oleh S. Arutchelvan

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam syarat-syarat baharu polis yang tidak diperlukan yang menyusahkan kempen asas pilihan raya.

Pada awalnya semasa taklimat, kami diberitahu bahawa hanya perlu memohon permit untuk ceramah parti politik dan pihak polis akan meluluskan permit dalam tempoh masa beberapa jam tanpa sebarang penangguhan.

Pengalaman kami berurusan dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban mendapati bahawa permit tidak boleh diproses dengan segera walaupun kami memohon permit beberapa hari sebelum tarikh acara. Walaupun pada hari acara, pihak polis memberitahu kami pada dua hari yang lalu bahawa permit hanya akan diproses pada waktu petang setiap hari dan dikutip pada pukul 5 petang setiap hari.

Hari ini kami terkejut apabila polis Rembau memberitahu bahawa kami memerlukan permit malah untuk aktiviti tinjauan mesra (walkabout) calon! Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku! Adakah ini sebuah negara polis? Walkabout ialah aktiviti kempen yang paling asas dilakukan oleh parti-parti politik semasa pilihan raya, tetapi ini pun disekat. Kami sentiasa memberitahu pada polis untuk memantau aktiviti kami secara dalam talian kerana kami sangat telus dengan menyiarkan semua aktiviti kami di situ tetapi mereka mahu terus membayangi kami.

Dengan hanya 8 hari lagi menjelang hari mengundi, sila biarkan parti-parti politik untuk mengamalkan hak demokratik mereka dan berkempen tanpa sebarang gangguan dan halangan. Ianya satu penghinaan kepada demokrasi sekiranya aktiviti yang paling asas pun perlukan permit polis.

=========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Pengarah Pilihan Raya PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *