20191010 - f839a572c7e6b2ee7d696ab92de6853a.jpg

Presiden Turki Recep Tayyip Erdoğan mengumumkan pada 9 Oktober 2019 bahawa tentera Turki memulakan operasi pencerobohan yang dirancang lama ke atas wilayah Utara Syria, dengan niat untuk mengusir Pasukan Demokratik Syria (HSD) yang bertapak di situ supaya mewujudkan “zon selamat”. Tindakan tentera Turki ini dicetuskan berikutan pengumuman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada 7 Oktober 2019 bahawa tentera AS akan berundur dari wilayah Utara Syria.

Dengan serangan tentera Turki dimulakan ke atas wilayah Utara Syria, Revolusi Rojava menghadapi satu lagi ancaman yang hebat.

Ketika menyampaikan ucapannya dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 24 September 2019, Erdoğan berkata bahawa hasrat Turki adalah mewujudkan satu “koridor aman” dengan kedalaman 30 km dan panjang 480 km di Syria, supaya komuniti antarabangsa dapat menempatkan 2 juta orang pelarian Syria di situ. Tidak lama kemudian, Trump mengumumkan pengunduran tentera AS dari Utara Syria, memberi laluan kepada Erdoğan untuk merealisasikan “koridor aman” melalui keganasan serangan tentera.

Walaupun ucapan Erdoğan dalam Perhimpunan Agung PBB dihiasi retorik “kemanusiaan”, tetapi niat Turki untuk menduduki Utara Syria mempunyai motif untuk kepentingannya sendiri. Turki sangat giat untuk mewujudkan “Koridor aman” supaya ia dapat membuang pelarian Syria yang berada di Turki balik ke sempadan Syria. Operasi ketenteraan yang terbaru juga merupakan langkah Turki untuk bukan sahaja menamatkan penguasaan Kurdi di Utara Syria, tetapi juga bertujuan untuk menghancurkan impian revolusi demokrasi radikal yang sedang direalisasikan dalam Revolusi Rojava.

Revolusi Rojava: Ekperimen demokrasi radikal di rantau yang dilanda peperangan berlarutan

“Rojava” bermaksud “Barat” dalam Bahasa Kurdi. Wilayah Rojava juga dikenali sebagai Kurdistan Barat. Ia terletak di selatan sempadan negara Turki, di bahagian Utara Syria di mana diduduki kebanyakannya oleh masyarakat kaum Kurdi.

Eksperimen demokrasi radikal di Rojava bermula pada tahun 2012, apabila Unit Perlindungan Rakyat (YPG), pasukan pejuang militia yang ditubuhkan oleh Parti Kesatuan Demokratik (PYD), mula menguasai bandar Kobani, Afrin dan Amuda, dan mewujudkan pentadbiran autonomi di situ.

Revolusi Rojava telah melahirkan corak pentadbiran yang bersifat pembebasan, dengan penyertaan demokratik rakyat berbilang kaum dan jaminan hak samarata serta kebebasan untuk wanita. Revolusi Rojava menawarkan satu alternatif radikal kepada masyarakat Timur Tengah, dan sememangnya amat tidak disenangi oleh golongan pemerintah di situ, sama ada di Syria, Turki atau negara-negara lain di rantau Timur Tengah.

Niat Erdoğan untuk membuang pelarian Syria

Sejak berlakunya Perang Saudara Syria pada tahun 2011, terdapat lebih kurang 3 juta hingga 4 juta orang pelarian Syrian mencari perlindungan di Turki. Kerajaan Erdoğan menandatangani satu perjanjian yang bernilai berbilion-bilion dollar dengan Kesatuan Eropah untuk menempatkan pelarian-pelarian ini di Turki bagi menghalang mereka pergi ke Eropah. Namun, dengan semakin ramai lagi rakyat Syria yang melarikan diri ke Turki daripada konflik peperangan yang tidak kehabis-habisan, wujudnya sentimen anti-pelarian di Turki dan dieksploitasi oleh politikus-politikus yang bersikap oportunis. Parti-parti pembangkang di Turki, khususnya parti berhaluan tengah dan konservatif, telah menunggang sentimen anti-Syria untuk meraih sokongan. Kerajaan Turki pula ingin mencari jalan untuk mengeluarkan pelarian Syria dari negara Turki. Kemenangan Parti Rakyat Republikan (CHP), sebuah parti nasionalis dan sekularis, dalam pilihanraya Datuk Bandar Istanbul pada bulan Jun 2019, sebahagian besarnya adalah disebabkan politiknya yang mengapi-apikan sentimen xenofonia yang anti-Syria.

Parti berhaluan kiri yang pro-Kurdi, Parti Demokrasi Rakyat (HDP), mengambil pendirian pluralis yang tegas, di samping memperjuangkan agenda sosial dan ekonomi yang progresif, tetapi menghadapi penindasan yang berterusan daripada rejim Erdoğan.

Walaupun Erdoğan dan sekutunya cuba menampilkan diri mereka prihatin pada pelarian Syria, tetapi terdapat logik politik dalaman yang lebih jahat di sebalik usaha mereka untuk membuang jutaan pelarian Syria di luar sempadan negara Turki.

Di samping itu, pelancaran operasi ketenteraan baru di Utara Syria juga akan membantu Erdoğan mendapatkan semula sokongan rakyat yang semakin merosot, dengan cara memperkukuhkan lagi fahaman nasionalis yang sempit melalui pengwujudan persepsi ancaman perang. Sememangnya sentimen nasionalis sempat menjadi lebih hebat pada waktu perang dan biasanya akan menguntungkan golongan pemerintah.

Usaha menggagalkan Revolusi Rojava

Pasukan Demokratik Syria (HSD) yang diterajui oleh pejuang-pejuang revolusioner di Rojava, dilihat sebagai halangan utama kepada rancangan Erdoğan untuk mewujudkan tempat pembuangan pelarian di Utara Syria. Kerajaan Turki juga lama menganggap HSD sebagai serpihak daripada Parti Pekerja Kurdistan (PKK), organisasi politik dan militant kiri yang berperang dengan Kerajaan Pusat Turki sejak tahun 1984 dan dilabel sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan Turki.

Sejak kebelakangan ini, rejim Erdoğan mengambil sikap yang lebih keras terhadap masyarakat Kurdi di Turki, termasuk perlucutan jawatan datuk bandar yang dipilih di bandar-bandar dengan penduduk majority Kurdi, dan penahanan pemimpin politik masyarakat Kurdi.

Kebencian Erdoğan terhadap Pasukan Demokratik Syria (HSD) lebih ketara, walaupun gerakan Revolusi Rojava di Syria tidak menuntut kemerdekaan Kurdi, sebahagian disebabkan hubungan HSD dengan PKK, dan juga kebimbangan rejim Erdoğan terhadap eksperimen politik radikal oleh masyarakat Kurdi di Rojava.

AS mengkhianati sekutunya yang paling efektif dalam melawan ISIS

YPG dan Unit Perlindungan Wanita (YPJ) telah menerajui penubuhan Pasukan Demokratik Syria (HSD) yang memainkan peranan penting dalam menewaskan kumpulan pengganas ISIS di wilayah Utara Syria. HSD telah bersekutu secara strategik dengan tentera AS dalam perang menentang ISIS. Pejuang-pejuang HSD merupakan kuasa yang paling efektik dalam menewaskan ISIS di lapangan. Namun, setelah ISIS ditewaskan, AS telah mengkhianati sekutunya dengan memberi laluan kepada serangan Turki ke atas HSD.

Kerjasama AS dengan HSD adalah sesuatu yang pelik, kerana gerakan perjuangan Rojava yang berhaluan kiri langsung tidak seiras dengan ideologi dominan imperialis AS. Revolusi Rojava terpaksa mendapatkan sokongan ketenteraan AS ketika diserang hebat oleh kumpulan pengganas ISIS, sementara AS memerlukan pasukan pejuang di lapangan yang dapat menentang ISIS secara efektif.

Namun, kerjasama AS dengan masyarakat Kurdi di Syria mewujudkan ketegangan dalam dasar luar AS. Turki yang menjadi sekutu rapat kepada AS menjadi tidak senang hati dengan kerjasama ini. Hubungan AS dengan Turki semakin renggang sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan sokongan AS terhadap Kurdi Syria merupakan salah satu faktor yang utama.

Walaupun demikian, AS telah membuat keputusan untuk meninggalkan sekutunya pada ketika menangani ancaman ISIS, dan berkompromi dengan Turki akhirnya, menunjukkan sifat sebenar imperialis AS yang hanya mengutamakan kepentingan geo-politiknya.

Konflik yang berterusan

Tentera Turki pernah melancarkan serangan secara bersama dengan tentera pemberontak Islamis di Syria ke atas Daerah Afrin yang dikuasai oleh HSD pada bulan Januari 2018, menyebabkan ratusan ribu orang terpaksa meninggalkan situ dan menjadi pelarian. Sekarang ini, tentera Turki melakukan satu lagi pencerobohan tentera yang berniat untuk melakukan “pembersihan etnik” dan pemusnahan terhadap eksperimen demokrasi radikal di Rojava.

Pejuang-pejuang Rojava tidak mempunyai senjata canggih yang mampu bersaing dengan tentera Turki. Pertumpahan darah pastinya akan berlaku akibat daripada percaturan kuasa golongan autokrat seperti Trump dan Erdoğan.

Konflik akan berterusan dan Revolusi Rojava dalam bahaya. Solidariti antarabangsa diperlukan untuk menghentikan konflik peperangan di Rojava!20191009 Rojava.jpg

2 thoughts on “Revolusi Rojava dalam bahaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *