IPOH, PERAK – 29 FEBRUARI 2024: Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kerajaan Negeri Perak supaya jangan menaikkan tarif air di negeri Perak. Gesaan ini dibuat dalam satu aksi protes yang diadakan di hadapan Pejabat Menteri Besar Perak pada hari ini.

Kerajaan Negeri Perak sedang bercadang untuk menaikkan tarif air di negeri tersebut berikutan pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bahawa tarif air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Labuan akan dinaikkan. Kerajaan Negeri Perak dijangka akan membuat pengumuman kenaikan tarif air di Perak pada bulan Mac 2024.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Seri Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak, PSM menyeru pada Kerajaan Negeri Perak supaya tidak mengikuti jejak kerajaan-kerajaan negeri lain dalam menaikkan tarif air di Perak. “Adalah amat jelas ditunjukkan dalam laporan kewangannya bahawa  Lembaga Air Perak (LAP) sendiri mendapat keuntungan setiap tahun dan kos tidak meningkat secara ketara,” begitunya ulasan yang diberikan dalam memorandum PSM. “Tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak pada ketika ini adalah RM0.30 bagi penggunaan sifar hingga 10 meter padu (m³), RM0.70 bagi 11-20 m³ dan RM1.03 bagi yang melebihi 20 m³. Ini adalah antara kadar tarif air yang tertinggi di Malaysia dan sudah cukup untuk membebani rakyat Perak.”

Turut hadir semasa penyerahan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak termasuk Bawani KS selaku Timbalan Setiausaha Agung PSM merangkap Pengerusi PSM Perak dan Karthiges Rajamanickam selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.

“Kerajaan Negeri Perak tidak mempunyai alasan yang konkrit untuk menaikkan tarif air, dan sedang ini ia cuba menghalalkan cadangan kenaikan tarif ini,” kata Bawani KS semasa menyerahkan memorandum kepada wakil Kerajaan Negeri Perak. “Namun, kami mahu Kerajaan Negeri Perak untuk melihat sendiri situasi rakyat yang sudah pun dibebani dengan tekanan pendapatan yang kurang dan kenaikan harga barang yang tinggi.”

Statistik daripada laporan kewangan LAP dalam beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan keuntungan badan tersebut mencatatkan keuntungan sementara kos pengurusan bekalan air di Perak adalah stabil dan tidak meningkat dengan ketara. Jumlah kos pengurusan air Perak pada tahun 2022 untuk setiap meter padu adalah RM0.95. Iini adalah kos yang sangat stabil sejak empat tahun yang lalu, dan kos ini tidak melonjak dengan ketara, di mana kadarnya adalah pada RM1.00 (2019), RM 0.97 (2020) dan RM 0.93 (2021) sebelum itu. Akaun aktif LAP juga meningkat dalam tempoh 5 tahun dari 2018 hingga 2022, dan ini termasuk akaun kediaman rakyat Perak.

“Keuntungan yang dicatatkan dan perubahan kos pengurusan yang tidak meningkat dengan ketara jelas menunjukkan bahawa alasan yang digunakan untuk menaikkan tarif air, sama ada defisit atau kenaikan kos pengurusan, adalah tidak berasas sama sekali,” ulas Bawani. “Semua nilai statistik yang diberikan adalah daripada sumber rasmi LAP itu sendiri. Jadi, kami beranggapan pengumuman yang akan dibuat pada bulan Mac oleh YAB Menteri Besar Perak adalah hanya untuk mengikut arus nasional dalam meluluskan kenaikan tarif, dan Kerajaan Negeri sedang mengambil kesempatan ini untuk menghalalkan tindakan menaikkan tarif untuk meningkatkan keuntungan semata-mata.”

“Kerajaan mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit dengan ‘perniagaan bekalan air’. Tarif air Perak juga adalah tinggi sekarang berbanding negeri-negeri lain,” kata Bawani lebih lanjut lagi. “Tarif air yang dikenakan kepada pengguna domestik di Perak pada ketika ini adalah pada purata RM0.70 (11-20 m³), antara yang tertinggi di Malaysia. Untuk tahun 2022 sahaja, LAP merekodkan jumlah nilai kutipan yang mencecah RM373.1 juta.”

PSM menegaskan bahawa air merupakan satu hak asasi manusia, dan bukannya komoditi yang digunakan untuk mengaut keuntungan bagi mana-mana pihak. Akses kepada air bersih yang selamat diminum dan sanitasi kebersihan merupakan salah satu hak asasi manusia di dunia ini yang perlu dipenuhi oleh mana-mana pihak berkuasa. PSM berpandangan bahawa kerajaan harus memahami kesusahan rakyat dan tidak harus menggunakan pendekatan yang pro-kapitalis.

“Nasihat SPAN bahawa pengguna perlu berjimat dan menghargai bekalan air adalah melucukan dan bersifat menangguk di air keruh,” Bawani mengkritik pendekatan kerajaan mengenai bekalan air kepada rakyat jelata. “Begitu banyak kajian menunjukkan bahawa pencemaran air dan alam sekitar adalah antara punca kekangan untuk memberi bekalan air bersih kepada rakyat, dan ini secara tidak langsung meningkatkan kos pengurusan air. Kita sering mengabaikan masalah pencemaran sungai yang timbul akibat pelaksanaan aktiviti ekonomi dan projek pembangunan yang tidak lestari. Kaum kapitalis gagal dikawal dan akhirnya, seperti biasa, kesan buruk kerakusan mereka ditanggung oleh rakyat jelata. Pihak Berkuasa Alam Sekitar memberitahu bahawa terdapat 29 batang sungai tercemar teruk dan diklasifikasikan sebagai Kelas Empat dan Lima yang berpunca daripada pelbagai aktiviti industri, kumbahan dan penternakan. Malangnya sehingga hari ini, tiada tindakan konkrit diambil atau undang-undang yang sedia ada diperketatkan.”

Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan 2023) dijangka akan dibentangkan dalam sesi persidangan Dewan Rakyat suku pertama tahun ini untuk menambah baik akta yang sedia ada, namun akta berkenaan yang akan memberi tumpuan khusus dalam penambahbaikan yang berkaitan hukuman yang membabitkan kes jenayah alam sekitar dilihat masih belum memadai untuk menoktahkan isu pencemaran air di negara kita.

“Rakyat negara kita kini dibebani dengan masalah ekonomi yang teruk,” tambah Bawani. “Kenaikan harga barangan asas seperti beras, minyak, sayur-sayuran dan sebagainya sedang menghimpit rakyat jelata. Pada ketika mereka sedang susah menanggung perbelanjaan harian mereka, kenaikan tarif air adalah bagaikan mencurah minyak ke dalam api. Rakyat akan lebih merana dan ini harus dijadikan satu faktor penting kepada Kerajaan Negeri Perak untuk menghentikan niat menaikkan kadar tarif air.”

PSM menggesa Kerajaan Negeri Perak supaya mendengar rintihan rakyat dan mengambil keputusan yang sewajarnya, terutamanya pada ketika zaman kesusahan ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *