SHAH ALAM, SELANGOR – 30 OGOS 2023: Penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur mengadakan aksi protes di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hari ini untuk menyatakan bantahan mereka terhadap ancaman pengusiran paksa yang terus dikenakan ke atas mereka oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Turut hadir bersolidariti dengan penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur dalam aksi protes ini ialah aktivis-aktivis daripada Gabungan Marhaen dan Parti Sosialis Malaysia (PSM), termasuk S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM dan Arveent Srirangan Kathirtchelvan selaku Ketua Pemuda Sosialis PSM.

Kampung Sri Makmur terletak di kawasan Taman Sri Gombak, Batu Caves, Daerah Gombak, Selangor. Kawasan kampung ini telah diterokai oleh penduduk asal sejak tahun 1990-an. Pada tahun 2006, penduduk-penduduk di situ telah diberikan notis pengosongan tanah buat kali pertama. Walaupun sebahagian penduduk telah berpindah di bawah Program Setinggan Sifar, tetapi sebahagian besar penduduk asal masih kekal tinggal di kampung kerana mereka tidak mampu membeli rumah. Penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur kemudian mendapat notis pengosongan buat kali kedua pada tahun 2018. Pada tahun 2020, PKNS melalui peguamnya telah mengheret penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur ke mahkamah. Sebanyak 27 buah keluarga penduduk Kampung Sri Makmur menghadapi ancaman pengusiran paksa.

Sebelum ini, pihak penduduk Kampung Sri Makmur pernah menyerahkan memorandum mengenai masalah mereka kepada pihak Kerajaan Negeri Selangor pada 30 Mac 2022 dan 3 Oktober 2022, di mana pihak Kerajaan Negeri Selangor bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan pihak penduduk kampung. Hasil daripada perbincangan yang diadakan antara wakil penduduk Kampung Sri Makmur dan pihak Kerajaan Negeri Selangor, dengan perbincangan terakhir yang diadakan pada 30 November 2022 dan satu pemakluman secara lisan daripada pihak Kerajaan Negeri Selangor pada 20 Disember 2022, penduduk-penduduk kampung diberitahu bahawa pihak PKNS bersedia untuk mempertimbangkan tawaran pemindahan dan pihak Kerajaan Negeri Selangor telah menyediakan sebanyak 30 unit rumah di Pangsapuri Selangorku Seri Temenggung untuk menempatkan penduduk-penduduk asal Kampung Sri Makmur yang terkesan.

Namun, selepas menunggu berbulan-bulan lamanya, pada 23 Ogos 2023, penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur menerima notis bertarikh 18 Ogos 2023 daripada peguam yang dilantik oleh PKNS yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan rumah mereka dalam tempoh masa 7 hari, di mana hari terakhirnya pada 30 Ogos 2023, sehari sebelum Hari Kemerdekaan. Tindakan pengusiran paksa ini dilakukan dalam keadaan tanpa adanya lagi penyelesaian muktamad bagi masalah perumahan yang dihadapi oleh penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur.

“Kami sangat kecewa dengan tindakan yang tidak prihatin terhadap kebajikan rakyat Negeri Selangor yang menetap di Negeri Selangor di bawah kepimpinan Kerajaan Negeri Selangor,” kata Noora Binti Mustafa, Pengerusi Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM) yang merupakan wakil kepada penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur. “Ini menggambarkan bahawa kerajaan di bawah kepimpinan Menteri Besar Selangor seolah-olah ingin memberitahu kepada rakyat bahawa kepimpinannya boleh berbuat sesuka hati terhadap rakyat dan tidak perlu peduli mengenai kebajikan rakyat.”

“Menteri Besar takkan tiada perasaan pada kami,” ujar Noora. “Kami sebagai rakyat biasa ini bukannya hendak kacau orang besar ini. Kami tak nak kacau kalau kami tak diusir. Apa salah kami? Kami tak merompak. Kami tak mencuri. Sebelum PKNS ambil tanah ini, kami tak dikacau. Apabila PKNS ambil, datang buat hal. Nak kami pindah tak apa, tapi berilah kami pampasan rumah!”

Dalam memorandum ditujukan kepada Dato’ Seri Amirudin bin Shari selaku Menteri Besar Selangor, penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur mengemukakan tuntutan yang mempunyai dua pilihan, iaitu:

  • Pilihan 1: Penempatan di atas tanah Kampung Sri Makmur jika kawasan tersebut digunakan untuk pembangunan perumahan dengan harga RM150,000 ke bawah, di samping pampasan kos sewa rumah RM700 sebulan sehingga pembinaan perumahan di situ siap, dan kos pemindahan keluar masuk ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan.
  • Pilihan 2: Penempatan semula di Pangsapuri Selangorku Seri Temenggung dengan harga RM150,000 ke bawah atau mana-mana pangsapuri yang tersedia di sekitar kawasan Gombak, dan penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur diberi kebenaran untuk terus tinggal di atas tanah sekarang sehingga unit rumah di Pangsapuri Selangorku itu siap dibina sepenuhnya.

Memorandum daripada penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur telah diterima oleh Shahril Said selaku Pegawai Tadbir di Pejabat Menteri Besar Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *