Aaron Bushnell, seorang askar Tentera Udara Amerika Syarikat yang berusia 25 tahun, membakar dirinya di hadapan Kedutaan Israel di Washington, D. C., Amerika Syarikat (AS), pada 25 Februari 2024 untuk berprotes terhadap genosid yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dan persubahatan kerajaan AS dalam jenayah kemanusiaan di bumi Palestin.
“Saya seorang anggota aktif dalam Tentera Udara Amerika Syarikat, dan saya tidak akan lagi bersubahat dalam genosid”, kata Aaron Bushnell dalam video yang dirakamnya sendiri dan disiarkan secara langsung. “Saya akan terlibat dalam satu tindakan protes yang melampau. Namun, berbanding dengan apa yang dialami oleh rakyat di Palestin dalam tangan penjajah mereka, ia langsung tidak melampau. Inilah apa yang diputuskan oleh kelas pemerintah kita sebagai perkara biasa.” Aaron Bushnell yang berpakaian seragam askar itu menyalakan dirinya dengan api selepas membuat kenyataan tersebut.
Aaron Bushnel menjerit “Bebaskan Palestin!” (Free Palestine!) berulang kali sebelum jatuh di atas lantai. Aaron Bushnell meninggal dunia tidak lama kemudian di hospital kerana kecederaan melecurnya. Beliau menjadi anggota tentera AS pertama yang menggunakan cara membakar diri untuk membantah tindakan tentera yang dianggotainya. Beliau merupakan orang kedua membakar diri di AS untuk membantah jenayah genosid Israel, di mana seorang demonstran membakar diri di hadapan pejabat konsulat Israel di Atlanta pada bulan Disember 2023.
Kedutaan Israel di Washington, D. C. telah menjadi tempat tumpuan aksi protes sejak rejim Zionis Israel melancarkan perang genosidnya terhadap Gaza pada bulan Oktober 2023. Sepanjang 4 bulan yang lalu, ratusan aksi protes massa telah diadakan di bandar-bandar di seluruh negara AS untuk menuntut gencatan senjata di Gaza dan mendesak kerajaan AS pimpinan Joe Biden untuk menghentikan semua bantuan kepada Israel. Aksi-aksi protes di AS merupakan sebahagian penting gelombang protes menentang kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin yang merebak di seluruh dunia pada masa ini.
Setakat ini, perang genosid Israel di Gaza telah membunuh hampir 30,000 orang warga Palestin (lebih 12,000 orang yang terbunuh merupakan kanak-kanak) dan mencederakan lebih 70,000 orang. Kira-kira 2 juta orang telah kehilangan tempat tinggal. Tentera Israel telah melakukan pengebomban sembarangan dan serangan darat di seluruh Semenanjung Gaza, termasuk menyerang hospital, sekolah dan rumah perlindungan pelarian. Rejim Zionis Israel yang zalim dan bersifat fasis telah menyekat bekalan bantuan asas kepada penduduk-penduduk di Gaza, menyebabkan rakyat Palestin hidup dalam kebuluran dan mengalami penderitaan yang amat teruk.
Kerajaan AS bukan sahaja berulang kali menghalang usaha pendamaian di Gaza dengan menggunakan kuasa vetonya terhadap resolusi-resolusi dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang menuntut gencatan senjata segera, malah ia juga terlibat secara aktifnya dalam perang genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel dengan membekalkan senjata berbilion-bilion dolar kepada Israel.
Tindakan membakar diri sebagai aksi protes politik bukannya sesuatu yang baharu, namun ia merupakan satu bentuk protes yang “ekstrim” kerana orang yang berprotes itu sanggup mengorbankan nyawa demi menyatakan pendiriannya. Aktivis buruh muda Chun Tae-il yang membakar dirinya di Seoul pada tahun 1970 telah menjadi percikan api yang membangkitkan gerakan pekerja di Korea Selatan; penjaja jalanan Mohamed Bouazizi yang membakar dirinya di Sidi Bouzid pada tahun 2010 mencetuskan gelombang protes di seluruh negara Tunisia yang akhirnya menjatuhkan rejim kediktatoran Zine El Abidine Ben Ali dan menjadi batu api kepada “Musim Bunga Arab”; sami Buddha Thích Quảng Đức membakar dirinya di Saigon (Bandar Raya Ho Chi Minh sekarang) pada tahun 1963 untuk membantah penindasan oleh kerajaan Vietnam Selatan yang disokong oleh kuasa imperialis AS pada masa itu menjadi lambang protes hebat terhadap Perang Vietnam. Pengorbanan Aaron Bushnel sudah pasti akan membangkitkan lagi kesedaran orang ramai, khususnya rakyat AS, tentang persubahatan kerajaan mereka dalam jenayah kemanusiaan yang paling teruk pada masa sekarang.
What a brave brave man!! . I salute him as one of my heroes. May you rest in peace bro