oleh S. Arutchelvan

Pada 20 Jun 2022, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang berpihak kepada Subramaniam A/L Letchimanan dengan menolak rayuan daripada Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan mengarahkan kes didengar di Mahkamah Perusahaan.

Ini merupakan kemenangan yang besar dan signifikan untuk Subramaniam yang melawan Kerajaan AS atas pemecatan tidak sah terhadapnya 14 tahun dahulu pada tahun 2008. Keputusan Mahkamah Persekutuan ini juga melegakan rakyat Malaysia kerana kini adalah jelas bahawa mahkamah-mahkamah Malaysia termasuk Mahkamah Perusahaan mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes mereka jika mereka dipecat kerja oleh kedutaan asing.

Keputusan ini disampaikan secara dalam talian pada hari Isnin 20 Jun 2022 oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Dato’ Sri Azahar bin Mohamed, hakim Mahkamah Persekutuan, Dato’ Zabariah binti Mohd Yusof dan Dato’ Sri Hasnah binti Dato’ Mohammed Hashim.

Subramaniam diwakili secara pro bono oleh peguam aktivis Ragunath Kesavan, Tai Yong Fung dan Joshua Tan; sementara Kerajaan AS diwakili oleh peguam Lim Heng Seng, Amardeep Singh Toor dan Chong Yue Han. Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin pula mewakili Menteri Sumber Manusia.

Semasa pendengaran kes pada 28 Mac 2022, Ragunath Kesavan berhujah bahawa Mahkamah Rayuan telah memberikan penghakiman yang tepat, antaranya Mahkamah Perusahaan ialah forum yang sesuai untuk memutuskan tentang isu pemecatan kerja Subramaniam, dan kebolehgunaan doktrin sekatan kekebalan berdaulat(sovereign immunity). Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa Mahkamah Perusahaan ialah mahkamah pertama untuk memastikan proses pencarian fakta dan kesahihan fakta .

Sebaliknya, peguam yang mewakili Kerajaan AS berhujah bahawa isu tatatertib seorang kakitangan Kedutaan ialah masalah dalaman dan ia merupakan hak mutlak sebuah negara berdaulat. Oleh itu, Kedutaan AS adalah kebal dan Mahkamah Perusahaan tidak mempunyai kuasa untuk mendengar perkara itu.

Namun, akhirnya pada 22 Jun 2022, mahkamah tertinggi di negara kita telah menyelesaikan persoalan ini dan memutuskan bahawa Mahkamah Perusahaan ialah forum yang sesuai dan wajar untuk menentukan persoalan mengenai doktrin sekatan kekebalan berdaulat (sovereign immunity). Keputusan ini bermakna bahawa kedutaan yang memecat pekerja mereka sewenang-wenangnya sambil bersembunyi di sebalik doktrin kekebalan berdaulat, sekarang ini tidak boleh lagi berbuat demikian.

Subramaniam (kanan) bersama peguam Ragunath Kesavan (kiri) dan aktivis PSM S. Arutchelvan (tengah).

Latar belakang kes – Perjuangan yang panjang dan meletihkan

Subramaniam A/L Letchimanan, seorang pengawal keselamatan yang bekerja di Kedutaan AS untuk 20 tahun, telah dipecat daripada kerjanya pada 4 April 2008 tanpa sebarang penjelasan, surat tunjuk sebab dan siasatan dalaman. Ini ialah kes pembuangan kerja yang jelas tanpa melalui sebarang proses yang sewajarnya.

Subramaniam memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan mengikut undang-undang Malaysia, dan membuat satu representasi untuk pemberhentian kerja tidak sah di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Namun begitu, kes ini telah tertangguh selama 11 tahun.

Hanya selepas usaha gigih oleh Subramaniam dan PSM untuk mendapatkan keadilan, dan setelah dua Menteri sebelum ini tidak merujuk kes ini ke Mahakamah Perusahaan, akhirnya pada 12 Julai 2018, M. Kulasegaran, Menteri Sumber Manusia pada ketika itu, merujuk perkara ini kepada Mahkamah Perusahaan menurut Seksyen 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Kes ini kemudiannya didengar di hadapan Yang Arif Tuan Gulam Muhiaddeen di Mahkamah Perusahaan Kuala Lumpur pada 24 Mei 2019.

Namun Kerajaan AS kemudiannya melakukan segala usaha untuk mengelak daripada kes ini didengar di mahkamah dan bersembunyi di sebalik kekebalan diplomatik di bawah Konvensyen Vienna 1966 dan Seksyen 31 Akta Keistimewaan Diplomatik (Konvensyen Vienna) 1966 atas dasar bahawa Kedutaan AS menikmati kekebalan (immunity) undang-undang daripada saman jenayah dan sivil apabila menjalankan tugasan rasminya.

Kerajaan AS memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi dengan niat mendapatkan perintah untuk membatalkan arahan Menteri Sumber Manusia yang merujukkan kes ini kepada Mahkamah Perusahaan.

Pada 8 Januari 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Kerajaan AS mempunyai kekebalan dan membatalkan arahan Menteri. Namun, keputusan tersebut telah dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan pada 3 Februari 2021 di mana ia memutuskan bahawa persoalan kekebalan hanya boleh ditentukan oleh Mahkamah Perusahaan selepas mempertimbangkan sifat dan skop kerja seorang pekerja.

Kerajaan AS kemudiannya tidak berpuas hati dan merayu kepada Mahkamah Persekutuan dan mendapat kebenaran (leave) untuk pendengaran pada 30 September 2021. Mahkamah Persekutuan mendengar kes ini pada 28 Mac 2022 tetapi menunda penghakiman sehingga keputusan dibuat pada 20 Jun 2022.

Sekarang, selepas 14 tahun menanti, Subramaniam, seorang pengawal keselamatan biasa, akhirnya berjaya mengheret negara yang paling berkuasa di dunia ke mahkamah dan menang dalam pusingan ini. Berani lawan, berani menang. Namun, kemenangannya hanya boleh dimuktamadkan selepas Mahkamah Perusahaan mendengar kes ini dan membuat keputusan mengenainya. Sebelum ini, Kerajaan AS tidak berminat untuk mencapai satu penyelesaian dan cuba menggunakan setiap saluran untuk mengelak dan menggagalkan proses mahkamah. 

PSM ingin mengambil kesempatan ini untuk berterima kasih kepada peguam kami, Ragunath Kesavan dan pasukannya yang mengendalikan kes ini secara pro bono. Motivasi mereka adalah selari dengan kami dalam mendapatkan keadilan dan berpendirian bahawa tiada pekerja boleh diberhentikan kerja secara tidak sah, tidak kira sama ada majikannya ialah sebuah kuasa besar dunia.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Mahkamah Persekutuan tolak rayuan Kerajaan AS: Akhirnya kes pemecatan pengawal keselamatan akan didengar di Mahkamah Perusahaan selepas 14 tahun

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *