(gambar: UNESCO)

oleh Sivarajan Arumugam

Menjelang Hari Antarabangsa untuk Penghapusan Diskriminasi Kaum yang akan disambut pada 21 Mac, minggu depan, adalah malangnya rakyat Malaysia masih dihantui oleh pelbagai isu yang mencetuskan emosi prasangka kaum dalam kalangan masyarakat.

Segelintir ahli politik dan agen-agen mereka telah mula membangkitkan pelbagai isu, seperti penyertaan golongan minoriti tertindas LGBT dalam acara sambutan Hari Wanita, mempertikaikan kandungan filem “Mentega Terbang”, seruan untuk tidak membina surau atau masjid berhampiran dengan rumah ibadat bukan muslim, dan larangan Kerajaan Negeri Selangor kepada orang Islam untuk tidak menghadiri apa jua program di  rumah ibadat orang bukan Islam. Begitu juga dengan polisi larangan pakaian yang dianggap “pendek” di bangunan kerajaan sehingga menghalang orang masuk ke hospital dan juga balai polis. Kami percaya bahawa lebih banyak lagi isu akan menyusul menjelang Pilihan Raya Negeri 2023 nanti.

Arus serangan baru-baru ini, yang mengkambinghitamkan komuniti minoriti dan mereka yang tertindas, mengingatkan kita tentang modus operandi yang sama oleh agen-agen tersirat bersama suara-suara politik mereka yang mengatur langkah untuk menghangatkan suasana demi mengucar-kacirkan kestabilan politik dan kesejahteraan masyarakat.

Sudahkah kita lupa bagaimana sesuatu isu tempatan, iaitu penempatan semula sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 Shah Alam, Selangor, dihangatkan ke peringkat nasional dengan aksi mengheret kepala lembu ke Bangunan Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2009? Begitu juga dengan serangan geng baju merah ke atas peniaga-peniaga Cina di Jalan Petaling pada tahun 2015 dengan retorik kaum Cina memonopoli perniagaan di situ, walhal “China Town” ini telah wujud sejak abad ke-19 lagi.

Instrumen yang mengkambinghitamkan golongan minoriti dan golongan tertindas ini juga digunakan oleh mereka yang berkuasa sebagai modal untuk mengekalkan ketegangan antara kaum agar mereka boleh terus berkuasa. Apabila rakyat tidak bersatu akibat prasangka antara kaum, mereka tidak akan bangkit menentang golongan elit-politikus yang menggerakkan permainan catur ini.

Begitu juga elit-politikus pembangkang yang mempergunakan golongan minoriti dan golongan tertindas sebagai modal untuk mengucar-kacirkan kestabilan politik agar mereka dapat dilihat sebagai kerajaan alternatif yang lebih tegas dalam menjaga maruah bangsa dan agama.

Persaingan ini amat berbahaya, kerana Kerajaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) juga sedar bahawa mereka memegang kuasa dengan sokongan marginal daripada masyarakat kaum Melayu. Penyelidik Dr Bridget Welsh menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) hanya berjaya memperolehi 11% undi Melayu dalam pilihan raya lepas (DSAI menyangkal angka tersebut dengan mengatakan bahawa ianya sepatutnya 31%). Walau bagaimanapun, fenomena ini dilihat juga dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum PRU-15. Maka adakah Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh DSAI ingin menonjolkan dirinya sebagai lebih Islamik daripada Perikatan Nasional?

Pengumuman Senator Dato’ Setia Mohd Na’im Mokhtar selaku Menteri Agama bahawa Kerajaan Perpaduan akan meneruskan usaha untuk merealisasikan RUU 355 dengan pindaan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 juga menimbulkan persoalan jika hasrat tersebut sememangnya nyata.

Walaupun kita sedar tentang agenda tersirat golongan berkepentingan ini, tetapi kita juga jangan terlepas pandang pada sebahagian masyarakat yang sebenarnya bersetuju, dan percaya bahawa agama dan bangsa terancam dan gagal dipelihara oleh kerajaan semasa. Ianya akan mendorong kepada tindakan agresif yang sukar dijangka sepertimana insiden ugutan dan curahan cat merah atas kereta pelakon dan pengarah filem “Mentega Terbang” itu. Bermain dengan api demi agenda kuasa politik mempunyai implikasi negatif yang mendalam dan kekal dalam kalangan masyarakat.

Oleh itu, PSM ingin menyeru agar rakyat Malaysia berbilang kaum belajar daripada pengalaman lepas dan melihat isu ini menjangkaui percaturan segelintir orang yang berkepentingan ini. Rasisme yang mencetuskan emosi ini tidak menyelesaikan masalah majoriti masyarakat kelas pekerja berbilang kaum dan agama yang dibelenggui masalah gaji yang rendah, kerja tanpa jaminan, harga barangan tinggi, rumah yang tidak mampu dibeli, kos kesihatan serta pendidikan yang melambung naik, beban hutang, dan sebagainya. 

Racun toksik rasisme yang disuntik oleh parti-parti perkauman selama lebih 60 tahun sejak kemerdekaan, masih mengalir dalam masyarakat dan akan mengangkat kepala bisanya kepada mereka yang ingin menggunakannya.

Kesejahteraan bersama rakyat hanya boleh dinikmati jika kita membina gerakan massa berbilang kaum dalam menentang rasisme, dan bertekad untuk saling mempertahankan hak mana-mana anggota masyarakat tanpa mengira kaum dan agamanya.

Ayuh rakyat marhaen, lawan rasisme!

==========

Sivarajan Arumugam ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *