oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Pada 28 Februari 2024, 15 orang penternak lembu di Sungai Siput, Perak, telah dipanggil untuk satu perjumpaan oleh syarikat Sime Darby. 15 orang penternak lembu ini merupakan bekas pekerja atau anak kepada pekerja di dalam ladang yang dimiliki oleh Sime Darby di Sungai Siput. Keluarga mereka telah mula menternak lembu di dalam kawasan ladang sejak 50 tahun dahulu, dengan kebenaran daripada pihak pengurusan ladang pada masa itu.

Dalam perjumpaan yang diadakan di Ladang Elphil pada 28 Februari 2024, pihak syarikat Sime Darby mengumumkan bahawa ia kini mengamalkan dasar “Lembu Sifar” bagi semua ladang milikannya di Malaysia, dan penternak-penternak lembu yang sedia ada diberi tempoh masa 3 bulan untuk memindah keluar lembu ternakan mereka dari kawasan ladang. Mana-mana lembu yang dijumpai di dalam kawasan ladang selepas tempoh tersebut akan ditangkap dan pemilik lembu berkenaan akan didenda. Pegawai kanan dari Balai Polis Sungai Siput juga dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut – adakah ia mungkin untuk menyatakan keseriusan “jenayah” yang baru ditakrifkan ini, iaitu menternak lembu di atas tanah ladang?

“Lembu Sifar” adalah satu perkara yang tidak masuk akal. Pihak Sime Darby seharusnya mengetahui bahawa tiada tanah kosong di sekitar kawasan Sungai Siput di mana penternak-penternak ini boleh memindahkan 900 ekor lembu yang sedang diternak mereka di atas tanah ladang. Dasar “Lembu Sifar” Sime Darby akan mengakibatkan kemusnahan perusahaan penternakan lembu di Sungai Siput, dan di banyak tempat di seluruh negara, begitu juga dengan kehilangan pengetahuan dan kemahiran yang diasah oleh sekumpulan penternak di negara kita dalam tempoh masa 3 generasi lalu. Pengetahuan dan kemahiran ini merupakan aset negara yang patut dipelihara dan digunakan untuk meningkatkan tahap sara diri negara kita dalam pembekalan makanan.

Memandangkan hakikat bahawa tahap sara diri negara kita dalam pembekalan daging lembu hanya kira-kira 17% pada masa ini, dan kita sedang membelanja jauh terlalu banyak untuk mengimport makanan (sekitar RM70 bilion setahun), dasar baharu Sime Darby ini nampaknya sangat bersikap mementingkan diri sendiri sahaja dan pendek akal.  

Pakar-pakar dalam bidang agro-ekonomi bersetuju bahawa ia adalah bermanfaat kepada negara untuk menggunakan kawasan perladangan kelapa sawit sebagai kawasan ragut bagi lembu. Dalam kertas penyelidikan yang ditulis oleh Natascha Grinnel dan lain-lain dengan tajuk “Cattle – Oil Palm Integration: A viable strategy to increase Malaysian beef self-sufficiency and Palm Oil sustainability” yang diterbitkan dalam jurnal Livestock Science, Jilid 259, Mei 2022, menyenaraikan pelbagai manfaat – lembu memakan semak dan mengurangkan keperluan untuk racun herba, najis buangan lembu merupakan baja yang berguna, penebangan hutan boleh dielakkan dan keterjaminan makanan negara dapat diperkukuhkan. Kertas penyelidikan ini hanya salah satu daripada beberapa kertas akademik serupa yang memuji faedah “integrasi lembu-kelapa sawit”.

Isu penebangan hutan dan kelestarian kelapa sawit harus dipandang serius. Pada masa ini, kira-kira 70% daripada 8.4 juta hektar tanah yang ditetapkan sebagai tanah pertanian di Malaysia digunakan untuk menanam kelapa sawit. Jika semua syarikat perladangan menerima pakai keputusan aneh Sime Darby untuk mengenakan “Lembu Sifar”, maka negara kita hanya tinggal dua pilihan – sama ada mengimport lebih banyak daging lembu dan susu, atau menebang lebih banyak lagi hutan untuk mewujudkan tapak ragut baharu bagi lembu. Berdasarkan fakta ini, adalah tidak bertanggungjawab bagi Sime Darby sekiranya berdegil untuk melaksanakan dasar ini.

Sime Darby perlu mempertimbangkan kemungkinan bahawa lobi anti-kelapa sawit di Eropah akan melabelkan pengeluaran kelapa sawit di Malaysia sebagai “tidak lestari” dan bertentangan dengan garis panduan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO) kerana potensi penebangan hutan yang berpunca daripada dasar yang tidak bijak ini.

15 orang penternak lembu yang terkesan di Sungai Siput itu telah menghubungi PSM untuk mendapatkan bantuan. Kami telah menulis sepucuk surat yang ditujukan kepada pengurusan atasan syarikat Sime Darby Plantations Berhad untuk meminta supaya mereka menghentikan sementara pelaksanaan dasar Lembu Sifar, dan mengadakan mesyuarat dengan penternak-penternak lembu untuk menyelesaikan masalah-masalah yang mungkin ditimbulkan oleh mereka kepada pihak pengurusan ladang.

Kami berharap bahawa pihak Sime Darby akan merespon dengan mengadakan dialog secara rasional dengan penternak-penternak lembu. Sektor perladangan telah mengaut keuntungan lumayan sejak 60 tahun lalu walaupun kawasan ragut bagi lembu berganda. Demi kepentingan negara, adalah perlu untuk amalan ini diteruskan. Ia juga akan bermanfaat kepada perusahaan kelapa sawit sekiranya isu ini dapat diselesaikan tanpa terlalu banyak kekecohan.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM). Beliau merupakan mantan Ahli Parlimen Kawasan Sungai Siput (2008-2018).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *