YPJ002.jpg

Masyarakat Kurdi di Timur Tengah menyambut Tahun Baru tradisional mereka, Newroz (sama dengan tahun baru masyarakat Iran, Nowruz), pada 20 Mac setiap tahun. Dalam mitos masyarakat Kurdi, 20 Mac menandakan hari di mana pemberontakan yang dipimpin oleh Kawa berjaya menewaskan pemerintahan zalim Zuhak. Zuhak (atau dikenali sebagai Azhi Dhaka dalam budaya Parsi) ialah seorang raja Assyria yang menawan Parsi dan memerintah negara itu untuk seribu tahun mengikut mitos masyarakat Iran (termasuk juga orang Kurdi). Kawa (juga dikenali sebagai Kaveh), seorang tukang besi yang anaknya dikorbankan kepada Zuhak, mencetuskan pemberontakan rakyat terhadap Zuhak dan akhirnya menewaskan Zuhak. Lagenda Kawa yang menewaskan pemerintah zalim ini menjadi simbol kepada perjuangan pembebasan masyarakat Kurdi, dan sambutan Tahun Baru Newroz juga menjadi perayaan untuk penentangan terhadap kezaliman. Sambutan Newroz untuk masyarakat Kurdi di Syria pada tahun ini diberi makna baru dengan kemenangan Pasukan Demokratik Syria (HSD) yang menewaskan kumpulan pelampau ISIS.

Setahun yang lalu, apabila tentera Turki dan kumpulan Jihadis bersenjata yang disokong Turki menceroboh bandar Afrin yang terletak di Utara Syria, patung Kawa yang menjadi simbol Tahun Baru Kurdi di situ adalah sasaran mereka, dengan kumpulan Jihadis bersenjata yang disokong Turki menembak patung itu dan kemudian merobohkannya dengan jentolak. Pada tahun lalu, sambutan Newroz di Wilayah Autonomi Utara Syria, yang juga dikenali sebagai Rojava, menyaksikan ancaman pencerobohan daripada kuasa luar, iaitu tentera Turki dan kumpulan militia yang disokong kerajaan Turki. Namun, pada tahun ini, rakyat berbilang kaum di Rojava menyambut Tahun Baru Kurdi ini dengan saki-baki ISIS di situ dikalahkan dan kawasan terakhir yang dikuasai oleh ISIS ditawan semula oleh pejuang-pejuang pembebasan. Ini merupakan kemenangan kepada kebangkitan rakyat di Rojava.

ypgrtx1gpfr

Revolusi Rojava

Pada tahun 2012, ketika Perang Saudara Syria berada di peringkat awalnya, tentera kerajaan Syria berundur dari kawasan masyarakat Kurdi yang utama di Utara Syria, dan militia masyarakat Kurdi tempatan mengambilalih kawalan terhadap kawasan itu untuk mempertahankan diri sendiri. Parti Kesatuan Demokratik (PYD), sebuah parti berhaluan kiri yang terdiri terutamanya daripada masyarakat Kurdi, menubuhkan pasukan pejuang militia Unit Perlindungan Rakyat (YPG) untuk mempertahankan kawasan-kawasan di Syria Utara yang dikenali sebagai Rojava. Unit Perlindungan Wanita (YPJ), pasukan militia yang kesemua anggotanya wanita, ditubuhkan pada tahun 2013, untuk berjuang bersama dengan YPG demi mempertahankan wilayah Rojava. YPG menguasai bandar Kobani, Afrin dan Amuda pada bulan Julai 2012, maka bermulanya pentadbiran autonomi di Rojava dan tercetusnya proses revolusi sosial yang menakjubkan.

Perubahan politik dan sosial yang berlaku di Rojava sebahagian besarnya mendapat inspirasi daripada idea-idea politik sosialis libertarian yang dipopularkan oleh Abdullah Öcalan, seorang pemimpin Kurdi di Turki yang berhaluan kiri dan merupakan pengasas Parti Pekerja Kurdistan (PKK). PKK pada awalnya merupakan sebuah parti berhaluan kiri yang berfahaman Marxis-Leninis bercampur dengan nasionalisme Kurdi, dengan hasrat mendirikan sebuah negara sosialis Kurdistan, tetapi kemudiannya beralih kepada platform politik baru yang dipanggil “konfederalisme demokratik” yang anti-kapitalis dan tidak lagi menuntut secara rasmi penubuhan sebuah negara Kurdistan yang merdeka.

Perlembagaan Rojava yang diluluskan pada tahun 2014, menjamin kebebasan politik, budaya dan agama untuk semua orang. Perlembagaan tersebut secara jelasnya menyatakan hak samarata dan kebebasan untuk wanita, dan memandatkan institusi awam untuk berusaha dalam menghapuskan segala diskriminasi gender. Rojava mengamalkan dasar “pentadbiran bersama” di mana semua posisi berkuasa dalam setiap peringkat kerajaan harus dipegang oleh seorang wanita dan seorang lelaki. Rojava merupakan sebuah wilayah yang menjadi lambang bersinar untuk pembebasan wanita di rantau Timur Tengah. Perwakilan politik yang samarata untuk semua kumpulan etnik (termasuk orang Arab, Kurdi dan Assyria) juga dipraktikkan.

Revolusi Rojava cuba mentransformasikan ekonomi di wilayah itu kepada ekonomi yang mampu sara diri berasaskan koperasi pekerja dan pengeluar. Namun, proses peralihan ekonomi ini menghadapi pelbagai rintangan kerana konflik yang berlarutan di wilayah sekitarnya dan sekatan daripada kuasa-kuasa berlainan.

ypj fighters.jpg

Kuasa yang paling berkeupayaan dalam melawan ISIS

Usaha untuk mewujudkan alternatif baru di Rojava menghadapi ancaman daripada pelbagai pihak. Untuk 5 tahun yang lepas, Rojava menghadapi ancaman yang terutamanya daripada ISIS dan Turki.

Pada tahun 2014, bandar Kobani dan kawasan sekitarnya diserang dan ditawan oleh kumpulan bersenjata ISIS. Lebih kurang 300,000 orang Kurdi menjadi pelarian akibat daripada serangan ISIS. YPG bersama dengan kumpulan militia lain kemudiannya menawan semula Kobani, dengan bantuan serangan udara daripada sekutu Amerika Syarikat. YPG menguasai semula Kobani pada penghujung bulan Januari 2015. Pertempuran di Kobani dianggap sebagai titik perubahan yang penting dalam perang melawan ISIS.

ISIS merupakan sebuah organisasi pengganas yang diwujudkan secara tidak langsung oleh kuasa imperialis AS. ISIS pada asalnya ialah cabang kumpulan pengganas Al-Qaeda di Iraq dan terlibat dalam pemberontakan bersenjata di Iraq berikutan pendudukan tentera AS di situ pada tahun 2003. ISIS kemudiannya menggunakan kesempatan Perang Saudara Syria untuk memperluaskan pengaruhnya di Syria. ISIS mendapat perhatian dunia apabila kumpulan pengganas tersebut menewaskan tentera kerajaan Iraq di bandar-bandar penting di Barat dan Utara Iraq, khususnya kejatuhan bandar Mosul. AS, Rusia dan Arab Saudi masing-masing mewujudkan gabungan ketenteraan tersendiri untuk melawan ISIS.

AS pada awalnya menyokong kumpulan bersenjata pembangkang Syria untuk melawan ISIS, tetapi kebanyakan kumpulan yang disokongnya tidak boleh pakai langsung. Keberanian dan kegigihan yang ditunjukkan oleh kumpulan militia YPG dan YPJ dalam perjuangan menentang ISIS, khususnya ketika pertempuran di Kobani pada tahun 2014-2015, memaksa AS untuk menyedari bahawa pejuang-pejuang Revolusi Rojava ialah satu-satunya kuasa yang berkeupayaan menewaskan ISIS di Syria. Maka, AS telah memberi bantuan kepada penentangan terhadap ISIS di Rojava. Pasukan Demokratik Syria yang dipimpin oleh YPG ditubuhkan secara rasminya pada bulan Oktober 2015, dan menjalin kerjasama dengan AS untuk melawan ISIS. Kerjasama Pasukan Demokratik Syria dengan AS ini hanya satu gabungan taktikal di medan perang. Imperialis AS memang tidak senang hati dengan Rojava yang sedang membangunkan alternatif yang berbeza dengan model kapitalis Barat, tetapi ia tiada pilihan selain bergantung pada Pasukan Demokratik Syria yang dipimpin YPG untuk menghapuskan ancaman ISIS. Pasukan Demokratik Syria yang dipimpin YPG dengan semangat pejuang revolusioner, terbukti adalah kuasa yang paling efisien dan efektif dalam menewaskan ISIS.

YPG20190322-ypj9cd0b1-image
Bendera YPJ dinaikkan di Baghuz, tapak terakhir ISIS di Syria.

Kemenangan kuasa anti-fasis yang bermakna

Pada 23 Mac 2019, Pasukan Demokratik Syria mengumumkan kemenangannya dalam perjuangan menewaskan ISIS. Pejuang-pejuang YPJ menurunkan bendera ISIS yang terakhir di atas bumbung sebuah rumah di Al-Baghuz Fawqani, dan mengkibarkan bendera YPJ yang melambangkan pembebasan wanita. Sebagai tulang belakang kepada Pasukan Demokratik Syria, YPG dan YPJ terlibat dalam peringkat terakhir serangan terhadap ISIS.

Pasukan Demokratik Syria mendedikasikan kemenangan ini kepada semua orang yang telah mengorbankan nyawa mereka dalam perjuangan melawan kezaliman ini. Revolusi Rojava menewaskan pengganas yang berfahaman pelampau, adalah suatu kejayaan yang menakjubkan. Selepas ini, Rojava masih akan menghadapi ancaman daripada tentera Turki dan sekutunya yang terdiri daripada kumpulan pelampau bersenjata. AS mungkin juga akan meninggalkan “sekutu” taktikalnya dalam peperangan menentang ISIS ini selepas ancaman ISIS tidak wujud lagi. Cabaran yang hebat bakal dihadapi oleh pejuang-pejuang Revolusi Rojava.

Walau bagaimanapun, penewasan ISIS oleh pejuang-pejuang Revolusi Rojava masih sesuatu yang perlu diraikan. Ini ialah satu kemenangan yang besar, satu kemenangan bagi kemanusiaan sejagat, satu kemenangan yang memberi kesan kepada semua orang termasuk mereka yang tidak pernah berada di Syria atau bertemu dengan ISIS.

ISIS sebagai sebuah entiti fizikal sudah pun menemui ajalnya.  Namun, ini hanyalah kemenangan ketenteraan terhadap kuasa fasis. ISIS tidak lagi wujud secara fizikal, tetapi ideologi pelampaunya yang rasis dan bersifat keganasan, masih akan disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dan dipergunakan oleh elit politik yang tamakkan kuasa. Perjuangan melawan ISIS dan saki-bakinya sekarang ini adalah dalam ruangan ideologi. Adalah menjadi tanggungjawab dan imperatif moral bagi kita semua untuk melawan fasisme secara tegas di mana jua pun. Kita perlu sentiasa berjaga-jaga, berkesedaran jelas dan aktif melibatkan diri dalam perjuangan secara kolektif menentang fasisme, politik kebencian dan perkauman sempit.

3 thoughts on “Pejuang Revolusi Rojava tewaskan ISIS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *