(Rencana khas sempena sambutan Hari Hak Asasi Manusia Sedunia 2023 dan ulang tahun ke-75 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat)

10 Disember setiap tahun disambut sebagai Hari Asasi Manusia Sedunia. Tarikh ini ditetapkan sebagai Hari Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak tahun 1950 untuk memperingati penerimaan “Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat” oleh Perhimpunan Agung PBB pada 10 Disember 1948 yang merupakan satu batu penanda penting kepada usaha memperjuangkan pembebasan dan keadilan sosial.

Walaupun konsep hak asasi manusia yang telah diterima secara meluas di seluruh dunia pada hari ini merupakan produk masyarakat moden, pemikiran mengenai setiap manusia harus menikmati hak asasi tertentu dan hidup secara bermaruah telah muncul dalam masyarakat di banyak tempat di dunia sebelum lahirnya konsep hak asasi manusia moden yang kita kenali pada hari ini. Kita dapat menjejaki pemikiran mengenai kebebasan, kesamarataan, keadilan sosial dan hak asasi manusia dalam sejarah pelbagai masyarakat dengan pelbagai latar belakang budaya di dunia, di mana sentiasa wujudnya aliran pemikiran dan amalan yang mengilhamkan sebuah masyarakat yang lebih bebas, sama rata, adil dan sejahtera bagi seluruh anggotanya.

Hak asasi manusia yang dianggap sebagai “semula jadi” pada hari ini sebenarnya bukan jatuh dari langit atau muncul begitu sahaja, sebaliknya merupakan hasil perjuangan generasi demi generasi oleh gerakan masyarakat yang mengilhamkan pembebasan, kesamarataan, keadilan, kesejahteraan bersama dan persaudaraan sejagat.

Sejarah masyarakat selama ini telah mengajar kita bahawa usaha menegakkan hak asasi manusia merupakan satu proses yang berterusan dan harus diteruskan lagi. Visi untuk sebuah masyarakat di mana seluruh rakyat menikmati hak asasi manusia secara sama rata, masih merupakan matlamat yang relevan pada hari ini tetapi masih belum tercapai. Walaupun “Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat” bukannya sebuah dokumen yang mengikat mana-mana orang atau kerajaan secara undang-undang, ia masih berfungsi sebagai rangka tindakan yang penting untuk membangunkan sebuah masyarakat yang bebas dan adil pada hari ini di mana kebebasan dan maruah setiap orang manusia dapat dilindungi. Golongan sosialis yang sentiasa memperjuangkan pembebasan rakyat dan keadilan sosial harus sentiasa berpegang pada cita-cita untuk mewujudkan sebuah masyarakat demokratik di mana semua rakyat menikmati hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam “Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat”.

Gerakan masyarakat dan konsep hak asasi manusia

Pembangunan konsep hak asasi manusia pada zaman moden, berkaitan rapat dengan gelombang revolusi demokratik zaman moden. Asal usul konsep hak asasi manusia moden boleh dijejak kembali kepada pemikiran humanisme yang dibangunkan semasa zaman Renaissance di Eropah pada abad ke-14 hingga abad ke-16, di mana pemikiran humanis itu mengangkat idea bahawa segalanya harus berasaskan manusia, mendukung rasionalisme, membantah kejahilan, menentang teokrasi dan menyokong pembebasan individu manusia. Tambahan pula dengan kemunculan fahaman pembaharuan agama di Eropah yang dikenali sebagai Reformasi Protestan, tercetusnya siri konflik yang dikenali sebagai Perang Agama Eropah pada abad ke-16 hingga ke awal abad ke-18. Revolusi Inggeris pada tahun 1640-an yang menyaksikan pemansuhan sistem monarki berkuasa mutlak di negara itu juga meninggalkan impak besar kepada perkembangan idea politik untuk sebuah masyarakat yang lebih adil. Pergolakan sosial dan politik di Eropah pada masa itu turut mempengaruhi perkembangan pemikiran Zaman Pencerahan di Eropah pada abad ke-17 dan ke-18. Gerakan Pencerahan di Eropah telah mengkritik kekuasaan gereja, kepercayaan yang membuta tuli dan pemerintahan monarki yang autokratik, di samping menekankan pemikiran rasional dan penimbaan ilmu baharu, maka mewujudkan asas ideologi kepada gelombang revolusi demokratik yang melanda benua Eropah dan Amerika pada abad ke-18 dan abad ke-19, termasuk Revolusi Kemerdekaan Amerika Syarikat, Revolusi Perancis, Revolusi Haiti, perang-perang kemerdekaan Amerika Latin dan sebagainya.

Pengisytiharan Hak Manusia dan Warganegara yang diluluskan oleh Dewan Perlembagaan Kebangsaan Perancis pada 26 Ogos 1789 semasa tercetusnya Revolusi Perancis yang mengangkat idea “kebebasan, kesamarataan, persaudaraan” (liberté, égalité, fraternité), menyatakan bahawa semua manusia adalah sama rata dari segi hak asasi manusia. Hak asasi manusia yang semula jadi dan tidak boleh dirampas sama sekali menurut perisytiharan tersebut ialah kebebasan, pemilikan harta, keselamatan dan hak untuk melawan penindasan.

Gerakan pembebasan nasional yang merebak dengan hebatnya di negara-negara Asia dan Afrika pada abad ke-20, bukan sahaja membolehkan negara-negara yang dijajah itu mencapai kemerdekaan, malah membolehkan konsep hak asasi manusia berkembang selanjutnya di negara-negara itu. Gerakan revolusioner demokratik yang menuntut ruang penglibatan politik yang lebih besar untuk rakyat biasa, yang sering diterajui atau disokong kuat oleh golongan pekerja, telah mengemukakan pelbagai tuntutan untuk hak sivil dan politik. Gerakan kelas pekerja yang muncul kerana pembangunan ekonomi moden, juga telah mengemukakan pelbagai tuntutan untuk hak sosial dan ekonomi demi kehidupan yang lebih baik. Tuntutan-tuntuan untuk hak asasi daripada gerakan masyarakat inilah kemudiannya menjadi asas kepada konsep hak asasi manusia yang ditulis dalam undang-undang dan perlembagaan di banyak negara serta konvensyen-konvensyen yang diterima oleh pelbagai pertubuhan antarabangsa.

Keperluan untuk menegakkan hak asasi manusia menjadi lebih terdesak lagi apabila dunia kita dilanda dengan bencana buatan manusia yang hebat, khususnya peperangan yang meragut nyawa ramai orang. Penderitaan dan kesusahan hidup rakyat yang timbul daripada konflik masyarakat yang berterusan telah mempengaruhi pemikiran masyarakat mengenai keperluan untuk menghormati dan melindungi hak asasi manusia, maka menjadikan lebih banyak lagi orang memberi perhatian kepada usaha mewujudkan perlindungan hak asasi manusia dari segi undang-undang dan sistem kemasyarakatan.

Eleanor Roosevelt, Pengerusi UNCHR yang pertama, memegang Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat dalam Bahasa Inggeris pada tahun 1949.

Bagaimana lahirnya “Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat”?

Dua Perang Dunia pada abad ke-20 – Perang Dunia I pada tahun 1914-1918 dan Perang Dunia II pada tahun 1939-1945 – telah mengakibatkan pengorbanan nyawa manusia dan kemusnahan masyarakat yang amat mengerikan. Banyak orang telah dinafikan hak untuk hidup dan hak asasi manusia lain yang membolehkan orang ramai hidup secara bermaruah itu kerana peperangan yang penuh dengan keganasan dan kehancuran. Akibat daripada kesan peperangan yang mendalam, pemimpin-pemimpin kerajaan dan rakyat sedunia mula memikirkan tentang kepentingan mengelakkan perang dan melindungi hak asasi manusia. Aspirasi untuk keamanan dunia dan perlindungan hak asasi manusia telah menjadi semangat asas kepada penubuhan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berikutan Perang Dunia II.

Dalam Mukadimah Piagam PBB yang ditandatangani pada 26 Jun 1945 di San Francisco, Amerika Syarikat, adalah dinyatakan bahawa PBB berazam untuk:

  • Menyelamatkan generasi-generasi selepas ini daripada bencana peperangan, yang mana dua kali dalam hidup kita telah membawa penderitaan yang tidak dapat diungkapkan kepada umat manusia;
  • Menegaskan semula kepercayaan dalam hak asasi manusia, dalam maruah dan nilai manusia, dalam hak sama rata lelaki dan wanita serta negara-negara yang besar dan kecil;
  • Mewujudkan keadaan di mana keadilan dan penghormatan kepada kewajipan yang timbul daripada perjanjian-perjanjian dan sumber-sumber undang-undang antarabangsa lain dapat dikekalkan;
  • Menggalakkan kemajuan masyarakat dan taraf kehidupan yang lebih baik dalam kebebasan yang lebih besar.

Piagam PBB juga menyatakan bahawa dengan tujuan mewujudkan “keadaan untuk kestabilan dan kesejahteraan yang diperlukan untuk hubungan aman dan mesra antara negara-negara berasaskan penghormatan terhadap prinsip hak sama rata dan penentuan nasib rakyat sendiri”, PBB hendaklah menggalakkan (Pekara 55 Piagam PBB):

  • Taraf hidup yang lebih tinggi, pekerjaan penuh, dan keadaan untuk kemajuan dan pembangunan ekonomi serta masyarakat;
  • Penyelesaian untuk masalah-masalah ekonomi, sosial, kesihatan dan berkaitan antarabangsa; dan kerjasama kebudayaan dan pendidikan antarabangsa; dan
  • Penghormatan sejagat untuk dan pematuhan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asas untuk semua tanpa membezakan kaum, seks, bahasa atau agama.

Komuniti antarabangsa selepas Perang Dunia II berpandangan bahawa Piagam PBB masih tidak mencukupi untuk menakrif hak asasi manusia yang dikatakannya itu, maka adalah perlu untuk mewujudkan sebuah perisytiharan sejagat yang menyatakan hak asasi manusia dengan jelas untuk memberi kesan kepada peruntukan-peruntukan mengenai hak asasi manusia dalam Piagam PBB.

Pada tahun 1946, Majlis Ekonomi dan Sosial PBB (ECOSOC), sebuah organ utama dalam PBB yang bertanggungjawab untuk mempromosi hak asasi manusia di samping menyelaraskan kerjasama ekonomi dan sosial, telah menubuhkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB (UNCHR). UNCHR ditugaskan untuk menyediakan apa yang dikenali sebagai Piagam Hak Antarabangsa. Pada tahun 1947, UNCHR menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk merangka Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat telah diluluskan oleh Perhimpunan Agung PBB yang bersidang di Paris, Perancis, pada 10 Disember 1948 melalui Resolusi A/RES/217A dengan 48 undi sokong, 8 undi berkecuali dan tiadanya undi tolak.

Pada tahun 1950, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi yang menetapkan bahawa 10 Disember setiap tahun akan disambut sebagai Hari Hak Asasi Manusia.

Ada apa dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat?

Mukadimah “Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat” menyatakan bahawa “pengiktirafan keutuhan kemuliaan dan hak sama rata serta asasi yang tidak terpisah bagi seluruh umat manusia adalah asas kepada kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia”.

“Sekiranya kita tidak mahu mendorong manusia dalam keadaan terdesak, sebagai pilihan terakhir, memberontak untuk menentang kezaliman serta penindasan, maka adalah penting bagi hak asasi manusia dipertahankan oleh kedaulatan undang-undang,” begitu juga tulisnya Perisytiharan Hak Asasi Manusia. “Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat ini sebagai satu piawaian bersama untuk pencapaian bagi seluruh umat manusia dan semua negara, dengan tujuan supaya setiap individu dan setiap organ masyarakat, dengan sentiasa mengingati Perisytiharan ini, hendaklah berazam melalui pengajaran dan pendidikan untuk memajukan sanjungan terhadap hak-hak dan kebebasan ini dan dengan langkah-langkah progresif, di peringkat negara dan antarabangsa, bagi menjamin pengiktirafan dan pematuhan sejagat yang berkesan, kedua-duanya antara rakyat negara-negara anggota masing-masing dan rakyat wilayah-wilayah di bawah bidang kuasa mereka.”

Perkara-perkara yang terkandung dalam “Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat” boleh diringkaskan seperti di bawah:

PerkaraKandungan
MukadimahMenerangkan keperluan untuk mewujudkan Perisytiharan ini, termasuk faktor sejarah dan sosial
Perkara 1 hingga Perkara 2Konsep asas mengenai maruah manusia, kebebasan, kesamarataan hak dan prinsip tidak mendiskriminasi
Perkara 3 hingga Perkara 21Hak sivil dan politik (seperti hak untuk hidup, kebebasan diri, kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun, kebebasan bergerak, kesamarataan di sisi undang-undang dan sebagainya)
Perkara 22 hingga Perkara 27Hak ekonomi, sosial dan budaya (seperti hak untuk bekerja, hak untuk menyertai kesatuan sekerja, hak untuk pendidikan, hak untuk kesihatan, hak perumahan, hak untuk perlindungan sosial, dan sebagainya)
Perkara 28 hingga Perkara 30Pendekatan umum untuk merealisasikan perlindungan hak asasi manusia, termasuk kewajipan dan batasan

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat hanya sebuah pernyataan prinsip dan tidak mempunyai kuasa mengikat dari segi undang-undang terhadap negara-negara anggota PBB. Oleh itu, tiadanya paksaan terhadap negara-negara anggota PBB untuk melaksanakan semua hak asasi manusia yang disenaraikan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat. Walau bagaimanapun, Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat telah menjadi asas penting kepada undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. PBB kemudiannya menghasilkan pelbagai konvensyen antarabangsa yang mengikat negara-negara penandatangan secara undang-undang. Konvensyen-konvensyen antarabangsa tersebut mengkehendaki negara-negara yang menurunkan tandatangan itu menepati janji mereka dalam merealisasikan hak asasi manusia yang berkenaan, maka menggalakkan pembangunan hak asasi manusia di peringkat global.

Antara konvensyen hak asasi manusia antarabangsa yang penting termasuklah “Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik” (ICCPR), “Kovenan Antarabangsa mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya” (ICESCR), “Konvensyen mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita” (CEDAW), “Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Merendahkan Martabat Manusia” (CAT), “Konvensyen Hak Kanak-kanak” (CRC) dan sebagainya.

Ciri-ciri asas hak asasi manusia

Perisytiharan Vienna dan Program Tindakan” yang diterima dalam Persidangan Dunia mengenai Hak Asasi Manusia yang diadakan di Vienna, Austria, pada bulan Jun 1993, menyatakan bahawa “semua hak asasi manusia adalah sejagat, tidak boleh dibahagikan, saling bergantung dan saling berkaitan”. Ini merupakan ciri-ciri asas hak asasi manusia.

Hak asasi manusia seharusnya sentiasa wujud, di mana setiap orang lahir bersama hak asasinya, dan bukannya sesuatu yang diberikan atau “dikurniakan” oleh mana-mana orang atau pihak lain.

Hak asasi manusia seharusnya sejagat, dengan semua orang di seluruh pelosok dunia, tanpa mengira di mana mereka berada dan latar belakang mereka, harus menikmati hak asasi manusia yang sama seperti orang lain.

Hak asasi manusia seharusnya tidak boleh dirampas sewenang-wenangnya. Seseorang itu tidak boleh melepaskan hak asasinya walaupun secara sukarela (di mana realitinya selalu bukan begitu), dan juga tidak boleh dirampas hak asasinya secara paksaan oleh orang lain.

Hak asasi manusia seharusnya tidak boleh dibahagikan. Semua orang patut menikmati hak asasi manusia secara sama rata. Semua hak asasi manusia itu merupakan satu keseluruhan, maka tidak boleh menggunakan sejenis hak asasi manusia untuk menukarkan satu lagi jenis hak asasi manusia. Dalam erti kata lain, hak asasi manusia tidak boleh didagangkan atau dijual beli. Misalnya, mana-mana kerajaan pun tidak boleh memaksa rakyatnya untuk melepaskan hak untuk kebebasan bersuara sebagai pertukaran kepada hak untuk makanan, atau sebaliknya.

Hak asasi manusia seharusnya saling bergantung dan saling berkaitan. Penegakan sesuatu hak asasi manusia biasanya bergantung pada penegakan hak asasi manusia yang lain. Misalnya, sekiranya seorang itu dinafikan hak untuk makanan, dia dapat menggunakan hak untuk kebebasan bersuara untuk menyuarakan tentang penafian hak tersebut.

Nilai-nilai asas hak asasi manusia merangkumi maruah, kebebasan, kesamarataan, keadilan, persaudaraan, kasih sayang dan tidak mendiskriminasi. Setiap orang berhak untuk hidup secara bermaruah dengan saling hormat-menghormati hak asasi manusia sesama diri. Setiap orang berhak untuk hidup secara bebas dengan bertindak mengikut kehendak diri tanpa menjejaskan hak kebebasan orang lain. Hak asasi manusia seharusnya dinikmati secara sama rata oleh semua orang, di mana tiada seorang pun mempunyai lebih banyak atau kurang hak berbanding orang lain. Hak asasi manusia juga harus menekankan nilai etika masyarakat yang berlandaskan keadilan dan tidak pilih kasih. Hak asasi manusia dapat dikekalkan melalui persaudaraan sesama manusia, di mana perlindungan hak asasi manusia bagi seseorang itu merupakan kewajipan orang lain. Selagi masih adanya orang yang tidak dapat menikmati hak asasi manusia yang sepenuhnya, semua orang lain tidak mungkin akan dapat benar-benar menikmati hak asasi manusia yang sepenuhnya. Prinsip tidak mendiskriminasi dalam hak asasi manusia menekankan bahawa semua orang harus mendapat layanan yang adil. Tiada orang boleh dirampas atau dihadkan hak asasinya hanya kerana perbezaan dari segi kaum, gender, kewarganegaraan, bahasa, agama, budaya, umur, status kesihatan fizikal dan mental, dan sebagainya.

Situasi hak asasi manusia sedunia hari ini masih mencabar

75 tahun selepas kelahiran Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, walaupun wujudnya kemajuan dalam banyak aspek di banyak negara dalam menegakkan hak asasi manusia, masih berlakunya pelbagai pelanggaran hak asasi manusia di merata tempat di seluruh dunia. Impian Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat untuk sebuah dunia yang menjadikan hak asasi manusia itu “asas kepada kebebasan, keadilan dan kedamaian dunia” masih jauh belum tercapai.

Pada ketika dunia menyambut ulang tahun ke-75 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, Semenanjung Gaza masih sedang dibedil dan rakyat Palestin masih sedang dizalimi oleh tentera Zionis Israel. Serangan ketenteraan rejim Zionis Israel ke atas Gaza dan juga penindasan berterusan di Tebing Barat sepanjang dua bulan yang lalu telah meragut nyawa lebih 17,000 orang Palestin. Penderitaan terkini yang dialami oleh rakyat Palestin hanyalah penerusan kezaliman rejim Zionis Israel yang berlarutan sejak tahun 1948, iaitu lebih kurang sama dengan jangka hayat Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

Selain Palestin, konflik bersenjata yang mengakibatkan pengorbanan nyawa banyak orang masih berlaku di Ukraine, Ethiopia, Sudan, Sahel, Syria, Myanmar dan banyak lagi tempat. Kerajaan di banyak negara juga masih menggunakan cara yang keras dan ganas untuk menyekat ruang demokrasi dan mematahkan suara pengkritik. Semua ini mendatangkan pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan.

Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat hanya kekal sebagai sebuah dokumen yang janji yang belum ditepati selagi masih wujudnya peperangan dan penindasan di mana-mana tempat di dunia kita. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua orang yang menginginkan sebuah masyarakat yang lebih demokratik, adil dan sejahtera untuk meneruskan usaha bersama kita dalam menegakkan hak asasi manusia bagi semua orang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *