IPOH, PERAK: Kenapa pihak kerajaan begitu ghairah membantu pemaju hartanah untuk mengusir petani-petani kecil yang mengeluarkan makanan pada ketika negara kita sedang berdepan dengan ancaman krisis makanan? Inilah persoalan yang dibangkitkan oleh petani-petani di kawasan Changkat Kinding, Hulu Kinta, Perak, ketika menyerahkan satu memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak pada 30 Mei 2022, untuk menggesa pihak Kerajaan Negeri Perak supaya menghentikan pengusiran paksa terhadap mereka.

36 orang petani di kawasan Changkat Kinding sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa setelah menerima notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh, baru-baru ini. Petani-petani ini mengusahakan tanah seluas 200 ekar selama lebih 80 tahun. Mereka menanam sayur-sayuran dan buah-buahan, serta menternak ikan, untuk dibekalkan kepada pengguna tempatan. Datuk nenek mereka telah meneroka kawasan ini pada zaman sebelum Perang Dunia II untuk menanam sayur-sayuran. Semasa zaman pemerintahan penjajah British sebelum kemerdekaan, mereka dibenarkan oleh pihak berkuasa untuk mengusahakan kebun-kebun mereka. Selepas kemerdekaan pada tahun 1957, mereka juga dibenarkan oleh pihak kerajaan untuk meneruskan usaha pertanian mereka ini.

Terdapat beberapa orang antara petani-petani di Changkat Kinding ini pernah memohon untuk mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, tetapi malangnya tidak berjaya.

Baru-baru ini, petani-petani di Changkat Kinding dikejutkan oleh notis pengusiran daripada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Ipoh, yang mengarahkan mereka untuk mengosongkan tanah kebun mereka dalam tempoh 14 hari. Notis yang bertarikh 18 Mei 2022 itu telah mengugut bahawa petani-petani yang menduduki tanah berkenaan boleh dikenakan denda sebanyak RM500,000 atau hukuman penjara tidak melebihi 5 tahun jika tidak mematuhi arahan notis tersebut.

Petani-petani di situ telah membuat carian mengenai geran tanah bagi kawasan kebun mereka, dan mendapati bahawa kawasan tersebut telah dipecahkan kepada banyak lot yang semuanya didaftarkan di bawah nama syarikat Generasi Simbolik Sdn Bhd, sebuah syarikat pemaju hartanah dengan alamat urusannya di Ipoh. Tarikh pendaftaran geran-geran tersebut ialah pada bulan Februari 2017. Perkara ini menimbulkan keraguan. Ini kerana notis di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hanya boleh digunakan ke atas mereka yang menduduki tanah kerajaan tanpa izin, bukannya ke atas petani-petani yang mengusahakan tanah yang dimiliki oleh pihak swasta.

Sehari selepas menerima Notis 425 itu, petani-petani kawasan Changkat Kinding telah dijemput oleh Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Hulu Kinta untuk hadir ke satu mesyuarat di Dewan Awam Changkat Kinding pada 26 Mei 2022. Pada awalnya, petani-petani beranggapan bahawa ADUN kawasan mereka telah menjemput pihak Pejabat Daerah dan Tanah Kinta untuk berdialog dengan mereka. Namun pada hari itu, pegawai daripada Pejabat Daerah dan Tanah tidak hadir. Sebaliknya, 3 orang wakil daripada syarikat Generasi Simbolik Sdn Bhd telah datang. Wakil daripada syarikat Generasi Simbolik Sdn Bhd menawarkan petani-petani di kawasan Changkat Kinding bayaran pampasan sebanyak RM9,000 seekar. Petani-petani Changkat Kinding mengatakan bahawa hasrat mereka adalah meneruskan aktiviti pertanian dan meminta sama ada mereka boleh ditawarkan tanah alternatif. Para petani juga meminta supaya diberi tempoh masa 1 tahun untuk meneruskan aktiviti pertanian mereka di kawasan tersebut sekiranya betul-betul hendak mereka keluar dari situ. Wakil daripada Generasi Simbolik berkata bahawa mereka akan memberitahu pihak atasan mereka.

Dalam memorandum yang ditujukan kepada Saarani Mohamad selaku Menteri Besar Perak, petani-petani Changkat Kinding telah mengemukakan persoalan yang berikut:

  1. Mengapakah petani yang sedang mengeluarkan bahan-bahan makanan untuk rakyat Perak tidak ditawarkan pajakan untuk tanah yang sedang diusahakan mereka supaya mereka dapat meneruskan pengeluaran sayur-sayuran dan ikan? Negara kita sedang dilanda masalah kekurangan bekalan makanan. Kenapa kerajaan membenarkan pemusnahan kawasan pengeluaran makanan pada masa ini? Bolehkah pihak kerajaan menangguhkan pengusiran terhadap petani-petani buat masa ini? Bolehkah projek perumahan di kawasan Changkat Kinding dibatalkan dan pihak pemaju ditawarkan satu kawasan yang lain?
  2. Menteri Besar Perak sebelum ini, Ahmad Faizal Azumu, pernah berjanji bahawa Kerajaan Negeri Perak akan melaksanakan polisi yang menawarkan tanah gantian kepada petani sayuran kecil yang dikehendaki mengosongkan kebun mereka. Adakah Kerajaan Negeri Perak pada masa ini memegang pada pendirian yang serupa? Bolehkah Kerajaan Negeri Perak menawarkan petani-petani ini tanah yang sesuai untuk menanam sayur-sayuran?
  3. Apakah sebabnya Pejabat Tanah Ipoh melanggar undang-undang dan mengeluarkan Notis 425 terhadap petani-petani Changkat Kinding? Adakah Pejabat Tanah berniat untuk menakutkan para petani di situ supaya pihak pemaju dapat mengusir keluar mereka dengan mudah? Mengapakah Pejabat Tanah bersuhabat dengan syarikat pemaju?

Turut hadir bersama dengan petani-petani Changkat Kinding semasa penyerahan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Perak ialah Dr. Jeyakumar Devaraj, Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

“Aktiviti pertanian ini merupakan punca pendapatan untuk keluarga petani-petani kecil ini,” kata Dr Jeyakumar. “Mereka sudah mengusahakan tanah ini lebih 80 tahun dan ini merupakan satu-satunya punca rezeki mereka. Jika memberikan tanah yang diusahakan mereka ini kepada pihak pemaju tanpa menawarkan tanah gantian, mereka akan mengalami kesusahan. Kegiatan pertanian ini memang kepakaran dan profesion mereka untuk terus hidup. Petani-petani kecil ini mempunyai pengalaman dan kemahiran dalam menjaga tanah di bawah iklim Malaysia. Jika kamu hancurkan rezeki mereka, mungkin sesetengah mereka akan pergi bekerja di Singapura, anak-anak mereka pun berputus asa untuk terus bercucuk tanam, maka kita semua yang rugi. Pengetahuan dan kemahiran yang wujud daripada pengalaman pertanian selama lebih 80 tahun ini akan terus hilang.”

Mengulas tentang Notis 425 yang digunakan untuk mengusir petani-petani Changkat Kinding, Dr. Jeyakumar berkata, “Ini ialah salah guna kuasa. Kerajaan tidak boleh gunakan Seksyen 425 untuk tanah swasta. Untuk tanah swasta, dia (pemilik tanah) kena pergi berunding dengan petani. Jika petani bersetuju dengan pampasan atau tanah lain yang ditawarkannya, maka mereka akan keluar. Jika mereka tidak bersetuju, maka pemaju harus pergi ke mahkamah untuk dapatkan perintah mahkamah, barulah boleh suruh petani-petani ini keluar. Pemaju tidak boleh pergi ke Pejabat Tanah dan minta Pejabat Tanah keluarkan Notis 425!”

Salah seorang petani Changkat Kinding berkata, “Sekarang ini seluruh dunia menghadapi masalah kekurangan makanan, saya tidak faham kenapa kerajaan di Malaysia masih mahu terus mengambil tanah pertanian yang kami usahakan. Sekiranya tanah ini diambil, saya tidak tahu apa yang boleh saya buat. Saya mempunyai anak dan keluarga, tetapi sekarang ini semua barang menjadi mahal dan makanan pun kurang.”

Petani-petani Changkat Kinding menggesa pada Menteri Besar Perak supaya mengambil serius tentang persoalan-persoalan yang dibangkitkan dalam memorandum yang diserahkan oleh mereka, dan menetapkan satu tarikh awal untuk berjumpa dengan mereka. Mereka juga berharap pihak Kerajaan Negeri Perak supaya menghentikan ancaman pengusiran terhadap petani-petani kecil sehingga semua isu yang dibangkitkan mereka ini dapat dibincang secara terperinci dan diselesaikan.  

2 thoughts on “Pejabat Tanah salah guna kuasa bantu pemaju hartanah usir petani kecil di Changkat Kinding

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *