AIR KUNING, PERAK – 11 NOVEMBER 2022: Kekalkan petani-petani yang mengeluarkan makanan supaya jaminan makanan bagi seluruh rakyat tidak terjejas. Beginilah seruan yang dilaungkan oleh golongan petani di negeri Perak dalam satu sidang media khas yang diadakan di Bilik Gerakan PSM Kawasan DUN N48 Ayer Kuning pada hari ini.

Bawani KS, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kawasan DUN Ayer Kuning di Perak, mengadakan satu sidang media bersama-sama dengan petani-petani yang datang dari pelbagai tempat di negeri Perak untuk mengetengahkan isu jaminan makanan rakyat kepada perhatian semua pengundi yang bakal keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Turut hadir dalam sidang media ini ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM dan Chong Yee Shan selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM merangkap Setiausaha PSM Negeri Perak.

“Kemahiran petani ialah bercucuk tanam dan mengeluarkan makanan. Jika tanah yang kami usahakan itu dirampas, maknanya kami akan hilang punca pendapatan. Ekonomi tempatan turut akan merosot. Akan tetapi, sumbangan golongan petani kepada ekonomi negara ini langsung tidak dihargai oleh Kerajaan Negeri Perak. Saya pun tidak faham kenapa begitu,” kata Tan Tean Chee, wakil petani dari kawasan Kanthan yang hadir dalam sidang media hari ini. “Negara Malaysia mengimport makanan dengan nilainya sebesar RM60 bilion setahun. Kenapa tidak memberikan peluang kepada golongan petani yang sedia ada untuk membangunkan lagi pertanian kita? Kami ada kemahiran untuk mengeluarkan makanan. Apa yang kami minta mudah sahaja. Kekalkan petani yang sedia ada di situ supaya jaminan makanan kita tidak terjejas!

Fong Hock Chon, petani dari Pusing, berkata pula, “Kami petani bukannya nak lawan kerajaan atau lawan pembangunan. Petani-petani seperti kami ini hanya mahu terus bercucuk tanam. Kami bercucuk tanam bukan sahaja untuk diri kami sendiri, tetapi juga berusaha untuk memastikan jaminan makanan bagi masyarakat kita.”

“Tanah yang dirampas sejak tahun 2010 daripada petani-petani yang sudah bercucuk tanam berpuluh-puluh tahun di Tronoh, digunakan untuk menjual pasir. Kita boleh makan pasir tak?” Fong Hock Chon mengeluh. “Dapat duit daripada pasir itu pun, tidak akan sampai kepada rakyat, tetapi hanya pergi kepada orang atasan sahaja. Ini bukan caranya menguruskan negara kita.”

Golongan petani yang hadir dalam sidang media hari ini memberi penghargaan kepada Bawani KS yang telah banyak membantu dalam melawan kes mereka di mahkamah. “Kita perlu memilih seorang ADUN seperti Bawani yang sanggup mempertahankan petani kecil dalam Dewan Undangan Negeri,” begitu katanya Shirley, wakil petani dari kawasan Bidor.

“Negeri Perak sebuah negeri yang mempunyai keluasan tanah yang besar, tetapi banyak petani yang mengeluarkan makanan menghadapi pengusiran di negeri ini juga,” kata Bawani, calon PSM untuk kawasan DUN Ayer Kuning di Perak. “Jika kita lihat pada gambaran yang menyeluruh pula, hanya 0.4 juta hektar daripada sejumlah 8.2 juta hektar tanah pertanian di Malaysia sedang diusahakan untuk aktiviti pengeluaran sayur-sayuran, buah-buahan, ikan dan produk tenusu. Sementara itu, negara kita mengimport makanan bernilai RM60 bilion pada tahun 2021. Ini menunjukkan bahawa negara kita menghadapi masalah kekurangan jaminan makanan. Pengusiran terhadap petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan ini akan memburukkan lagi masalah ini.”

“Adalah pelik kenapa masih banyak petani yang mengeluarkan makanan diusir apabila negara kita berhadapan dengan ancaman krisis makanan,” ulas Bawani. “Kami di PSM sahaja sudah mengendalikan lebih 20-30 kes pengusiran yang dihadapi oleh petani-petani kecil, seperti di SMTD, Sungai Kroh, Kampar, Kuala Kampar, Malim Nawar, Tanjung Tualang, Pusing, Tronoh, Batu Gajah, Kanthan, Kuala Kuang, Sungkai, Kuala Bikam, Bidor, Mambang Diawan dan sebagainya.”

“Banyak kes petani menang di mahkamah, tetapi masalah yang dihadapi oleh mereka tidak selesai,” ujar Bawani. “Ini kerana isu pokoknya undang-undang tanah yang sedia wujud di negara kita masih tidak membela nasib petani kecil. Oleh itu, kita perlukan perubahan pada undang-undang melalui proses perundangan.”

Bawani mengemukakan 4 tuntutan yang dibawa oleh petani-petani:

  1. Kawasan-kawasan yang sedang diusahakan untuk penamanan sayur-sayuran, penternakan ikan dan penternakan lembu, harus dikekalkan sebagai kawasan pengeluaran makanan dan tidak dilupuskan kepada mana-mana pihak untuk projek “pembangunan”;
  2. Tanah yang dilupuskan kepada pemaju sama ada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat swasta, tetapi masih diusahakan oleh petani kecil dan penternak kecil, harus dikembalikan kepada petani dan penternak berkenaan dengan memberikan pajakan bertempoh 10 hingga 20 tahun kepada mereka;
  3. Hentikan semua pengusiran terhadap petani-petani yang mengeluarkan makanan;
  4. Meminda undang-undang tanah untuk mewujudkan mekanisme semak-dan-imbang yang dapat memastikan aset tanah kerajaan tidak “dicairkan” semata-mata untuk mengumpul dana politik bagi individu berkuasa ataupun untuk kepentingan sendiri golongan yang berkuasa.

Tanah yang dirampas daripada petani, harus dikembalikan kepada petani,” tegas kata Bawani. “Jika kerajaan adanya kesungguhan politik, ia boleh melakukannya.

“Daripada pengalaman kami sehingga kini, sama ada BN, PH ataupun PH, tiada satu pun gabungan politik utama di negeri Perak yang benar-benar peduli pada nasib petani kecil ini,” tambah Bawani. “Kita perlukan wakil rakyat yang benar-benar peduli tentang isu petani kecil ini untuk membawa suara petani ke dalam Dewan Undangan Negeri. PSM bersedia berbuat demikian!”

“Walaupun PSM hanya bertanding dua kerusi, tetapi kami menggunakan peluang tempoh dua minggu semasa kempen pilihan raya ini untuk mengetengahkan isu rakyat marhaen seperti isu pekerja kontrak dan isu petani ini,” kata Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM. “Walaupun PSM sebuah parti kecil, tetapi PSM sedia mewakili suara rakyat marhaen.”

“Kumpulan yang paling banyak menghantar memorandum di Bangunan SUK Perak ialah PSM. Semua memorandum yang diserahkan oleh PSM berkaitan dengan isu-isu rakyat marhaen. Esok kalau Anwar Ibrahim bentuk kerajaan pun, beliau akan terima memorandum daripada PSM mengenai isu rakyat marhaen, malah kawasan Tambun yang ditandinginya juga ada isu petani,” ulas Arutchelvan.

“Sangat penting untuk memilih Bawani ke dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Sekarang ini Bawani lawan dalam mahkamah, tetapi mahkamah akan ikut undang-undang yang dibuat dalam Dewan Undangan,” tambah Arutchelvan. “Kita memerlukan wakil rakyat yang boleh membawa suara marhaen dalam Dewan Undangan Negeri dan Parlimen!”

“Perbezaan PSM dengan parti-parti politik yang lain adalah, PSM bukannya sekadar membawa dasar yang bersifat populis, tetapi berusaha untuk mencari solusi kepada masalah rakyat yang sedang dihadapi sekarang,” tegas kata Chong Yee Shan, Setiausaha PSM Perak.

One thought on “Kekalkan petani untuk jaminan makanan rakyat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *