SHAH ALAM, SELANGOR – 30 MAC 2022: Lebih kurang 40 orang penduduk Kampung Sri Makmur berprotes di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hari ini, untuk menuntut campurtangan daripada Menteri Besar Selangor supaya mendapatkan penyelesaian kepada ancaman pengusiran paksa yang sedang dihadapi mereka.

Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM) bersama dengan Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan di bawah Gabungan Marhaen menyerahkan satu memorandum yang ditujukan kepada Dato’ Seri Amirudin bin Shari selaku Menteri Besar Selangor, untuk menuntut satu penyelesaian yang menegakkan hak perumahan penduduk Kampung Sri Makmur. Persatuan Perantau Sri Makmur (PPSM) ialah kumpulan yang ditubuhkan oleh penduduk asal di Kampung Sri Makmur untuk memperjuangkan hak perumahan penduduk asal. Mereka mewakili 30 buah keluarga asal yang menerokai kampung tersebut. Mereka bersedia memberikan laluan kepada pembangunan asalkan rumah alternatif disediakan oleh pihak berwajib.

Kampung Sri Makmur yang terletak di Daerah Gombak, telah diterokai oleh penduduk asal sejak tahun 1990-an. Pada tahun 2006, penduduk-penduduk di situ telah diberikan notis pengosongan tanah buat kali pertama. Walaupun sebahagian penduduk telah berpindah di bawah Program Setinggan Sifar, tetapi sebahagian besar penduduk asal masih kekal tinggal di kampung kerana mereka tidak mampu membeli rumah. Penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur kemudian mendapat notis pengosongan pada tahun 2018 buat kali kedua. Pada tahun 2020, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui peguamnya telah mengheret penduduk ke mahkamah.

Penduduk-penduduk kampung difahamkan bahawa satu projek kondominium mewah bakal dibangunkan di atas tanah kampung mereka. Walaupun berkali-kali diminta oleh penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur untuk menyelesaikan isu perumahan ini secara baiknya, PKNS sebagai agensi Kerajaan Negeri Selangor enggan berbincang bersama para penduduk asal, tetapi lebih berminat dengan projek perumahan mewah yang bakal mengusir keluar penduduk asal. Lebih kurang 200 buah rumah di atas tanah Kampung Sri Makmur sedang menghadapi ancaman pengusiran paksa.

Dalam memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor, penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur menyatakan hasrat mereka bahawa mereka bersedia untuk berpindah keluar dari rumah yang dihuni mereka sekarang sekiranya ditawarkan penyelesaian rumah alternatif yang munasabah. Penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur meminta supaya sama ada ditempatkan di atas tanah asal selepas tanah tersebut dibangunkan ataupun ditempatkan ke Pangsapuri Seri Temenggung di bawah Program Rumah Selangorku atau mana-
mana pangsapuri serupa yang tersedia di sekitar kawasan Gombak. Selain itu, mereka juga meminta pampasan bayaran sewa rumah RM700 sebulan sehingga rumah alternatif siap dibina, dan kos pemindahan keluar-masuk rumah harus ditanggung sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

Turut hadir bersama semasa penyerahan memorandum oleh penduduk Kampung Sri Makmur ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Soh Sook Hwa selaku Bendahari Nasional PSM.

“Dalam isu ini, kita bukan berurusan dengan seorang pemaju swasta, tetapi sedang berurusan dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Oleh itu, isu ini sepatutnya boleh diselesaikan,” kata Arutchelvan semasa aksi hari ini. PKNS sebagai sebuah GLC di bawah Kerajaan Negeri Selangor memang sepatutnya menunaikan tanggungjawabnya terhadap anak negeri Selangor dengan menjamin hak perumahan mereka dan bukannya mengusir mereka keluar dari rumah kediaman mereka tanpa penyelesaian yang adil. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Harapan pada masa kini juga mempunyai dasar yang tidak akan melakukan pengusiran paksa ke atas peneroka bandar selagi penduduk asal tidak ditawarkan rumah alternatif yang berstatus tetap. Oleh yang demikian, penduduk-penduduk Kampung Sri Makmur menggesa Kerajaan Negeri Selangor supaya mencampurtangan untuk menghentikan ancaman pengusiran paksa daripada pihak PKNS dan menawarkan rumah alternatif yang munasabah.

2 thoughts on “Penduduk Kampung Sri Makmur diancam pengusiran paksa – Kerajaan Negeri Selangor harus campurtangan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *