KUALA LUMPUR – 9 MAC 2024: Kira-kira 300 orang turun beraksi di jalanan ibu negara pada hari ini untuk menyertai Perarakan Wanita Malaysia 2024. Para peserta telah mewarnai barisan demonstrasi dengan memegang pelbagai sepanduk yang kreatif dan memeriahkan suasana dengan melaungkan pelbagai slogan yang menuntut hak wanita serta kesamarataan gender.

Peserta-peserta Perarakan Wanita Malaysia 2024 berkumpul di hadapan Pasar Raya SOGO pada awal pagi tadi sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka. Perarakan ini telah berjalan dengan penuh aman dan teratur. Kedengaran slogan-slogan seperti “Hidup wanita!”, “Bangkit wanita!”, “Hancur patriarki!” dan sebagainya.

Ramai juga peserta Perarakan Wanita Malaysia 2024 membawa sepanduk yang bersolidariti dengan Palestin, dan melaungkan slogan seperti “dari sungai ke segara, Palestin pasti akan merdeka!” (from the river to the sea, Palestine will be free!). Sejak bulan Oktober 2023, perang genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Semenajung Gaza telah membunuh lebih 30,000 orang, antaranya lebih 8,500 orang wanita dan lebih 12,000 orang kanak-kanak, sementara 75% daripada 72,000 orang yang cedera merupakan wanita dan kanak-kanak. Memang adalah tidak bermakna untuk menyambut Hari Wanita Antarabangsa tanpa mengetengahkan masalah keganasan teruk yang sedang dihadapi oleh golongan wanita di Semenanjung Gaza dan menuntut gencatan senjata sebagai langkah pertama untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin.

Di Dataran Merdeka, wakil-wakil daripada pelbagai kumpulan masyarakat memberikan ucapan mereka untuk mengetengahkan isu-isu yang dibawa dalam tuntutan Perarakan Wanita Malaysia 2024.

  1. Memberikan keutamaan kepada pemerkasaan ekonomi dan pembangunan golongan pekerja berbanding dengan golongan korporat;
  2. Mengisytiharkan krisis iklim dan melibatkan penyertaan kaum wanita dan Orang Asli;
  3. Menamatkan semua bentuk keganasan dan diskriminasi jantina dan golongan minoriti seksual;
  4. Melaksanakan pendidikan seks secara komprehensif bagi melindungi dan memperkasa hak kanak-kanak;
  5. Melaksanakan perkhidmatan kesihatan mental dan reproduktif dengan segera, bersifat inklusif dan mudah diperolehi dalam sektor penjagaan kesihatan;
  6. Menjamin peluang dan penyertaan yang setara untuk semua di setiap tahap pembuatan keputusan berkenaan hal ehwal politik;
  7. Menghapuskan keganasan berasaskan jantina dalam kehidupan seharian dan kehidupan peribadi;
  8. Menjamin undang-undang kewarganegaraan secara adil tanpa mengira jantina;
  9. Melindungi kebebasan berhimpun dan bersuara;
  10. Hentikan semua konflik bersenjata dan pembasmian kaum. Kebebasan untuk semua.

“Ramai orang tidak tahu bahawa Hari Wanita Sedunia ini sebenarnya berasal daripada perjuangan pekerja wanita,” kata Chong Yee Shan, wakil Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan Di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (NUWHSAS) yang dianggotai oleh pekerja-pekerja pembersihan di hospital-hospital kerajaan yang kebanyakannya wanita dan kepimpinannya 100% wanita pada masa ini. “Pekerja-pekerja wanita pada asalnya menyambut Hari Wanita dengan aksi mogok dan turun ke jalanan untuk berprotes. Inilah sebabnya kita juga turun ke jalanan pada hari ini untuk memperjuangkan hak wanita.”

“Namun, sudah berlalunya lebih 100 tahun sejak kita mula menyambut Hari Wanita Sedunia, masih adanya pekerja wanita bawahan yang dibuli, dihina dan ditindas oleh majikan, kerajaan serta sistem kapitalis yang wujud sekarang ini,” Chong Yee Shan mengingatkan para peserta aksi Perarakan Wanita tentang keperluan untuk meneruskan perjuangan pembebasan wanita yang masih belum selesai.

“Pekerja-pekerja wanita yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di hospital-hospital, walaupun mereka bekerja di tempat kerja yang sama untuk selama lebih 10 tahun, 20 tahun atau 25 tahun, gaji mereka tetap tidak naik, cuti tahunan mereka tetap tidak ditambah. Selagi sistem kontrak wujud, apa-apa faedah yang seharusnya bertambah dengan pengalaman kerja mereka, semuanya tiada,” Chong Yee Shan mengupas tentang sistem kontrak yang memangsakan pekerja-pekerja bawahan yang ramai dalam kalangan mereka adalah wanita.

Hari Wanita Antarabangsa yang jatuh pada 8 Mac setiap tahun mempunyai asal usul yang radikal untuk menegakkan hak wanita dan kesamarataan gender. Perarakan Wanita Malaysia yang diadakan bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa merupakan satu ruang aksi yang penting untuk mengetengahkan pelbagai isu yang dihadapi dengan golongan wanita di negara kita, termasuk ketidaksamarataan ekonomi, keganasan terhadap wanita, gangguan seksual, diskriminasi, masalah kewarganegaraan, dan sebagainya.

Selagi ketidaksamarataan gender dan penindasan terhadap wanita masih berlaku, sudah pasti golongan wanita dan semua orang yang berpegang pada prinsip kesamarataan gender akan terus bangkit berjuang.

Sebahagian ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang hadir menyertai Perarakan Wanita Malaysia 2024.

Berikut ialah koleksi gambar-gambar aksi Perarakan Wanita Malaysia 2024:

One thought on “Perarakan Wanita Malaysia 2024: Terus bangkit demi kesamarataan gender

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *