oleh Jayanath Appudurai

Baru-baru ini, Menteri Ekonomi saudara Rafizi Ramli telah memberi pandangan tentang saiz penjawat awam di Malaysia seperti berikut:-

“Polemik saiz penjawat awam Malaysia yang besar sudah lama dibincangkan dengan yang selalu disebut di luar adalah Malaysia mempunyai penjawat awam yang paling ramai berbanding dengan negara-negara lain. Pandangan saya adalah isu saiz penjawat awam ini perlu dibincangkan dengan adil dan objektif. Ini kerana takrifan ataupun konteks penjawat awam dan pentadbir adalah berbeza mengikut negara masing-masing.”

Ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengulas, pakar mahupun warga di media sosial!

Tujuan rencana ini adalah untuk membekalkan data yang sahih supaya dapat memaklumkan perbincangan mengenai isu semasa ini.

Bagi menentukan saiz sebenar penjawat awam, kita perlu merujuk kepada definisi “Perkhidmatan Awam” di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Mengikut Perkara 132(1) Perlembagaan Persekutuan, perkhidmatan awam ialah – “angkatan tentera; perkhidmatan kehakiman dan perundangan; perkhidmatan awam am Persekutuan; pasukan polis; perkhidmatan awam bersama yang disebut dalam Perkara 133; perkhidmatan awam setiap Negeri; dan perkhidmatan pendidikan”.

Semua klasifikasi jawatan dan skim perkhidmatan adalah dipaparkan dalam Senarai Perjawatan Persekutuan. Data dirumuskan dalam Jadual berikut. (sumber: Kementerian Kewangan, Senarai Perjawatan di Kementerian dan Jabatan dalam Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2024, Oktober 2023)

KATEGORI PENJAWATBILANGAN JAWATAN(%) /JUMLAH
Anggota Pentadbiran3450.03
Pengurusan Tertinggi27810.2
Pengurusan & Profesional607,26743.33
Pelaksana789,72756.44
JUMLAH1,400,120100.0
PERKHIDMATANBILANGAN JAWATAN(%) / JUMLAH
Pendidikan558,49640
Kesihatan294,28721
Keselamatan Dalam Negeri195,04514
Pertahanan165,55212
Semua Perkhidmatan Lain ( ~27 Kementerian)186,74013

Beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian:

  • Jumlah perjawatan tidak termasuk “Anggota Pentadbiran” ialah 1,399,775!
  • Sejumlah 456,207 (75%) jawatan Pengurusan dan Profesional adalah dalam Perkhidmatan Pendidikan.
  • Hampir 87% daripada 1.4 juta jawatan adalah dalam perkhidmatan Pendidikan, Kesihatan, Keselamatan Dalam Negeri dan Pertahanan.

Beberapa perkara berkaitan untuk mereka dalam perbincangan mengenai ‘kuantiti, kualiti, kecekapan, keberkesanan’, adalah:-

  • Pelanggan Utama Perkhidmatan Pendidikan adalah 5 juta orang murid sekolah dan 600,000 orang penuntut di peringkat tertiari. Perkhidmatan ini mengandungi 40% daripada jumlah penjawat awam. Sejumlah RM44.7 bilion (47%) daripada jumlah emolumen Kerajaan Persekutuan [RM 95.6 bilion] diperuntukkan untuk perkhidmatan ini. Adakah keluaran dan hasil  Pendidikan setimpal dengan sumber yang dibekalkan? (rujuk anggaran perbelajaan Persekutuan 2024)
  • Kini Perkhidmatan Kesihatan memenuhi keperluan hampir 70% penduduk yang berjumlah 32 juta orang. Perkhidmatan ini mengandungi 21% daripada jumlah perjawatan dan 23% daripada jumlah emolumen. Adakah pengagihan sumber ini mencukupi untuk keperluan Kesihatan kini dan masa hadapan?
  • Tugas utama Angkatan Tentera (Pertahanan) adalah untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar. Kini 12% perjawatan dan 8.5% daripada jumlah emolumen dibekalkan untuk perkhidmatan ini. Adahkah ini harga yang terlalu tinggi untuk melindungi nyawa dan harta rakyat?
  • Keselamatan Dalam Negeri dipertanggungjawabkan untuk menjamin keselamatan dan ketenteraman awam untuk warga negara, pekerja asing dan pelawat. Kini 14% perjawatan dan 10.4% daripada jumlah emolumen dibekalkan. Adakah perkhidmatan ini ditadbir urus secara telus dan bertanggungjawab?

Apa jua perbicaraan mengenai saiz penjawat awam perlu dikendalikan secara sopan, rasional dan tanpa emosi. Yang lebih penting, perbincangan harus berdasarkan data yang sahih dan maklumat yang dapat disahkan daripada sumber yang dipercayai.

==========

 Jayanath Appudurai ialah aktivis sosial daripada Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *