11 OGOS 2022 – SHAH ALAM, SELANGOR: Satu delegasi daripada Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung telah menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Selangor pada hari ini untuk menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya membela nasib bekas pekerja ladang dengan mengambil tindakan segera untuk membina rumah bagi mereka.

Turut hadir bersama dengan delegasi bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung semasa penyerahan memorandum ialah A. Sivarajan selaku Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM.

Bekas pekerja ladang di Ladang Bukit Beruntung yang terletak di Hulu Selangor, merupakan golongan berpendapatan rendah B40 dan kebanyakannya sudah berusia. Mereka memohon kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya bertindak tegas untuk merampas tanah daripada pihak pemaju yang gagal membina rumah bagi pekerja ladang seperti yang dijanjikan lebih 20 tahun dahulu.

Para bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung telah berusaha untuk mengumpulkan segala maklumat yang membuktikan bahawa pemilik tanah ladang mereka, Prospell Enterprise, telah melanggar peruntukan Kanun Tanah Negara, dan menggesa Kerajaan Negeri Selangor untuk merampas tanahnya.  Namun, masih tiada apa-apa tindakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Sejak tahun 2019 lagi, seramai 54 orang bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung telah mengemukakan cadangan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor untuk melucutkan hak (merampas) tanah Prospell Enterprise Sdn Bhd (selaku pemilik tanah ladang dan pemaju projek perumahan) selaras dengan peruntukan dalam Kanun Tanah Negara 1965.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Seri Amirudin Bin Shari, Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor mempunyai tanggungjawab langsung untuk mengambil tindakan tersebut kerana “kegagalan” Kerajaan Negeri Selangor dalam menyempurnakan proses tukar syarat tanah dan memastikan pembinaan rumah bagi bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung.

Antara isu yang dibangkitkan dalam memorandum tersebut ialah:

  • Lembaga Tanah Ladang Kerajaan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor gagal mengambil tindakan susulan untuk memastikan rumah pekerja Ladang Bukit Beruntung siap dibina selepas kelulusan pertukaran status tanah daripada pertanian kepada bangunan/perusahaan. Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor telah meluluskan pertukaran status tanah di Ladang Bukit Beruntung pada 7 Oktober 1992, dengan syarat pihak pemilik tanah harus membina rumah bagi pekerja ladang di situ selaras keperluan Lembaga Tanah Ladang yang dianggotai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri dan Pengarah Tanah dan Galian Selangor pada masa itu seperti dalam peruntukan Seksyen 214A Kanun Tanah Negara. Syarat yang ditetapkan adalah jelas, iaitu pemilik tanah harus memajukan perumahan kos rendah untuk pekerja ladang terlebih dahulu sebelum memulakan pembangunan lain.
  • Pentadbir Tanah Daerah Hulu Selangor gagal mengambil tindakan susulan seperti yang dikehendaki dalam Seksyen 124(7) Kanun Tanah Negara, selepas premium tambahan, cukai tanah baharu dan bayaran caruman parit dibayar oleh tuan tanah. Kegagalan ini menyebabkan kategori penggunaan tanah bagi tanah yang sepatutnya ditukar statusnya masih merupakan pertanian sehingga sekarang walaupun permohonan tukar syarat daripada pertanian kepada bangunan/perusahaan telah diluluskan pada tahun 1992, iaitu hampir 30 tahun dahulu.
  • Walaupun kelulusan tukar syarat tanah adalah untuk 7 lot tanah, tetapi Pengarah Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor hanya meluluskan pelan susunatur untuk satu lot sehingga menyebabkan tiada jalan akses ke lot perumahan pekerja ladang. Kecuaian pihak Perancang Bandar dan Des aini memberi alasan kepada tuan tanah untuk tidak meneruskan projek perumahan dan menyebabkannya terbengkalai. Pekerja-pekerja Ladang Bukit Beruntung telah menandatangani perjanjian jual beli pada sekitar tahun 1999 tanpa mengetahui status sebenar untuk tanah tersebut. Projek perumahan telah diberhentikan pada tahun 2000-2002 dan terbengkalai begitu sahaja.

Kini, struktur rumah yang separuh siap terbiar di atas tanah pertanian dan penanaman kelapa sawit dijalankan dengan rancak di kawasan yang sepatutnya dijadikan perumahan bagi bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung.

Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung mengalu-alukan cadangan Unit Task Force dan Penyelidikan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor untuk mengeluarkan Borang 7A di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara atas pelanggaran Seksyen 127 Kanun Tanah Negara oleh pihak tuan tanah kerana membina lebih 500 buah rumah di Desa Beruntung dan menjualkannya kepada bekas pekerja Ladang Beruntung walaupun tanah tersebut masih berstatus pertanian. Seksyen 115 Kanun Tanah menyatakan bahawa jika tanah berada dalam kategori pertanian maka tidak boleh mendirikan struktur bangunan di atasnya.

Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung mencadangkan kepada Kerajaan Negeri Selangor supaya:

  • Mengarahkan tuan tanah, Prospell Enterprise Sdn Bhd, untuk membuat permohonan baharu mengenai tukar syarat tanah dan mengemukakan pelan susunatur semua lot tanah yang terlibat supaya rumah penduduk mempunyai jalan akses ke jalan utama dan juga akses kemudahan asas.
  • Jika pihak tuan tanah gagal atau enggan melaksanakan remedi yang dicadangkan, maka Kerajaan Negeri harus mengambil tindakan perlucuthakan ke atas tuan tanah selaras dengan Seksyen 129 Kanun Tanah Negara.
  • Tanah yang dirampas daripada tuan tanah itu harus digunakan untuk membina rumah bagi pekerja Ladang Bukit Beruntung dengan harga beli asal.
  • Wakil pembeli rumah juga harus dijemput untuk menyertai mesyuarat yang membincangkan penyelesaian mengenai masalah ini setelah Borang 7A dan 7B dikeluarkan.

Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung memohon pihak Menteri Bedar Selangor supaya mengambil tindakan segera dalam menyelesaikan masalah yang telah membelenggui pembeli-pembeli rumah Desa Beruntung dan bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung selama lebih 20 tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *