(foto: Darafsh / Wikipedia)

Laungan slogan “Zan, Zendegi, Azadi!” (bermaksud “Wanita, Hidup, Kebebasan!” dalam Bahasa Parsi) menggegarkan jalanan negara Iran dalam gelombang protes besar-besaran yang tercetus berikutan kematian Mahsa Amini di bawah tahanan pihak berkuasa negara itu. Slogan ini juga dilaungkan dalam Bahasa Kurdi, “Jin, Jiyan, Azadî!”, oleh masyarakat Kurdi di dalam dan luar Iran.

Mahsa Amini (juga dikenali dengan nama Kurdinya Jina Amini), seorang wanita beretnik Kurdi yang berumur 22 tahun, telah ditahan oleh “Peronda Bimbingan” (iaitu “polis akhlak” di Iran) di Tehran pada 13 September 2022 atas kesalahan tidak memakai hijab dengan betul. Namun, Mahsa Amini berada dalam keadaan koma tidak lama kemudian semasa dalam tahanan, dan meninggal dunia dua hari kemudian pada 16 September 2022. Keluarga Mahsa Amini mendakwa bahawa dia telah dikasari oleh pihak berkuasa semasa ditahan.

Mahsa Amini (1999-2022)

Kematian Mahsa Amini telah mencetuskan aksi protes besar-besaran di banyak buah bandar, termasuk bandar kelahiran Mahsa Amini, Saqqez, dan ibu negara Iran, Tehran. Gelombang protes telah merebak dengan pantas ke seluruh negara Iran. Mogok besar-besaran melanda wilayah Kurdistan Iran, dengan kedai-kedai ditutup dan pekerja-pekerja tidak pergi bekerja.

Walaupun Ebrahim Raisi selaku Presiden Iran telah mengarahkan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan ke atas punca kematian Mahsa Amini, tetapi ramai warga Iran meragui bahawa sama ada siasatan itu akan dijalankan secara objektif dan telus.

Pihak berkuasa Iran telah bertindak dengan cara yang keras terhadap aksi protes jalanan yang tercetus selepas kematian Mahsa Amini. Akibat daripada tindakan ganas pihak berkuasa dalam menyuraikan protes jalanan, sekurang-kurangnya 36 orang telah terbunuh sementara ratusan orang tercedera. Kerajaan Iran juga menyekat akses kepada internet dan aplikasi media sosial untuk mematahkan aksi protes.

Gelombang protes rakyat Iran yang terbaru ini merupakan lanjutan daripada gelombang protes yang berlaku di negara itu beberapa tahun kebelakangan ini kerana krisis ekonomi berpanjangan yang diburukkan lagi oleh sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran. Pada tahun 2018, berlakunya siri mogok pekerja kerana masalah ekonomi yang menyusahkan kehidupan rakyat biasa. Pada bulan November 2019, kenaikan harga bahan api secara mendadak mencetuskan gelombang protes besar-besaran dan ratusan orang terbunuh akibat daripada penindasan pihak berkuasa, menjadikannya keganasan yang paling teruk sejak Revolusi Islam 1979. Pada bulan Julai 2021, protes tercetus kerana kekurangan bekalan air dan pemutusan bekalan elektrik.

Rakyat Iran tidak berpuas hati dengan masalah rasuah yang berleluasa dan salah tadbir urus ekonomi oleh Kerajaan Iran, yang menyebabkan krisis ekonomi yang berpanjangan. Krisis ekonomi di Iran diburukkan lagi oleh sekatan ekonomi daripada kuasa besar Barat seperti AS. Kenaikan harga barangan asas dan penggangguran yang teruk telah menyusahkan kehidupan rakyat biasa. Tindakan polis akhlak yang menguatkuasakan undang-undang agama yang konservatif bagaikan mencurah minyak ke dalam api yang membara, sekali gus meningkatkan kemarahan rakyat terhadap pihak berkuasa.

Kerajaan Iran telah memperkenalkan undang-undang yang mewajibkan pemakaian hijab selepas Revolusi Iran 1979, tetapi mendapat penentangan hebat daripada ramai orang khususnya golongan wanita. “Peronda Bimbingan” atau polis akhlak ditubuhkan pada tahun 2005 oleh Kerajaan Iran dengan tugasannya untuk menangkap orang yang melanggar kod etika pakaian khususnya berkenaan hijab wanita. Walaupun demikian, jutaan wanita Iran menentang peraturan hijab tersebut. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, protes menentang pemakaian hijab yang wajib oleh golongan wanita semakin lantang suaranya. Kematian Mahsa Amini kerana keganasan polis akhlak telah membawa gerakan protes wanita ini ke kemuncak baharu. Golongan wanita Iran tegas memperjuangkan kebebasan daripada cengkaman rejim patriarki yang menindas wanita.

Aksi protes solidariti di Istanbul, Turki. (foto: Getty Images)

2 thoughts on “Iran: Kematian Mahsa Amini cetus gelombang protes besar-besaran

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *