oleh Dr. Jeyakumar Devaraj

Saya telah pergi ke Ibupejabat Polis Ipoh pada 14 April 2022 untuk diambil rakaman percakapan berkenaan dengan hantaran facebook saya pada 8 April 2022 yang menyatakan bahawa terdapat salah guna kuasa dalam penangkapan terhadap Encik Tan Tean Chee, Pengerusi Petani Moden Chemor, yang berlaku pada malam itu. Ketua Polis Perak, Dato’ Pahlawan Mior Faridalathrash Bin Wahid, tersinggung dengan hantaran facebook itu dan berkata dalam satu siaran media bahawa saya akan disiasat di bawah Seksyen 505(C) Kanun Keseksaan dan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Pegawai penyiasat (IO) telah menghubungi saya melalui telefon dan kami menetapkan satu masa untuk pengambilan keterangan daripada saya.

Selepas saya mengesahkan bahawa ia ialah akaun facebook saya dan hantaran tersebut adalah oleh saya, IO bertanya pada saya kenapa saya mengatakan bahawa terdapat salah guna kuasa dalam mengendalikan kes Encik Tan. Saya memberikan 4 sebab berikut:

1. Encik Tan ditangkap pada lebih kurang 9.30 malam pada 8 April 2022. Lebih kurang 4 jam sebelum itu, pegawai yang menyiasat aduan yang dibuat oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) terhadap Encik Tan telah diberitahu oleh peguam PKNP itu sendiri bahawa Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan PKNP untuk memasuki tanah yang dipertikaikan itu bagi menjalankan kajian tanah. Encik Tan merupakan salah seorang dalam kumpulan petani yang menghalang pasukan kakitangan PKNP yang cuba memasuki tanah yang dipertikaikan itu pada waktu pagi 8 April 2022. Oleh sebab PNKP bertindak dengan menentang keputusan mahkamah, maka memang tidak perlu untuk meneruskan kes terhadap Encik Tan.

2. Walaupun pihak polis hendak merakamkan keterangan daripada Encik Tan, kenapa mereka tidak memanggilnya untuk datang ke balai polis sendiri pada keesokan harinya? Kenapa perlu mengerahkan sehingga 4 buah kereta polis dan 10 orang pegawai polis ke rumah Encik Tan pada jam 9.30 malam, dan menggarinya? Tidakkah polis sedari bahawa ini amat menakutkan keluarga seseorang yang ditangkap sebegini?

3. IO telah diberitahu oleh pihak atasannya untuk menyimpan Encik Tan semalaman di dalam lokap dan memohon reman pada pagi keesokannya. Ini sangat mengganggu orang yang berkenaan – keluarganya, kerjanya atau perniagaannya. Kenapa perlu melakukan ini? Kenapa tidak hanya mengambil keterangannya dan melepaskannya?

4. Trak pikap hilux kepunyaan Encik Tan, kenderaan yang digunakannya untuk perniagaannya sebagai pembekal baja kepada petani, telah dirampas dan disimpan oleh polis sehingga kini. Ini juga merupakan gangguan kepada perniagaannya.

IO yang menyiasat saya kemudiannya menanya beberapa soalan penjelasan dan bertanya sama ada saya ada apa-apa lagi hendak tambah dalam keterangan saya. Saya berkata, polis mempunyai banyak kuasa, tetapi polis harus bersikap adil dalam menggunakannya. Mereka mempunyai kuasa untuk menangkap, tetapi adakah mereka perlu menggunakannya hanya untuk mengambil keterangan saksi daripada seorang yang tiada risiko untuk melarikan diri? Mereka boleh memohon reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, tetapi ia tidak harus digunakan untuk “mengajar” seseorang atau sesebuah kumpulan. Ditahan di dalam lokap polis mewujudkan banyak tekanan kepada individu berkenaan dan juga keluarganya. Kuasa ini harus digunakan secara bijaksana, dan bukannya untuk menakutkan individu-individu tau organisasi-organisasi.

IO yang menyiasat saya itu berkata bahawa dia akan menghubungi saya jika dan apabila perlu.

==========

Dr. Jeyakumar Devaraj ialah Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *