KUALA LUMPUR – 12 MAC 2023: Jalanan di pusat bandar ibu negara telah diwarnakan dengan pelbagai plakad dengan reka bentuk dan slogan yang menarik, di samping kedengaran laungan tuntutan wanita yang begitu lantang, apabila lebih kurang 500 orang turun beraksi dalam Perarakan Wanita Malaysia 2013.

Ini merupakan kali pertama Perarakan Wanita diadakan sejak tahun 2020 apabila negara kita dilanda pandemik COVID-19. Para peserta berkumpul di hadapan Pasar Raya SOGO pada 10 pagi sebelum berarak menuju ke Dataran Merdeka. Perarakan ini telah berlangsung dengan aman dan teratur, dengan penyertaan yang penuh bersemangat. Wakil daripada pelbagai kumpulan dan sektor masyarakat telah memberikan ucapan selepas peserta-peserta perarakan tiba di Dataran Merdeka. Terdapat juga beberapa persembahan yang disampaikan untuk mengetengahkan mesej dan suara Hari Wanita Sedunia yang penuh bermakna ini.

Dalam ucapannya, Christine Gabriel, wakil Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) yang turut mengambil bahagian dalam Perarakan Wanita Malaysia 2023, mengetengahkan masalah yang dihadapi oleh ramai pekerja wanita, termasuk masih belum mendapat bayaran mengikut kadar gaji minimum RM1,500, tidak dibayar upah kerja lebih masa (OT), ditipu majikan dari segi pengiraan gaji, dipotong gaji hanya kerana mengambil cuti sakit, dan banyak lagi isu.

Menurut Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2023, tujuan penganjuran perarakan ini adalah untuk membawa bersama rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha memperjuangkan kesamarataan dan keadilan, di samping menghentikan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita serta golongan minoriti seksual.

“Kita akan bangkit dan bantah, dan tidak akan berehat sehingga kita melihat perubahan yang bukan sahaja dijanjikan kepada kita, tetapi menegakkan semua hak asasi manusia serta hak asasi wanita!” begitu katanya kenyataan Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2023. “Dalam tempoh 3 tahun kebelakangan ini, terdapat kekurangan yang ketara dalam kerajaan kita dalam melindungi dan memelihara hak wanita serta gender lain yang dipinggirkan. Tuntutan-tuntutan ini diterjemahkan kepada keperluan terdesak untuk lebih banyak kemajuan menuju ke arah mencapai kesamarataan gender di negara ini. Walaupun terdapat sedikit perkembangan yang memberangsangkan dalam perundangan dan wacana sekitar tuntutan-tuntutan ini, ia masih tidak cukup. Kemajuan yang signifikan adalah masih diperlukan.”

Perarakan Wanita Malaysia 2023 telah mengemukakan 9 tuntutan, iaitu:

  1. Pertahankan autonomi tubuh badan dan kebebasan untuk memilih;
  2. Pastikan taraf kerja yang layak dan upah sara hidup yang layak untuk semua;
  3. Haramkan perkahwinan kanak-kanak serta-merta;
  4. Isytiharkan krisis perubahan iklim dan membentuk sebuah pelan tindakan nasional;
  5. Pastikan penglibatan politik yang adil dan sama rata untuk semua gender tertindas di setiap lapisan pentadbiran;
  6. Gubal pembaharuan perlembagaan dan perundangan untuk mencapai kesaksamaan gender;
  7. Pastikan ruang yang selamat dan mudah diakses untuk semua gender tertindas;
  8. Wujudkan sistem rangkuman sosial untuk semua termasuk gender tertindas;
  9. Hentikan segala bentuk keganasan terhadap gender tertindas dan golongan minoriti seksual.

Perhimpunan di Dataran Merdeka bersurai pada lebih kurang pukul 1 petang. Aksi Perarakan Wanita Malaysia 2023 berakhir dengan ketekadan peserta-peserta untuk terus memperjuangkan kesamarataan gender dan penghapusan segala bentuk keganasan serta diskriminasi yang berasaskan gender.

Ahli-ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut turun bersolidariti dalam Perarakan Wanita Malaysia 2023.

**********

Berikut ialah koleksi gambar-gambar sekitar Perarakan Wanita Malaysia 2023 yang penuh berwarna-warni dan bersemangat untuk memperjuangkan kesamarataan gender:

Chong Yee Shan, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) juga merupakan salah seorang anggota Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2023.
S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengambil bahagian dalam perarakan.
A. Sivarajan (tengah), Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Gandipan Nantha Gopalan, Setiausaha Pemuda Sosialis PSM, turut mengambil bahagian dalam perarakan.
“Tiada pembebasan tanpa pembebasan wanita!”, “hak wanita ialah hak asasi manusia”.
Seruan melawan rogol.
“Jika perempuan berhenti, maka dunia berhenti!”
Jin, Jiyan, Azadî” (Wanita, Hidup, Kebebasan) ialah slogan politik yang dilaungkan oleh gerakan masyarakat Kurdi yang kemudiannya disebar lebih luas semasa gelombang protes yang tercetus berikutan kematian Jina Mahsa Amini di Iran.
Tuntutan pekerja wanita: Meningkatkan gaji minimum, meratifikasi Konvensyen Pekerja Domestik ILO, mengesahkan Akta Pekerja Rumah, Menghapuskan sistem kontrak, dan menghentikan diskriminasi.
“Badan wanita bukan komoditi!”
“Wanita menentukan masa depan kita!”, “bantah perkahwinan kanak-kanak!”.
“Perkahwinan kanak-kanak ialah penderaan kanak-kanak!”
“Tiada orang yang bebas apabila orang lain ditindas.”
“Wanita berkuasa!”
Perarakan Wanita berakhir dengan perhimpunan di Dataran Merdeka.

3 thoughts on “Perarakan Wanita Malaysia 2023: Wanita bangkit dan bantah!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *