oleh Bawani KS

Pada 12 September 2023, satu rombongan petani dari Perak telah hadir ke Parlimen untuk menyerahkan memorandum ”Jaminan Sekuriti Makanan dan Hentikan Pengusiran Tanah Petani”. Namun, puluhan orang anggota polis telah menghalang rombongan petani yang berkumpul di Tugu Negara daripada berjalan menuju ke perkarangan Parlimen walaupun ahkirnya mereka berjaya menyerahkan memorandum tersebut.

Pada 13 September 2023, peguam PSM, Kohila, telah menerima panggilan daripada Inspektor Azim dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi yang menyatakan bahawa pihak polis hendak mengambil kenyataan saksi di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah daripada Arutchelvan (Timbalan Pengerusi PSM), Soh Sook Hwa ( Bendahari Kehormat PSM) dan Ayman Hareez (Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda Sosialis) yang hadir bersolidariti bersama petani semasa penyerahan memorandum tersebut.

Ini adalah satu pencabulan hak dan penyalahgunaan kuasa oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). PSM mengingatkan PDRM untuk mematuhi Perkara 10 Perlembangaan Persekutuan yang memberi hak kepada setiap rakyat Malaysia untuk berhimpunan secara aman. Tindakan seharusnya diambil terhadap PDRM kerana menghalang dan mencabuli hak petani-petani yang hadir secara aman untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Parlimen.

Parlimen ialah simbol demokarsi negara dan rakyat berhak untuk menyerahkan memorandum, petisyen dan mengadakan perhimpunan aman di perkarangan Parlimen. Parlimen juga bukan kawasan larangan yang disenaraikan dalam Jadual Pertama, Akta Perhimpunan Aman 2012.

Jadi, adalah sesuatu yang memalukan kerajan di bawah Kerajaan Madani juga, hak berhimpun masih disekat.  Berpuluh-puluh polis ditempatkan untuk menghalang rakyat biasa daripada hadir ke Parlimen. Tambahan pula, kenyataan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Delhan Yahaya yang kononnya mahu menyiasat orang yang hadir dalam aksi penyerahan memorandum di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas kesalahan menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas.

Tindakan PDRM ini adalah satu intimidasi, mencabuli hak  dan membazir masa semua pihak. PSM bertegas bahawa Kerajaan Madani harus menghormati Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan tidak hanya sekadar melaungkan demokrasi tetapi tiada dalam perlaksanaan.

Tegakkan demokrasi berparlimen, hentikan intimidasi polis!

==========

Bawani KS ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Hentikan intimidasi! – 3 orang pemimpin PSM dipanggil untuk siasatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *