KUALA LUMPUR – 3 FEBRUARI 2021: Mahkamah Rayuan memutuskan pada hari ini dalam satu perbicaraan atas talian, untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu yang berpihak kepada Kerajaan Amerika Syarikat (AS) yang memohon untuk membatalkan rujukan kes pemberhentian kerja Subramaniam Letchimanan ke Mahkamah Perusahaan oleh Menteri Sumber Manusia.

Keputusan Mahkamah Rayuan ini dibuat selepas mendengar penghujahan daripada semua pihak mengenai kes ini. Panel hakim Mahkamah Rayan yang mendengar kes ini terdiri daripada Datuk Seri Kamaludin bin Md. Said, Dato’ Lee Swee Seng dan Dato’ Gunalan a/l Muniandy.

Peguam yang mewakili Subramaniam, K. Ragunath, membawa kepada perhatian hakim Mahkamah Rayuan mengenai satu kes Mahkamah Agung UK baru-baru ini dan berhujah bahawa tiada isu berkenaan dengan keistimewaan diplomatik selepas mengambilkira sifat pekerjaan bagi pekerja dalam kes ini. Menurutnya, sifat pekerjaan ialah persoalan yang hanya boleh diputuskan dalam Mahkamah Perusahaan. Mahkamah Rayuan menerima hujahan ini dan membenarkan rayuan ini.

Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan ini, kes ini akan dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan untuk menentukan sama ada Subramaniam diberhentikan kerja dengan sebab yang sah atau tidak. Peguam wakil Kedutaan AS memberi indikasi bahawa mereka akan membangkitkan lagi isu berkaitan dengan keistimewaan diplomatik sebagai isu utama dalam Mahkamah Perusahaan nanti. Pihak Kedutaan AS mempunyai tempoh masa sebulan untuk membuat rayuan tentang keputusan Mahkamah Rayuan ini di Mahkamah Persekutuan.

Subramaniam ialah seorang pengawal keselamatan yang pernah bekerja di Kedutaan AS. Dia diberhentikan kerja pada 4 April 2008, tanpa sebarang penjelasan, tanpa apa-apa surat tunjuk sebab, dan tanpa apa-apa proses Siasatan Dalaman. Jelasnya ini ialah kes pembuangan kerja secara tidak sah. Subramaniam memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan berkenaan dengan pemberhentian kerja yang tidak sah, di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Namun begitu, kes ini telah ditangguhkan sehingga lebih 11 tahun kerana wujudnya pertikaian yang berterusan mengenai sama ada tindakan boleh diambil ke atas Kedutaan AS dan Kerajaan AS yang dikatakan mempunyai “keistimewaan diplomatik”.

Selepas usaha gigih daripada Subramaniam dan PSM yang membantunya dalam proses menegakkan keadilan ini, akhirnya pada 22 April 2019, M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia pada masa itu, merujuk kes ini kepada Mahkamah Perusahaan mengikut Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Kes ini kemudiannya didengar di hadapan Tuan Gulam Muhiaddeen di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 24 Mei 2019. Kerajaan AS pula cuba mengelakkan diri daripada tanggungjawabnya dalam kes pemberhentian kerja tidak sah ini di belakang keistimewaan diplomatik di bawah Perkara 31 Konvensyen Vienna 1966 dan Aka 636, yang menyatakan bahawa Kedutaan AS mempunyai kekebalan undang-undang daripada pendakwaan jenayah dan sivil semasa mereka menjalankan tugasan rasmi.

Pada 8 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Dato’ Nordin bin Hassan, memutuskan bahawa Kerajaan AS mempunyai keistimewaan diplomatik dan membatalkan perintah Menteri mengenai kes pemberhentian kerja Subramaniam dengan kos.

Dalam perbicaraan di Mahkamah Rayuan hari ini, Subramaniam diwakili oleh peguam K. Ragunath dan Merie Chen, sementara Kementerian Sumber Manusia diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin dan Kedutaan AS diwakili oleh peguam Lim Heng Seng.

Peguam Ragunath berhujah bahawa kes ini harus dibicarakan di bawah bidang kuasa undang-undang Malaysia, dan Kerajaan AS tidak mempunyai kekebalan mutlak. Ragunath memetik contoh-contoh kes Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah dan UK untuk menyokong penghujahannya bahawa Kerajaan luar negeri tidak mempunyai kekebalan terhadap undang-undang tempatan dalam sesetengah kes.

S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang juga merupakan aktivis yang membantu Subramaniam dalam kes ini, berkata, “PSM mengalu-alukan keputusan mahkamah hari ini kerana ia merupakan keadilan yang lama tertangguh untuk Subramaniam. Kami berhadap Kerajaan AS tidak akan menangguhkan lagi perkara ini, dan jika boleh, mengambil semula dia sebagai pekerja ataupun membayar segala gaji ke belakang yang tertunggak kepada Subramaniam.”

“Sekarang ini sudah dua belas tahun untuk Subramaniam, seorang pengawal keselamatan biasa yang membawa kerajaan negara yang paling kuat di dunia ke mahkamah. PSM ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam kami atas sokongan mereka yang berterusan dalam mengambil kes ini secara pro bono,” tambah Arutchelvan.

==========

Baca lebih lanjut mengenai kes Subramaniam di sini: Melawan satu empayar – kes Subramaniam lawan Kedutaan AS akhirnya dirujuk ke JPP selepas 10 tahun

2 thoughts on “Pengawal keselamatan berjaya cabar kekebalan Kedutaan AS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *