oleh Biro Pekerja Parti Sosialis Malaysia (PSM)

Selepas menerima laporan daripada beberapa orang pekerja kesihatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Kuala Lumpur, Parti Sosialis Malaysia (PSM) amat terkejut apabila mengetahui bahawa sebuah badan berkanun di bawah seliaan Kementerian Pendidikan masih tidak mempraktikkan gaji minimum RM1,500 untuk pekerja-pekerja mereka. Ini terbukti apabila pekerja-pekerja tersebut bertanya kepada pihak pengurusan sumber manusia hospital mengenai gaji minimum dan dengan mudahnya dijawab bahawa Perintah Gaji Minimum hanya tertakluk kepada sektor swasta dan bukannya pihak kerajaan. Pekerja-pekerja tersebut telah cuba memfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Subang, dan juga diberitahu oleh pegawai di JTK Subang perkara yang sama, bahawa Perintah Gaji Minimum hanya tertakluk kepada sektor swasta dan bukannya Pihak Kerajaan.

Biro Pekerja PSM amat kecewa dengan latihan dan ilmu pegawai-pegawai di JTK yang sepatutnya membimbing dan menolong pekerja di Malaysia untuk menuntut hak mereka sebagai pekerja dan untuk memberi satu kesedaran kepada mereka, tetapi tidak mengetahui undang-undang sendiri. Ini adalah tugas utama pegawai-pegawai JTK yang digajikan oleh rakyat Malaysia. Adakah tugas pemantauan yang sepatutnya dijalankan oleh pihak JTK diabaikan dan sebaliknya bergantung hanya kepada pihak pembangkang PSM untuk menjalankan tugas mereka?

Kemunafikan pihak kerajaan yang ketara ditunjukkan dalam pelaksanaan gaji minimum apabila gagal melaksanakannya dalam entitinya sendiri ini tidak boleh diabaikan. Walaupun kerajaan menetapkan dasar dan perundangan yang bertujuan untuk meningkatkan pendapatan kelas pekerja dan memastikan taraf hidup asas, kerajaan sendiri tidak mempraktikkan prinsip ini apabila melibatkan pekerjanya sendiri. Dwistandard ini bukan sahaja menghakis kepercayaan rakyat pada kerajaan tetapi juga menghantar mesej yang mengecewakan kepada orang ramai.  

Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memimpin melalui teladan, dan apabila ia gagal melaksanakan undang-undang gaji minimum dalam institusinya sendiri, ia bukan sahaja mengekalkan ketidaksamaan tetapi juga melemahkan rasa yakin terhadap insitutusi kerajaan yand diberi mandat untuk melindungi rakyatnya. Dengan mengabaikan aspek penting dasar buruh ini dalam agensi kerajaan, ketidaksamaan pendapatan masih akan dikekalkan dan mewujudkan persekitaran di mana ramai pekerja yang berdedikasi berkhidmat di sektor masing-masing bersusah payah untuk memenuhi keperluan hidup harian. Untuk merapatkan jurang antara dasar dan amalan ini, adalah penting untuk kerajaan mengutamakan layanan saksama terhadap semua pekerja, tanpa mengira majikan mereka, dan komited untuk menguatkuasakan gaji minimum dengan ketat di seluruh negara.

Biro Pekerja PSM menyeru pada kerajaan untuk memperbetulkan isu ini dengan segera, mengutamakan jaminan kewangan dan maruah pekerjanya, di samping menjadi teladan yang baik untuk amalan buruh yang adil di seluruh negara. Menteri Sumer Manusia, V. Sivakumar, sudah lama berdiam diri tentang isu-isu pekerja yang penting dan seharusnya membuat satu kenyataan media dengan segera mengenai isu pelaksanaan akta gaji minimum dalam sektor kerajaan serta badan-badan berkanun selain sektor swasta. 

Kementerian Sumer Manusia perlu segera mengarahkan satu pemautauan pelaksanaan gaji minimum yang tegas dan teliti terhadap semua jabatan kerajaan dan badan berkanun untuk memastikan tiada jabatan yang tidak melaksanakan perintah gaji minimum. Kementerian Sumer Manusia just perlu memastikan jabatan-jabatan kerajaan yang bertanggungjawab untuk melaksanakan dasar-dasar ini, dilatih dengan baik dan dipastikan menjalankan tugas mereka dengan konsisten dan jujur. Ini adalah amat penting untuk memastikan dasar yang digubal dan dilaksanakan oleh kerajaan itu akan dipraktikkan dan bukannya menjadi satu dasar kosong. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan penggubal dasar demi mewujudkan masyarakat yang lebih adil dan saksama untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *