(Rencana khas sempena ulangtahun ke-20 peristiwa cubaan kudeta pada 11-13 April 2002 di Venezuela yang ditewaskan oleh rakyat yang mempertahankan Revolusi Bolivar.)

Pada 11 April 2002, golongan berhaluan kanan di Venezuela melancarkan kudeta untuk menjatuhkan Presiden Hugo Chávez pada masa itu. Namun, massa rakyat Venezuela yang tegas dalam mempertahankan kerajaan yang dipilih secara demokratik itu telah bermobilisasi untuk berjuang sehingga berjaya menewaskan cubaan kudeta tersebut dalam tempoh masa 47 jam! 

Chávez dan Revolusi Bolivar

Hugo Chávez, pada awalnya merupakan seorang pegawai tentera di mana tugasan pertamanya ialah memburu saki baki kumpulan gerila berhaluan kiri yang masih tinggal di Venezuela, tetapi Chávez melahirkan perasaan empati terhadap perjuangan pemberontak berhaluan kiri dan melihat mereka sebagai golongan petani yang hanya berjuang untuk kehidupan yang lebih baik. Chávez juga terdedah kepada idea-idea revolusioner berhaluan kiri apabila beliau membaca buku-buku Marxis yang ditinggalkan oleh golongan pemberontak. Chávez kemudiannya cuba mewujudkan gerakan revolusioner dalam tentera Venezuela dengan hasrat memperjuangkan sebuah kerajaan berhaluan kiri yang mampu membela nasib rakyat bawahan.

Chávez menubuhkan Gerakan Bolivar Revolusioner-200 (MBR-200) pada tahun 1982, sebuah kumpulan sulit dalam tentera Venezuela yang bercita-cita untuk memperjuangkan alternatif yang membebaskan negara Venezuela daripada cengkaman golongan oligarki yang rapat dengan kuasa imperialis. Pada bulan Februari 1992, Chávez yang berpangkat Leftenan Kolonel pada masa itu, cuba melancarkan kudeta untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Presiden Carlos Andrés Pérez yang melaksanakan dasar neoliberal di bawah arahan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tetapi ditangkap selepas usaha tersebut menemui kegagalan. 3 tahun sebelum cubaan kudeta Chávez, sudah tercetusnya gelombang protes rakyat hebat yang dikenali sebagai “Caracazo” untuk melawan dasar ekonomi neoliberal tetapi dipatahkan secara ganas oleh pihak berkuasa. Oleh itu, cubaan kudeta yang dipimpin oleh Chávez pada tahun 1992 mendapat sokongan daripada ramai rakyat Venezuela yang menjadi mangsa kepada dasar neoliberal yang meliberalisasikan ekonomi kepada pasaran kapitalis global, menswastakan perkhidmatan awam, mengurangkan subsidi petrol dan sebagainya yang meningkatkan beban kehidupan rakyat miskin. Walaupun Chávez dipenjarakan kerana merancang kudeta terhadap kerajaan pada masa itu, tetapi beliau menjadi semakin popular kerana tindakan beraninya yang melawan golongan berkuasa di Venezuela.

Selepas Chávez dibebaskan pada tahun 1994, beliau menjelajah ke seluruh negara Venezuela untuk mempromosi ideanya tentang Revolusi Bolivar yang bakal mengubah haluan dasar negara daripada ekonomi neoliberal. Chávez menubuhkan Gerakan Republik Kelima (MVR) pada tahun 1997, dan bertanding dalam Pilihanraya Presiden Venezuela pada tahun 1998. Chávez menang dalam Pilihanraya Presiden Venezuela pada bulan Disember 1998, dengan memperoleh hampir 3.7 juta undi (bersamaan 56.2% undian). Selepas mengambilalih jawatan Presiden Venezuela pada bulan Februari 1999, Chávez memulakan usaha untuk Revolusi Bolivar. Antara usaha awal yang dilakukan adalah, Chávez melaksanakan salah satu janji utama pilihanrayanya, iaitu merangka satu perlembagaan baharu dengan menubuhkan Perhimpunan Perlembagaan yang dipilih secara demokratik pada bulan April 1999 dan meluluskan perlembagaan baharu melalui referendum yang disokong oleh 71.8% pengundi pada bulan Disember 1999. Perlembagaan Venezuela 1999 menandakan kelahiran Republik Bolivar Venezuela.

Usaha Revolusi Bolivar melibatkan pengagihan semula kekayaan masyarakat Venezuela, dengan salah satu sumber utamanya datang daripada kekayaan petroleum, melalui dasar-dasar seperti pemiliknegaraan sektor ekonomi penting dan program kebajikan sosial yang memanfaatkan rakyat bawahan. Dasar yang diamalkan oleh kerajaan pimpinan Chávez secara langsung telah mencabar kekuasaan golongan oligarki lama di negara itu dan menggugat kepentingan kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS) di rantau Amerika Selatan. Oleh yang demikian, golongan pembangkang berhaluan kanan yang mewakili kepentingan oligarki lama dan kuasa imperialis AS telah membangunkan rancangan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Chávez dan cuba menggagalkan Revolusi Bolivar yang mengubah nasib rakyat Venezuela itu.

Konflik memuncak dan kudeta

Populariti Chávez nampaknya merosot pada penghujung tahun 2001 dan awal tahun 2002, khususnya dalam kalangan kelas menengah yang termakan dengan propaganda media swasta arus perdana negara itu yang masih dikuasai oleh golongan elit pemerintah lama. Golongan peniaga gempar dan marah terhadap 49 undang-undang dekri yang diperkenalkan oleh Chávez pada bulan November 2001 yang bertujuan untuk merombak semula sektor perbankan, pertanian, industri minyak, industri perikanan dan sebagainya, tetapi dianggap telah menjejaskan kepentingan golongan oligarki yang berkuasa. Kepimpinan kesatuan sekerja yang rapat dengan golongan elit pemerintah lama pula tidak senang hati dengan tindakan kerajaan yang menggesa pemilihan kepimpinan kesatuan yang demokratik. Cubaan kerajaan Chávez untuk memiliknegarakan sepenuhnya PDVSA, syarikat minyak Venezuela, juga menerima tentangan hebat daripada pegawai dan pengurus PDVSA yang mempunyai kepentingan diri dalam pengurusan PDVSA. Pendirian Chávez yang tegas dalam membantah “Perang Terhadap Keganasan” (War on Terror) yang dibawa oleh Presiden George W. Bush di AS pada masa itu turut mengundang sikap permusuhan daripada kerajaan AS.

Pada awal tahun 2002, golongan pembangkang berhaluan kanan yang tidak dapat menerima Presiden Chávez yang dipilih secara demokratik, mula merancang perampasan kuasa untuk menjatuhkannya. Pihak pengurusan PDVSA, Persekutuan Dewan Perniagaan Venezuela (Fedecámaras) yang mewakili kepentingan oligarki sektor perniagaan, Konfederasi Pekerja Venezuela (CTV) yang diketuai oleh pemimpin kesatuan sekerja yang konservatif, dan parti-parti politik yang diterajui oleh elit pemerintah lama, telah bersubahat dalam melancarkan pelbagai aksi, termasuk mogok dan protes jalanan, untuk menyahstabilkan keadaan sosio-politik di Venezuela.

Pada 11 April 2002, golongan pembangkang berhaluan kanan memobilisasi ratusan ribu orang untuk berprotes di Caracas, ibu negara Venezuela. Penyokong-penyokong kerajaan Chávez juga mengadakan perhimpunan di luar Istana Miraflores, iaitu pejabat dan kediaman rasmi Presiden Venezuela, untuk mempertahankan kerajaan pimpinan Chávez. Demonstrasi yang dianjurkan oleh golongan pembangkang berhaluan kanan pada awalnya berhimpun di luar pejabat PDVSA, tetapi kemudiannya terdapat pemimpin pembangkang yang mengarahkan demonstran supaya berarak ke Istana Miraflores untuk menuntut perletakan jawatan Chávez sebagai Presiden. Ini menyebabkan pertembungan antara penyokong pembangkang dan penyokong kerajaan. Satu peristiwa tembak-menembak berlaku di Jejambat Llaguno yang berdekatan dengan Istana Miraflores, menyebabkan 19 orang terbunuh dan lebih 100 orang cedera, termasuk penyokong kedua-dua pihak pro-Chávez dan anti-Chávez.

Chávez cuba mengarahkan pihak tentera untuk melaksanakan pelan kontingensi bagi mengekalkan ketenteraman awam di Caracas, tetapi arahan tersebut telah ditolak oleh kepimpinan tinggi tentera pada masa itu. Sebaliknya, kepimpinan tinggi tentera yang berpihak kepada golongan pembangkang berhaluan kanan pada masa itu menuntut perletakan jawatan Chávez. Chávez kemudiannya ditahan oleh pihak tentera. Media massa swasta yang dikuasai oleh golongan oligarki menyebarkan berita palsu bahawa Chávez telah meletak jawatan. Pada 12 April 2002, Pedro Carmona, Presiden Fedecámaras pada masa itu, mengisytihar dirinya sebagai Presiden Interim. Penganjur kudeta telah membubarkan Perhimpunan Kebangsaan (iaitu Parlimen Venezuela) dan Mahkamah Agung, di samping membatalkan Perlembagaan 1999 yang diluluskan dalam referendum yang demokratik.

Rakyat miskin lawan balik

Pada ketika penganjur kudeta sibuk membahagikan kuasa politik yang dirampas oleh mereka, golongan dalaman yang rapat dengan Chávez bertungkus lumus untuk menyebarkan berita bahawa Chávez tidak meletak jawatan dan beliau telah ditahan pihak tentera, di mana berita tersebut langsung tidak dilaporkan oleh media massa swasta di dalam negara Venezuela. Salah satu usaha untuk menewaskan kudeta ialah memulihkan siaran televisyen Saluran 8, satu-satunya saluran televisyen milik kerajaan pada masa itu tetapi diberhentikan siarannya oleh penganjur kudeta.

Apabila berita mengenai kudeta yang menjatuhkan Chávez tersebar, masyarakat bawahan di seluruh Venezuela bangkit berprotes secara spontan pada 13 April 2002. Walaupun demonstrasi yang pro-Chávez ditindas secara ganas oleh pihak polis, tetapi masih terdapatnya ratusan ribu orang berjalan kaki dari kawasan kejiranan warga miskin (barrio) di pinggiran bandaraya Caracas menuju ke pusat bandaraya Caracas, untuk berhimpun di luar Istana Miraflores.

Dengan Istana Miraflores dikepung oleh ratusan ribu orang demonstran yang pro-Chávez, pegawai tentera yang masih setia pada kerajaan Chávez memberi amaran kepada Pedro Carmona supaya mengembalikan Chávez. Pengawal Presiden yang setia pada Chávez berjaya menawan semula Istana Miraflores. Kebanyakan penyokong kudeta melarikan diri dari Istana Miraflores, tetapi sebahagian penyokong kudeta berjaya ditangkap di situ juga.

Pada 14 April 2002, lebih kurang jam 4 pagi, Chávez telah dibawa balik ke Istana Miraflores oleh sepasukan askar payung terjun melalui helikopter. Chávez disambut oleh puluhan ribu orang penyokongnya yang masih berhimpun di luar Istana Miraflores. Dalam siaran langsung teleyisyen pertamanya selepas kembali berkuasa di Istana Miraflores, beliau berkata, “Saya menghantar mesej dari lubuk hati saya kepada Venezuela dan dunia bahawa istana ini adalah milik rakyat… Rakyat telah menawan semula istana ini dan mereka tidak akan disingkirkan lagi!” Chávez mengaku bahawa beliau juga melakukan kesilapan, “Kita harus membuat keputusan dan mengubahsuai banyak perkara… Kita mesti menghormati maruah, tanpa pemburuan sihir… Kita tidak harus bertolak ansur dengan tindakan yang tidak menghormati kebebasan yang sudah kita menangi.”

Kesignifikanan pergolakan pada bulan April 2002 di Venezuela

Cubaan kudeta untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Chávez pada bulan April 2002 boleh dikatakan titik perubahan yang paling penting sepanjang tempoh Chávez menjadi Presiden Venezuela.

Cubaan kudeta ini menunjukkan sejauh mana sanggup dilakukan oleh golongan pembangkang berhaluan kanan di Venezuela untuk menjatuhkan Presiden yang dipilih secara demokratik demi menghancurkan proses Revolusi Bolivar dan memulihkan kekuasaan golongan oligarki lama. Ini menyedarkan penyokong-penyokong Chávez bahawa perlunya mempertahankan kerajaan mereka dan proses Revolusi Bolivar dengan lebih aktif dan agresif lagi. Ini memang terbukti benar, kerana sejak cubaan kudeta ini digagalkan, golongan pembangkang berhaluan kanan di Venezuela masih meneruskan usaha mereka untuk menjatuhkan kerajaan Chávez (dan penggantinya selepas Chávez meninggal dunia pada tahun 2013) dan mematahkan usaha Revolusi Bolivar. Pelbagai taktik telah digunakan oleh golongan pembangkang berhaluan kanan yang disokong oleh kuasa imperialis AS untuk menyahstabilkan masyarakat Venezuela, termasuk cubaan kudeta yang lain, sabotaj ekonomi, sanksi, keganasan politik, dan sebagainya.

Cubaan kudeta pada bulan April 2002 dan kegagalannya menunjukkan betapa popularnya Chávez pada masa itu dan betapa hebatnya keazaman rakyat bawahan Venezuela untuk mempertahankan Revolusi Bolivar. Peristiwa yang berlaku pada 11-13 April 2002 juga menarik perhatian golongan progresif di seluruh dunia untuk lebih proaktif membangunkan solidariti kepada usaha Revolusi Bolivar di Venezuela.

Setiap kemenangan kerajaan pimpinan Chávez terhadap golongan pembangkang berhaluan kanan telah meningkatkan kesedaran umum di Venezuela tentang keperluan untuk memperdalamkan usaha Revolusi Bolivar, dan membenarkan Chávez untuk meradikalisasikan program politiknya. Cubaan kudeta pada bulan April 2002 merupakan satu detik penting dalam proses perjuangan revolusioner ini kerana ia merupakan ekspresi yang paling dramatik untuk konflik antara gerakan masyarakat miskin yang mendukung usaha Revolusi Bolivar yang diterajui oleh seorang Presiden berkarisma dengan golongan elit lama yang hendak mengekalkan hak keistimewaan mereka.

20 tahun sudah berlalu, serangan daripada golongan berhaluan kanan yang disokong oleh kuasa imperialis AS masih berterusan. Cabaran yang dihadapi oleh proses Revolusi Bolivar menjadi lebih hebat lagi selepas Chávez meninggal dunia pada tahun 2013, dengan sekatan ekonomi daripada AS dan banyak lagi cubaan menyahstabilkan negara Venezuela. Walau bagaimanapun, hasil daripada pengalaman perjuangan yang begitu hebat sepanjang lebih dua dekad lalu, termasuk peristiwa pada bulan April 2002, rakyat Venezuela yang mendukung Revolusi Bolivar masih dapat mempertahankan kerajaan mereka daripada ancaman demi ancaman. Solidariti kepada rakyat Venezuela untuk mempertahankan Revolusi Bolivar harus diteruskan!

One thought on “Cubaan kudeta April 2002 di Venezuela: Kuasa rakyat tewaskan kudeta dalam 47 jam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *