Nama buku: Sebutir Percikan: Biografi Chun Tae-il

Penulis: Cho Young-rae

Penterjemah: Erlinda Joseph & Elda Konsaga

Penerbit: Strategic Information and Research Development Centre (SIRD)

219 muka surat

Tahun: 2022

ISBN 978-967-2464-54-9

Harga: RM30

**********

Korea Selatan ialah salah sebuah negara dengan ekonomi yang paling maju di benua Asia. Pertumbuhan ekonomi yang pesat di Korea Selatan selepas Perang Korea (1950-1953), khususnya semasa zaman pemerintahan kediktatoran Park Chung-hee pada tahun 1960-an dan 1970-an, yang dikenali sebagai “Keajaiban di Sungai Han” sehingga membolehkan negara itu muncul menjadi salah sebuah negara “Empat Harimau Asia” (atau “Empat Naga Kecil”), terjadi di bawah keadaan yang penuh dengan penderitaan pekerja-pekerja Korea yang amat teruk akibat daripada perhambaan, eksploitasi dan penindasan hebat oleh golongan kapitalis yang disokong rejim pemerintahan yang autoritarian. Namun begitu, di mana adanya penindasan, di situ adanya penentangan. Walaupun menghadapi suasana ketakutan, perasaan tidak berdaya dan ancaman penindasan yang hebat, golongan pekerja Korea telah bangkit melawan dari semasa ke semasa untuk memperjuangkan sebuah kehidupan yang lebih bebas, sejahtera dan bermaruah. Perjuangan dan pengorbanan Chun Tae-il (juga dikenali sebagai Jeon Tae-il) merupakan lembaran sejarah yang penting dalam gerakan pekerja di Korea Selatan.

“Patuhi Undang-undang Buruh!” “Kami bukan mesin!” “Biar kami berehat pada hari Ahad!” Inilah tangisan Chun Tae-il, seorang anak muda yang hanya berumur 22 tahun ketika badannya dijilat api apabila dia membakar dirinya pada 13 November 1970 di Pasar Damai Seoul, untuk menyuarakan bantahannya terhadap eksploitasi dan ketidakadilan yang dialami oleh golongan pekerja Korea. Chun Tae-il yang sanggup mengorbankan nyawanya demi memperjuangkan nasib pekerja pada usianya yang begitu muda, telah mencatatkan namanya dalam sejarah Korea Selatan sebagai percikan api yang membangkitkan semangat perjuangan gerakan pekerja Korea Selatan yang hebat.

Buku “Sebutir Percikan: Biografi Chun Tae-il” yang ditulis oleh Cho Young-rae telah mencatatkan kehidupan Chun Tae-il yang penuh dengan liku-liku, kesusahan, cabaran dan perjuangan untuk menegakkan keadilan sosial, sehinggalah ke saat-saat terakhir hayatnya. Kini, buku ini telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu daripada Edisi Bahasa Inggeris oleh Erlinda Joseph dan Elda Konsaga. Edisi Bahasa Inggeris buku ini diterjemahkan oleh Chun Soon-ok, adik perempuan Chun Tae-il yang juga pernah melibatkan diri dalam usaha mengorganisasi pekerja dan kemudiannya menjadi penyelidik gerakan buruh. Buku terjemahan yang diterbitkan oleh SIRD ini mendapat sokongan daripada Kesatuan Pekerja-pekerja Kesihatan dan Perubatan Korea (KHMU) dan Yayasan Chun Tae-il.

Buku yang mengisahkan riwayat hidup seorang anak muda yang sanggup mengorbankan nyawanya demi memperjuangkan nasib kelas pekerja ini, bukan sahaja untuk kita memperingati pengorbanan Chun Tae-il yang amat murni dan mengharukan, malah memberi inspirasi dan semangat kepada sesiapa yang bertekad untuk menegakkan hak pekerja supaya terus mara ke hadapan dalam perjuangan pembebasan masyarakat. “Jangan biarkan kematian saya menjadi sia-sia,” begitu katanya Chun Tae-il selepas dia membakar dirinya untuk menyuarakan tuntutan perjuangannya. Tangisan ini telah disahut oleh gerakan pekerja Korea Selatan selepasnya dengan mengatur aksi perjuangan yang lebih hebat lagi, dan turut menjadi inspirasi kepada gerakan pekerja di negara-negara lain.

Penulis buku ini, Cho Young-rae (1947-1990), yang berumur setahun lebih tua daripada Chun Tae-il, juga merupakan seorang aktivis pelajar yang terlibat dalam perjuangan rakyat menentang rejim pemerintahan kediktatoran Park Chung-hee pada tahun 1960-an dan 1970-an. Cho Young-rae terpanggil untuk menulis sebuah biografi tentang seorang anak muda yang hampir sebaya dengannya ini dengan hasrat merealisasikan wasiat Chun Tae-il untuk membebaskan pekerja Korea daripada perhambaan dan penindasan. Nilai-nilai hidup Cho Young-rae berlandaskan prinsip keadilan sosial memang adalah seiras dengan falsafah Chun Tae-il. Cho Young-rae menulis buku ini pada ketika dia terpaksa bersembunyi daripada pihak polis yang hendak memburunya kerana penglibatannya dalam perjuangan demokratik. Cho Young-rae merupakan salah seorang peserta dalam gerakan perjuangan rakyat Korea Selatan yang berjaya membawa kepada pendemokrasian negara itu.

Buku ini menceritakan pengalaman yang dilalui oleh Chun Tae-il sejak zaman kanak-kanaknya dan bagaimana dia menjadi saksi pada usia belasan tahun lagi kepada penderitaan kelas pekerja Korea dalam proses penciptaan “Keajaiban di Sungai Han” di kilang-kilang pakaian di kawasan Pasar Damai Seoul sehingga membangunkan kesedaran kelas dan ketekadannya untuk melakukan perubahan terhadap keadaan pekerja yang penuh kesengsaraan ini. Chun Tae-il pernah diberhentikan kerja hanya kerana dia membantu pekerja berpangkat rendah di kilang. Dia kemudiannya diberhentikan kerja lagi kerana penglibatannya dalam usaha mengorganisasi pekerja.

Bapa Chun Tae-il, Chun Sang-soo, pernah menyertai perjuangan mogok pekerja tetapi dipatahkan secara zalim oleh pihak berkuasa, sehingga mewujudkan trauma dalam dirinya terhadap gerakan pekerja dan cuba menghalang anaknya daripada terlibat dalam gerakan pekerja. Yang menariknya, apabila Chun Sang-soo menceritakan pengalamannya dalam perjuangan pekerja yang digagalkan, dengan niat untuk mematahkan semangat anaknya Chun Tae-il yang hendak memulakan gerakan pekerja, kisah-kisah pengalaman perjuangan yang diceritakannya itu sebaliknya membangkitkan lagi semangat anaknya untuk memulakan gerakan pekerja dengan kesedaran dan persiapan mental bahawa cabaran gerakan pekerja adalah amat besar.

Chun Tae-il (1948-1970)

Chun Tae-il telah mengharungi pelbagai cabaran semasa dia menubuhkan “Persatuan Orang Bodoh” untuk mengorganisasi pekerja dan memperjuangkan hak pekerja. Persatuan Orang Bodoh mendapat namanya daripada cemuhan bahawa “hanya orang bodoh sahaja yang akan berfikir untuk memulakan gerakan buruh”. “Kita sekurang-kurangnya perlu tahu sama ada kita adalah orang bodoh sebelum mati. Marilah kita mencubanya,” balas Chun Tae-il terhadap cemuhan daripada segelintir pekerja yang tidak mempunyai keyakinan terhadap gerakan buruh.

Selepas melalui pengalaman mengorganisasi pekerja yang penuh keperitan dan sikap pihak berkuasa serta media yang dingin terhadap tuntutan pekerja, walaupun banyak kekecewaan dan ada ketikanya hampir berputus asa, tetapi Chun Tae-il tetap tidak berputus asa. Persatuan Orang Bodoh kemudiannya disusun semula menjadi Persatuan Persahabatan Samdong untuk mengatur perjuangan pekerja di Daerah Dongdaemun, Seoul, di mana terletaknya Pasar Damai.

Persatuan Persahabatan Samdong yang dipimpin oleh Chun Tae-il memperjuangkan tuntutan-tuntutan seperti memperbaiki keadaan tempat kerja, cuti haid untuk pekerja wanita dan hak untuk menubuhkan kesatuan pekerja. Namun, usaha Persatuan Persahabatan Samdong untuk membawa tuntutan pekerja kepada perhatian pihak berwajib menghadapi pelbagai halangan dan sekatan. Akhirnya, Chun Tae-il bersama-sama dengan rakan-rakannya dalam Persatuan Persahabatan Samdong memutuskan untuk melakukan satu aksi membakar buku undang-undang buruh di kawasan Pasar Damai pada 13 November 1970, sebagai bantahan terhadap pihak berkuasa yang tidak menguatkuasakan undang-undang buruh sehingga menjadikannya hanya sekadar kertas yang tidak berguna. Namun, apa yang tidak dijangka oleh rakan-rakannya, Chun Tae-il bukan sahaja membakar buku undang-undang buruh pada 13 November 1970, malah turut membakar tubuh badannya yang disiram minyak petrol.

Tangkap layar filem “A Single Spark” (1995), arahan Park Kwang-su. Ini ialah sebuah filem biografi mengenai Chun Tae-il.

Chun Tae-il meninggal dunia pada malam yang sama selepas dia membakar dirinya di Pasar Damai pada 13 November 1970. Seperti yang diseru oleh Chun Tae-il sebelum dia meninggal dunia, kematiannya tidak menjadi sia-sia. Pengorbanan Chun Tae-il telah membangkitkan semangat anak-anak muda dan pekerja-pekerja untuk melakukan aksi protes. Adanya sesetengah pelajar menjalin hubungan erat dengan golongan pekerja, menjadi penggerak kepada gerakan pekerja yang merupakan asas penting kepada gerakan pendemokrasian di Korea Selatan.

Kematian Chun Tae-il membangkitkan gelombang gerakan pekerja yang baharu di Korea Selatan. Gerakan pekerja Korea menghadapi penindasan yang teruk selepas Park Chung-hee mengisytihar darurat pada tahun 1971, namun masih ramai anak muda menyumbangkan tenaga mereka kepada usaha membangunkan organisasi pekerja dalam keadaan darurat. Ini kemudiannya mencetuskan perjuangan masyarakat yang hebat seperti Pemberontakan Rakyat Gwangju pada tahun 1980 dan Gerakan Demokratik Jun pada tahun 1987 yang berjaya membawa kepada proses pendemokrasian di Korea Selatan. Banyak aksi mogok pekerja yang hebat telah diadakan di Korea Selatan untuk memperjuangkan hak pekerja. Ternyata bahawa semangat Chun Tae-il masih membara dalam gerakan pekerja di Korea Selatan.

Melalui pengorbanannya, Chun Tae-il menegaskan satu visi yang begitu penting kepada semua pekerja, iaitu pekerja bukannya mesin dan tidak boleh dijadikan hamba. Semua pekerja berhak untuk hidup secara bermaruah dan bebas daripada penindasan.  

Walaupun nyawa Chun Tae-il sudah hangus terbakar pada ketika dia berumur 22 tahun, namun jiwa Chun Tae-il yang kental menegakkan hak pekerja tetap hidup dalam gerakan pekerja Korea Selatan, malah menjadi inspirasi kepada perjuangan kelas pekerja di rantau Asia.

Setiap orang yang berdedikasi dalam usaha memperjuangkan nasib pekerja, patut membaca kisah riwayat hidup Chun Tae-il.

==========

(oleh Choo Chon Kai)

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap dan Ketua Pengarang Sosialis.net.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *