oleh Parames Elumalai

Satu kemenangan kepada Murugan a/l Subramaniam, seorang pengawal keselamatan sekolah yang berumur 52 tahun, apabila pihak sekolah yang memberhentikan kerjanya sebelum ini memintanya untuk bekerja semula di sekolah yang sama dengan tugas dan gaji yang sama.

Murugan bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Selangor. Sepanjang 13 tahun lalu, beliau berdedikasi dalam menjalankan tugasnya dan setia pada sekolahnya. Setiap hari, beliau bekerja selama 12 jam, iaitu dari pukul 6.30 pagi hingga 6.30 petang. Namun, pada 11 Mei 2022, Murugan telah diberhentikan kerja dengan notis 24 jam atas alasan beliau berkelakuan tidak baik ketika bertugas. Beliau tidak pernah diberi sebarang surat tunjuk sebab, tidak pernah diberi surat amaran, tidak pernah dipanggil untuk siasatan dan langsung tidak diberi sebarang peluang untuk membela diri. Malangnya, beliau terus dibuang kerja dengan notis 24 jam oleh pengetua sekolah. 

Ini ialah satu kezaliman terhadap seorang pekerja berpengalaman lama yang tidak pernah menerima sebarang surat amaran sepanjang perkhidmatannya di sekolah tersebut.

Murugan berasa sangat marah kerana dianiayai oleh penyelia dan pihak pengurusan sekolah. Beliau telah mengadu di Pusat Khidmat Rakyat PSM Semenyih, di mana kami telah membantunya untuk membuat aduan polis. Pada 9 Jun 2022, kami telah membantunya untuk menfailkan kes di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Bangi berkenaan penamatan kerja tidak sah. Kami mempertikaikan notis 24 jam dan tindakan pihak majikan yang tidak mengikut prosedur penamatan kerja sepertimana termaktub dalam Akta Kerja 1955.

Satu sesi rundingan damai telah diadakan pada 30 Jun 2022, di mana pegawai JTK Bangi, Puan Nor Fathiyah Binti Mohd Yassin yang mempengerusikan rundingan damai tersebut telah memberitahu pada pihak majikan bahawa tuntutan Murugan untuk Faedah Penamatan Kerja selama 13 tahun dan gaji ganti notis adalah munasabah, dan majikan telah melakukan satu penamatan kerja tidak sah yang melanggar Akta Kerja 1955. Justeru, Puan Nor Fatiyah telah menasihatkan pihak majikan untuk memulihkan kerja Murugan atau kes akan dibicara jika majikan gagal menyelesaikan isu dalam dua minggu.

Pada 20 Julai 2022, Murugan telah dipanggil ke sekolah dan beliau diminta untuk bekerja semula dengan tugas dan gaji yang sama.

Murugan sudah berumur 52 tahun dan mempunyai dua orang anak yang masih belajar. Beliaulah yang menanggung kehidupan sekeluarganya dengan pendapatannya sebagai seorang pengawal keselamatan. Murugan berasa lega kerana mendapat semula kerja dengan gaji yang sama. Ini kerana jika beliau mencari kerja baharu, maka beliau hanya akan diambil sebagai pekerja kontrak baharu dan akan diberi gaji RM1,500 sebulan, di mana kadar gaji ini lebih rendah daripada gaji bulanan RM3,400 yang diperolehinya pada masa sekarang.

Kemenangan Murugan ini ialah satu kemenangan kecil kepada kaum pekerja yang berani lawan penindasan oleh majikan mereka.

==========

Parames Elumalai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat PSM Semenyih.

One thought on “Pengawal keselamatan dapat kerja semula

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *