisannya berkaitan teori-teori mengenai hak semula jadi dan kontrak sosial. Dalam “The Second Treatise of Government” juga, John Locke menyatakan bahawa semua orang “secara semula jadi adalah bebas, sama rata dan merdeka”, “tiada seorang pun boleh dirampas hartanya” dan “tiada seorang pun boleh tertakluk kepada kuasa politik orang lain tanpa persetujuannya sendiri” (iaitu kerajaan perlu mendapatkan persetujuan daripada rakyat yang diperintahnya untuk terus memerintah). Ternyata idea-idea ini telah ditulis ke dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat. Idea-idea ini bersesuaian dengan keperluan golongan borjuis komersial baharu untuk melindungi kepentingan pemilikan harta persendirian mereka daripada ancaman sistem feudal dan hubungan kolonial yang tidak setara.
Tulisan John Locke mengenai kontrak sosial juga mempengaruhi pandangan banyak golongan Partiot Amerika bahawa rakyat mempunyai hak untuk menjatuhkan kerajaan mereka ataupun hak untuk revolusi jika kerajaan itu melanggar hak semula jadi rakyatnya.
“De l’esprit des loix” (Semangat Undang-undang, 1748) yang ditulis oleh Monstesquieu, seorang ahli falsafah Zaman Pencerahan dari Perancis, yang membincangkan pemisahan kuasa politik antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman untuk mewujudkan mekanisme semak-dan-imbang, telah mempengaruhi golongan Patriot Amerika dalam merangka perlembagaan negeri masing-masing dan Perlembagaan Amerika Syarikat.
Oleh sebab negara Amerika Syarikat didirikan dan dipertahankan daripada ancaman melalui peperangan, seperti ungkapan “kuasa politik lahir daripada laras senapang” yang dikatakan oleh Mao Zedong kira-kira satu setengah abad selepas Revolusi Amerika, golongan Patriot Amerika telah mempertahankan “hak untuk menyimpan dan membawa senjata” melalui Pindaan Kedua Perlembagaan Amerika Syarikat yang membentuk sebahagian daripada Perakuan Hak Amerika Syarikat. Ini menunjukkan bahawa Amerika Syarikat tidak dapat dipisahkan daripada keganasan sejak awalnya. Ia didirikan melalui keganasan perang, dikekalkan melalui jentera keganasan negara seperti polis serta penjara, dan dimajukan kekuasaannya melalui keganasan terhadap masyarakat orang asal Amerika Utara serta penduduk-penduduk di merata tempat di seluruh dunia melalui kuasa ketenteraan imperialis. Malah sehingga hari ini, masyarakat domestik Amerika Syarikat masih penuh dengan keganasan senjata api yang sering meragut nyawa orang awam, sementara kesengsaraan rakyat di luar Amerika Syarikat kerana keganasan imperialis Amerika Syarikat masih berterusan.
Fahaman republikanisme dalam golongan Patriot Amerika pula mendapat banyak ilham daripada Parti Whig di Britain. Parti Whig yang ditubuhkan pada tahun 1670-an, merupakan penyambung warisan politik golongan penyokong Parlimen dalam Revolusi Inggeris 1640-an. Parti Whig menentang pemerintahan raja berkuasa mutlak dan memainkan peranan utama dalam “Revolusi Kegemilangan” pada tahun 1688 untuk mewujudkan sistem raja berperlembagaan di England. Terdapat aliran pemikiran yang lebih radikal dalam Parti Whig yang hendak mengembalikan bentuk pemerintahan republik di Britain seperti yang pernah wujud semasa Komanwel England (1649-1660), dan ia mempengaruhi golongan Patriot Amerika di Tiga Belas Jajahan untuk membangunkan fahaman republikanisme mereka sendiri. Antara tokoh pemimpin Patriot Amerika yang tegas memperjuangkan idea-idea republikan ialah Samuel Adams, Benjamin Franklin, Thomas Jefferson, John Adams, Patrick Henry, George Washington, James Madison dan Alexander Hamilton.
Menurut John Adams, seorang pemimpin Patriot yang berasal dari Massachusetts yang merupakan Naib Presiden Amerika Syarikat yang pertama (1789-1797) dan Presiden Amerika Syarikat yang kedua (1797-1801), pernah mengatakan pada tahun 1787 bahawa “takrifan republik yang benar dan satu-satunya benar” ialah “sebuah kerajaan, di mana semua orang, yang kaya dan yang miskin, pembesar dan subjek, pegawai dan rakyat, tuan dan hamba, warganegara yang pertama dan yang terakhir, adalah sama-sama tertakluk pada undang-undang”. Namun, republik borjuis yang diilhamkan oleh elit pemimpin Patriot Amerika seperti John Adams masih menegakkan masyarakat kelas yang berasaskan sistem pemilikan persendirian ke atas harta (terutamanya sumber-sumber pengeluaran ekonomi) dan pasaran bebas kapitalis, di mana walaupun secara teorinya semua orang menikmati kebebasan dan kesamarataan, dalam realitinya hanya orang yang berharta dapat menikmati kebebasan dan kesamarataan itu. “Harta tidak boleh dijamin melainkan seseorang itu bebas untuk memperoleh, menggunakan atau melepaskannya, mengikut budi bicaranya,” begitu katanya John Adams. “Harta dan kebebasan semua orang, bukan sekadar majoriti, seharusnya dilindungi; kerana rakyat, atau orang awam, merangkumi lebih daripada majoriti, ia merangkumi semua dan setiap individu; dan harta setiap orang warganegara ialah sebahagian daripada harta awam, kerana setiap warganegara ialah sebahagian daripada orang awam, bangsa, atau komuniti. Oleh itu, harta setiap orang mempunyai syer dalam kerajaan, dan adalah lebih berkuasa berbanding mana-mana warganegara atau parti warganegara; ia hanya ditadbir urus oleh undang-undang. Walau bagaimanapun, terdapat satu makna yang khusus dalam perkataan republik, komanwel dan negara popular yang digunakan oleh penulis-penulis Inggeris dan Perancis; di mana bagi mereka bermaksud demokrasi, atau lebih tepat lagi demokrasi berperwakilan; sebuah ‘kerajaan dalam satu pusat, dan pusat itu ialah negara’.”
Secara teorinya, liberalisme dan republikanisme yang dibawa oleh golongan Patriotik yang memperjuangkan kemerdekaan Amerika Syarikat menekankan unsur-unsur asas seperti kebebasan bersuara, kebebasan beragama, kebebasan akhbar, kebebasan berhimpun, persetujuan daripada orang yang diperintah, pemisahan gereja dengan negara, hak untuk memberontak, hak untuk bersenjata, kedaulatan rakyat, penyingkiran golongan bangsawan yang mempunyai hak keistimewaan dan penentangan terhadap penyelewengan golongan berkuasa. Namun, realitinya jauh lebih kompleks, lebih-lebih lagi dengan kewujudan dan pengekalan masyarakat kelas dalam sistem kapitalis, kebebasan individu yang diagung-agungkan itu hanya hak keistimewaan bagi mereka yang menguasai lebih banyak sumber ekonomi berbanding mereka yang terpaksa menjual tenaga kerja untuk terus hidup. Kebebasan sebenar tidak akan tercapai selagi masih wujudnya ketidaksamarataan dan ketidakadilan yang ketara dari segi pengagihan kekayaan masyarakat.
Rakyat biasa daripada kelas menengah dan bawahan di Tiga Belas Jajahan yang terlibat secara aktif dalam perjuangan menentang pihak pemerintah British sehingga membolehkan kemerdekaan Amerika Syarikat, diperkasakan oleh peranan mereka dalam perjuangan revolusioner itu. Mereka didorong untuk memperjuangkan “kebebasan” dan “hak yang tidak boleh dipisahkan” seperti yang termaktub dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat. Mereka memperjuangkan sebuah “ekonomi bermoral” di mana setiap orang memainkan peranan yang dihormati dan setiap orang melakukan kerja lebih untuk kebaikan bersama komuniti bukannya keuntungan diri sendiri. Mereka juga berjuang untuk sebuah demokrasi yang radikal di mana semua orang dapat bersuara dalam hal ehwal awam dan golongan miskin juga dapat mengundi seperti golongan kaya. Namun, apabila Perlembagaan Amerika Syarikat digubal pada tahun 1788, apa yang termaktub bukannya demokrasi radikal dan ekonomi bermoral, sebaliknya ialah pengesahan kuasa pemerintahan borjuis yang terdiri daripada golongan tuan tanah, pedagang dan pemilik bank yang kaya raya dengan hak pemilikan harta dan pasaran bebas mengatasi segalanya.
Asas ekonomi yang mendorong ideologi di sebalik Revolusi Amerika sudah pastinya tidak dapat dipisahkan daripada kapitalisme yang sedang membangun pesat merentasi Lautan Atlantik pada masa itu. Kapitalisme ialah sistem ekonomi yang berfungsi berasaskan logik pengumpulan modal. Ia mengkehendakkan kelas kapitalis itu, dari pemilik ladang besar yang menggunakan tenaga buruh hamba sehingga peniaga yang menjalankan perdagangan barangan merentasi sempadan negara, sentiasa memaksimumkan keuntungan, bukan sahaja untuk menjamin kehidupan mewah golongan kapitalis itu sendiri, tetapi untuk memastikan ekonomi kapitalis itu terus mengembang dan mengembang untuk keuntungan yang semakin banyak lagi… Oleh itu, kapitalisme memerlukan ideologi yang mendorong golongan pemodal untuk terus melabur (tidak kira dalam aktiviti ekonomi yang berguna atau langsung tidak berguna selagi ia boleh menjana keuntungan), memaksa golongan buruh untuk bekerja dengan “rajin” (walaupun dibayar upah yang kurang malah diperhambakan), dan memukau seluruh anggota masyarakat untuk mempercayai sepenuhnya bahawa ekonomi pasaran bebas di bawah kapitalisme boleh berfungsi sebagai “tangan ghaib” untuk menghasilkan kekayaan yang diperlukan oleh semua orang.
Dalam ekonomi kapitalis, semua perkara, termasuk manusia sendiri, diturunkan taraf kepada sekadar nilai mata wang dengan tanda harga di atasnya. Malah, masa juga tidak boleh dikecualikan, seperti yang dikatakan oleh salah seorang “Bapa Pengasas Amerika Syarikat” Benjamin Franklin pada tahun 1748, “Masa itu wang!” Adalah juga bukannya kebetulan bahawa Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang menyatakan hasrat golongan borjuis Amerika Syarikat untuk memperjuangkan kepentingan mereka itu dikemukakan pada tahun yang sama dengan penerbitan buku “The Wealth of Nations” (Kekayaan Negara-negara) yang ditulis oleh Adam Smith, seorang ahli ekonomi dari Scotland (Britain), mengenai idea-idea yang mendukung ekonomi kapitalis.
Nasib masyarakat orang asal dalam Revolusi Amerika
Revolusi Amerika ialah “perang saudara” antara golongan peneroka kolonial yang berasal dari Eropah dan golongan pemerintah di negara induk mereka di atas bumi yang diduduki oleh pelbagai suku kaum masyarakat orang asal Amerika Utara sejak beribu-ribu tahun dahulu sebelum kedatangan golongan peneroka kolonial Eropah.
Sesetengah suku kaum masyarakat orang asal Amerika Utara telah mengalami nasib kepupusan sebelum berlakunya Revolusi Amerika kerana keganasan yang dilakukan oleh golongan peneroka kolonial yang menceroboh ke dalam wilayah tradisional mereka, ataupun disebabkan oleh penyakit berjangkit yang dibawa masuk oleh golongan peneroka kolonial dari seberang Lautan Atlantik.
Apabila tercetusnya Perang Revolusi Amerika pada tahun 1770-an, kebanyakan suku kaum masyarakat orang asal Amerika yang tinggal di sebelah timur Sungai Mississippi diheret ke dalam peperangan itu. Suku-suku kaum masyarakat orang asal di situ berpecah dalam persoalan mengenai bagaimana merespon kepada peperangan antara golongan pendatang asing di bumi kampung halaman mereka.
Selepas tamatnya Perang Tujuh Tahun antara Britain dan Perancis, Raja George III dari Britain mengeluarkan Proklamasi Diraja 1763 yang menggariskan pembahagian dan pentadbiran wilayah-wilayah di Amerika Utara yang dirampas daripada Perancis. Dalam Proklamasi Diraja tersebut, kerajaan British menetapkan kawasan di sebelah barat Banjaran Appalachia sebagai “tanah rizab” orang asal, maka melarang golongan peneroka kolonial di Amerika Utara daripada menceroboh ke dalam wilayah orang asal di situ. Penetapan tanah rizab bagi masyarakat orang asal itu bukannya kerana kerajaan British itu sayang atau menghormati hak tanah adat masyarakat orang asal Amerika Utara, tetapi oleh sebab ia tidak mahu terlalu banyak gangguan daripada masyarakat orang asal. Wilayah penampan diwujudkan untuk mengurangkan permusuhan masyarakat orang asal terhadap kehadiran tentera British di Amerika Utara. Kerajaan British sedar bahawa ia akan memakan kos yang tinggi jika terus berperang dengan masyarakat orang asal di situ dan perkara itu tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada kepentingan kekuasaan imperialisnya dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, golongan peneroka kolonial tidak berfikir begitu. Mereka perlu memperluaskan wilayah ke arah barat Amerika Utara untuk mendapatkan lebih tanah bagi perladangan dan aktiviti ekonomi yang lain. Banyak golongan peneroka kolonial tidak mempedulikan sempadan yang ditetapkan oleh pihak British dan terus menceroboh ke dalam wilayah di bahagian barat, maka mencetuskan ketegangan dengan masyarakat orang asal di situ.
Oleh itu, selepas tercetusnya Perang Revolusi Amerika, tidak hairanlah kenapa hanya sedikit orang asal Amerika Utara yang menyokong perjuangan golongan Patriot. Kebanyakan suku kaum orang asal Amerika Utara melihat pemberontakan Tiga Belas Jajahan itu sebagai ancaman yang lebih lanjut kepada wilayah mereka, maka mereka berpihak pada kerajaan British. Ini tidak bermakna bahawa kemenangan pihak British akan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat orang asal Amerika Utara, hanya mungkin pencerobohan tanah dan keganasan yang bakal dihadapi kemudiannya tidak begitu teruk berbanding kemenangan golongan peneroka kolonial Amerika Syarikat yang tamakkan tanah.
Lebih-lebih lagi, salah satu rungutan terhadap Raja Britain yang disenaraikan dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat ialah Raja Britain itu cuba mencetuskan serangan daripada “orang-orang biadab Indian yang bengis” terhadap penduduk-penduduk di sempadan tanah jajahan.
Banyak suku kaum orang asal Amerika Utara menyertai pihak British untuk bertempur dengan golongan Patriot. Kira-kira 13,000 orang asal Amerika Utara bertempur bagi pihak British. Suku-suku kaum orang asal yang menyokong kerajaan British dalam Perang Revolusi Amerika berharap untuk menghalang perluasan petempatan peneroka kolonial yang berterusan ke dalam wilayah mereka.
Konfederasi Iroquois, sebuah persekutuan adat masyarakat orang asli di bahagian timur laut Amerika Utara, mengalami perpecahan kerana Perang Revolusi Amerika. Suku kaum Onondaga, Seneka dan Cayuga menyokong pihak British; suku kaum Tuscarora dan Oneida menyokong pihak Patriot Amerika; sementara anggota-anggota suku kaum Mohawk bertempur untuk kedua-dua pihak.
Suku-suku kaum yang mempunyai hubungan perdagangan dengan golongan peneroka kolonial lebih cenderung untuk berpihak pada golongan Patriot. Ada juga sesetengah suku kaum cuba mengambil pendirian neutral kerana tidak berbaloi untuk mereka terlibat dalam “perang orang putih” dan juga wujudnya kebimbangan tentang tindak balas daripada mana-mana pihak yang saling berperang itu jika mereka menyokong salah satu pihak.
Dalam Perjanjian Paris 1783, kerajaan British melepaskan wilayah di antara bahagian selatan dari Tasik-tasik Besar, timur dari Sungai Mississippi dan utara dari Florida kepada Amerika Syarikat. Ini membawa malapetaka kepada masyarakat orang asal di situ. Suku-suku kaum orang asal di situ membentuk Konfederasi Barat Laut untuk menentang perluasan petempatan peneroka Amerika Syarikat ke dalam wilayah mereka. Ini mencetuskan “Perang Indian Barat Laut” (1785-1795) yang menjadi sebahagian daripada pembersihan etnik terhadap masyarakat orang asal Amerika Utara yang sudah bermula sejak tahun 1609.
Revolusi Amerika memang berjaya memerdekakan Amerika Syarikat daripada pemerintahan British, tetapi mengundang genosid dan penderitaan kepada masyarakat orang asal di Amerika Utara. Ini ialah salah satu ironi dan kontradiksi yang terbesar dalam proses pembentukan sebuah republik borjuis “demokratik”.
Nasib hamba berkulit hitam dalam Revolusi Amerika
Golongan hamba berkulit hitam dari Afrika telah dibawa masuk ke Amerika Utara sejak golongan peneroka kolonial Eropah mendirikan petempatan mereka di situ pada awal abad ke-17. Semasa tercetusnya Perang Revolusi Amerika, dianggarkan bahawa jumlah hamba berkulit hitam di Tiga Belas Jajahan sudah mencecah 500,000 orang, dengan kebanyakannya bekerja di ladang-ladang di Jajahan-jajahan Selatan. Seperti masyarakat orang asal di Amerika Utara, golongan hamba berkulit hitam juga berpecah kerana “perang orang putih” antara golongan peneroka kolonial dan kerajaan negara induk mereka.
Apabila tercetusnya Perang Revolusi Amerika, puluhan ribu hamba melarikan diri dari ladang-ladang di Jajahan-jajahan Selatan. Ini telah menjejaskan aktiviti pertanian di situ yang bergantung pada tenaga buruh hamba. Pada bulan November 1775, Gabenor Virginia lantikan kerajaan British mengeluarkan proklamasi yang menjanjikan kebebasan kepada hamba-hamba milikan golongan Patriot yang bersedia untuk bertempur bagi pihak British. Dalam erti kata lain, pihak British menghasut golongan hamba yang dimiliki oleh golongan Patriot untuk memberontak terhadap tuan hamba mereka, tetapi bukan untuk golongan hamba yang dimiliki oleh golongan Royalis.
Tindakan pihak British menjanjikan kebebasan kepada golongan hamba itu dapat mengisi kekurangan tenaga manusia dalam tenteranya buat sementara, tetapi golongan Loyalis berkulit putih itu mempunyai prejudis yang mendalam terhadap hamba berkulit hitam, maka kebanyakan rekrut daripada hamba berkulit hitam tidak diberikan peranan untuk bertempur di medan perang. Motif golongan Loyalis hanyalah untuk mengurangkan tenaga kerja di ladang-ladang milikan golongan Patriot, bukannya menamatkan perhambaan.
Tentera British mengeluarkan Proklamasi Philipsburg pada bulan Jun 1779 untuk memanjangkan tawaran kebebasan kepada hamba-hamba milikan golongan Patriot di seluruh Tiga Belas Jajahan. Tentera British juga menubuhkan unit sementara yang dianggotai oleh golongan hamba berkulit hitam seperti “Rejimen Ethiopia Diraja”, “Black Pioneers” (Perintis Hitam) dan “Briged Hitam”. Dianggarkan kira-kira 25,000 hingga 50,000 orang hamba berkulit hitam berkhidmat untuk pihak British semasa Perang Revolusi Amerika.
Selepas tentera British menyerah kalah di Yorktown pada tahun 1781, George Washington daripada pihak Patriot Amerika menegaskan bahawa semua hamba yang melarikan diri itu harus “dipulangkan” kepada tuan hamba mereka, tetapi Charles Cornwallis daripada pihak British menolak untuk berbuat demikian. Pada tahun 1782-1783, pihak British memindahkan kira-kira 10,000 orang hamba berkulit hitam yang pernah berjuang di pihak Loyalis keluar dari Charleston, Savannah dan New York. Kira-kira 3,000 orang dipindahkan ke Novia Scotia yang terletak di British Amerika Utara. Yang lain dibawa ke Britain atau Kepulauan Hindia Barat di rantau Caribbean. Golongan tuan hamba Loyalis juga mengangkut kira-kira 15,000 orang hamba ke Jamaica dan Bahamas. Golongan hamba yang dibawa ke rantau Caribbean di bawah kawalan golongan tuan hamba Loyalis kebanyakannya masih kekal sebagai hamba sehingga Britain memansuhkan amalan perhambaan di tanah jajahannya pada tahun 1834.
Majoriti warga berkulit hitam yang bebas di Tiga Belas Jajahan (tetapi bilangannya agak kecil) berjuang untuk golongan Patriot. Penduduk di Tiga Belas Jajahan yang paling awal mati terkorban kerana Revolusi Amerika ialah seorang warga berkulit hitam, iaitu Crispus Attucks yang dibunuh dalam “Pembantaian Boston” pada tahun 1770.
Phillis Wheatley, seorang wanita bekas hamba yang berasal dari Afrika Barat yang menjadi pemuisi terkenal, pernah menulis puisi-puisi yang menyampaikan idea-idea Revolusi Amerika. Puisinya mendapat pujian daripada Benjamin Franklin dan George Washington, tetapi tidak diiktiraf oleh pemimpin-pemimpin Patriot yang mempunyai prejudis rasis yang mendalam terhadap warga berkulit hitam, seperti Thomas Jefferson. Dalam puisinya, Phillis Wheatley menyampaikan pandangannya bahawa Revolusi Amerika hanya benar-benar bermakna jika prinsip kesamarataan dan kebebasan yang diperjuangkan dalam revolusi ini juga terpakai untuk semua golongan hamba.
Ramai warga berkulit hitam menyertai militia peringkat negeri dan Tentera Kontinental untuk berjuang bagi pihak Patriot. Warga berkulit hitam pada awalnya dilarang daripada menganggotai Tentera Kontinental sehingga George Washington meyakinkan Kongres Kontinental Kedua pada bulan Januari 1778 untuk menerima warga kulit hitam ke dalam Tentera Kontinental. Unit tentera dan militia yang dianggotai oleh warga Amerika Afrika termasuk Rejimen Rhode Island Pertama dan “Bucks of America” (Rusa Amerika) daripada Militia Massachusetts. Kira-kira 5,000 orang warga berkulit hitam berkhidmat dalam Angkatan Tentera Kontinental sementara kira-kira 4,000 orang berkhidmat dalam unit-unit militia Patriot peringkat negeri. Selepas tamatnya Perang Revolusi Amerika, hanya minoriti kecil daripada golongan warga berkulit hitam yang bebas menerima geran tanah atau pencen kerajaan, manakala yang lain terpaksa kembali bekerja untuk tuan hamba mereka, walaupun golongan Patriot menjanjikan kebebasan untuk mereka.
Ungkapan “semua manusia dicipta sama rata” dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat belum menjadi kenyataan apabila Perlembagaan Amerika Syarikat digubal dan dikuatkuasakan. Ia mengambil masa berdekad-dekad lamanya, dengan melibatkan gerakan penghapusan hamba yang hebat, termasuk satu lagi peperangan yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 600,000 orang pada tahun 1861-1865, untuk menghapuskan perhambaan. Pindaan Ketiga Belas Perlembagaan Amerika Syarikat yang diluluskan oleh Kongres Amerika Syarikat pada 31 Januari 1865 dan diratifikasi oleh 27 daripada 36 buah negeri di Amerika Syarikat ketika itu pada 6 Disember 1865 menghapuskan perhambaan, kecuali sebagai hukuman untuk kesalahan jenayah.
Walaupun perhambaan dihapuskan secara rasminya pada abad ke-19 selepas Perang Saudara Amerika (1861-1865), diskriminasi malah pengasingan terhadap warga berkulit hitam masih berterusan sehingga abad ke-20 dan ia memerlukan gerakan masyarakat yang hebat untuk melawannya. Rasisme terhadap warga Amerika Afrika dalam pelbagai bentuk yang diwarisi daripada “Bapa-bapa Pengasas Amerika Syarikat” masih berterusan sehingga abad ke-21, dan perjuangan untuk “semua manusia dicipta sama rata” masih berterusan.
Peranan wanita dalam Revolusi Amerika
Apabila golongan Patriot menulis “semua manusia dicipta sama rata” (all men are created equal) dalam Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat, mungkin bukan niat mereka untuk mengatakan bahawa kesamarataan itu hanya untuk golongan lelaki (men), tetapi hakikatnya golongan wanita yang membentuk separuh daripada “warga bebas” di Amerika Syarikat, tidak kelihatan dan tidak diwakili langsung dalam negara borjuis demokratik baharu itu. Hanya adanya “Bapa-bapa Pengasas Amerika Syarikat”, di mana perginya “Ibu-ibu Pengasas Amerika Syarikat”?
Seperti masyarakat patriarki yang lain, golongan wanita hanya memainkan “peranan sekunder” yang sering dilupakan atau diabaikan dalam Revolusi Amerika yang didominasi oleh golongan lelaki dan diterajui oleh “Bapa-bapa Pengasas Amerika Syarikat”.
Walau bagaimanapun, wujudnya kumpulan yang dikenali sebagai “Daughters of Liberty” (Anak-anak Perempuan Kebebasan) yang ditubuhkan pada tahun 1765 untuk menentang Akta Setem dan kemudiannya Akta-akta Townshend. Mereka aktif dalam gerakan memboikot barangan British.
Apabila tercetusnya Perang Revolusi Amerika, golongan wanita Patriot menyokong usaha perang melalui peranan gender tradisional mereka, seperti terus menjaga rumah tangga semasa suami mereka bertempur di medan perang. Sementara itu, ramai wanita yang tidak dapat meneruskan kehidupan ekonomi rumah tangga semasa perang menjadi “pengikut kem” (camp follower) yang menyertai Angkatan Tentera Kontinental untuk melakukan kerja-kerja seperti memasak, membasuh, merawat orang yang sakit, menjahit baju dan sebagainya. Kadang-kadang adanya wanita yang menjadi pengintip untuk pihak tentera Patriot, dan sangat jarang tetapi adanya juga wanita yang bertempur di medan perang dengan beberapa orang pernah menyamar diri mereka sebagai lelaki.
Deborah Sampson yang berasal dari Massachusetts, menyertai Tentera Kontinental dengan menyamar dirinya sebagai seorang lelaki, dan bertempur di medan perang sehingga dia diberhentikan daripada tentera apabila gendernya terdedah ketika dia mendapat rawatan kerana sakit demam. Sally St. Clair dari Carolina Selatan, juga menyamar sebagai lelaki untuk menyertai Tentera Kontinental dan gendernya hanya didedahkan apabila dia terbunuh dalam pertempuran dengan pihak British di Savannah pada tahun 1782.
Golongan wanita di Amerika Syarikat tidak mempunyai hak mengundi selepas Revolusi Amerika. Malah kebanyakan negeri yang berjaya membebaskan diri daripada pemerintahan British dalam Revolusi Amerika itu menggubal perlembagaan negeri yang menafikan hak wanita untuk mengundi secara jelasnya. Hanya melalui perjuangan menuntut hak mengundi wanita yang diterajui oleh golongan wanita sendiri mulai abad ke-19, barulah golongan wanita di Amerika Syarikat dapat mula mengundi pada abad ke-20. Cadangan untuk pindaan Perlembagaan Amerika Syarikat supaya memberikan hak mengundi kepada wanita dikemukakan kepada Kongres Amerika Syarikat pada tahun 1878, tetapi ia mengambil masa 41 tahun untuk Kongres meluluskan pindaan itu pada tahun 1919. Pindaan Kesembilan Belas Perlembagaan Amerika Syarikat yang disahkan pada 18 Ogos 1920 melarang Amerika Syarikat dan negeri-negeri yang bergabung dalamnya daripada menafikan hak mengundi bagi warganegara Amerika Syarikat berdasarkan jantina, maka bermakna mengiktiraf hak wanita untuk mengundi.
“Empayar Kebebasan”?
Revolusi Amerika ialah satu revolusi borjuis yang agak berjaya. Ia berjaya menubuhkan sebuah negara kapitalis yang baharu dan bukannya pengganti kepada mana-mana negara lama yang sedia wujud di Eropah ataupun di benua Amerika Utara yang dijajah oleh kuasa besar Eropah.
Ekonomi kapitalis ialah sejenis ekonomi yang sentiasa perlu mengembang untuk membolehkan pengumpulan modal itu dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan. Pengembangan ekonomi kapitalis dalam sesebuah negara kapitalis memerlukan perluasan kuasa pemerintahan kapitalis di negara itu untuk memperoleh lebih banyak sumber pengeluaran dan mengembangkan pasaran untuk barangan keluaran kapitalis. Ini menjadikan kapitalisme sebuah sistem sosioekonomi yang mempunyai sifat perluasan yang paling hebat dalam sejarah masyarakat manusia di atas muka bumi ini. Logik pengembangan kapitalisme sudah pasti akan membawa kepada imperialisme.
Negara Britain yang muncul sebagai negara kapitalis yang maju kerana ia mengembangkan kekuasaan ekonomi-politiknya melalui cara imperialisme kolonial, termasuk penjajahan di Amerika Utara. Negara Amerika Syarikat yang lahir daripada proses golongan peneroka kolonial membebaskan diri daripada cengkaman kekuasaan British turut mengambil jalan pembangunan ekonomi kapitalis seperti Britain. Ia perlukan lebih banyak bahan mentah, tanah dan tenaga buruh yang dapat dieksploitasi dengan kos rendah, di samping pasaran untuk menjual barangan yang dihasilkan daripada eksploitasi terhadap alam dan tenaga buruh itu. Oleh itu, sejak ditubuhkan lagi, Amerika Syarikat yang mengamalkan ekonomi kapitalis itu sudah menunjukkan sifat imperialisnya.
Jika kita lihat pada peta wilayah yang dikuasai oleh Amerika Syarikat pada hari ini, “Tiga Belas Jajahan”, ataupun 13 buah negeri yang mengasaskan Amerika Syarikat itu, hanya membentuk kira-kira 9.5% daripada seluruh keluasan negara Amerika Syarikat hari ini. Selepas Perjanjian Paris 1783 ditandatangani, Amerika Syarikat sudah menguasai keluasan wilayah dua kali ganda lebih besar berbanding tahun 1776. Jelasnya ia masih tidak mencukupi untuk golongan pemerintah baharu di republik borjuis baharu itu. Amerika Syarikat terus memperluaskan wilayahnya sehingga keluasan hari ini melalui cara-cara seperti pembelian tanah daripada kuasa besar lain, perampasan tanah ataupun pencerobohan tentera. Misalnya, Amerika Syarikat membeli sebahagian besar bahagian barat wilayah lembangan Sungai Mississippi (merangkumi 15 buah negeri di wilayah Barat Tengah dan Selatan Amerika Syarikat hari ini) melalui “Pembelian Louisiana” daripada Perancis pada tahun 1803; sebahagian besar wilayah di bahagian barat daya Amerika Syarikat hari ini dirampas daripada Mexico melalui peperangan pada tahun 1846-1848; negeri Alaska dibeli daripada Empayar Rusia pada tahun 1867. Perluasan wilayah Amerika Syarikat di Amerika Utara membawa malapetaka berbentuk genosid kepada masyarakat orang asal di situ.
Seperti kuasa imperialis Eropah lain, Amerika Syarikat juga melakukan penjajahan di seberang laut, terutamanya di rantau Caribbean dan Pasifik. Di Asia Pasifik, Amerika Syarikat pernah menjajah Filipina dari tahun 1898 hingga 1946. Kepulauan Hawaii di tengah-tengah Lautan Pasifik diduduki oleh Amerika Syarikat sejak tahun 1890-an dan dijadikan negeri yang ke-50 pada tahun 1959. Sehingga hari ini, Amerika Syarikat masih menjajah wilayah seperti Puerto Rico, Guam, Samoa Amerika dan Kepulauan Virgin Amerika Syarikat, di mana penduduk-penduduk di situ tiada hak untuk mengundi Presiden Amerika Syarikat.
Thomas Jefferson, seorang tokoh Patriot Amerika yang menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat kedua (1797-1801) dan Presiden Amerika Syarikat ketiga (1801-1809), mendukung kuat usaha perluasan kekuasaan Amerika Syarikat. Thomas Jefferson mengemukakan istilah “Empayar Kebebasan” (Empire of Liberty) untuk menggambarkan Amerika Syarikat pada tahun 1780 ketika Amerika Syarikat masih berperang untuk kemerdekaannya daripada sebuah empayar. Dalam sepucuk surat yang ditujukan kepada George Rogers Clark selaku ketua tentera Militia Virginia, Thomas Jefferson menulis, “Kita harus mengalihkan melalui negara kita sendiri satu cabang perdagangan yang telah dianggap oleh negara-negara Eropah sebagai perkara yang berbaloi untuk perjuangan dan pengorbanan yang paling penting, dan sekiranya perdamaian terjadi mengikut syarat-syarat yang telah dipertimbangkan oleh sesetengah kuasa, kita harus membentuk satu penghalang bagi kesatuan Amerika terhadap perluasan berbahaya wilayah Kanada British dan menambah kepada Empayar Kebebasan sebuah negara yang luas dan subur, dengan itu mengubah musuh yang berbahaya menjadi sahabat yang bernilai.”
Apa yang dimaksudkan oleh Thomas Jefferson dalam surat itu adalah dia melihat perluasan wilayah Amerika Syarikat sebagai satu cara untuk menangkis ancaman pengaruh British dan memperkuatkan kedudukan negara Amerika Syarikat sebagai sebuah kuasa besar di Amerika Utara, maka dapat memaksa Britain untuk mengubah pendiriannya daripada musuh kepada sekutu Amerika Syarikat. Inilah manipulasi geopolitik kuasa besar yang sering digunakan oleh negara-negara kuasa besar atau negara-negara yang bercita-cita menjadi kuasa besar sehingga hari ini. Oleh itu, Amerika Syarikat sudah mempunyai kecenderungan menjadi sebuah kuasa imperialis sebelum ia mencapai kemerdekaannya secara rasmi lagi.
Thomas Jefferson berpegang pada pandangan angkuh bahawa Amerika Syarikat mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan “kebebasan” di seluruh dunia. Penyebaran “kebebasan” itu melibatkan perluasan wilayah Amerika Syarikat ke bahagian barat Amerika Utara sehingga Pantai Baratnya, dan campur tangan ketenteraan di negara-negara asing yang bukan kuasa besar. Semasa Jefferson menjadi Presiden Amerika Syarikat, negara kapitalis yang bercita-cita menjadi imperialis itu berjaya melipatgandakan keluasan wilayahnya di Amerika Utara dengan pembelian Wilayah Louisiana daripada Perancis pada tahun 1803.
Dalam ucapan terakhirnya sebelum berundur daripada jawatan Presiden Amerika Syarikat pada tahun 1809, Jefferson dengan bangganya menyifatkan Amerika Syarikat sebagai “diamanahkan dengan takdir satu-satunya republik di dunia, satu-satunya monumen hak asasi manusia, dan satu-satunya tempat menyimpan api kebebasan dan pemerintahan sendiri”. (Nota: Pada masa itu, Perancis sudah pun melalui proses revolusi yang jauh lebih hebat dan radikal daripada Amerika Syarikat, tetapi kekuasaan negara itu jatuh dalam tangan pemerintahan kediktatoran tentera Maharaja Napoleon) Namun, sepanjang lebih dua abad kewujudan “Empayar Kebebasan” itu, bersama-sama dengan penyebaran “kebebasan” itu ialah penyebaran keganasan dan kezaliman, malah ada juga tempat dilanda genosid, termasuk genosid terhadap masyarakat orang asal di tanah air Amerika Syarikat sendiri.
Alexander Hamilton, seorang lagi “Bapa Pengasas” Amerika Syarikat yang menjadi Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat yang pertama (1789-1795), berkata pada tahun 1795 bahawa negara Amerika Syarikat bagaikan “embrio bagi sebuah empayar besar”. Malah, sebelum tercetusnya Revolusi Amerika lagi, Hamilton telah menjangkakan, “dalam tempoh 50 atau 60 tahun, Amerika tidak akan memerlukan perlindungan daripada Britain Raya. Dia pada masa itu akan dapat melindungi dirinya, di dalam dan di luar negara. Dia akan mempunyai banyak orang dan banyak kebendaan untuk menyediakan dan melengkapkan sebuah tentera laut yang hebat.”
Visi Thomas Jefferson dan Alexander Hamilton untuk Empayar Amerika Syarikat meliputi seluruh Hemisfera Barat. Hamilton juga merupakan salah seorang pemimpin Amerika Syarikat yang paling awal mendukung idea yang dikenali kemudian sebagai “Takdir yang Nyata” (Manifest Destiny). Pada tahun 1798, Hamilton menyeru untuk mengilhakkan semua wilayah di sebelah timur Sungai Mississippi, termasuk Florida yang dikuasai oleh Sepanyol pada masa itu.
James Monroe, seorang lagi “Bapa Pengasas” Amerika Syarikat yang merupakan Presiden Amerika Syarikat kelima (1817-1825), membangunkan dasar luar imperialis Amerika Syarikat yang dikenali sebagai “Doktrin Monroe”. Di bawah Doktrin Monroe, Amerika Syarikat menolak sebarang perluasan kuasa imperialis Eropah di Hemisfera Barat, kerana ia seharusnya dikuasai sepenuhnya oleh Amerika Syarikat. Doktrin Monroe ini menjadikan seluruh Amerika Latin di bawah lingkungan pengaruh kekuasaan Amerika Syarikat bagaikan “halaman belakang” rumah sendiri.
Menjelang penghujung abad ke-19, pada ketika kuasa-kuasa besar Eropah berlumba-lumba untuk memperluaskan empayar kolonial masing-masing di benua Afrika dan Asia, Amerika Syarikat sudah memperkukuhkan kekuasaan hegemoninya di seluruh Amerika Utara dengan wilayah yang dikuasainya secara langsung terbentang luas dari pesisiran Lautan Atlantik ke persisiran Lautan Pasifik, dari sempadan Kanada di utara hingga Teluk Mexico di selatan, malah seluruh Lautan Pasifik juga menjadi seperti kolam renang di tepi rumahnya. Tambahan pula dengan Revolusi Perindustrian di Amerika Syarikat, yang turut melibatkan pencurian teknologi dari Eropah, membolehkan Amerika Syarikat membangunkan ekonomi perindustrian yang mampu bersaing malah mengatasi ekonomi kapitalis di Eropah. Ini menyediakan asas kepada Amerika Syarikat untuk muncul sebagai sebuah kuasa imperialis global pada abad ke-20 sehingga hari ini.
Bumi kebebasan?
Setiap stanza dalam Lagu kebangsaan Amerika Syarikat yang bertajuk “Panji Bersinaran Bintang” (The Star-Spangled Banner) berakhir dengan baris ayat yang berbunyi “Bumi Kebebasan dan Kampung Halaman untuk Orang yang Berani” (the Land of the Free and the Home of the Brave). “Kebebasan” ialah teras kepada fahaman liberalisme dan juga idea asas perjuangan golongan Patriot Amerika untuk membebaskan Tiga Belas Jajahan daripada pemerintahan Empayar British. Namun, “kebebasan” itu boleh membawa makna yang berbeza untuk kelas-kelas sosial yang berlainan dalam masyarakat kelas.
Secara teorinya, kebebasan bermakna seseorang manusia bebas daripada sebarang bentuk perhambaan, pemaksaan, eksploitasi, penindasan, ketidakjaminan hidup, ketakutan, kezaliman, keganasan dan penderitaan, supaya dia dapat hidup secara bahagia dan bermaruah di samping dapat mengambil bahagian dalam kehidupan masyarakat tanpa sebarang sekatan dan kekangan. Kebebasan juga bermakna seseorang atau sesebuah kumpulan masyarakat yang anggotanya bergabung secara sukarela itu dapat menentukan nasib sendiri tanpa sebarang rintangan, ancaman atau campur tangan daripada pihak luar. Keadaan yang ideal untuk kebebasan itu tidak wujud dalam realiti masyarakat sepanjang sejarah ketamadunan masyarakat. Dalam sesebuah masyarakat kelas yang berasaskan pemilikan persendirian terhadap sumber-sumber pengeluaran, wujudnya perbezaan ketara dalam pengagihan kekayaan ekonomi dan kuasa politik. Adanya golongan yang kaya, dan adanya golongan miskin; adanya golongan yang memiliki banyak harta, adanya golongan yang memiliki sedikit harta, dan adanya golongan yang tidak memiliki apa-apa, malah adanya juga golongan yang tubuh badan atau tenaga buruhnya menjadi harta milikan orang lain; adanya golongan yang boleh hidup secara mewah tanpa melakukan apa-apa kerja yang bermakna, dan adanya golongan yang perlu melakukan kerja-kerja tetapi hidup dalam kesusahan…
Dari segi ekonomi, kebebasan bagi golongan borjuis, golongan pemodal dan golongan pemilik modal ialah “kebebasan” untuk mereka terus mengaut keuntungan yang membolehkan mereka mengumpul lebih banyak modal dan harta; kebebasan bagi golongan peneroka kolonial ialah “kebebasan” untuk mereka terus meneroka tanah baharu tanpa mempedulikan sama ada tanah itu sudah berpenghuni atau tidak; kebebasan bagi golongan pekerja ialah kebebasan daripada bentuk kerja yang bersifat eksploitasi; kebebasan bagi golongan hamba sudah pastinya ialah pembebasan daripada perburuhan paksaan yang mengikatkan mereka kepada golongan tuan tanah; kebebasan bagi masyarakat orang asal ialah wilayah yang diduduki oleh mereka bergenerasi lamanya itu bebas daripada ancaman dirampas sewenang-wenang… Jadi, kebebasan bagi golongan yang menindas adalah berbeza dengan kebebasan bagi golongan yang ditindas, kebebasan bagi kelas yang memerintah adalah berbeza dengan kebebasan yang dituntut oleh kelas yang perintah. Kebebasan masing-masing bagi dua kelas sosial yang bertentangan itu ialah dua perkara yang berbeza, malah saling bercanggah. Kebebasan bagi golongan yang berkuasa boleh bermakna penindasan dan penderitaan bagi golongan yang tidak berkuasa.
Persoalan kepada mana-mana revolusi yang memperjuangkan kebebasan ialah: kebebasan yang diperjuangkan itu sebenarnya untuk siapa? Bagaimana rupa bentuk kebebasan dan bagaimana mencapai kebebasan itu, amat bergantung pada motif, kaedah perjuangan dan hasil nyata yang diperoleh daripada perjuangan revolusioner itu.
Thomas Jefferson pernah menulis satu perenggan dalam draf Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang mengecam perdagangan hamba yang direstui oleh Raja England: “Dia telah melancarkan perang yang zalim terhadap sifat manusia itu sendiri, mencabuli hak yang paling suci untuk hidup dan kebebasan dalam orang-orang daripada bangsa yang jauh yang tidak pernah menyinggung perasaannya, menawan dan mengangkut mereka ke dalam perhambaan di satu lagi hemisfera, atau membawa kematian yang menyedihkan dalam pengangkutan mereka ke situ… bertekad untuk terus membuka sebuah pasaran di mana MANUSIA boleh dibeli dan dijual, dia telah menyalahgunakan kuasanya untuk menghalang setiap cubaan perundangan yang mengharamkan atau menyekat perdagangan yang keji ini.”
Walaupun Thomas Jefferson menyatakan kebenciannya terhadap perhambaan dan perdagangan hamba dalam draf Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang ditulisnya, pada hakikatnya Jefferson sendiri masih memiliki ratusan orang hamba yang bekerja di ladangnya dan menguruskan rumahnya sehingga dia menghembuskan nafas terakhirnya. Lebih-lebih lagi, Jefferson terkenal dengan sikap prejudis rasis yang mendalam terhadap warga berkulit hitam. Cakap tidak semestinya serupa bikin dalam dunia dan manusia yang penuh dengan kontradiksi. Logik di sebalik pandangan Jefferson yang tidak bersetuju dengan perhambaan ini adalah terdapat kebimbangan yang meningkat dalam kalangan golongan pemilik harta kaya di Virginia pada masa itu tentang peningkatan jumlah hamba berkulit hitam di situ boleh meningkatkan lagi ancaman pemberontakan hamba.
Perenggan yang ditulis oleh Jefferson mengenai pengecaman terhadap perhambaan ini akhirnya tidak dimasukkan versi muktamad Perisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang dipersetujui oleh perwakilan negeri yang hadir dalam Kongres Kontinental Kedua pada tahun 1776, kerana ramai dalam kalangan perwakilan ke Kongres itu yang mewakili kepentingan golongan tuan hamba tidak bersetuju dengan pernyataan sikap untuk menamatkan perdagangan hamba walaupun sekadar simbolik.
Selain Thomas Jefferson, “Bapa-bapa Pengasas” Amerika Syarikat yang merupakan tuan hamba termasuklah George Washington, John Hancock, James Madison, Patrick Henry (orang yang mengeluarkan kata-kata “Berikan aku kebebasan, atau berikan aku kematian!”, tetapi jelasnya bukan ditujukan kepada golongan hamba), Benjamin Franklin (namun dia lantang bersuara menentang perhambaan pada usia tuanya) dan John Jay (namun dia mengasaskan “Persatuan Pembebasan Hamba New York” pada tahun 1785). Penghapusan perhambaan di Amerika Syarikat perlu melalui satu lagi proses perjuangan hebat yang penuh dengan cabaran dan pengorbanan.
Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat telah menggariskan beberapa hak kebebasan asas yang harus dilindungi, iaitu kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan untuk petisyen dan kebebasan untuk beragama. Ia melarang Kongres Amerika Syarikat daripada menggubal undang-undang yang mewujudkan sebuah agama negara yang lebih tinggi tarafnya berbanding agama-agama lain dan menyekat amalan keagamaan mana-mana individu. Ia melarang Kongres daripada menyekat kebebasan akhbar atau hak untuk mana-mana individu bersuara secara bebas. Ia juga menjamin hak warganegara untuk berhimpun secara aman dan mengemukakan petisyen atau tuntutan kepada kerajaan.
“Kongres tidak boleh membuat undang-undang yang… menyekat kebebasan bersuara atau akhbar,” begitu tulisnya Pindaan Pertama Perlembagaan Amerika Syarikat yang diratifikasi pada tahun 1791. Namun, hanya 7 tahun kemudian, Kongres meluluskan satu akta yang jelas menyekat kebebasan bersuara. Akta Hasutan 1798 diluluskan pada ketika warga Ireland dan Perancis di Amerika Syarikat boleh dianggap sebagai golongan revolusioner yang berbahaya untuk pihak berkuasa Amerika Syarikat kerana mereka datang dari dua buah negara yang sedang dilanda gelombang revolusi yang hebat pada masa itu. Nampaknya Amerika Syarikat yang ditubuhkan melalui revolusi itu sangat takut pada golongan revolusioner dari negara-negara lain.
Akta Hasutan 1798 itu menjenayahkan sesiapa yang berkata atau menulis apa-apa yang dianggap “palsu, memfitnah dan berniat jahat” terhadap kerajaan, Kongres atau Presiden, dengan niat untuk memfitnah mereka, menjatuhkan nama baik mereka atau membangkitkan kebencian rakyat terhadap mereka. Akta Hasutan 1798 yang jelas melanggar Pindaan Pertama itu telah dikuatkuasakan selama 2 tahun. 10 orang rakyat Amerika Syarikat dihukum penjara di bawahnya, dan setiap hakim di Mahkamah Agung yang duduk dalam panel rayuan menganggapnya tidak melanggar Perlembagaan. Bagi kelas pemerintah di Amerika Syarikat, kebebasan bersuara boleh dibenarkan selagi ia tidak menjejaskan struktur dan kepentingan asas kelas kapitalis di “bumi kebebasan”.
Hak untuk “hidup, kebebasan dan pencarian kebahagiaan” dan “semua manusia dicipta sama rata” nampaknya hanya dinikmati untuk golongan lelaki berkulit putih yang memiliki harta di Amerika Syarikat pada ketika Amerika Syarikat dibebaskan daripada pemerintahan kuasa imperialis British, hasil daripada perjuangan revolusioner yang melibatkan lelaki, wanita, orang asal dan hamba berkulit hitam. Walau bagaimanapun, kebebasan dan kesamarataan yang belum disempurnakan itu terus diperjuangkan oleh gerakan rakyat yang hebat di Amerika Syarikat dan tempat-tempat lain di seluruh dunia dalam generasi-generasi akan datang.
Impak Revolusi Amerika
Revolusi Amerika yang dicetuskan daripada ketidakpuasan hati dan bantahan terhadap dasar kerajaan British yang menyekat perkembangan ekonomi kapitalis tanah jajahannya di Amerika Utara, akhirnya membawa kepada pembentukan republik persekutuan berperlembagaan demokratik borjuis yang baharu. Nenek moyang kepada golongan Patriot, terutamanya golongan Puritan yang tiba di New England pada abad ke-17, pernah cuba mewujudkan republik borjuis di negara asal mereka pada pertengahan abad ke-17 tetapi hanya bertahan seketika sahaja. Oleh itu, Revolusi Amerika pada abad ke-18 boleh dikatakan sebagai lanjutan Revolusi Inggeris pada abad ke-17 yang belum selesai di tanah jajahan British merentasi Lautan Atlantik dan disempurnakan oleh anak cucu golongan Puritan yang kuat menentang Raja England (Britain).
Revolusi Amerika merupakan satu revolusi demokratik borjuis yang berusaha untuk mewujudkan sebuah negara bangsa dengan masyarakat kapitalis yang bebas daripada cengkaman kuasa asing. Revolusi ini secara dasarnya memanfaatkan golongan borjuis baharu yang datang daripada golongan peneroka kolonial berkulit putih di Amerika Utara, membolehkan mereka menguasai ekonomi di tanah bekas jajahan British dan membuka ruang yang lebih besar kepada pembangunan serta perluasan ekonomi kapitalis Amerika Syarikat yang lebih lanjut.
Revolusi Amerika telah menyediakan asas dari pelbagai aspek (ekonomi, politik, sosial, budaya dan ideologi) dan meratakan jalan untuk Amerika Syarikat yang lahir daripadanya untuk membangun kepada sebuah negara kapitalis yang maju sehingga muncul sebagai kuasa imperialis utama di dunia.
Revolusi Amerika telah mendatangkan impak yang mendalam kepada seluruh benua Amerika dan membuka laluan sejarah baharu di Hemisfera Barat, sama ada secara positif atau negatif. Impak positif Revolusi Amerika sudah pasti adalah ia memainkan peranan sejarah yang penting dalam proses pembentukan idea-idea baharu yang membantu dalam memajukan masyarakat manusia secara keseluruhan. Revolusi Amerika memberi rangsangan kepada golongan revolusioner lain di benua Amerika dan merentasi Lautan Atlantik, sehingga mencetuskan revolusi-revolusi yang lebih hebat lagi seperti Revolusi Perancis dan Revolusi Haiti. Revolusi Amerika merupakan sebahagian daripada gelombang Revolusi Atlantik yang memajukan usaha pembentukan demokrasi moden.
Impak negatifnya pula berkait rapat dengan logik ekonomi kapitalis itu sendiri dan fahaman konservatif yang tertanam kuat dalam kalangan pemimpin-pemimpin yang berkuasa hasil daripada revolusi itu. Keganasan genosid yang dihadapi oleh masyarakat orang asal Amerika Utara, amalan perhambaan yang masih berterusan (malah lebih teruk lagi di negeri-negeri Selatan dalam tempoh beberapa dekad selepas Revolusi Amerika), status wanita yang masih kekal sama seperti biasa di bawah sistem patriarki, sehinggalah pelbagai peperangan, pembunuhan beramai-ramai, kemiskinan, penindasan dan ketidakadilan sosial yang timbul di merata tempat di seluruh dunia akibat daripada dasar luar Amerika Syarikat apabila ia muncul sebagai kuasa imperialis utama di peringkat global sejak penghujung abad ke-19, menjadi sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada kapitalisme Amerika Syarikat yang menjadi model kapitalisme global sehingga hari ini.
“Revolusi sudah berlaku sebelum perang bermula. Revolusi berada dalam minda dan hati rakyat,” begitu tulisnya sepucuk surat pada tahun 1818 oleh John Adams, pemimpin Patriot yang berasal dari Massachusetts yang pernah menjadi peguam bela bagi askar-askar British yang membunuh golongan Patriot dalam “Pembunuhan Boston 1770”, Naib Presiden Amerika Syarikat yang pertama (1789-1797) dan Presiden Amerika Syarikat yang kedua (1797-1801). “Perubahan radikal dalam prinsip, pendapat, sentimen dan perasaan rakyat ini ialah Revolusi Amerika yang sebenar.”
Revolusi Amerika ialah peristiwa bersejarah yang bersifat transformatif dan mempunyai makna sejarah yang mendalam bagi rakyat sedunia. Ia membawa kepada pembentukan Amerika Syarikat dan memberi inspirasi kepada gerakan rakyat di seluruh dunia untuk menentukan nasib sendiri, mengejar kebebasan serta menuntut kemerdekaan melalui perjuangan revolusioner.
Setiap revolusi yang hebat sudah pastinya penuh dengan kontradiksi dan kekompleksan. Revolusi Amerika ialah pergolakan masyarakat dan perjuangan rakyat yang sebegini. Oleh itu, penting untuk kita memahami prosesnya dan implikasinya kepada trajektori sejarah dunia. Perkara yang baik dan memberangsangkan dalam revolusi ini, boleh dijadikan petunjuk dan inspirasi untuk perjuangan revolusioner akan datang; sementara perkara yang buruk dan menghina dalam revolusi ini, boleh dijadikan pengajaran dan peringatan kepada perjuangan revolusioner yang akan datang supaya tidak lagi mengulanginya atau meneruskannya.
Walaupun hasil Revolusi Amerika dibataskan oleh kepentingan golongan borjuis di negeri-negeri Utara dan golongan tuan hamba di negeri-negeri Selatan yang membawa aspirasi yang agak konservatif, prosesnya yang melibatkan penyertaan massa daripada pelbagai latar belakang dan penyebaran pemikiran baharu yang mencabar norma-norma lama, telah memperkukuhkan idea-idea liberal dan republikan yang agak radikal pada zaman itu untuk merangsang perjuangan revolusioner seterusnya.
Selain golongan Patriot Amerika yang akhirnya memenangi kemerdekaan Amerika Syarikat daripada Britain, satu lagi pihak yang menang dalam Perang Revolusi Amerika ialah kerajaan Perancis yang mula mencampur tangan secara rasmi pada tahun 1778 untuk menyokong usaha perang golongan Patriot. Sokongan kerajaan Perancis kepada perjuangan golongan Patriot Amerika hanya semata-mata kerana ia sedang bersaing dengan Britain untuk kepentingan geopolitiknya di rantau Amerika Utara, bukannya oleh sebab ia menyokong aspirasi perjuangan pembebasan golongan Patriot. Namun, kemenangan Perancis itu datang dengan kos kewangan yang besar, dan cubaan Raja Perancis untuk menyelesaikan krisis kewangan kerana penglibatannya dalam Perang Revolusi Amerika itu mencetuskan krisis yang serius di negaranya sendiri. Tidak lama selepas tamatnya Perang Revolusi Amerika, negara Perancis yang terletak di seberang Lautan Atlantik terus dilanda satu revolusi yang jauh lebih hebat dan radikal.
==========
Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.
==========
Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia: