Kenyataan Biro Gender Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa pada 8 Mac 2024.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama dengan setiap orang di dunia untuk menyambut Hari Wanita Antarabangsa pada hari ini. Hari ini membolehkan kita untuk merenung kemajuan yang dicapai ke arah memperkasakan wanita dan menggesa tindakan untuk mengatasi cabaran-cabaran yang masih wujud dalam mencapai kesamarataan gender dalam semua aspek kehidupan. Hari ini juga merupakan satu kesempatan untuk memperingati pencapaian wanita dan memperkukuhkan kesamarataan serta pemerkasaan wanita. Tema global untuk sambutan Hari Wanita tahun ini ialah “Melabur dalam Wanita: Mempercepatkan Kemajuan” (Invest in Women: Accelerate Progress), dengan menekankan peranan penting pelaburan dalam wanita dalam mendorong perubahan positif dan kemajuan dalam masyarakat.

Di banyak negara, termasuk Malaysia, kita telah menyaksikan kemajuan penting dalam pemerkasaan wanita dalam sektor-sektor sosial, ekonomi, politik dan teknologi. Pemimpin-pemimpin wanita yang memberi inspirasi sedang memacu perubahan dalam komuniti dan negara mereka. Namun demikian, walaupun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan hak yang sama rata dan amat diperlukan untuk semua wanita dan lelaki dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) lebih 70 tahun dahulu, diskriminasi, penstigmaan dan keganasan masih berterusan serta sedang dialami oleh golongan wanita di seluruh dunia.

Hak sama rata

Walaupun Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan menjamin hak untuk kesamarataan, golongan wanita Malaysia masih berjuang untuk mendapatkan hak kewarganegaraan bagi kanak-kanak mereka; kaum ibu perlu pergi ke mahkamah untuk mempertahankan kanak-kanak mereka supaya tidak dicuri daripada mereka; perkahwinan kanak-kanak masih dibenarkan di sisi undang-undang; hanya 13.5% Ahli-ahli Parlimen adalah wanita, bahkan tidak sampai separuh daripada 30% yang dijanjikan; dan golongan wanita merupakan kumpulan masyarakat yang paling terjejas kerana krisis inflasi semasa. Mana-mana undang-undang atau amalan yang mendiskriminasi berasaskan gender adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang turut dipersetujui oleh Malaysia.

Masyarakat kita telah terbukti berat sebelah, seksis, misoginis, tidak sama rata dan tidak sensitif. Ia mendedahkan dirinya dalam proses pemikiran kita, norma kerja, dan interaksi yang berakar umbi dalam peranan dan norma gender tradisional serta ketidakseimbangan kuasa yang membentuknya. Ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara dalam cara bagaimana wanita dan kanak-kanak perempuan memperoleh peluang untuk terlibat dalam kehidupan awam berbanding lelaki dan kanak-kanak lelaki.

Masyarakat Malaysia mengekalkan banyak “norma” yang meminggirkan beberapa golongan masyarakat, termasuk komuniti LGBTQI+. Bagi golongan wanita di Malaysia, khususnya wanita daripada kumpulan-kumpulan minoriti, terpinggir dan kurang diwakili, tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa tahun ini adalah sangat bermakna kerana ia memberi tumpuan kepada perwakilan yang sama rata untuk kemajuan.

Keganasan berasaskan gender

Di Malaysia, walaupun terdapat beberapa undang-undang diluluskan untuk melindungi wanita dan kanak-kanak, termasuk pindaan Kanun Keseksaan untuk menjadikan perbuatan mengintai sebagai satu kesalahan dan pindaan Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007, perjalanan Malaysia masih jauh lagi. Menurut Polis Diraja Malaysia, kira-kira 22,908 kes keganasan rumah tangga terhadap wanita direkodkan dari tahun 2020 hingga bulan Ogos 2023.

Mencapai kesamarataan gender dan menghapusakan semua bentuk keganasan terhadap wanita memerlukan pemajuan penyertaan politik wanita di semua peringkat tadbir urus. Arena politik di Malaysia masih kekal sebagai salah sebuah ruang awam yang paling mencabar bagi penyertaan wanita, dengan hanya sebahagian kecil jawatan kepimpinan dalam parti-parti politik, Parlimen dan kerajaan dipegang oleh wanita. Golongan wanita harus dapat mengambil bahagian sepenuhnya dalam proses membuat keputusan dalam semua aspek tadbir urus.

Wanita dan ekonomi

Walaupun terdapat kemajuan yang dicapai oleh gerakan feminis dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi wanita, jurang gender yang ketara masih berterusan dalam pasaran buruh. Menurut Indeks Jurang Gender Malaysia bagi tahun 2022, golongan wanita hanya memperoleh pendapatan RM66.67 bagi setiap RM100 yang diperoleh golongan lelaki. Jurang ini amat ketara dalam kumpulan berpendapatan rendah dan pekerjaan kontrak yang tidak menentu, di mana golongan wanita merupakan majoriti. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menganggarkan bahawa 4 daripada setiap 5 pekerjaan yang diwujudkan untuk wanita dalam beberapa tahun kebelakangan ini berada dalam ekonomi tidak formal, berbanding nisbah 2 daripada setiap 3 pekerjaan bagi lelaki.

Kecondongan masyarakat dan norma tradisional yang berakar berumbi sering menyebabkan wanita memikul bahagian yang tidak seimbang dalam tanggungjawab penjagaan dalam rumah tangga. Malah dalam isi rumah dwi-pendapatan, yang kini perkara biasa, wanita kerap menghadapi cabaran tempat kerja yang ketara sementara menguruskan tugas-tugas penjagaan keluarga.

Semasa tempoh pengembangan ekonomi dan permintaan buruh yang meningkat, golongan wanita digalakkan untuk memasuki tenaga kerja, meninggalkan peranan gender yang tradisional. Namun begitu, semasa kegawatan ekonomi, buruh wanita sering dianggap sebagai pelaburan pulangan rendah yang menggunakan lebih banyak sumber, menjadikan golongan wanita lebih terdedah kepada pemberhentian kerja.

Struktur patriarki dan neoliberal menambahkan lagi cabaran ini, menggambarkan wanita sebagai buruh yang boleh menyesuaikan diri yang boleh beralih dengan lancar antara ruang awam dan swasta. Akibatnya, mereka sering dilayan sebagai simpanan tenaga kerja dan dijangka untuk melakukan buruh tidak dibayar tanpa persoalan.

Dalam era neoliberalisme yang berleluasan hari ini, yang dicirikan oleh kos sara hirup yang semakin meningkat pemotongan perbelanjaan awam yang meluas, golongan wanita, khususnya mereka dalam lapisan sosio-ekonomi lebih rendah, menanggung beban kesan-kesan ini secara langsung.

Kami bersolidariti dengan golongan wanita, anak-anak perempuan, ibu-ibu dan adik-beradik perempuan yang berusaha tanpa mengerti keletihan untuk menampung kehidupan keluarga mereka. Hanya melalui pembentukan jaringan keselamatan sosial yang lebih meluas dan lebih inklusif, termasuk peruntukan untuk perkhidmatan jagaan orang tua dan kanak-kanak serta pelaksanaan skim pencen sejagat, barulah kita dapat membasmi kemiskinan dan keadaan serba kekurangan dalam kalangan wanita berpendapatan rendah.

Wanita dan demokrasi

Kesamarataan gender dan demokrasi tidak dapat dipisahkan. Masyarakat yang mencapai ketidaksamarataan gender menyediakan asas yang kuat untuk demokrasi. Kita harus mengutamakan kesamarataan gender dengan menggalakkan penyertaan wanita dalam proses politik dan urus tadbir, hala tuju ekonomi negara, mekanisme penyelesaian konflik dan rundingan politik.

Untuk memberi inspirasi kepada keterangkuman dalam komuniti, seseorang itu harus mengamalkannya dan memimpin melalui teladan. Golongan wanita membentuk separuh negara ini; kenapa kita tidak mencerminkannya? Kita harus berusaha untuk memastikan bahawa golongan gender dan seksualiti yang terpinggir tidak ketinggalan.

Ini adalah masa yang kritikal untuk memperluaskan peluang bagi wanita dalam politik, termasuk menggalakkan kepimpinan mereka dalam bidang yang dikuasai lelaki secara tradisional seperti ekonomi, hal ehwal luar, teknologi dan keselamatan. Wanita harus memainkan peranan yang lebih ketara dalam masyarakat, pembinaan keamanan dan proses perdamaian, yang mempunyai kadar kejayaan yang lebih tinggi apabila wanita terlibat secara bermakna.

Adalah juga penting untuk melibatkan lebih banyak pemimpin lelaki dan sekutu untuk menggalakkan pemerkasaan politik wanita dan menekankan toleransi sifar terhadap keganasan serta diskriminasi berasaskan gender. Ini perlu dimulakan dengan transformasi yang mantap dalam sistem pendidikan dan juga menamatkan sistem patriarki yang mewujudkan jurang lebih lanjut serta kekal sebagai penghalang kepada hak kesamarataan.

PSM berkomited untuk memajukan hak wanita dan kesamarataan gender sebagai nilai demokratik yang sejagat. Bersama-sama, kita boleh melangkah lebih jauh dan melakukan lebih banyak kemajuan dalam menyokong hak wanita. Kesamarataan bukan sahaja untuk imaginasi dan impian; ia adalah tanggungjawab kolektif. Pada Hari Wanita Antarabangsa, kami menyeru pada kerajaan dan semua institusi untuk mengiktiraf bahawa hak wanita adalah hak asasi manusia, dan hak asasi manusia adalah hak wanita.

Untuk Hari Wanita Antarabangsa 2024, PSM menyokong tuntutan-tuntutan yang dibawa oleh Perarakan Wanita Malaysia, iaitu:

  1. Memberikan keutamaan kepada pemerkasaan ekonomi dan pembangunan golongan pekerja berbanding dengan golongan korporat;
  2. Mengisytiharkan krisis iklim dan melibatkan penyertaan kaum wanita dan Orang Asli;
  3. Menamatkan semua bentuk keganasan dan diskriminasi jantina dan golongan minoriti seksual;
  4. Melaksanakan pendidikan seks secara komprehensif bagi melindungi dan memperkasa hak kanak-kanak;
  5. Melaksanakan perkhidmatan kesihatan mental dan reproduktif dengan segera, bersifat inklusif dan mudah diperolehi dalam sektor penjagaan kesihatan;
  6. Menjamin peluang dan penyertaan yang setara untuk semua di setiap tahap pembuatan keputusan berkenaan hal ehwal politik;
  7. Menghapuskan keganasan berasaskan jantina dalam kehidupan seharian dan kehidupan peribadi;
  8. Menjamin undang-undang kewarganegaraan secara adil tanpa mengira jantina;
  9. Melindungi kebebasan berhimpun dan bersuara;
  10. Hentikan semua konflik bersenjata dan pembasmian kaum. Kebebasan untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *