(foto: Mohammed Talatene/picture alliance via Getty Images)

Rejim Zionis Israel telah melancarkan perang genosid ke atas rakyat Palestin sebagai reaksi terhadap serangan mengejut “Operasi Taufan al-Aqsa” oleh kumpulan-kumpulan pejuang Palestin yang diterajui Hamas pada 7 Oktober 2023. Tentera Israel melakukan pengeboman berterusan ke atas Semenanjung Gaza diikuti dengan pencerobohan darat secara besar-besaran ke atas Gaza pada 27 Oktober 2023. Setakat 13 November 2023, dalam tempoh lebih sebulan pembantaian terhadap rakyat Palestin oleh tentera Israel, lebih 11,000 orang warga Palestin di Gaza telah dibunuh, dengan lebih 4,000 orang daripadanya merupakan kanak-kanak, dan angka yang mengerikan ini masih akan meningkat lagi. Lebih 28 ribu orang telah dicederakan, sementara lebih kurang 1.5 juta orang warga Palestin menjadi pelarian dalaman di Semenanjung Gaza.

Angka kematian di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 telah melebihi jumlah kematian daripada serangan tentera Israel ke atas Gaza dalam tempoh 16 tahun sebelum ini (termasuk Perang Gaza 2008-2009 dan Perang Gaza 2014). Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), berkata pada 6 November 2023 bahawa Gaza sedang menjadi “tanah perkuburan untuk kanak-kanak”. “Kita harus bertindak sekarang juga untuk mencari jalan keluar daripada kemusnahan yang kejam, mengerikan dan berjalan buntu menyedihkan ini,” begitu katanya Guterres yang menyeru untuk gencatan senjata kemanusiaan segera.

Akibat daripada serangan ketenteraan rejim Zionis Israel, 20 daripada 36 buah hospital yang terletak di Semenanjung Gaza tidak lagi berfungsi, termasuk dua buah hospital yang terbesar – Hospital al-Shifa dan Hospital al-Quds. Penembak hendap tentera Israel melepaskan tembakan ke arah sesiapa yang berada berdekatan dengan Hospital al-Shifa di mana ribuan orang terperangkap di dalamnya.

Selain Semenanjung Gaza yang dibedil dan diserang oleh tentera Israel yang berkelengkapan senjata canggih, warga Palestin di Tebing Barat juga terus dizalimi oleh pihak berkuasa Israel, dengan lebih 170 orang dibunuh dan lebih 2,400 orang cedera di Tebing Barat, walaupun peperangan dikatakan dilancarkan ke atas Gaza sahaja.

(foto: Aris Messinis / AFP / Getty Images)

Media arus perdana di peringkat antarabangsa menggelar apa yang sedang berlaku di Palestin sekarang ini sebagai “Perang Hamas-Israel”, tetapi pada hakikat ia merupakan perang genosid Israel terhadap rakyat Palestin dengan niat melakukan pembersihan kaum, untuk mengulangi “Nakba” yang pernah berlaku pada rakyat Palestin 75 tahun dahulu. Peperangan yang berlaku di Gaza dan penindasan yang berterusan di Tebing Gaza sekarang ini, bukannya untuk menewaskan Hamas seperti yang diwar-warkan oleh kerajaan Israel, tetapi sebenarnya untuk menghapuskan bangsa Palestin di bumi Palestin. Bagi rejim Zionis Israel yang menduduki bumi Palestin sejak tahun 1948, adalah menjadi dasarnya sejak awal lagi untuk tidak melayan warga Palestin sebagai manusia, sebaliknya menganggap rakyat Palestin sebagai golongan yang boleh diasingkan, diseksa, diserang, ditembak dan dibunuh sewenang-wenangnya malah dihapuskan sama sekali.

Penindasan terhadap rakyat Palestin yang berterusan oleh rejim Zionis Israel sepanjang 75 yang dahulu, dan keengganan golongan pelampau kanan Zionis untuk mewujudkan pendamaian yang sebenar di bumi Palestin, merupakan punca kepada penentangan rakyat Palestin yang berterusan, termasuk menggunakan pendekatan perjuangan bersenjata dan melancarkan Intifadah. Rejim Zionis Israel telah mempergunakan serangan mengejut “Operasi Taufan al-Aqsa” pada 7 Oktober 2023 sebagai kesempatan untuk meningkatkan lagi serangan ganasnya terhadap rakyat Palestin. Lebih-lebih lagi, kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu juga dapat mempergunakan perang yang dilancarkan ke atas Palestin ini untuk mengalihkan perhatian umum daripada krisis politik dalaman yang sedang menghantuinya dan memperkukuhkan kekuasaannya.

Tindakan zalim rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin masih direstui oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang mengatakan Israel mempunyai “hak untuk pertahanan diri”, tetapi pada hakikatnya apa yang sedang dilakukan oleh rejim Zionis Israel di Semenanjung Gaza merupakan jenayah perang atau “jenayah terhadap kemanusiaan” – pembunuhan beramai-ramai terhadap orang awam, menyekat bantuan kemanusiaan kepada mangsa perang, hukuman kolektif terhadap penduduk Gaza, mengebom hospital dan sebagainya. Waran tangkap seharusnya dikeluarkan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Benjamin Netanyahu selaku ketua kerajaan Israel yang melakukan jenayah perang yang begitu serius ini.

Perang genosid terhadap Palestin yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel, telah mendapat kecaman hebat daripada pelbagai pihak. Banyak aksi protes bersolidariti dengan rakyat Palestin dan menyeru untuk gencatan senjata telah diadakan di merata tempat di seluruh dunia.

300,000 orang berprotes di Washington, D.C., AS, pada 4 November 2023, untuk bersolidariti dengan Palestin. (foto: Sofia Pérez)

Banyak kerajaan negara di seluruh dunia, termasuk kerajaan Malaysia, telah mengecam perang genosid Israel terhadap Palestin. Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam yang diadakan pada 11 November 2023 di Riyadh, Arab Saudi, mengeluarkan kenyataan yang mengecam pencerobohan Israel terhadap Semenanjung Gaza dan jenayah perang serta pembunuhan beramai-ramai yang di lakukan oleh kerajaan pendudukan kolonial terhadap rakyat Palestin di Tebung Barat yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur. Kenyataan Sidang Kemuncak Tergempar Arab-Islam menggesa Majlis Keselamatan PBB untuk mengambil keputusan segera untuk mengecam tindakan kejam tentera penjajah Israel yang memusnahkan hospital-hospital di Semenanjung Gaza, menghalang penghantaran ubat-ubatan, makanan dan bahan api kepada penduduk-penduduk Gaza, dan memotong bekalan elektrik serta perkhidmatan-perkhidmatan asas lain di Gaza, yang merupakan jenayah perang mengikut undang-undang antarabangsa.

Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dalam kenyataannya pada 20 Oktober 2023 menggesa agar keganasan dihentikan segera, mengesahkan sokongan untuk rundingan penyelesaian dua-negara dan menyeru pada masyarakat antarabangsa untuk menyokong proses pendamaian supaya memastikan keamanan dan kestabilan yang berkekalan di rantau Timur Tengah.

Perhimpunan Rakyat Antarabangsa (IPA) yang mengadakan persidangan antarabangsa di Johannesburg, Afrika Selatan, pada 14-18 Oktober 2023, di mana turut disertai oleh wakil daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), menyatakan solidaritinya bersama rakyat Palestin. “Negara apartheid Israel dan sekatan yang dikenakan (selama 16 tahun ke atas Gaza) merupakan jenayah terhadap kemanusiaan,” begitu katanya kenyataan IPA. “Kami membantah penjenayahan dan penyahmanusiaan terhadap rakyat Palestin, dan mempertahankan hak mereka untuk menentang.” IPA menuntut supaya:

  • Menamatkan segera semua serangan dan mewujudkan gencatan senjata di Gaza;
  • Menamatkan sekatan terhadap Gaza;
  • Memulangkan semua wilayah kepada rakyat Palestin;
  • Menamatkan pendudukan Israel ke atas Palestin.

4 thoughts on “Pembantaian Gaza: Israel terus zalimi rakyat Palestin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *