
18 Oktober 2025 menandakan salah satu hari protes yang terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat (AS) apabila kira-kira 7 juta orang berprotes di jalanan di seluruh negara itu untuk membantah pemerintahan yang diterajui oleh Presiden Donald Trump. Lebih 2,700 buah demonstrasi diadakan di kesemua 50 buah negeri AS dalam aksi serentak yang dikenali sebagai protes “No Kings” (Tiada Raja).
Protes “No Kings” yang menentang dasar pemerintahan Trump pada 18 Oktober 2025 merupakan aksi “No Kings” yang kedua. Protes “No Kings” pada 14 Jun 2025 telah disertai oleh 4 juta orang dengan lebih 2,100 buah demonstrasi diadakan. Ternyata gelombang protes “No Kings” yang kedua lebih besar berbanding aksi pada bulan Jun 2025, menunjukkan bahawa semakin ramai rakyat AS tidak berpuas hati dengan dasar pemerintahan Trump yang semakin menghakis demokrasi di negara AS.
Aksi protes “No Kings” dianjurkan oleh gabungan masyarakat sivil yang terdiri daripada pelbagai organisasi, termasuk Indivisible dan 50501. Indivisible ialah sebuah gerakan progresif yang ditubuhkan pada tahun 2016 sebagai tindak balas terhadap pemilihan Donald Trump sebagai Presiden AS buat pertama kali, dengan matlamat mempertahankan demokrasi dan membina sebuah negara AS yang lebih berperikemanusiaan. Gerakan 50501, dengan maksud “50 buah protes, 50 buah negeri, 1 hari”, ditubuhkan pada awal tahun 2025 untuk menganjurkan siri protes dengan tuntutan melucutkan jawatan Presiden Donald Trump.
Golongan demonstran yang menyertai aksi protes “No Kings” menyuarakan bantahan mereka terhadap pelbagai dasar pemerintahan Trump yang anti-rakyat, termasuk operasi penangkapan besar-besaran terhadap golongan migran oleh Jabatan Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE), penggubalan rang undang-undang “One Big Beautiful Bill” yang menyelamatkan golongan mahakaya dengan mengurangkan peruntukan perbelanjaan sosial bagi rakyat biasa, serangan pihak berkuasa terhadap kesatuan sekerja, pengerahan pasukan tentera persekutuan ke bandar-bandar AS, dan sebagainya.

Jalanan di bandar-bandar utama di AS telah dibanjiri oleh orang ramai yang berprotes terhadap kerajaan pimpinan Trump. Kira-kira 350,000 orang membanjiri jalanan Bandar Raya New York, 250,000 orang mengambil bahagian dalam aksi demonstrasi di Chicago, lebih 100,000 orang turun berprotes di San Francisco, 100,000 orang di Boston, 20,000 orang di Oakland, 15,000 orang di San Jose, 15,000 orang di Santa Cruz, dan banyak lagi.
“Pada tahun 1776, dengan keberanian yang luar biasa, para pengasas negara kita mengisytihar kepada dunia bahawa mereka tidak lagi diperintah oleh raja England, yang mempunyai kuasa mutlak terhadap kehidupan mereka. Mereka menuntut kebebasan… Dan pada tahun 1789, selepas memenangi perang itu, mereka melakukan sesuatu yang luar biasa. Mereka menubuhkan bentuk kerajaan demokratik yang pertama dalam sejarah moden. Mereka berkata dengan lantang dan berani kepada seluruh dunia: Tiada raja lagi. Di Amerika, kita rakyat akan memerintah,” begitu katanya Bernie Sanders, Senator kanan dari Vermont, semasa berucap dalam perhimpunan “No Kings” di Washington DC. “Kita telah menolak hak ketuhanan raja-raja pada tahun 1700-an. Kita tidak akan menerima hak ketuhanan golongan oligarki hari ini.”
Golongan elit pemerintah yang berhaluan kanan, termasuk Donald Trump sendiri, mengecam dan meremehkan aksi protes besar-besaran yang terbaru ini. Malah, kerajaan pimpinan Trump cuba mengaitkan aksi protes dengan aktiviti keganasan, dengan mendakwa golongan demonstran merupakan sebahagian daripada “Antifa”, gerakan yang dilabel sebagai “kumpulan pengganas” oleh kerajaan Trump baru-baru ini. Trump menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memburuk-burukkan imej para pengkritiknya, sementara penyokong-penyokong Trump menyebarkan dakwaan bahawa video rakaman tentang aksi perhimpunan besar-besaran yang menentang Trump itu adalah berita palsu, sedangkan mereka sendiri sering menyebarkan berita palsu. Penipuan golongan berhaluan kanan ini tidak dapat menutup kebenaran bahawa aksi protes “No Kings” pada 18 Oktober 2025 lebih besar daripada aksi protes “No Kings” yang pertama pada bulan Jun 2025. Kekuasaan Trump memang sedang dicabar.
Donald Trump dan sekutu oligarkinya dalam kelas pemerintah AS mempermainkan politik kebencian untuk memecah-belahkan rakyat dan memangsakan golongan bawahan seperti pekerja dan migran. Trump juga meneruskan dasar kerajaan AS yang memberi sokongan kuat kepada rejim Zionis Israel yang sedang melakukan jenayah genosid terhadap rakyat Palestin. Trump cuba menampilkan dirinya sebagai seorang “pendamai”, tetapi dialah yang menukar nama Jabatan Pertahanan AS kepada Jabatan Perang AS. Baru-baru ini, Trump mengerahkan tentera AS ke rantau Caribbean atas nama membanteras penyeludupan dadah tetapi jelasnya cuba mengancam untuk menceroboh negara Venezuela dengan niat menjatuhkan kerajaan yang tidak sehaluan dengan kepentingan imperialis AS. Dasar Trump hanya menguntungkan segelintir kecil golongan elit oligarki AS manakala rakyat di seluruh dunia menjadi mangsa. Gelombang protes “No Kings” yang hebat memberi harapan bahawa rakyat AS tidak akan berdiam diri apabila berhadapan dengan ancaman seorang tiran yang hendak melindungi kepentingan oligarki AS dengan terus menindas rakyat.
