
Kenyataan media oleh Jawatankuasa 1 Mei 2024
Pada 1 Mei, Hari Pekerja disambut dengan penuh erti oleh kaum pekerja di seluruh dunia untuk memperingati perjuangan dan jasa pekerja di samping mengetengahkan tuntutan mereka kepada kaum majikan serta pemerintah. 1 Mei adalah cuti umum wajib hasil daripada perjuangan dan pengorbanan pekerja-pekerja sebelum ini.
Sambutan Hari Pekerja di Malaysia pada tahun ini merupakan sambutan yang ke-30 yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei sejak tahun 1994. Jawatankuasa 1 Mei merupakan sebuah gabungan pelbagai organisasi yang dianggotai oleh sebanyak 12 buah kumpulan masyarakat dan NGO, antaranya Gabungan MARHAEN, Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Persatuan Sahabat Wanita Selangor, Centre for Independent Journalism (CIJ), KL-Selangor Chinese Assembly Hall – Youth Wing, Jentayu, Youth Voice Movement, Parti Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Krisis kos makanan dan peperangan menjadikan kehidupan warga pekerja semakin tertekan di negara kita dan di seluruh dunia. Selaras dengan tekanan kos hidup yang mencengkam, tema sambutan Hari Pekerja pada tahun ini adalah “Gaji Untuk Hidup”. Walaupun Malaysia telah menerima pakai gaji minimum RM1,500 sebulan mengikut Perintah Gaji Minimum 2022, ini masih rendah berbanding kos sara hidup dan bukan semua pekerja menikmatinya. Maka tema tahun ini menuntut gaji untuk hidup (living wage) dan bukan sekadar gaji minimum.
Pasca COVID-19, walaupun ekonomi negara sedang pulih, namun tidak dapat dinafikan bahawa kos sara hidup keluarga di Malaysia semakin tinggi. Pendapatan isi rumah kini tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat ini. Rakyat B40, terutamanya golongan pekerja, peniaga kecil, pelajar dan penganggur telah terjejas teruk akibat kos sara hidup yang sangat tinggi.
Bank Negara Malaysia menyatakan bahawa gaji sara hidup untuk orang dewasa yang menetap di Kuala Lumpur ialah RM2,700 pada tahun 2018. Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia, kebanyakan 35% pekerja yang bekerja di sektor formal berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan. Data juga menunjukkan bahawa gaji median tidak meningkat apabila seseorang semakin tua, dengan pekerja yang berumur bawah 20 tahun memperoleh gaji median RM1,500 sebulan akan mencapai maksimum RM3,500 antara umur 45 dan 49 tahun pada Mac 2023. Ini bermakna bukan sahaja kebanyakan rakyat Malaysia berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan, gaji tidak pernah melebihi sekitar RM3,500 sebulan sepanjang hayat mereka.
Oleh itu, tuntutan utama kami adalah melaksanakan Gaji untuk Hidup RM2,000 untuk membolehkan pekerja mampu tanggung kos keperluan asas. Keperluan asas ditakrifkan sebagai: tahap standard pemakanan, perumahan, pengangkutan, tenaga, penjagaan kesihatan, penjagaan kanak-kanak, pendidikan dan simpanan dalam waktu kerja yang dikawal.
Selain daripada tuntutan utama, kami juga mempunyai tuntutan-tuntutan yang lain, iaitu:
- Wujudkan Akta Pekerja Gig untuk menjamin kebajikan pekerja industri gig atau iktiraf pekerja gig di bawah Akta Kerja 1955;
- Iktiraf hak tanah adat orang asal di Malaysia;
- Pekerja migran harus diberikan hak yang saksama dan perlindungan mencukupi;
- Hentikan diskriminasi berasaskan gender, jantina dan orientasi seksual;
- Isytiharkan darurat iklim;
- Mansuhkan Akta Hasutan (1948) serta segala undang-undang yang menyekat hak berbicara dan segala perundangan yang menindas rakyat dan kebebasan rakyat.
Pada tahun ini, sambutan 1 Mei akan diadakan melalui satu perarakan dari Menara Maybank ke Dataran Merdeka pada jam 10 pagi. Sambutan ini akan dihadiri oleh pekerja-pekerja, NGO-NGO, parti-parti politik, kumpulan-kumpulan masyarakat dan penyokong-penyokong. Jawatankuasa 1 Mei
menjemput semua warga pekerja untuk hadir dan merayakan hari keramat buat kaum pekerja. Menyedari dan mengambil kira faktor cuaca, kami mempelawa semua untuk membawa bekalan air yang mencukupi.
Jawatankuasa 1 Mei akan memaklumkan kepada pihak polis tentang sambutan 1 Mei selaras dengan Akta Perhimpunan Aman. Selain itu, perhimpunan tahun ini juga dijangka akan dipantau oleh pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Majlis Peguam Negara.
Jom kita menggembleng seluruh warganegara Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat, budaya, bangsa dan agama yang mencintakan keadilan, kebenaran dan keamanan rakyat untuk turut serta dalam sambutan pada 1 Mei 2024 bagi menyambut Hari Pekerja.
Latar belakang Hari Pekerja Sedunia
Hari Pekerja merupakan satu hari yang penting yang disambut oleh seluruh warga pekerja di serata dunia untuk mengingat kembali sejarah perjuangan pekerja yang dimulakan pada tahun 1886 untuk menuntut kerja 8 jam sehari dan cuti satu hari setiap minggu. Perjuangan ini pada asalnya bermula di Amerika Syarikat dan tarikh signifikan bermulanya perjuangan ini adalah pada 1 Mei. Hasil daripada perjuangan yang berterusan ini, akhirnya pada tahun 1919, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) telah menerima waktu kerja 8 jam sehari sebagai piawaian sejagat dan tarikh 1 Mei diumumkan sebagai Hari Pekerja Sedunia.
Sambutan Hari Pekerja di Malaysia tahun ini merupakan aksi sambutan yang dianjurkan oleh Jawatankuasa 1 Mei sejak tahun 1994.
Tahun | Lokasi | Tema |
1994 | Dataran Merdeka | Hak Peneroka Bandar dan Pekerja Ladang |
1995 | Kuala Lumpur | Sertakan Masyarakat Ladang dalamKementerian Pembangunan Luar Bandar |
1996 | Ladang Bukit Raja, Klang, Selangor | Gaji Bulanan untuk Pekerja Ladang |
1997 | Kampung Chubadak, Sentul Kuala Lumpur | Rakyat Menuntut Keadilan: Gaji, Rumah, Tanah, Harga Barang |
1998 | Dewan Perhimpunan Cina Selangor | Krisis Ekonomi: Majikan Dibela, PekerjaDitindas |
1999 | Kampung Sungai Nipah, Subang, Selangor | Pekerja Bersatu Menuntut Perubahan Tulen |
2000 | Ladang Stratasila, Ipoh, Perak | Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima |
2001 | KLCC | Pembangunan Saksama Untuk Semua |
2002 | Perarakan Ke KLCC | Kembalikan Hak Pekerja: Kerja, Gaji, Kesatuan |
2003 | Dataran Merdeka | Perang Kapitalis, Pekerja Merana |
2004 | Padang Kota Lama, Pulau Pinang | Pekerja Menuntut Demokrasi Sejati |
2005 | Dataran Merdeka | Globalisasi Menghakis Hak Pekerja. Hentikan Penswastaan Air & Hospital |
2006 | Perarakan dari Dataran Merdeka ke KLCC | Pekerja Menentang Penswastaan Air & Hospital |
2007 | Dataran Johor Bahru, Johor | 50 Tahun Merdeka:Pekerja Masih Dijajah |
2008 | Dari Dataran Merdeka ke Sekolah Menengah Confucian, Kuala Lumpur | Pekerja Kuasa Perubahan, Laksanakan JanjiPilihan Raya! |
2009 | Seremban, Negeri Sembilan | Krisis Ekonomi: Selamatkan Pekerja BukanKroni |
2010 | Dari Majlis Peguam Malaysia ke Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor | Rakyat Bantah GST: Cukai Yang MemiskinkanRakyat |
2011 | Maju Junction, Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur | Harga Barang Naik, Gaji Bila Lagi? Pekerja Menuntut Akta Gaji Minima |
2012 | Central Market ke Menara Maybank | Pekerja Kuasa Perubahan, Utamakan HakPekerja |
2013 | Tidak dianjur secara nasional kerana Pilihan Raya Umum ke-13 | |
2014 | KLCC ke Dataran Merdeka | GST: Cukai yang Miskinkan Rakyat |
2015 | Pasar Seni ke KLCC | GST: Bantah sampai Tumbang |
2016 | Maju Junction ke Medan Pasar | Utamakan Pekerja, Selamatkan Malaysia |
2017 | Stesen KTM ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur | Hilang Kerja, Pekerja Merana: Tabung Henti Kerja Sekarang |
2018 | Tahun Pilihan Raya | |
2019 | Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Dataran Merdeka | Tinggikan Gaji, Hentikan Diskriminasi |
2020 | Secara Dalam Talian | COVID Menyerang, Pekerja Diancam |
2021 | Aksi serentak di Kuala Lumpur, Ipoh, George Town, Seremban dan Johor Bahru | Jaminan Kerja, Vaksin Kehidupan |
2022 | Pasar Seni, Kuala Lumpur | Jamin Perlindungan Sosial Pekerja |
2023 | Maju Junction ke Medan Pasar | Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan |