(Dari kiri) Peguam Ragunath Kesavan, S. Arutchelvan dan Subramaniam a/l Letchimanan

Dalam keputusan penghakiman bertarikh 27 April 2023 dengan 62 muka surat, Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Yang Arif Amrik Singh, menyimpulkan bahawa pemberhentian kerja terhadap Subramaniam a/l Letchimanan oleh Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Kuala Lumpur adalah dilakukan secara tanpa sebab atau alasan yang adil, maka mengarahkan Kedutaan AS untuk membayar Subramanian selaku pihak yang menuntut sebanyak RM66,000 dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan penghakiman.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan menyimpulkan bahawa:

“Kesimpulannya, berdasarkan keadaan kes ini secara keseluruhannya dan keterangan yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak secara keseluruhan dalam prosiding, dan setelah mendengar keterangan saksi dan meneliti penghujahan bertulis dan 60 keterangan sokongan mereka masing-masing, Mahkamah adalah berpandangan secara dipertimbangkan bahawa Kedutaan AS telah memecat Pihak yang Menuntut tanpa sebab atau alasan yang adil.”

Subramaniam a/l Letchimanan, seorang pengawal keselamatan yang bekerja di Kedutaan AS untuk selama 10 tahun telah dipecat pada 4 April 2008 tanpa sebarang penjelasan, surat tunjuk sebab dan siasatan dalaman. Ini ialah kes pemecatan tanpa proses yang sewajarnya secara terang-terangan. Subramaniam memfailkan kes mengikut undang-undang Malaysia dan membuat satu representasi untuk pemberhentian kerja secara tidak sah di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Selepas usaha gigih oleh Subramaniam dan PSM dalam mencari keadilan, Menteri Sumber Manusia pada masa itu M. Kulasegaran akhirnya merujuk perkara ini kepada Mahkamah Perusahaan menurut Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 pada 12 Julai 2018. Kes ini pada masa itu didengar di hadapan Yang Arif Tuan Gulam Muhiaddeen di Mahkamah Perushaaan Kuala Lumpur pada 24 Mei 2019.

Kerajaan AS kemudiannya melakukan segala usaha untuk mempertahankan pemberhentian kerja tersebut dengan cara berselindung di sebalik kekebalan diplomatik di bawah Konvensyen Vienna 1966 dan Perkara 31 Akta Keistimewaan Diplomatik (Konvensyen Vienna) 1966, atas dasar bahawa Kedutaan AS menikmati kekebalan undang-undang daripada tindakan undang-undang jenayah dan sivil semasa menjalankan tugas rasminya.

Di samping itu, kerajaan AS terus memfail satu permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan satu perintah yang bertujuan untuk membatalkan perujukan Menteri itu.

Pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa kerajaan AS mempunyai kekebalan dan membatalkan perujukan Menteri itu. Walau bagaimanapun, keputusan ini telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 3 Februari 2021, di mana adalah diputuskan bahawa persoalan kekebalan hanya boleh diputuskan oleh Mahkamah Perusahaan selepas mempertimbangkan sifat dan skop kerja seseorang pekerja.

Selepas itu, kerajaan AS merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan mendapat kebenaran pada 30 September 2021.

Sehubungan itu, Mahkamah Persekutuan mendengar perkara ini pada 28 Mac 2022, dan pada 20 Jun 2022, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang berpihak kepada Subramaniam dengan menolak rayuan kerajaan AS dan menghantar semula kes ini kepada Mahkamah Perusahaan.

Di luar Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 16 Feburari 2023.

Mahkamah Perushaaan kemudiannya mendengar kes ini pada 16 dan 17 Februari 2023. Kerajaan AS mengemukakan 2 orang saksi, iaitu En. Christopher George Pixley selaku Setiausaha Pertama merangkap Kaunselor Hal Ehwal Pengurusan Kedutaan AS di Kuala Lumpur dan En. Eugune Kim selaku Ejen Khas Penyeliaan dengan Jabatan Negara AS, sementara Subramaniam memberi keterangan sebagai pihak yang menuntut.

Dalam keputusan penghakimannya pada 27 April 2023, Yang Arif Amrik berkata bahawa Subramaniam telah bekerja selama 9 tahun dan 6 bulan, dan tidak diupah untuk selama 3 tahun selepas dia diberhentikan kerja. Mahkamah memutuskan bahawa dia harus dibayar gaji ke belakang sebanyak RM2,000 X 24 bulan = RM48,000, dan pampasan sebagai ganti pemulihan kerja, iaitu gaji sebulan untuk setiap tahun perkhidmatan yang lengkap, RM2,000 X 9 bulan bersamaan RM18,000, dan menjadikan jumlahnya RM66,000.

Ini menyimpulkan satu lagi bab kes seorang pengawal keselamatan bawahan yang mencabar kekuasaan besar kerajaan AS.

Kami ingin berterima kasih kepada peguam kami yang diketuai oleh Ragunath Kesavan, dan dibantu oleh Tai Yong Fung dan Hooisheue Khoo. Mereka mengendalikan seluruh kes ini secara pro bono dan banyak bekerja keras pada setiap peringkat kes ini dari Mahkamah Perusahaan sehingga ke Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Persekutuan, dan Kembali semula ke Mahkamah Perusahaan.

Kerajaan AS diwakili oleh peguam En. Amardeep Singh Toor dan Cik Summer Chong. Kami berharap kerajaan AS akan menamatkan perkara ini dan tidak akan merayu lagi. Ia telah memakan masa kami selama 15 tahun.

PSM memuji Yang Arif Amrik Singh atas penghakiman ini kerana ia memberi satu isyarat yang jelas bahawa kedutaan-kedutaan negara asing tidak boleh memberhentikan pekerja secara tidak adil dan berselindung di sebalik undang-undang kekebalan begitu sahaja. Penghakiman ini memberi harapan kepada pekerja-pekerja lain yang menghadapi masalah yang serupa apabila bekerja di dalam kedutaan-kedutaan negara asing di Malaysia.

Teks penuh penghakiman untuk kes antara Subramaniam a/l Letchimanan dan Kedutaan AS boleh dibaca di sini:

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Kerajaan AS diarahkan bayar pampasan RM66,000 kepada pengawal keselamatan yang diberhentikan kerja secara tidak sah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *