KUALA LUMPUR: 4 orang telah dipanggil oleh polis untuk siasatan berkaitan Perarakan Wanita Malaysia 2024. Mereka hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 18 Mac 2024 untuk diambil keterangan oleh polis .

4 orang yang disiasat oleh pihak polis berkaitan penglibatan mereka dalam Perarakan Wanita Malaysia 2024 ialah Chong Yee Shan yang merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM), Azura Nasron daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM), Nathalie yang merupakan seorang peguam tetapi tidak hadir dalam aksi perarakan, dan seorang lagi peserta perarakan.

Menurut apa yang diberitahu oleh Noor Dellhan Yahaya, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, kepada Malaysiakini pada 10 Mac 2024, pihak polis telah membuka kertas siasatan terhadap penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2024 atas dakwaan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana tidak mematuhi sekatan-sekatan yang dikenakan oleh polis, dan Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 atas dakwaan “berkelakuan menghina” kerana mempamerkan sepanduk yang “sensitif”.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 17 Mac 2024, Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2024 mempersoalkan kitaran berulangan oleh polis dalam menyiasat mereka yang mengamalkan hak untuk perhimpunan aman.

“Kami ingin mengingatkan bahawa Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelasnya menyatakan bahawa setiap orang warganegara mempunyai hak untuk kebebasan bersuara dan berekspresi, semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata,” begitu katanya kenyataan  Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2024. “Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2024 telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memaklumkan pihak berkuasa berkenaan dan mematuhi peraturan-peraturan yang seda ada sebelum perarakan.”

“Polis tidak harus membazir masa mereka dan menyiasat penganjur dan peserta perarakan Hari Wanita, sedangkan kami telah pun mematuhi undang-undang semasa menjalankan perarakan tersebut. Polis boleh menjimat masa mereka untuk menggunakannya dalam menyiasat kes-kes jenayah yang lain,” ulas Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat PSM, semasa hadir untuk diambil keterangan oleh polis. “Hampir setiap tahun penganjur perarakan dipanggil oleh polis untuk siasatan. Saya berasa sumber PDRM tidak harus digunakan untuk siasat rakyat yang menggunakan hak kebebasan berhimpun dan kebebasan bersuara mereka.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *