Modal datang ke dunia ini, dengan titisan darah dan kotoran di setiap liang bulu, dari kepala sampai kaki,” begitu tulisnya Karl Marx dalam Das Kapital Jilid I (1867). Pembentukan dan pembangunan kapitalisme moden merupakan proses yang penuh dengan keganasan dan penindasan terhadap rakyat bawahan, terutamanya terhadap tenaga buruh yang membanting tulang untuk menghasilkan kekayaan masyarakat tetapi dirampas hasil perburuhan mereka. 

Pembentukan sistem sosioekonomi kapitalis pada asasnya melibatkan perkembangan 3 syarat yang penting:

  1. Pemisahan antara golongan pengeluar sebenar dengan sumber-sumber pengeluaran – iaitu orang yang melakukan perburuhan (pengeluar ekonomi yang sebenar) itu diasingkan sepenuhnya atau diputuskan hubungannya secara langsung dengan.sumber-sumber pengeluaran (terutamanya tanah), dalam erti kata lain, tanah yang diusahakan oleh golongan petani itu dihilangkan atau dirampas daripadanya;
  2. Kemunculan kelas kapitalis atau kelas borjuis – iaitu golongan orang kaya yang menguasai sumber-sumber pengeluaran ekonomi kerana memiliki modal yang cukup besar untuk dilaburkan dalam aktiviti-aktiviti ekonomi (termasuk mengupah tenaga buruh untuk bekerja) supaya menjana keuntungan yang boleh dilaburkan semula sebagai modal yang lebih besar jumlahnya untuk keuntungan yang lebih besar lagi (inilah logik pengumpulan modal yang paling asas);
  3. Kemunculan kelas pekerja atau kelas proletar – iaitu golongan pekerja yang tidak memiliki apa-apa sumber pengeluaran kecuali tenaga buruh mereka sendiri yang boleh dijual “secara bebas” kepada golongan kapitalis.

Ketiga-tiga perkara ini merupakan syarat yang paling asas untuk pembentukan mod pengeluaran kapitalis, sementara juga menjadi ciri-ciri asas kepada sistem sosioekonomi kapitalis itu sendiri. Perkara-perkara ini pernah berlaku di hampir semua negara yang sudah beralih daripada sistem sosioekonomi pra-kapitalis (seperti sistem feudal) kepada sistem kapitalis moden, tetapi berbeza dari segi rupa bentuknya dan caranya berlaku kerana tahap pembangunan asas kebendaan yang berlainan di tempat berbeza dan pada masa berbeza.

Negara-negara kapitalis maju yang mendominasi dunia dan menjadi kuasa imperialis global pada hari ini, pernah melalui proses peralihan daripada struktur masyarakat feudal kepada sistem kapitalis moden yang penuh dengan keganasan dan gelora perjuangan masyarakat yang hebat. Ini termasuklah negara Britain yang mula memperluaskan tanah jajahan pada abad ke-16 dan mencapai kemuncak kuasa imperialisnya pada abad ke-19 hingga awal abad ke-20.

Feudalisme di England 

England merupakan sebahagian daripada negara Britain atau United Kingdom (UK) pada hari ini. Ia terletak di bahagian selatan Pulau Britain dan meliputi kira-kira dua pertiga keluasan pulau itu. Ia bersempadan dengan Scotland di utara dan Wales di barat yang kedua-duanya juga merupakan sebahagian daripada negara Britain hari ini. Bersempadan dengan pantai timur England ialah Laut Utara, di selatannya ialah Selat Inggeris yang memisahkan Pulau Britain dengan bahagian utara Perancis, di barat daya pula ialah Laut Celtic, dan di barat ialah Laut Ireland yang memisahkan Pulau Britain dengan Pulau Ireland.

Feudalisme muncul di England selepas tamatnya pemerintahan Empayar Rom di Pulau Britain (43-410 Masihi). Sistem feudal di England mula berkembang ke dalam bentuk yang lebih menyeluruh dan seragam berikutan penaklukan oleh Raja William I dari Normandie pada tahun 1066. Raja William I mengagihkan tanah yang ditaklukinya kepada 180 orang baron (iaitu golongan bangsawan yang berpangkat menengah dan rendah dalam susunan hierarki masyarakat feudal) yang dianggap sebagai “ketua penyewa tanah” kepadanya.

Feudalisme dibina dan dibangunkan berlandaskan hubungan pengeluaran ekonomi yang berasaskan pertanian yang mengikatkan kelas-kelas sosial yang berbeza dalam struktur hierarki masyarakat yang tegar. Sistem politiknya ialah pemerintahan monarki berkuasa mutlak. Raja menduduki tempat tertinggi dalam hierarki kuasa ekonomi-politik dengan memiliki semua tanah di dalam sesebuah negara feudal. Sebahagian tanah diagihkan atau dianugerahkan oleh raja kepada golongan bangsawan sebagai pertukaran untuk mendapatkan kesetiaan politik dan sokongan ketenteraan mereka. Golongan bangsawan yang dibahagikan kepada beberapa lapisan mengikut pangkat dalam hierarki, bertanggungjawab untuk menguruskan tanah yang diagihkan kepada mereka melalui “sistem manor”, memberi perlindungan kepada raja dengan mengerahkan penduduk-penduduk di kawasannya untuk membentuk bala tentera atau mengupah askar upahan, dan mengawasi golongan petani yang bekerja di dalam kawasan yang dipegangnya supaya aktiviti pertanian yang mengeluarkan makanan itu terus berjalan.

Yang berada di kedudukan terbawah dalam susunan hierarki masyarakat feudal ialah golongan petani, yang kebanyakannya merupakan hamba tani (serf), di mana mereka tidak memiliki apa-apa tanah tetapi terikat dengan tanah dan terpaksa bekerja untuk golongan tuan tanah. Golongan petani biasanya perlu membayar cukai atau sewa tanah kepada golongan tuan tanah, dalam bentuk hasil tanaman atau melakukan kerja paksaan untuk golongan tuan tanah, supaya mereka boleh mengusahakan tanah lapang di dalam kawasan estet yang diperuntukkan kepada mereka di bawah “sistem tanah lapang terbuka” untuk mengeluarkan makanan bagi diri dan keluarga mereka. Selain itu, wujudnya “tanah bersama” (common land) di dalam kawasan estet di mana golongan petani dibenarkan untuk melakukan aktiviti yang terhad seperti memetik buah-buahan, mengumpul kayu api dan menggunakannya sebagai padang ragut bagi ternakan mereka.

Contoh sebuah estet di bawah sistem manor. (grafik: Students of History)

Sistem manor ialah kaedah pemilikan tanah pertanian yang diamalkan secara meluas dalam masyarakat feudal di England semasa Zaman Pertengahan. Di bawah sistem manor, seorang bangsawan dianugerahkan sebidang tanah oleh raja untuk dipegang dan ditadbir urus olehnya. Di dalam bidang tanah yang dikenali sebagai “manor” atau “estet” ini, adanya kawasan-kawasan yang dikhaskan untuk pertanian, hutan, perkampungan petani dan rumah kediaman mewah berkubu yang diduduki oleh tuan tanah bangsawan.

Selain tuan tanah feudal, penduduk-penduduk di atas tanah estet itu merupakan golongan petani atau golongan hamba tani yang bekerja di bawah arahan tuan tanah. Hasil pertanian yang dikeluarkan oleh golongan petani atau hamba tani adalah untuk kegunaan sendiri dan juga untuk dinikmati oleh tuan tanah di situ. Tuan tanah mempunyai kuasa mutlak ke atas tanah yang dimiliki atau dipegang olehnya. Penduduk-penduduk di dalam kawasan estet perlu tunduk sepenuhnya di bawah kekuasaan tuan tanah. Tuan tanah juga perlu menyerahkan sebahagian hasil tanah kepada raja, iaitu tuan tanah terbesar di seluruh negara feudal itu, sebagai cukai kepada kerajaan monarki berkuasa mutlak. Golongan tenaga kerja di dalam tanah estet, iaitu golongan petani atau hamba tani, perlu melaksanakan “kewajipan” mereka dengan meluangkan sebahagian masa untuk bekerja dengan tuan tanah atau menyerahkan semua hasil lebihan kepada tuan tanah. Apabila aktiviti perdagangan semakin berkembang, golongan petani juga mula membayar mata wang yang ditukar daripada hasil pengeluaran mereka itu kepada golongan tuan tanah.

Sistem manor merupakan sebahagian yang penting dalam struktur sosioekonomi feudal. Sistem manor di bawah feudalisme menjadikan setiap tanah estet dapat wujud secara berdikari dan mampu sara diri sepenuhnya, maka pasaran yang melibatkan pertukaran barangan itu mempunyai peranan yang terhad dalam hubungan pengeluaran masyarakat sebegini.

Contoh peta sebuah manor pada zaman pertengahan. (sumber: William R. Shepherd, Historical Atlas, 1923)

Seperti masyarakat feudal di tempat-tempat yang lain, sistem eksploitasi yang wujud dalam feudalisme pada Zaman Pertengahan di England, menggunakan surplus ekonomi yang dihasilkan oleh golongan petani itu untuk menyokong kekuasaan dan kehidupan mewah golongan bangsawan, maka mengekalkan ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial. Eksploitasi terhadap golongan petani diinstitusikan melalui undang-undang dan adat tradisional yang mengehadkan hak serta kebebasan golongan petani, maka mengikatkan mereka kepada tanah dan memastikan bekalan tenaga buruh yang stabil kepada golongan tuan tanah. Ini mewujudkan pertentangan kelas yang asas dalam masyarakat feudal. 

Dalam lapisan-lapisan kelas bangsawan yang mempunyai pangkat kuasa yang berbeza itu, juga wujudnya dinamik hubungan kuasa yang tidak seimbang sehingga mencetuskan pertarungan kuasa demi melindungi kepentingan kuasa politik dan sosioekonomi masing-masing. Apabila Raja England semakin memusatkan kekuasaan, ia bercanggah dengan kepentingan golongan bangsawan tempatan yang hendak mengekalkan kuasa autonomi mereka.

Magna Carta

Semasa pemerintahan Raja John pada awal kurun ke-13, oleh sebab penglibatan tentera Inggeris dalam peperangan yang menemui kegagalan, pengenaan cukai yang membebankan ke atas golongan bangsawan untuk membiayai peperangan dan corak pemerintahan yang semakin despotik, menjadikan Raja John itu amat tidak popular dalam kalangan golongan baron di bawah pemerintahannya. 

Raja John menandatangani Magna Carta. (sumber: Encyclopædia Britannica)

Sekumpulan baron memberontak untuk menentang Raja England pada tahun 1215. Pada 15 Jun 1215, dalam satu perjumpaan dengan golongan baron di Runnymede yang terletak tidak jauh dari London, Raja John yang terancam kekuasaannya pada masa itu terpaksa bersetuju untuk memeterai Magna Carta (Piagam Agung) yang mengehadkan kekuasaan raja. Magna Carta menyatakan hak golongan baron untuk berunding dan menasihati raja dalam Magnum Concilium (Majlis Agung). Magnum Concilium ialah perhimpunan yang diadakan pada masa-masa tertentu apabila golongan bangsawan dan pemimpin-pemimpin gereja dipanggil oleh Raja England untuk membincangkan hal ehwal negara England dan memberi nasihat kepada Raja England.

Namun, Raja John memungkiri janjinya dan memujuk Paus Gereja Katolik Rom untuk mengisytihar Magna Carta itu tidak sah atas alasan ia mencabuli “hak ketuhanan” raja. Ini menimbulkan kemarahan golongan baron sehingga mereka memberontak sekali lagi dan mencetuskan perang saudara yang dikenali sebagai Perang Baron Pertama (1215-1217). 

Golongan baron yang menentang Raja John itu menjemput Putera Louis dari Perancis untuk menggantikan Raja John sebagai Raja England pada bulan Mei 1216, dan melancarkan serangan ke atas England. Beberapa orang lagi baron yang memberontak menghasut Raja Scotland untuk menguasai kawasan utara England.

Apabila Raja John meninggal dunia pada bulan Oktober 1216, golongan baron yang memberontak dan tentera Perancis yang dipimpin oleh Louis telah menguasai sebahagian besar wilayah England. Beberapa orang bangsawan yang menyokong Raja John mengangkat anaknya yang berumur 9 tahun sebagai raja, iaitu Raja Henry III, dan kemudiannya mengirim surat di bawah nama raja baharu itu kepada semua golongan baron yang memberontak untuk menyatakan bahawa Magna Carta akan ditegakkan. Banyak baron yang memberontak mengalihkan sokongan mereka kepada Raja Henry III. Tentera pimpinan Louis dari Perancis ditewaskan pada tahun 1217 dan terpaksa berdamai dengan England. 

(sumber: Chroniques de Saint-Denis)

Magna Carta merupakan produk konflik pertembungan kuasa antara lapisan-lapisan golongan bangsawan dalam kelas pemerintah yang mempunyai kepentingan yang berbeza. Ia juga boleh dikatakan sebagai perjuangan kelas, tetapi hanya perjuangan kelas di peringkat atasan, dengan sebahagian lapisan kelas pemerintah yang berkedudukan lebih rendah dalam struktur hierarki feudal mencabar kekuasaan lapisan golongan pemerintah yang berkedudukan lebih tinggi demi melindungi atau memajukan kepentingan kelas mereka, sekali gus mencabar kekuasaan mutlak yang dipegang oleh raja. 

Walaupun Magna Carta yang dimeteraikan pertama kalinya pada tahun 1215 itu hanya bertahan beberapa minggu, ia dikemukakan semula beberapa kali selepas kematian Raja John, sehingga dianggap sebagai sebuah undang-undang yang berkekalan dan menjadi batu asas kepada susunan politik masyarakat kelas di Britain kemudiannya. Namun begitu, Raja Henry III dan penggantinya sering kali melanggar ketetapan Magna Carta. Kekuasaan mutlak raja England masih semakin bertambah sepanjang Zaman Pertengahan sehingga ia benar-benar dicabar pada abad ke-17 apabila hubungan pengeluaran kapitalis mula menunjukkan taringnya.

Salinan Magna Carta 1215.

Magna Carta telah menjadi permulaan kepada usaha perjuangan yang berpanjangan dalam mencabar “hak ketuhanan” raja, mengehadkan kuasa mutlak Raja England dan membuka jalan kepada pembentukan parlimen berperwakilan, walaupun pada awalnya hanya terhad kepada keanggotaan golongan bangsawan dan masih sekadar berfungsi untuk menasihati raja. Parlimen Inggeris yang berkembang daripada Magnum Concilium pada awalnya dianggotai oleh golongan bangsawan dan golongan paderi untuk menjadi badan penasihat kepada raja yang berkuasa mutlak. Golongan pemerintah feudal pada asalnya mewujudkan parlimen untuk memastikan imbangan kuasa antara lapisan-lapisan yang berbeza dalam kelas pemerintah itu dapat dikekalkan dan tidak berada di luar kawalan supaya kestabilan kuasa pemerintahan itu dapat terjamin.

Kemunculan amalan menyerahkan petisyen kepada Parlimen England mulai abad ke-13, berkembang menjadi tindakan politik untuk rakyat biasa untuk menyuarakan keluhan mereka. Oleh itu, Parlimen juga dijadikan saluran untuk golongan berkuasa menangani rungutan masyarakat sejak itu. 

“Pemagaran tanah” dan peralihan kepada kapitalisme agraria

Rantau Eropah termasuk negara England mengalami krisis demografik yang mendalam pada abad ke-14 atas beberapa faktor, antaranya bencana “Kebuluran Besar 1315-1317” yang disebabkan oleh keadaan cuaca buruk dan penularan wabak bubonik yang dikenali sebagai “Maut Hitam” (1347-1353), mengakibatkan penurunan ketara dalam jumlah penduduk di situ. Ini menyebabkan pula kemerosotan dalam pengeluaran pertanian. Untuk menangani masalah penurunan pengeluaran pertanian, golongan tuan tanah feudal cuba mengembangkan semula pengeluaran pertanian itu dengan memperluaskan wilayah yang dikuasai mereka melalui peperangan, maka golongan tuan tanah feudal yang memerlukan dana untuk peperangan itu mengenakan cukai yang lebih tinggi terhadap golongan petani atau hamba tani di bawah mereka.

Tindakan yang meningkatkan eksploitasi buruh terhadap golongan petani ini mencetuskan banyak pemberontakan di England pada penghujung Zaman Pertengahan. Sesetengah golongan petani berpindah ke bandar-bandar, maka mendorong pembangunan perbandaran yang pesat. Sesetengah penduduk desa yang mempunyai lebih banyak wang dapat membeli tanah sendiri dalam berkembang menjadi golongan yang dikenali sebagai “gentri” (orang kaya tempatan) di kawasan luar bandar; dan sesetengah penduduk desa pula membuat kontrak yang menguntungkan mereka untuk menyewa tanah daripada golongan tuan tanah yang perlu mengisi semula tanah estet mereka dengan petani-petani.

Pembangunan teknik pertanian yang lebih maju (seperti penggiliran tanaman dan penggunaan bajak yang lebih berkesan dalam penggemburan tanah) dalam meningkatkan hasil pengeluaran tanaman, dan pembawaan masuk tanaman ruji baharu (seperti kentang, ubi keledek, ubi kayu dan jagung) berikutan penjelajahan golongan pedagang Eropah ke benua Amerika serta penjajahan Eropah di situ mulai penghujung abad ke-15, telah menghasilkan surplus pengeluaran yang melebihi keperluan sara diri di dalam kawasan petempatan feudal dan mendorong perkembangan pesat aktiviti perdagangan. Ini menyediakan asas kepada pembangunan kapitalisme yang berasaskan pertanian, iaitu “kapitalisme agraria”.

Kapitalisme agraria menggantikan sistem manor yang lama apabila aktiviti komersial dan bandar-bandar pesat berkembang. Peningkatan permintaan terhadap produk pertanian di kawasan bandar kerana penambahan penduduk yang pesat, membawa kepada peralihan corak pertanian yang memfokuskan sara diri setempat dalam sistem manor itu kepada pertanian komersial, maka melemahkan hubungan feudal yang mengikatkan golongan petani kepada tanah estet. Pertanian komersial bermakna aktiviti bercucuk tanam di atas sesuatu tanah itu bukan lagi sekadar untuk menghasilkan makanan bagi kegunaan golongan petani dan tuan tanah yang menduduki tanah berkenaan, tetapi untuk mengeluarkan produk pertanian yang boleh dijual supaya dapat mengaut keuntungan daripadanya. Dengan itu, sistem manor di bawah feudalisme mula mengalami kemerosotan, dan penguasaan terhadap tanah semakin ditumpukan dalam tangan segelintir kecil golongan tuan tanah yang memiliki tanah estet yang semakin besar.

Peralihan daripada sistem pertanian sara diri kepada pertanian komersial yang menjadi asas kepada kapitalisme agraria itu bukannya satu proses yang aman dan tenang, sebaliknya ia merupakan satu proses yang penuh dengan kezaliman dan keganasan. Untuk kapitalisme itu bertapak dan berkembang, ia memerlukan “pengumpulan modal primitif”, iaitu proses di mana modal untuk pelaburan itu dikumpulkan dan pusatkan pada asalnya. Pengumpulan primitif sering melibatkan perampasan hak, eksploitasi, pemaksaan, perhambaan dan penindasan yang hebat terhadap golongan yang menyumbangkan tenaga buruh. Dalam proses peralihan daripada ekonomi feudal kepada ekonomi kapitalis, pengumpulan primitif berlaku melalui pemisahan atau pengasingan antara golongan petani (iaitu pengeluar ekonomi yang sebenar) dengan tanah (iaitu sumber pengeluaran yang paling utama dalam ekonomi pertanian). Proses ganas ini jugalah melahirkan kelas borjuis dan kelas proletar. Kelas borjuis ialah golongan yang memiliki harta, sementara kelas proletar tidak memiliki apa-apa kecuali tenaga buruh mereka yang dijual kepada orang yang cukup kaya untuk mengupah mereka.

“Dalam sejarah pengumpulan primitif, semua revolusi adalah penciptaan zaman yang bertindak sebagai tuil untuk kelas kapitalis yang berada dalam proses pembentukannya; tetapi, yang paling penting, detik-detik itu apabila sebilangan besar orang secara tiba-tiba dan secara paksaan dirampas sumber-sumber sara hidup mereka, dan dilemparkan ke dalam pasaran buruh sebagai golongan proletar yang bebas dan ‘tidak terikat’,” begitu tulisnya Karl Marx dalam Das Kapital Jilid I (1867) apabila membincangkan pengumpulan modal primitif. “Perampasan tanah daripada pengeluar pertanian, iaitu petani, ialah asas kepada keseluruhan proses ini. Sejarah perampasan ini mengambil aspek-aspek yang berbeza, dan melalui fasa-fasanya yang berbeza dalam urutan penggantian yang berbeza, di negara-negara yang berbeza dan pada tempoh yang berbeza. Di England sahaja, yang kita ambil sebagai contoh, ia mempunyai bentuk yang klasik.”

Pemagaran tanah di England menerusi Akta Parlimen pada abad ke-19. (sumber: Sumber: Gilbert Slater, The English Peasantry and the Enclosure of Common Fields, 1907)

Di England, bermula dari abad ke-14, pengumpulan primitif berlaku dalam bentuk “Pemagaran Tanah” (Enclosure). Pemagaran tanah bermakna tanah bersama (common land), yang sebelum itu diperuntukkan dalam “sistem tanah lapang terbuka” sebagai sebahagian daripada sistem manor di mana golongan petani berhak untuk melakukan aktiviti ekonomi sara hidup di situ, ditutup atau dipagarkan untuk dikuasai sepenuhnya oleh pemilik tanah, maka ia diasingkan daripada golongan petani dan bukan lagi berfungsi sebagai tanah untuk kegunaan bersama. Pada abad ke-15 dan ke-16, pemagaran tanah dilakukan oleh golongan tuan tanah untuk tujuan penternakan kambing biri-biri yang mengeluarkan wul sebagai bahan mentah kepada perusahaan tekstil yang pesat bertumbuh di kawasan bandar.

Proses pemagaran tanah bermula dari kawasan tanah bersama, kemudian diperluaskan kepada kawasan tanah pertanian yang lain. Pemagaran tanah boleh dilakukan dalam cara yang lebih aman, seperti golongan tuan tanah membeli hak penggunaan tanah daripada golongan petani; ataupun cara yang lebih keras, seperti meminda undang-undang melalui kerajaan yang semakin memusatkan kuasa untuk menghapuskan hak penggunaan tanah oleh golongan petani atau penyewa tanah secara paksaan.

Pemagaran tanah dengan cara paksaan sering mencetuskan konflik dan pemberontakan rakyat. Walaupun pemberontakan rakyat itu semuanya dipatahkan, penentangan terhadap tindakan pemagaran tanah tetap berterusan dan membentuk semangat perjuangan yang diwarisi bergenerasi dalam kalangan rakyat.

Salah satu isu sampingan yang mencetuskan Pemberontakan Wat Tyler pada tahun 1381 ialah pemagaran tanah, walaupun ia bukan isu utama yang dibawa oleh golongan petani yang memberontak pada masa itu. Pemberontakan Jack Cade pada tahun 1450 di bahagian tenggara England sehingga golongan pemberontak pernah memasuki bandar London untuk seketika, telah mengetengahkan isu hak tanah yang sedang dijejaskan oleh ancaman pemagaran tanah pada masa itu. Isu pemagaran tanah menjadi punca utama tercetusnya Pemberontakan Kett pada tahun 1549 di daerah Norfolk, di mana pemberontakan itu bermula dengan sekumpulan pemberontak merosakkan pagar yang didirikan oleh golongan tuan tanah kaya.

Pemberontakan Jack Cade, dalam lukisan dinding “History of the Old Kent Road”. (ilustrasi: Adam Kossowski, 1965)

Pada tahun 1607, pemagaran tanah mencetuskan pemberontakan rakyat di wilayah Midlands yang terletak di bahagian tengah England. Pada masa itu, golongan elit pemerintah Inggeris menggunakan istilah “leveller” (bermaksud “orang yang meratakan”) untuk menghina golongan pemberontak yang merobohkan atau meratakan pagar dan dinding yang memagarkan tanah bersama. Tidak lama kemudian, “Leveller” menjadi nama panggilan kepada sebuah gerakan rakyat radikal yang memperjuangkan kedaulatan rakyat dan kesamarataan masyarakat semasa berlakunya Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an. Semua pemberontakan yang menentang pengumpulan primitif itu dipatahkan oleh golongan pemerintah dengan penindasan yang ganas, dan pemimpin pemberontakan dihukum mati.

England pada zaman moden awal

Selepas Perang Bunga Mawar (1455-1487) yang tercetus kerana perebutan kuasa antara kerabat-kerabat bangsawan, negara England diperintah oleh Kerabat Tudor yang berasal dari Wales. Semasa pemerintahan Dinasti Tudor (1485-1603), England menjadi sebuah negara yang memusatkan kuasa pada abad ke-16, dengan kuasa semakin ditumpukan dan dipusatkan dalam tangan Raja yang memerintah di London. Pemusatan kuasa ekonomi dan politik dalam pemerintahan monarki berpusat ini diperkukuhkan lagi dengan pembangunan rangkaian jalan yang meluas di England dan pertumbuhan ibu negaranya, London, menjadi sebuah bandar yang besar.

Dengan pembangunan menjadi sebuah bandar besar dan berfungsi sebagai ibu negara England, London menjadi pasaran pusat untuk seluruh negara, dan mewujudkan pasaran dalaman yang besar bagi perdagangan pelbagai barangan. Ini mewujudkan perbezaan ketara antara England dengan kebanyakan tempat di benua besar Eropah pada penghujung abad ke-16 dan awal abad ke-17, kecuali Republik Belanda yang sudah mengalami revolusi borjuis terawal.

Keruntuhan sistem manor menyebabkan tanah-tanah di kawasan luar bandar semakin ditumpukan dalam tangan segelintir kecil golongan tuan tanah kaya, yang kemudiannya berkembang menjadi sebahagian daripada golongan kapitalis kaya, jika mereka berjaya menggunakan tanah yang dikuasai oleh mereka itu untuk menjana keuntungan daripada pengeluaran pertanian komersial. Kekuasaan golongan bangsawan feudal yang lama dilemahkan apabila mereka tidak dapat lagi mengekstrak surplus daripada golongan petani yang terikat pada mereka sebelum itu, maka mereka mula beralih kepada cara baharu untuk meningkatkan produktiviti pertanian supaya menjana lebih banyak kekayaan dan mengekalkan kekuasaan mereka, tetapi menghadapi persaingan daripada golongan pedagang dan kelas borjuis baharu yang muncul di kawasan bandar. Golongan kapitalis baharu yang muncul daripada perkembangan aktiviti komersial dan kapitalisme agraria kemudiannya menjadi kuasa ekonomi yang mendominasi masyarakat England dan pengaruh mereka semakin mengatasi pengaruh sistem feudal yang dikekalkan oleh pemerintahan monarki berkuasa mutlak.

Golongan petani yang “dibebaskan” daripada ikatan hubungan feudal kerana tanah yang diusahakan oleh mereka dirampas dalam proses pengumpulan primitif yang penuh keganasan itu, menjadi tenaga kerja baharu yang “bebas” dalam pasaran buruh, untuk bebas diupah oleh golongan pemilik modal, sama ada bekerja di ladang-ladang besar yang mengeluarkan hasil pertanian komersial, atau di bengkel-bengkel di kawasan bandar yang mengeluarkan barangan pengguna. Tanah sebagai sejenis sumber pengeluaran yang penting, yang sebelum itu dikuasai dan diuruskan mengikut susunan struktur feudal yang tegar, telah menjadi komoditi yang boleh dijual beli dan tertakluk pada kuasa pasaran ekonomi.

Didorong oleh kejayaan Portugal dan Sepanyol dalam penjelajahan dan penjajahan di seberang laut yang membolehkan kedua-dua negara itu muncul sebagai kuasa imperialis, kerajaan Inggeris juga mula menaja penjelajahan dan mencari tanah jajahan pada abad ke-16, serentak dengan pembangunan kapitalisme agraria dan perluasan aktiviti komersial di England pada masa itu.

Tanah jajahan Inggeris di seberang laut yang pertama terletak di Ireland, iaitu pulau yang hanya dipisahkan oleh Laut Ireland dengan jarak terdekat antara pesisiran pantai tidak sampai 20 km. Kerajaan Inggeris mula mendirikan jajahan di Ireland pada tahun 1556 semasa England melancarkan penaklukan ke atas Ireland (1536-1603), dengan merampas tanah milik penduduk Ireland dan membawa masuk peneroka-peneroka dari England serta Scotland untuk mewujudkan perladangan yang mengeluarkan pelbagai produk pertanian.

Golongan pedagang Inggeris menubuhkan Syarikat Muscovy pada tahun 1555, yang merupakan syarikat saham bersama berpiagam yang pertama di dunia, untuk berdagang dengan Rusia di bawah pemerintahan Tsar Ivan IV pada masa itu. Kerajaan Inggeris memulakan penjajahan di Amerika Utara pada tahun 1580-an. Syarikat Hindia Timur Inggeris ditubuhkan pada tahun 1600, untuk menguasai perdagangan merentasi Lautan Hindi dan mewujudkan tanah jajahan di rantau Asia. Penubuhan syarikat bersaham seperti Syarikat Hindia Timur Inggeris menandakan kebangkitan kapitalisme moden.

Dengan Empayar Sepanyol menjadi penghalang utama kepada usaha penjelajahan dan perluasan tanah jajahan di seberang laut, kerajaan Inggeris mula berperang dengan Empayar Sepanyol pada tahun 1585 apabila ia menyokong Pemberontakan Belanda yang menentang pemerintahan Habsburg Sepanyol. Penumpasan Armada Sepanyol pada tahun 1588 di Selat Inggeris oleh gabungan tentera laut Inggeris dan Republik Belanda, membuka ruang kepada pembangunan pesat perdagangan luar negara Inggeris melalui pelayaran di laut, dan menandakan negara England (kemudiannya Britain) mula muncul sebagai kuasa maritim baharu.

Renaissance Inggeris dan Reformasi Inggeris

Perubahan asas ekonomi yang ketara dalam proses peralihan daripada feudalisme kepada kapitalisme di England, turut mendorong perubahan dari segi superstruktur yang melibatkan ideologi, politik, kebudayaan dan keagamaan.

Negara England turut dipengaruhi oleh gerakan Renaissance yang berasal dari negara-negara kota Itali dan kemudiannya tersebar di seluruh Eropah. Renaissance di England yang berlaku dari penghujung abad ke-15 hingga awal abad ke-17, menyaksikan pembangunan pemikiran falsafah, sains, kesenian, kesusasteraan dan kebudayaan baharu yang mendapat inspirasi daripada kegemilangan tamadun zaman purba klasik dan fahaman kemanusiaan yang terbentuk daripada Renaissance Eropah yang lebih meluas. Antara tokoh penting dalam Renaissance Inggeris ialah Thomas More (1478-1535) yang terkenal dengan tulisannya “Utopia” (1516), Francis Bacon (1561-1626) yang digelar sebagai “Bapa Empirisime” (falsafah epistemologi yang berpandangan bahawa semua pengetahuan adalah diperolehi atau berdasarkan pengalaman), William Shakespeare (1564-1616) yang merupakan salah seorang sasterawan Inggeris yang terkemuka di dunia, dan banyak lagi.

Thomas More (1478-1535) (lukisan potret oleh Hans Holbein Muda, 1527)

Pembangunan intelek daripada Renaissance Inggeris, seiring dengan kemajuan dalam ekonomi pengeluaran, perdagangan dan teknologi (terutamanya penggunaan mesin cetak), telah memainkan peranan yang kritikal dalam membentuk pemikiran politik baharu dan identiti kebangsaan Inggeris.

Pemusatan kuasa ekonomi dan politik dalam tangan Raja England pada abad ke-16 mewujudkan percanggahan kepentingan antara golongan pemerintah monarki di England dan Gereja Katolik Rom yang mendominasi dari segi ideologi dalam sistem feudal di Eropah. Reformasi Protestan yang muncul pada masa yang sama ketika itu menawarkan inspirasi dan pilihan baharu kepada pemerintahan monarki di England untuk “membebaskan” dirinya daripada bayangan kekuasaan Gereja Katolik Rom.

Selepas Paus selaku ketua Gereja Katolik Rom menolak permintaan untuk membatalkan perkahwinan Raja England dengan Catherine dari Aragon, Raja Henry VIII daripada Dinasti Tudor menggunakan Parlimen England (yang anggotanya terdiri daripada golongan bangsawan, paderi-paderi dan orang-orang kaya) pada tahun 1543 untuk meluluskan undang-undang yang menetapkan Raja England sebagai ketua Gereja England, maka memaksa Gereja England untuk melepaskan diri daripada pengaruh kuasa Paus dan Gereja Katolik Rom. Peristiwa ini menandakan pemisahan Gereja England daripada Gereja Katolik Rom dan mula terbentuknya salah satu mazhab Protestan utama yang dikenali sebagai Anglikanisme. Oleh sebab wujudnya ketidakpuasan hati yang hebat dan meluas dalam kalangan rakyat di England terhadap penyelewengan yang berlaku dalam Gereja Katolik Rom, Reformasi Protestan yang dimulakan oleh pemerintahan monarki dari atas ini mendapat sokongan daripada massa rakyat.

Kekuasaan Gereja Katolik Rom dipulihkan di England untuk seketika semasa pemerintahan Ratu Mary I (yang digelar sebagai “Bloody Mary” oleh golongan Protestan yang membantahnya) pada tahun 1553-1558. Namun, Ratu Elizabeth I yang memerintah pada tahun 1558-1603 memperkenalkan semula Protestantisme sebagai doktrin agama rasmi di England.

Ratu Elizabeth I (1533-1603) (lukisan potret oleh artis tidak diketahui)

Reformasi Protestan dari atas di England telah memperkukuhkan kuasa pemerintahan monarki Inggeris. Cukai agama (yang dikenali sebagai “cukai persepuluhan”) yang dikutip untuk diserahkan kepada Gereja Katolik Rom sebelum itu semuanya dipindahkan ke dalam tangan kerabat diraja Inggeris. Kerabat diraja Inggeris juga mengambil alih tanah yang dimiliki oleh Gereja Katolik di seluruh negara itu. Tanah Gereja Katolik yang “dimiliknegarakan” itu dijual atau diberikan kepada golongan gentri, maka menjana lebih pendapatan kewangan kepada istana diraja di samping meraih sokongan daripada golongan pemilik tanah baharu (iaitu golongan gentri) untuk pemerintahan Raja England. Oleh itu, kekuasaan kewangan dan politik kerabat diraja Inggeris turut diperkukuhkan secara ketara kerana pemisahan Gereja England daripada Gereja Katolik Rom.

Berbeza dengan Reformasi Protestan di negara-negara lain di benua Eropah, Reformasi Inggeris tidak mengubah banyak doktrin teologi bagi agama Kristian di negara itu, kerana pemisahan gerejanya hanya lebih kepada menggantikan kepimpinan gereja daripada Paus Rom kepada Raja England. Oleh yang demikian, golongan Protestan yang menginginkan pembaharuan radikal terhadap institusi gereja dan golongan penganut Katolik yang hendak memulihkan kepercayaan agama Katolik sering mencetuskan konflik di negara England dari pertengahan abad ke-16 hingga abad ke-17.

Golongan Protestan yang memperjuangkan pembaharuan agama Kristian yang lebih radikal di England dikenali sebagai “Puritan”. Ramai dalam kalangan golongan Puritan dipengaruhi oleh fahaman Calvinisme, dan boleh dikatakan sebagai lanjutan gerakan Calvinis di England. Mereka tidak berpuas hati dengan Reformasi Inggeris yang tidak cukup menyeluruh, dengan Gereja England masih menerima pakai sesetengah amalan yang dikaitkan dengan Gereja Katolik Rom. Golongan Puritan berazam untuk “membersihkan” atau “menyucikan” (purify) Gereja England dengan menyingkirkan unsur-unsur dan pengaruh Katolik daripada amalan keagamaan di England.

Golongan Puritan bersekutu dengan golongan borjuis yang semakin berkembang dan berpengaruh di England pada awal abad ke-17. Mereka juga menjalin hubungan dengan golongan Presbiterian di Scotland yang mempunyai banyak persamaan dari segi ideologi keagamaan dengan mereka. Golongan Puritan kemudiannya menjadi salah satu kuasa politik utama di England sehingga dapat berkuasa semasa Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an. Walau bagaimanapun, terdapat banyak aliran dengan spektrum yang meluas dalam kalangan golongan Puritan, daripada yang berpendirian moderat hingga yang berfahaman radikal.

Faktor-faktor yang mencetuskan Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an:

  • Konflik antara Parlimen dan Raja yang semakin memuncak
  • Ketidakpuasan hati rakyat terhadap pemerintahan Raja Charles I yang autokratik
  • Kelas borjuis perusahaan dan komersial menuntut lebih banyak kebebasan
  • Perbalahan berkisar pada isu agama (Protestan dan Katolik)
  • Pengenaan cukai yang membebankan untuk membiayai peperangan yang melibatkan Kerajaan England
  • Aspirasi golongan Puritan yang lebih radikal untuk memperjuangkan perubahan yang lebih demokratik dan menyeluruh
“Parlimen Pendek” pada tahun 1640. (sumber: History of Parliament)

Raja England dan Parlimen

Apabila hubungan pengeluaran ekonomi kapitalis semakin berkembang dan kelas borjuis (yang terdiri daripada golongan pedagang, golongan orang kaya di bandar dan golongan gentri di kawasan desa) menjadi semakin berpengaruh dalam kehidupan sosioekonomi di England, wujudnya ketegangan malah pertentangan antara kelas sosial yang sedang bangkit ini dengan kelas pemerintah feudal lama (yang terdiri daripada raja, golongan pemimpin gereja dan golongan bangsawan). Dari segi asas ekonomi, negara England sudah melangkah masuk ke dalam kapitalisme dengan ekonomi komersial yang pesat membangun; tetapi dari segi superstruktur, terutamanya sistem politik, ia masih berfungsi untuk mengekalkan struktur masyarakat feudal yang tidak lagi bersesuaian dengan realiti sosioekonomi. Ini merupakan percanggahan asas yang wujud secara ketara dalam masyarakat England pada abad ke-17.

Golongan borjuis mempunyai perwakilan dalam Dewan Rakyat Parlimen England. Parlimen England pada masa itu yang berkembang daripada Magnum Concilium sejak Zaman Pertengahan, mempunyai dua dewan, iaitu: Dewan Pertuanan (House of Lords) yang anggotanya terdiri daripada golongan bangsawan dan uskup-uskup (golongan paderi yang berkuasa dalam gereja); dan Dewan Rakyat (House of Commons) yang anggotanya terdiri daripada “wakil rakyat” yang dipilih mengikut kawasan perwakilan dalam kalangan golongan tuan tanah serta orang kaya yang berharta. Semakin banyak orang yang bukan berasal daripada keturunan bangsawan feudal lama, menjadi kaya raya kerana memiliki tanah dan menjalankan aktiviti ekonomi di atas tanah itu. Kekayaan sesetengah golongan orang kaya ini sudah melebihi golongan bangsawan feudal sedia ada. Golongan orang kaya yang dikenali sebagai gentri (gentry) ini membentuk tulang belakang kepada kelas borjuis moden. Dengan kelas sosial ini semakin membesar dengan pembangunan ekonomi kapitalis yang pesat, semakin banyak golongan gentri atau golongan borjuis menjadi wakil dalam Dewan Rakyat.

Walaupun Parlimen mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang dan meluluskan cukai yang dikenakan oleh monarki, kuasa pemerintahan sebenar masih tertumpu dan memusat dalam tangan raja yang berada di kedudukan tertinggi dalam susunan struktur masyarakat feudal. Parlimen England tidak mempunyai kuasa tetap yang besar dalam sistem politik di England pada masa itu. Sebaliknya, hanya berfungsi sebagai sebuah badan penasihat sementara kepada raja, dan hanya dipanggil untuk bersidang apabila raja hendak berbuat demikian. Jika Parlimen dipanggil untuk bersidang pun, Raja England boleh membubarkan Parlimen bila-bila masa mengikut kehendaknya. Oleh itu, golongan borjuis berpandangan agak kritikal terhadap kuasa mutlak raja yang terlalu besar dan nampaknya tidak dapat dicabar itu.

Selepas kematian Ratu Elizabeth I pada tahun 1603, Raja James VI dari Scotland, mengambil alih takhta Raja England sebagai Raja James I, dan memulakan pemerintahan Dinasti Stuart (1603-1714) di England. Ini juga membawa kepada “penyatuan mahkota” antara Kerajaan England dan Kerajaan Scotland buat kali pertama, iaitu kedua-dua negara England dan Scotland diperintah oleh seorang raja yang sama. Penyatuan mahkota ini menjadi pendahulu kepada pembentukan “Kerajaan Britain Raya” (1707-1800) yang melibatkan penggabungan secara rasmi England (termasuk Wales) dengan Scotland, kemudiannya “Kerajaan Britain Raya dan Ireland” (1801-1922), dan “Kerajaan Bersatu Britain Raya dan Ireland Utara” atau UK pada hari ini. Selepas Raja James I bertakhta, dia berusaha untuk memperkukuhkan pemerintahan feudal yang autokratik dan menegakkan doktrin “hak ketuhanan raja” di mana seorang raja itu tidak perlu bertanggungjawab terhadap mana-mana pihak berkuasa duniawi (seperti parlimen).

Raja Charles I menggantikan Raja James I yang meninggal dunia pada tahun 1625. Raja Charles I meneruskan doktrin pemerintahan monarki feudal yang autokratik itu, dengan membubarkan Parlimen dua kali pada tahun 1625 dan 1626 kerana menganggap parlimen itu tidak membawa manfaat kepadanya. Oleh sebab tidak dapat mengumpul dana tanpa Parlimen, Raja Charles I memanggil satu Parlimen baharu pada tahun 1628. Antara ahli parlimen yang dipilih ke dalam Dewan Rakyat pada masa itu ialah Oliver Cromwell, John Hampden, John Eliot dan Edward Coke. Oliver Cromwell dan John Hampden ialah wakil golongan gentri yang dipengaruhi oleh fahaman Puritan; John Eliot ialah seorang ahli politik yang lantang bersuara untuk memperjuangkan hak parlimen; sementara Edward Coke ialah seorang peguam dan hakim yang tegas mempertahankan keluhuran undang-undang am terhadap hak keistimewaan raja.

Parlimen yang bersidang itu merangka dan meluluskan “Petisyen Hak” (Petition of Right) pada 7 Jun 1628. Petisyen Hak ialah sebuah dokumen perlembagaan yang mengisytihar bahawa setiap warga Inggeris mempunyai pelbagai “hak dan kebebasan”, seperti: tiada orang boleh dipaksa untuk memberikan hadiah, pinjaman atau cukai tanpa sebarang Akta Parlimen; tiada individu yang bebas boleh dipenjarakan atau ditahan melainkan dapat ditunjukkan sebabnya; dan askar atau anggota Tentera Laut Diraja Inggeris tidak boleh ditempatkan di rumah milik persendirian orang awam tanpa persetujuan bebas daripada pemilik rumah itu. Raja Charles I pada awalnya menerima Petisyen Hak sebagai kompromi untuk mendapatkan dana yang diperlukannnya.

Namun, Raja Charles I membubarkan Parlimen England sekali lagi pada tahun 1629, dan menahan 9 orang ahli parlimen yang lantang bersuara mempertahankan Petisyen Hak. Salah seorang yang ditahan, John Eliot, mati dalam tahanan pada tahun 1632 dan menjadikannya seorang martir yang terkenal kerana mempertahankan hak parlimen. Pembubaran Parlimen England pada tahun 1629 menandakan permulaan pemerintahan peribadi autokratik Raja Charles I yang berlarutan selama 11 tahun.

Revolusi tercetus

Apa yang dikenali sebagai “Revolusi Inggeris” sebenarnya bermula di Scotland pada tahun 1637, apabila golongan Presbiterian di Scotland bangkit memberontak terhadap dasar-dasar keagamaan yang cuba dikenakan oleh Ketua Biskop Gereja England ke atas Scotland.

Di Scotland, golongan bangsawan tempatan, orang-orang kaya di bandar dan golongan paderi Calvinis di situ telah bersatu untuk melakukan Reformasi Protestan mereka sendiri lama sebelum Reformasi Inggeris dari atas itu. Gereja Scotland yang Protestan itu mengamalkan doktrin aliran Presbiterianisme, iaitu gereja harus ditadbir urus oleh golongan penatua (elders) atau presbiter. Raja Charles I, Raja England yang juga Raja Scotland pada masa yang sama, cuba memaksa Gereja Scotland untuk menerima amalan keagamaan yang berasaskan doktrin Anglikanisme yang masih mempunyai banyak unsur-unsur Katolik, sudah tentu menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan golongan Protestan di situ, malah mencetuskan pemberontakan dari bawah.

Jenny Geddes melontarkan bangku ke arah paderi di Gereja St Giles, Edinburgh, Scotland, mencetuskan “Revolusi Inggeris”. (ilustrasi: artis tidak diketahui, 1843)

Pada 23 Julai 1637, apabila ketua paderi di Gereja St Giles di Edinburgh mula membaca buku doa yang ditetapkan oleh Ketua Biskop Anglikan, Jenny Geddes, seorang peniaga wanita di pasar, melemparkan bangku ke arah paderi itu dan menimbulkan huru-hara di gereja itu. Tidak lama kemudian, ribuan orang golongan Presbiterian Scotland berhimpun untuk menandatangani “Perjanjian Kebangsaan” (National Covenant) untuk mempertahankan agama mereka dan membantah “pembaharuan” yang cuba dikenakan oleh Raja Charles I terhadap Gereja Scotland. Golongan Presbiterian Scotland yang mendukung “Perjanjian Kebangsaan” ini dikenali sebagai Covenanter.

Raja Charles I cuba menundukkan golongan Covenanter di Scotland dengan cara kekerasan, maka mencetuskan “Perang Uskup-uskup” (1639-1640).

Untuk mengumpulkan dana bagi membiayai perbelanjaan ketenteraan, Raja Charles I memanggil persidangan Parlimen England pada 13 April 1640. Namun, ahli-ahli parlimen yang mewakili kepentingan golongan borjuis dan dipimpin oleh John Pym, menggunakan kesempatan ini untuk mengemukakan semula tuntutan yang mengehadkan kuasa monarki dan mendapatkan lebih banyak kebebasan untuk pembangunan perusahaan komersial. Raja Charles I yang terasa terancam itu terus membubarkan parlimen yang hanya bersidang selama 3 minggu itu pada 5 Mei 1640, maka parlimen itu dikenali sebagai “Parlimen Pendek” (Short Parliament).

Raja Charles I melancarkan serangan sekali lagi ke atas Scotland tanpa sokongan Parlimen, tetapi mengalami kekalahan teruk di medan perang. Tentera Scotland terus menceroboh England dan menduduki bahagian timur laut England. Dalam keadaan terdesak, Raja Charles terpaksa memanggil semula persidangan Parlimen pada 3 November 1640. Parlimen yang dipanggil itu kemudiannya dikenali sebagai “Parlimen Panjang” (Long Parliament), dan menandakan permulaan satu proses revolusi yang hebat di bumi England.

Raja Charles I menandatangani rang undang-undang pada tahun 1640 yang bersetuju bahawa Parlimen yang bersidang pada masa itu tidak boleh dibubarkan tanpa persetujuan Parlimen itu sendiri. (ilustrasi: artis tidak diketahui, ~1640)

Dengan persidangan Parlimen Panjang mula diadakan, ketegangan hubungan antara Parlimen dan Raja England semakin memuncak. Mereka yang menjadi perwakilan dalam Parlimen Panjang itu kebanyakannya ialah golongan pemilik harta yang berfahaman konservatif. Namun, sebahagian daripada golongan pemilik harta ini mula bertindak secara “radikal” atas dua sebab. Yang pertama, mereka menganggap pemerintahan monarki berkuasa mutlak itu sebagai ancaman langsung kepada keterjaminan harta yang dikumpulkan oleh mereka. Yang kedua, mereka didorong, dipujuk dan ditekan oleh mobilisasi massa golongan kelas menengah dan rakyat bawahan di luar parlimen yang hebat.

Oleh itu, ahli-ahli parlimen yang bersidang dalam Parlimen Panjang mula mengemukakan tuntutan untuk memperbetulkan ketidakadilan yang wujud sebelum meluluskan dana kepada Raja England. Antara tuntutan-tuntutan mereka termasuk pemansuhan cukai yang dikenakan sewenang-wenangnya, penghapusan kuasa Raja untuk membubarkan Parlimen tanpa persetujuan ahli-ahli parlimen, penyingkiran uskup-uskup daripada Dewan Pertuanan, dan sebagainya.

Parlimen menjatuhkan hukuman mati ke atas Thomas Wentworth, Earl Strafford, seorang ketua tentera dan penasihat diraja yang rapat dengan Raja Charles I, atas pertuduhan pengkhianatan dan salah laku lain. Selain itu, Parlimen England meluluskan sebuah undang-undang yang menyatakan bahawa Parlimen baharu akan bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap tiga tahun tanpa perlukan panggilan daripada Raja, dan satu lagi undang-undang yang melarang Raja daripada membubarkan Parlimen tanpa persetujuan Parlimen walaupun sudah mencapai tempoh tiga tahun. Parlimen juga meluluskan undang-undang yang mengharamkan Raja daripada mengenakan cukai tanpa persetujuan Parlimen, serta memberikan kuasa kepada Parlimen untuk mengawal menteri-menteri di sekeliling Raja.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap Thomas Wentworth, Earl Strafford, pada 12 Mei 1641. (ilustrasi: Wenceslaus Hollar)

Adalah amat jelas bahawa Parlimen England, terutamanya Dewan Rakyat yang sudah dikuasai oleh golongan borjuis, dengan sokongan daripada golongan kelas menengah, semakin berkeyakinan untuk mencabar kekuasaan monarki secara terang-terangannya. Ini telah melemahkan jentera negara feudal dan membantu dalam mengehadkan kuasa Raja, maka membuka ruang kepada pembaharuan politik borjuis.

Pada bulan Disember 1641, Raja Charles I melantik seorang pegawai yang setia padanya sebagai Leftenan Menara London, untuk menggantikan pegawai yang pro-Parlimen. Menara London ialah kubu tentera yang penting di ibu negara England. Perlantikan seorang yang setia raja sebagai Leftenan Menara London menimbulkan kebimbangan orang ramai tentang percubaan rampasan kuasa tentera terhadap Parlimen. Oleh itu, ribuan orang warga kota London turun berkumpul di jalanan Westminster untuk menyatakan bantahan mereka.

Berhadapan dengan demonstrasi massa yang hebat, perlantikan pegawai setia raja sebagai Leftenan Menara London itu dibatalkan. Namun, rakyat London yang berhimpun itu masih menyekat jalan di Westminster. Mereka melaungkan slogan “Tak mahu uskup-uskup!” (No bishops!), kerana golongan uskup merupakan ahli-ahli parlimen yang paling reaksioner. Uskup-uskup yang cuba memasuki parlimen telah dihalang oleh demonstran, dan sekurang-kurangnya seorang uskup dilempar ke dalam sungai!

Golongan Royalis, iaitu mereka yang menyokong Raja, menyerang warga kota London yang berhimpun itu dengan pedang. Para demonstran melawan balik dengan batu kelikir, jubin dan batu-bata. Bandar London pada masa itu bagaikan dijilat api pemberontakan rakyat.

Pada 30 Disember 1641, Dewan Rakyat memecat 12 orang uskup yang utama sebagai ahli parlimen, dan Dewan Pertuanan menghantar mereka ke penjara. Warga kota London meraikannya dengan membunyikan loceng gereja di seluruh bandar London dan menyalakan unggun api di jalanan. Tindakan massa dari bawah mencetuskan dan memajukan revolusi.

Pada 4 Januari 1642, Raja Charles I, yang diiringi oleh 400 orang askar yang bersenjata, menyerbu masuk ke dalam Dewan Rakyat semasa persidangan parlimen sedang berlangsung, untuk cuba menahan 5 orang ahli parlimen atas pertuduhan pengkhianatan. 5 orang ahli parlimen itu ialah John Hampden, Arthur Haselrig, Denzil Holles, John Pym dan William Strode. 5 orang ahli parlimen tersebut telah meninggalkan Dewan Rakyat sebelum Raja Charles I sampai. Apabila ditanya oleh Raja Charles I di mana mereka berada, William Lenthall, Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada masa itu, melutut di hadapannya dan berkata bahawa dia hanya taat setia pada Parlimen dan bukannya kehendak Raja. Ini kali pertamanya seorang Yang di-Pertua Dewan Rakyat bercakap sedemikian kepada seorang raja di England!

William Lenthall melutut di hadapan Raja Charles I yang cuba menangkap 5 orang ahli parlimen, dan menyatakan bahawa dia hanya setia pada Parlimen. (ilustrasi: Charles West Cope)

Raja Charles I bukan sahaja gagal menangkap ahli-ahli parlimen yang dikehendaki itu, malah membarakan lagi api kemarahan rakyat terhadap pemerintahan autokratiknya. Selama beberapa hari, ribuan orang lelaki warga kota London mempersenjatakan diri mereka dengan tombak, pedang, tongkat dan apa-apa sahaja yang boleh dipegang dengan tangan, untuk bersiap sedia melawan dengan tentera setia raja yang hendak merampas kuasa Parlimen. Golongan wanita pula membawa perkakas dan perabot dari rumah mereka untuk mendirikan sekatan jalan, serta menyediakan air panas mendidih untuk dicurahkan ke arah tentera setia raja.

Pada 10 Januari 1642, Raja Charles melarikan diri dari London dan pergi mencari perlindungan di bahagian utara England. Sepanjang musim panas pada tahun 1642, kedua-dua pihak penyokong Parlimen dan penyokong Raja bersiap sedia untuk konfrontasi yang lebih hebat, dengan bandar-bandar dan pekan-pekan di seluruh negara mengisytihar sokongan mereka kepada satu pihak atau yang lain. Berlakunya ratusan pertembungan antara golongan penyokong Parlimen dan golongan Royalis (penyokong raja) untuk menguasai gedung senjata, tapak pertahanan penting dan unit militia di seluruh negara England.

Pertempuran Mur Marston pada 2 Julai 1644 (ilustrasi: John Barker)

Perang Saudara Inggeris Pertama

Pada bulan Ogos 1642, Raja Charles I mengibarkan panji diraja di Nottingham untuk melancarkan perang terhadap Parlimen. Ini menandakan bermulanya apa yang dikenali sebagai “Perang Saudara Inggeris Pertama” (1642-1646). Pertempuran pertama antara tentera Royalis (penyokong Raja) dan tentera Parlimen berlaku pada 23 Oktober 1642 di Edgehill, selatan daerah Warwickshire, wilayah Midlands Barat.

Raja Charles I mendirikan kerajaannya sendiri di Oxford, dengan menguasai wilayah-wilayah di bahagian tengah England, utara England, kawasan perkampungan di bahagian barat England dan Wales. Golongan penyokong Parlimen pula menguasai bandar London, bahagian tenggara dan bahagian timur England serta kebanyakan bandar pelabuhan.

Tentera Parlimen pada awalnya sering ditewaskan oleh tentera Royalis. Untuk mengubah keadaan, Parlimen England memutuskan untuk bersekutu dengan Scotland dan menandatangani satu perjanjian pada bulan September 1643 untuk memelihara Presbiterianisme sebagai agama rasmi Scotland. Oleh itu, Parlimen England mendapat sokongan daripada golongan Covenanter, sebuah gerakan politik Presbiterian di Scotland yang menyokong Gereja Scotland dalam peperangannya dengan golongan Royalis.

Golongan penyokong Parlimen juga menubuhkan “Tentera Model Baharu” (New Model Army), sebuah tentera profesional yang lebih berdisiplin dan efektif dalam pertempuran berbanding tentera yang sebelumnya. Tentera tetap yang ditubuhkan pada tahun 1645 ini dianggotai oleh golongan Puritan dan golongan menengah yang merupakan pemilik harta kecil dengan ramai dalam kalangan mereka yang mempunyai pandangan lebih sekular, maka askar-askarnya mempunyai pemikiran yang lebih radikal berbanding tentera lain.

Thomas Fairfax (1612-1671), Ketua Komander Tentera Model Baharu. (lukisan potret oleh Robert Walker)

Thomas Fairfax dilantik sebagai ketua komander Tentera Model Baharu dan memainkan peranan penting dalam mengatur serta melatih pasukan tempur yang berkesan ini. Oliver Cromwell dilantik sebagai komander pasukan berkuda Tentera Model Baharu dan memainkan peranan utama dalam memenangi perang terhadap tentera Royalis. Golongan Independen, iaitu golongan Puritan yang mendukung penyahpusatan kuasa gereja dan kebebasan agama yang lebih besar, mendominasi dalam kalangan pegawai-pegawai yang memimpin Tentera Model Baharu. Golongan Independen yang menerajui Tentera Model Baharu hanya hendak mempertahankan Parlimen yang melindungi kepentingan golongan borjuis, dan bukannya memperjuangkan perubahan revolusioner yang mentransformasikan seluruh masyarakat England. Namun, mereka sentiasa menghadapi tekanan dari bawah, daripada askar-askar di bawah kepimpinan mereka, untuk membawa perjuangan ke arah yang lebih radikal.

Oleh sebab Tentera Model Baharu dianggotai oleh ramai orang daripada golongan bawahan dan golongan Protestan yang berfahaman lebih radikal, wujudnya usaha untuk mendemokrasikan struktur tentera itu dengan membentuk “Majlis Tentera” pada tahun 1647 sebagai platform untuk mewakili pandangan daripada semua peringkat dalam tentera itu. Majlis Tentera pada asalnya terdiri daripada komander kanan seperti Thomas Fairfax dan perwakilan yang dipilih oleh askar-askar dalam rejimen masing-masing yang dikenali sebagai Agitator. Setiap rejimen memilih dua orang Agitator untuk menyuarakan tuntutan askar-askar bawahan dan menyelaras tindakan politik bersama rejimen-rejimen lain. Golongan Agitator juga membentuk hubungan rapat dengan golongan Leveller, sebuah gerakan demokratik radikal yang mempunyai sokongan kuat di London dan bandar-bandar lain.    

Pertempuran Naseby yang menyaksikan kemenangan Tentera Model Baharu terhadap tentera Royalis. (ilustrasi: artis tidak diketahui)

Namun, selepas perdebatan hebat pada bulan Oktober 1647 mengenai hala tuju politik setelah menewaskan tentera Royalis, pemimpin tentera seperti Oliver Cromwell dan Henry Ireton semakin khuatir tentang pandangan golongan Agitator yang radikal, maka mengeluarkan mereka daripada Majlis Tentera pada tahun 1648 dan menjadikannya Majlis Pegawai Tentera.

Tentera Parlimen mencapai kemenangan penting dalam Pertempuran Mur Marston pada 2 Julai 1644, Pertempuran Naseby pada 14 Jun 1645 dan Pertempuran Langport pada 10 Julai 1645. Sejak itu, tentera Royalis mengalami kekalahan demi kekalahan di medan perang. Tentera Parlimen menawan Oxford, yang merupakan markas utama tentera Royalis, pada bulan Jun 1646. Raja Charles I melarikan diri dari Oxford sebelum bandar itu diserang oleh tentera Parlimen, dan kemudiannya menyerah diri kepada tentera Presbiterian Scotland. Selepas rundingan selama 9 bulan, Scotland bersetuju untuk menyerahkan Raja Charles I kepada Parlimen England pada bulan Januari 1647.

England semasa Perang Saudara pada tahun 1643 dan 1645. (sumber: Encyclopædia Britannica)

Dua pihak utama yang bertempur dalam Perang Saudara Inggeris:

Pihak yang berperangParlimenRoyalis
Nama samaranRoundhead
(Kepala Bulat)
Cavalier
(Kesateria yang Menunggang Kuda)
Komposisi sosialKebanyakannya golongan Puritan, golongan pedagang, golongan gentri, tuan tanah kecil, orang kaya tempatan dan kelas menengah di bandar-bandarKebanyakannya golongan bangsawan, tuan tanah besar dan penyokong setia raja
Pendirian politikMendukung kedaulatan parlimen dan pengehadan kuasa monarkiMendukung “hak ketuhanan raja” dan pemerintahan monarki berkuasa mutlak
Pemimpin utamaJohn Pym (1584-1643),
Robert Devereux (1591-1646),
William Waller (1598-1668),
Oliver Cromwell (1599-1658), 
Edward Montagu (1602-1671),
Thomas Fairfax (1612-1671),
John Lambert (1619-1684),
Richard Cromwell (1626-1712)
William Cavendish (1593-1676),
Raja Charles I (1600-1649),
Rupert dari Rhine (1619-1682),
John Stewart (1621-1644),
Maurice dari Pfalz (1621-1652)
Parti politik yang menyambung warisan gerakan iniParti Whig
(ideologi liberal)
kemudiannya digantikan oleh Parti Liberal
Parti Tory
(ideologi konservatif)
kemudiannya digantikan oleh Parti Konservatif

Golongan penyokong Parlimen digelar “Roundhead” kerana gaya rambut sesetengah golongan Puritan. Kebanyakan golongan penyokong Parlimen memperjuangkan sistem raja perlembagaan untuk menggantikan sistem raja berkuasa mutlak yang cuba dikekalkan oleh Raja Charles I. Namun, pada penghujung Perang Saudara Inggeris, perasaan benci terhadap raja begitu hebat dalam kalangan rakyat sehingga membolehkan pemimpin-pemimpin Parlimen seperti Oliver Cromwell untuk memansuhkan sistem monarki sepenuhnya.

Pasukan berkuda Tentera Model Baharu. (ilustrasi: William Barns Wollen, ~1901)

Perang Saudara Inggeris Kedua

Selepas tamatnya Perang Saudara Inggeris Pertama dan Raja Charles I di bawah tahanan, wujudnya keadaan kekosongan kuasa separa di mana tiadanya mana-mana kumpulan politik utama di England pada masa itu cukup kuat untuk mendominasi. Terdapat 4 kumpulan utama yang berpengaruh dalam politik arus perdana di England pada masa itu, iaitu:

  • Golongan Royalis yang mendukung kuat Raja Charles I;
  • Golongan Presbiterian yang merupakan majoriti dalam Parlimen England, dengan pendirian hendak berdamai dengan Raja untuk mewujudkan sebuah rejim pemerintahan pemilik harta besar yang konservatif;
  • Golongan “Independen” yang mendominasi kepimpinan Tentera Model Baharu dan minoriti dalam Perlimen England, dengan pendirian ragu-ragu antara kompromi dan tindakan revolusioner; dan
  • Golongan Leveller yang disokong oleh warga bandar London dan kebanyakan askar bawahan dalam Tentera Model Baharu, dengan pendirian perubahan demokratik yang menyeluruh.

Jeneral-jeneral dalam tentera Parlimen yang merupakan golongan Presbiterian, sering teragak-agak dalam mengarahkan peperangan terhadap golongan Royalis dan berpegang pada pandangan tentang kemungkinan untuk berkompromi dengan Raja, sementara golongan Independen hendak memaksa Raja yang ditewaskan dalam peperangan itu untuk menerima segala syarat mereka. Wujudnya ketidakpercayaan antara golongan majoriti Presbiterian dalam Parlimen dan Tentera Model Baharu yang dikuasai oleh golongan Independen, sehingga golongan majoriti Presbiterian dalam Parlimen cuba membubarkan Tentera Model Baharu pada penghujung tahun 1647 tetapi tidak berjaya. Keadaan ini dipergunakan oleh Raja Charles I dan golongan Royalis untuk kelebihan politik mereka.

Parlimen England pada awalnya mengharapkan Raja Charles I akan menerima sistem raja berperlembagaan. Namun, Raja Charles I berdegil untuk memulihkan kuasa mutlak monarki, dan cuba mempergunakan perpecahan antara kumpulan-kumpulan politik yang berbeza haluan itu untuk membolehkan dirinya kembali berkuasa. Raja Charles I cuba melarikan diri daripada tahanan pada bulan November 1647 tetapi ditahan semula tidak lama kemudian.

Semasa penahanannya di Pulau Wight yang terletak di luar pesisir pantai selatan England, Raja Charles I cuba mengadakan rundingan tawar-menawar dengan pelbagai pihak untuk membolehkannya kembali berkuasa. Raja Charles I mencapai perjanjian rahsia dengan salah satu puak dalam golongan Convenanter Scotland pada bulan Disember 1647, di mana mereka bersetuju untuk menceroboh England dan membantu Raja Charles I dalam usahanya kembali bertakhta. Ini mencetuskan Perang Saudara Inggeris Kedua (1648).

Pencerobohan tentera Scotland ke atas England telah disokong oleh pemberontakan Royalis di wilayah-wilayah seperti Wales Selatan, Kent, Essex dan Lancashire, bersama dengan sebahagian Tentera Laut Diraja. Namun, operasi ketenteraan golongan Royalis kurang diselaraskan sehingga ditewaskan secara ketara pada bulan Ogos 1648 oleh tentera Parlimen yang dipimpin oleh Oliver Cromwell, John Lambert dan Thomas Fairfax, terutamanya dalam Pertempuran Preston pada 17-19 Ogos 1648.

Raja Charles I dihadap ke mahkamah untuk dibicarakan. (ilustrasi: artis tidak diketahui)

Raja England dihukum mati dan pembentukan Komanwel England

Selepas menumpaskan tentera Royalis untuk kali kedua, oleh sebab perjanjian rahsia Raja Charles I dengan golongan Convenanter Scotland dan tindakannya menghasut untuk berperang dengan Parlimen, berlakunya perbahasan hebat dalam Parlimen England tentang sama ada membenarkan Raja Charles I untuk kembali berkuasa atau tidak. Mereka yang masih ingin mengekalkan Raja Charles I sebagai raja termasuklah Thomas Fairfax yang merupakan pendukung sistem raja berperlembagaan dan pemimpin utama tentera Parlimen.

Apabila mengetahui bahawa Parlimen yang didominasi oleh golongan Presbiterian masih mahu menyokong Raja Charles I sebagai pemerintah England, askar-askar daripada Tentera Model Baharu, yang memainkan peranan penting dalam usaha menewaskan golongan Royalis di medan perang, bermobilisasi di bawah kepimpinan Kolonel Thomas Pride, dan berarak ke Parlimen pada 6 Disember 1648, untuk menghalang ahli-ahli parlimen yang dianggap memusuhi Tentera Model Baharu itu daripada memasuki Dewan Rakyat. Tindakan ini merupakan tindakan revolusioner untuk menghalang golongan Royalis yang ditewaskan itu daripada kembali berkuasa. Oleh sebab tekanan politik daripada askar-askar bawahan, Oliver Cromwell dan golongan Independen yang memimpin Tentera Model Baharu kini beralih kepada menyokong tindakan revolusioner.

Tentera Model Baharu yang menduduki parlimen itu menahan 45 orang ahli parlimen dan menyekat 146 orang lagi daripada memasuki dewan persidangan. Mereka hanya membenarkan 75 orang ahli parlimen masuk ke dalam dewan atas arahan Tentera Model Baharu. Peristiwa ini boleh dianggap sebagai pemberontakan golongan radikal dalam kalangan penyokong Parlimen untuk merampas kuasa dan menyingkirkan pengaruh susunan politik lama. Golongan Royalis dan golongan Presbiterian yang mahu mengekalkan pemerintahan monarki telah disingkirkan sepenuhnya daripada Parlimen. Parlimen yang bersidang selepas peristiwa ini dikenali sebagai “Parlimen Baki” (Rump Parliament).

Waran pelaksanaan hukuman mati terhadap Raja Charles I.

Parlimen yang dikecilkan itu menubuhkan Mahkamah Tinggi Keadilan yang ad hoc pada bulan Januari 1649 untuk membicarakan Raja Charles I atas pertuduhan pengkhianatan. Pada 27 Januari 1649, mahkamah menjatuhkan hukuman mati ke atas Raja Charles I berdasarkan penghakiman yang menyatakan dia bersalah atas jenayah-jenayah kezaliman, pengkhianatan, pembunuhan dan menjadi musuh awam kepada rakyat. 59 orang hakim menandatangani waran pelaksanaan hukuman mati terhadap Raja Charles I.

Pada 30 Januari 1649, Raja Charles I dipancung kepalanya di hadapan Rumah Jamuan Istana Whitehall, Westminster, London. Penghukuman mati Raja Charles I merupakan detik penting dalam sejarah England yang membawa kepada pemansuhan sistem monarki sementara di negara itu.

Pada hari yang sama apabila Raja Charles I dihukum mati, Parlimen England meluluskan undang-undang yang melarang mana-mana orang daripada mengisytihar dirinya sebagai Raja England. Dengan itu, negara England menjadi sebuah republik, dan ini disahkan melalui satu undang-undang yang diluluskan pada 19 Mei 1649 yang mengisytihar pembentukan Komanwel England (1649-1660). Pada awalnya kuasa politik Komanwel England dipegang oleh Parlimen dan Majlis Negara sebagai badan eksekutif. Majlis Negara ialah badan eksekutif yang dilantik oleh Parlimen mulai bulan Februari 1649.

Peristiwa pemansuhan sistem monarki yang bersejarah ini mengejutkan seluruh benua Eropah. Golongan pemerintah di tanah besar Eropah yang masih dikuasai oleh struktur masyarakat feudal itu, sama ada daripada golongan Katolik, Lutheran atau Calvinis, memutuskan hubungan mereka dengan kerajaan England. Tindakan revolusioner rakyat England dalam menyingkirkan raja yang dibenci ramai orang itu dianggap telah menghina satu prinsip yang dikongsi oleh semua golongan pemerintah di Eropah pada masa itu – sesetengah orang berhak untuk memerintah orang lain hanya kerana dia begitu bernasib baik untuk dilahirkan dalam sebuah kerabat diraja.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap Raja Charles I. (ilustrasi: artis tidak diketahui)

Tidak lama selepas England menjadi republik, golongan Covenanter di Scotland menobatkan Charles II, anak kepada Raja Charles I, sebagai Raja Scotland pada 5 Februari 1649. Ini mencetuskan pula Perang Inggeris-Scotland (1650-1651) yang juga dikenali sebagai “Perang Saudara Inggeris Ketiga”. Tentera Komanwel England yang dipimpin oleh Oliver Cromwell menewaskan tentera Scotland sepenuhnya pada bulan September 1651, dan Scotland diserapkan ke dalam Komanwel England. Raja Charles II melarikan diri ke tanah besar Eropah untuk mendapatkan perlindungan di situ.

Oliver Cromwell

Menghukum mati seorang raja yang mempunyai kuasa politik begitu besar itu mungkin dianggap sesuatu yang amat radikal pada abad ke-17, tetapi golongan penyokong Parlimen yang mengarahkan pelaksanaan hukuman mati terhadap Raja Charles I itu sebenarnya jauh bukan golongan republikan yang radikal.

Oliver Cromwell, pemimpin utama dalam tindakan revolusiner ini, sebenarnya masih mempertahankan keperluan untuk pemerintahan monarki kira-kira 20 bulan sebelum Raja Charles I dijatuhkan hukuman mati. “Tiada seorang pun dapat menikmati kehidupan dan harta pusaka mereka dengan tenang tanpa Raja mempunyai haknya,” begitu katanya Cromwell yang percaya bahawa monarki itu penting untuk kestabilan pemilikan harta dan ketenteraman masyarakat. (Nota: Kata-kata ini dipetik daripada buku tulisan Christopher Hill, God’s Englishman: Oliver Cromwell and the English Revolution, 1970, m/s 92)

Namun, pendirian Cromwell ini jelas berubah pada ketika imbangan kuasa telah beralih secara ketara kepada golongan yang anti-monarki dan kemarahan rakyat terhadap raja yang memuncak itu. Sebaik sahaja perbicaraan dan hukuman mati terhadap Raja Charles I diputuskan, Oliver Cromwell terus berkata, “Saya beritahu kamu, kita akan memenggal kepalanya dengan mahkota di atasnya.”

Oliver Cromwell berasal daripada sebuah keluarga gentri berharta tanah yang kaya. Dia ialah seorang Puritan yang tegar dan pemimpin utama Tentera Model Baharu yang memainkan peranan penting dalam menewaskan golongan Royalis dalam Perang Saudara Inggeris.

Sejak awal lagi, Cromwell menegaskan bahawa orang yang bertempur bagi pihak tentera Parlimen harus dipilih dengan teliti dan dilatih dengan betul, di samping perlu dapatkan askar yang berkelakuan baik dan taat setia kepada Parlimen tanpa mengira kepercayaan agama atau status masyarakat mereka. Cromwell berpandangan bahawa adalah amat penting untuk askar-askar dalam Tentera Model Baharu itu mempunyai kepercayaan yang kuat pada apa yang diperjuangkan mereka, maka Cromwell cenderung untuk merekrut orang yang berpegang pada fahaman Puritan yang kuat sepertinya.

Selepas Thomas Fairfax yang merupakan seorang pendukung raja perlembagaan meletak jawatannya sebagai ketua komander tentera kerana tidak mahu terlibat dalam perbicaraan dan penghukuman mati terhadap Raja Charles I, Oliver Cromwell menjadi pemimpin paling utama yang berpengaruh dalam Parlimen England dan semakin berkuasa.

Oliver Cromwell (1588-1658) (lukisan potret oleh Samuel Cooper, 1656)

Oliver Cromwell pernah dipilih sebagai ahli parlimen yang mewakili Huntingdon pada tahun 1628, kemudiannya dipilih lagi sebagai ahli parlimen untuk mewakili Cambridge dalam kedua-dua Parlimen Pendek dan Parlimen Panjang. Dia merupakan golongan Independen yang minoriti dalam Parlimen pada ketika itu, dengan pandangan yang lebih radikal berbanding golongan Presbiterian yang lebih konservatif.

Oliver Cromwell menunjukkan keupayaan kepimpinan ketenteraannya semasa Perang Saudara Inggeris Pertama, dan dilantik oleh sebagai komander pasukan berkuda Tentera Model Baharu di bawah perintah Thomas Fairfax. Cromwell mendapat sokongan yang besar dalam kalangan anggota tentera. Ini memberi kelebihan kepadanya dan kemudian menjadi asas kepada pengembangan kuasa politiknya.

Cromwell menawan Drogheda, Ireland, pada tahun 1649. (ilustrasi: Francis Barlow)

Cromwell juga terkenal dengan keganasan yang dilakukan oleh tentera Inggeris di bawah arahannya semasa tentera Parlimen England menceroboh Ireland. Dalam tempoh masa beberapa bulan sahaja pada tahun 1649-1650, Cromwell mencapai penguasaan terhadap Ireland dengan lebih lengkap berbanding mana-mana Raja England sebelum itu, dan pada masa yang sama mewujudkan pembunuhan beramai-ramai terhadap golongan Katolik di situ yang boleh dianggap sebagai pembersihan kaum. Selepas menawan seluruh Pulau Ireland, kerajaan Komanwel England merampas tanah yang dipegang oleh warga Ireland yang bermazhab Katolik dan mengagihkannya kepada warga Inggeris yang menganut mazhab Protestan. Penaklukan Ireland dengan menggunakan kekuasaan tentera oleh Cromwell berkaitan rapat dengan hasrat perluasan imperialisme Inggeris di bawah kerajaan baharu untuk memajukan kepentingan ekonomi golongan borjuis dan tuan tanah Inggeris.

Selepas Komanwel England menguasai Scotland pada tahun 1652 dan menakluki Ireland sepenuhnya pada tahun 1653, Oliver Cromwell sudah memperkukuhkan kuasa dominasinya dalam rejim pemerintahan baharu. Cromwell membubarkan Parlimen pada 20 April 1653, dan kemudiannya menubuhkan “Parlimen Kecil” yang terdiri daripada orang yang dipilihnya pada 4 Julai 1653.

Melalui “Instrumen Kerajaan”, sebuah dokumen perlembagaan Komanwel England yang dirangka oleh John Lambert dan diluluskan oleh Majlis Pegawai Tentera, Oliver Cromwell mengangkat sumpah sebagai Tuan Penaung (Lord Protector) bagi “Komanwel England, Scotland dan Ireland” yang disandang seumur hidupnya. Ini menandakan permulaan pemerintahan kediktatoran tentera Cromwell yang dikenali sebagai “Protektorat” sehingga dia meninggal dunia pada tahun 1658. Mungkin adanya orang berpandangan bahawa tindakan Cromwell itu hanya menjadikannya seorang raja tanpa gelaran raja, namun rejim pemerintahan Cromwell yang berasaskan kekuasaan tentera itu tidak mungkin dapat bertahan tanpa keupayaannya menyatukan pelbagai puak yang berlainan dan sokongan masyarakat yang lebih luas.

Tentera Model Baharu. (ilustrasi: Peter Jackson, ~1965)

4 prinsip asas yang terkandung dalam Instrumen Kerajaan sebagai perlembagaan di bawah Protektorat ialah:

  • Pemerintahan oleh satu orang dan Parlimen;
  • Pemanggilan persidangan Parlimen secara berkala, tetapi Parlimen tidak boleh wujud tanpa had tempoh;
  • Pemeliharaan “kebebasan naluri”;
  • Pembahagian kuasa kawalan terhadap angkatan tentera antara Tuan Penaung dan Parlimen.

Cromwell menjustifikasi penubuhan Protektorat sebagai usaha untuk “penyembuhan dan penyelesaian” kepada negara England selepas Perang Saudara, di mana kerajaan Protektorat berfungsi untuk mencegah keadaan huru-hara dan revolusi sosial yang lebih radikal. Cromwell agak tidak senang dengan golongan radikal, seperti golongan Leveller dan Diggers, yang pada pandangannya hendak memusnahkan institusi negara yang sudah wujud beratus-ratus tahun di England. Cromwell pernah memberitahu Majlis Negara, “Saya beritahu anda, tuan, anda tiada cara lain untuk menangani orang-orang ini kecuali menghancurkan mereka atau mereka akan menghancurkan anda.” Dari segi itu, Cromwell memang bukan radikal atau revolusioner sangat.

Parlimen Protektorat yang pertama diadakan pada 3 September 1654, dengan Cromwell menekankan usaha untuk memulihkan ketenteraman dalam ucapannya di Parlimen. Oliver Cromwell bersama Majlis Negara England merangka sebanyak 84 buah ordinan yang dibentangkan kepada Parlimen untuk disahkan. Cromwell berhasrat untuk mereformasi undang-undang, menubuhkan sebuah Gereja Puritan, membenarkan toleransi agama, menggalakkan pendidikan dan menyahpusatkan pentadbiran negara. Namun, cadangan yang dibawa oleh Cromwell tidak mendapat sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli parlimen yang mempunyai kepentingan sendiri yang berbeza-beza. Apabila gagal mendapatkan mana-mana satu daripada 84 rang undang-undang itu diluluskan oleh parlimen, Cromwell membubarkannya pada 22 Januari 1655. Satu lagi Parlimen Protektorat dipanggil oleh Cromwell dari 17 September 1656 hingga 4 Februari 1658.

Oliver Cromwell menentang monopoli dalam ekonomi yang dianggap hanya memanfaatkan golongan bangsawan yang rapat dengan kuasa pemerintah, terutamanya semasa zaman pemerintahan Ratu Elizabeth I dan dua orang raja Dinasti Stuart sebelum itu. Oleh sebab itu, laluan perdagangan Syarikat Hindia Timur Inggeris dibiarkan terbuka selama 3 tahun sehingga kerajaan Protektorat memberikan piagam monopoli baharu kepada syarikat itu pada bulan Oktober 1657 sebagai syarat pertukaran untuk mendapatkan bantuan kewangan daripadanya.

Pada tahun 1657, Parlimen Protektorat Kedua yang bersidang pada masa itu meluluskan usul untuk menawarkan takhta Raja kepada Oliver Cromwell, tetapi selepas teragak-agak selama 6 minggu, Cromwell menolak tawaran itu dengan berkata, “Saya tidak akan berusaha untuk mendirikan apa yang telah dihancurkan dan dijadikan debu oleh takdir Tuhan.” Walaupun begitu, Cromwell bersetuju untuk memulihkan banyak ciri-ciri pemerintahan monarki, seperti mengembalikan Dewan Pertuanan.

Cromwell menolak penobatan sebagai raja. (ilustrasi: Joseph Schex, 1861)

Oliver Cromwell memainkan peranan penting dalam perjuangan revolusioner yang menjatuhkan pemerintahan kekuasaan mutlak feudal lama untuk membuka ruang kepada pembangunan sistem ekonomi-politik baharu. Cromwell tidak mungkin mampu menumpaskan kekuasaan lama tanpa desakan daripada golongan yang lebih radikal dan massa rakyat yang bermobilisasi dari bawah pada setiap detik penting sepanjang tahun 1640-an

Namun begitu, Cromwell sendiri bukannya seorang pendukung idea kesamarataan sosial yang radikal ataupun demokrasi politik yang sebenar. Pendirian dan pendekatan politiknya lebih sehaluan dengan kepentingan golongan gentri atau golongan borjuis baharu yang sedang berkembang pada masa itu untuk melindungi hak harta persendirian serta mengekalkan susunan masyarakat kelas daripada ancaman “anarki” (keadaan masyarakat tanpa pemerintah dan tiadanya apa-apa peraturan yang menyekat rakyat). Oleh itu, walaupun Oliver Cromwell boleh dianggap sebagai seorang pemimpin revolusioner pada zamannya kerana menerajui perubahan politik daripada sistem monarki feudal kepada republik borjuis, tindakan revolusionernya dibataskan kepada memajukan kepentingan golongan pemilik harta, bukannya pembebasan masyarakat secara menyeluruh.

Kumpulan-kumpulan politik semasa Revolusi Inggeris 1640-an

Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an menyaksikan pertembungan terbuka antara dua kumpulan besar, iaitu golongan penyokong Parlimen dan golongan penyokong Raja. Namun, dalam golongan penyokong Parlimen itu, bukannya hanya terdapat satu kumpulan atau gerakan politik yang homogenus. Secara amnya, golongan penyokong Parlimen merangkumi mereka yang menentang pemerintahan Raja Charles I (yang dipancung kepada itu) dan menyokong kedaulatan Parlimen mendahului monarki. Dari segi komposisi kelas sosial, golongan penyokong Parlimen terdiri daripada pedagang, peniaga, gentri (orang kaya yang bukan keturunan bangsawan tetapi memiliki banyak harta), pemilik tanah kecil, tukang, petani bebas dan pemilik harta kecil yang membentuk kelas menengah di bandar. Oleh itu, adanya dalam golongan ini yang mendukung sistem raja berperlembagaan, dan adanya juga kumpulan yang lebih radikal dengan fahaman republikan.

Pencetusan Perang Saudara Inggeris dan penewasan golongan penyokong monarki di England pada tahun 1640-an, mewujudkan situasi revolusioner yang membuka ruang baharu kepada pembentukan dan pertumbuhan pelbagai aliran politik yang cuba menggunakan kesempatan bersejarah itu untuk memperjuangkan alternatif yang berbeza.

Kebanyakan dalam kalangan penyokong Parlimen ialah golongan Protestan yang berpisah daripada Gereja England dan tidak mahu dikongkong oleh struktur gereja yang lama. Mereka digelar sebagai “Pengingkar Inggeris” (English Dissenters) atau “Pemisah Inggeris” (English Separatists). Banyak aliran yang berbeza dalam kalangan “Pengingkar Inggeris”, seperti Puritan, Leveller dan Digger, yang mana anggota-anggota dalam kumpulan-kumpulan ini sering bertindih ataupun berubah pendirian.

Risalah propaganda yang diterbitkan pada tahun 1647 untuk mengecam dan menyerang aliran-aliran “Pengingkar Inggeris” yang dianggap bahaya oleh pihak berkuasa.

Berikut ialah beberapa aliran atau kumpulan politik yang aktif semasa Revolusi Inggeris:

Presbiterian

  • Presbiterian merupakan golongan Protestan mengharapkan gereja dikuasai oleh golongan “presbiter” atau “penatua” ( orang tua yang berpengalaman dan dihormati dalam masyarakat).
  • Mereka menyokong sebuah Gereja Presbiterian dengan struktur hierarki sendiri.
  • Mereka ialah golongan yang moderat dan konservatif dalam kalangan penyokong Parlimen.
  • Golongan Presbiterian merupakan majoriti dalam Parlimen Panjang, dan mendominasi secara politik pada peringkat awal Perang Saudara Inggeris.
  • Golongan Presbiterian dalam Parlimen hendak menamatkan perang saudara secepat mungkin dan bersedia untuk berunding dengan Raja Charles, di samping membantah fahaman republikan yang lebih radikal.
  • Golongan Presbiterian terdiri daripada kebanyakannya golongan pedagang, golongan gentri dan golongan elit profesional (seperti peguam).
  • Pemimpin utama golongan ini ialah John Pym (1584-1643), Denzil Holles (1598-1680) dan Thomas Fairfax (1612-1671).

Independen

  • Independen merupakan golongan Protestan yang menyokong kuasa autonomi gereja tempatan yang bebas daripada kongkongan gereja kebangsaan, menolak hierarki kuasa gereja dari pusat ke wilayah, dan memperjuangkan kebebasan agama untuk golongan bukan Katolik.
  • Pandangan agama golongan Independen menyebabkan sesetengah dalam kalangan mereka juga menyokong kumpulan-kumpulan politik yang lebih radikal seperti Leveller, yang memperjuangkan idea-idea seperti republikanisme, hak mengundi sejagat dan pemilikan bersama terhadap harta.
  • Ramai daripada golongan Independen mengambil jawatan tinggi dalam Tentera Model Baharu, maka menjadikannya kuasa politik utama di belakang Tentera Model Baharu.
  • Golongan Independen mendominasi politik di Parlimen selepas pembentukan Komanwel England.
  • Pemimpin utama golongan ini ialah Oliver Cromwell (1599-1658).

Monarkis Kelima

  • Golongan Protestan radikal yang berpegang pada kepercayaan tentang kepulangan Kristus untuk menubuhkan kerajaan “Monarki Kelima”, selepas Babylon, Parsi, Greece dan Rom, di mana mereka percaya bahawa penghukuman mati Raja Charles I menandakan tamatnya Monarki Keempat (iaitu Rom).
  • Mereka berhasrat untuk menubuhkan sebuah kerajaan teokratik yang berasaskan undang-undang alkitab.
  • Golongan ini pada asalnya menyokong Oliver Cromwell, tetapi mula membantah Cromwell selepas dia menjadi Tuan Penaung.
  • Golongan ini memberontak menentang Cromwell pada tahun 1657 tetapi dipatahkan; dan memberontak sekali lagi pada tahun 1661 selepas pemerintahan monarki Dinasti Stuart dipulihkan tetapi juga dipatahkan oleh kerajaan.
  • Tokoh golongan Monarkis Kelima yang terkenal termasuk Praise-God Barebone (1598-1679), John Carew (1622-1660) dan Morgan Llwyd (1619-1659).

Leveller

  • Golongan Leveller merupakan kumpulan penyokong Parlimen yang radikal.
  • Mereka memperjuangkan kedaulatan rakyat, perluasan hak mengundi, toleransi agama dan kesamarataan di sisi undang-undang.
  • Mereka juga mendesak untuk penggubalan perlembagaan bertulis dan pembinaan bentuk pemerintahan yang lebih demokratik.
  • Asas sokongan masyarakat untuk golongan Leveller terdiri daripada kelas menengah di England pada masa itu, termasuk tukang, peniaga kecil, pedagang kecil, pemilik tanah kecil, petani kecil yang lebih kaya dan askar dalam Tentera Model Baharu yang dipengaruhi oleh idea-idea mereka.
  • Tokoh Leveller yang terkenal termasuk John Lilburne (1614-1657), Richard Overton (???-1664), William Walwyn (1600-1681), Edward Sexby (1616-1658) dan Thomas Prince (???-1657).

Digger

  • Golongan Digger ialah kumpulan yang lebih radikal lagi berbanding Leveller.
  • Mereka berpegang pada idea-idea egalitarian yang memperjuangkan pemilikan tanah secara komunal dan pemansuhan pemilikan harta persendirian.
  • Mereka percaya pada kesamarataan sosioekonomi dan mengamalkan sosialisme agraria.
  • Asas sokongan masyarakat untuk golongan Digger terdiri orang miskin dan petani kecil yang kehilangan tanah kerana pemagaran tanah.
  • Pemimpin utama golongan Digger ialah Gerrard Winstanley (1609-1676) dan William Everard (1602-1651).

Agitator

  • Agitator (“Penghasut”) ialah gerakan politik dalam kalangan anggota Tentera Model Baharu yang memperjuangkan pembaharuan dalam pentadbiran tentera dan sistem politik yang lebih demokratik.
  • Golongan Agitator menuntut supaya askar-askar bawahan diberikan hak untuk bersuara mengenai hal ehwal politik dan memperluaskan hak mengundi serta hak-hak yang lain kepada lebih banyak orang selain golongan elit.
  • Walaupun hanya wujud seketika sahaja semasa Perang Saudara Inggeris, Agitator berkaitan rapat dan saling mempengaruhi gerakan Leveller.

Seeker

  • Golongan Seeker yang muncul sejak tahun 1620-an menganggap semua gereja pada masa itu sudah menyeleweng, dan mereka lebih rela menunggu wahyu daripada Tuhan secara sendiri.
  • Gerakan ini disertai oleh kebanyakan golongan kelas bawahan.

Ranter

  • Golongan Ranter ialah salah sebuah kumpulan Protestan radikal yang dianggap sebagai serpihan gerakan Seeker.
  • Mereka menolak gereja, kitab suci dan golongan paderi; sebaliknya menggesa orang ramai untuk mendengari Kritus dalam hati mereka.

Quaker

  • Quaker merujuk kepada mereka yang menganggotai “Religious Society of Friends”, sebuah gerakan Kristian proto-evangekalisme yang ditubuhkan oleh George Fox (1624-1691) pada tahun 1647.
  • Golongan Quaker menolak susunan hierarki dan ritual gereja, sebaliknya menekankan hubungan langsung individu dengan Tuhan.
  • Golongan Quaker yang kemudian memainkan peranan penting dalam mengasaskan pertubuhan-pertubuhan sukarelawan kemanusiaan antarabangsa seperti Service Civil International (SCI) yang ditubuhkan pada tahun 1920.
(ilustrasi: Clare Melinsky)

Leveller

Istilah Leveller, yang membawa maksud “orang yang meratakan”, berasal daripada tindakan protes golongan petani yang merobohkan atau meratakan pagar yang didirikan semasa proses “pemagaran tanah” yang mewujudkan tanah perladangan besar untuk menjana keuntungan kepada tuan tanah besar. Apabila tercetusnya Perang Saudara Inggeris pada tahun 1640-an, golongan penyokong Parlimen yang radikal membentuk gerakan Leveller untuk memperjuangkan kedaulatan rakyat, perluasan hak mengundi, kesamarataan di sisi undang-undang dan toleransi agama.

Golongan Leveller berpandangan bahawa “hak semula jadi” telah dicabuli oleh pihak penyokong Raja dalam Perang Saudara Inggeris. Berbeza dengan pegawai tinggi dalam Tentera Model Baharu dan golongan Presbiterian dalam Parlimen Panjang yang lebih cenderung untuk mengekalkan kerangka sistem raja berperlembagaan, golongan Leveller dan Agitator menggesa perubahan yang lebih radikal, termasuk “satu orang, satu undi” dan kebebasan naluri terutamanya dalam agama.

Agenda politik golongan Leveller dibangunkan seiring dengan perbezaan pendapat yang semakin meningkat dalam kalangan anggota-anggota Tentera Model Baharu semasa Perang Saudara Inggeris Pertama. Draf dokumen yang dikenali sebagai “Perjanjian Rakyat” (Agreement of the People) yang menggariskan idea-idea radikal golongan Leveller disebarkan dalam kalangan anggota-anggota tentera dan dikemukakan dalam “Perbahasan Putney” yang berlangsung dari 28 Oktober hingga 8 November 1647. Perbahasan Putney boleh diadakan kerana pengaruh golongan Leveller begitu kuat dalam kalangan anggota-anggota Tentera Model Baharu sehingga memaksa kepimpinan tentera untuk berbincang dengan askar-askar bawahan mereka.

Perbahasan Putney” ialah siri perbincangan antara pegawai-pegawai kanan daripada Tentera Model Baharu yang cenderung untuk mengekalkan pemerintahan Raja Charles dalam kerangka sistem raja berperlembagaan dan golongan radikal yang terdiri daripada anggota-anggota berpangkat rendah dalam Tentera Model Baharu, berkisar pada persoalan-persoalan mengenai penyelesaian politik yang patut diambil apabila tentera Parlimen menewaskan Raja Charles I dalam Perang Saudara Inggeris Pertama. Persoalan utama yang dibahaskan adalah, apakah hala tuju negara England selepas itu? Terdapat dua pilihan utama pada masa itu tentang hasil Revolusi Inggeris, iaitu: sama ada membina sebuah demokrasi radikal yang diterajui oleh golongan pemilik harta kecil, atau mewujudkan sistem raja berperlembagaan yang konservatif dan dikuasai oleh golongan pemilik tanah besar serta golongan pedagang kaya.

Terdapat banyak versi “Perjanjian Rakyat” dikeluarkan dan diedarkan dalam kalangan orang ramai. Versi muktamad “Perjanjian Rakyat” diterbitkan pada bulan Mei 1649, semasa kebanyakan pemimpin utama golongan Leveller berada dalam tahanan. Antara tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam “Perjanjian Rakyat” ialah:

  • Perluasan hak mengundi kepada hampir semua orang lelaki dewasa (tetapi tidak termasuk penerima upah);
  • Pilihan raya setiap dua tahun;
  • Kebebasan beragama;
  • Toleransi terhadap perbezaan agama;
  • Pemansuhan pemenjaraan kerana hutang;
  • Penghapusan korupsi dalam proses parlimen dan kehakiman.
Thomas Rainsborough (1610-1648)

Semasa “Perbahasan Putney”, Thomas Rainsborough (atau juga dikenali sebagai Rainborowe), seorang pegawai berpangkat kolonel yang berfahaman paling radikal dan mewakili pendirian politik Leveller dalam Tentera Model Baharu, mengemukakan pandangan yang mencabar seluruh asas pemerintahan golongan gentri (orang kaya berharta) dan golongan pedagang dengan berkata, “Orang termiskin di England mempunyai hak yang sama untuk hidup seperti orang terhebat… setiap orang yang akan hidup di bawah sebuah kerajaan harus terlebih dahulu dengan persetujuannya meletakkan dirinya di bawah kerajaan itu… orang termiskin di England tidak harus terikat sama sekali dalam erti kata yang ketat kepada kerajaan yang dia tidak mempunyai suara untuk dirinya.” Rainborowe dibunuh dalam satu cubaan menculiknya pada tahun 1648, dan upacara pengebumiannya dihadiri oleh kira-kira 3,000 orang penyokong Leveller.

Selepas “Perbahasan Putney”, pemimpin tinggi Tentera Model Baharu, seperti Thomas Fairfax dan Oliver Cromwell, yang bimbang tentang pengaruh kuat fahaman Leveller dalam kalangan askar-askar Tentera Model Baharu, mengarahkan semua anggota tentera di bawah mereka untuk menandatangani satu perisytiharan yang menyatakan kesetiaan kepada Majlis Tentera (yang sudah menyingkir keluar anggota bawahan yang mewakili Leveller) dan Thomas Fairfax selaku Ketua Komander Tentera Model Baharu. Semasa pertemuan di Padang Corkbush, yang terletak di daerah Hertfordshire, England Timur, pada 15 November 1647, askar-askar yang cuba membawa tuntutan-tuntutan yang dikemukakan dalam “Perjanjian Rakyat” enggan menandatangani perisytiharan yang dikehendaki oleh kepimpinan tentera, tetapi mereka ditangkap, dan salah seorang pemimpin askar yang memberontak itu dihukum mati.

John Lilburne (1614-1657) (ilustrasi: George Glover, 1641)

John Lilburne, perintis gerakan Leveller yang merangka “Perjanjian Rakyat”, memperkenalkan konsep “lahir bebas” (freeborn) yang menekankan bahawa setiap orang adalah dilahirkan bebas bersama hak asasinya, iaitu bebas daripada perhambaan, dan hak lahir bebas itu bukannya sesuatu yang diberikan oleh kerajaan atau undang-undang buatan manusia. Hak lahir bebas, sebagai hak semula jadi, yang diperjuangkan oleh John Lilburne itu termasuklah hak untuk berdiam diri, hak untuk mendengar pertuduhan, hak untuk bersemuka dengan orang yang menuduh dan hak untuk mengelak daripada menyalahkan diri sendiri. Ketegasan John Lilburne dalam memperjuangkan hak-hak ini mungkin berkaitan rapat dengan siri perbicaraan dan pemenjaraan berpanjangan yang dihadapinya sepanjang hayat. John Lilburne pernah dipenjarakan banyak kali dari tahun 1630-an hingga dia meninggal dunia pada tahun 1657, kerana lantang bersuara dalam mengkritik pihak berkuasa.

Semasa Perang Saudara Inggeris, John Lilburne yang berjuang bersama golongan penyokong Parlimen itu dipenjarakan dari bulan Julai hingga Oktober 1645 kerana mengkritik Ahli-ahli Parlimen yang hidup dalam keselesaan sedangkan askar-askar daripada rakyat biasa bertempur bermati-matian untuk mempertahankan Parlimen. Petisyen yang menuntut pembebasan John Lilburne ditandatangani oleh lebih 2,000 orang warga London yang terkemuka pada masa itu dan diserahkan kepada Dewan Rakyat.

Pada bulan Julai 1646, John Lilburne dipenjarakan sekali lagi oleh golongan penyokong Parlimen kerana dia mengecam bekas komandernya dalam tentera, Edward Montagu, sebagai seorang pengkhianat dan bersimpati terhadap golongan Royalis. Kempen besar-besaran yang menuntut pembebasan John Lilburne daripada penjara pada masa itulah dianggap sebagai permulaan gerakan yang dikenali sebagai Leveller

Richard Overton, seorang lagi tokoh gerakan Leveller yang penting, ditahan pada bulan Ogos 1646 kerana menerbitkan risalah yang menyerang Dewan Pertuanan. Semasa dalam tahanan, Richard Overton menulis sebuah manifesto Leveller yang agak berpengaruh yang dikenali sebagai “Anak Panah Menentang Semua Penzalim dan Kezaliman” (An Arrow Against All Tyrants and Tyranny). “Setiap individu secara semula jadi diberikan harta individu oleh alam semula jadi yang tidak boleh diceroboh atau dirampas oleh sesiapa,” begitu tulisnya Richard Overton, jelas mencerminkan pemikiran golongan borjuis yang sedang membangun pada masa itu untuk mempertahankan hak harta mereka. Overton juga menekankan saling hormat-menghormati terhadap hak kebebasan,“Tiada sesiapa pun berkuasa ke atas hak dan kebebasan saya, dan saya tiada kuasa ke atas sesiapa pun.

Pada 11 September 1648, golongan Leveller menyerahkan petisyen yang mengandungi tandatangan dari seluruh negara, termasuk satu pertiga daripada seluruh penduduk London pada masa itu, kepada Parlimen England, untuk mengemukakan tuntutan-tuntutan demokratik seperti memperkukuhkan kuasa Parlimen, mengadakan pilihan raya untuk ahli-ahli parlimen setiap tahun tanpa perkenan raja, memastikan kerabat diraja juga terikat pada undang-undang, mengurangkan cukai persepuluhan (cukai agama) yang membebankan rakyat, tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk pergi berperang, dan sebagainya.

Selepas Raja Charles I dihukum mati, pada bulan Februari 1649, kepimpinan tentera Parlimen mengharamkan tindakan penyerahan petisyen oleh askar-askar kepada Parlimen, satu pendekatan yang sering digunakan oleh golongan Leveller untuk menyampaikan tuntutan mereka.

Pada bulan Mac 1649, 8 orang Leveller dalam Tentera Model Baharu pergi berjumpa dengan Thomas Fairfax selaku Ketua Komander Tentera Model Baharu untuk menuntut supaya memulihkan hak penghantaran petisyen, tetapi 5 orang daripada mereka terus disingkir keluar daripada tentera.

Pada bulan April 1649, 300 orang askar infantri dalam Tentera Model Baharu dipecat tanpa diberi bayaran tunggakan upah kerana mereka mengisytihar bahawa mereka tidak akan pergi berkhidmat di Ireland sehingga tuntutan Leveller untuk pembaharuan radikal ditunaikan. Tidak lama kemudian pada bulan yang sama, askar-askar yang ditempatkan di Bishopsgate, salah sebuah pintu di bahagian timur tembok pertahanan London pada masa itu, memberontak dengan tuntutan yang serupa dan tidak mematuhi arahan pegawai atasan, tetapi menyerah diri selepas Thomas Fairfax dan Oliver Cromwell sendiri merayu pada mereka. Walaupun begitu, 15 orang askar yang terlibat dalam pemberontakan itu ditangkap dan dibicarakan dalam mahkamah tentera, dengan 6 orang dijatuhkan hukuman mati. 5 daripada orang askar yang dijatuhkan hukuman mati diampunkan kemudian, tetapi seorang Leveller yang bernama Robert Lockyer masih dihukum tembak sampai mati pada 27 April 1649. Ribuan orang membanjiri upacara pengebumian Robert Lockyer.

Pada bulan Mei 1649, di Banbury, yang terletak di daerah Oxfordshire di England Tenggara, 400 orang askar Tentera Model Baharu yang dipimpin oleh Kapten William Thompson yang bersimpati dengan golongan Leveller, memberontak dan cuba mendapat sokongan daripada rejimen askar lain untuk tuntutan politik mereka. Pemberontakan ini dipatahkan oleh tentera yang dikerahkan oleh Oliver Cromwell, dengan Kapten William Thompson terbunuh dalam pertempuran dan 300 orang ditahan di Burford, Oxfordshire. 3 orang daripada pemberontak yang ditahan itu kemudiannya dihukum tembak sampai mati di perkarangan sebuah gereja di Burford. Pematahan pemberontakan ini juga menandakan penghapusan pengaruh Leveller dalam Tentera Model Baharu.

Kebanyakan pemimpin gerakan Leveller, termasuk John Lilburne, William Walwyn, Thomas Prince, dan Richard Overton, sudah dipenjarakan pada tahun 1649 oleh Majlis Negara yang dikuasai oleh golongan Independen. Tambahan pula dengan pematahan pemberontakan askar-askar dalam Tentera Model Baharu, gerakan massa yang mencetuskan dan memajukan Revolusi Inggeris sejak Jenny Geddes melemparkan bangku ke arah paderi di Gereja St Giles di Edinburgh pada tahun 1637, boleh dikatakan telah dipatahkan hampir sepenuhnya oleh golongan yang berkuasa dengan sokongan gerakan massa yang sama.

Selepas menewaskan Raja dan menyingkirkan golongan Presbiterian daripada Parlimen, Tentera Model Baharu tidak diperlukan lagi untuk bertempur di England. Dengan penyingkiran keluar golongan Leveller daripada Tentera Model Baharu, ia dikerahkan ke Ireland untuk menakuki pulau itu supaya memulihkan penjajahan Inggeris di situ.

Dalam satu risalah yang dikeluarkan oleh golongan Levellers, berkemungkinan ditulis oleh William Walwyn yang ditahan di Menara London pada masa itu, untuk ditujukan kepada askar-askar Inggeris yang dikerahkan ke Ireland, dikemukakan persoalan yang kritikal: “Adakah anda masih akan terus membunuh, menyembelih dan membantai orang, untuk menjadikan (pegawai-pegawai anda) penguasa dan tuan berkuasa mutlak ke atas Ireland, sebagaimana yang anda menjadikan mereka ke atas England? Atau adakah ia cita-cita anda untuk menurunkan taraf orang Ireland kepada kegembiraan dalam mengutip cukai persepuluhan… kepada eksais, kastam dan monopoli dalam perdagangan? Atau untuk mengisi penjara mereka dengan banduan kurang upaya yang miskin, untuk mengisi tanah mereka dengan segerombolan pengemis?” Ini semestinya satu amaran tentang apa yang bakal dilakukan oleh kelas pemerintah Inggeris di Ireland, dan mengemukakan pandangan jelas bahawa kebebasan masyarakat Inggeris tidak dapat dipisahkan daripada pembebasan Ireland. Namun, seruan ini tidak dapat memberi kesan lagi kerana golongan Leveller dalam tentera Inggeris telah disingkirkan malah ada yang dibunuh, dan orang miskin yang berkhidmat dalam tentera terpaksa mematuhi segala arahan tidak masuk akal daripada kepimpinan atasan demi menjaga mata pencarian mereka. Tragis tetapi benar.

Golongan Leveller pernah menerbitkan suratkhabar mereka sendiri dari bulan Julai 1648 hingga September 1649. Akhbar yang diterbitkan oleh golongan Leveller itu diberi nama “The Moderate”, tetapi pandangan politik mereka dianggap bukan moderat, sebaliknya agak radikal, di mata sebahagian besar penyokong Parlimen, termasuk Cromwell.

Oliver Cromwell mempergunakan askar-askar dan massa rakyat yang dipengaruhi oleh idea radikal Leveller untuk menumpaskan golongan penyokong Raja dan menewaskan ancaman daripada golongan Presbiterian dalam Parlimen England, tetapi pada masa yang sama dia juga menindas golongan Leveller untuk mencegah idea-idea radikal yang dibawa oleh mereka itu menular di luar kawalan sehingga menggugat susunan politik baharu yang dibinanya selepas Perang Saudara Inggeris.

Walaupun golongan Leveller memperjuangkan idea-idea yang agak radikal pada zaman mereka dan mempengaruhi gerakan-gerakan selepasnya yang menuju ke arah masyarakat yang lebih sama rata dan lebih demokratik, ia masih bukannya sebuah gerakan radikal yang berasaskan rakyat bawahan yang miskin dalam masyarakat. Asas sokongan massanya ialah golongan kelas menengah berharta dan golongan borjuis kecil yang berkembang pesat dari segi bilangan mereka pada masa itu kerana kemunculan hubungan sosioekonomi kapitalis. Oleh itu, golongan Leveller berpegang pada idea-idea asas borjuis seperti mendukung hak pemilikan harta persendirian, dan tidak menyokong pemilikan bersama sumber-sumber pengeluaran. Jika mengikut spektrum politik pada hari ini, seorang Leveller yang paling radikal pun hanya digolongkan sebagai seorang yang berfahaman liberal.

Demokrasi yang diperjuangkan oleh golongan Leveller bukannya lagi demokrasi yang menyeluruh ataupun sekurang-kurangnya hak mengundi sejagat, kerana mereka mengecualikan pembantu rumah tangga dan golongan yang bergantung pada bantuan kebajikan daripada mengundi dalam pilihan raya, atas alasan mereka bimbang bahawa golongan miskin yang bergantung pada ehsan orang lain hanya akan mengundi mengikut kehendak tuan mereka. Tuntutan politik mereka juga langsung tidak menuntut hak mengundi bagi golongan wanita.

Walau bagaimanapun, golongan Leveller merupakan salah sebuah kumpulan politik yang paling radikal dan berani dalam kalangan golongan kelas menengah dan borjuis kecil pada masa itu, kerana mengetengahkan program politik yang boleh membawa perubahan revolusioner yang lebih hebat berbanding apa yang sebenarnya telah berlaku. Mereka berbuat demikian dari sudut pandangan kumpulan-kumpulan masyarakat yang berharap untuk berkembang makmur daripada pertumbuhan bentuk pengeluaran ekonomi kapitalis, tetapi kumpulan-kumpulan masyarakat yang diwakili oleh golongan Leveller ini masih belum membangunkan kesedaran diri yang jelas sebagai sebuah kelas menengah pada masa itu. Namun, apa yang dilakukan oleh golongan Leveller itu mula mencabar struktur politik tradisional yang membolehkan sebahagian kecil dalam masyarakat memiliki “hak ketuhanan” untuk memerintah orang lain.

Walaupun ditewaskan pada akhirnya, seperti Thomas Müntzer dan golongan Anabaptis dalam Perang Petani Jerman kira-kira 100 tahun sebelum itu pada tahun 1524-1525, golongan Leveller memainkan peranan penting dalam mewujudkan tradisi perjuangan menentang pemerintahan kelas di England. Pengaruh politiknya masih diteruskan dalam gerakan politik selepasnya, malah sesetengah idea revolusionernya diambil oleh Oliver Cromwell dan penyokongnya walaupun dalam skop yang terhad untuk melaksanakan langkah-langkah yang berjaya mematahkan usaha mereka yang hendak mengembalikan masyarakat Inggeris kepada feudalisme sepenuhnya.

Digger

Walaupun golongan Leveller itu dianggap terlalu radikal kerana tuntutan demokratik mereka yang masih terhad, adanya satu lagi golongan yang lebih radikal lagi berbanding Leveller. Kumpulan ini dikenali sebagai Digger, yang bermaksud orang yang menggali tanah. Golongan ini merupakan pendukung idea kesamarataan sosioekonomi yang berpandangan lebih jauh ke hadapan berbanding golongan lain pada zaman mereka. Mereka boleh dikatakan perintis kepada sosialisme moden.

Golongan Digger ialah kumpulan radikal yang berpecah keluar daripada golongan Leveller pada tahun 1649. Pada asalnya, mereka menggelar diri mereka sebagai “True Levellers” (Leveller yang sebenar), kemudiannya dikenali sebagai Digger kerana tindakan mereka memasuki tanah bersama yang dipagarkan untuk bercucuk tanam di situ. Mereka bukan sahaja merobohkan atau meratakan tembok yang memagarkan tanah bersama, tetapi menggali tanah di situ untuk mewujudkan ekonomi egalitarian yang berasaskan pertanian. Golongan Digger cuba membina komuniti pertanian kecil yang berpegang pada prinsip kesamarataan dan perkongsian bersama antara anggota-anggota masyarakat di kawasan desa . Oleh itu, idea dan program politik yang dibawa oleh golongan Digger boleh dikatakan sebagai sejenis sosialisme agraria.

Sebagai golongan Protestan yang berpegang teguh pada prinsip asas agama, kepercayaan golongan Digger mengenai kesamarataan ekonomi diambil daripada ayat 4:32 buku “Kisah Para Rasul” dalam Alkitab Kritian yang menyatakan bahawa “seluruh kumpulan orang yang berkepercayaan itu adalah satu hati dan jiwa, dan tiada sesiapa pun yang menuntut pemilikan terhadap apa-apa harta benda, tetapi segala yang dimiliki oleh mereka adalah dipegang secara bersama”. Dalam erti kata lain, golongan Digger percaya bahawa segala harta benda (terutamanya tanah) harus dimiliki secara bersama, bukannya dijadikan milikan persendirian. Golongan Digger berpandangan bahawa pemilikan persendirian terhadap harta, terutamanya tanah yang diswastakan dalam proses pemagaran tanah, merupakan punca kepada segala penindasan, peperangan, keganasan, perhambaan, ketidaksamarataan dan ketidakadilan.

Aksi golongan Digger yang paling terkenal ialah pendudukan Bukit St. George yang terletak di daerah Surrey, England Tenggara, pada 1 April 1649 oleh 20 orang miskin untuk mewujudkan sebuah komun, dan memulakan aktiviti bercucuk tanam di atas tanah bersama di situ. Manifesto golongan Digger, yang bertajuk “The True Levellers Standard Advanced” (1649) dan dicetak pada bulan yang sama dengan penubuhan komun di Bukit St. George, menjelaskan tindakan mereka, “Kerja yang akan kami lakukan adalah ini, menggali Bukit Georges dan tanah terbiar sekitarnya, dan menanam jagung, dan memakan roti kami bersama-sama dengan peluh kami.” Matlamat golongan Digger melakukan ini adalah untuk “meletakkan asas kepada menjadikan Bumi sebagai Khazanah Bersama untuk semua, baik kaya mahupun miskin, supaya setiap orang yang lahir di tanah ini, boleh diberi makan oleh Ibunya Bumi yang melahirkannya.”

Bermula dari Bukit St. George di Surrey, komun-komun Digger turut ditubuhkan di daerah-daerah seperti Buckinghamshire, Kent dan Northamptonshire. Tujuan pendudukan tanah adalah untuk mengusahakan tanah itu dengan aktiviti pertanian dan mengagihkan makanan tanpa menerima apa-apa bayaran kepada sesiapa yang menyertai mereka dalam kerja itu. Golongan Diggers berpandangan bahawa Perang Saudara Inggeris ialah perjuangan melawan Raja dan golongan tuan tanah besar; dengan golongan setia raja ditewaskan dan Raja England itu dihukum mati, tanah di seluruh negara England harus dibuka kepada akses semua orang terutamanya golongan miskin supaya mereka boleh bercucuk tanam untuk mengeluarkan makanan.

Tindakan golongan Digger yang menduduki tanah dan mendirikan komun yang bersifat egalitarian itu memang menakutkan golongan pemilik tanah dan kerajaan Komanwel England. Oleh sebab itu, komun-komun Digger menghadapi pengusiran daripada golongan tuan tanah yang mengupah samseng untuk memukul mereka dan memusnahkan petempatan mereka. Kerajaan juga menggunakan pelbagai tindakan undang-undang untuk mengancam golongan Digger. Namun, oleh sebab golongan Digger menolak untuk menggunakan kekerasan dalam memperjuangkan impian mereka, kebanyakan komun Digger dimusnahkan pada tahun 1650.

Walaupun komun-komen bersifat anarko-sosialis yang didirikan oleh golongan Digger itu tidak bertahan lama kerana penindasan daripada golongan tuan tanah dan pihak berkuasa, tulisan-tulisan politik oleh golongan Digger memberikan ancaman ideologi yang paling menggerunkan kepada seluruh kelas pemerintah di England pada masa itu. Golongan pembaharu yang tidak mendukung sistem monarki pun, termasuk golongan Leveller, turut menentang idea-idea golongan Digger kerana terlalu radikal.

Idea-idea yang diperkenalkan oleh gerakan Digger bukannya program pembaharuan separuh masak atau mencari “pendamaian” dengan struktur masyarakat yang sedia wujud (seperti yang dilakukan oleh golongan Presbiterian dan Independen dalam kalangan penyokong Parlimen), sebaliknya menawarkan alternatif yang mencabar asas ketidaksamarataan yang wujud dalam ekonomi dan masyarakat. Prinsip asas golongan Digger untuk menjadikan “Bumi sebagai Khazanah Bersama” ialah “kerja bersama, makan roti bersama, isytiharkan semua ini ke luar negeri”.

Gerrard Winstanley (1609-1676)

Tokoh pemikir golongan Digger yang paling utama, ialah Gerrard Winstanley, seorang tukang jahit di London dan berpindah ke daerah Surrey serta menjadi penggembala lembu selepas perniagaannya muflis. Gerrard Winstanley menulis “The True Levellers Standard Advanced” sebagai manifesto golongan Digger untuk tindakan penubuhan komun mereka. “Bumi telah dijadikan khazanah bersama untuk semua orang hidup secara selesa, tetapi oleh sebab tindakan manusia yang saling tidak benar, ia menjadi tempat di mana orang menyeksa sesama sendiri,” begitu tulis Gerrard Winstanley dalamnya.

Gerrard Winstanley menyerang golongan tuan tanah dan mengecam pemagaran tanah dalam satu lagi tulisannya “Pengisytiharan daripada Rakyat Tertindas yang Miskin di England” ( A Declaration from the Poor Oppressed People of England), dengan menulis, “Kuasa memagarkan tanah dan memiliki harta telah dicipta oleh nenek moyang kamu dengan pedang; yang mula-mulanya membunuh saudara mereka sendiri, dan selepas merampas atau mencuri tanah mereka, dan meninggalkan tanah ini turun-temurun kepada kamu, anak cucu mereka. Dan oleh itu, walaupun kamu tidak membunuh atau mencuri, namun kamu memegang benda yang terkutuk di tanganmu dengan kuasa pedang; dan dengan itu anda mempertahankan perbuatan jahat nenek moyang mu, dan dosa nenek moyangmu akan ditimpa ke atas kepala kamu dan anak-anak kamu sehingga generasi ketiga dan keempat, dan kuasamu yang penuh berdarah dan mencuri itu dicabut keluar dari tanah ini.” Ini satu kenyataan yang jelas membongkarkan sifat asas kekuasaan negara kapitalis dan keganasannya.

Gerrard Winstanley juga menulis, “England bukannya sebuah bangsa yang bebas, sehingga golongan orang miskin yang tidak mempunyai tanah itu, mempunyai peruntukan bebas untuk menggali dan mengerjakan tanah bersama, supaya hidup selesa seperti golongan tuan tanah yang tinggal di tanah yang dipagarkan mereka.”

Walaupun dianggap sebagai seorang yang pelik dan tidak diberi perhatian dalam arus perdana pada zamannya sehingga kini, pemikiran Gerrard Winstanley adalah koheren, kritikal, jelas dan tajam, menjadikannya salah seorang ahli teori politik yang paling tajam akal pada zamannya. Gerrard Winstanley menghasilkan tulisan yang paling radikal di England sebelum Karl Marx dan golongan revolusioner sosialis lain berbuat demikian kiri-kiri 200 tahun kemudian.

Dengan menggabungkan pemahamannya tentang unsur-unsur egalitarian dalam agama Kristian, teologi daripada gerakan Reformasi Protestan yang lebih radikal, retorik yang dibawa dalam pemberontakan petani sebelum itu, fahaman kemanusiaan daripada Renaissance dan idea-idea yang mistik, Gerrard Winstanley membangunkan pemikiran bersifat sosialis yang menekankan bahawa “Bumi menjadi Khazanah Bersama” bukannya sesuatu yang hanya muncul pada masa hadapan yang jauh dan oleh sebab perantaraan sesuatu agen ghaib, tetapi wujud pada masa kini oleh kerana kerja yang dilakukan oleh manusia sendiri.

Gerrard Winstanley menggariskan idea-ideanya tentang sebuah masyarakat egalitarian yang bersifat sosialis dalam tulisannya “The Law of Freedom in a Platform” (1652) yang ditujukan kepada Oliver Cromwell. “Kebebasan sebenar terletak di mana seseorang itu menerima makanan dan pemeliharaannya, dan itu adalah dalam penggunaan bumi,” begitu tulisnya Gerrard Winstanley. “Jika kebebasan bersama ditemui dan mengurangkan penderitaan golongan yang tertindas, ia boleh mencegah rungutan dan pertelingkahan, dan mewujudkan kedamaian sejagat di bumi.”

Visi golongan Digger mempunyai banyak persamaan dengan idea-idea politik gerakan sosialis yang muncul kemudian, terutamanya idea-idea mengenai kesamarataan ekonomi, pemilikan bersama terhadap sumber-sumber pengeluaran dan penentangan terhadap pemilikan harta persendirian. Yang berbeza adalah pandangan dunia golongan Digger yang bersifat utopia ini bukannya berdasarkan teori ekonomi yang matang, tetapi berasaskan teologi Kristian dan kritikan moral terhadap ketidakadilan masyarakat. Walau bagaimanapun, golongan Digger yang mencabar susunan masyarakat sedia ada itu telah meninggalkan warisan ideologi yang penting kepada golongan revolusioner selepasnya dengan menawarkan visi radikal untuk sebuah masyarakat yang lebih adil dan sama rata.

Pemulihan monarki dan Revolusi Kegemilangan

Setiap revolusi akan ada kontra-revolusi atau revolusi balasnya, dan sering kali kontra-revolusi bukan sahaja boleh mengganggu tetapi menamatkan proses revolusi. Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an juga tidak dapat berkecuali daripada nasib ini, lebih-lebih lagi sejak awal lagi terdapat banyak golongan yang hanya mahukan pembaharuan yang separuh masak dan bukannya hendak memperjuangkan revolusi yang sebenar.

Penumpasan gerakan massa rakyat selepas tahun 1649 merupakan titik perubahan kritikal untuk Revolusi Inggeris. Ia adalah titik perubahan di mana momentum revolusi ke hadapan itu telah dibekukan oleh pemerintahan kediktatoran tentera dari atas. Pemerintahan pemimpin tentera selepas tahun 1649 bergantung pada sokongan daripada golongan pemilik tanah kecil, golongan pedagang dan pegawai-pegawai tentera. Majoriti golongan pemilik harta tanah besar memusuhi kerajaan baharu. Kebanyakan golongan pemilik harta kecil tenggelam semula dalam kepasifan dan kekeliruan politik selepas gerakan politik yang mewakili mereka itu, Leveller, dipatahkan sepenuhnya.

Komanwel England yang ditubuhkan hasil daripada Revolusi Inggeris itu tidak mampu membentuk sebuah kerajaan yang stabil untuk mentadbir kecuali bergantung pada keupayaan Oliver Cromwell dalam mengekalkan imbangan kuasa dan perpaduan pelbagai pihak melalui kuasa kediktatoran tentera yang dipegangnya. Sebahagian besar golongan elit borjuis takut pada perubahan yang radikal sehingga menjejaskan peluang untuk mereka terus mengumpul kekayaan, dan semakin bersekutu dengan golongan Royalis yang ditentang mereka semasa Perang Saudara Inggeris yang masih menganggap raja sebagai prasyarat untuk mengekalkan susunan masyarakat.

Selepas Oliver Cromwell meninggal dunia pada tahun 1658, Komanwel England terjerumus dalam situasi politik yang penuh kekecohan. Richard Cromwell, anak kepada Oliver Cromwell, mengambil alih jawatan Tuan Penaung Komanwel England, tetapi dia tidak mempunyai sokongan daripada Parlimen mahupun pihak tentera. Richard Cromwell hanya bertahan tidak sampai 9 bulan sebelum dia meletak jawatan dan menyerahkan kuasa kepada Parlimen pada tahun 1659 kerana ketidakstabilan politik dan tekanan daripada pihak tentera. Namun, krisis politik di dalam Komanwel England masih berterusan.

Golongan Royalis menggunakan kesempatan kekecohan politik pada masa itu untuk memulihkan pemerintahan monarki Dinasti Stuart dengan sokongan daripada golongan penyokong Parlimen dan sebahagian daripada pihak tentera yang bertempur dengan mereka sebelum itu. Raja Charles II dijemput untuk kembali bertakhta sebagai Raja England dengan persetujuan Parlimen pada tahun 1660.

Pemulihan monarki di England bukannya sesuatu perkara yang berlaku tanpa keganasan. Mereka yang pernah menjadi hakim dalam mahkamah yang membicarakan dan menghukum mati Raja Charles I sebelum itu telah dijadikan sasaran raja baharu itu. Pada masa itu, 38 daripada 59 orang hakim yang menandatangani waran pelaksanaan hukuman mati terhadap Raja Charles I masih hidup. Daripada jumlah itu, 13 orang telah dihukum mati, 16 orang dipenjarakan seumur hidup, dan hanya seorang diampunkan, sementara yang lain sempat melarikan diri ke luar negara. Oliver Cromwell yang sudah meninggal dunia setahun setengah sebelum pemulihan monarki juga dikenakan “hukuman mati selepas kematian”, bersama-sama dengan mayat orang lain seperti John Bradshaw (Presiden mahkamah yang mengadili Raja Charles I dan kemudian menjadi Presiden Majlis Negara Komanwel England) dan Henry Ireton (seorang jeneral tentera Parlimen dan anak menantu Oliver Cromwell). Mayat Cromwell digali keluar pada tahun 1661, digantung dengan rantai dan kemudian dibuang ke dalam lubang, sementara kepalanya dipotong dan dipamerkan pada sebatang tombak di atas bumbung Dewan Westminster sehingga tahun 1685, menunjukkan betapa hebatnya kebencian dan kemarahan golongan penyokong Raja England terhadap Cromwell kerana menumbangkan sistem monarki untuk seketika.

Pelaksanaan “hukuman mati selepas kematian” terhadap Oliver Cromwell, John Bradshaw dan Henry Ireton. (ilustrasi: artis tidak diketahui)

Walau bagaimanapun, kekuasaan raja yang dikembalikan itu sudah dilemahkan secara ketara berbanding keadaan sebelum tercetusnya Perang Saudara Inggeris, kerana lanskap politik dan imbangan kuasa antara kelas-kelas sosial di England sudah berubah secara ketara dalam tempoh dua dekad yang bergelora itu. Revolusi Inggeris berakhir dengan pemulihan monarki, tetapi banyak perubahan yang berlaku dalam tempoh singkat itu dikekalkan. Kelangsungan pemerintahan monarki di England kini perlu bergantung sepenuhnya pada kehendak kelas borjuis yang diwakili oleh Parlimen.

Selepas Raja Charles II meninggal dunia pada tahun 1685, adiknya mengambil alih takhta Raja England sebagai Raja James II (dikenali sebagai Raja James VII di Scotland). Wujudnya pergelutan kuasa politik dengan pelbagai pihak menggunakan alasan bahawa Raja James II seorang Katolik (sedangkan mazhab agama rasmi di England ialah Anglikanisme) untuk mendesak supaya anaknya Mary yang beragama Protestan dan menantunya Putera William dari kerabat Orange-Nassau untuk menggantikan takhtanya.

Putera William dari Orange ialah seorang bangsawan yang memegang jawatan Stadhouder bagi provinsi Holland, Zeeland, Utrecht, Gelre dan Overijssel di Republik Belanda. William dari Orange-Nassau menceroboh England dengan tentera Belanda pada tahun 1688 dan menggulingkan pemerintahan Raja James II.

William dari Orange dan tentera Belanda mendarat di Brixham, barat daya England, pada bulan November 1688. (ilustrasi: Jan Hoynck van Papendrecht)

Pemilihan untuk “Parlimen Konvensyen” diadakan pada bulan Januari 1689, dengan Parti Whig yang berfahaman liberal menguasai sedikit majoriti dalam Dewan Rakyat. Walaupun terdapat beberapa orang ahli parlimen yang radikal daripada Parti Whig berhujah untuk menubuhkan sebuah republik, kebanyakan ahli parlimen daripada Parti Whig berpendirian untuk mengehadkan kuasa raja tanpa menjatuhkan sistem monarki. Parlimen yang bersidang pada masa itu mengemukakan “Periytiharan Hak” (Declaration of Rights) yang menyatakan kesalahan yang dilakukan oleh Raja James II, hak-hak warga Inggeris dan kewajipan Raja England. Parlimen akhirnya memutuskan untuk mendukung Ratu Mary II dan Raja William III sebagai raja pemerintah bersama yang mengambil alih takhta Raja England pada bulan Februari 1689. Pergolakan politik ini digelar sebagai “Revolusi Gemilang” (Glorious Revolution).

Pada bulan Disember 1689, Parlimen England meluluskan “Perakuan Hak 1689” (Bill of Rights 1689), salah sebuah dokumen perlembagaan yang paling penting dalam sejarah England. Perakuan Hak, yang menyatakan semula dan mengesahkan kebanyakan peruntukan dalam “Perisytiharan Hak” yang terdahulu, mewujudkan sekatan-sekatan terhadap kuasa dan hak keistimewaan raja. Antara sekatan-sekatan yang dikenakan termasuk Raja tidak boleh menggantungkan undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, tidak boleh mengenakan cukai ke atas rakyat tanpa persetujuan Parlimen, tidak boleh mencabuli hak rakyat untuk mengemukakan petisyen, tidak boleh mencampur tangan dalam pilihan raya parlimen, tidak boleh menghukum ahli-ahli parlimen untuk apa-apa yang dikatakan oleh mereka semasa perbahasan dalam Parlimen, dan sebagainya. “Perakuan Hak 1689” menyediakan asas undang-undang kepada pembentukan sistem raja berperlembagaan di England.

Hasil daripada “Revolusi Gemilang”, hubungan antara negara England dan Republik Belanda yang pernah berperang sebanyak 3 kali sebelum itu (pada tahun 1652-1654, 1665-1667 dan 1672-1674) telah menjadi erat untuk satu abad seterusnya. Golongan peniaga Belanda menjadi pemegang saham terbesar dalam Syarikat Hindia Timur Inggeris, sementara negara England membawa masuk sistem kewangan moden yang diamalkan oleh Belanda, seperti mencontohi Bank Amsterdam yang ditubuhkan pada tahun 1609 dengan menubuhkan Bank England pada 1694, dan memperkenalkan sistem hutang awam negara, maka membantu dalam menyediakan asas kepada England (kemudiannya Britain) untuk menjadi sebuah kuasa imperialis global.

Walaupun pemerintahan monarki dikekalkan, kelas pemerintah lama yang terdiri daripada golongan tuan tanah feudal sudah kehilangan kuasa, malah mengalami kepupusan atau berubah kepada kapitalis baharu. Golongan borjuis yang terdiri daripada pedagang-pedagang dan orang-orang kaya yang memiliki harta semakin bergantung pada kuasa pasaran untuk mengumpulkan lebih banyak kekayaan. Golongan pemilik tanah besar semakin hari semakin menerima pakai kaedah pertanian kapitalis. Semakin banyak penduduk di bandar-bandar menjadi sama ada majikan yang mengupah orang lain untuk bekerja dengannya atau pekerja yang bekerja dengan orang lain untuk menerima upah. Dasar-dasar kerajaan, yang dikuasai oleh golongan borjuis melalui perwakilan mereka dalam Parlimen, ditentukan oleh keinginan atau keperluan untuk mengembangkan perdagangan di bawah logik pengumpulan modal, bukan lagi oleh kehendak raja untuk kepentingan feudal golongan bangsawan.

Persaingan semata-mata demi persaingan, semakin menjadi kuasa penggerak utama dalam aktiviti ekonomi, bukannya lagi keperluan penggunaan di hadapan mata bagi golongan kaya atau miskin. Kekayaan masyarakat dihasilkan pada kadar yang jauh lebih cepat dan dalam jumlah yang jauh lebih banyak di bawah kapitalisme berbanding sistem pengeluaran ekonomi sebelum itu. Mereka yang memiliki harta dan modal menguasai ekonomi sebegini untuk menjadi kelas pemerintah baharu. Namun, pada masa yang sama, semakin banyak orang yang hidup dalam masyarakat sebegini semakin bergantung pada keupayaan menjual tenaga buruh mereka kepada golongan pemilik modal supaya dapat terus menjalani kehidupan mereka.

Ini telah mengubah ekonomi di England secara ketara. England, yang pada satu masa dahulu merupakan bahagian yang lebih miskin di Eropah, membangun dengan cepatnya kepada sebuah ekonomi yang paling maju, maka membolehkan golongan pemerintah baharu di negara itu untuk membina sebuah empayar global, dan dalam proses itu, membolehkan juga sistem pengeluaran kapitalis baharu itu untuk menggantikan semua corak pengeluaran lain yang wujud di seluruh dunia.

Britain muncul sebagai negara kapitalis maju dan kuasa imperialis global

Menjelang penghujung abad ke-17, dengan negara England sudah melalui Revolusi 1640-an, pemerintahan republik yang singkat, pemulihan monarki dan peralihan kepada sistem raja berperlembagaan, seiring dengan pembangunan ekonomi kapitalis dan penjajahan di seberang laut yang bermula sejak abad ke-15, England (kemudiannya Britain) muncul sebagai sebuah kuasa besar di Eropah yang sedang memintas kuasa-kuasa besar lain pada masa itu, seperti Sepanyol, Portugal, Perancis dan Belanda.

Akta Penyatuan 1707 yang diluluskan oleh Parlimen England dan Parlimen Scotland menggabungkan kedua-dua buah kerajaan itu ke dalam sebuah entiti politik tunggal yang dikenali sebagai “Kerajaan Britain Raya” (Kingdom of Great Britain), menjadikannya sebuah negara kesatuan yang ditadbir oleh satu parlimen tunggal di Istana Westminster, London. Tanah jajahan Inggeris di Pulau Ireland pula digabungkan ke dalam negara kesatuan itu melalui Akta Penyatuan 1800 dan membentuk “Kerajaan Bersatu Britain Raya dan Ireland” (United Kingdom of Great Britain and Ireland) dengan nama singkatan UK yang digunakan sehingga hari ini.

Negara Britain yang “disatukan”, dengan England sebagai pusat kekuasaan ekonomi dan politik, terus mengembangkan pengaruh dan cengkaman kuasanya di seluruh dunia melalui perdagangan, peperangan, penaklukan, penjajahan, penjarahan sumber alam dan penindasan terhadap rakyat bawahan di seluruh dunia. Empayar British memperluaskan penguasaannya terhadap tanah jajahan di hampir setiap sudut dunia.

Pembangunan ekonomi kapitalis dan perluasan kuasa imperialis British dipacukan lagi dengan “Revolusi Perindustrian Pertama” pada penghujung abad ke-18 dan awal abad ke-19, dengan penggunaan enjin stim, pengeluaran tekstil dengan mesin yang canggih, peningkatan pengeluaran besi dan pengeluaran barangan pada skala besar-besaran melalui sistem perkilangan. Revolusi Perindustrian yang berlaku paling awal di Britain mempercepatkan lagi proses pengumpulan modal yang diiringi dengan eksploitasi tenaga buruh yang lebih hebat lagi, maka memajukan lagi sistem sosioekonomi kapitalis di Britain dan memperkukuhkan kekuasaan imperialis British di peringkat dunia.

Keinginan untuk memperoleh bahan metah, tenaga buruh dan pasaran baharu yang dapat menjana lebih banyak keuntungan dalam proses pengeluaran kapitalis, telah mendorong imperialisme kolonial. Perdagangan sebelum kapitalisme, di mana golongan pedagang hanya perlu menggunakan kaedah manipulasi harga jual beli yang mudah untuk menjana keuntungan daripada pertukaran barangan, tidak memerlukan penguasaan sepenuhnya ke atas tanah jajahan seperti yang diperlukan di bawah sistem kapitalis. Di bawah kapitalisme yang berkembang merentasi sempadan negara, golongan pemodal dari negara kapitalis yang maju melaburkan modal mereka di tanah jajahan yang jauh dari kedudukan negara asal mereka, dalam lombong dan ladang, tetapi ia mungkin memerlukan masa yang panjang untuk mendapatkan pulangan dan keuntungan yang tidak ada hadnya, maka menjadikannya juga memerlukan penguasaan yang berjangka masa lebih panjang terhadap tanah jajahan untuk memastikan pelaburan modal itu tidak dijejaskan oleh “ketidakstabilan” dari segi politik dan sosial di situ. Penguasaan terhadap tanah jajahan itu dilakukan melalui penempatan tentera, pewujudan sistem pemerintahan kolonial yang lebih menyeluruh serta pelaksanaan undang-undang kolonial yang mengikat semua penduduk di tanah jajahan, maka menyerapkan tanah jajahan itu ke dalam sistem ekonomi kapitalis global yang didominasi oleh kuasa imperialis.

Empayar British pada awalnya memfokus pada pembentukan tanah jajahan di benua Amerika Utara dan rantau Caribbean, dengan kekuasaan imperialis British mencapai kemuncak pertamanya pada pertengahan abad ke-18, terutamanya selepas menewaskan Perancis, pesaing imperialis utamanya pada masa itu, dalam Perang Tujuh Tahun (1756-1763) yang boleh dikatakan sebagai “perang dunia” yang paling awal kerana ia melibatkan hampir semua kuasa besar di Eropah dan medan peperangannya tersebar di hampir seluruh pelusuk dunia (dari Eropah dan Amerika Utara hingga ke Afrika Barat, India dan Filipina).

Kemuncak kekuasaan imperialis British yang kedua wujud dari awal abad ke-19 hingga awal abad ke-20, dengan sokongan daripada Revolusi Perindustrian di samping perluasan tanah jajahan di Afrika, Asia dan Pasifik. Britain yang tiada lagi pesaing dari segi kuasa maritim, menjadikan kuasa hegemoni global dan membolehkannya memainkan peranan sebagai “polis dunia”. Pada awal abad ke-20, Empayar British sudah menjadi empayar yang terbesar dalam sejarah manusia.

Peta menunjukkan kawasan-kawasan yang pernah dijajah oleh Empayar British. (sumber: Wikipedia)

Tempoh dari tahun 1815 hingga 1914 digelar sebagai “Pax Britannica” (Kedamaian Britain) kerana dikatakan wujudnya keamanan relatif antara kuasa-kuasa besar Eropah, tetapi tidak begitu aman di tanah-tanah jajahan kuasa imperialis Eropah di seluruh dunia. Gelaran “empayar yang matahari tidak pernah terbenam” yang pernah disandang oleh Empayar Sepanyol dari abad ke-16 hingga abad ke-18 telah dirampas oleh Empayar British yang jauh lebih hebat dari segi kekuasaan ekonomi dan politik.

Salah sebuah tanah jajahan penting bagi Empayar British ialah India, yang dikenali sebagai “Permata di atas Mahkota” bagi Britain. Penjajahan British di India bermula dengan penaklukan wilayah Bengal oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1757. Sebelum penjajah British menguasai rantau Asia Selatan, India merupakan sebuah negara yang agak kaya dari segi pengeluaran ekonomi, terutamanya perusahaan tekstil India yang boleh dikatakan paling maju dengan hasil pengeluaran terbesar di dunia pada masa itu, sebelum berlaku lagi Revolusi Perindustrian. Sehingga tahun 1750, India menghasilkan kira-kira 25% daripada keluaran ekonomi seluruh dunia, dengan tekstil sebagai barangan pengeluaran yang paling utama. Namun, selepas menakluki India, pihak pemerintah kolonial British memusnahkan keupayaan ekonomi India secara sistematik untuk terus mengkayakan Empayar British, melalui dasar-dasar yang mentransformasi ekonomi yang mandiri dan agak makmur itu kepada sekadar pembekal bahan mentah untuk sektor perindustrian British dan pasaran monopoli untuk barangan keluaran British. Dasar percukaian yang membebankan golongan petani tempatan menjadikan mereka terikat dengan hutang, sementara lambakan barangan berharga murah (seperti tekstil) yang dikeluarkan oleh kilang-kilang di Britain pula memusnahkan perusahaan kraftangan dan tekstil yang pada satu ketika agak maju di India. Dalam erti kata lain, pemerintahan kolonial British memiskinkan India untuk mengkayakan lagi negara Britain. Ini juga membawa kemiskinan yang berleluasa dalam kalangan rakyat bawahan dan meninggalkan kesan yang mendalam kepada generasi-generasi akan datang di India.

Nasib yang dihadapi oleh India bukannya sesuatu yang terasing. Selepas India, cengkaman kekuasaan imperialis British terus sampai ke Asia Tenggara, dengan Pulau Pinang menjadi wilayah pertama di rantau ini yang diambil alih sebagai tanah jajahan British pada tahun 1786. Semasa Perang Napoleon (1803-1815), pada tahun 1811-1815, pihak British menduduki Melaka yang dikuasai oleh Belanda pada masa itu untuk menghalang Empayar Perancis (yang menguasai Belanda ketika itu) daripada menuntutnya, tetapi “memulangkannya” kepada Belanda selepas perang itu tamat. Pihak British kemudiannya mengambil alih Melaka daripada Belanda melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang melibatkan pertukaran tanah jajahan di rantau Nusantara antara dua kuasa imperialis Eropah itu, pada tahun yang sama dengan Britain mendirikan tanah jajahan rasmi di Singapura. Ketiga-tiga buah tanah jajahan British terawal Asia Tenggara itu digabungkan ke dalam pentadbiran “Negeri-negeri Selat” pada tahun 1826. Perjanjian Pangkor pada tahun 1874 pula menandakan permulaan campur tangan British secara langsung dalam urusan ekonomi dan politik di negeri Perak dengan perlantikan Residen, diikuti dengan negeri-negeri Melayu lain (Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang) yang digabungkan dalam “Negeri-negeri Melayu Bersekutu” pada tahun 1895. Negeri-negeri di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu (Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu) pula mula ditarik ke dalam lingkungan kuasa penjajah British selepas Perjanjian Inggeris-Siam 1909, bersama dengan negeri Johor yang mula mendapat “perlindungan” daripada British sejak tahun 1885, dan dikumpulkan ke dalam “Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu”. Perampasan tanah, penjarahan sumber alam, dan pengeksploitasian terhadap tenaga buruh yang dibawa masuk dari wilayah lain di Asia untuk bekerja di lombong-lombong dan ladang-ladang, menjadikan Semenanjung Tanah Melayu sebagai penyumbang penting kepada pengukuhan kekuasaan imperialis British. Di bahagian utara Pulau Borneo pula, penjajahan British bermula di Sarawak pada tahun 1841 dengan pembentukan pemerintahan keluarga Brooke; Jajahan Mahkota Labuan ditubuhkan pada tahun 1848; Sabah dikuasai oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British mulai tahun 1882.

“Perbahasan Putney” pada tahun 1647. (ilustrasi: Clare Melinsky)

Impak dan pengajaran daripada Revolusi Inggeris 1640-an

Berbalik kepada abad ke-17, Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an, walaupun sering “dilupakan” secara sengaja sehingga hari ini, terutamanya dalam kalangan pendukung kapitalisme British (sama ada golongan konservatif atau golongan liberal), adalah tidak boleh dinafikan bahawa ia telah membawa impak yang hebat dan mendalam kepada seluruh masyarakat British serta trajektori sejarah dunia.

Pemulihan monarki di bawah Dinasti Stuart menandakan kegagalan Revolusi Inggeris dalam usaha memansuhkan sistem monarki sepenuhnya dan selama-lamanya. Namun, dengan kekuasaan monarki dilemahkan secara ketara dalam proses revolusi itu, pemulihan monarki di England tidak menerbalikkan proses peralihan masyarakat England daripada feudalisme kepada kapitalisme. Golongan borjuis mengekalkan kuasa yang signifikan dalam Parlimen, maka memastikan kapitalisme terus membangun pesat walaupun di bawah pemerintahan monarki berperlembagaan.

Sememangnya semasa Perang Saudara Inggeris, kebanyakan pihak dalam kalangan penyokong Parlimen, terutamanya golongan Presbiterian dan sebahagian golongan Independen, masih mahu mengekalkan pemerintahan monarki. Penghapusan pemerintahan monarki boleh berlaku pada tahun 1649 kerana sentimen anti-monarki yang hebat dalam kalangan massa rakyat dan usaha mobilisasi askar-askar bawahan yang mempunyai idea-idea lebih radikal untuk membebaskan masyarakat daripada cengkaman golongan pemerintah lama. Boleh dikatakan kemunculan republik di bumi England buat seketika sebelum beralih kepada sistem raja berperlembagaan itu merupakan sesuatu yang tidak dijangkakan oleh pemimpin-pemimpin golongan penyokong Parlimen. Walaupun England atau Britain akhirnya mengekalkan takhta raja sehingga hari ini, Revolusi Inggeris yang menghukum mati Raja England itu memberi inspirasi dan dorongan yang penting kepada gerakan revolusioner di negara-negara lain, termasuk tanah jajahan British itu sendiri.

Dalam buku “The World Turned Upside Down” (1972) oleh Christopher Hill, seorang ahli sejarah Marxis dari Britain yang menghasilkan banyak tulisan tentang Revolusi Inggeris, mengatakan bahawa dari tahun 1945 hingga 1653, wujudnya “perubahan, pertikaian, penilaian semula yang besar terhadap semua perkara di England”. “Institusi-institusi lama, kepercayaan-kepercayaan lama, nilai-nilai lama dipersoalkan,” begitu tulisnya Hill. “Orang beralih dengan mudahnya daripada satu kumpulan yang kritikal kepada kumpulan yang lain, dan seorang Quaker pada awal tahun 1650-an mempunyai lebih banyak persamaan dengan seorang Leveller, seorang Digger, atau seorang Ranter berbanding dengan seorang ahli Society of Friends pada zaman moden.”

Revolusi borjuis di England ialah satu proses perubahan masyarakat yang penuh dengan kontradiksi. Ia melibatkan tindakan massa oleh golongan pemilik harta kecil yang memperjuangkan kepentingan golongan pemilik harta besar, sedangkan kepentingan kedua-dua kelas ini sering bertentangan. Golongan borjuis yang baharu membangun dan hendak mempertahankan harta mereka, memerlukan mobilisasi dan tindakan massa daripada kelas menengah malah kelas bawahan untuk menjana kekuatan revolusioner yang mencukupi supaya memecahkan kekuasaan negara feudal yang berkuasa mutlak. Namun, aspirasi demokratik dan egalitarian daripada gerakan massa amat menakutkan golongan pemilik harta besar. Ini sering menyebabkan golongan borjuis cuba membatalkan revolusi borjuis itu sendiri dengan menindas golongan yang lebih radikal, seperti yang disaksikan bukan sahaja dalam Revolusi Inggeris 1640-an, tetapi juga revolusi-revolusi lain.

Dalam Revolusi Inggeris 1640-an, tindakan politik yang dilakukan oleh gerakan massa dan akar umbi tentera memainkan peranan yang menjadi penentu dalam beberapa keadaan kritikal di peringkat nasional semasa Revolusi dan ratusan perjuangan tempatan oleh golongan penyokong Parlimen yang menentang golongan Royalis. Golongan massa di bandar-bandar atau askar-askar dalam Tentera Model Baharu yang bertindak secara kolektif itu menggerakkan perjuangan revolusioner maju ke hadapan. Pemulihan monarki pada tahun 1660 boleh berlaku kerana gerakan revolusioner telah dilenyapkan satu dekad terdahulu oleh kepimpinan tentera yang berkuasa pada masa itu.

Banyak versi “Perjanjian Rakyat” telah dikemukakan oleh golongan Leveller untuk menuntut demokrasi dan kebebasan rakyat.

Inspirasi untuk revolusi borjuis seterusnya

“Bukan setiap orang menyedari bahawa kita pernah adanya satu revolusi di England jauh sebelum Revolusi Perancis, Revolusi Amerika atau Revolusi Rusia,” begitu katanya Tony Benn (1925-2014), seorang ahli politik berhaluan kiri daripada Parti Buruh Britain yang pernah menjadi Ahli Parlimen UK dan menerajui gerakan anti-perang “Stop the War Coalition”.

Revolusi Inggeris ialah revolusi borjuis yang hebat selepas Pemberontakan Belanda dan sebelum Revolusi Perancis yang akan berlaku lebih satu abad kemudian. Ia merupakan perjuangan kelas yang hebat antara kelas pemerintah feudal yang lama (raja, golongan bangsawan lama dan golongan tuan tanah feudal) dan kelas borjuis yang baharu muncul pada masa itu (seperti golongan pedagang, golongan gentri dan golongan pemilik tanah yang bukan keturunan bangsawan lama) yang disokong oleh kelas-kelas sosial menengah serta bawahan (seperti golongan petani kecil, golongan pemilik harta kecil, tukang-tukang dan askar-askar bawahan).

Revolusi ini menunjukkan bahawa golongan yang berada di atasan dan memiliki lebih banyak harta, walaupun mereka terlibat dalam perjuangan menentang rejim pemerintahan lama yang menjejaskan pembangunan kepentingan mereka, kebanyakannya memilih pendekatan pembaharuan yang lebih konservatif, atau dalam erti kata lain pembaharuan separuh masak. Sebaliknya, golongan menengah dan golongan bawahan, jika dibangunkan kesedaran politik mereka, boleh mengemukakan program pembaharuan yang lebih radikal dan menggerakkan perjuangan itu lebih maju lagi ke hadapan.

Walaupun Revolusi Inggeris tidak mencapai matlamat perjuangan golongan yang lebih radikal (seperti golongan Leveller dan golongan Digger), selain meletakkan asas kepada pembangunan kapitalis seterusnya, ia juga membekalkan inspirasi untuk idea-idea demokrasi dan pembebasan masyarakat yang radikal kepada perjuangan-perjuangan revolusioner selepasnya.

Revolusi Inggeris boleh dikatakan sebagai perjuangan revolusioner yang paling hebat pada abad ke-17, dengan idea-idea radikal yang terdapat dalam proses revolusioner ini mendahului zamannya. Idea-idea yang radikal ini menjadi benih kepada revolusi-revolusi akan datang. Satu abad kemudian, iaitu pada abad ke-18, di tanah jajahan British di seberang Lautan Atlantik, sebahagian idea-idea radikal dalam Revolusi Inggeris yang belum direalisasikan itu telah menjadi pendorong kepada satu gelombang revolusi yang menggegarkan Empayar British.

==========

Rencana ini ditulis oleh Choo Chon Kai, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Ketua Pengarang Sosialis.net.

==========

Rencana lain dalam Siri Revolusi Dunia:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *