Shireen Abu Akleh (1971-2022) (foto: EPA-EFE / Al Jazeera)

Shireen Abu Akleh, wartawan kanan yang telah berkhidmat dengan Al Jazeera selama 25 tahun, telah dibunuh oleh tentera Israel pada 11 Mei 2022 ketika beliau sedang membuat liputan tentang serbuan tentera Israel di kem pelarian Jenin di Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki Israel. Shireen Abu Akleh mati selepas ditembak tentera Israel walaupun beliau memakai jaket yang menunjukkannya seorang wartawan. Seorang lagi wartawan Palestin daripada akhbar Al-Quds, Ali al-Samoudi, juga tercedera kerana tembakan tentera Israel.

Pembunuhan Shireen Abu Akleh telah mencetuskan kemarahan dunia, dengan pelbagai pihak mengecam tindakan tentera Israel yang zalim itu. Namun, pihak berkuasa Israel bukan sahaja enggan bertanggungjawab terhadap pembunuhannya, malah meneruskan tindakannya yang angkuh dan ganas terhadap masyarakat Palestin. Kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Israel adalah cuba mencuci tangan daripada tanggungjawab terhadap kematian Shireen Abu Akleh.

Rumah Shireen Abu Akleh telah diserbu oleh tentera Israel selepas beliau dibunuh. Pada 13 Mei 2022, semasa ribuan orang menghadiri perarakan yang membawa jenazah Shireen Abu Akleh untuk pengebumian di Baitulmuqaddis Timur, polis Israel bertindak ganas untuk menyerang orang ramai yang mengiringi jenazah Shireen Abu Akleh dengan menggunakan belantan dan bom tangan terpegun, sehingga keranda yang membawa jenazah Shireen Abu Akleh hampir jatuh ke atas tanah. Ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa Israel langsung tidak menghormati warga Palestin, sama ada yang hidup ataupun yang sudah mati.  

Polis Israel menyerang rombongan yang mengiringi jenazah Shireen Abu Akleh pada 13 Mei 2022. (foto: Ammar Awad / Reuters)

Pembunuhan Shireen Abu Akleh bukannya satu peristiwa yang anomali ataupun kemalangan yang tidak sengaja. Ini memang bukannya kali pertama wartawan dijadikan sasaran pembunuhan zalim oleh tentera Israel. Tentera Israel telah mensasarkan wartawan Palestin secara sengaja dan sistematik. Sindiket Wartawan Palestin (PJS) pernah melaporkan pada tahun 2020 bahawa lebih 46 orang wartawan telah dibunuh oleh tentera Israel sejak tahun 2000. Pada tahun 2018, Yaser Murtaja dan Ahmad Abu Hussein, dua orang wartawan Palestin, telah ditembak mati oleh tentera Israel semasa mereka membuat liputan tentang desmonstrasi besar-besaran di sempadan Gaza, di mana mereka juga memakai jaket yang tertulis perkataan “PRESS” (ahkbar) semasa dibunuh.

Menurut Wartawan Tanpa Sempadan (RSF), sekurang-kurangnya 144 orang wartawan telah terdedah kepada keganasan (termasuk ditembak peluru hidup, peluru getah, bom tangan terpegun dan gas pemedih mata ataupun dipukul belantan) oleh tentera atau polis Israel di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, sepanjang tempoh 4 tahun yang lalu.

Pihak berkuasa Israel telah melakukan serbuan berulangan ke atas perkampungan Palestin baru-baru ini dan membuat tangkapan sewenang-wenangnya. Menurut Kementerian Kesihatan Pihak Berkuasa Palestin, Israel telah membunuh sekurang-kurangnya 50 orang warga Palestin di kawasan yang didudukinya dalam tempoh kurang daripada 5 bulan pada tahun 2022, berbanding 14 orang yang dibunuh dalam tempoh masa yang sama pada tahun 2021. Kebanyakan warga Palestin yang dibunuh ialah mereka yang berprotes menentang serbuan yang dilakukan ke atas perkampungan mereka atau kem pelarian di Tebing Barat yang diduduki Israel. Pada bulan April 2022 sahaja, 23 orang warga Palestin telah dibunuh dan lebih seribu orang ditangkap oleh pasukan keselamatan Israel semasa serbuan sebegitu. Peningkatan kematian warga Palestin ini menunjukkan bahawa pihak berkuasa Israel menekankan semula penggunaan kekerasan terhadap segala bentuk penentangan secara aman daripada warga Palestin.

Pembunuhan wartawan Palestin merupakan sebahagian daripada jenayah perang tentera Israel yang berterusan. Namun, kuasa imperialis Barat seperti Amerika Syarikat tidak pernah mengenakan apa-apa sekatan ke atas Israel kerana jenayah perangnya. Ini merupakan hipokrasi kuasa imperialis Barat.

Perjuangan rakyat Palestin untuk menentang rejim apartheid Israel sudah pasti akan diteruskan…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *