KUALA LUMPUR – 13 MAC 2023: Sehari selepas aksi perarakan aman sambutan Hari Wanita di Kuala Lumpur, pihak polis telah memanggil beberapa orang peserta perarakan untuk disoal siasat. Ini merupakan intimidasi terhadap aktiviti masyarakat madani yang masih sama di bawah Kerajaan Perpaduan yang kononnya ingin membangunkan “Malaysia MADANI”.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 8 orang yang mengambil bahagian dalam Perarakan Wanita Malaysia 2023 telah dipanggil oleh polis untuk diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Notis yang mengarahkan mereka untuk menghadiri penyiasatan di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah telah diserahkan kepada mereka berkenaan hanya beberapa jam selepas tamatnya aksi perarakan dan perhimpunan Hari Wanita pada 12 Mac 2023.

Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh ACP Noor Dellhan Bin Yahaya, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, sejurus selepas Perarakan Wanita Malaysia 2023, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan terhadap “satu perhimpunan serta perarakan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang diadakan di hadapan Kompleks Sogo dan Dataran Merdeka”, di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.  

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan pada hari ini, Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2023 (WMMY) mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang diambil oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap peserta, penceramah, penganjur dan pemerhati yang mengambil bahagian dalam Perarakan Wanita Malaysia 2023. Jawatankuasa WMMY mengatakan bahawa siaran media yang dikeluarkan oleh PDRM dan penyerahan Notis 111 kepada peserta, penceramah dan penganjur WWMY pada waktu lewat malam menandakan satu duluan oleh Kerajaan Perpaduan yang membimbangkan terhadap aksi demokratik.

“Kami menyedarkan dan mengingatkan kerajaan sekarang ini tentang sejarah berpanjangan aksi dan ekspresi demokratiknya serta penggunaan perhimpunan awam dan protes selama beberapa dekad sebelum ia berkuasa. Kami tawar hati dan kecewa atas kena hukum kerana mengamalkan hak demokratik kita untuk memperjuangkan sebuah Malaysia yang lebih baik,” begitu katanya Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2023. “Tidak layakkah kita meluahkan pemikiran kita, bercakap tentang isu yang membelenggu terlalu ramai orang, dan meminta perubahan yang akan mewujudkan Malaysia MADANI yang diinginkan oleh Kerajaan Perpaduan? ‘I’ dalam MADANI bererti ‘Ihsan’, di mana huraiannya meminta supaya kita melayan setiap orang, khususnya golongan minoriti, dengan empati dan kebaikan hati. Tuntutan kami bertujuan untuk mengetengahkan kepada kerajaan 9 bidang yang harus ditangani segera untuk memastikan bahawa hak asasi setiap orang, termasuk gender yang tertindas, tidak lagi dipijak di Malaysia.”

“Perkaran 10 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dengan jelasnya menyatakan bahawa setiap warganegara mempunyai hak untuk kebebasan bersuara dan berekspresi, semua warganegara mempunyai hak untuk berhimpun secara aman dan tanpa bersenjata. Penganjur Perarakan Wanita 2023 telah mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memaklumkan pihak berkuasa yang berkaitan dan mematuhi peraturan-peraturan yang sedia ada sebelum perarakan,” ulas Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2023. “Malaysia mempunyai kewajipan sebagai penandatangan Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) untuk memastikan perlindungan hak asasi manusia yang sepenuhnya bagi golongan wanita, termasuk golongan transgender dan minoriti seksual. Reaksi PDRM yang melampau terhadap penunjuk perasaan yang aman dalam Perarakan Wanita akan mendatangkan gambaran buruk kepada Malaysia dalam penilaian CEDAW yang akan datang pada tahun ini, dengan membongkarkan penggunaan kuasa polis yang tidak seimbang di peringkat nasional dan antarabangsa.”

“Ini ialah masa yang kritikal bagi kerajaan yang baharu dipilih untuk menunjukkan komitmen mereka ke arah memperbaiki rekod hak asasi manusianya dengan mewajibkan dirinya untuk menilai impak terhadap hak rakyat dalam perhimpunan aman. Kami menggesa kerajaan untuk menangani defisit kepercayaan rakyat terhadap institusi teras kita, dan memulihkan keyakinan orang awam dengan bertindak mengikut cadangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB): menyemak semula Akta Perhimpunan Aman untuk menghapuskan diskriminasi dan halangan kepada kebebasan berpersatuan dan perhimpunan aman,” tambah lagi Jawatankuasa Penganjur Perarakan Wanita Malaysia 2023. “Jika itu ialah visi untuk sebuah Malaysia yang baharu dan bertambah baik, kenapa pihak berkuasa bertindak bertentangan dengan prinsip-prinsip yang dikatakan disokong oleh kerajaan? Kami menggesa kerajaan supaya melindungi hak kita sebagai warga Malaysia, hak kita sebagai manusia, hak kita dalam negara demokratik ini.”

4 daripada 8 orang yang menerima Notis 111 telah hadir ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan. S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan A. Sivarajan, Setiausaha Agung PSM, yang turut menerima Notis 111 tidak hadir ke IPD Dang Wangi pada hari ini, kerana mereka sedang menunggu balasan terhadap surat mereka kepada Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Daerah Dang Wangi pada hari ini. Arutchelvan dan Sivarajan meminta pada pihak berkuasa supaya membatalkan Notis 111 tersebut kerana tidak mahu membebankan PDRM dengan siasatan yang tidak diperlukan terhadap aktiviti masyarakat madani.

“Kami sesungguhnya tidak ingin membebankan PDRM dan sudah pasti PDRM mempunyai tugasan lain yang jauh lebih penting daripada menyiasat kami,” begitu katanya Arutchelvan dan Sivarajan dalam surat mereka kepada pihak berkuasa. “Selain itu, semua siasatan polis melibatkan kos awam.”

PSM bukannya penganjur Perarakan Wanita 2023, tetapi turut menyertai bersama dalam aksi perarakan tersebut sebagai tanda solidariti kepada perjuangan pembebasan wanita dan kesamarataan gender yang amat penting kepada kemajuan masyarakat kita. Adalah pelik untuk pihak polis memanggil pemimpin PSM dalam penyiasatan walhal mereka tidak terlibat langsung dalam pengelolaan program dan juga tidak menyampaikan apa-apa ucapan semasa perarakan.

**********

Laporan dan koleksi gambar mengenai Perarakan Wanita Malaysia 2023 di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *