(gambar arkib)

oleh S. Arutchelvan

Kerajaan Amerika Syarikat (AS) masih cuba menghalang pengawal keselamatan Subramaniam a/l Letchimanan yang menuntut keadilan kerana diberhentikan kerja secara tanpa sebab atau alasan yang adil sejak 15 tahun dahulu.

Sebelum ini, pihak kerajaan AS telah kalah kepada Subramaniam di Mahkamah Rayuan pada 3 Februari 2021 pada 3 Februari 2021 dan di Mahkamah Persekutuan pada 20 Jun 2022, di mana Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang berpihak kepada Subramaniam dengan menolak rayuan daripada kerajaan AS dan menyerahkan kes tersebut kepada Mahkamah Perusahaan.

Pada 27 April 2023, Pengerusi Mahkamah Perusahaan YA Tuan Amrik Singh menyimpulkan dalam penghakimannya setebal 62 muka surat bahawa kekebalan diplomatik tidak meliputi perkara ini dan kemudiannya memutuskan bahawa pemberhentian kerja Subramanian adalah dilakukan tanpa sebab atau alasan yang adil dan mengarahkan Kedutaan AS untuk membawar Subramaniam selaku Pihan yang Menuntut sejumlah RM66,000 dalam tempoh 30 hari bermula tarikh keputusan dibuat.

Pada ketika Subramaniam menunggu tarikh rayuan tamat pada 15 Ogos 2023, kerajaan AS telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman pada 9 Ogos 2023 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Perusahaan. Pendengaran untuk permohonan kebenaran (leave) telah ditetapkan pada 3 Oktober 2023 di hadapan hakim YA Dato’ Amarjeet Singh a/l Serjit Singh.

Nampaknya kerajaan AS sedang berlari dalam bulatan dan cuba menghalang usaha seorang pengawal keselamatan untuk mendapatkan ganti rugi atas kes pemecatannya yang tidak sah di sisi undang-undang. Kes ini boleh diselesaikan dengan mudah dengan membayar kepada pihak yang menuntut apa yang perlu dibayar. Namun, nampaknya kerajaan AS lebih berminat untuk membelanjakan lebih banyak wang dalam yuran guamannya berbanding menyelesaikan sat ukes yang sudah lama tertangguh. Nampaknya keangkuhan dan kebodohan telah mengatasi kebijaksanaan dan keadilan.

Subramanian dan PSM akan terus berjuang bersama-sama pasukan guaman kami yang terdiri daripada Ragunath Kesavan dan Tai Yong Fung. Perlawanan yang sama diteruskan lagi dalam medan pertempuran yang lain.

Latar belakang kes

Subramaniam a/l Letchimanan, seorang pengawal keselamatan yang bekerja selama 10 tahun di Kedutaan AS di Kuala Lumpur, telah dipecat pada 3 April 2008 tanpa sebarang penjelasan, surat tunjuk sebab dan siasatan dalaman. Ini jelasnya ialah kes pemberhentian kerja tanpa proses yang sewajarnya. Subramaniam memfailkan kes mengikut undang-undang Malaysia dan membuat satu representasi untuk pemberhentian kerja tidak sah di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Selepas usaha gigih Subramaniam dan PSM dalam mendapatkan keadilan, Menteri Sumber Manusia M. Kulasekaran telah merujuk perkara ini kepada Mahkamah Perusahaan menurut Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 12 Julai 2018. Kes ini kemudiannya didengar di hadapan YA Tuan Gulam Muhiaddeen di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 24 Mei 2019.

Kerajaan AS pula melakukan segala usaha untuk mempertahankan tindakan pemberhentian kerja itu dengan berselindung di sebalik kekebalan diplomatik di bawah Konvensyen Vienna 1966 dan Perkara 31 Akta Keistimewaan Diplomatik (Konvensyen Vienna) 1966, atas dasar bahawa Kedutaan AS menikmati kekebalan undang-undang daripada tindakan undang-undang jenayah dan sivil semasa menjalankan tugas rasminya.

Tambahan lagi, kerajaan AS terus memfail satu permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan satu perintah yang bertujuan untuk membatalkan perujukan Menteri itu.

Pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan AS mempunyai kekebalan dan membatalkan perujukan Menteri itu. Walau bagaimanapun, keputusan ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 3 Februari 2021, di mana adalah diputuskan bahawa persoalan kekebalan hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan selepas mempertimbangkan sifat dan skop kerja seseorang pekerja.

Selepas itu, kerajaan AS merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan mendapat kebenaran pada 30 September 2021. Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan mendengar perkara ini pada 28 Mac 2022, dan pada 20 Jun 2022, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang berpihak kepada Subramaniam dengan menolak rayuan kerajaan AS dan menghantar semula kes ini kepada Mahkamah Perusahaan.

Mahkamah Perusahaan kemudiannya mendengar kes ini pada 16 dan 17 Februari 2023. Pengerusi Mahkamah Perusahaan YA Amrik memutuskan pada 27 April 2023 dengan mengatakan bahawa oleh sebab Subramaniam telah bekerja selama 9 tahun dan 6 bulan, dan tidak diupah untuk selama 3 tahun selepas dia diberhentikan kerja, maka mahkamah memutuskan bahawa Subramaniam perlu dibayar gaji ke belakang sebanyak RM2,000 X 24 bulan = RM48,000, dan pampasan sebagai ganti pemulihan kerja, iaitu gaji sebulan untuk setiap tahun perkhidmatan yang lengkap, RM2,000 X 9 bulan bersamaan RM18,000, dan menjadikan jumlahnya RM66,000.

===========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Kerajaan AS terus berdegil halang keadilan untuk pengawal keselamatan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *