
Berikut ialah kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) dan Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) dalam satu sidang akhbar yang diadakan di Ipoh pada 14 Februari 2025.
Pengenalan
Bermula 1 Februari 2025, kadar gaji minimum pekerja harus ditingkatkan daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan. Perintah Gaji Minimum (PGM) baharu ini, terpakai untuk majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih. Seramai 4.37 juta orang pekerja akan menikmati kadar gaji minimum baharu ini, dan ia meliputi semua pekerja swasta termasuk pekerja bukan warganegara. Penangguhan tempoh penguatkuasaan selama 6 bulan sehingga 1 Ogos 2025, hanya hanya membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima orang pekerja.
Pada awalnya, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) menyarankan kepada kerajaan supaya meningkatkan gaji minimum kepada sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan berdasarkan 7 aspek yang dikemukakan melalui serahan memorandum kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pada 27 September 2024. Selepas itu, Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim merangkap Menteri Kewangan mengumumkan bahawa gaji minimum baharu hanya ditingkatkan kepada RM1,700 dalam pembentangan Belanjawan 2025. Walaupun kami di PSM dan JPKK agak kecewa dan tidak berpuas hati dengan pengumuman ini, Menteri Sumber Manusia dalam satu kenyataan media selepas itu telah menyatakan bahawa RM1,700 hanya gaji permulaan sahaja, dan ia akan berbeza mengikut tahap akademik seseorang pekerja.
Kenaikan kadar gaji minimum ini penting untuk memastikan setiap pekerja dapat menikmati kehidupan yang selesa serta dapat mengimbangi segala peningkatan kos sara hidup dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar.
Peranan majikan
Majikan wajib membayar gaji minimum baharu mulai 1 Februari 2025 mengikut PGM. Segala pengiraan gaji wajib berdasarkan gaji pokok mengikut kadar gaji minimum baharu. Majikan harus membayar gaji pokok mengikut kadar gaji minima baharu tanpa membuat pemotongan pada gaji asal seorang pekerja. Pihak majikan tidak boleh memotong elaun dan mengurangkan faedah sedia ada bagi mengurangkan kos kenaikan gaji minimum baharu ini. Majikan juga dikehendaki mencarum bayaran KWSP dan PERKESO mengikut kadar baharu yang ditetapkan. Segala pengiraan hendaklah dibuat berdasarkan Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh Sabah atau Ordinan Buruh Sarawak, mengikut mana-mana yang berkenaan.
Peranan pekerja
Semua pekerja harus peka dan menyemak slip gaji terbaru mereka, dan cuba membuat kiraan masing-masing. Jika mana-mana majikan gagal membayar, sila menyoal kenapa dan bila mereka akan mula dibayar mengikut kadar yang sepatutnya. Semak dengan rakan sekerja yang lain, sama ada mereka dibayar mengikut kadar gaji minimum baharu atau tidak. Mana-mana pekerja yang merasakan diri mereka teraniaya serta tidak mendapat hak yang sepatutnya, perlu membuat aduan di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) yang berdekatan, atau mengadu kepada PSM/JPKK, sama ada secara berkumpulan atau individu.
Pengalaman semasa pelaksanaan Perintah Gaji Minimum 2022
Kami di PSM dan JPKK mempunyai pengalaman menerima banyak kes-kes pekerja semasa Perintah Gaji Minimum 2022 dilaksanakan duhulu. Terlalu banyak aduan pekerja yang telah kami terima seperti:
- Majikan mengingkari PGM;
- Kiraan gaji dan bayaran kerja lebih masa (OT) yang tidak mengikut kadar yg betul;
- Pekerja ditipu dan dimangsakan, dengan diberikan notis persetujuan mengenai PGM;
- Majikan tidak membayar tunggakan gaji minimum;
- JTK mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan isu, seperti memerlukan dokumen sebagai bukti dan sebagainya.
Kini, dengan PGM 2024 mula berkuat kuasa, kami mula menerima aduan daripada pekerja di mana majikan memberikan alasan seperti:
- Tender yang ditawarkan sekarang adalah RM1,500 sebulan. Jadi, majikan tidak mampu untuk membayar RM1,700 mulai bulan Februari 2025. Majikan hanya akan membayar apabila kerajaan menyalurkan peruntukan mengikut PGM baharu atau tender mereka diperbaharui semula nanti.
- Majikan berkenaan meminta pekerja tersebut terus berhenti kerja apabila pekerja meminta majikan itu harus membayar RM1,700 sebulan.
Bukan mudah untuk seorang pekerja membuat aduan di mana-mana Jabatan Tenaga Kerja atau pihak yang berwajib. Akibatnya, pekerja terus dibuli dan dibuang kerja. Walaupun undang-undang kerja wujud di negara kita, penguatkuasaannya masih lemah dan banyak pekerja mudah dianiayai disebabkan isu ini.
Peranan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)
Oleh itu, pihak kerajaan perlu lebih berprihatin terhadap pekerja dan melakukan pemantauan yang ketat terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum baharu ini. Ia amat penting bagi memastikan bahawa tiada majikan yang ingkar untuk membayar kadar gaji minimum berkenaan dan tiada pekerja yang dinafikan hak mereka untuk menerima gaji minimum. Selain itu, kami juga meminta pihak KESUMA supaya menyalurkan Garis Panduan mengenai bayaran gaji minimum baharu mengikut kelayakan seperti yang dimaklumkan oleh Menteri Sumber Manusia sebelum ini.
Pihak majikan pula perlu memandang serius terhadap pelaksanaan kadar gaji minimum ini. Dan majikan perlu diberi notis lebih awal, tindakan tegas boleh diambil jika gagal menghormati dan melaksanakan PGM.
Terbaik.& Sangat bersetuju .Harap KESUMA ambik tindakkan tegas terhadap majikan yang ingkar pada pelaksanaan perintah gaji minimum